View Categories

(2) Surah Al-Baqarah : Ayat 1-5

HURUF MUQATTA’AH, I’JAZ AL-QURAN, FUNGSI AL-QURAN & SIFAT MUTTAQIN.

Full video : https://youtu.be/V5QwyiM138A?si=2zysifu6EVbiln80

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dan dalam siri ini kita akan mulakan tafsir ayat kepada surah Al-Baqarah.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang:
    i- Huruf muqatta’ah

    ii- I’jaz Al-Quran iaitu melemahkan yang mahu mengalahkannya serta peranan Al-Quran sebagai petunjuk orang yang bertaqwa.

    iii- Kemudian disenaraikan beberapa sifat al-muttaqin yang dapat membawanya ke syurga!
  1. Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa ini!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {ALIF, LAAM, MIIM.} (AL-BAQARAH 2:1)

  1. Surah ini dimulai dengan huruf yang terputus (al-Muqatta’ah المقطعة – ), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ا,ل, م (Alif, Lam. Mim).
    Tertulis begitu dan dibaca begitu.
  1. Allah SWT mulakan beberapa surah dalam Al-Quran ini dengan huruf terputus begini.
    Ini untuk menyatakan i’jaz (mukjizat) Al-Quran yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk.
  1. Ia juga menggambarkan bahawa kita sebagai manusia tidak dapat memahami dan tidak tahu apa-apa kecuali yang ingin diberitahu oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.
  1. Maksudnya wallahu a’lam. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
    Tetapi manusia pada hari ini amat sombong, samada kerana kejahilan atau ikut hawa nafsu.
  1. Ini adalah i’jaz Al-Quran untuk melemahkan mereka yang mahu meniru atau mencabarnya.
  1. Apa beza antara i’jaz & mukjizat?
    i- I’jaz: adalah zat Al-Quran itu sendiri yang melemahkan semua makhluk atas dunia ini untuk menirunya.
    Serta isi kandungan Al-Quran itu sendiri yang berfakta, authentic dan bersifat masa lalu & masa depan.

    ii- Mukjizat adalah perkara ajaib yang diluar kebiasaan makhluk biasa, yang mencarik adab, tetapi Allah berikan kepada para nabi & rasul untuk mebuktikan benarnya dakwah mereka.
    Contoh: Nabi Musa AS tongkatnya. Nabi Isa AS dapat menghidupkan orang mati manakala Nabi kita Muhammad SAW banyak mukjizatnya tetapi yang paling terserlah & kekal sehingga ke hari ini ialah Al-Quran.
  1. Ini menzahirkan bahawa semua makhluk lemah untuk meniru & melawan Al-Quran sedangkan ia juga menggunakan huruf & bahasa Arab yang sama tetapi tiada manusia yang dapat melawan atau menirunya.
  1. Dari jumlah 114 surah yang ada dalam Al-Quran:

    A) Ada 29 surah yang dimulakan dengan huruf muqatta’ah ini semata-mata seperti:
    1- Surah Al-Baqarah (Surah ke-2), yang dimulai dengan: Alif laam miim {ا ل م}.
    2- Surah Ali ‘Imran (Surah ke-3), yang dimulai dengan: Alif laam miim {ا ل م}.
    3- Surah Al-A’raaf (Surah ke-7), yang dimulai dengan: Alif laam miim sod {ا ل م ص}.
    4- Surah Yunus (Surah ke-10), yang dimulai dengan: Alif laam raa {ا ل ر}.
    5- Surah Huud (Surah ke-11), yang dimulai dengan: Alif laam raa {ا ل ر}.
    6- Surah Yusuf (Surah ke-12), yang dimulai dengan: Alif laam raa {ا ل ر}.
    7- Surah Ar-Ra’d (Surah ke-13), yang dimulai dengan: Alif laam raa {ا ل ر}.
    8- Surah Ibrahim (Surah ke-14), yang dimulai dengan: Alif laam raa {ا ل ر}.
    9- Surah Al-Hijr (Surah ke-15), yang dimulai dengan: Alif laam raa {ا ل ر}.
    10- Surah Maryam (Surah ke-19), yang dimulai dengan: Kaaf Haa Yaa ‘Ain Shaad {كهيعص}
    11- Surah Thaahaa (Surah ke-20), yang dimulai dengan: Thaa haa {طه}
    12- Surah Asy-Syu’araa’ (Surah ke-26), yang dimulai dengan: Thaa Siim Miim {طسم}.
    13- Surah An-Naml (Surah ke-27), yang dimulai dengan: Thaa Siin {طس}.
    14- Surah Al-Qasas (Surah ke-28), yang dimulai dengan: Thaa Siin Miim {طسم}
    15- Surah Al-‘Ankabuut (Surah ke-29), yang dimulai dengan: Alif laam miim {الم}
    16- Surah Ar-Ruum (Surah ke-30), yang dimulai dengan: Alif Laam Miim {الم}
    17- Surah Luqman (Surah ke-31), yang dimulai dengan: Alif Laam Miim {الم}
    18- Surah As-Sajdah (Surah ke-32), yang dimulai dengan: Alif Laam Miim {الم}
    19- Surah Yaasiin (Surah ke-36), yang dimulai dengan: Yaa siin {يس}
    20- Surah Saad (Surah ke-38), yang dimulai dengan: Saad {ص}
    21- Surah Al-Mu’min (Surah ke-40), yang dimulai dengan: Haa Miim {حم}
    22- Surah Fusshilat (Surah ke-41), yang dimulai dengan: Haa Miim {حم}
    23- Surah Asy-Syuura (Surah ke-42), yang dimulai dengan: Haa Miim {حم} (ayat pertama) & ‘Ain Siin Qaaf {عسق} (ayat kedua)
    24- Surah Az-Zukhruf (Surah ke-43), yang dimulai dengan: Haa Miim {حم}
    25- Surah Ad-Dukhaan (Surah ke-44), yang dimulai dengan: Haa miim {حم}
    26- Surah Al-Jaatsiyah (Surah ke-45), yang dimulai dengan, Haa Miim {حم}
    27- Surah Al-Ahqaaf (Surah ke-46), yang dimulai dengan, Haa Miim {حم}
    28- Surah Qaaf (Surah ke-50), yang dimulai dengan ,Qaaf {ق}
    29- Surah Al-Qalam (Surah ke-68), yang dimulai dengan, Nun {ن}.

    B) Sementara itu, dari segi jumlah hurufnya, huruf muqatta’ah terbahagi kepada LIMA kumpulan ini pula:
    i- Satu huruf saja-: Huruf muqatta’ah yang terdiri dari satu huruf contohnya adalah صۤ dalam surah Sad, قۤ dalam surah Qaf dan نۤ dalam surah Al-Qalam.

    ii- Dua huruf saja: Surah dalam Al-Quran yang diawali dengan dua huruf muqatta’ah antara lain sebagai berikut:
    Huruf ح dan حٰمۤ ) م ) dalam surah Ghafir, surah Fussilat, surah Asy-Syura, Az-Zukhruf, surah Ad-Dukhan, surah Al-Jathiyah, surah Al-Ahqaf.
    Huruf ط dan طٰهٰ) ه) dalam surah Taha.
    Huruf ط dan طٰسۤ) س) dalam surah An-Naml.
    Huruf ي dan يٰسۤ) س) dalam surah Yasin.

    iii- Tiga huruf: Huruf muqatta’ah yang terdiri dari 3 huruf terdapat dalam surah-surah berikut:
    Huruf الۤمّۤ) ا، ل، م) pada awal surah Al-Baqarah, surah Ali-‘Imran, surah Al-Ankabut, surah Ar-Rum, surah Luqman, surah As-Sajdah.
    Huruf الۤرٰ) ا، ل، ر) dalam surah Yunus, surah Hud, surah Yusuf, surah Ibrahim, surah Al-Hijr.
    Huruf طٰسۤمّۤ) ط، س، م) dalam surah Asy-Syu’ara dan surah Al-Qasas.

    iv- Empat huruf:
    Huruf الۤمّۤصۤ) ص، م، ل، ا) dalam surah Al-A’raf.
    Huruf الۤمّۤرٰ) ر، م، ل، ا) dalam surah Ar-Ra’d.

    v- Lima huruf:
    Contohnya ada pada awal surah Maryam yaitu كۤهٰيٰعۤصۤ (huruf ص، ع، ي، ه‍، ك).

AYAT 2- {KITAB AL-QURAN INI, TIDAK ADA SEBARANG SYAK PADANYA (TENTANG DATANGNYA DARI ALLAH DAN TENTANG SEMPURNANYA); IA PULA MENJADI PETUNJUK BAGI ORANG-ORANG YANG (HENDAK) BERTAQWA;} (AL-BAQARAH 2:2)

  1. Di atas ayat ini tiga titik; yakni dua tempat pilihan untuk berhenti di mana-mana setesen, tetapi jangan berhenti di kedua-duanya satu persatu.
    Ini agar maksud ayat yang hendak disampaikan tidak lari & berubah.
  1. Allah SWT menyatakan ayat Al-Quran adalah kitab yang datang dari-Nya serta tiada keraguan dan syak padanya, juga tentang sempurnanya, tiada yang dapat mencabar dan melawan hujjah Al-Quran.
  1. Ia juga menjadi bimbingan petunjuk bagi orang yang bertaqwa (Al-Muttaqqin).
  1. Munasabah ayat:
    i- Maksudnya ayat pertama, Alif Lam Mim iaitu Kitab ini adalah daripada huruf-huruf yang kamu guna dalam kehidupan seharian kamu wahai kaum Arab. Tetapi kamu lemah & tidak mampu untuk menirunya. Ia terlalu sempurna bagi kamu.

    ii- Lalu Allah SWT gunakan lafaz- { ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ}- kata tunjuk untuk jauh (إسم الإشارة للبعيد) walaupun diterjemahkan dengan (Kitab ini) untuk menunjukkan tingginya kedudukan & besar kesannya serta jauh dari segala orang yang jahat!
  1. Setelah diketahui mulia & sempurnanya Al-Quran, Allah SWT bawa satu lagi isyarat kepada sifatnya yang tinggi: Tiada sebarang keraguan & syak tentangnya.
    Kerana itulah digunakan perkataan itu {ذلك} untuk makna ini (هذا).
  1. Tidak ada syak lagi bahawa Al-Quran itu datang dari Allah, Tuhan Pemilik alam yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tidak ada maklumat yang salah, bahasanya semua betul & maklumatnya tepat!
  1. Ditafsirkan dengan firman-firman Allah SWT ini:
    i- {Alif, Laam Miim. Diturunkan Al-Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.} (As-Sajdah 32: 1-2)

    ii- {Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran?
    Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.} (An-Nisaa’ 4:82)
    Al-Quran itu dalam tempoh 23 tahun ia diturunkan tidak ada maklumat yang salah atau fakta yang menyeleweng, atau berlawanan & berbeza antaranya.
  1. Allah nyatakan lagi dalam ayat ini bahawa Al-Quran itu adalah jalan petunjuk {هُدًۭى} bagi orang yang bertaqwa {لِّلْمُتَّقِينَ}.
  1. Apakah pula makna orang bertaqwa ini?
    i- Memelihara atau melindungi diri daripada sesuatu yang ditakuti & dibimbangi.
    Maka bertaqwa kepada Allah bererti menjaga dan menjauhkan diri daripada azab & kemurkaan Allah yang ditakuti, dengan menurut segala perintah-Nya & meninggalkan segala larangan-Nya, menjalankan undang-undang & hukum-hakam-Nya.

    ii- Al-Quran ini menjadi petunjuk bagi orang bertaqwa atau yang berusaha membentuk diri menjalankan perintah Allah & menjauhi diri dari larangan-Nya, kerana merekalah yang terutama sekali yang mendapat faedah dari petunjuk hidayah Al-Quran dengan sebab iman & taqwanya.
    Manakala orang yang kufur adalah sebaliknya!

AYAT 3- {IAITU ORANG-ORANG YANG BERIMAN KEPADA PERKARA-PERKARA YANG GHAIB, DAN MENDIRIKAN (MENGERJAKAN) SEMBAHYANG SERTA MEMBELANJAKAN (MENDERMAKAN) SEBAHAGIAN DARI REZEKI YANG KAMI BERIKAN KEPADA MEREKA.} (AL-BAQARAH 2:3)

  1. Siapakah orang yang bertaqwa {لِّلْمُتَّقِينَ} ini? Dalam ayat ini dibawa beberapa sifatnya.
    Pertama:
    i- Iaitu orang yang beriman kepada perkara yang ghaib, iaitu sesuatu yang tidak dapat dilihat atau dirasa oleh pancaindera manusia biasa yang 5 tetapi diakui & diyakini dengan jalan perhatian & fikiran berdasarkan dalil-dalil yang boleh diterima oleh akal yang sempurna seperti kita yakin wujudnya Allah SWT, nama-Nya yang indah & sifat-Nya yang mulia.

    Demikian juga dengan malaikat, hari Akhirat, syurga, neraka dan seumpamanya.
    Kita yakin kerana Allah yang menyatakannya, sebab Nabi SAW yang menyebutnya.
    Benda ghaib kita tidak nampak, tidak pernah melihtanya, tetapi kita beriman hanya dengan ilmu yang yakin!

    ii- Kerana itu iman ialah apa yang terpasak dalam hati, manakala Islam ialah apa yang zahir daripada amalan kita seperti solat, puasa keluar zakat haji dan lain-lain. Kerana itu iman & Islam wajib kembar sebagai buktinya!
  1. Sifat kedua: Orang yang bertaqwa juga mereka mendirikan solat dengan syarat-syaratnya, rukunnya, sunatnya lengkap dengan SOP-nya.
    Bukan hanya sekadar solat rutin dan kebiasaan, tanpa ada rasa apa-apa, tidak menambahkan keimanan & menggetarkan jiwa!
  1. Sifat ketiga; orang yang bertaqwa ialah:
    i- Mereka yang telah mengeluarkan infaq bagi jalan Allah sebahagian daripada hartanya!
    Samada sedekah, waqaf, masjid, pusat tahfiz dan pelbagai lagi medan dakwah yang luas ini kita boleh sumbangkan nafkah!

    ii- Medan dakwah ini luas; Ada orang yang ada duit tetapi tiada tenaga, ada juga yang sebaliknya, tiada harta untuk diinfaq tetapi ada tenaga untuk disumbangkan; maka sedekahkanlah!
    Barulah harta itu akan jadi milik kita, walaupun hanya 1/3 .

AYAT 4- {DAN JUGA ORANG-ORANG YANG BERIMAN KEPADA KITAB “AL-QURAN” YANG DITURUNKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD), DAN KITAB-KITAB YANG DITURUNKAN DAHULU DARIPADAMU, SERTA MEREKA YAKIN AKAN (ADANYA) HARI AKHIRAT (DENGAN SEPENUHNYA).} (AL-BAQARAH 2:4)

  1. Sifat keempat orang yang bertaqwa ialah: mereka beriman dengan Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW & kitab-kitab yang diturunkan kepada nabi-nabi terdahulu.
  1. Firman Allah SWT:
    {Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, SAW), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.} (An-Nisaa’ 4:136)
  1. Sifat kelima: Mereka juga yakin & beriman sepenuhnya dengan hari akhirat.
    Percaya adanya hari Pembalasan, adanya hisab & mizan, adanya syurga & neraka

AYAT 5- {MEREKA ITULAH YANG TETAP MENDAPAT PETUNJUK DARI TUHAN MEREKA, DAN MEREKALAH ORANG-ORANG YANG BERJAYA.} (AL-BAQARAH 2:5)

  1. Maka mereka yang ada 5 sifat ini iaitu golongan muttaqin, maka merekalah:
    i- Yang tetap mendapat petunjuk dari Allah.

    ii- Dan merekalah orang-orang yang berjaya.
  1. Ya Allah jadikan kami dari golongan yang termasuk dalam sifat ini, iaitu golongan yang mendapat petunjuk & golongan muttaqin, lalu menjadi orang yang selamat di dunia & aman akhirat!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Alif, Laam, Miim- ini adalah huruf yang terputus (Al-Muqatta’ah – المقطعة – ),

    Iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ا,ل, م (Alif, Lam. Mim).
    Tertulis begitu dan dibaca begitu.
    Inilah i’jaz Al-Quran, Allah mencabar sesiapa saja untuk meniru Al-Quran, tetapi pasti tidak akan mampu!

    & Ayat 2- {Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;}- Kemudian Allah SWT isyaratkan Al-Quran itu sebagai sesuatu yang jauh {ذَٰلِكَ} untuk menunjukkan ketinggiannya, maka orang yang berpegang dengan Al-Quran juga akan mendapat ketinggian & kemuliaan.

    Firman Allah s.w.t:
    {Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.} (At-Taubah 9:33)

    Al-Quran itu mulia & mulianya semua yang berkait dengan Al-Quran, kita nak jadi orang yang mulia kena rajin & banyak baca Al-Quran, tadabbur Al-Quran & yang penting sekali beramal dengannya!

    Allah nafikan sebarang keraguan tentang Al-Quran atau keraguan yang terdapat di dalamnya.
    Al-Quran itu benar serta sesuatu yang penuh keyakinan & fakta bukan auta kerana ia datang dari Allah SWT.

    Ya Allah jadikan kami orang yang yakin dengan Al-Quran, tadabbur & beramal dengannya!
  1. Ayat 2- {Kitab Al-Quran ini,}-

    Kenapa Allah SWT kata Al-Quran ini sebagai sebuah kitab?
    Sedangkan kitab artinya terkumpul ayat-ayat atau beberapa tajuk atau isu, bab & fasal yang terkumpul, sedangkan Al-Quran pada masa itu hanya turun sedikit demi sedikit, masih tidak terkumpul lagi.

    Ini adalah antara mukjizat Al-Quran juga, isyarat kepada apa yang akan terjadi kepada Al-Quran nanti, dari tersimnoan di dalam dada para penghafal, huffaz bahawa ia akan terkumpul dalam sebuah kitab/buku.

    Menunjukkan bahawa Al-Quran yang akhirnya akan menjadi sebuah Kitab yang kita panggil Kitab Suci Al-Quran yang sampai kepada kita hari ini!

    Kta Ibnu Asyur rhm.: Allah SWT namakan Al-Quran yang turun dan diwahyukan kepada Rasulullah SAW sedikit demi sedikit ini sebagai sebuah Kitab, Ini adalah mukjizat Al-Quran, isyarat bahawa ia kan terkumpul di dalam sebuah Kitab.

    Maka apabila turun ayat ini Rasulullah SAW memanggil para sahabat yang dapat menulis untuk mula menulis Al-Quran atas semua benda yang boleh seperti kertas, kulit, belulalang, kayu, daun atau pelepah pokok.
  1. Ayat 2- {Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;}-

    Al-Quran ini akan menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa.
    Taqwa itu adalah sesuatu yang terpasak dalam hati, apabila tuannya yakin maka ia akan dapat mengambil manfaat dari Al-Quran!

    Orang yang paling takut dengan Allah akan mendapat paling banyak hidayah & petunjuk.

    Jika kita nak dapat petunjuk Al-Quran kita kena bertaqwa kepada Allah SWT!

    Kaedah: Mana-mana hukum yang dikaitkan dengan sifat, maka akan kuat hukum itu dengan kuatnya sifat itu!
    Lagi kuat taqwa lagi banyak dapat faedah dari Al-Quran.
  1. Ayat 3- {Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib}-

    Iaitu kita beriman dengan perkara ghaib yang tidak nampak.
    Orang kafir mereka tidak beriman dengan perkara ghaib begini kerana mereka hanya percaya kepada benda yang boleh nampak saja (madiyyah).

    Sebagaimana kisah Allahyarham TG Abdul Rahman dengan seorang guru non-muslim yang mempertikaikan wujudnya Allah, kalau ada mesti nampak!?
    Kata TG: Che gu ni hidup ke mati?
    Ayat ini menunjukkan betapa besarnya apabila kita beriman dengan hari akhirat, bila kita yakin di sana ada hari Akhirat iaitu hari Pembalasan, di sana ada audit maka kita akan bersedia dengan bekalan & persediaan yang baik untuk akhirat, kita tidak akan buat benda tidak baik; yang akan mencelakakan & membahayakan nasib kita pada hari Pembalasan kelak!

    KATA YANG AAM SELALU DIULANG :
    Suratan amalan yang kita nak baca di Akhirat kelak; kita sendirilah penulisnya! Maka nak baca perkara baik buatlah benda baik, jangan sekali-kali buat yang tidak baik!
  1. Ayat 3- {dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.}-

    Kenapa Allah SWT banyak kumpulkan dalam satu ayat antara solat & zakat dalam Al-Quran?
    i- Kita telah bincangkan di atas bahawa orang yang melaksanakan solat dia baca & faham barulah terlaksana objektif solat iaitu menahan diri daripada perbuatan keji & mungkar.
    Bukan solat sekadar rutin & perbuatan amali.

    ii- Tentang rezeki yang didermakan, Allah SWT sebut hanya sebahagian dari rezeki kamu; bukan semua, ini kerana paling minimum yang wajib kita keluarkan hanyalah 1/40- iaitu zakat.
    Kenapa Allah s.w.t banyak kumpulkan antara solat & zakat/sedekah dalam Al-Quran?
    Jawapan:
    i- Solat adalah tanda kita beribadat kepada Allah SWT dengan fizikal dan hati yang ikhlas kepada Allah Azza wa Jalla.

    ii- Manakala nafkah & sedekah; kita beribadat dengan harta kita kepada makhluk Allah SWT!
    Ini adalah hubungan kita dengan sesama makhluk dengan sedekah & zakat.
    Maka Allah SWT kembarkan antara hubungan kita dengan Allah & hubungan kita sesama makhluk pula.

    Kebahagiaan manusia berlegar antara dua ini: “Hubungan baik dengan Allah & hubungan baik dengan sesama makhluk juga!’
    Tidak mungkin akan selamat di akhirat jika baik dengan salah satu saja, ia adalah neraca tidak seimbang!

    Hadis: Rasulullah SAW telah ditanya oleh seorang lelaki: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.” Lalu Nabi bersabda: “Dia akan masuk ke dalam neraka.” [HR Ahmad 9675].

    Solat kepala kepada ibadat badaniyah kepada Allah manakala zakat adalah kepala ibadat Maliyah (harta) kepada Allah juga!
    Semua ibadat kita ini kembali kepada dua samada ibadat Maliyah (harta) atau Badaniyah (fizikal).
    Semoga segala sifat yang baik yang disebut dalam surah ini dapat kita amalkan dalam hidup kita lalu menjadi orang bertaqwa yang mendapat petunjuk dari Allah SWT!

Powered by BetterDocs