View Categories

Surah Al-Baqarah : Ayat 177

KEBAIKAN BUKAN SEKADAR HADAP TIMUR ATAU BARAT, 16 SENARAI KEBAJIKAN & KATEGORI SABAR.

Full video : https://youtu.be/J9o1jeCFo-Y?si=wXN7ymvZLVn1LO7_

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
    Hari ini kita akan bincangkan satu ayat yang panjang iaitu ayat 177 sahaja.
  2. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa kebaikan atau kebajikan itu bukan sekadar menghadap muka ke arah timur atau barat, tetapi ia adalah bagi orang bertaqwa kepada Allah SWT.
  3. Ayat ini juga membawa senarai kebajikan yang hakiki yang akan kita bincangkan nanti. Ada 16 perkara kebajikan dalam ayat ini.
  4. Kemudian Allah nyatakan tentang orang yang sabar dengan pelbagai kategori sabar.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 177- {BUKANLAH PERKARA KEBAJIKAN ITU HANYA KAMU MENGHADAPKAN MUKA KE PIHAK TIMUR DAN BARAT, TETAPI KEBAJIKAN ITU IALAH BERIMANNYA SESEORANG KEPADA ALLAH, DAN HARI AKHIRAT, DAN SEGALA MALAIKAT, DAN SEGALA KITAB, DAN SEKALIAN NABI; DAN MENDERMANYA SESEORANG AKAN HARTANYA SEDANG IA MENYAYANGINYA, – KEPADA KAUM KERABAT, DAN ANAK-ANAK YATIM DAN ORANG-ORANG MISKIN DAN ORANG YANG TERLANTAR DALAM PERJALANAN, DAN KEPADA ORANG-ORANG YANG MEMINTA, DAN UNTUK MEMERDEKAKAN HAMBA-HAMBA ABDI; DAN MENGERJANYA SESEORANG AKAN SEMBAHYANG SERTA MENGELUARKAN ZAKAT; DAN PERBUATAN ORANG-ORANG YANG MENYEMPURNAKAN JANJINYA APABILA MEREKA MEMBUAT PERJANJIAN; DAN KETABAHAN ORANG-ORANG YANG SABAR DALAM MASA KESEMPITAN, DAN DALAM MASA KESAKITAN, DAN JUGA DALAM MASA BERTEMPUR DALAM PERJUANGAN PERANG SABIL. ORANG-ORANG YANG DEMIKIAN SIFATNYA), MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG BENAR (BERIMAN DAN MENGERJAKAN KEBAJIKAN); DAN MEREKA ITULAH JUGA ORANG-ORANG YANG BERTAQWA.} (AL-BAQARAH 2:177)

  1. Allah menyatakan bahawa kebaikan atau kebajikan itu bukan semata-mata menghadap wajah kamu ke arah timur atau barat.
    Masih lagi dalam isu pertukaran arah kiblat dan ia telah menjadi sebab fitnah bagi ahli-ahli agama yang ada pada masa iaitu ahli kitab yahudi & nasrani.
  2. Telah berlaku ikhtilaf antara agama Islam dan Yahudi & Nasrani.
    Kerana kiblat kita adalah ke arah Ka’bah di Makkah mengikut agama asal Nabi Ibrahim AS. Sedangkan mereka mahu ikut seperti kiblat mereka serta mendakwa tidak sah selain daripada itu.
  3. Maka Allah jelaskan bahawa kebajikan itu bukan ikut hadap muka ke arah timur barat utara selatan tetapi kebajikan yang utama adalah beriman kepada Allah serta seperti berikut, yakni sesiapa yang bersifat berikut.
  4. Kebajikan pertama adalah kategori Iman atau aqidah:
    i- Beriman dengan Allah yakni kita beriman dengan ketuhanan & ketuanan Allah SWT (Uluhiyyah & Rububiyyah Allah), dengan sifat Allah yang Maha Tinggi yang layak bagi-Nya serta dengan nama-nama-Nya yang indah.

    ii- Beriman dengan hari Akhirat ialah termasuk beriman dengan kebangkitan semula, dengan pengadilan & pembalasan, ada syurga neraka dan semuanya.

    iii- Beriman dengan malaikat, bahawa malaikat adalah makhluk Allah yang besar & mulia, bilangannya banyak & yang tidak pernah derhaka kepada Allah SWT.

    iv- Beriman dengan kitab-kitab; yakni percaya bahawa Allah SWT turunkan kitab-Nya kepada Rasulullah SAW. Serta dengan kitab-kitab yang diturunkan kepada nabi terdahulu.

    v- Beriman dengan para nabi yang diutuskan Allah sebagaimana yang disebut-nya.
    Serta beriman bahawa risalah yang dibawa oleh mereka adalah benar dari Allah SWT.

    vi- Beriman dengan qadha’ & qadar. Walaupun tidak disebut di sini.
  5. Kedua adalah kebajikan dalam ibadat atau muamalat:
    i- Menderma seseorang akan harta yang disayanginya {عَلَىٰ حُبِّهِ}- bukan sedekah yang sudah tidak mahu atau sudah lusuh nak expired.
    Kepada siapa yang kita nak sedekah ini pula? Allah senaraikan di sini agar kita tidak lupa:

    a- Kepada kaum kerabat {ذَوِى ٱلْقُرْبَى}, kaum keluarga yang ada pertalian kerabat dengan kita. Yakni mulakan sedekah dengan orang yang dekat dengan kita seperti kaum keluarga dan jiran-jiran sekeliling.
    Anak isteri pula adalah nafkah wajib.

    b- Dan anak-anak yatim { وَٱلْيَتَـٰمَىٰ} yang kehilangan bapa sedang dia masih kecil belum baligh, tiada harta yang ditinggalkan, yang miskin & masih tidak boleh usaha sendiri.
    Yakni tidak mutlaq, jika anak yatim kaya tidak perlu lagi bantuan harta. Tetapi boleh bantu dari segi didikan, kasih sayang & penjagaan.

    c- Dan orang-orang miskin { المساكين } iaitu orang yang ada hasil pendapatan tetapi tidak mencukupi bagi nafkah kehidupannya.
    Maka dia berhak lagi menerim bantuan.
    Manakala orang faqir lebih susah daripada orang miskin, lebih tidak cukup pendapatannya atau tiada pendapatan lansung.

    d- Dan orang yang terlantar dalam perjalanan { وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ} iaitu orang yang terputus bekalan/belanja dalam perjalanan.
    Mungkin dia ada duit atau kaya di kampung asalnya, tetapi ketika dalam musafir itu dia terputus belanjanya.
    Kita boleh beri bantuan agar dia boleh kembali sampai ke rumahnya!

    e- Dan kepada orang-orang yang meminta {وَٱلسَّآئِلِينَ} kerana keprluan hajat, ditimpa musibah atau bala bencana.
    Tetapi pada zaman ini kita kena hati-hati & siasat dulu, kerana ramai scammer yang meminta-minta begini.
    Tetapi jika tak tahu & beri, tetap dapat pahala kerana dia yang tipu.

    d- Dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi { وَفِى ٱلرِّقَابِ} tolong beri sumbangan kepada hamba yang nak membebaskan dirinya daripada tuannya.
    Zaman ini tiada hamba yang asal begini- tetapi ada orang yang diculik yang dijadikan hamba atau pekerja mereka, mungkin boleh masuk dalam kategori ini.

    Terdapat banyak perbincangan ulama’ semasa tentang isu ini.
    ii- Dan orang yang mengerjakan solat dengan sempurna & khusyuk; dengan syarat, rukun dan sunatnya,

    iii- Serta mereka yang mengeluarkan zakat; kepada golongan asnafnya sebagaimana yang telah termaktub dalam Al-Quran, iaitu Fakir (Al-Fuqara’) Miskin (Al-Masakin), Amil, Muallaf, Riqab (seseorang yang terbelenggu tanpa kebebasan, hamba), Gharimin (penghutang muslim), Fisabilillah (orang yang berjuang kerana Allah) dan Ibnus Sabil (musafir) pada jalan kebaikan.

    iv- Dan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian.
    Jangan sekali-kali kamu batalkan atau khianat selepas buat perjanjian itu!

    a- Sama ada janji dengan Allah. Iaitu nazar, apabila dia telah berniat untuk buat sesuatu kebaikan apabila dapat sesuatu hajatnya maka dia wajib tunaikan.
    Ini adalah janjinya dengan Allah.

    b- Dengan makhluk, ini banyaklah jenisnya.
    Manusia yang buruk sifatnya akan sentiasa mencari helah untuk tidak tunaikan janji walaupun dia mampu & ada kuasa.
    Kadang-kadang manusia ini bukan tak mahu buat tetapi lupa- maka kerana itulah elok semua perjanjian & hutang dibuat secara bertulis.
    Penyakit tak lekat janji ini amat bahaya kerana ia boleh membawa kepada sifat munafiq.
  6. Kebajikan dalam kategori adab & akhlak: Pertama sekali ketabahan orang-orang yang sabar.
  7. Sabar ini pula samada:
    i- Dalam masa kesempitan, kemiskinan.

    ii- Dan dalam masa kesakitan,

    iii- Dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabilillah.
  8. Manakala sabar yang lebih umum ada 3 kategori juga:
    i- Sabar dalam menunaikan segala perintah Allah.

    ii- Sabar dalam meninggalkan maksiat & segala larangan Allah.

    iii- Sabar dalam atas taqdir Allah SWT samada menghadapi ujian & musibah.
    Biasa apabila sebut sabar orang nampak ketika musibah aja.
  9. Di akhir ayat Allah SWT nyatakan bahawa orang yang bersifat begitu, iaitu yang aqidahnya mantap, ibadatnya terjaga & akhlaknya terpelihara, adalah:
    i- Mereka itulah orang-orang yang benar beriman dan mengerjakan kebajikan.
    Ini kerana amalan mereka bertepatan dengan iman mereka!

    ii- Dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa!
    Iaitu orang yang menjaga diri daripada melakukan maksiat & tidak meninggalkan ketaatan.
  10. Alhamdulillah tamatlah tafsiran ayat 177 ini secara ringkas dan kita berpindah untuk mencari 5 fawaid daripada ayat ini pula.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 177- {Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat,}-

    Allah nyatakan bahawa bukanlah kebajikan itu berbalah untuk menghadap ke arah timur atau barat tetapi kebaikan itu ialah orang yang bersifat dengan sifat yang Allah sebut ini!
    Kata ulama’tadabbur: Kebajikan { ٱلْبِرَّ} itu adalah mengumpulkan semua jenis kebaikan maka jadilah ia oang yang baik.
    Dalam ayat ini Allah nyatakan 3 atau 4 kategori kebajikan iaitu: Dari segi aqidah, amalan, ibadat & akhlak.
    Ayat ini Allah masih lagi bincangkan tentang isu pertukaran kiblat yang tidak habis-habis dimainkan oleh ahli kitab Yahudi & Nasrani.
    Maka Allah tegaskan bahawa kebajikan itu bukanlah bergantung kepada arah mana menghadap, tetapi kebajikan adalah orang yang melakukan perkara yang Allah nyatakankan ini.
    Ya Allah jadikanlah kami orang yang sentiasa taat kepada-Mu, melakukan kebajikan & kebaikan, bertaqwa kepada Allah SWT.
  2. Kata ulama’: Ayat 177 ini mengandungi maklumat & faedah yang besar kerana ia mengandungi ibu kepada hukum-hakam- ia mengandungi 16 kaedah:

    i- Beriman kepada Allah, dengan nama-Nya yang indah & sifat-Nya yang mulia.

    ii- Beriman kepada hari akhirat- kita akan bangkit semula, pengadilan & pembalasan serta kepada syurga & neraka semuanya.

    iii- Beriman dengan malaikat, bilangan mereka ramai size mereka besar & tidak derhaka kepada Allah selamanya.

    iv- Beriman kepada Kitab yang Allah turunkan seperti Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran Al-Karim.

    v- Beriman dengan rasul dan nabi yang disebut dalam Al-Quran 25 orang.
    Ada riwayat kata ada 313 rasul & 124,000 nabi semuanya.

    vi- Infaq harta dalam keadaan wajib & sunat.

    vii- Hubungi silaturrahim jangan putus, dengan kasih sayang & bantuan.

    viii- Sentiasa bertanya khabar hal keadaan anak-anak yatim samada keluarga kita atau bukan.

    ix- Bantu orang faqir miskin dengan bantuan yang sesuai dengan kepeluan mereka.

    x- Membantu musafir yang terputus bekalan (belanja) dalam perjalanan. Mereka ini termasuk dalam kategori tetamu juga.

    xi- Beri bantuan kepada orang yang meminta.

    xii- Menolong hamba untuk memerdekakan diri.

    xiii- Jaga solat dengan sempurna & khusyuk.

    xiv- Tunaikan zakat.

    xv- Tunaikan janji jangan khianat.

    xvi- Sabar ketika susah & ujian menimpa.

    Inilah 16 ibu kepada hukum-hakam (أمهات الأحكام) manakala yang lain itu adalah pecahan-pecahan yang termasuk di bawahnya.
  3. Ayat 177- {dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi;}-

    Allah ajar kita untuk menderma kepada golongan ini.
    Ayat ini mengajar susunan atau tertib dalam memberi infaq atau bantuan sedekah.
    Kita nak bagi infaq nak bagi derma; kena tengok secara tertib.
    Yang pertama sekali kita kena siasat keadaan ahli keluarga kita sendiri yang terdekat dulu; anak isteri, anak saudara dan kaum kerabat terdekat.
    Cukup atau tidak. Pastikan mereka cukup nafkah dan makan minum.
    Kedua lihat kepada anak yatim- ini kerana mereka orang yang tiada orang bapa atau pemberi nafkah utama.
    Kemudian kepada orang miskin, orang kerja tetapi yang tidak cukup pendapatannya untuk nafkah kehidupan.
    Kemudian kepada orang musafir yang terlantar (terputus bekalan), kepada orang yang dalam kesusahan lalu dia terpaksa meminta-minta.
    Inilah tertib yang kita kena ikut. Lihat kepada ayat Al-Quran ini, lihat kepada yang dekat dulu baru pergi kepada yang jauh.
    Jangan sampai seperti kata pepatah:
    Kera di hutan disusukan; Anak di rumah kelaparan.
    Ini adalah tanggung-jawab yang kita akan dipersoalkan di akhirat kelak!
  4. Ayat 177- {dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil.}-

    Ayat ini kata ulama’ tadabbur menggalakkan kita untuk bersabar.
    Allah SWT nak didik jiwa & hati kita.
    Supaya jika terlepas harta dunia; kita tidak akan kecewa, hilang apa yang kita sayang kita tidak terlalu kecewa, menungging nyor & berputus asa.
    Sedih tetap sedih, tetapi ingat pada batasnya.
    Jangan sampai kita hilang harta dunia & hilang pahala di akhirat kelak, jika tak sabar.
  5. Ayat 177- {orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.}-

    Allah kata siapa yang boleh bersabar dengan ketentuan Allah Azza wa Jalla, sabar melakukan ketaatan & sabar meninggalkan maksiat maka mereka adalah orang yang benar-benar beriman kepada Allah & orang bertaqwa.
    Ayat ini Allah mula dengan beriman kepada Allah, berbuat baik kepada kaum keluarga kemudian diakhiri dengan galakan untuk bersabar!
    Ini semua benda yang kita kena buat itu berkait dengan sabar kerana jika tak sabar kita akan lari dan semua ini tidak akan tertunai!
    Ya Allah jadikan kami orang sabar, orang bertaqwa & orang dapat melakukan kesemua 16 perkara yang disenaraikan ini, Aamin ya Rabbal ‘Aalamin.

Semoga bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs