View Categories

SURAH AL-AHZAB : AYAT 56-58

\"\"

ARAHAN BERSELAWAT KE ATAS NABI S.A.W, AMARAN DARI MENYAKITI NABI S.A.W & BALASAN MENYAKITI ORANG MU\’MIN.

Full video : https://youtu.be/uQQhODHvGAE

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita masih lagi dalam ayat yang berkaitan dengan Rasulullah s.a.w; tentang kemuliaan dan kelebihan yang Allah s.w.t berikan kepada Baginda s.a.w.
  2. Dalam ayat ini ialah arahan untuk berselawat ke atas Rasulullah s.a.w serta larangan jangan menyakit Nabi s.a.w, ahli keluarganya isteri dan anak cucunya, serta larangan dari menyakiti orang mukmin seluruhnya.
  3. Tanggung-jawab Rasulullah s.a.w ialah menyampaikan risalah dan dakwahnya kepada umatnya, ini telah ditunaikanya, hak ke atas umat ini. Rasulullah kemudian akan mempunyai satu lagi tanggung-jawab di akhirat kelak pada hari Kiamat iaitu memberi syafaat kepada manusia.
  4. Manakala tanggung-jawab ke atas kita ialah mengikuti segala ajaran Rasulullah s.a.w, berat atau ringan wajib kita cuba buat setakat yang mamapu. Serta apa yang dilarangnya wajib berhenti terus dan segera!
  5. Dalam siri yang lepas kita telah diajar;
    i- cara muamalat dengan Rasulullah s.a.w. Adab bertamu.
    ii-adab atau cara berinteraksi dengan para isteri Rasulullah, Ummahatul-Mukminin jika ada yang ingin bertanya, berguru atau meminta sesuatu hajat.
    iii- Juga beberapa kategori lelaki yang dibenarkan wanita muslimah untuk membuka tudung atau hijab di hadapan mereka.
  6. Dalam ayat ini pula Allah ceritakan bahawa sesungguhnya Allah s.w.t dan para malaikat di sisinya telah berselawat kepada Rasulullah s.a.w yakni golongan di atas langit, kemudian turunlah arahan ini ke bumi supaya kita orang yang beriman turut berselawat, memberi salam, berdoa kepada Nabi s.a.w.

AYAT 56- {SESUNGGUHNYA ALLAH DAN MALAIKATNYA BERSELAWAT (MEMBERI SEGALA PENGHORMATAN DAN KEBAIKAN) KEPADA NABI (MUHAMMAD S.A.W); WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN BERSELAWATLAH KAMU KEPADANYA SERTA UCAPKANLAH SALAM SEJAHTERA DENGAN PENGHORMATAN YANG SEPENUHNYA.} (AL-AHZAAB 33:56)

  1. Ayat ini setiap minggu pada hari Jumaat kita dengar dari Khatib di atas minbar mengingatkan kita untuk berselawat kepada Nabi s.a.w.
  2. Maksudnya Allah memuji Nabi s.a.w. di hadapan para malaikat yang berada di sisi-Nya denganNya kerana cintaNya kepada Beliau. Para malaikat yang didekatkan juga ikut memuji, bersalawat dan mendoakan Baginda s.a.w.
  3. Kemudian Allah s.w.t. memerintahkan kepada penghuni alam bawah (bumi) untuk sama bersalawat dan bersalam untuk Nabi s.a.w. iaitu arahan kepada orang yang beriman.
  4. Apabila para sahabat r,anhum yang mulia mendengar ayat ini, mereka terus pergi berjumpa Rasulullah s.a.w untuk bertanya, bagaimanakah caranya yang sahih untuk berselawat kepada Baginda s.a.w?
  5. Kita tengok beberapa contoh riwayat yang ada, yang dikumpulkan oleh beberapa orang sahabat, dari jalur sanad yang sahih, dari mulut Rasulullah s.a.w sendiri!

i- Dari Ka\’ab bin \’Ujrah RA:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
\”Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.\” [HR Bukhari dan Muslim]

ii- Dari Abu Humaid As Saa\’diy RA:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
\”Ya Allah,berilah selawat kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri beliau dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan isteri-isteri beliau dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.\” [HR Bukhari dan Muslim].

iii- Dari Abi Mas\’ud Al-Ansori RA:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
\”Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim atas sekalian alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.\” [HR Muslim]
*Setakat ini yang terkumpul ialah ada 8/10 lafaz selawat yang sahih. Boleh tengok dalam Risalah. Inilah antara kaifiyah berselawat yang diajarkan Nabi S.A.W kepada para sahabat RA sebagai jawaban kepada pertanyaan mereka mengenai cara berselawat untuk Baginda. Maka adalah logik untuk dikatakan ianya sebagai lafaz paling afdhal dalam berselawat.

  1. Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan:
    \”Apa yang disampaikan oleh Nabi S.A.W kepada para Sahabat R.A tentang kaifiyat (dalam membaca selawat) ini setelah mereka menanyakannya, menjadi petunjuk bahawa itu adalah nas selawat yang paling utama kerana Baginda S.A.W tidaklah memilih bagi dirinya kecuali yang paling mulia dan paling sempurna.\” [Al-Fath: 11/66].
  2. Menurut Kitab Mestika Hadis 1/259: \”Dan yang seafdhal-afdhalnya ialah selawat yang biasa dibaca selepas tasyahud akhir setiap solat. Ini kerana para ulama\’ telah menetapkan bahawa sesiapa yang bersumpah atau bernazar hendak berselawat kepada Nabi Muhammad S.A.W dengan seafdhal-afdhal selawat, tidak dihukum terlepas daripada wajib menepati sumpah atau nazarnya itu melainkan dengan membaca selawat itu.\”
  3. Maka adalah lebih baik apabila lafaz selawat ini yang diamalkan dalam membaca selawat untuk Nabi S.A.W, bukan lafaz-lafaz selawat susunan seseorang, meskipun bukan larangan untuk menyusun bentuk teks selawat sendiri. Selawat-selawat selain yang diajarkan oleh Nabi S.A.W kadang-kadang tidak terlepas dari kekeliruan, baik dalam pemilihan bahasa, mahupun dalam akidah.
  4. Apakah pula makna salam ke atas Nabi s.a.w? Yakni kita meminta dan berdoa agar Rasulullah s.a.w selamat dari segala penyakit yang yang zahir atau batinnya, selamat ke atas tubuh badannya dan keluarganya, selamat ajarannya daripada ditokok tambah dan direka-reka dan selamat Nabi s.a.w dari semua perkara yang tidak baik!
  5. Boleh tengok rakaman yang lengkap tentang syarah DAAM kepada Risalah Selawat Yang Sahih dan Afdhal ini.
    *AAM 2020 kuliah Kelebihan Selawat, Fadhilatnya & Memahami 10 Kalimah Dalam Lafaz Selawat Ke Atas Nabi S.A.W.
    Link 1- https://youtu.be/7uk3cL_XMK0
    Link 2- https://youtu.be/TTzm6SVl_yU
    Link 3- https://youtu.be/bIyHpQOJx2g

AYAT 57 – {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN PERKARA YANG TIDAK DIREDAI ALLAH DAN RASULNYA, ALLAH MELAKNATKAN MEREKA DI DUNIA DAN DI AKHIRAT, DAN MENYEDIAKAN UNTUK MEREKA AZAB SEKSA YANG MENGHINA.} (AL-AHZAAB 33:57)

  1. Lafaz asal ini إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ – sesungguhnya orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya – bagaimana boleh kita mennyakiti Allah s.w.t?
  2. Menyakiti Allah ialah orang yang kufur dan syirik kepada Allah s.w.t, atau meletakkan sifat-sifat yang tidak layak bagi Allah dan yang berani melakukan perkara yang tidak diredhai Allah, derhaka, berbuat dosa & maksiat. Jangan kamu fikir dosa besar atau kecil yang kamu buat, tetapi ingatlah kepada siapa yang kamu derhaka itu!!!
    *Hadis Qudsi: Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda, \”ALLAH berfirman: Anak Adam telah menyakiti-Ku. Dia mencela masa, padahal Aku adalah (menetapkan) masa. Di tangan-Ku semua urusan. Aku yang membolak-balikkan malam dan siang.\” [HR Bukhari & Muslim].

ii- menyakiti Rasulullah s.a.w ialah:
Jika semasa hidupnya menyakiti Baginda secara fizikal, membuat tuduhan palsu dan jahat kepadanya, khianat kepadanya dan seumpamanya.
Manakala selepas kewafatannya sama juga terutama menyebarkan hadis-hadis palsu yang disandarkan ke atas nama Baginda s.a.w! Ini kerana jelas sabda Rasulullah s.a.w:
وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: \”Barangsiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.\” [Riwayat al-Bukhari (110]

  1. Mereka yang menyakiti Allah dan Rasulullah ini; Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina

AYAT 58 – {DAN ORANG-ORANG YANG MENGGANGGU SERTA MENYAKITI ORANG-ORANG LELAKI YANG BERIMAN DAN ORANG-ORANG PEREMPUAN YANG BERIMAN DENGAN PERKATAAN ATAU PERBUATAN YANG TIDAK TEPAT DENGAN SESUATU KESALAHAN YANG DILAKUKANNYA, MAKA SESUNGGUHNYA MEREKA TELAH MEMIKUL KESALAHAN MENUDUH SECARA DUSTA, DAN BERBUAT DOSA YANG AMAT NYATA.} (AL-AHZAAB 33:58)

  1. Mereka juga menyakiti orang yang beriman dengan membuat tuduhan buruk yang jahat terhadap orang-orang mukmin dan mukminat yang pada hakikatnya bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka itu, serta mereka tidak tahu menahu dan tidak pernah melakukannya.
  2. Ulama\’ kata menyakiti ini termasuk semua samada dengan perbuatan, perkataan, membuat fitnah, tohmahan tuduhan jahat, melabelkan sesuatu golongan dengan tuduhan yang tidak benar. Maka mereka telah membuat satu tuduhan yang dusta sangat dahsyat dan berbuat dosa yang amat nyata- فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا!
  3. Kita cakap secara jelas, sekarang ini tuduhan dan fitnah yang paling jahat ialah mengatakan satu kumpulan dengan tuduhan WAHABI yang antara fitnah yang dikatakan ialah mereka ini mengatakan Allah s.w.t berjisim (mujassimah), mengafirkan sesama muslim dan sebagainya lagi dengan 10 tuduhan sifat yang amat jahat. Itu tuduhan semata bukan sama dengan apa yang dikata, jika dikata beberapa pandangan tertentu yang tak betul dan perlu dibaiki, lain. Ini dilabel secara pakej, satu fitnah yang amat dahsyat dan besar sekali.
  4. Menuduh orang senang, kesannya amat besar sekali!
    Hanya Allah s.w.t yang dapat membalasnya!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 56- { wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera} – ulama\’ kata selawat dan salam ke atas Nabi s.a.w itu termasuk dalam kategori tanda sifat orang yang beriman, kerana itu Allah seru wahai orang yang beriman! Lalu menyuruh mereka untuk berselawat ke atas Rasulullah s.a.w. sebagai tanda orang yang beriman. Siapa yang tidak mahu atau sedikit selawat, tidak menghormati nabi s.a.w, maka orang itu kurang imannya.

Antara tempat yang kita dituntut berselawat, ada yang wajib ada yang sunat muakkad:
i – Berselawat di akhir tasyahud. Ini adalah satu rukun. Ijma\’ ulama\’ bahawa ini satu tuntutan Syariah.
ii- pada tasyahud awal, sunat.
iii- Di dalam solat jenazah selepas takbir yang ketiga.
iv- Selepas mendengar azan sebelum membaca doa azan.
v- Ketika masuk dan keluar dari masjid.
vii- ketika mahu tutup majlis, mahu berpisah selepas berkumpul ramai-ramai.
vii- setiap kali mendengar orang menyebut nama Nabi S.A.W.
viii- Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.
ix- Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
x- Di akhir qunut dalam solat.
xi- Setiap waktu pagi dan petang.
xii- Hari Khamis malam Jumaat.
xiii- Sepanjang hari Jumaat.

  1. Ayat 57 – {Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti (melakukan perkara yang tidak diredai) Allah dan RasulNya,} – menyakiti Allah seperti yang atas tadi. Manakala menyakiti Rasulullah tidak sama dengan menyakiti orang biasa, sedangkan tanda orang beriman ialah memuliakan dan mencintai Rasulullah s.a.w, maka sesiapa yang berbuat sebaliknya, menyakiti Baginda pastilah amat buruk dan besar dosanya.
  2. Ayat 58 – {Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman} – yang ketiga ialah selepas dari larangan menyakiti Allah dan Rasul ialah larangan dari menyakiti orang yang beriman juga! Ia juga amat besar dosanya, apatah lagi jika menyakiti dan mengutuk para sahabat.
  3. Ayat 58 – {maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.} – sesiapa yang membuat tohmahan dan tuduhan, dia telah melakukan satu dosa yang besar. Orang buat tuduhan, buat video kita percaya, sama seperti pembuat itu juga. Maka hati-hati jangan bermudah dan menjadi penyebar. Tetapi keraguan yang ditimbulkan mesti dijawab.
  4. Ayat 56- {Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w);} – ini adalah satu doa khas dan satu ibadat istimewa bagi Nabi s.a.w. Maka kita beribadat dengan selawat. Terutamanya pada malam dan hari Jumaat, ia adalah bekas untuk selawat. Kita meriahkan dan jadikan satu amalan serta dengan selawat yang sahih.
  5. Ayat 56- {{Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w)} – Allah dan malaikat sudah berselawat ke atas Nabi s.a.w. maka apa perlu lagi iutk kita manusia berselawat? Kenapa Allah suruh kita selawat juag? – {Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.} – Ini kerana Allah s.w.t:
    i- nak nyatakan kedudukan Nabi s.a.w. Allah suruh kita selawat untuk menzahirkan kemuliaan dan kebesaran nabi s.a.w.
    ii- Kerana kamu mengaku cintakan Nabi s.a.w, bila dah agungkan Nabi maka bukti dan tunjukkannya dengan amalan yang selari dengan ajaran Baginda s.a.w. Kenapa pula tidak mahu terima ajarannya? Selawat dan zikir yang Baginda ajar rasa kurang bernilai besar berbanding ajaran manusia lain?
    iii- Ini adalah kontra dengan pengakuan, jika betul-betul cintakan Nabi s.a.w ikut dan amal-lah ajarannya, bukan mereka-reka ajaran dan amalan lain, seolah tidak mencukupi yang Baginda bawa!
  6. Ayat 56- {wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera.} – kata ulama\’, yang disyariahkan, jika kita nak berselawat ke atas Nabi s.a.w kena lafazkan dengan lisan, bukan dalam hati saja. Begitu juga jika nak tulis selawat kena pastikan betul rumusnya dan baca dengan sempurna. Jika dapat tulis dengan sempurna lagi baik!
  7. Ayat 56- {wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera.}- ayat ini Ulama\’ kata menunjukkan jika kita nak selawat kena kembarkan antara selawat dan salam bukan separuh-separuh sahaja.
  8. Ayat 57 – {Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti (melakukan perkara yang tidak diredai) Allah dan RasulNya,} – Allah s.w.t kembarkan sekali di sini, maka menyakiti Rasul sama seperti menyakiti Allah s.w.t juga. Maka jangan sesekali berdusta atas Nabi s.a.w kerana dosanya sama seperti menyakiti Allah jua.
  9. Ayat 58 – {Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman} – menyakiti di sini termasuk dalam semua dimensi samada dengan perkataan, perbuatan, sebaran fitnah yang berlaku dengan mudah dan berleluasa sekarang ini.
    Allahu al-Musta\’an, hanya Allah-lah tempat kita berlindung!

Powered by BetterDocs