View Categories

Surah Al-Baqarah : Ayat 180-182

HUKUM BERWASIAT, DOSA MENGUBAH WASIAT & BETULKAN JIKA ADA PERTIKAIAN ATAU KESALAHAN.

Full video : https://youtu.be/QbYy3s446WI?si=2xlaQs_m8b6uurmO

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah tafsir bagi ayat 180 sehingga ayat 182, surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan hukum berwasiat, pada peringkat awal Islam dan kesudahannya.
  3. Allah juga beri amaran tentang dosa orang yang mengubah wasiat. Si mati pesan lain, dia tunaikan lain kerana ada kepentingannya.
  4. Akhirnya Allah ingatkan supaya memperbetulkan wasiat jika tak betul atau jika ada pertikaian & penyelewengan.
    Ini sangat penting dalam kita menerima wasiat kerana ia diterima selepas tuannya mati, kita yang menerimanya kena amanah.
  5. Munasabah ayat:
    i- Ayat sebelumnya Allah SWT sebut tentang isu pembunuhan, yang akan dikenakan Qisas iaitu bunuh balik juga. Maka ia sudah tahulah bahawa dia akan mati dalam masa terdekat.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah sebut tentang wasiat. Ini adalah tertibnya; nak mati buat wasiat. Ia tak kira sama ada mati kena hukum atau kita yang mati biasa ini juga difardhukan untuk menulis wasiat apabila datang kepada kita sebab-sebab atau muqddimah nak mati.
    Penyakit kronik, tanda ketuaan atau yang akan dijatuhkan hukum Qisas tadi.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 180- {KAMU DIWAJIBKAN, APABILA SESEORANG DARI KAMU HAMPIR MATI, JIKA IA ADA MENINGGALKAN HARTA, (HENDAKLAH IA) MEMBUAT WASIAT UNTUK IBU BAPA DAN KAUM KERABAT DENGAN CARA YANG BAIK (MENURUT PERATURAN AGAMA), SEBAGAI SUATU KEWAJIPAN ATAS ORANG-ORANG YANG BERTAQWA.} (AL-BAQARAH 2:180)

  1. Ayat ini adalah {كُتِبَ} yakni kewajipan yang kedua. Iaitu apabila seseorang kamu sudah terasa hampir kematiannya hendaklah dia membuat wasiat jika dia ada harta.
  2. Yakni wasiat untuk kedua ibu bapa yang ada halangan untuk menerima pusaka atau kaum kerabat yang tidak mewarisi harta pusaka.
  3. Ia hendaklah dilakukan dengan cara yang baik, ikut ketetapan agama; jangan terlalu melampaui (curah terus) atau terlalu bakhil. Hendaklah dengan adil iaitu menurut keperluan dan Islam ambil kira semua bukan hanya ikut otak atau nafsu kamu.
  4. Juga jangan sampai wasiat itu menyekat atau menghalang waris yang berhak untuk menerima pusaka pula.
  5. Wasiat juga tidak boleh melebihi 1/3 daripada keseluruhan harta yang dimilik kecuali dengan persetujuan para waris.
    Maksimum wasiat 1/3 dari harta. Ini adalah ketetapan yang telah dibuat oleh Rasulullah SAW.
  6. Hadis daripada kisah Saad bin Abi Waqqas RA:
    عن سعاد بن أبي وقاص رضي الله عنه, قُلتُ: يا رَسولَ اللَّهِ، أُوصِي بمالِي كُلِّهِ؟ قالَ: لا، قُلتُ: فالشَّطْرُ، قالَ: لا، قُلتُ: الثُّلُثُ، قالَ: فالثُّلُثُ، والثُّلُثُ كَثِيرٌ، إنَّكَ أنْ تَدَعَ ورَثَتَكَ أغْنِياءَ خَيْرٌ مِن أنْ تَدَعَهُمْ عالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ في أيْدِيهِمْ
    Maksudnya: Daripada Saad Bin Abi Waqqas RA, aku telah berkata:
    “Wahai Rasullullah, aku telah ditimpa sakit sedangkan aku mempunyai harta, apakah pandanganmu kerana tiada seorang pun yang akan mewarisi harta itu melainkan anak perempuanku seorang. Ya Rasulullah, Bolehkah aku mewasiatkan kesemua hartaku?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan saparuh daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan satu pertiga daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya atau mencukupi, ia lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan (bantuan) manusia”. [HR al-Bukhari (2742].)
    Maka selebihnya atau 2/3 lagi diberikan kepada ahli waris yang disebut itu.
  7. Persoalan apakah hukum wajib wasiat ini masih ada atau sudah dimansukhkan?
    i- Pandangan Abdullah bin Abbas RA & Al-Hasan Al-Basri RHM : Wasiat kepada kedua ibu bapa telah terbatal hukumnya TETAPI kepada keluarga yang tidak menerima harta pusaka tetap sah. Yakni sebahagian sahaja Mansukh yang sebahagian lagi masih valid.

    ii- Ada ulama’ seperti Ibnu Umar & Abu Musa al-Asy’ari RA : Ayat wajib wasiat ini telah terbatal keseluruhannya dengan ayat mawarith (tentang pusaka) maka wasiat tidak boleh dibuat lagi kepada waris.
  8. Hadis Rasulullah SAW semasa Haji Wada’ (Tahun ke-10H), riwayat Ibnu Umar RA, bahawa dia mendengar antara isi khutbahnya ialah:
    أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
    Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak (pusaka) mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris.” [Abu Daud (2870), Ibn Majah (2210), dan Ahmad (286)].
  9. Inilah yang kita bimbangkan hari ini bila nak mati dok wasiat kepada anak-anak sendiri.
    Sekarang ini banyak muncul syarika-syarikat atau NGO yang membantu untuk pengurusan harta pusaka & wasiat ini.
    Antaranya Hak Kerajaan Amanah Raya.
    NGO Pertubuhan Du’ah Faraidh Mslaysia.
    Link: https://www.facebook.com/duahfaraidh?mibextid=ZbWKwL
    Semoga mereka semua cakna & sedar akan hukum ini.
  10. Allah kata di akhir ayat : Jika kamu orang yang bertaqwa tunaikan wasiat dengan betul-betul. Jangan terlalu bakhil & jangan terlalu boros.
  11. Rumusan:
    i- Pada asalnya ayat ini mewajibkan untuk berwasiat sebelum mati. Tetapi hukum wajib mewasiatkan harta itu dimansuhkan setelah diturunkan ayat-ayat pusaka.

    ii- Maka hukum mewasiatkan harta menjadi sunat dengan tidak melebihi satu pertiga daripada harta peninggalan yang diberikan kepada selain ahli waris.

AYAT 181- {KEMUDIAN SESIAPA YANG MENGUBAH MANA-MANA WASIAT SESUDAH IA MENDENGARNYA, MAKA SESUNGGUHNYA DOSANYA HANYA DITANGGUNG OLEH ORANG-ORANG YANG MENGUBAHNYA; SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AL-BAQARAH 2:181)

  1. Allah memberi peringatan lagi sesiapa yang menerima & mendengar wasiat kemudian mengubahnya, mereka akan dibalas kesalahan itu di akhirat kelak.
  2. Dosa atas kepala mereka kerana mereka yang bertanggung-jawab untuk menunaikannya, orang mati itu sudah habis ceritanya!
  3. Munasabah ayat dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat sebelum ini Allah sebut perintah tentang kewajipan untuk berwasiat pada peringkat awalnya, maka Allah besarkan kedudukan wasiat.

    ii- Ayat ini bawa amaran dan peringatan untuk berhati-hati, jangan ubah jangan tukar apa yang telah diwasiatkan oleh si mati.
  4. Ancaman kepada orang yang mendengar sendiri wasiat dari si mati agar jangan ubah wasiat sama ada dengan tambah, kurangkan atau seumpamanya. Dosa akan bergantung kepadanya & Allah akan balas perbuatan buruknya.
  5. Manakala si pewasiat, jika dia telah berwasiat dengan adil, tidak melampaui batas, bukan untuk melarikan harta pusaka atau mengenepikan mana-mana pewaris maka telah lepaslah tanggung-jawabnya.
  6. Allah tekankan bahawa sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui, apa yang sebenar terkandung dalam wasiat itu, maka jangan kamu berani cuba nak ubah!
    Maka orang yang beriman akan tersentap & takut untuk melakukannya.
  7. Ingatlah, jangan bermudah-mudah, main-main dengan wasiat, ini kerana jika kita mengubah wasiat bermakna kita telah mengubah satu perjalanan penting dalam hidup dan amanah yang besar.

AYAT 182- {TETAPI SESIAPA YANG MENGETAHUI BAHAWA ORANG YANG BERWASIAT ITU TIDAK ADIL ATAU MELAKUKAN DOSA (DALAM WASIATNYA), LALU IA MENDAMAIKAN ANTARA MEREKA (WARIS-WARIS, DENGAN MEMBETULKAN WASIAT ITU MENURUT ATURAN AGAMA), MAKA TIDAKLAH IA BERDOSA. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-BAQARAH 2:182)

  1. Jika kita tahu bahawa seseorang itu telah berwasiat dengan secara tidak adil, kita kena tolong baiki & betulkannya.
    Jangan ikut wasiat yang tidak betul seperti wasiat kepada waris atau lebih daripada 1/3 harta tanpa izin warisnya.
  2. Jika pewarisnya tidak setuju, kita kena perbetulkan wasiat itu ikut seperti yang Syari’ah tetapkan. Ini tidak menjadi kesalahan bahkan menjadi kebaikan pula.
    Yakni jika kita tahu semasa dia masih hidup pergi nasihatinya, jika dia telah mati kita telah perbetulkannya agar wasiat itu terpakai & tidak rosak.
  3. Jangan main-main bab pusaka, uruskannya dengan segera dan ikut SOP Syari’ah kerana ia akan mejadi beban ke atas semua sama ada yang telah mati atau yang masih hidup.
    Semoga kita semua diberi kefahaman yang benar & betul, masing-masing jaga wasiat & buat perkara yang disizinkan Allah SWT.
  4. Kesimpulam daripada ayat ini kita kena tahu:
    i- Kadar wasiat; iaitu tidak melebihi 1/3 daripada keseluruhan harta si mati.
    Cara penggunaan harta si mati yang pertama guna hartanya untuk belanja pengurusan jenazahnya. Kemudian tunaikan hutang & wasiatnya dahulu barulah membahagikan harta pusaka kepada pewaris ikut faraidh (bahagian) yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

    ii- Ijma’ ulama’ bahawa sesiapa yang mati & dia ada penerima pusaka seperti yang telah ditetapkan oleh Allah SWT; maka tidak boleh dia wasiatkan seluruh hartanya! Kerana harta itu akan kembali kepada pewarisnyna.
  5. Firman Allah SWT:
    {Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalalah).
    Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang di tinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan”. Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.}. (An-Nisaa’ 4:176)

    Al-Kalalah seseorang yang mati tidak meninggalkan ibu bapa & anak.
  6. Kata ulama’: Allah SWT tidak serahkan tugas membahagi harta pusaka ini kepada Rasulullah SAW tidak juga kepada malaikat; tetapi bahkan Allah sendiri yang membahagikannya, yang menetapkan bahagian, penerima & cara pembahagiannya!
  7. Datang zaman kita hari ini ramai orang yang tidak mahu guna pembahagian harta pusaka ikut faraidh ini tetapi nak guna wasiat, nak pakai hibbah dan macam-macam cara lain.
    Kita kata ini juga antara kepincangan yang kita perlu berhati-hati agar kita tidak terjebak tidak terperangkap dengan cara yang menyeleweng & tidak sepatutnya.
  8. Kita boleh dapatkan khidmat nasihat dari Agensi Kerajaan seperti Amanah Raya atau mana syarikat swasta atau NGO yang pakar dalam isu harta pusaka ini supaya pembahagian harta ini dapat dijalankan dengan lancar & tidak tertangguh atau tertunggak.
  9. Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa baginda telah bersabda: مَنْ ظَلَمَ قِيْدَ شِبْرٍ مِنَ الأَرْضِ طُوِّقَهُ مِنْ سَبْعِ أَرَضِيْنَ
    Maksudnya: “Sesiapa yang berbuat zalim (dengan mengambil) sejengkal tanah, maka dia akan dikalungkan (dengan tanah) dari tujuh lapis bumi.” [HR Bukhari dan Muslim].

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 180- {Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat..}-

    Ada ulama’ kata : Ayat ini telah dimansukhkan dengan ayat pusaka, ada yang kata sebahagian masih terpakai manakala yang sebahagian lagi telah dimansukhkan. Kita kena belajar & nasihat bahawa kita belajar & ada ilmu tentang harta pusaka ini.

    Kena faham bahawa erti:
    i- Wasiat ini adalah yang diterima selepas kematian.
    Wasiat juga boleh ditukar, diubah & ditarik balik selagi dia masih hidup.

    ii- Berbeza dengan hibbah! Hibbah diberi masa hidup lagi kena tukar milik.
    Wasiat atau pesanan ini bukan khas tentang harta pusaka untuk dibahagikan saja mesti ditulis, bahkan hutang kita dengan orang juga kena tulis, amanah orang yang kita pegang, nazar yang belum ditunaikan semuanya wajib ditulis & dinyatakan jika tiada saksi pewaris yang tahu.
    Ini semua adalah wasiat yang wajib kita pesan!
    Bahkan Rasulullah SAW telah berpesan: “Tidak berhak bagi seseorang Islam yang mempunyai sesuatu (sama ada harta atau hutang atau amanah banyak atau sedikit) yang mahu diwasiatkannya tidur walaupun dua malam melainkan sepatutnya wasiat (pesanan) itu telah sedia bertulis di sisinya.” [HR al-Bukhari].

    Banyak terjadi orang ambil harta atau hak orang dengan sebab tiada wasiat yang rasmi ini!
    Dengan alasan dia tidak tahu, tidak dengar mak atau ayahnya kata begitu!
    Ini kerana wasiat tidak ada tuan untuk menuntutnya bukan seperti hutang!
    Ingatlah harta dunia ini hanya sementara, hari ini kita makan hari ini esok kita ke tandas, tetapi bila kita mati kita akan berada di bawah tanah, di dalam bumi jika tidak tunaikan wasiat kita bertanggung jawab di hadapan Allah kelak.
  2. Ayat 180- {(hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama),}-

    Wasiat atau pesanan kepada ibu bapa dan kaum keluarga ini bukan hanya tentang harta.
    Ini kerana tidak boleh wasiat kepada pewaris.
    Wasiat juga boleh jadi dengan pesanan tentang kebaikan, pesanan tentang silatur-rahim, perkenalkan kepada warsi-waris kita, tulis surat-surat pesanan dan seumpamanya.
    Allah juga beri galakan untuk tulis wasiat kerana manusia ini mudah lupa. Kerana itu kena tulis & kena ada saksi, ini juga sangat penting.
  3. Ayat 180- {sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.}-

    Kenapa Allah sebut begini, haq ke atas orang yang bertaqwa?
    Kerana hanya orang yang bertaqwa sahaja yang akan ikut perintah Allah SWT.
    Jika kamu degil tidak mahu ikut arahan Allah maka kamu tanggunglah akibatnya.
    Orang yang bertaqwa adalah orang yang takut kepada Allah tidak akan buat perkara yang tidak baik, perkara maksiat kepada Allah SWT!
  4. Ayat 181- {Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah ia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya;}-

    Allah beri amaran tentang sesiapa yang sudah jumpa wasiat bertulis atau dengar wasiat- tetapi dia pergi tukarnya pula kerana tamak & sayangkan harta itu!
    Maka tanggungjawab si mati sudah selesai, pewaris yang tahu wasiat itulah yang akan bertanggungjawab atas wasiat itu terutamanya jika ada hutang dengan orang lain.
    Hutang itu hak orang jangan kita cuba mengelaknya.
    Jika wasiat itu salah kita kena perbetulkannya jangan ikut wasiat yang tidak SOP Syari’ah.
  5. Ayat 182- {Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu ia mendamaikan antara mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan agama), maka tidaklah ia berdosa.}-

    Kita perbetulkan wasiat yang salah & tidak betul ikut Syari’ah.
    Ayat ini menunjukkan betapa besarnya pahala orang yang mempertulkan perkara yang salah.
    Jika kita tahu & kita mampu, kita kena ubah & perbetulkan.
    Sesiapa yang telah perbetulkan wasiat orang yang salah, kita akan dapat pahala.
    Bukan kita ubah wasiat yang sudah benar dengan niat menyelewengkannya, tetapi kerana ia salah & tidak tepat dengan Syari’ah.
    Sebuah buku yang menarik tentang hikmah di sebalik Syariah Islam, di sebalik hukum hakam Islam: https://dartaibah.com/?page_id=179…

Sekian dulu kuliah kita hari ini, semoga ada manfaat & faedahnya untuk kehidupan dan agama kita.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs