SAEI ANTARA SAFA DAN MARWAH, GOLONGAN DILAKNAT OLEH ALLAH, SEMBUNYI ILMU DAN KUFUR.
Full video : https://youtu.be/2SyAX7fNEjo?si=OxTAst-msENhXUy6
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah tafsir kita dalam ayat 158 sehingga ayat 163 bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang hukum Saei antara Safa dan Marwah.
- Kemudian Allah nyatakan dalam ayat-ayat ini tentang dua golongan yang dilaknat oleh Allah iaitu:
i- Mereka yang sembunyikan ilmu yang Allah turunkan kerana ada kepentingan.
ii- Dan golongan yang kufur kepada Allah SWT, mati dalam kafir. - Kemudian Allah tegaskan aqidah tauhid kita iaitu: Tuhan kamu Tuhan Yang Esa, tiada sekutu bagi Allah SWT!
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah nyatakan bahawa kiblat telah bertukar ke arah Ka’bah di Makkah selama-lamanya. Ia adalah untuk menghidupkan Syari’ah nabi Ibrahim a.s dan memuliakannya. Maka kamu umat Islam hadaplah ke arah Ka’bah.
ii- Maka datanglah ayat ini menyatakan hukum Syaei. Ia juga antara simbol (syi’ar) ibadat haji, yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS.
Asalnya saei ini perbuatan yang dilakukan oleh isterinya Hajar, ibu Nabi Ismail AS. yang berlari antara dua bukit untuk mencari air. Maka Allah sebutnya di sini sebagai tanda ia telah menjadi salah satu simbol ibadat.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 158- {SESUNGGUHNYA “SAFA” DAN “MARWAH” ITU IALAH SEBAHAGIAN DARIPADA SYIAR (LAMBANG) AGAMA ALLAH; MAKA SESIAPA YANG MENUNAIKAN IBADAT HAJI KE BAITULLAH ATAU MENGERJAKAN UMRAH, MAKA TIADALAH MENJADI SALAH IA BERSAIE (BERJALAN DENGAN BERULANG-ALIK) DI ANTARA KEDUANYA. DAN SESIAPA YANG BERSUKARELA MENGERJAKAN PERKARA KEBAJIKAN, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH MEMBERI BALASAN PAHALA, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AL-BAQARAH 2:158)
- Allah nyatakan bahawa bukit Safa & Marwah adalah lambang tempat (syi’ar) ibadat kepada Allah SWT!
Ia adalah seperti ibadat tawaf di Ka’bah, saei antara Safa & Marwah, wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah & melintar dan bermabit di Mina.
Inilah 5 tempat untuk mengerjakan haji sebagaimana yang ditunjukkan oleh Allah SWT, menjawab doa nabi Ibrahim sebelum ini! - Saei merupakan salah satu rukun Haji dan Umrah yang dilaksanakan dengan berjalan kaki (berlari-lari anak) berulang alik sebanyak 7 kali dari bukit Safa ke bukit Marwa dan dimulakan dari bukit Safa.
Kedua-dua bukit tersebut mempunyai jarak sekitar 394.5 meter antara keduanya. Yakni jumlah keseluruhannya dalam 2761.5 meter- yakni hampir 3km sekali saei yang sempurna.
Tiada saei sunat semata-mata- ia hanya ada apabila melakukan umrah atau haji sahaja selepas tawaf.
Dalil wajibnya hadis yang diriwayatkan dari Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: ما أتمَّ اللهُ حَجَّ امرئٍ ولا عُمْرَتَه، لم يَطُفْ بين الصَّفا والمروةِ
“Allah tidak akan menerima haji atau umrah seseorang yang tidak melakukan saei antara bukit Safa dan Marwah.” (HR. Bukhari) - Munasabah kedua:
i- Dalam ayat lepas (ayat 155) Allah nyatakan bahawa Dia telah menguji manusia dengan sedikit ketakutan, lapar dan lain-lain kesusahan; dan diakhiri dengan khabar gembira kejayaan bagi orang-orang yang sabar menghadapinya!
ii- Maka Allah sebut dalam ayat ini pula lambang, ikon, uswah contoh kesabaran yang terbaik, seorang wanita Hajar, isteri kepada nabi Ibrahim AS, ibu kepada Nabi Ismail AS yang ditinggalkan di tempat yang tiada air & penduduk.
Maka berlarilah Hajar antara Safa & Marwah mencari air- dalam keadaan takut & sunyi, tiada makanan & minum.
Ujian ke atas Hajar ditinggalkan seorang diri dengan anak kecil di tempat yang tiada orang yang & tiada air makanan. - Ujian Ibrahim terpaksa meninggalkan anak isteri yang masih kecil di tempat itu.
Sebab Nuzul ayat:
Ayat ini turun ketika orang-orang Islam berasa keberatan untuk melakukan saei antara Safa & Marwah kerana suatu masa dulu di situ merupakan tempat kaum musyrikin Quraisy meletakkan berhala-berhala sembahan mereka! - Hadis- riwayat dari Urwah bin Az-Zubair RA bahawa dia bertanya kepada ibu saudaranya UM Sayyidah Aisyah RA tentang maksudnya ayat ini:
حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ دَاوُدَ الْهَاشِمِيُّ، أَخْبَرَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ عُرْوَةَ، عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: قُلْتُ: أَرَأَيْتِ قَوْلَ الله تَعَالَى: {إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا} قُلْتُ: فَوَاللَّهِ مَا عَلَى أَحَدٍ جُنَاحٌ أَنْ لَا يطَّوف بِهِمَا؟ فَقَالَتْ عَائِشَةُ: بِئْسَمَا قُلْتَ يَا ابْنَ أُخْتِي إِنَّهَا لَوْ كَانَتْ عَلَى مَا أوّلتَها عليه كانت: فلا جناح عليه أَلَّا يَطَّوَفَ بِهِمَا، وَلَكِنَّهَا إِنَّمَا أُنْزِلَتْ أَنَّ الْأَنْصَارَ كَانُوا قَبْلَ أَنْ يُسْلِمُوا كَانُوا يُهِلّون لِمَنَاةَ الطَّاغِيَةِ، التِي كَانُوا يَعْبُدُونَهَا عِنْدَ المُشلَّل. وَكَانَ مَنْ أهلَّ لَهَا يَتَحَرَّجُ أَنْ يطوَّف بِالصَّفَا وَالْمَرْوَةِ، فَسَأَلُوا عَنْ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّا كُنَّا نَتَحَرَّجُ أَنْ نطَّوف بِالصَّفَا وَالْمَرْوَةِ فِي الْجَاهِلِيَّةِ. فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: {إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ} إِلَى قَوْلِهِ: {فَلا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا} قَالَتْ عَائِشَةُ: ثُمَّ قَدْ سَنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الطَّوَافَ بِهِمَا، فَلَيْسَ لِأَحَدٍ أَنْ يَدع الطَّوَافَ بِهِمَا.
Ertinya: Urwah RA bertanya kepada UM Aisyah RA: Bagaimana pendapatmu mengenai firman Allah Ta’ala: {Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebagian ‘dari syi’ar Allah. Maka barangsiapa yang beribadah haji ke Baitullah atau berumrah, maka tidak ada dosa baginya mengerjakan saei di antara keduanya.” Aku katakan maksudnya, “Demi Allah, tidak ada dosa bagi seseorang untuk tidak mengerjakan saei di antara keduanya.” Aisyah pun berkata, “Wahai anak saudaraku, betapa buruk apa yang engkau katakan itu. Seandainya benar ayat ini seperti penafsiranmu itu, maka tidak ada dosa bagi seseorang untuk tidak mengerjakan saei antara keduanya. Tetapi ayat itu diturunkan berkenaan dengan kaum Ansar yang sebelum masuk Islam berkorban dengan menyebut nama berhala Manat, yang mereka sembah di Musyallal. Dan orang-orang yang berkorban untuknya itu merasa bersalah untuk mengerjakan saei antara Safa dan Marwah. Kemudian mereka menanyakan hal itu kepada Rasulullah, “Ya Rasulullah, kami merasa bersalah untuk mengerjakan saei antara Safa dan Marwah pada masa jahiliyah. Lalu Allah menurunkan firman-Nya: {Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebagian ‘dari syi’ar Allah. Maka barangsiapa yang beribadah haji ke Baitullah atau berumrah, maka tidak ada dosa baginya mengerjakan saei di antara keduanya.} UM Aisyah RA berkata lagi: “Dan Rasulullah telah mensyari’atkan saei antara keduanya, maka tidak seorang pun diperbolehkan meninggalkan saei di antara Safa dan Marwah.” (HR Ahmad 6/144 dan Al-Bukhari 1643) - Yakni kenapa dalam ayat ini, Allah SWT kata ‘tidak salah’ sedangkan itu memang sudah arahan dari Dia?
Jawapan: Kita lihat kisah sebelum kedatangan Islam.
Pada zaman jahiliyah dua orang telah berzina di dalam Ka’bah & telah dilaknat menjadi batu. Penduduk Makkah meletakkan patung batu ini satu di atas bukit Safa & satu lagi dia atas bukit Marwah.
Tujuan asalnya ia diletakkan di situ adalah sebagai amaran kepada manusia, yang kalau buat maksiat di Tanah Haram, boleh jadi macam itu.
Tetapi malangnya orang yang datang kemudian selepas mereka telah sangka yang syarat untuk sah Haji kena sentuh dua batu itu.
Kemudian bertambah sesat lagi, mereka kata kena puja pula batu itu, sudah mula minta hajat kepada patung itu pula.
Jadi, perkara yang dilakukan oleh mereka itu adalah perbuatan syirik.
Para sahabat yang telah faham bahaya syirik takut untuk pergi ke Safa dan Marwah kerana dahulu semasa mereka Jahiliyyah, mereka pergi ke sana atas dasar syirik. Walaupun Allah SWT telah syariatkan Saie di Safa dan Marwah, mereka masih keberatan kerana terkenangkan perbuatan mereka dahulu.
Maka kerana itulah Allah SWT turunkan ayat ini untuk memberitahu bahawa ia dibenarkan, tidak salah melakukan saei di situ kerana ia adalah perintah Allah bukan kerana penyembahan kepada batu itu!
{Dan sesiapa yang mengerjakan ibadat secara sukarela, itu adalah lebih baik baginya.} Sesiapa yang dengan sukarela melakukan amal ibadat sunat yang dianjur & digalakkan oleh Rasulullah SAW, Allah SWT akan memberi balasan pahalanya kepada mereka. - Ini kerana sesungguhnya Allah memberi balasan pahala { شَاكِرٌ}, lagi Maha Mengetahui {عَلِيمٌ}!
AYAT 159- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MENYEMBUNYIKAN APA YANG TELAH KAMI TURUNKAN DARI KETERANGAN-KETERANGAN DAN PETUNJUK HIDAYAH, SESUDAH KAMI MENERANGKANNYA KEPADA MANUSIA DI DALAM KITAB SUCI, MEREKA ITU DILAKNAT OLEH ALLAH DAN DILAKNAT OLEH SEKALIAN MAKHLUK.} (AL-BAQARAH 2:159)
- Dalam ayat ini Allah menyatakan perbuatan buruk yang amat dilaknat Allah iaitu sesiapa yang menyembunyikan apa yang Allah telah turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Allah menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab-Nya.
- Ayat ini pada masa itu adalah ditujukan kepada rahib-rahib, pendeta yahudi & nasrani, ahli kitab yang ada ilmu dan maklumat berdasarkan Kitab yang Allah turunkan kepada mereka!
Tetapi mereka seleweng, ubah & menyembunyikan kebenaran yang diketahui kerana ikut nafsu & kepentingan dunia. - Tetapi ayat ini juga umum kepada semua orang yang menyembunyikan kebenaran termasuklah ulama’-ulama’, ustaz-ustaz, guru-guru, kiai-kiai, lebai-lebai dan semua yang ada ilmu daripada umat Nabi Muhammad SAW yang menyembunyikan kebenaran; maka mereka juga berhak mendapat kutukan & laknat Allah ini!
- Selain Allah, malaikat & semua orang yang beriman juga turut melaknat mereka!
Bahkan ada ulama’ yang kata termasuk juga makhluk Allah yang lain seperti haiwan! - Hadis- sabda Rasulullah SAW: مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ أَلْجَمَهُ اللَّهُ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Sesiapa ditanya tentang suatu ilmu yang dia tahu, tetapi menyembunyikannya, Allah akan mencambuknya dengan cemeti daripada api pada Hari Kiamat.” [HR Abu Daud, at-Tirmizi & Ibnu Majah- sanad yang sahih].
AYAT 160- {KECUALI ORANG-ORANG YANG BERTAUBAT, DAN MEMPERBAIKI (AMAL BURUK MEREKA) SERTA MENERANGKAN (APA YANG MEREKA SEMBUNYIKAN); MAKA ORANG-ORANG ITU, AKU TERIMA TAUBAT MEREKA, DAN AKULAH YANG MAHA PENERIMA TAUBAT, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-BAQARAH 2:160)
- Mereka yang sembunyikan kebenaran akan dilaknat kecuali jika mereka bertaubat dengan sebenar-benar taubat!
- Taubat itu untuk diterima Allah ada syaratnya yang tertentu:
i- Menyesal lalu bertaubat dengan ikhlas.
ii- Baiki amalan buruk iaitu tinggalkannya & buat baik.
iii- Menjelaskan kepada orang ramai bahawa dia salah & nyatakan apa yang mereka telah sembunyikan! - Hadis istighfar Rasulullah SAW: رَبِّ اغْفِرْ لِي وَتُبْ عَلَيَّ، إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Ertinya: “Ya Allah Tuhanku, ampunilah aku dan berikanlah taubat kepadaku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima taubat lagi Maha Pengasih.” - Apabila Allah SWT mahu beri kebaikan kepada seseorang hamba-Nya:
i- Allah akan buka hatinya untuk bertaubat,
ii- Allah terima taubatnya!
AYAT 161- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KAFIR, DAN MEREKA MATI SEDANG MEREKA TETAP DALAM KEADAAN KAFIR, MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG DITIMPA LAKNAT ALLAH DAN MALAIKAT SERTA MANUSIA SEKALIANNYA.} (AL-BAQARAH 2:161)
- Manakala orang yang tidak mahu bertaubat, tetap dalam kekufuran sehingga mati dalam keadaan kafir, mereka akan ditimpa laknat Allah dan malaikat serta manusia sekaliannya.
AYAT 162- {MEREKA KEKAL DI DALAM LAKNAT ITU, TIDAK DIRINGANKAN AZAB SENGSARA DARI MEREKA DAN MEREKA PULA TIDAK DIBERIKAN TEMPOH ATAU PERHATIAN.} (AL-BAQARAH 2:162)
- Mereka kekal dalam laknat itu sehingga mati, apabila mati pula mereka akan diazab di dalam neraka, kekal di dalamnya; tiada tempoh pengakhiran & keringanan azab untuk mereka!
AYAT 163- {DAN TUHAN KAMU IALAH TUHAN YANG MAHA ESA; TIADA TUHAN (YANG BERHAK DISEMBAH) SELAIN DARI ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-BAQARAH 2:163)
- Munasabah ayat:
i- Setelah Allah ceritakan tentang dua golongan yang dilaknat iaitu yang sembunyikan kebenaran dan mereka yang kufur;
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan pula orang yang selamat. - Iaitu mereka yang menyembah Allah SWT Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan Yang berhak disembah selain dari Allah.
- Dia-lah Allah yang Tunggal & Esa dalam zat-Nya, nama-Nya Dan sifat-Nya. Tuhan yang Maha Pemurah {ٱلرَّحْمَـٰنُ}, lagi Maha Mengasihani {ٱلرَّحِيم}.
- Ya Allah jadikan kami hamba-Mu yang bertauhid kepada Allah, sentiasa beribadat kepada-Mu, yang mengenali Allah dengan haq-Nya yang sebenar & yang melayakkan kami ke syurga-Mu!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 158- {Sesungguhnya “Safa” dan “Marwah” itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah;}-
Melakukan saei iaitu berjalan antara Safa & Marwah ini adalah termasuk dalam ibadat kepada Allah, syi’ar agama Allah. Ia adalah antara rukun haji & umrah.
Mereka yang melakukan ini adalah orang yang taat, akur patuh kepada perintah Allah, menunaikan syi’ar agama Allah.
Beberapa kisah yang berlaku di atas bukit Safa boleh lihat dalam buku Makkah: https://dartaibah.com/?page_id=179…
Lakukanlah ibadat haji & umrah dengan penuh penghayatan, dengan hati yang taat dan patuh kepada Allah SWT, barulah dapat kesan & kebaikan daripada ibadat itu!
Bukan mencari-cari kesalahan & kesilapan yang ada di dua Tanah Haram, itu bukan kerja kita, kita ke sana untuk buat ibadat, dengan hati yang khusyuk & ikhlas, menyahut seruan Allah SWT.
Kita ini ikut mata, nak jadi mata lebah atau mata lalat.
Jika kita cari benda yang buruk, maka buruklah yang dapatnya, jika kita cari benda baik, niat nak buat ibadat ikhlas kepada Allah, maka kebaikan & keampunan yang kita dapat Insya’ Allah! - Ayat 158- {Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.}-
Iaitu sesiapa yang buat benda baik (amal ibadat sunat) yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dengan sukarela & ikhlas, Allah akan beri balasan pahala.
Sesiapa yang buat ibadat yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW, dia akan mendapat kebaikan & balasan pahala seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT!
Jangan reka sendiri ibadat; ibadat kena ada dalil dari Allah & Rasul-Nya,!
Bukan ikut rekaan atau mimpi-mimpi orang lain- tidak akan dapat pahala & kebaikan.
Agama itu kena berfakta bukan auta!
NASIHAT : Jika nak hantar anak ke pusat tahfiz atau pengajian agama, pilihlah tempat yang baik, lihatlah kepada video guru atau pengasasanya jika dok main mimpi-mimpi & ajaran karut elakkannya! - Ayat 159- {Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.}-
Sesiapa yang sembunyikan kebenaran amat besar padahnya- dia akan mendapat laknat Allah SWT & seluruh makhluk Allah!
Manusia yang celaka ialah orang yang ada ilmu, ada maklumat, tahu kebenaran & hukum hakam tetapi menyembunyikan semua kebenaran itu semata-mata nak jaga kepentingan orang tertentu & kedudukannya sendiri!
Iaitu ikonnya seperti para pendeta yahudi & rahib nasrani yang tahu tentang kebenaran & sifat Rasulullah SAW tetapi sembunyikannya kerana kepentingan diri & ikut nafsu!
Termasuk juga para ulama’ & ilmuwan, agamawan zaman kita hari ini yang menyembunyikan kebenaran semata-mata nak jaga orang tertentu & kedudukan dia sendiri!
Jika benda yang kita tak tahu & yakin tentang sesuatu hukum tak apa kita nyatakan kita tak pasti, tak ada maklumat, nak tengok dulu, jangan pula pandai-pandai reka! - Ayat 160- {Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.}-
Ayat ini menunjukkan Allah buka pintu taubat kepada mereka ini!
Galakan untuk bertaubat setelah berbuat dosa, jika terjebak dengan menyembunyikan kebenaran, jika tersalah melakukan amalan yang tidak diajar oleh Rasulullah SAW dan seumpamanya.
Ayat ini memberi peluang kepada orang yang telah tersalah, ingatlah Allah akan terima taubatnya kerana Allah Maha Pengampun, Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
Kata Sayyidina Umar RA : Rujuk kembali kepada kebenaran lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan. - Ayat 161- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir, dan mereka mati sedang mereka tetap dalam keadaan kafir, mereka itulah orang-orang yang ditimpa laknat Allah dan malaikat serta manusia sekaliannya.}-
Ayat ini menyatakan bahawa laknat Allah berterusan tidak henti-henti kepada orang yang berterusan dalam;
i- Kufur kepada Allah dan
ii- Menyembunyikan kebenaran walaupun tidak kafir!
Persolan:
Kenapa Allah sebut juga akan mendapat laknat dari makhluk lain juga, tidak cukupkah dengan laknat dari Allah sahaja?
Jawapan:
Ini kerana Allah nak menyatkan bahawa laknat itu menyeluruh & meliputi, beratnya laknat itu, malaikat di langit melaknatinya, manusia & seluruh makhluk lain di bumi juga melaknatinya!
Bahkan ada ulama’ tafsir kata maksudnya seluruh manusia, yakni seluruh manusia hatta yang sama kafir juga melaknatnya!
Mereka berbalah & berbantah di dalam neraka pula!
Dalilnya firman Allah SWT:
{(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.} (Al-Baqarah 2:166)
Pengikut & ketua saling tuduh menuduh, berbalah & laknat-melaknat!
Kita minta berlindung dengan Allah dari segala sifat buruk ini.
Jauhi dua sifat buruk ini ini, kufur & menyembunyikan kebenaran, mudah-mudahan kita selamat dunia akhirat.
Boleh lihat kuliah sebelum ini- Manusia yang mendapat doa malaikat & yang mendapat laknat malaikat:
https://youtu.be/SwqHYSv3-LA?si=oOdHqy9sjrV1XFUC