MUQADDIMAH INTISARI SURAH, MUNASABAH & ALLAH BERSUMPAH DENGAN BALAD AL-HARAM, MANUSIA SENTIASA SUSAH & NIKMAT MATA DAN MULUT.
Full video : https://youtu.be/zHOZG1rGaNs?si=cEjf53p8hyhenLgC
MUQADDIMAH SURAH :
- Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Ahad 22 Zulqa\’dah 1444H bersamaan 11hb Jun 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Balad – سورة البلد.
- Surah Al-Balad – سورة البلد adalah surah ke-90 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang ketiga-belas dalam juz ke 30, iaitu selepas surah Al- Al-Fajr – سورة الفجر.
Mengandungi 20 ayat yang pendek. - Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
NAMA SURAH :
- Dinamakan surah ini sebagai:
i- Surah Al-Balad – سورة البلد yang bermakna {Negeri- iaitu negeri Makkah} kerana pada awal surah Allah s.w.t bersumpah dengan Makkah untuk menyatakan perihal keadaan manusia.
Boleh lihat nama-nama lain Makkah dalam buku \”Makkah Al-Mukarramah: Kelebihan & Sejarah.\”
- Surah ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti:
i- ada juga ulama\’ namakannya sebagai surah {لَآ أُقْسِمُ }
ii- ada juga dinamakan sebagai {لَآ أُقْسِمُ بِهَـٰذَا ٱلْبَلَدِ}.
iv- ada juga ulama\’ menamakannya surah al\’Aqabah {العقبة}.
Tetapi namanya yang paling masyhur ialah al-Balad- سورة البلد.
INTISARI KANDUNGANNYA :
- Menerangkan tentang perihal manusia yang dijadikan Allah s.w.t sentiasa di dalam kabad { فِى كَبَدٍ} iaitu kesusahan, iaitu kesulitan, masyaqqah & kepayahan. Samada dalam kesukaran jasmani & rohani.
- Maka manusia sedemikian tidak patut terpedaya dengan kekuatan yang disangka ada padanya & bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kuat-kuasanya & menyiksanya.
- Kenapa manusia terperdaya & bermegah-megah dengan kekuatan & pengaruhnya?
Bukankan Allah telah menjadikan baginya dua mata untuk memerhati kekuasaan & kekayaan Allah s.w.t yang memiliki segala-galanya. - Allah juga menjadikan baginya mata, lidah dan dua bibir untuk memenuhi sebahagian besar daripada hajat-hajatnya!
- Selain itu Allah telah menunjukkan kepadanya dua jalan iaitu:
i- jalan kebaikan untuk dijalaninya
ii- jalan kejahatan untuk dijauhinya! - Meskipun demikian tetapi manusia tidak memilih jalan kebaikan dengan merempuh masuk mengerjakan amalan yang tinggi darjatnya di sisi Allah seperti: memerdekakan hamba sahaya, memberi makan anak yatim atau orang miskin yang terlantar!
- Selain tidak menjadi golongan itu, mereka juga tidak menjadi golongan beriman yang berpesan-pesan dengan kesabaran & dengan kasih-sayanng.
Hanya dengan iman sahajalah dia akan mendapat pahala bagi segala amalan kebajikan yang tersebut!
MAQASID/OBJEKTIF SURAH :
- Antara objektifnya yang terpenting ialah untuk menyebut tabiat dunia ini dan apa yang akan dihadapi manusia daripada kesusahan yang banyak & apa yang boleh menyampaikan mereka kepada kebahagiaan!
ISU PENTING DALAM SURAH :
- Allah s.w.t sebut tentang kedudukan bandar Makkah.
- Allah s.w.t uji hamba-Nya atas dunia ini dengan keletihan, kepenatan, kesusahan dan kesulitan.
Tiada yang senang atas dunia ini kecuali kita ambil peluang yang ada ini untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, mengisinnya dengan taqwa maka dunia ini akan menjadi lubuk pahala & ladang kebajikan peluang untuk kita menaikakan taraf & darjat di sisi Allah s.w.t!
Maka jangan lepaskan peluang ini lalu kerugian & menyesal di akhirat kelak!
- Allah s.w.t cela sesiapa yang terpedaya dengan kekuatannya sendiri & berbangga dengan kedudukan & ramainya anak-pinak.
- Allah s.w.t mengungkit beberapa nikmat-Nya ke atas manusia.
- Allah s.w.t galakkan supaya kita untuk didik jiwa untuk sentiasa melakukan kebaikan & bersihkan jiwa & hati daripada segala sifat buruk- mazmumah!
- Allah nyatakan eloknya akhir kesudahan orang beriman & buruknya padah pengakhiran bagi orang yang kafir & ikngar!
MUNASABAH SURAH AL-BALAD- سورة البلد DENGAN SURAH AL-FAJR- سورة الفجر SEBELUMNYA :
Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Fajr- سورة الفجر:
- Dalam surah al-Fajr Allah s.w.t telah cela golongan yang menyintai harta secara melampau, mereka juga makan harta pusaka, makan harta yatim & tidak beri makan orang miskin!
ii- dalam surah al-Balad ini sebaliknya Allah seru kepada pemilik harta agar jangan bakhil dan merdekakan hamba dari tawanan tuannya & berilah makan kepada orang miskin.
Yakni Allah s.w.t buka pintu ruang untuk buat kebaikan.
- Allah s.w.t tamatkan surah al-Fajr dengan menyeru jiwa yang baik {يَـٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ}, nak mati pun baik serta di akhirat baik!
ii- maka Allah sebut di sini jalan- jalan untuk mendapat ketenangan & amaran tentang jalan yang salah iaitu jalan kufur kepada Allah.
Maka jangan salah pilih jalan jika nak selamat pilih jalan yang diajar oleh Nabi s.a.w!
Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
Ayat 1- {Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini;} (Al-Balad 90:1)
- Allah mulakan surah ini dengan bersumpah dengan negeri ini {ٱلْبَلَدِ} yang besar kedudukannya iaitu Tanah Haram Makkah yang mulia.
- Makkah mempunyai beberapa nama yang menunjukkan kemuliaanya- boleh baca dengan lanjut dalam buku Makkah serta kembarnya Madinah:
https://dartaibah.com/?page_id=179…
AYAT 2- {SEDANG ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) TINGGAL DI NEGERI INI (SENTIASA DITINDAS),} (AL-BALAD 90:2)
- Sedangkan engkau Muhammad s.a.w tinggal dalam negeri ini dalam keadaan tertindas sekarang!
- Tetapi selepas itu Rasulullah s.a.w akan kembali dan dihalalkan {حِلٌّۢ} kepada Baginda untuk berperang seketika di Makkah untuk mengambilnya daripada orang kafir dan membersihkannya!
Diberi keizinan beberapa saat sahaja untuk merampasnya, kemudian selepas menang, haram semula untuk berperang padanya!
- Ayat ini menjadi isyarat kepada Pembukaan Kota Makkah pada masa akan datang!
Iaitu pada bulan Ramadhan pada tahun ke-8 Hijrah!
- Makkah mempunyai immunity keistimewaannya tersendiri- sesiapa yang masuk ke Makkah dengan niat berbuat jahat akan dilaknat & ditimpa azab yang pedih.
- Hadis riwayat Ibnu Abbas r.a – Nabi s.a.w disizinkan untuk berperang sekejap pada hari Pembukaan kota Makkah:
فَإِنَّ هَذَا بَلَدٌ حَرَّمَ اللَّهُ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ .
وَهُوَ حَرَامٌ بِحُرْمَةِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ.
وَإِنَّهُ لَمْ يَحِلَّ الْقِتَالُ فِيهِ لِأَحَدٍ قَبْلِي وَلَمْ يَحِلَّ لِي إِلَّا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ فَهُوَ حَرَامٌ بِحُرْمَةِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
\”Sesungguhnya negeri ini telah Allah Ikrarkan kesucikannya sejak hari penciptaan langit dan bumi. Maka dia akan terus suci dengan pensucian dari Allah itu hingga hari kiamat sehingga tidak dibolehkan perang didalamnya buat seorangpun sebelum aku dan tidak dihalalkan pula buatku kecuali sesaat dalam suatu hari.\” [HR Bukhari].
AYAT 3- {DEMI MANUSIA YANG MELAHIRKAN ZURIAT, DAN ZURIAT YANG DILAHIRKANNYA;} (AL-BALAD 90:3)
- Allah s.w.t kemudian bersumpah dengan bapa {وَالِدٍۢ} dan anaknya {وَلَدَ}.
Siapakah mereka ini? - Ulama\’ tafsir menafsirkan bahawa:
I- bapa {وَالِدٍۢ} itu Nabi Adam a.s.
ii- anak {وَلَدَ} itu ialah anak cucu keturunannya semuanya. - Pandangan kedua: Sunnah bapa & anaknya secara umum sesiapa saja!
- Pandangan ketiga yang dinukilkan oleh Ibnu Asyur rhm. pula ialah ia berdasarkan kepada sejarah yang besar & amat mengesankan iaitu:
i- bapa itu ialah Nabi Ibrahim a.s
ii- anak itu ialah Ismail a.s.
Firman Allah s.w.t:
{\”Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.} (Ibrahim 14:37)
5. Ada juga yang kata bapa ialah Nabi Muhammad s.a.w, dan anak ialah seluruh umatnya!
Wallahu a\’lam.
AYAT 4- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH JADIKAN MANUSIA SENTIASA DALAM KEADAAN MENGHADAPI KESULITAN DAN KESUKARAN (JASMANI DAN ROHANINYA);} (AL-BALAD 90:4)
- Allah menyatakan bahawa Dia telah mencipta manusia itu sentiasa berada dalam keadaan menghadapi kesulitan & kesusahan samada rohani & jasmani!
- Sejak lahir lagi, membesar sehingga tua lalu mati menghadapi keadaan yang penuh kesukaran & cabaran.
- Hadis: Abi Qatadah bin Rab\’ei r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. lalu berdekatan dengan satu jenazah, maka Baginda s.a.w. bersabda: \”Berehat dan direhatkan daripadanya.\”
Sahabat r.a. bertanya: \”Apakah maksud rehat dan direhatkan daripadanya?\”
Baginda menjelaskan: \”Hamba yang beriman dia berehat daripada kepenatan dunia.
Hamba yang jahat, sekelian hamba Allah, seluruh negeri, pokok-pokok dan haiwan-haiwan direhatkan daripada(gangguan)nya.\” [HR Muslim].
AYAT 5- {PATUTKAH MANUSIA YANG DEMIKIAN KEADAANNYA (TERPEDAYA DENGAN KEKUASAAN YANG ADA PADANYA DAN) MENYANGKA BAHAWA TIDAK ADA SESIAPAPUN YANG DAPAT MENGATASI KEKUASAANNYA (DAN MENYEKSAKANNYA)?} (AL-BALAD 90:5)
- Manusia jangan sombong dengan menyangka bahawa dia gagah perkasa, berkuasa ke atas orang lain, menzalimi dan salah guna kuasa ke atas rakyat & orang bawahan!
- Mereka menyangka bahawa tidak ada orang atau kuasa lain yang dapat mengatasi mereka!
AYAT 6- {MANUSIA YANG DEMIKIAN KEADAANNYA (TIDAKLAH PATUT IA BERMEGAH-MEGAH DENGAN KEKAYAANNYA DAN) BERKATA: \”AKU TELAH HABISKAN HARTA BENDA YANG BANYAK (DALAM USAHA MENEGAKKAN NAMA DAN BANGSA).} (AL-BALAD 90:6)
- Orang yang salah guna hartanya dalam perkara yang batil ialah mereka yang telah merosak-binasakan hartanya dengan sia-sia!
Sedangkan mereka berbangga dan menyangka bahawa perbuatan mereka habiskan harta benda yang banyak itu satu kemegahan!
- Kata ulama\’ salaf:
i- jika seseorang itu menggunakan hartanya pada tempat yang salah seperti beri bantuan tempat maksiat dan dosa maka itu dikira satu pembaziran & penderhakaan!!
ii- tetapi jika diguanakan hartanya untuk kebajikan maka itu adalah satu infaq yang berguna untuk dunia & akhiratnya!
AYAT 7- {ADAKAH IA MENYANGKA BAHAWA TIDAK ADA SESIAPAPUN YANG MELIHATNYA (DAN MENGETAHUI TUJUANNYA MENGHABISKAN HARTA BENDANYA ITU?} (AL-BALAD 90:7)
- Apakah mereka menyangka tiada orang yang melihat perbuatannya & mengetahui tujuan sebenarnya menghabiskan harta itu?
- Sedangkan Allah s.w.t maha Melihat & maha Mengetahui segalanya!
AYAT 8- {(MENGAPA MANUSIA TERPEDAYA DAN BERMEGAH-MEGAH?) TIDAKKAH KAMI TELAH MENJADIKAN BAGINYA: DUA MATA (UNTUK IA MEMERHATIKAN KEKUASAAN DAN KEKAYAAN KAMI?) -} (AL-BALAD 90:8)
- Jadi Allah kata Dia telah beri nikmat dua mata untuk kamu lihat & memerhatikan kekuasaan & keagungan Allah s.w.t!
- Jadi kenapa kamu masih terpedaya & mahu bermegah dengan nikmat yang Allah berikan kepada kamu!
AYAT 9- {DAN LIDAH SERTA DUA BIBIR (UNTUK IA MENYEMPURNAKAN SEBAHAGIAN BESAR DARI HAJAT-HAJATNYA)?} (AL-BALAD 90:9)
- Allah juga berikan lidah serta dua bibir untuk menyempurnakan sebahagian hajatnya; seperti bercakap & makan-minum!
AYAT 10- {DAN KAMI TELAH MENUNJUKKAN KEPADANYA DUA JALAN, (JALAN KEBAIKAN UNTUK DIJALANINYA, DAN JALAN KEJAHATAN UNTUK DIJAUHI)?} (AL-BALAD 90:10)
- Kemudian Allah s.w.t tunjukkan kepada kamu dua jalan untuk kamu pilih iaitu:
i- jalan kebaikan untuk dijalaninya,
ii- dan jalan kejahatan untuk dijauhi.
- Insya\’ Allah setakat ini kita semua telah memilih jalan yang baik, yang Allah redhai!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 1- {Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini;}- dalam ayat ini seolah Allah berfirman: {Aku tidak {لا} bersumpah dengan negeri ini.} kenapa dikatakan atau diterjemahkan yang Allah bersumpah dengannya?
Majoriti Ulama\’ bahasa Arab berpendapat bahawa {لا} di sini:
i- ialah untuk sambungan ayat bukan untuk menafikan (tidak). Iaitu Aku bersumpah…
ii- untuk menafikan perkataan orang musyrikin terhadap Rasulullah s.a.w sebelumnya! TIDAK! Kemudian aku bersumpah…
Kita sudah sebut banyak kali bahawa Allah s.w.t boleh bersumpah dengan apa saja, semua makhluk milik-Nya!
Tetapi kita manusia hanya boleh bersumpah dengan nama Allah & sifat-sifat-Nya yang mulia!
- Ayat 1- {Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini;} & Ayat 2- {Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas),}-
Dalam sumpah ini Allah sebut tempat dan penduduknya.
Allah s.w.t bersumpah dengan lengkap iaitu tentang tempat atau negeri & penduduknya.
Kemudian dengan ayah & anak iaitu penduduknya.
Semua ini samada kembali kepada Nabi Adam atau Ibrahim a.s.
Inilah tempat muqim yang asal & penduduk yang asal!
Bagi orang yang bermastautin di tempat lain, tetapi ada berniat untuk kembali tinggal di tempat asal pada suatu masa nanti, dia hanya boleh jamak & qasar dalam perjalanannya sahaja tetapi TIDAK boleh qasar dan jama\’ apabila dia balik ke kampung asalnya itu.
- Ayat 4- {Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya);}-
Semua manusia ada dunia ini akan melalui kesusahan, kaya atau miskin, rakyat atau raja! Atas dunia ini semuanya susah {كَبَدٍ}.
Ada seorang ulama\’ ditanya- bilakah manusia ini boleh berehat yang sebenarnya?
Jawapannya ada dua:
i- apabila titian sirat berada di belakang kita yakni kita telah berjaya melepasinya & selamat dari jatuh ke dalam neraka!
ii- yang betul-betul rehat & selamat ialah apabila kaki kita menjejak masuk ke dalam syurga!
Ya Allah jadikan kami dari ahli syurga-Mu!
- Ayat 6- {Manusia yang demikian keadaannya (tidaklah patut ia bermegah-megah dengan kekayaannya dan) berkata: \”Aku telah habiskan harta benda yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan bangsa).}-
Orang yang guna harta untuk perkara sia-sia dan derhaka; salah guna hartanya- infaq di tempat yang tidak baik, guna untuk melampiaskan nafsunya semata; maka orang begini dikatakan telah membinasakan hartanya {أَهْلَكْتُ}.
Ini kerana dia telah menghabiskan hartanya untuk perkara yang tidak baik & tidak memberi manfaat kepadanya maka harta itu telah binasa dengan sia-sia! Di akhirat kelak dia akan menyesal sesesalnya! Atas dunia tidak dapat apa di akhirat pula menyesal!
Kita orang beriman jika kita infaq harta fi-sabilillah- ia akan menjadi milik kita, asset kita di akhirat kelak!
- Ayat 9- {Dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)? & Ayat 10- {Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?
Dari ayat ini Allah s.w.t nyatakan manusia jika nak bahagia dia kena ada ilmu & mencarinya.
Ilmu pula datang dari mata, telinga & mulut iaitu panca-indera yang Allah kurniakan!
Maka untuk mencari ilmu & maklumat ini mata & mulut sebagai sumber utamanya.
Jika telinganya pekak, dia tengok dengan mata, jika mata buta pula boleh dengar dengan telinga!
Alhamdulillah Allah buka jalan-jalan maklumat untuk manusia berfikir & Allah buka dua lorong untuk di pilih, maka kamu pilihlah jalan yang selamat!
Allah juga sebut lidah & bibir di sini kerana ada lidah saja tanpa bibir tidak akan dapat bercakap begitu juga sebaliknya!
Kita guna pula ilmu & maklumat ini untuk membolehkan buat pilihan jalan hidup yang tepat, Insya\’ Allah!