YAHUDI MAIN SIHIR, DAKWA NABI SULAIMAN NAIK DENGAN SIHIR & KISAH HARUT DAN MARUT.
Full video : https://youtu.be/ooCn0MOYVd0?si=Fb_g9sSuOgVTSoAw
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah tafsir Surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang pertama. Hari ini kita akan baca ayat 102 dan ayat 103.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang Yahudi yang suka bermain sihir.
- Yahudi juga mendakwa bahawa Nabi Daud & Nabi Sulaiman naik kerajaannya & hebat dengan sebab sihir! Satu tuduhan yang jahat!
- Juga kisah Allah hantar dua malaikat, Harut dan Marut mengajar manusia ilmu sihir untuk menguji mereka.
- Kita akan dengar pendapat ulama’ pengkaji tafsir tentang kisah Harut & Marut.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 102- {MEREKA (MEMBELAKANGKAN KITAB ALLAH) DAN MENGIKUT AJARAN-AJARAN SIHIR YANG DIBACAKAN OLEH PUAK-PUAK SYAITAN DALAM MASA PEMERINTAHAN NABI SULAIMAN, PADAHAL NABI SULAIMAN TIDAK MENGAMALKAN SIHIR YANG MENYEBABKAN KEKUFURAN ITU, AKAN TETAPI PUAK-PUAK SYAITAN ITULAH YANG KAFIR (DENGAN AMALAN SIHIRNYA); KERANA MEREKALAH YANG MENGAJARKAN MANUSIA ILMU SIHIR. }
- Puak yahudi ini membelakangkan Kitab Allah & mengikut ajaran ilmu sihir yang direka oleh syaitan yang berlaku pada masa pemerintahan Nabi Sulaiman AS. Inilah ajaran yang mereka pegangi.
- Munasabah ayat:
i- Orang yang diberi peluang untuk mendapat manfaat dari perkara yang baik tetapi dia tinggalkannya, maka dia akan diuji & dibala dengan perkara yang memberi mudharat!
ii- Sebagaimana yahudi ini Allah telah beri banyak peluang kebaikan kepada mereka!
Banyak sangat kelebihan & kebaikan Allah beri kepada mereka tetapi apa boleh buat nasib malang mereka sendiri yang campak kitab Taurat ke belakang.
Yakni tinggalkan terus ajaran Taurat & tolak ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW!
iii- Bahkan mereka banyak bermain rajah tangkal amalan-amalan sihir sehingga Rasulullah SAW sendiri tidak selamat daripada perbuatan sihir mereka ini!
Nabi kita SAW pernah disihir oleh seorang yahudi yang bernama Labib!
Maka Allah SWT ingatkan kita agar jangan percaya kepada puak ini!
- Tetapi mereka membuat tuduhan bahawa ilmu sihir adalah ajaran dari nabi Sulaiman sedangkan ia dari syaitan!
Mereka kata hebatnya Sulaiman dengan Kerajaan yang besar, boleh berjalan atas angin, jin & syaitan tunduk kepadanya adalah kerana ilmu sihir yang diamalkanya!
- Allah SWT menafikan tuduhan mereka terhadap Nabi Sulaiman AS, Baginda tidak kufur kepada Allah, bebas dari mengamalkan ilmu sihir & tidak mengajar pengikutnya ilmu sihir.
- Ia bukannya ilmu nabi Sulaiman tetapi ilmu yang diajar oleh syaitan kepada manusia!
Syaitan itu yang kafir dengan amalan sihirnya sedang nabi Sulaiman tidak kufur kepada Allah!
Ini adalah satu perbuatan jenayah kerana membuat tuduhan yang berat terhadap orang!
- Kata Ibnu Kathir RHM : kisah Israiliyyat banyak sangat masuk dalam kisah ilmu sihir ini!
Antara kisahnya:
i- Syaitan itu menulis ilmu sihir yang nampak seolah permainan yang betul tetapi sebenarnya sihir!
Ianya kemudian disalin oleh salah seorang penulis Nabi Sulaiman yang bernama Asif Barkhiya yang meletakkanya di bawah tikar kepunyaan Baginda AS sedangkan dia tidak tahupun tentangnya.
ii- Selepas Nabi Sulaiman wafat mereka menjumpainya & menuduh Nabi Sulaiman mengamalkan sihir kerana itulah kerajaannya hebat & dapat menguasai syaitan & jin!
iii- Tetapi ada juga para ahli Kitab bani Israel yang jujur menafikannya & menjelaskan bahawa itu hanya fitnah & tohmahan palsu terhadap nabi Sulaiman & Baginda tidak pernah mengamalkan ilmu sihir.
Itulah ujian sesuatu kaum itu adalah dengan ilmu yang mereka ada!
- Sihir adalah salah satu dosa besar selepas dari syirik yang dilaknat oleh Allah SWT!
Ini kerana untuk menjadi ahli sihir seseorang itu mesti kufur kepada Allah!
Terlalu banyak amalan kotor & jelek yang mereka amalkan yang bertentangan dengan ajaran Islam yang suci & murni.
- Allah telah menyebut perbuatan sihir ini dalam beberapa ayat khususnya pada zaman nabi Musa & Firaun:
i- {Nabi Musa menjawab: “Bahkan kamulah campak dahulu”. Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka.} (Taha 20:66)
ii- {Nabi Musa menjawab: “Campakkanlah kamu (dahulu)!” Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya).} (Al-A’raaf 7:116)
Sihir ini adalah satu hakikat yang dapat memberi kuasa kepada pengamalnya & kesan ke atas orang yang dituju dengan izin Allah!
- Bahayanya sihir tetapi batu api lebih dahsyat & buruk kesannya kerana ia dapat memberi kesan buruk yang lebih cepat daripada sihir tetapi keduanya adalah dosa besar yang dimurkai Allah SWT!
Kerja utama sihir ialah untuk memisahkan suami isteri & memecahkan persaudaraan & persahabatan dalam masyarakat!
Batu api dapat menjalankan tugas ini dengan lebih cepat & segera lagi.
- Hadis- Dari Jabir RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian mengutus bala tenteranya. Maka yang paling dekat dengannya adalah yang paling besar fitnahnya. Datanglah salah satu dari bala tenteranya dan berkata. “Aku telah melakukan begini dan begitu”. Iblis bekata, “Engkau sama sekali tidak melakukan apa-apa”. “Kemudian datang yang lain dan berkata; “Aku tidak meninggalkannya hingga aku berhasil memisahkan dia dan isterinya.” Maka iblis mendekati dan berkata; “Sunggah hebat (syaitan) seperti engkau.” – [HR Muslim].
- Hukumnya sihir adalah satu ilmu yang jahat & belajar ilmu sihir untuk menjadi ahli sihir adalah satu dosa besar yang boleh membawa kekufuran kepada Allah SWT, tetapi jika belajar ilmu sihir untuk mengetahui hakikat bahayanya atau melindungi darinya boleh, tetapi dengan syarat kita ada kekuatan untuk mempertahankan diri.
- Untuk mendengar lebih banyak tentang masalah sihir, boleh dengar kuliah AAM dalam siri Dosa Besar:
https://www.youtube.com/watch?v=xNqh8IDuys8&t=90s
AYAT 102- {DAN APA YANG DITURUNKAN KEPADA DUA MALAIKAT: HARUT DAN MARUT, DI NEGERI BABIL (BABYLON), SEDANG MEREKA BERDUA TIDAK MENGAJAR SESEORANG PUN MELAINKAN SETELAH MEREKA MENASIHATINYA DENGAN BERKATA: “SESUNGGUHNYA KAMI INI HANYALAH CUBAAN (UNTUK MENGUJI IMANMU), OLEH ITU JANGANLAH ENGKAU MENJADI KAFIR (DENGAN MEMPELAJARINYA)”. DALAM PADA ITU ADA JUGA ORANG-ORANG MEMPELAJARI DARI MEREKA BERDUA: ILMU SIHIR YANG BOLEH MENCERAIKAN ANTARA SEORANG SUAMI DENGAN ISTERINYA, PADAHAL MEREKA TIDAK AKAN DAPAT SAMA SEKALI MEMBERI MUDARAT (ATAU MEMBAHAYAKAN) DENGAN SIHIR ITU SESEORANG PUN MELAINKAN DENGAN IZIN ALLAH}
- Kemudian Allah nyatakan bahawa Dia telah menurunkan dua malaikat ke bumi ini iaitu Harut & Marut yang membawa ilmu sihir & mengajar manusia tentangnya!
Mereka dihantar turun di Babylon (Babil).
- Tetapi mereka ini tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir dengan mempelajarinya!
- Yakni mereka beri nasihat & peringatan kepada manusia sebelum mengajarnya bahawa ilmu sihir ini bahaya, kamu boleh belajar untuk mengetahui akan bahayanya tetapi bukan untuk mengamalkannya kerana boleh memjadi kafir!
- Tetapi walaupun telah diberi nasihat, ada juga orang yang mempelajari ilmu sihir itu untuk memisahkan antara suami & isteri iaitu meruntuhkan rumah tangga.
- Allah SWT peringatkan bahawa semua itu sihir atau apa ilmu sekali pun tidak akan memberi kesan kecuali dengan izin Allah SWT!
Apa yang mereka pelajari itu hanya memberi mudharat bukan kebaikan!
- Kata Ibnu Kathir RHM : Kisah tentang Harut & Marut ini kebanyakannya dirujuk atau kembali kepada kisah Israiliyyat yang tiada sandaran entah benar atau tidak.
Tidak ada hadis yang sahih daripada Rasulullah SAW, kisahnya dalam Al-Quran pun disebut begitu sahaja dalam ayat ini!
Maka jangan dipanjangkan ceritanya, kita berimanlah dengan apa yang disebut dalam Al-Quran mengikut kehendak Allah & hakikatnya sebenarnya hanya Allah SWT yang tahu!
- Ada juga bacaan yang ganjil dalam Al-Quran perkataan malakaini {ٱلْمَلَكَيْن} ini yang dibaca dengan baris bawah, malikaini {ٱلْمَلِكَيْنِ} yang bermaksud dua raja iaitu ditafsirkan sebagai nabi Daud & nabi Sulaiman AS.
Tetapi ia bukan pendapat yang kuat.
- Yang sahihnya adalah dibaca dengan baris atas, malakaini iaitu dua malaikat {ٱلْمَلَكَيْنِ}.
Mereka adalah dua malaikat yang dihantar Allah, yang bawa ilmu sihir untuk menguji manusia dengan ilmu sihir yang amat bahaya ini!
Siapa yang belajar & mengamalkannya akan kufur; siapa yang belajar untuk tahu saja tidak mengapa!
- Ayat ini untuk meneguhkan i’tiqad kita bahawa segala yang baik atau buruk itu datang dari Allah SWT.
Semuanya untuk menguji kita & semua yang berlaku itu mengikut peraturan undang-undang Allah yang azali.
- Ayat ini juga menunjukkan bahawa:
i- Setiap sesuatu benda mempunya kesan tenaga yang dapat memberi kesan apabila diketahui rahsianya!
Jadi ilmu sihir itu memang ada kesanya seperti menjadi pembenci atau pengasih.
ii- Demikian juga semua benda yang wujud dalam alam ini Allah berikan kuasa tenaganya yang dapat menimbulkan kesan istimewa seperti kesan tenaga yang ada pada atom, logam, galian dan lain-lain serta cara peraturan yang ditentukan oleh Allah.
Demikianlah segala sesuatu itu Allah bagi hikmah & keistimewaanya untuk kegunaan umat manusia.
iii- Sepertimana Allah berikan ilmu kepada para saintis & ahli perubatan untuk melakukan kajian & rawatan dengan izin serta setakat kuasa yang Allah anugerahkan dalam bidang masing-masing! Mengikut dasar undang-undang & peraturan yang Allah SWT rancangkan sejak azali.
iv- Seperti apa saja yang dibuat oleh orang agama lain seperti meditasi, aura, yoga dan seumpamanya, apabila mereka lakukannya & percaya ia akan memberi kesan dengan izin Allah akan berlaku & beri kesan dengan kehendak Allah jika tidak tetap tidak ada natijah!
Demikianlah kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya! Serta hakikat sebenarnya hanya Allah SWT yang mengetahui.
AYAT 102- {DAN SEBENARNYA MEREKA MEMPELAJARI PERKARA YANG HANYA MEMBAHAYAKAN MEREKA DAN TIDAK MEMBERI MANFAAT KEPADA MEREKA. DAN DEMI SESUNGGUHNYA MEREKA (KAUM YAHUDI ITU) TELAHPUN MENGETAHUI BAHAWA SESIAPA YANG MEMILIH ILMU SIHIR ITU TIDAKLAH LAGI MENDAPAT BAHAGIAN YANG BAIK DI AKHIRAT. DEMI SESUNGGUHNYA AMAT BURUKNYA APA YANG MEREKA PILIH UNTUK DIRI MEREKA, KALAULAH MEREKA MENGETAHUI.} (AL-BAQARAH 2:102)
- Sesungguhnya apa yang mereka pelajari dari ilmu sihir itu hanyalah memberi kesan buruk kepada mereka & tidak memberi apa-apa manfaat & kebaikan bagi manusia! Iaitu seperti yahudi yang tinggal Taurat & Al-Quran untuk belajar ilmu sihir ini.
- Puak yahudi tahu bahawa perbuatan mereka itu akan membawa kerugian besar, celaka yang dahsyat, iaitu perbuatan tinggalkan yang baik ambil yang buruk- mereka tidak akan ada lagi bahagian di akhirat!
- Inilah peringatan dari Allah SWT, jahat benar apa yang mereka buat terhadap diri mereka sendiri, beli kufur jual agama Allah!
Maka jangan kita tukar benda baik dengan benda buruk, tukar agama & akhirat dengan dunia & kebendaan! Wal-‘yazu billah!
AYAT 103- {DAN KALAU SEBENARNYA MEREKA ITU TETAP BERIMAN DAN BERTAQWA (NESCAYA MEREKA AKAN MENDAPAT PAHALA); SESUNGGUHNYA PAHALA DARI SISI ALLAH ITU ADALAH LEBIH BAIK, KALAU MEREKA MENGETAHUI.} (AL-BAQARAH 2:103)
- Allah nyatakan puak yahudi ini jika mereka benar-benar beriman & bertaqwa kepada Allah SWT, jangan main ilmu sihir, main ilmu pelik-pelik, nescaya mereka akan mendapat pahala yang amat besar & baik dari sisi Allah!
- Namun apa boleh buat, nasib malang tidak beruntung, tinggalkan apa yang baik yang Allah SWT suruh & buat yang buruk iaitu apa yang Allah larang!
Maka binasa & kerugianlah puak mereka!
- Atas dunia ini mungkin bolehlah sedikit habuan dunia tetapi di akhirat kelak tidak ada bahagian mereka, tidak apa yang dapat menyelamatkan mereka dari api neraka. Wal-‘yazu billah!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 102- {dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya}-
Allah tidak hantar dua malaikat ini kecuali untuk menjadi ujian bagi manusia! Adakalanya Allah jadikan sebab untuk buat benda maksiat ini mudah kerana ia adalah satu ujian bagi manusia!
Lorong keburukan ini amat luas & terbuka sedangkan lorong untuk kebaikan amat sempit & penuh cabaran!
Maka manusia yang baik & pandai buat pilihan dia akan selamat manakala yang tidak pandai pilih maka dia akan celakalah!
Inilah ujian Allah ke atas hamba-Nya.
Allah hantar dua malaikat ini kerana yahudi ini suka main sihir maka Allah bawa sebab yang sama sebagai ujian untuk mereka!
- Ayat 102- {sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”.}-
Ayat ini memberi pengajaran bahawa kita kena banyak mengajar dan beri nasihat kepada manusia supaya mereka menjauhkan diri daripada perkara yang buruk & tidak baik!
Menjadi tanggungjawab ke atas para pendakwah & ahli agama untuk memperingatkan masyarakat & manusia tentang perkara buruk yang dilarang oleh Allah SWT lebih-lebih lagi yang boleh membawa kepada syirik kepada Allah Ta’ala.
Jika perkara yang dapat memberi kesan kepada iman & aqidah kita, jangan ajar kepada masyarakat dengan mengatakannya harus sedangkan banyak lagi benda yang jelas sahih & baik dari ajaran Al-Quran & Hadis.
Lebih baik kita tinggalkan jika ia adalah sesuatu yang ada ulama’ kata harus & ada yang kata boleh membawa kepada syirik!
Ini amat bahaya! Kita kena jelaskan kepada masyarakat, jangan pilih jalan yang berisiko & sangat berliku, nak juga ambil yang khilaf yang ramai ulama’ membantahnya!
Inilah yang kita mahu sedarkan masyarakat, tujuan kita maklumkan benda yang bahaya ini, yang boleh membawa kepada syirik ini.
Tidak ada sekali tujuan memaklumkan ini untuk mengkafirkan orang walaupun ada yang menuduh sedemikian!
Orang yang buat tuduhan, tunggulah! Kita semua akan bertemu di hadapan Allah SWT di akhirat nanti!
- Ayat 102- {padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah.}-
Ahli sihir tidak akan dapat memberi mudarat dengan sihirnya kepada sesiapapun kecuali dengan izin Allah SWT!
Kata ulama’ : Ini menunjukkan sesuatu perkara atau sebab itu walaupun besar & merbahaya adakalanya tidak akan memberi kesan kecuali dengan izin Allah SWT!
Sesuatu yang kecil atau tidak nampak besar bahayanya tetap akan beri kesan dengan izin Allah SWT!
Berapa ramai orang yang buat benda bahaya tetapi tidak mati manakala orang yang buat buat benda tak bahaya tetapi mati jua!
Ini bukan nak menggalakkan untuk buat benda bahaya, benda bahaya jangan buat! Tetapi nak beritahu sesuatu itu apapun sebabnya tidak akan terjadi tanpa izin Allah!
Maka apa yang patut kita buat adalah wajib kembali kepada Allah sama ada untuk mendapat manfaat atau menjauhkan diri dari mudharat!
Jangan bermain dengan tangkal azimat, rajah-rajah permainan ahli sihir, percaya kepada bomoh-bomoh, tukang tilik dan seumpamanya kerana ia dapat membawa kepada kekufuran!
Kebanyakan yang percaya kepada bomoh ini bukan orang biasa-biasa, tetapi mereka yang buat ibadat, solat & baca Al-Quran tetapi masih apa boleh buat masih percayakan kepada bomoh-bomoh & dukun!
Allah uji mereka dengan benda begini pula!
Yang penting hati kita bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT!
- Ayat 102- {Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan}-
Ayat ini kita gabungkan dengan ayat sebelum sedikit iaitu:
Ayat 101- {Sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka,}.
Iaitu puak tinggalkan kitab Allah & mengikut ajaran sihir yang dibawa oleh puak-puak syaitan.
Para ulama’ mengatakan : Ayat ini menjadi dalil bahawa sesiapa yang tinggalkan daripada menyibukkan diri dengan perkara yang bermanfaat, Allah akan uji dia dengan sibuk buat benda yang tidak berfaedah!
Siapa yang tinggalkan ibadat kepada Allah SWT, dia akan diuji dengan beribadat kepada syaitan!
Siapa yang tinggal takut kepada Allah, dia akan diuji takut kepada benda lain seperti hantu, syaitan & segala khurafat!
Siapa yang tidak beri nafkah hartanya pada jalan Allah, dia akan nafkahkan hartanya pada jalan syaitan atau habis sia-sia & membazir begitu saja hartanya! Tanpa dapat manfaat dari harta itu untuk akhiratnya.
Siapa yang tidak merendahkan diri kepada Allah dia akan merendahkan dirinya kepada hawa nafsu!
Siapa tidak mengabdikan dirinya kepada Allah dia akan mengabdikan dirinya kepada dunia ini jika tidak kepada syaitan.
Kata Imam Syafi’e RHM : نفسك إن لم تشغلها بالحق شغلتك بالباطل
Nafsu kita ini jika kita tidak sibukkannya dengan benda baik, dia akan sibukkannya dengan perkara yang batil!
Contoh jika kita tidak sibuk di masjid & kuliah mungkin kita akan sibuk berbual di warung-warung dengan perkara yang lagha & melalaikan.
Akhir sekali di usung ke kubur dengan kosong atau sedikit sekali amal kebajikan yang dikerjakan!
Begitulah kaum yahudi, mereka diberi pilihan perkara yang baik, tetapi mereka meninggalkannya, malah memilih sesuatu yang buruk & tidak memberi manfaat.
- Ayat 103- {Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui.}-
Di akhir ayat Allah kata jika mereka tahu untuk ambil ilmu yang bermanfaat. Mereka tidak akan jual agama untuk kepentingan dunia yang sementara ini!
Mereka akan sibukkan diri dengan melakukan perkara yang baik seperti beriman & bertaqwa kepada Allah SWT!
Sekarang ini yang kita takut, orang bagi pangkat kedudukan, kita salah guna! Allah beri rezeki harta, kita tidak gunakannya pada jalan yang benar. Dapat ilmu kita jual pula ilmu itu untuk habuan dunia. Semuanya kita salah-gunakan. Inilah yang kita bimbang kita takut!
Kesimpulannya bahawa dalam cerita dua malaikat Harut & Marut ini banyak cerita Israiliyyat.
Kata Rasulullah SAW : Kamu jangan terima/percaya/mendustakannya.
Boleh dengarnya jika ia sekadar cerita biasa tidak membawa kepada khurafat atau kesan kepada aqidah.
Tetapi jika ia menyentuh tentang aqidah & menjatuhkan kehormatan dan kemuliaan para Rasul & Nabi wajib kita ingkarinya!
Seperti mana mereka menuduh nabi Daud & Sulaiman mengamalkan sihir atau nabi Yusuf as yang gilakan isteri pembesar (yang dinamakan Zulaikha) dan seumpamanyanya! Allahu al-Musta’an!
Untuk bacaan buku tentang Israiliyyat ini dalam bahasa Melayu boleh cuba cari sebuah buku yang telah diterjemahkan oleh Jakim yang bertajuk:
Israiliyyat & Hadis Palsu Dalam Kitab-kitab Tafsir- oleh Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah.
Untuk yang pandai bahasa Arab banyak lagi pilihannya!