View Categories

SURAH AL-\’ALAQ : AYAT 6-19

\"\"

Punca Manusia Jadi Taghut, Celaan Ke Atas Abu Jahal & Teruslah Beribadat.

Full video : https://youtu.be/wuZPamztviQ?si=ILpZx3Bpjlr62A4S

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t terangkan punca manusia jadi karut & taghut.
  2. Punca utama pastilah tidak beriman kepada Allah, kemudian ditambah pula terlalu cintakan dunia, berasa tidak perlu kepada pertolongan Allah s.w.t kerana mempunyai banyak harta & kedudukan pangkat yang tinggi atas dunia ini!
  3. Juga celaan ke atas Abu Jahal yang menghalang Rasulullah s.a.w daripada menjalankan tugasnya berdakwah & beribadat kepada Allah Azza wa Jalla. Lalu Allah janjikan kebinasaan baginya & mereka yang seumpamanya.
  4. Kemudian Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w agar teruslah beribadat, jangan ikut kehendak puak kafir & jangan takut akan ugutan & ancaman mereka kerana Allah telah berjanji akan melindungi Baginda s.a.w!
  5. Munasabah ayat:
    i- Allah s.w.t telah menyebut di awal surah ini beberapa dalil yang zahir tentang tauhid, taufiq, hikmah; yang mana orang yang berakal pasti akan berfikir dengan 5 ayat yang pertama itu.

Manakala yang tidak berakal hanya mendengar seolah lembu kenyang tanpa mendapat apa-apa faedah.

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan sebab-sebab manusia menjadi lagha, tidak betul perjalanan, buta mata buta hati daripada melihat kebenaran.

  1. Yakni sebab manusia menjadi sombong & takabbur ini ialah kerana:
    i- cintakan dunia
    ii- sibuk dengan pangkat harta
    iii- sibuk menjaga asset yang dimiliki & kedudukan.

AYAT 6- {INGATLAH! SESUNGGUHNYA JENIS MANUSIA TETAP MELAMPAUI BATAS (YANG SEPATUTNYA ATAU YANG SEWAJIBNYA),} (AL-\’ALAQ 96:6)

  1. Sesungguhnya manusia ini melampaui batas. Begitulah tabiatnya kebanyakan manusia apabila dia senang lenang banyak harta akan jadi sombong, bongkak, takabbur bila ada harta.
  2. Perkataan taghut { طاغوت} ini boleh membawa banyak makna iaitu orang yang melampaui batas dalam hukum Allah, menyembah selain Allah, atau yang mengaku Tuhan sendiri serta pelbagai lagi perbuatan yang tidak sepatutnya bagi seorang hamba.
  3. Sebab nuzul ayat:
    Daripada Abu Hurairah yang menyatakan bahawa Abu Jahal berkata, \”Adakah Muhammad berani membenamkan wajahnya (bersujud waktu solat) di tengah-tengah kamu?\” Ada yang menjawab, \”Ya.\”

Maka Abu Jahal berkata, \”Demi Latta dan Uzza, jika aku melihatnya melakukan solat, aku akan pijak batang lehernya. Lalu aku benamkan wajahnya ke dalam tanah.\”

Selepas itu, dia mendatangi Rasulullah s.a.w. yang sedang solat. Dia hampir memijak leher baginda tetapi dia segera berundur sehingga membuatkan orang Quraisy terkejut kerana dia mundur ke belakang dan berlindung dengan tangannya sendiri (petanda takut).

Orang Quraisy bertanya hairan, \”Apa yang terjadi padamu, Abu Hakam?\”

Dia menjawab, \”Tiba-tiba saja antara diriku dan dirinya ada sebuah parit besar dengan api yang menyala-nyala. Di atas parit itu ada makhluk-makhluk bersayap yang berbaris rapi.\”

Rasulullah s.a.w. mengulas peristiwa tersebut dengan bersabda:

لَوْ دَنَا مِنِّي لَاخْتَطَفَتْهُ الْمَلَائِكَةُ عُضْوًا عُضْوًا

\”Sekiranya dia mendekatiku juga, pastilah para malaikat menyambar (tarik & cabut) tubuhnya sepotong demi sepotong.\” [HR Muslim]

Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat ini- 6- 13, 14-19 Surah Al-\’Alaq semua untuk Abu Jahal!

AYAT 7- {DENGAN SEBAB IA MELIHAT DIRINYA SUDAH CUKUP APA YANG DIHAJATINYA.} (AL-\’ALAQ 96:7)

  1. Adapun punca utama manusia menjadi taghut ialah kerana berasa dirinya sudah cukup segala apa yang dihajati dari segi kekayaan, kemewahan, pangkat, harta dan kedudukan.
  2. Dia juga rasa dia tidak perlu lagi kepada orang lain- bahkan kepada bantuan Tuhan!
  3. Kata ulama\’ punca manusia menjadi melampaui batas & takabbur itu:
    i- apabila dia memiliki banyak harta & kekayaan.

ii- dia rasa sudah banyak yang dinikmatinya, tetapi lupa kepada Allah yang mengurniakan nikmat kepadanya, lalu tidak ikut perintah & langar arahan-Nya.

iii- dia rasa sudah tidak perlu kepada orang lain!

AYAT 8- {(INGATLAH) SESUNGGUHNYA KEPADA TUHANMU LAH TEMPAT KEMBALI (UNTUK MENERIMA BALASAN).} (AL-\’ALAQ 96:8)

  1. Dia juga tidak percaya kepada kebangkitan semula; kerana itu dia tidak takut & berasa besar. Kerana tidak ada kepercayaan tentang ini!
  2. Sedangkan Allah sudah nyatakan bahawa kepada-Nyalah tempat rujukan & tempat kembali manusia ini!
    Lalu Allah akan membalas segala perbuatannya semasa atas dunia ini; yang baik atau yang buruk!
  3. Kata Syeikh al-Alusi rhm:
    i- Percakapan ini kepada semua manusia bahawa kamu semua akan kembali kepada Allah.

ii- ada yang kata ditujukan kepada Rasulullah s.a.w- kamu semua akan kembali kepada Allah, maka pedulikan kejahatan Abu Jahal & gengnya, teruskan beribadat kepada Allah s.w.t!

AYAT 9- {ADAKAH ENGKAU NAMPAK (BAIKNYA) ORANG YANG MELARANG (DAN MENGHALANG)} (AL-\’ALAQ 96:9)

  1. Apakah kamu ingat baik perbuatan seorang yang menghalang seorang hamba Allah?

AYAT 10- {SEORANG HAMBA ALLAH APABILA IA MENGERJAKAN SEMBAHYANG?} (AL-\’ALAQ 96:10)

  1. Iaitu Abu Jahal yang taghut yang cuba menghalang seorang hamba Allah iaitu Rasulullah s.a.w daripada solat dekat Ka\’bah pada waktu itu!

AYAT 11- {ADAKAH ENGKAU NAMPAK (BURUKNYA) JIKA IA BERADA DI ATAS JALAN YANG BETUL?} (AL-\’ALAQ 96:11)

  1. Ayat ini jerkahan kepada Abu Jahal yang jahat! YANG cuba menghalang Rasulullah s.a.w daripada bersolat.
  2. Apakah kamu nampak buruk perbuatan Nabi Muhammad yang berada di atas kebenaran itu?

AYAT 12- {ATAU IA MENYURUH ORANG BERTAQWA (JANGAN MELAKUKAN SYIRIK)?} (AL-\’ALAQ 96:12)

  1. Rasulullah s.a.w yang berdakwah kepada manusia dan menyuruhnya bertaqwa kepada Allah semata-mata.

AYAT 13- {ADAKAH ENGKAU NAMPAK (TERLEPASNYA DARI AZAB) JIKA IA MENDUSTAKAN (APA YANG DISAMPAIKAN OLEH NABI MUHAMMAD KEPADANYA) SERTA IA BERPALING INGKAR?} (AL-\’ALAQ 96:13)

  1. Apakah kamu sangka kamu akan terlepas dari azab jika mendustakan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w serta lari dari kebenaran & mengingkarinya!

AYAT 14- {TIDAKKAH IA MENGETAHUI BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH MELIHAT (SEGALA AMAL PERBUATANNYA DAN MEMBALASNYA)?} (AL-\’ALAQ 96:14)

  1. Tahukah kamu bahawa Allah s.w.t mengetahui segala perbuatan kamu itu & Tuhan akan membalas segalanya!

AYAT 15- {JANGAN SEKALI-KALI BERLAKU DERHAKA! DEMI SESUNGGUHNYA JIKA IA TIDAK BERHENTI (DARI PERBUATANNYA YANG BURUK ITU), NESCAYA KAMI AKAN MENYENTAP UBUN-UBUNNYA (DAN MENYERETNYA KE DALAM NERAKA),} (AL-\’ALAQ 96:15)

  1. Janganlah sekali-kali kamu berlaku derhaka & berhentilah daripada mengganggu dan menghalang Rasulullah s.a.w daripada berdakwah & beribadat!
  2. Jika kamu tidak berhenti dari kejahatan yang dia buat itu Allah s.w.t akan menyentap ubun-ubunnya dan menyeretnya ke dalam neraka.
  3. Yakni kebenaran itu bukan seperti yang disangka oleh Abu Jahal & kumpulannya.

AYAT 16- {UBUN-UBUN (ORANG) YANG BERDUSTA, YANG BERSALAH.} (AL-\’ALAQ 96:16)

  1. Ubun-ubun kepala orang yang berdusta lagi salah anggapannya!
    Yakni Allah s.w.t akan ambil tindakan atas kejahatan yang dibuatnya!

AYAT 17- {KEMUDIAN BIARLAH IA MEMANGGIL KUMPULANNYA (UNTUK MENYELAMATKANNYA),} (AL-\’ALAQ 96:17)

  1. Kemudian panggillah geng kumpulan yang menyokong kamu dulu itu untuk menolong kamu!
    Tetapi kerana Abu Jahal tidak jadi memanggil gengnya dia selamat pada hari itu!
  2. Hadis- Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a: Abu Jahal melarang Nabi mengerjakan solat sejak pertama kali dia melihat baginda solat di Masjidil Haram.

Suatu hari dia mendapati Nabi sedang solat di Maqam Ibrahim. Dia serta-merta mengherdik kasar, \”Wahai Muhammad! Bukankah aku telah melarangmu melakukan perkara ini?\” Lantas dia mengancam Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. tidak duduk diam. Baginda membentak dan menegurnya. Namun begitu, dia menentang, \”Hai Muhammad! Dengan alasan apa kamu berani mengancamku? Demi Allah, aku mempunyai lebih banyak pengikut di lembah ini!\”

Sebab itulah Allah berfirman dengan turunnya ayat ini: Kemudian biarlah ia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya). Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)! (Al-Alaq: 17-18). [HR Muslim].

AYAT 18- {KAMI PULA AKAN MEMANGGIL MALAIKAT ZABANIYAH (UNTUK MENYEKSANYA)!} (AL-\’ALAQ 96:18)

  1. Jika dia meneruskan perbuatan jahatnya ke atas Rasulullah s.a.w, atau memangil gengnya untuk menolongnya mengkhianati Rasulullah s.a.w- Allah s.w.t akan hantar malaikat Zabaniyah untuk menyiksa & memusnahkan mereka!
  2. Kata ulama\’: Malaikat Zabaniyah ini ialah malaikat azab yang bengis ganas & kasar!
  3. Abu Jahal ini sangat jahat sehinggakan dia digelar sebagai Firaun bagi umat ini!

Sekarang dia telah menjadi sejarah yang buruk, binasa semasa peperangan Badar pada Tahun Ke-2 Hijrah!

AYAT 19- {INGATLAH! JANGANLAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) MENURUT KEHENDAKNYA, DAN (SEBALIKNYA) SUJUDLAH DAN DAMPINGKANLAH DIRIMU KEPADA ALLAH (DENGAN TAAT DAN BERAMAL SOLEH)!} (AL-\’ALAQ 96:19)

  1. Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w supaya jangan peduli & takut akan ancaman & ugutan puak kafir itu!
  2. Teruslah bersujud & beribadat kepada Allah s.w.t- dampingkan diri kepada Allah dengan taat & beramal solat!
  3. Hadis- Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
    \”Sedekat-dekat hamba kepada Tuhannya, ialah di kala hamba itu sedang sujud (di hadapan Allah), oleh itu perbanyakkanlah doa dalam sujud\”. [HR Muslim].

Ini kerana kita telah meletakkan muka kita ditempat yang hina, tempat yang kita pijak- semata-mata kerana Allah s.w.t!
Maka ia juga menjadi tempat paling qabul doa juga.

  1. Kata Syeikh as-Sa\’di rhm.: Ayat ini bukan khas untuk Abu Jahal sahaja; tetapi umum terpakai untuk semua orang yang menyekat & melarang orang lain daripada berbuat baik & beribadat kepada Allah s.w.t!
    Mereka akan mendapat kemurkaan & azab siksa dari Allah s.w.t!
  2. Kata ulama\’ lagi: Maksudnya sujud dalam hadis ini ialah solat!

Tetapi Rasulullah s.a.w sebut khas sujud sedangkan solat itu semuanya doa; ini kerana sujud itu adalah yang paling istimewa, kita menghinakan diri khas untuk Allah s.w.t sebagai hamba-Nya.

  1. Dalam sujud kita dibenarkan baca doa tetapi jika dalam solat mesti baca dalam bahasa Arab. Tetapi tak boleh baca ayat Quran ketika sujud.
  2. Ambillah peluang perbanyakkan solat, selepas solat fardhu jangan lupa solat sunat selepasnya.
    Rebutlah projek mega mampu milik seperti mana yang AAM sentiasa sarankan.
    \”Projek Mega Mampu Milik\”.
  3. Jika berada di Masjid Haram atau Masjid Nabawi (bahkan jika di masjid daerah kita pun), jika tiada keperluan jangan bersegera keluar masjid- lakukanlah solat sunat & solat jenazah jika ada, rugilah jika tidak mengambil peluang ini dan terlepas ganjaran pahala yang begitu besar, yang Allah janjikan!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 6- {Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya),}- ayat ini menjadi amaran dari Allah s.w.t kepada mereka yang melampaui batas & mencela harta kekayaan yang mereka miliki!

Beza ilmu & harta: Ilmu jaga tuannya tetapi harta; tuannya kena jaga!

Harta menjadi punca kerosakan manusia kerana harta yang banyak dapat melalaikan manusia dari mengingati Allah S.W.T juga menjadikannya takabbur sombong.

Ingatlah jangan kerana harta kita rempuh dan kondem hukum & perintah Allah s.w.t seperti bab pusaka (faraidh).
Seperti dengan mengatakannya tidak adil atau membawa kerugian!

  1. Ayat 6- {Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya),}
    Dalam ayat-ayat al-Quran juga Allah s.w.t bawa beberapa jenis sifat manusia;

i- sifat taghut { لَيَطْغَى} melampaui batas- ayat ini.
ii- manusia ini susah { لَكَنُودٞ} [Al-Adiyat: 8].
ii- dalam kerugian {لَفِى خُسْرٍ}- [Al-Asr: 2].
iv- keluh-kesah { هَلُوۡعًا}. [Ma\’rij: 19]
v- zalim lagi jahil {ظَلُومًۭا جَهُولًۭا}- [Al-Ahzab: 72].

Kata ulama\’ tadabbur banyak lagi sifat-sifat buruk lain yang disebut dalam al-Quran.
Inilah sifat yang ada pada manusia, jadi bagaimana nak keluar dari sifat buruk ini?

Kita hanya mampu keluar dari sifat buruk ini dengan limpah kurnia anugerah nikmat dari Allah, dengan taufik hidayah dari Allah, bukan kerana diri kita sendiri semata-mata.

Jadi macamana nak buat? Kita kena belajar, kita tadabbur ayat, belajar ilmu-ilmu membersihkan jiwa daripada sifat bakhil, zalim tidak sabar dan seumpamanya.

Manusia akan tenang & berakhlak mulia dengan memperbanyakkan mencari ilmu dunia dan ilmu akhirat khasnya.
Ilmulah yang akan membimbing kita ke jalan yang benar, iaitu jalan yang diredhai Allah.

  1. Ayat 7- {Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.}- bila ada asset banyak sikit terus rasa tidak perlu kepada rahmat Allah!

Inilah tabiat yang ada pada diri manusia, bila rasa kaya dan cukup keperluannya, terus tidak peduli dengan pemberi nikmat yakni Allah S.W.T.

Inilah yang ditakuti: Apabila kita rasa cukup dengan apa yang ada, maka butalah hati kita untuk bergantung dengan Allah s.w.t!

Maka akan jadi taghut, manusia yang melampaui batas seperti Qarun, Firaun dan lain-lain yang takabbur & sombong sepertinya!

Maka jangan lupa kepada Allah Pemberi nikmat, bersyukurlah, taat dan patuhlah kepada Allah. Cari yang halal jangan ambil yang haram supaya tidak menyesal di kemudian hari (Akhirat) yang tak berguna lagi!.

Hadis: sabda Rasulullah s.a.w:
Sekiranya anak Adam ini jika diberikan kepadanya satu lembah yang penuh dengan emas, dia pasti akan ingin memiliki lembah kedua, ketiga dan seterusnya. Hanya tanah sahaja (iaitu kematian) yang dapat menamatkan ketamakan dan kerakusan tersebut. [HR Bukhari & Muslim].

Maka jangan lagha dengan kemewahan dunia yang sementara, carilah akhirat yang abadi. Jangan ada sifat tamak yang tak akan habis itu!

  1. Ayat 15- {Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka),}- dalam ayat ini Allah s.w.t cabar Abu Jahal pada masa itu dan mereka yang sepertinya pada zaman ini!

Jika kamu masih lagi berusaha bekerja mahu menghalang manusia daripada beriman dengan Allah, berpegang dengan Sunnah Rasulullah s.a.w maka Allah S.W.T akan binasakan kamu; iaitu golongan yang sekat orang lain dari buat kebaikan.

Kata ulama\’ tadabbur: Ayat ini menjadi nasihat peringatan kepada manusia agar jangan sekali-kali menghalang menyekat manusia daripada melakukan ketaatan kepada Allah Azza wa Jalla.

Seperti orang yang ada kuasa, undang-undang atau enakmen hari ini; jika kita tahu orang itu tidak salah- jangan terus sekat dan halang mereka dari berdakwah!
Jika ada salah- silap nyatakan & jelaskan kepada masayarakat supaya tidak ada kekeliruan & penzaliman ke atas orang yang nak berdakwah!

  1. Ayat 19- {Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!}-

Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w & kita semua agar jangan ikut karenah orang zalim lagi jahat yang tidak suka kita beramal.

Jangan peduli pada Abu Jahal dan gengnya teruslah beramal solehlah.

Jangan ikut bila dilarang buat kebaikan tetapi banyakkanlah bersujud dan berdoa. Sebagaimana hadis tadi tentang kelebihan sujud.

Semoga Allah S.W.T sentiasa pelihara kita. Sujudlah kepada Allah, banyakkan berdoa dan ikutlah sunnah Nabi s.a.w.

Dekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan amalan-amalan wajib & sunat, jangan peduli orang kacau jika kita yakin apa yang kita belajar itu benar dan sahih ikut ajaran Rasulullah s.a.w.

Powered by BetterDocs