View Categories

Surah Al-Baqarah : Ayat 198-203

AMALAN IBADAT HAJI, WUQUF DI ARAFAH, MABIT MUZDALIFAH, BANYAK BERZIKIR & AMALAN DI MINA

Full video : https://youtu.be/4BMoCueRXbY?si=RaDii9tn8L8LlPug

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
    Kita akan baca ayat 198 sehingga ayat 203.
  2. Ayat ini melengkapkan ayat yang kita baca semalam.
    Dalam siri ini Allah SWT sebut amalan ibadat haji, iaitu wuquf di Arafah, Mabit di Muzdalifah, serta beberapa amalan di Mina; melontar, nafar Awal & nafar Thani dan lain-lain.
  3. Kemudian haji dan zikir berpisah tiada. Allah SWT sebut banyak kali dalam ayat-ayat haji agar perbanyakkan berzikir, talbiyah & takbir kepada Allah Azza wa Jalla.
  4. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat lepas Allah SWT menggalakkan semua umat ini untuk bertaqwa dan mencari bekalan untuk keredhaan Allah.
    Setelah itu Allah juga beri pesanan agar menjauhkan 3 perkara dalam haji iaitu jidal, rafath & fusuq { فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ}.

    ii- Maka datang ayat ini, kelonggaran yang menyatakan tidak ada kesalahan untuk menjalankan perniagaan.
  5. Ulama’ kata ini adalah susunan yang menarik kerana dipasarlah biasanya berlaku perbalahan dan perselisihan pendapat & Jidal.
    Bahkan disebut pasar adalah tempat yang Allah paling tidak suka berbanding dengan masjid!
    Tetapi di sini Allah sebut demi keperluan semua, dibenarkan untuk berniaga dengan syarat ingat & jagalah SOP dan adab-adabnya.
    Dengan niat nak membantu keperluan jemaah haji bukan demi mengaut keuntungan semata-mata.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 198- {TIDAKLAH MENJADI SALAH, KAMU MENCARI LIMPAH KURNIA DARI TUHAN KAMU (DENGAN MENERUSKAN PERNIAGAAN KETIKA MENGERJAKAN HAJI).}

  1. Dalam ayat ini Allah SWT memberi kebenaran untuk berniaga bagi jemaah haji untuk memenuhi keperluan mereka.
    Allah turunkan ayat ini bahawa tidak menjadi kesalahan kamu berniaga sambal mencari limpah kurniaan Allah SWT.
  2. Maksudnya boleh berniaga di Makkah tetapi jangan pergi dengan niat khas untuk berniaga saja, ia hanya sebagai selingan untuk keperluan jemaah haji.
    Musim haji ini sepatutnya musim rahmat dan kasih sayang bukan musim sembelih jemaah haji. الله المستعان
  3. Ingatan juga kepada para syarikat pengendali jemaah haji, travel-travel agent agar elokkan niat, sambil berniaga kena ada niat nak bantu & tolong orang, bantu jemaah, bukan dengan niat nak kaut untungan semata-mata.
    Insya’ Allah dapat pahala walaupun dengan pakej perniagaan.
  4. Sabab nuzul ayat:
    Diriwayatkan dari Ibnu Abbas; Pada zaman Jahiliyyah terkenal pasar-pasar bernama Ukaz, Mijannah dan Zul-Majaz. Kaum Muslimin merasa berdosa apabila berdagang pada musim haji di pasar itu. Mereka bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hal itu. Maka Allah turunkan ayat Quran ini. [HR Bukahri].
  5. Yakni bolehlah kita nak berniaga, nak berbisnis pada musim haji, tetapi jangan sampai lupa tujuan asal mencari keredhaan Allah & mengaut keuntungan semata.

AYAT 198- {KEMUDIAN APABILA KAMU BERTOLAK TURUN DARI PADANG ARAFAH (MENUJU KE MUZDALIFAH) MAKA SEBUTLAH NAMA ALLAH (DENGAN DOA,”TALBIAH” DAN TASBIH) DI TEMPAT MASY’AR AL-HARAM (DI MUZDALIFAH), DAN INGATLAH KEPADA ALLAH DENGAN MENYEBUTNYA SEBAGAIMANA IA TELAH MEMBERIKAN PETUNJUK HIDAYAH KEPADAMU; DAN SESUNGGUHNYA KAMU SEBELUM ITU ADALAH DARI GOLONGAN ORANG-ORANG YANG SALAH JALAN IBADATNYA.} (AL-BAQARAH 2:198)

  1. Ayat ini menunjukkan tertib asal haji:
    i- Wajib untuk semua jemaah haji berwuquf di Arafah pada hari ke-9 Zulhijjah sehingga selepas maghrib iaitu Hari Wuquf;

    ii- Dari Arafah menuju ke Masy’ar Al-Haram iaitu Muzdalifah serta mabit (bermalam) di sana sehingga solat subuh (hukum asal).
    Di sana jemaah haji solat maghrib & isya jamak ta’khir sambil sebut nama Allah dengan berdoa, berzikir, talbiyah dan tasbih di tempat yang Allah tentukan itu.
    Tetapi dibenarkan untuk keluar dari Muzdalifah ke mina selepas separuh malam bermabit (selepas jam 12 tengah malam).
  2. Muzdalifah dipanggil Masy’ar Al-Haram kerana Arafah adalah Masy’ar Al-Halal, iaitu terletak di Tanah Halal.
  3. Pekerjaan haji wajib kena campur antara halal & haram- iaitu:
    Niat di Makkah (tanah Haram) kemudian keluar ke Arafah, tanah halal kemudian masuk ke Muzdalifah iaitu Tanah Haram pula untuk pekerjaan haji yang seterusnya.
  4. Begitu juga umrah, kena keluar berniat di tanah halal yakni luar sempadan Makkah seperti Tan’im, Ja’ranah atau Hudaibiyah dan sebagainya, kemudian kembali masuk mengerjakan rukun umrah di Makkah.
  5. Kemudian Allah pesan supaya mengerjakan segala manasik (amalan haji) ini mengikut apa yang Allah SWT perintahkan & ikut apa yang Rasulullah SAW ajar.
    Buat yang sahih bukan yang pelik-pelik yang diajar orang lain.
  6. Jika dulu amalan haji mengikut amalan jahiliyah maka sekarang ini ambillah amalan haji mengikut petunjuk yang Allah beri, yang sahih berpandukan Al-Quran & Sunnah.
    Kita sekarang ini pun yang baik kekalkan yang salah kita perbetulkan!
  7. Tetapi seperti biasa dalam perkerjaan haji juga ada perbezaan pendapat antara mazhab, contohnya ada yang kata tidak boleh keluar dari Muzdaliah kecuali lepas subuh dan sebagainya.
    Alhamdulillah kita kata ini sebagai satu kelonggaran dari Allah.
  8. Pesanan mesra:
    i- Jangan kita terlalu rigid hanya ikut mazhab, jika kita dah jumpa dalil yang sahih dan jelas kenapa kita nak u-turn pula!
    Kita ikut mazhab berpandukan dalil yang sahih!

    ii- Kita nak pergi mengerjakan haji atau umrah carilah pakej atau pembimbing yang dapat membimbing kita ke arah ibadat yang sahih dan jelas.
    Bukan banyak cerita hal kelebihan gosok kubur, air telaga dan lain-lain yang pelik!
    Masalahnya orang memang suka yang pelik- yang Sunnah yang sahih kurang minat!

AYAT 199- {SELAIN DARI ITU HENDAKLAH KAMU BERTOLAK TURUN DARI (ARAFAH) TEMPAT BERTOLAKNYA ORANG RAMAI, DAN BERISTIGHFARLAH KAMU KEPADA ALLAH (DENGAN MEMOHON AMPUN), SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-BAQARAH 2:199)

  1. Yakni orang Arab (selain Quraisy) tawaf sambal bertelanjang bulat kerana mereka mengatakan pakaian mereka itu kotor & tidak suci. Mereka juga berwuquf di Arafah.
    Manakala kaum Quraisy dikira kasta yang mulia, mereka tawaf dengan berpakaian dan wuquf di Muzdalifah yakni tanpa perlu keluar dari Tanah Haram seperti orang ramai.
  2. Lalu Allah SWT turunkan ayat Al-Quran ini memerintahkan agar kaum Quraisy wuquf ikut orang ramai iaitu di Arafah bukan di Muzdalifah seperti kebiasaan yang mereka buat!
  3. Hadis:
    حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى أَخْبَرَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ قُرَيْشٌ وَمَنْ دَانَ دِينَهَا يَقِفُونَ بِالْمُزْدَلِفَةِ وَكَانُوا يُسَمَّوْنَ الْحُمْسَ وَكَانَ سَائِرُ الْعَرَبِ يَقِفُونَ بِعَرَفَةَ فَلَمَّا جَاءَ الْإِسْلَامُ أَمَرَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ نَبِيَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَأْتِيَ عَرَفَاتٍ فَيَقِفَ بِهَا ثُمَّ يُفِيضَ مِنْهَا فَذَلِكَ قَوْلُهُ عَزَّ وَجَلَّ { ثُمَّ أَفِيضُوا مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ النَّاسُ }
    Artinya: Telah menceritakan kepada kami [Yahya bin Yahya] telah mengkhabarkan kepada kami [Abu Mu’awiyah] dari [Hisyam bin Urwah] dari [bapaknya] dari [Aisyah] radliallahu ‘anha, ia berkata; Kaum quraisy dan orang-orang mengikuti ajarannya, mereka melakukan wuquf di Muzdalifah dan mereka menamakannya Al-Hums. Adapun seluruh kabilah Arab, mereka semua melakukan wuquf di Arafah. Apabila agama Islam datang, Allah ‘azza wajalla menyuruh Nabi-Nya untuk mendatangi Arafah dan melakukan wuquf padanya, lalu keluar darinya dengan segera. Dan itulah yang dimaksudkan dengan firman ‘Azza wa Jalla ini; {“Kemudian bertolaklah kamu dari tempat bertolaknya orang-orang ramai (‘Arafah) …”.} [HR Bukhari & Muslim].
  4. Alhamdulillah sekarang semuanya berwuquf di Arafah, tiada lagi kasta-kasta atau Humus Quraisy. Allah perintahkan untuk keluar semua.
    Hums ialah qabilah Qurash, yang membawa erti golongan yang bersemangat menjaga Makkah atau membantu jemaah haji.
    Kerana itu mereka tidak mahu keluar meninggalkan tanah Haram walaupun untuk berwuquf.
  5. Haji ini bunganya adalah istighfar & zikir. Allah perintahkan untuk beristighfar kepada Allah dengan memohon ampun, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

AYAT 200- {KEMUDIAN APABILA KAMU TELAH SELESAI MENGERJAKAN AMALAN IBADAT HAJI KAMU, MAKA HENDAKLAH KAMU MENYEBUT-NYEBUT DAN MENGINGATI ALLAH (DENGAN MEMBESARKANNYA) SEBAGAIMANA KAMU DAHULU MENYEBUT-NYEBUT (MEMUJI-MUJI) DATUK NENEK KAMU, BAHKAN DENGAN SEBUTAN YANG LEBIH LAGI. DALAM PADA ITU, ADA DI ANTARA MANUSIA YANG (BERDOA DENGAN) BERKATA: “WAHAI TUHAN KAMI! BERILAH KAMI KEBAIKAN) DI DUNIA”. (ORANG-ORANG INI DIBERIKAN KEBAIKAN DI DUNIA) DAN TIDAK ADA BAGINYA SEDIKITPUN KEBAIKAN DI AKHIRAT.} (AL-BAQARAH 2:200)

  1. Allah peringatkan orang yang mengerjakan haji supaya banyak beristighfar & berzikir memuji Allah.
  2. Ini kerana kebiasaan puak Arab jahiliyah ini sesudah siap wuquf samada di Arafah atau di Muzdalifah, mereka akan berkumpul di Mina lalu masing-masing berbangga memuji-muji kejayaan & pencapaian datuk-nenek mereka.
  3. Jadi Allah peringatkan orang mukmin, cukuplah dok sebut & berbangga dengan tok nenek.
    Allah suruh kita banyakkan zikir & berdoa kerana Makkah & tempat pekerjaan haji itu adalah antara tempat yang mustajab doa.
    Kita ambil contoh dari amalan Rasulullah SAW yang berdoa ditempat-tempat itu serta diikuti oleh para sahabat.
  4. Sekarang masa untuk berzikir memuji Allah pula:
    i- Jemaah haji semasa berihram sejak dari hari 8 lagi bertalbiyah di Mina (hari tarwiyah) sebelum wuquf.
    Lafaz talbiyah Rasulullah SAW adalah sebagai berikut: لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ
    “Ya Allah, aku memenuhi panggilan-Mu, Ya Allah aku memenuhi panggilan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu, sesungguhnya pujian dan kenikmatan hanya milik-Mu, dan kerajaan hanyalah milik-Mu, tiada sekutu bagi-Mu”.

    ii- Kemudian selepas selesai wuquf di Arafah, setelah bercukur & melontar iaitu tahallul awal kita kena bertakbir pula sehingga ke hari Tasyriq yang ketiga iaitu 13hb Zulhijjah.
  5. Lafaz takbir yang ringkas: اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ لَا إلٰهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلّٰهِ الْحَمْدُ
    Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Tiada tuhan selain Allah yang Maha Besar. Allah Maha Besar, segala puji bagi-Nya.
  6. Allah nyatakan ada antara manusia iaitu orang kafir hanya berdoa untuk kebaikan dunia saja, mereka lupa akan Akhirat kerana asyik mengejar dunia. Inilah manusia yang rugi!

AYAT 201- {AYAT DAN DI ANTARA MEREKA PULA ADA YANG (BERDOA DENGAN) BERKATA: “WAHAI TUHAN KAMI, BERILAH KAMI KEBAIKAN DI DUNIA DAN KEBAIKAN DI AKHIRAT, DAN PELIHARALAH KAMI DARI AZAB NERAKA”.} (AL-BAQARAH 2:201)

  1. Perbanyakkan doa yang baik di Arafah, mintalah kebaikan dunia & Akhirat.
    Kita orang Islam inilah yang kita nak minta, yang paling besar adalah kebaikan & keselamat di Akhirat serta selamat dari api neraka.
  2. Tetapi dalam masa yang sama tak salah kita juga berdoa untuk kebaikan dunia tetapi bukan membesarkannya lebih daripada Akhirat! Jangan habiskan waktu mustajab doa di Arafah dengan meminta habuan dunia saja.
  3. Doa yang paling lengkap, yang diajar sendiri oleh Allah SWT adalah: رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ حَسَنَةًۭ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ
    “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.
  4. Hadis riwayat Anas RA : Bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW menziarahi seorang sahabat dan mendapatinya kurus kering seperti anak burung yang tercabut bulu. Lalu Rasulullah SAW mngesyaki sesuatu dan bertanya ada apa-apa yang kamu minta (doa) dari Allah? Dia berkata: Benar, ya aku minta jika Allah nak mengazab aku di Akhirat kelak kerana dosa aku, maka azablah aku terus di dunia ini. Nabi SAW amat terkejut mendengarnya- betapa kamu telah meminta sesuatu yang kamu tidak mampu menanggungnya! (Lalu Nabi ajar caranya) Kenapa kamu tidak berdoa: اللَّهُمَّ آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.”. Lalu Rasulullah SAW mendoakan kesembuhan untuknya. [HR Muslim].
  5. Hadis- Anas RA, Ditanya oleh Qatadah RA apakah doa yang sering dibaca oleh Rasulullah SAW. Anas berkata: كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
    Maksudnya: “Doa Nabi SAW yang paling sering diucapkan ialah: اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ “Ya Allah, Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.”
    [HR al-Bukhari (6389) dan Muslim (7016)].

    Imam Muslim menambah dalam riwayatnya: وَكَانَ أَنَسٌ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ بِدَعْوَةٍ دَعَا بِهَا، فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ بِدُعَاءٍ دَعَا بِهَا فِيهِ
    Maksudnya: “Apabila Anas hendak berdoa dengan satu doa, maka dia berdoa dengan doa tersebut. Apabila dia hendak berdoa dengan banyak doa, maka dia menyertakan doa tersebut di dalamnya.” Dari Sahabat Abdullah bin Saib RA, beliau menceritakan, aku mendengar Rasulullah SAW membaca doa ini, رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ حَسَنَةًۭ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”. Ketika berada di antara rukun Yamani dengan rukun Hajar Aswad. (HR. Abu Daud 1894 dan dihasankan al-Albani).

AYAT 202- {MEREKA ITULAH YANG AKAN MENDAPAT BAHAGIAN YANG BAIK DARI APA YANG TELAH MEREKA USAHAKAN; DAN ALLAH AMAT CEPAT HITUNGANNYA.} (AL-BAQARAH 2:202)

  1. Orang yang banyak berdoa kepada Allah SWT, orang yang minta kebaikan dunia & Akhirat ini, itulah orang yang akan mendapat bahagian yang baik!
    Allah akan beri kepada kita apa yang kita minta mengikut apa yang sesuai dengan kita.
  2. Ini kerana jika Allah beri kita lebih kita akan lompat lalai atau jika Allah beri kurang kita akan lari kerana tidak akan cukup.
  3. Ingatlah bahawa Allah itu amat cepat perhitungan (kiraan) dan balasan-Nya!

AYAT 203- {DAN SEBUTLAH KAMU AKAN ALLAH (DENGAN TAKBIR SEMASA MENGERJAKAN HAJI) DALAM BEBERAPA HARI YANG TERTENTU BILANGANNYA. KEMUDIAN SESIAPA YANG SEGERA (MENINGGALKAN MINA) PADA HARI YANG KEDUA, MAKA IA TIDAKLAH BERDOSA DAN SESIAPA YANG MELAMBATKAN (MENINGGALKAN MINA) MAKA IA JUGA TIDAKLAH BERDOSA; (KETIADAAN DOSA ITU IALAH) BAGI ORANG YANG BERTAQWA DAN HENDAKLAH KAMU BERTAQWA KEPADA ALLAH DAN KETAHUILAH SESUNGGUHNYA KAMU AKAN DIHIMPUNKAN KEPADANYA.} (AL-BAQARAH 2:203)

  1. Semasa berada di Mina pada hari-hari tertentu iaitu 3 hari-hari Tasyriq (11, 12 & 13 Zulhijjah), Allah mengingatkan para jemaah haji agar banyakkan berzikir mengingati Allah SWT buat amalan yang baik!
  2. Kemudian Allah nyatakan sesiapa yang mahu berada penuh selama 3 hari di Mina itu atau hanya dua hari sahaja, yakni keluar pada hari ke-12 selepas melontar pada hari itu- tidak mengapa & tiada dosa baginya!
  3. Allah benarkan untuk keluar, sama saja, Allah sebut khas {Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa } Yakni dipanggil Nafar Awal.
    Jangan ingat kurang pahala atau hanya yang malas saja melakukan nafar awal ini- harap belajar dan faham ayat Allah SWT ini jangan pertikaikan.
  4. Atau sesiapa nak tambah tinggal di Mina sehari lagi dan melakukan Nawar Thani- tidak menjadi kesalahan juga baginya {maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa;}.
  5. Kedua pilihan ini dibenarkan & tidak berdosa orang yang melakukannya tetapi dengan syarat kamu bertaqwa, jangan melakukan apa yang Allah SWT larang terutamanya tiga larangan utama { فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ} ini.
  6. Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan kepada-Nya kamu akan dihimpun dan dikembalikan.
  7. Kesimpulannya:
    i- Hari yang tertentu itu ialah hari Tasyriq di Mina.

    ii- Zikir itu dengan makna takbir kepada Allah dan lain-lain. Dimana saja boleh bertakbir walaupun tidak pergi haji.
  8. Kita boleh bertakbbir bermula dar hari 9 Zullhijjah sehingga hari 13 Zulhijjah. Takbir pula terbahagi kepada dua iaitu:
    i- Takbir muqoyyad ialah takbir yang terikat dengan solat (berlaku hanya pada musim hari raya korban sehaja).
    Bermula Takbir muqoyyad ialah pada waktu subuh 9 Zulhijjah sampai waktu asar 13 Zulhijjah. Takbir raya ini dilaungkan pada setiap kali selepas solat fardhu dan lain-lain.

    ii- Takbir Mutlaq pula boleh dilakukkan pada bila-bila masa saja. Tidak terikat dengan solat.
  9. Kerana kamu sudah selesai mengerjakan haji mahu kembali ke negeri masing-masing dah, maka jagalah kemabruran haji kamu, jaga perbuatan kamu jangan calarkan haji kamu itu.
    Semoga kita akan dapat keampunan Allah SWT & berkumpul di dalam syurga nanti!
    Dari Abu Hurairah RA : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: من حج ولم يرفث ولم يفسق رجع كيوم ولدته أمه
    Maksudnya: “Barangsiapa mengerjakan haji, lalu ia tidak berkata kotor, dan tidak pula mengerjakan dosa, maka ia akan kembali seperti saat dilahirkan oleh ibunya”. (Muttafaq ‘alaih)
  10. Ya Allah terima segala amal ibadat kami, jadikan haji kami haji yang mabrur, keluar dari dosa suci seperti bayi.
    Boleh lihat Kuliah AMM dalam bab haji & umrah: https://www.youtube.com/watch?v=ocjU-Cq3pks…

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 198- {Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji).}-

    Setelah Allah beri galakan agar kita bertaqwa takut kepada Allah, jangan berbalah & berbantah.
    Sedangkan biasanya dalam jual-beli, di pasar-pasar inilah mudah terjadinyna berbantah & berbalah;
    Maka Allah jelaskan tidak salah kamu menjalankan perniagaan pada musim haji tetapi dengan syarat niat yang baik & ikhlas kepada Allah SWT, dengan niat membantu para jemaah haji lain selain dari mencari rezeki yang halal!
    Begitu juga apabila kita buat haji juga apabila kita nak berniaga; kita kena letak dengan niat mencari keredhaan Allah SWT, bukan mencari untung semata-mata.
    Yakni tidak salah untuk berniaga semasa mengerjakan haji, bersama berbuat ibadat, dengan niat Ikhlas kerana perniagaan juga satu ibadah, untuk membantu jemaah haji yang lain memenuhi keperluan mereka.
  2. Ayat 199- {dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}-

    Amalan haji inilah zikir, takbir; semuanya untuk mengingati Allah.
    Ini kerana Rasulullah SAW sebut dalam hadisnya: Semua amalan haji itu tawaf, sae’I, wuquf, melontar dan lain-lain, semuanya adalah untuk mengingati Allah SWT. Bukan nak bangga-bangga, bukan nak tunjuk kepada orang; tetapi semua untuk beribadat kepada Allah SWT!
    Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.}-
    Allah kata ada antara manusia yang hanya meminta berdoa untuk kebaikan dunia saja, inilah orang tidak cerdik & rugi.
  3. Ayat 200- {Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya)}-

    Apabila selesai haji kita kena terus banyakkan berzikir dan Syukur & ingat kepada Allah, kerana Allah SWT memberi hidayah kepada kita untuk melakukan amalan-amalan yang baik dalam haji ini!
    Ada orang yang pergi haji tapi tidak mengambil peluang untuk memenuhi masanya di tempat yang berkat & waktu yang mustajab dengan amal ibadat megingati Allah Azza wa Jalla!
    Dalam haji ini kita kena banyakkkan berzikir serta mengingati Allah SWT dengan pelbagai ibadat lain!
    Ini kerana kita nak buat haji ini kena bersihkan diri kita, bertaubat kepada Allah SWT agar hati kita tenang dan mudah untuk buat amal ibadat.
    Bukan di Arafah baru nak bertaubat dan sucikan hati!
    Kita kena bertaubat sebelum pergi lagi kerana di Arafah ini kita mahu penuhkan dengan ibadat & zikir kepada Allah sebanyak mungkin!
    Begitu juga apabila selesai ibadah haji, sekali perbanyakkan zikir dan mengingati Allah, bersyukurlah diberi nikmat dapat melakukan ibadah haji, peluang yang bukan semua orang dapat dengan mudah.
  4. Ayat 201- {Ayat Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.}-

    Manakala orang yang baik, orang yang cerdik dia akan berdoa untuk kebaikan dunia dan akhirat, dengan doa yang mencakupi semua ini.
    Inilah doa yang paling komprehensif untuk semua keadaan; semasa haji atau untuk doa seharian kita!
  5. Ayat 203- {Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya.}-

    Bertaqwalah kepada Allah, ingat kepada Allah, jauhi perbuatan lagha, semoga kita mendapat pahala dan manfaat dalam hari yang hanya beberapa hari tertentu saja bilangannya. Serta ingatlah bahawa kamu akan kembali kepada Allah Azza wa Jalla.
    Jika kamu lagha, kamu lalai tidak bertaqwa kepada Allah maka haji kamu tidak akan sempurna dan mabrur serta bekalan Akhirat kamu tidak akan cukup.
    Inilah uslub nasihat, kita kena kembarkan antara menggalakkan & menakutkan!
    nasihat untuk bertaqwa serta dalam masa yang sama kena bari amaran bagi yang lalai & lagha.
    Begitulah juga dalam hidup kita, letakkan dalam diri kita agar sentiasa bertaqwa kepada Allah semasa pergi haji juga semasa di negara kita, semoga Allah berikan yang terbaik kepada kita di dunia & di Akhirat.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs