NASAKH HUKUM DALAM QURAN, KUASA MUTLAQ ALLAH & LARANGAN MINTA YANG BERLEBIHAN.
Full video : https://youtu.be/ug5ZnM9ifUU?si=yafPhflgUdvcDDtn
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 106 sehingga ayat 108 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang pertama.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang hukum nasikh & mansukh dalam Al-Quran, yakni Allah turunkan Al-Quran ini yang berat kemudian datang hukum lain yang ringan!
Ada 3 kategori yang akan kita perjelaskan lagi.
- Allah juga menyatakan bahawa kuasa mutlaq atas muka bumi ini hanyalah kuasa Allah & Allah SWT lah Pemilik langit & bumi dan Penguasanya.
- Kemudian kisah puak Quraisy yang minta pelik-pelik dari Rasulullah SAW sebagaimana perangai kaum bani Israel minta dari Nabi Musa AS dulu.
Maka Allah nyatakan larangan minta yang berlebihan.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 106- {APA SAHAJA AYAT KETERANGAN YANG KAMI MANSUKHKAN (BATALKAN), ATAU YANG KAMI TINGGALKAN (ATAU TANGGUHKAN), KAMI DATANGKAN GANTI YANG LEBIH BAIK DARIPADANYA, ATAU YANG SEBANDING DENGANNYA. TIDAKKAH ENGKAU MENGETAHUI BAHAWASANYA ALLAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU?} (AL-BAQARAH 2:106)
- Allah menyatakan bahawa apa saja ayat yang dinasakh (dibatalkan) akan diganti dengan ayat yang lebih baik darinya atau seumpamanya!
- Maksudnya nasakh { نَنسَخْ} ialah: Membatalkan hukum yang awal dengan hukum yang baru berdasarkan hikmah dari Allah SWT! Sama ada hukum yang baru itu lebih ringan atau seumpamanya.
- Contohnya:
i- Lebih ringan { بِخَيْرٍۢ مِّنْهَآ} jika dulu hukumnya 1 orang orang muslim kena lawan 10 orang kafir, kemudian ditukar kepada hanya kena lawan 2 orang kafir saja kerana Allah tahu ada orang yang lemah.
ii- Seumpamanya { مِثْلِهَآ}: Dulu solat menghadap ke arah Baitul-Maqdis, di tukar ke arah Ka’bah di Makkah.
iii- Ada juga yang lebih berat lagi seperti puasa.
Dari puasa hari Asyura kepada sebulan Ramadhan.
- Ada 3 kategori nasakh dari segi ayat Al-Quran:
i- Ayat itu dihilangkan terus dari hati Nabi SAW & para sahabat yang pernah menghafaznya. Ayat & hukum dihapuskan keduanya.
ii- Diangkat hukum ayat itu saja, ayat ada tetapi ditukar/ganti dengan yang lebih baik.
iii- Atau ditangguh/diperlewatkan pelaksanaannya.
- Lalu Allah jawab: {Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?}-
Allah buat apa saja yang Dia nak, tiada siapa yang boleh bantah apa yang dikehendaki oleh Allah SWT, dia halalkan apa yang Dia mahu, haramkan apa yang Dia mahu, Dia mansukhkan apa yang Dia nak. Tiada siapa yang boleh bantahnya!
- Ini kerana puak yahudi apabila ditukar arah kiblat mereka membuat bising & cuba memainkan isu untuk menampakkan Rasulullah SAW ini seorang yang tidak istiqomah dan tidak tetap pendirian.
Mereka bising juga kerana sakit hati Kiblat ditukar dari Baitul-Maqdis
- Kita jangan keras kepala degil, buat pening kepala tidak mahu terima atau pertikaikan apa saja hukum & ketetapan yang Allah buat!
Semua dengan ilmu & hikmah Allah SWT! inilah kepincangan yang suka mempertikai, yang berlaku dalam masyarakat dulu, kini & selamanya!
- Maka jika kita belajar Al-Quran antara ilmu penting yang perlu kita ada ialah ilmu nasakh Mansukh ini!
Jika kita tak tahu kita akan berpegang dengan peraturan & undang-undang atau hukum yang lama.
AYAT 107- {TIDAKKAH ENGKAU MENGETAHUI BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH YANG MENGUASAI SEGALA ALAM LANGIT DAN BUMI? DAN TIADALAH BAGI KAMU SELAIN ALLAH SESIAPAPUN YANG DAPAT MELINDUNGI DAN YANG DAPAT MEMBERI PERTOLONGAN.} (AL-BAQARAH 2:107)
- Allah nyatakan sekali lagi bahawa Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi!
- Tiada bagi manusia ini tempat berlindung atau meminta pertolongan kepada sesiapa pun selain dari kepada Allah SWT!
Hanya Dia boleh beri kita kebaikan atau uji dengan kesusahan!
- Ayat ini juga sekaligus menyatakan kuasa tukar hukum ini adalah milik Allah SWT yang memiliki langit & bumi ini!
AYAT 108- {ADAKAH KAMU PULA HENDAK MEMINTA DARI RASUL KAMU SEBAGAIMANA DIMINTA DARI NABI MUSA (OLEH KAUMNYA) DAHULU? DAN SESIAPA YANG MENUKAR IMAN DENGAN MENGAMBIL KEKUFURAN, MAKA SESUNGGUHNYA IA TELAH SESAT DARI JALAN YANG LURUS.} (AL-BAQARAH 2:108)
- Allah tujukan persoalan ini kepada kaum Quraisy Makkah pada masa itu yang ingin meminta dari Rasulullah SAW sesuatu yang berlebihan dan diluar jangkauan manusia biasa.
Allah samakan perangai buruk mereka ini dengan kaum dahulu iaitu bani Israil yang meminta bermacam dengan nabi Musa AS.
- Sesungguhnya manusia yang tukar kebaikan kepada keburukan, dari iman kepada kekufuran, maka sesungguhnya dia telah sesat dari jalan yang lurus.
- Sabab nuzul ayat:
Ibnu Abbas RA meriwayatkan: Bahawa Rafi’ Bin Huraimalah dan Wahbu Bin Zaid berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Muhammad (orang yang tidak beriman seru Nabi SAW begini)! Cubalah turunkan kepada kami suatu kitab dari langit yang dapat kami baca, atau buatlah sungai yang mengalir airnya, pasti kami akan mengikuti dan mempercayai kamu.” Maka Allah SWT menurunkan ayat ini sebagai peringatan agar umat Islam tidak meniru Bani Israel dalam mengikuti ajaran Rasulullah SAW.” [HR Ibnu Hisyam dalam Sirah & Ibnu Jarir dalam Tafsir dan Ibnu Hajar rhm. mengatakannya sahih].
- Dalam ayat ini hukumnya, Allah SWT melarang manusia sama ada mukmin atau kafir untuk melakukan permintaan kepada Rasulullah SAW, permintaan jenis cabaran, bantahan & keras kepala atau permintaan & cadangan yang tidak logik, tidak munasabah seperti minta nak ada sungai mengalir di Makkah.
Sebagaimana bani Israel dahulu yang meminta pelik-pelik kepada nabi Musa AS.
Kaum bani Israel antara permintaannya kepada nabi Musa ialah nak tengok wajah Allah secara nyata!
- Ayat ini ditafsirkan dengan ayat-ayat berikut juga:
i- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar.} (Al-Maaidah 5:101)
{Sesungguhnya perkara-perkara yang serupa itu pernah ditanyakan (kepada Nabi mereka) oleh suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan, mereka tidak menerimanya).} (Al-Maaidah 5:102)
ii- {Ahli Kitab (kaum Yahudi) meminta kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menurunkan kepada mereka sebuah Kitab dari langit. (Janganlah engkau merasa pelik), kerana sesungguhnya mereka telah meminta kepada Nabi Musa lebih besar dari itu. Mereka berkata: “(Wahai Musa) perlihatkanlah Allah kepada kami dengan nyata (supaya kami dapat melihatNya dan percaya kepadaNya)”. Lalu mereka disambar oleh petir dengan sebab kezaliman mereka (menderhaka kepada Allah); kemudian mereka pula menyembah (patung) anak lembu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (mukjizat), lalu Kami maafkan mereka dari perbuatan yang sedemikian itu (ketika mereka bertaubat). Dan Kami telah memberi kepada Nabi Musa kekuasaan yang nyata (untuk mengalahkan kaum yang kafir itu).} (An-Nisaa’ 4:153)
iii- {Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, di dalam Al-Quran ini, dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); dalam pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima selain dari kekufuran.} (Al-Israa’ 17:89)
{Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami.} (Al-Israa’ 17:90)
{Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus.} (Al-Israa’ 17:91)
{Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.} (Al-Israa’ 17:92)
{Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya”. Katakanlah (wahai Muhammad):” Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?} (Al-Israa’ 17:93)
- Allah tutup ayat ini dengan menyatakan bahawa sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus!
- Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
i- Apabila bertanya atau minta itu dicela oleh Allah SWT adalah kerana setengahnya permintaan yang kufur atau boleh membawa kepada kufur.
ii- Maka Allah beri amaran sesiapa yang tukar ambil kufur tolak iman, ambil syirik tolak tauhid, atau umat Nabi Muhammad hari ini ambik bid’ah tinggal Sunnah, maka dia telah sesat dari jalan yang lurus, jalan untuk bertemu dengan Allah Azza wa Jalla!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 106- {Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya.}-
Allah sebut tentang nasikh & mansukh dalam Al-Quran iaitu undang-undang yang dibatalkan atau tidak dipakai lagi dalam Al-Quran.
Hanya undang-undang atau hukum yang dimansukhkan, adapun akhbar, kisah umat terdahulu tidak ditukar kerana maklumat Al-Quran semuanya benar.
Semua yang ditukar itu sama ada dari berat kepada ringan atau sebaliknya adalah semua di bawah kuasa Allah SWT!
Sesungguhnya hukum Syari’ah Allah SWT berbeza kesesuaiannya dari segi kebaikan dari zaman ke zaman.
Ada waktunya hukum Allah itu sesuai dengan satu kelompok itu dan ada yang tidak kepada kelompok lain.
Contoh: Puak bani Israel dulu undang-undangnya berat kerana puak dia ganas (gedebey) maka sesuai untuk mereka.
Manakala umat akhir zaman ini lebih lemah maka lebih ringan undang-undang ke atas mereka.
Maka Allah SWT yang Maha Kuasa Maha Bijaksana lalu Dia jadikan undang-undang untuk satu umat begitu, satu umat itu begitu sehinggalah datangnya Rasulullah SAW yang membawa hukum & undang-undang Syari’ah yang kekal sepanjang zaman sehingga ke hari Kiamat.
Jangan ada yang pening kepala samakan dengan undang-undang manusia yang sentiasa bertukar, ini kerana manusia itu belajar dari kesilapan atau lemah dari segi pemahaman akan keperluan mereka sendiri.
Allah SWT bawa atau tukar undang-undangnya dengan penuh hikmah & kebijaksanaan-Nya sebagai Pencipta manusia & alam ini!
Allah kata Dia akan bawa yang lebih baik atau setara dengannya mengikut kesesuaian.
Boleh baca buku ini untuk kefahaman yang lebih mendalam yang tentang tajuk ini: https://dartaibah.com/?page_id=179…
- Ayat 106- {Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi?}-
Allah tanya manusia tidakkah kamu tahu bahawa Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi?
Ayat ini untuk menyatakan bahawa Allah SWT yang menguasai langit & bumi, berkuasa atas setiap sesuatu.
Allah SWT yang boleh menukar segala benda fizikal ini maka Allah SWT juga boleh tukar benda yang maknawi dari sudut roh & jiwa.
Jika Allah boleh tukar benda-benda atas dunia ini, maka Allah boleh tukar juga undang-undang Syari’ah.
Bila Allah sebut tentang pertukaran hukum, di akhir ayat Allah SWT kata {Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi?} yakni bila Allah SWT Maha Berkuasa, menguasai seluruh alam ini. Maka pelik apa dengan pertukaran sebegitu!
- Ayat 106- {Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya.}
Melalui ayat ini Allah nak sebut atau tunjuk perkara yang boleh menenangkan hati manusia! Tidak perlu risau akan hukum atau undang-undang yang berat. Jangan bimbang Allah letak dulu kemudian bila susah bagi manusia Allah tukarkannya!
Pada awal dulu kita kena puasa selama 23 jam, hanya satu jam untuk berbuka.
Kemudian Allah SWT tukarkannya kepada hanya 13 atau 14 jam mengikut kesesuaian waktu. Alhamdulillah.
Yakni dalam ayat ini Allah nak nyatakan bahawa dengan ilmu Allah, hikmah & kebijaksanan-Nya, Allah letakkan undang-undang yang ada ini, undang-undang yang mampu berjalan sepanjang zaman bermula dari zaman Rasulullah SAW sehinggalah ke hari Kiamat.
Maka jangan ada lagi orang yang buat pening kepala mengatakan bahawa undang-undang Islam ini hanya sesuai pada zaman unta dahulu sahaja!
Inilah otak pening yang telah dipengaruhi sekular tidak mahu terima Syari’ah Islam.
- Ayat 108- {Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi Musa (oleh kaumnya) dahulu?}-
Yakni tergamak kamu bertanya kepada Rasul kamu, orang yang kamu kenal dia & kenal peribadinya, kamu tahu dia seorang benar tidak pernah kelentong serta dakwahnya juga benar!
Inilah soalan keras kepala yang berbentuk cabaran atau yang tidak logik untuk menjatuhkan, main-main untuk buat sakit hati.
Ia datang dalam bentuk pertanyaan cabaran atau permintaan yang tidak logik!
Bentuk soalan ada beberapa jenis pula:
i- Bertanya kerana memang nak tahu, Ikhlas nak belajar.
Ini perlu diberi keutamaan.
ii- Bertanya kerana nak suruh orang tahu dia tahu.
Atau tanya untuk orang lain tahu juga, ini dipanggil soalan malaikat.
iii- Soalan keras kepala (السؤال التعاند) tanya untuk menjatuhkan atau memalukan orang yang ditanya!
Soalan jenis ini jangan dilayan kecuali kita dapat lipat balik ke atas kepalanya!
- Ayat 106- {Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan),}
Penjelasan tentang maksudnya nasakh atau nasikh ini.
a) Jenis nasakah ada tiga kategori:
i- Nasakh bacaan & hukumnya sekali.
Contoh bilangan penyusuan, asalnya 10 kali kenyang baru jadi anak susu.
Dulu ada dalam Al-Quran 10 kali kenyang kemudian ditukar kepada 5 kali kenyang saja.
Kata UM Sayyidah Aisyah RA. Ayat ini dibuang ayatnya serta hukumnya juga dibatalkan.
Dulu ada ada dalam Al-Quran lalu dibuang serta ditukar hukumnya.
ii- Dinasakh bacaan tetapi hukumnya kekal!
Seperti kata Sayyidina Umar Al-Khattab RA : Allah batalkan bacaan ayat ini tentang orang tua lelaki & orang tua yang perempuan yang berzina akan dihukum rejam!
Bacaannya dibatalkan tetapi hukum rejam itu tetap kekal!
Ini kerana Allah SWT tidak mahu malukan umat ini dengan ayat yang menyatakan sifat buruk begitu.
Maka dibuang ayat itu daripada Al-Quran tetapi hukumannya tetap dijalankan.
iii- Nasakh hukum tetapi bacaannya kekal. Ayatnya masih ada kekal dalam Al-Quran tetapi hukumnya tidak digunakan lagi.
Contoh-
i- Ayat wasiat kepada bapa & kaum kerabat.
ii- Wanita kematian suami tempoh ihdadnya pada awalnya adalah setahun!
Kemudian ditukar kepada 4 bulan 10 hari.
iii- Tahan perempuan yang berzina di dalam rumah sehingga dia mati.
b) Jenis nasakh dari sudut pertukaran pula:
i- Ditukar/ganti kepada hukum yang lebih ringan, wanita berihdad dari setahun kepada 4 bulan 10 hari.
ii- Hukum yang sama, tukar arah Kiblat dari Baitul Maqdis kepada Ka’bah di Makkah.
iii- Kepada hukum yang lebih berat. Seperti apada awal Islam hanya wajib pada puasa hari Asyura kemudian kepada sebulan bulan Ramadhan.
Tetapi lebih ringan dari segi tempoh. Dulu 23 jam puasa & hanya sejam waktu berbuka, tetapi yang sebulan itu hanya dari subuh sehingga maghrib.
Antaranya contohnya lagi:
i- Dulu daging korban hanya boleh dimakan
selama tiga hari saja.
ii- Sebelum berjumpa dengan Rasulullah SAW untuk bertanya para sahabat kena bersedekah dulu.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.