View Categories

SURAH AL-\’ALAQ : AYAT 1-5

\"\"

MUQADDIMAH INTISARI SURAH, PERMULAAN WAHYU, ALLAH ARAHKAN NABI S.A.W MEMBACA & KELEBIHAN ILMU.

Full video : https://youtu.be/Z8zXCHzDgWs?si=UKUpdjl5_jUg8bOF

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Sabtu 11 Muharram 1445H bersamaan 29hb Julai 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-\’Alaq – سورة العلق.
  2. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayah dari al-Quran ini yang dapat membawa kita ke syurga-Nya.
  3. Surah Al-\’Alaq – سورة العلق adalah surah ke-96 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang kesembilan-belas dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah At-Tin – سورة التين.
    Mengandungi 19 ayat yang pendek.
  4. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-\’Alaq – سورة العلق yang bermakna {Sebuku Darah Beku} kerana pada awal surah Allah s.w.t menegaskan bahawa Dia mencipta manusia daripada sebuku darah beku.
  2. Surah ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti:
    i- {ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ}- sebagaimana dalam hadis Muaz bin Jabal yang ditegur oleh Rasulullah s.a.w kerana membaca surah yang panjang ketika menjadi imam.

Lalu Rasulullah s.a.w mencadang beberapa surah yang sesuai dibaca dan antaranya disebut juga surah ini: {ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ}. [HR Muslim].

Hadis yang penuh boleh dilihat dalam nota surah-surah yang sebelum ini.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Surah ini dimulakan dengan 5 ayat al-Quran al-Karim yang mula-mula diturunkan kepada kepada Rasulullah s.a.w pada malam yang diberkati, malam Lailatul-Qadar pada bulan Ramadhan.
    3 nama Allah sebut untuk satu malam turunnya al-Quran itu!
  2. Iaitu ketika Rasulullah sedang beribadat menyendiri (التحنث) di Gua Hira\’; yang merupakan sebesar-besar rahmat & nikmat Allah s.w.t yang dlimpahkan kepada manusia seluruhnya.

Kerana dengan panduan al-Quran Kalamullah ini sahaja manusia akan mencapai keselamatan hidup didunia & kebahagiaan yang kekak di akhirat.

  1. Ayat suci yang 5 ini mengemukakan 3 perkara yang besar:
    i- Allah Rabbul-Alamin yang Maha Esa & Kuasa Yang wajib diingati & dipatuhi dalam segala keadaan.

ii- manusia yang dicipta Allah s.w.t dalam sebaik-baik keadaan & diberikan Allah s.w.t pelbagai keistimewaan berbanding dengan makhluk-makhluk yang lain.

iii- nikmat ilmu pengetahun yang telah diajar oleh Allah s.w.t kepada manusia melalui pena & tulisan.

  1. Bahagian kedua surah ini iaitu dari ayat 6 sehingga akhirnya, diturunkan pada masa yang lain, semasa Rasulullah s.a.w menyebarkan Islam dan mendapat tentangan dari kaum kafir musyrik di Makkah.

Dalam bahagian ini Allah s.w.t menggambarkan sifat & tabiat manusia kebanyakan manusia.

Apabila senang lenang & banyak hartanya; dia berlaku sombong bongkak, lupa kepada Tuhan yang mengurniakan segala nikmat itu- tidak menghiraukan perintah atau larangan-Nya. Sehingga akhlak & budi pekertinya tidak lagi berperi kemanusiaan.

  1. Surah ini diakhiri dengan memerintahkan Rasulullah s.a.w agar jangan menurut kemahuan orang kafir yang pasti tujuannya untuk menyekat perkembangan ajaran Islam.

Oleh itu hendaklah Rasulullah s.a.w & umatnya tetap patuh dan mendampingkan diri kepada Allah dengan mengamalkan ajaran Islam.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah untuk menetapkan hati Rasulullah s.a.w & memberi amaran kepada sesiapa saja yang cuba menyekat kemaraan dakwah Islam ini mereka akan dilanyak & dilawan!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t menyebut tentang kedudukan al-Quran, membaca & menulis, ilmu & belajar.
  2. Amaran kepada semua golongan yang cuba menyekat dakwah ini!
  3. Memberitahu kepada Nabi s.a.w bahawa Allah s.w.t melihat kepada perancangan jahat musuh-musuh Islam; lalu Allah akan ambil tindakan ke atas mereka.
  4. Allah perintahkan Rasulullah s.a.w untuk teruskan dakwah jangan hiraukan rintangan, sentiasa solat & mendekatkan diri kepada Allah s.w.t!

KEISTIMEWAAN SURAH :

1- 5 ayat pertama surah ini ialah wahyu atau ayat yang pertama turun kepada Rasulullah s.a.w dalam Islam.

  1. Pada akhir surah ini ada sujud tilawah iaitu ayat terakhinya; {وَٱسْجُدْ وَٱقْتَرِب ۩ ١٩}.
    *Mazhab Hanafi, Syafe\’i & Hanbali mengambil tempat ini sebagai tempat sujud.
  2. Dalilnya hadis Abu Hurairah r,a:
    Bahawa kami pernah sujud bersama Rasulullah s.a.w ketika membaca ayat: { إِذَا ٱلسَّمَآءُ ٱنشَقَّتْ} & { وَٱسْجُدْ وَٱقْتَرِب ۩}. [HR Bukhari & Muslim].

MUNASABAH SURAH AL-\’ALAQ – سورة العلق DENGAN SURAH AT-TIN – سورة التين SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah At-Tin – سورة الشرح:

  1. Dalam surah at-Tin Allah nyatakan keadaan bentuk manusia- dicipta sebagai sebaik-baik kejadian.
    Ayat 4- {Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).}

ii-dalam surah ini ialah tentang bahan kejadian manusia. Allah beritahu:
{Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;}.
Allah juga nyatakan tentang keadaan di akhirat dengan lebih detail daripada surah at-Tin!

Semua surah dengan surah ada kaitan ini menunjukkan bahawa al-Quran itu dari sumber & dalil yang sama iaitu dari Allah Azza wa Jalla.

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {BACALAH (WAHAI MUHAMMAD) DENGAN NAMA TUHANMU YANG MENCIPTAKAN (SEKALIAN MAKHLUK),} (AL-\’ALAQ 96:1)

  1. Dimulai surah ini dengan ayat yang menyebut nama Tuhanmu { ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ}. Tuhan yang mencipta makhluk itu menunjukkan tauhid Rububiyyah.
  2. Hadis bab permulaan turunnya wahyu:
    i- Dari UM Aisyah r.a beliau meriwayatkan:
    Awal keadaan mendahului kedatangan wahyu kepada Rasulullah adalah mimpi-mimpi yang benar. Setiap mimpi Baginda selalu terbukti (kebenarannya) secara nyata, seterang cahaya di pagi hari. Demikianlah keadaannya, sampai kemudian Malaikat Jibril datang dengan membawa tiga ayat dari awal Surah al-\’Alaq.\”

Maksudnya: \”Wahyu yang pertama yang turun kepada Rasulullah S.A.W adalah mimpi yang benar yang diperlihatkan di dalam tidur. Baginda melihat seperti adanya Cahaya waktu subuh. Baginda pernah datang ke gua Hira\’ lalu Baginda bersendiri iaitu untuk beribadah beberapa malam.
Baginda juga mempersiapkan bekalan untuk perkara tersebut.
Kemudian Baginda S.A.W pulang menemui Khadijah dan mempersiapkan bekal untuk Baginda sehinggalah datang kepada Baginda perkara yang tidak disangka-sangka oleh Baginda di Gua Hira\’.
Malaikat datang kepada Baginda lalu berkata : Bacalah.
Maka Nabi S.A.W berkata kepada malaikat:
Aku tidak boleh membaca.
Lantas dia memegang dan memeluk aku sehingga aku merasa sesak.
Lalu dia melepaskan.

Nabi S.A.W berkata: Aku tidak boleh membaca. Lantas dia memegang dan memeluk aku erat kali yang kedua sehingga aku merasa sesak. Lalu dia berkata: Bacalah.
Nabi S.A.W berkata: Aku tidak boleh membaca. Lalu dia memegang dan memeluk aku erat buat kali yang ketiga kemudian dia melepaskan aku.
Maka Nabi S.A.W membaca اقرأ باسم ربك الذي خلق sehinggalah sampai kepada ayat علم الإنسان ما لم يعلم.

Lantas selepas daripada itu, Baginda pulang dalam keadaan resah yang teramat sehingga Baginda masuk menemui Khadijah.
Lalu Baginda berkata kepada Khadijah: Selimutkan aku, selimutkan aku sehingga hilang keresahan Baginda.\” [HR Bukhari & Muslim].
Hadis ini panjang lagi kisahnya.

  1. Gua ini terletak di atas Jabal Nur di pinggir bandar Makkah, tidaklah tinggi sangat, dalam 40 min untuk naiknya.

AYAT 2- {IA MENCIPTAKAN MANUSIA DARI SEBUKU DARAH BEKU;} (AL-\’ALAQ 96:2)

  1. Allah ciptakan manusia daripada sebuku darah beku {عَلَقٍ}.
  2. Munasabah dengan ayat pertama:
    i- penciptaan manusia adalah nikmat awal Allah kepada kita & menjadi dalil akan kewujudan Allah s.w.t serta sempurnanya ilmu & hikmah-Nya.

ii- maka Allah sebut di sini kuasa Allah untuk mencipta manusia & mengajarnya.

  1. Firman Allah s.w.t juga:
    {Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)?} (Al-Qiaamah 75:38)

AYAT 3- {BACALAH, DAN TUHANMU YANG MAHA PEMURAH,} (AL-\’ALAQ 96:3)

  1. Kemudian bacalah lagi wahai Muhammad s.a.w akan al-Quran ini.
  2. Sesungguhnya Tuhanmu itu sangat Pemurah & banyak kasih-sayang-Nya terhadap hamba-hamba-Nya.

AYAT 4- {YANG MENGAJAR MANUSIA MELALUI PENA DAN TULISAN,} (AL-\’ALAQ 96:4)

  1. Tuhan yang mengajar manusia untuk menulis dengan pena. Ini adalah satu manfaat yang besar bagi manusia.
  2. Firman Allah s.w.t juga:
    {Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis,} (Al-Qalam 68:1)
  3. Apakah yang Allah nak ajar manusia ini?

AYAT 5- {IA MENGAJARKAN MANUSIA APA YANG TIDAK DIKETAHUINYA.} (AL-\’ALAQ 96:5)

  1. Allah mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya!
  2. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Allah nyatakan bahawa belajar menulis itu banyak manfaatnya. dengan tulisanlah berjalannya kehidupan ini juga untuk manfaat akhirat. Perbuatan menulis ini salah satu tanda yang cukup teliti menunjukkan kekuasaan Allah, betapa halusnya tanda kepada ilmu & makrifat Allah s.w.t.

ii- maka Allah nyatakan apa yang nak diajarnya kepada manusia. Iaitu ilmu dan segala maklumat yang mereka tidak tahu sebelum ini, yang dapat memberi faedah yang banyak kepada mereka!

  1. Firman Allah s.w.t juga:
    {Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.} (Al-Nahl 16:78)

Inilah alat ilmu pendidikan yang utama iaitu: pendengaran, penglihatan & pemikiran.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),}- Allah memulakan surah ini dengan memuji ilmu & mencela harta di akhirnya.

Yakni kamu carilah ilmu untuk kehidupan kamu dan carilah harta untuk melengkapkan hidup. Tetapi wajib ada ilmu, jika ada harta saja tanpa ilmu maka akan rosak binasalah!

Ilmu adalah satu sifat yang paling mulia yang Allah anugerahkan kepada manusia.

Ayat seterusnya adalah perintah supaya membaca, mencari ilmu serta menulis.

KATA ULAMA\’ : Makin banyak ilmu hidup makin senang;
tetapi makin banyak harta makin susah hidup!

Ini kerana ilmu akan menjaga kita- mengajar kita apa yang halal apa yang haram & apa yang benar apa yang salah; tetapi harta kita yang kena jaganya!

  1. Ayat 4- {Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan,}- Allah s.w.t mengajar kita untuk menulis dengan pena.

Ayat ini adalah satu isyarat akan kepentingan ilmu penulisan.
Lalu Rasulullah s.a.w walaupun Baginda sendiri tidak menulis & membaca, Baginda s.a.w telah melantik beberapa orang sahabat sebagai penulis wahyu. Mereka menulisnya di atas pelbagai bahan yang ada pada masa itu- atas belulang haiwan, kulit kayu dan seumpamanya.

Setiap kali turun ayat baru, Rasulullah s.a.w akan memberitahu mereka di mana untuk diletakkan ayat itu, iaitu susunannya juga adalah wahyu dari Allah!

Pada peringkat awal Rasulullah s.a.w tidak benarkan menulis hadis kerana takut bercampur & tertukar dengan al-Quran.
Tetapi selepas itu dibenarkan kerana takut orang lupa!

Kata ulama\’: Ubat lupa adalah tulis!
Kamu baca apa yang kamu hafaz tetapi jika lupa tulislah!

Kerana itu jika ada sebarang perjanjian atau hutang- kena tulis & ada persaksian!
Zaman kita ini ada pula rakaman; yang lebih detail daripada tulisan.

Ilmu itu dianggap sebagai haiwan perburuan; tulisan adalah pengikatmnya!

Kata Imam asy-Syafei rhm.: Sesiapa yang pergi ke majlis ilmu tanpa bawa pen & kertas; samalah seperti orang yang mahu kisar gandum tetapi tidak bawa penggisarnya!

  1. Ayat 1- {Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),}- {ٱلَّذِى خَلَقَ}- dalam ayat ini Allah s.w.t tekankan bahawa DIA-LAH yang mencipta semua makhluk.

In kerana al-Quran ini akan dibaca oleh semua orang- yang Islam atau yang bukan Islam. Maka ditekankan di sini dengan isim mausul { ٱلَّذِى} Allah s.w.t YANG menciptakan.

Hikmah kenapa Allah s.w.t bawa lima ayat yang pertama ini kerana ia menjadi objektif diturunkan al-Quran. Cantiknya permulaan percakapan, seolah satu tajuk yang ringkas pendek tetapi padat dan tercapai maksud yang hendak disampaikan!

  1. Ayat 1- {Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu}- dari ayat ini ulama\’ membuat dalil bahawa kita kena baca (Basmalah) setiap kali kita mahu baca al-Quran kecuali pada surah at-Taubah.

Juga dalam segala perbuatan & bacaan kita mulakan dengan: Bismillah.

Persoalan:
Kita sudah maklum bahawa Rasulullah s.a.w itu seorang yang tidak tahu membaca & menulis (الأمي); tetapi kenapa malaikat Jibril menyuruhnya membaca { ٱقْرَأْ}???

JAWAPAN :

Tidak ada percanggahan. Ini kerana baca itu boleh jadi dua:
i- samada kita baca daripada apa yang kita sudah hafal
ii- baca dari apa yang tertulis dalam kitab.

Maka dalam kes wahyu pertama ini: Jibril suruh Nabi s.a.w baca apa yang diajarnya dari Allah s.w.t!

Rasulullah s.a.w walaupun selepas menerima wahyu, Baginda tetap tidak menulis dan membaca- sifat al-Ummiyy (النبي الأمي) tidak diangkat darinya sebagai satu mukjizat untuk menunjukkan bahawa al-Quran itu adalah wahyu dari Allah s.w.t bukan rekaan atau ciptaan Baginda s.a.w!
Tetapi ilmunya bertambah luas dan mantap.

Firman Allah s.w.t:
{Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu).} (Al-\’Ankabuut 29:48)

Ayat ini menjadi dalil bahawa ilmu itu juga boleh jadi dengan penglihatan (النظر). Betapa ramai orang buta menjadi alim ulama\’ tanpa dapat melihat apatah lagi membaca!

  1. Ayat 2- {Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;}
    Kenapa pula dikatakan kita dari darah- Sedangkan dinyatakan dalam ayat lain bahawa manusia dicipta dari tanah?

JAWAPAN :

Itu adalah buat kali pertama kejadian manusia iaitu Nabi Adam a.s. Allah nyatakan Adam dijadikan daripada tanah (طين) kerana dia manusia yang pertama & terawal.

Kemudian manusia selepas itu datang dari air mani kemudian seketul darah kecuali Hawa. Ini menunjukkan kejadian manusia yang seterusnya bukan lagi dari tanah sebagaimana kejadian nabi Adam a.as

PENUTUP :

Ayat 5- {Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.}- Allah s.w.t berjanji kepada kita untuk mengajar kepada kita apa yang kita tidak tahu!

Ayat ini menjadi penenang kepada kita bahawa manusia ini walaupun asalnya dia tidak tahu atau jahil; dia akan tahu jika dia belajar!

Manusia akan menerima ilmu dari beberapa sudut. Untuk mendapatkan ilmu adalah melalui 3 cara:
i- ambil melalui penulisan- samada kita muraja\’ah, mutala\’ah atau kita baca buku hasil tulisan dari guru-guru.

ii- ilmu syafahi- secara talaqi iaitu kita dengar dari mulut guru kita sendiri semasa dia masih hidup.

sekarang guru payah mati kerana ada rakaman!

Jika baik alhamdulillah akan tersebar kebaikan & pahala yang berterusan.
Yang takutnya rakaman tidak baik yang terus tersebar walaupun tuannya sudah mati!

iii- ilmu juga datang melalui isntinbat- iaitu pengalaman kita tengok kita kaji kemudian kita prosesnya keluar satu keputusan untuk menjadi satu ilmu & maklumat.

Ayat ini mengajar kepada kita bahawa jika tak pandai; tak semestinya tak akan pandai selama-lamanya!

Kita baca atau dengar dan tulis untuk dapat ilmu! Allah berjanji untuk mengajar manusia apa yang dia tak tahu dengan belajar.

Alhamdulillah banyak sudah rakaman kuliah AAM yang sudah tersebar dan dapat diperolehi dengan mudah melalui pelbagai platform media sosial hari ini!

Sila ke: https://youtube.com/@halaqahabuanasmadani.2046

Lihat: www.abuanasmadani.com

Semoga bermanfaat.

Powered by BetterDocs