View Categories

SURAH AD-DUKHAN : AYAT 51-59

\"\"

NIKMAT BAGI MUTTAQIN, TIADA LAGI KEMATIAN & QURAN MUDAH DIFAHAMI.

Full video : https://youtu.be/fOa0DPWQP_U

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menggembirakan orang yang beriman dengan janji yang indah nikmat kesenangan bagi orang yang bertaqwa.
    Mereka yang mendapat nikmat syurga tidak akan mati lagi.
    Begitu juga ahli neraka, tidak akan mati selamanya juga, tetapi mereka dalam kesiksaan dan azab yang amat pedih dan dahsyat.
  2. Allah jelaskan bahawa al-Quran diturunkan dalam bahasa yang mudah difahami oleh Quraisy.
    Ketika turun al-Quran, mereka kaum Quraisy yang dekat dengan Nabi s.a.w, maka untuk permudahkan urusan mereka, Allah s.w.t turunkannya dalam bahasa Arab agar mereka mudah memahaminya, boleh membacanya.
  3. Kita yang bukan berbahasa Arab ini pandai membacanya tetapi kita tidak memahaminya kerana bukan bahasa lisan kita. Tetapi kita kena usaha belajar untuk memahami al-Quran, bersemangat dan sentiasa berdoa kepada Allah untuk memahami dan tadabbur al-Quran serta beramal dengannya. Bukan sekadar bacanya saja kerana bahasa Arab itu bahasa al-Quran dan bahasa Islam.
  4. Pesanan untuk anak-anak Tahfiz yang hafaz al-Quran, tak perlu tulis atau tambah sendiri gelaran (al-Hafiz) di belakang nama kita, kerana kita hafaznya ikhlas Lillahi Ta\’ala bukan kerana nama atau habuan dunia atau mencari glamour.
  5. Munasabah ayat: Dalam ayat dan siri sebelum ini Allah s.w.t sebut tentang janji buruk (الوعيد) azab dan siksaan, zaqqum untuk mereka yang derhaka kepada Allah s.w.t. Hidup mereka susah penuh dalam kesiksaan, tiada siapa yang dapat memberi pertolongan mereka.

Maka dalam ayat ini untuk menenangkan hati orang yang beriman, Allah s.w.t menyatakan pula janjinya (الوعد) yang benar, yang tidak akan dimungkiri-Nya.

AYAT 51- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERTAQWA (AKAN DITEMPATKAN) DI TEMPAT TINGGAL YANG AMAN SENTOSA.} (AD-DUKHAAN 44:51)

  1. Ini adalah janji (الوعد) yang benar lagi baik untuk orang yang bertaqwa. Menunjukkan tentang nikmat yang akan didapati oleh mereka.
  2. Siapakah orang yang bertaqwa (الْمُتَّقِينَ) ini? Iaitu mereka yang menjaga dirinya daripada kemurkaan dan siksaan Allah s.w.t dengan cara mematuhi segala arahan dan larangan-nya.
  3. Syurga menjadi tempat tinggal mereka yang kekal abadi dan aman sentosa. Maksudnya aman; tidak akan mati dan keluar lagi dari syurga, tiada lagi ketakutan, kebimbangan dan kesedihan serta segala penyakit yang memudharatkan.
  4. Ya Allah jadikan kami semua ahli syurga yang mendapat redha dan rahmat-Mu.

AYAT 52- {IA ITU DI DALAM BEBERAPA TAMAN SYURGA, DENGAN MATAIR-MATAIR TERPANCAR PADANYA,} (AD-DUKHAAN 44:52)

  1. Antara nikmat syurga ini ialah taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. Ini adalah nikmat dari segi pemandangan yang indah.
  2. Hadis Qudsi: Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda,
    قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: أَعْدَدْتُ لِعِبَادِي الصَّالِحِينَ مَا لاَ عَيْنٌ رَأَتْ، وَلاَ أُذُنٌ سَمِعَتْ، وَلاَ خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ
    \”Allah azza wa jalla berfirman, \’Aku telah menyediakan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh kenikmatan yang belum pernah mata melihatnya, belum pernah telinga mendengarnya, dan belum pernah pula terdetik dalam kalbu manusia\’.\”[HR Bukhari & Muslim]

AYAT 53- {MEREKA MEMAKAI PAKAIAN DARI KAIN SUTERA YANG HALUS DAN KAIN SUTERA TEBAL YANG BERSULAM; (MEREKA DUDUK DI TEMPAT PERHIMPUNAN) SENTIASA BERHADAP-HADAPAN (DI ATAS PELAMIN MASING-MASING).} (AD-DUKHAAN 44:53)

  1. Pakaian ahli syurga itu pula:
    i- dari kain sutera yang halus (سُنْدُسٍ).
    Ulama\’ kata ini pakaian bahagian dalam.

ii- dan kain sutera tebal yang bersulam (إِسْتَبْرَقٍ);
Ini pula sebagai pakaian perhiasan bahagian luar.

  1. Mereka pula duduk berehat dalam syurga itu, berhimpun dan bersantai sesama mereka, sentiasa duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing yang indah.
  2. Ulama\’ menyatakan maksudnya {sentiasa berhadap-hadapan-}
    i- Yakni mereka berhadap satu sama lain, kerana tempatnya luas dan lapang. Tiada siapa yang terpaksa duduk di belakang.
    ii- mereka berhadap antara satu sama lain dengan wajah dan hati mereka. Dengan penuh kerehatan, ketenangan dan kasih sayang.

AYAT 54- {DEMIKIANLAH KEADAANNYA; DAN KAMI JADIKAN KAWAN TEMAN MEREKA BIDADARI-BIDADARI YANG PUTIH MELEPAK, LAGI LUAS CANTIK MATANYA.} (AD-DUKHAAN 44:54)

  1. Bagi mereka teman dan pengiring, para bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya, yang dicipta khas sebagai pelayan dan peneman mereka.
  2. Jadi kita manusia atas dunia ini bersabarlah jika mendapat pasangan yang kurang cantik pada standard yang dikehendaki, tidak putih atau sempit matanya, insya\’ Allah akan gantinya dalam syurga.
  3. Hidup atas dunia Allah s.w.t tidak memandang rupa fizikal seseorang (yang menjadi ujian bagi kita juga)- tetapi kepada hati, keimanan dan ketaqwaan kita.

AYAT 55- {MEREKA MEMINTA – DI DALAM SYURGA ITU – TIAP-TIAP JENIS BUAH-BUAHAN (YANG MEREKA INGINI), DALAM KEADAAN AMAN SENTOSA.} (AD-DUKHAAN 44:55)

  1. Mereka akan dapat apa saja mereka minta dan kehendaki, tiap-tiap jenis buah-buahan.
  2. Ulama\’ menafsirkan pula makna aman (آمِنِينَ) ini:
    i- tiada musim, sentiasa ada bila-bila masa sahaja. Aman dari terputus bekalan.

ii- aman/selamat dari keracunan yakni tiada kemudharatan.

  1. Ahli syurga juga makan bukan kerana lapar atau lemah, hanya untuk menikmati segala nikmat yang ada.

AYAT 56- {MEREKA TIDAK MERASAI KEMATIAN DALAM SYURGA ITU SELAIN DARIPADA MATI YANG MEREKA RASAI (DI DUNIA) DAHULU; DAN ALLAH SELAMATKAN MEREKA DARI AZAB NERAKA;} (AD-DUKHAAN 44:56)

  1. Ahli syurga tidak akan mati lagi buat selamanya.

2.Munasabah ayat: Setelah Allah nyatakan nikmat-nikmat yang begitu indah, bidadari yang jelita, buah-buahan yang tidak putus, maka pastilah mereka akan tertanya berapa lama mereka akan menikmati semua ini. Maka Allah bagi jawapannya, kamu semua jangan ragu-ragu dan bimbang, kamu tidak akan mati dan keluar dari syurga lagi selama-lamanya! Tiada lagi kematian selepas mati pertama di dunia dulu.

  1. Hadis- maut disembelih:
    Daripada Abu Sa\’id al-Khudri r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
    يُؤْتَى بِالْمَوْتِ كَهَيْئَةِ كَبْشٍ أَمْلَحَ
    \”Kematian akan dibawa dalam bentuk seekor kibas berwarna hitam bercampur putih.
    فَيُنَادِي مُنَادٍ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ، فَيَشْرَئِبُّونَ وَيَنْظُرُونَ
    Lalu seorang penyeru akan menyeru: Wahai penghuni syurga. Lalu penghuni syurga akan mendongak dan melihat.
    فَيَقُولُ هَلْ تَعْرِفُونَ هَذَا فَيَقُولُونَ نَعَمْ هَذَا الْمَوْتُ، وَكُلُّهُمْ قَدْ رَآهُ،
    Lalu penyeru tadi berkata: Adakah kalian kenal siapakah ini? Lalu mereka menjawab: Ya. Ini adalah kematian. Kesemua mereka dapat melihatnya.
    ثُمَّ يُنَادِي يَا أَهْلَ النَّارِ، فَيَشْرَئِبُّونَ وَيَنْظُرُونَ،
    Kemudian diseru: Wahai penghuni neraka. Lalu penghuni neraka mendongak dan melihat.
    فَيَقُولُ هَلْ تَعْرِفُونَ هَذَا فَيَقُولُونَ نَعَمْ هَذَا الْمَوْتُ، وَكُلُّهُمْ قَدْ رَآهُ،
    Lalu penyeru tadi berkata: Adakah kalian kenal siapakah ini? Lalu mereka menjawab: Ya. Ini adalah kematian. Kesemua mereka dapat melihatnya.
    فَيُذْبَحُ ثُمَّ يَقُولُ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ، خُلُودٌ فَلاَ مَوْتَ، وَيَا أَهْلَ النَّارِ، خُلُودٌ فَلاَ مَوْتَ
    Lalu kibas tadi disembelih. Kemudian penyeru itu berkata: Wahai penghuni syurga, kekallah kalian dan tiada lagi kematian. Wahai penghuni neraka, kekallah kalian dan tiada lagi kematian.
    ثُمَّ قَرَأَ {وَأَنْذِرْهُمْ يَوْمَ الْحَسْرَةِ إِذْ قُضِيَ الأَمْرُ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ} وَهَؤُلاَءِ فِي غَفْلَةٍ أَهْلُ الدُّنْيَا {وَهُمْ لاَ يُؤْمِنُونَ}\”
    Kemudian baginda membaca: ((Berilah peringatan kepada mereka tentang hari Penyesalan; tatkala keputusan telah diberikan sedangkan mereka dalam keadaan lalai dan tidak beriman (Maryam : 39))). Mereka yang dalam keadaan lalai itu ialah penduduk dunia.\” [HR al-Bukhari, Kitab at-Tafsir, hadis no: 4730].
  2. Tambahan dari riwayat daripada \’Abdullah bin \’Umar pula, Nabi s.a.w bersabda pada akhirnya:
    فَيَزْدَادُ أَهْلُ الْجَنَّةِ فَرَحًا إِلَى فَرَحِهِمْ. وَيَزْدَادُ أَهْلُ النَّارِ حُزْنًا إِلَى حُزْنِهِمْ
    \”Lalu bertambahlah kegembiraan penghuni syurga dan bertambahlah kesedihan penghuni neraka.\” [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Riqaq, Bab Sifat al-Jannah wa an-Nar, hadis no: 6548].
  3. Mereka yang bertqawa itu juga akan diselamatkan Allah daripada azab neraka dan mereka amat jauh darinya!
    Ya Allah selamatkan kami semua daripada azab neraka-Mu.

AYAT 57- {(MEREKA DIBERIKAN SEMUANYA ITU) SEBAGAI LIMPAH KURNIA DARI TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD); YANG DEMIKIAN ITULAH KEMENANGAN YANG BESAR.} (AD-DUKHAAN 44:57)

  1. Semua nikmat yang dinikmati itu adalah limpah kurnia dari Tuhanmu wahai Muhammad s.a.w.
  2. Hadis; Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: \”Hendaklah kamu memperbaiki amalan, mendekatkan diri kepada Allah dan berbahagialah. Sesungguhnya tiada amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga. Mereka (para sahabat) berkata: Apakah termasuk dirimu wahai Rasulullah? Ya, aku pun tidak, hanya Allah saja yang menganugerahkanku keampunan dan rahmat-Nya.\” (HR al-Bukhari)
    Perkataan rahmat membawa beberapa makna antaranya ia bermaksud Islam. Tidak semua manusia memperoleh rahmat itu. Sebagai insan terpilih yang dilahirkan sebagai umat Islam, rahmat ini perlu sentiasa disyukuri.
  3. Jadi kena ingat kita masuk syurga dengan limpah kurnia Allah s.w.t.
    Jangan kita berasa sombong dan bangga dengan amalan dan perbuatan baik kita, kerana jika nak bayar atau bandingkan hanya berdasarkan amalan kita, begitu kecil dan sedikit, tidak cukup tanpa anugerah rahmat dan limpah kurnia dari Allah s.w.t..
  4. Yang demikian itulah kemenangan yang besar- iaitu selamat daripada neraka dan masuk ke dalam syurga, mendapat nikmat dan limpah kurnia Allah s.w.t yang tidak terbilang.
  5. Firman Allah s.w.t: {Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.} (A-li\’Imraan 3:185)
  6. Kata ulama\’ salaf apabila ditanya bilakah kita dapat berehat?
    Jawabnya: Apabila kita sudah pijak kaki kita ke dalam syurga.
    Manakala rehat yang pertama ialah apabila titian sirat sudah berjaya kita lintasi dan berada di di belakang kita.

Ya lah jadikanlah kami dan seluruh keluarga kami, ibu-bapa anak isteri dan orang-orang yang kami sayangi, ahli syurga yang diredhai-Mu.

AYAT 58- {MAKA SESUNGGUHNYA TUJUAN KAMI MEMUDAHKAN AL-QURAN DENGAN BAHASAMU (WAHAI MUHAMMAD), IALAH SUPAYA MEREKA (YANG MEMAHAMINYA) BERINGAT DAN INSAF (UNTUK BERIMAN DAN MEMATUHINYA).} (AD-DUKHAAN 44:58)

  1. Sebagaimana surah ini dimulai dengan al-Quran ia juga diakhiri dengan cerita tentang kelebihan dan kebaikan al-Quran. Ayat penutupnya menguatkan ayat permulaan surah!
  2. Al-Quran itu kitab yang jelas dan banyak faedahnya, yang Allah berikan kepada Rasulullah s.a.w dengan bahasa kaumnya (di Makkah) supaya tidak menjadi hujjah bagi mereka nanti agar mereka beriman dan mematuhinya. Iaitu diturunkan al-Quran dalam bahasa kaum yang turun kepada mereka al-Quran iaitu kaum Quraisy yang berbangsa dan berbahasa Arab.
  3. Munasabah susunan ayat: Di sini Allah s.w.t nyatakan bahawa Dia permudahkan al-Quran untuk difahami manusia, di awal surah dikatakan Kita yang menjelaskan, turun dalam bahasa kamu sendiri, jika kamu masih keras kepala dan tidak mahu menerima juga maka bukan salah orang lain!
  4. Kita hari ini jangan mencari alasan juga, kenapa tak baca al-Quran? Alasan- kerana tak pandai, tak faham adalah tidak boleh diterima kerana kita wajb belajar dan berusaha untuk memahaminya.

Ini adalah kelemahan dan kecuaian kita dalam menjaga kedudukan dan memahami al-Quran yang menjadi tanggung-jawab kita. Amat malanglah jika bahasa lain semua kita fasih kecuali al-Quran.

  1. Kita cuba tebus balik apa yang kita cuai dan tak ambil berat tentang al-Quran dulu, kerana sekarang kita sudah tahu dan insaf maka berusahalah sedaya upaya kita, tak kiralah tua atau muda bagaimana untuk kita baca, faham, tadabbur dan beramal dengan al-Quran insya\’ Allah.
  2. Supaya kita boleh memahami maknanya, mengambil pengajaran & iktibar darinya serta beramal dengan al-Quran ini.
  3. Tetapi jika kamu masih lagi degil tidak mahu dengar kata; maka ayat Allah s.w.t tutupnya dengan ayat berikut ini.

AYAT 59- {(KIRANYA MEREKA TIDAK BERBUAT DEMIKIAN) MAKA TUNGGULAH (WAHAI MUHAMMAD AKAN KESUDAHAN MEREKA), SESUNGGUHNYA MEREKA JUGA MENUNGGU (AKAN KESUDAHANMU).} (AD-DUKHAAN 44:59)

  1. Sekiranya mereka tidak berbuat demikian iaitu belajar, memahami dan beramal dengan al-Quran juga, maka tunggulah akan kesudahan mereka.
    Mereka juga menunggu kesudahan Rasulullah s.a.w.
  2. Yakni masing-masing akan tunggu kematian dan kebinasaannya.
    Tetapi ia adalah dua kematian yang tidak sama dan berbeza. Orang yang mati dalam iman tidak sama dengan orang yang mati dalam keadaan kufur dan maksiat!
  3. Boleh baca cerita motivasi tentang beberapa kematian yang berakhir dengan kalimah syahadah:
    i- Khatib yang mati sedang berkhutbah atas minbar.
    ii- Kematian tokoh Hadis yang terkenal- Abu Zur\’ah ar-Razi.
    Boleh lihat Kuliah AAM: Kematian Syeikh Hadis.
  4. Kerana itu kita wajib menjaga lidah kita, agar ia sentiasa basah dengan kalimah Allah dan zikir. Agar bila nak mati esok, itulah kalimah yang akan keluar daripada mulut kita insya\’ Allah.
    Semoga kalimah terakhir kita ialah kalimah: لا إله الا الله

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 51- {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa.} & Ayat 55- {Mereka meminta – di dalam Syurga itu – tiap-tiap jenis buah-buahan (yang mereka ingini), dalam keadaan aman sentosa.}- ulama\’ tadabbur kata ayat ini Allah menyatakan dua jenis keamanan iaitu tempat dan makanan;
    i- Mereka aman dan selamat keadaan & tempat- iaitu tidak runsing akan mati atau keluar darinya,

ii- aman juga tentang makanan, iaitu tidak takut ia akan membawa mudharat seperti keracunan atau penyakit serta sudah pasti halalan toyyiban!

Pentingnya kita menjaga dua keamanan ini, aman tempat dan aman makanan, baru hidup selesa dan selamat.

  1. Ayat 56- {Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu;}- orang dalam syurga tidak mati, orang dalam neraka juga tidak mati.
    Jadi apa faedah diberi khabar gembira kepada penduduk dalam syurga akan perkara ini? Sama sahaja bagi semua orang, apa kelebihannya?

Jawapan:
Ini kerana ahli syurga tidak mati dan berada dalam nikmat yang tidak putus. Kerana itu diberi khabar gembira kekal abadi (الخلود) tanpa kematian. Maka pastilah nikmat yang berkekalan dan tiada kematian ini akan menambahkan lagi kegembiraan mereka.
Tidak sama dan berbeza dengan keadaan ahli neraka yang hidup pun seperti tidak mati, penuh siksa dan kehinaan.

  1. Ayat 53- {Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing).}- kenapa Allah s.w.t sebut dua-dua, sutera yang lembut dan ada juga yang kasar?

Jawapan:
Kasarnya kain sutera dalam syurga pastilah tetapi indah dan selesa, bukan seperti yang di atas dunia ini.
Manakala ulama\’ juga telah beri pandangan bahawa yang lembut lapisan bawah manakala yang lebih kasar adalah lapisan atas atau baju luar sebagai perhiasan yang indah.

Manakala maksud {sentiasa berhadap-hadapan- مُتَقَابِلِينَ }
i- ini antara adab kita bertemu dan bertamu dengan orang, apabila bercakap kena tengok muka dan memberi perhatian.

ii- tetapi jika dengan yang bukan mahram antara lelaki dan perempuan; haram untuk bertentangan mata & wajah, kena jaga pandangan kerana ia adalah punca kerosakan dan maksiat seterusnya.
Bak kata yang masyhur: dari mata turun ke hati.

Kata penyair Ahmad Syauki tentang punca maksiat:
mula-mula tengok, kemudian senyum, tanya khabar, ambil no telefon, bertemu lalu berlakulah apa yang tidak sepatutnya.

Kerana itu Rasulullah s.a.w juga bersabda:
\”Pandangan itu panah yang beracun dari panah-panah iblis. Oleh itu, barang siapa yang meninggalkan pandangan kerana takut akan seksaan Allah maka ia akan memperoleh kemanisan iman dalam hatinya.\” [HR Ahmad dan Ath-Thabari).

Iblis itu tidak ada kerja lain selain daripada merancang dan mengatur strategi bagaimana untuk merosakkan manusia dan menjauhkannya dari jalan Allah s.w.t.

  1. Ayat 56- {Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu;}- telah termaklum bahawa di dalam syurga tidak ada kematian. Di dalam syurga tidak ada hospital, tandas, farmasi, bilik mayat dan seumpamanya, iaitu benda atau perkara yang menghilangkan nikmat dan keriangan!

Hanya kematian pertama di dunia dulu saja, mereka tidak akan mati dan menikmati segala nikmatnya itu selama-lamanya! Nikmat yang paling besar ialah nikmat iman dan hati kita rasa tenang sejak dari dunia sehingga kita ke syurga.

Tetapi orang kafir dalam neraka mengharapkan dia akan mati 10 kali lagi, kerana tidak tertahan azab siksa yang dihadapi. Wal \’iyazu billah.

Tetapi kena ingat semua nikmat itu adalah hasil kurniaan dari Allah s.w.t bukan semata-mata kerana amal perbuatan kita atau kerana kita bijak!

  1. Ayat 58- {Maka sesungguhnya tujuan Kami memudahkan Al-Quran dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan mematuhinya).}- Allah s.w.t mempermudahkan bahasa Arab ini supaya mereka faham.

Serta banyak Allah s.w.t ulang dalam al-Quran bahawa kerja al-Quran memberi peringatan, menggalakkan kebaikan, larangan agar menjauhi diri daripada perkara yang tidak baik.
Peringatan ini kerana manusia yang ada fitrah apabila disebut tentang perkara yang baik, hatinya akan tersentuh dan terasa.

Alhamdulillah Allah nyatakan bahawa ayat al-Quran ini mudah dan kerjanya ialah memberi peringatan kepada manusia, tetapi jika tidak faham, maka tidak akan dapat peringatan!

Untuk dapat manfaat darinya kita kena faham dan tadabbur al-Quran barulah kita dapat beramal dengannya insya\’ Allah.

Alhamdulillah الحمد لله الذي بنعمته تتم الصالحات pada hari ini tamatlah tafsir Surah ad-Dukhan sebanyak 59 ayat dengan 8 siri. Semoga kita semua mendapat manfaatnya dan dapat meneruskan langkah perjalanan memahami al-Quran dalam surah & siri yang akan datang insya\’ Allah.

Powered by BetterDocs