GAYA MUNAFIQ PANDAI BERCAKAP, HATINYA PENUH PEMBOHONGAN & ORANG MUKMIN BERKORBAN UNTUK AGAMA.
Full video : https://youtu.be/4CvfzoKrPxw?si=SbkY9qlBfn6KkUjy
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 204 sehingga ayat 207 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
- Dalam siri ini Allah SWT jelaskan tentang gaya munafiq yang pandai bercakap, mulutnya penuh dengan kebaikan seolah pejuang Islam yang tulen.
- Tetapi Allah dedahkan bahawa hatinya busuk penuh pembohongan, bencikan Islam, bencikan Rasulullah SAW dan penuh dengan nifaq & kekufuran.
- Maka Allah ajar kepada kita sifat orang yang baik, iaitu orang mukmin berkorban dalam segala gerak kerjanya untuk agama.
- Munasabah ayat:
i- Allah ceritakan bahawa orang pergi haji & berdoa ada 2 kategori;
a) ada yang berdoa untuk kebaikan dunia sahaja & ada orang yang cerdik iaitu yang berdoa kepada Allah untuk dua-dua kebaikan dunia & Akhirat.
b) Allah juga nyatakan tujuan ibadat haji; semua amalannya dilakukan untuk bertaqwa kepada Allah SWT.
Tempat taqwa itu pula di dalam hati bukan di lidah semata-mata.
Lidah hanya penyampai atau perantaraan sahaja kepada apa yang hati nak!
ii- Dalam ayat hari ini Allah SWT sebut pula dua keadaan manusia dalam neraca timbangan iaitu:
a) Munafiq yang menzahirkan kebaikan di mulut sedangkan dalam hatinya tidak begitu. Benci kesumat kepada Islam & Rasulullah serta tidak suka Sunnah Nabi SAW.
b) Orang mukmin yang ikhlas dalam hatinya- mencari keredhaan Allah semata-mata. Bukan mencari kesukaan & keredhaan manusia!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 204- {DAN DI ANTARA MANUSIA ADA ORANG YANG TUTUR KATANYA MENGENAI HAL KEHIDUPAN DUNIA, MENYEBABKAN ENGKAU TERTARIK HATI (MENDENGARNYA), DAN IA (BERSUMPAH DENGAN MENGATAKAN BAHAWA) ALLAH MENJADI SAKSI ATAS APA YANG ADA DALAM HATINYA, PADAHAL IA ADALAH ORANG YANG AMAT KERAS PERMUSUHANNYA (KEPADAMU).} (AL-BAQARAH 2:204)
- Allah nyatakan ada di antara manusia yang membuatkan kamu kagum kerana mereka petah bercakap, menarik gaya bahasa & pertuturannya, bersungguh bersumpah dengan nama Allah bahawa dia adalah benar.
- Padahal keadaan yang sebenar adalah sebaliknya itulah sifat munafiq, isi hatinya berbeza sebaliknya dengan apa yang dizahirkan!
Itulah munafiq, elok diluar tetapi busuk di dalam, lembut gigi daripada lidah! - Maksudnya di antara manusia {وَمِنَ ٱلنَّاسِ} itu ialah orang munafiq yang begitu baik & elok Zahir & penampilannya sehinggakan bukan orang ramai saja bahkan Rasulullah SAW sendiri turut kagum dengan mereka { يُعْجِبُكَ}.
- Mereka juga suka bersumpah palsu untuk meyakinkan Rasulullah SAW. Maka kita para pendakwah & umat Islam seluruhnya jangan sekali-kali bermain-main dengan sumpah ini!
- Mereka zahirkan cintakan Allah & Nabi dengan mulut mereka, tetapi hati mereka penuh kebencian, permusuhan & pendustaan terhadap Islam!
Percakapan mereka bohong & suka berdebat (mujadalah) dengan orang.
Mereka buat cerita & sebarkan agar orang ramai ikut benci kepada para pendakwah! - Firman Allah WT juga tentang munafiq ini:
{Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.} (Al-Munaafiquun 63:1)
{Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.} (Al-Munaafiquun 63:2)
{(Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah).} (Al-Munaafiquun 63:3)
{Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelakuannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya – dari kebenaran)?} (Al-Munaafiquun 63:4)
Hadis Rasulullah:
i- Orang paling dibenci adalah orang yang paling kuat berbantah:
Daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang paling kuat bermusuhan.” (HR Muslim).
ii- Hadis 4 sifat munafiq sama ada yang iktiqad atau amali (sifat sahaja):
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru RA, Nabi SAW bersabda:
” أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَب وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ “.
“Sesiapa yang memiliki empat perkara ini, maka dia adalah benar-benar munafiq. Sesiapa yang mempunyai sebahagian daripadanya, maka pada dirinya ada sebahagian daripada kemunafiqan sehinggalah dia meninggalkan sifat tersebut. (1) Apabila dia diberikan amanah, dia khianat. (2) Apabila dia berkata-kata, dia berdusta. (3) Apabila dia berjanji, dia mungkiri, (4) Apabila dia bertelagah, dia melampaui batas.” [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, hadis no: 34] - Jika sesiapa yang ada sifat begini maka dia ada sifat munafiq, kita jangan pula kata dia orang munafiq terus, tapi begitulah sehinggalah dia meninggalkan sifat tersebut.
AYAT 205- {KEMUDIAN APABILA IA PERGI (DENGAN MENDAPAT HAJATNYA), BERUSAHALAH IA DI BUMI, UNTUK MELAKUKAN BENCANA PADANYA, DAN MEMBINASAKAN TANAMAN-TANAMAN DAN KETURUNAN (BINATANG TERNAK DAN MANUSIA; SEDANG ALLAH TIDAK SUKA KEPADA BENCANA KEROSAKAN.} (AL-BAQARAH 2:205)
- Kemudian mereka juga berjalan sambil berusaha mendapatkan apa yang dihajatinya; iaitu menyebarkan keraguan kepada masyarakat, supaya orang membenci Islam & Rasulullah SAW atau Sunnah Baginda, mereka juga pelopor atau penganjur maksiat.
Inilah mainan munafiq untuk meralisasikan budaya hidup hiburan & maksiat. - Setelah mereka dapat apa yang mereka hajati (sebar kekufuran & maksiat tadi); mereka juga suka melakukan keroskan atas muka bumi. Membuat kebinasaan ini ada dua; sama ada merosakkan akhlak manusia atau merosakkan bumi secara hakiki.
- Iaitu seperti merosakkan tanaman, keturunan manusia atau haiwan:
i- Jika dapat kuasa habis bukit & hutan digondolkan untuk dijual bagi mengaut keuntungan dunia.
Sehingga habis rosak hutan & kawasan tadahan air, Sungai-sungai & laut menjadi kotor & tercemar.
ii- Eco-system laut seperti batu karang & rumah ikan di laut juga rosak akibat perbuatan manusia begini!
Binatang-binatang dibunuh & diburu sewenang-wenang untuk dijual hasilnya (tanduk gading & seumpamnya), ikan bukan dipukat tapi dituba dengan racun, sehingga ada yang hampir pupus dan pupus terus. - Firman Allah SWT juga:
{Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).} (Ar-Ruum 30:41) - Sedangkan Allah SWT tidak sukakan kerosakan dan bencana, Allah juga tidak suka mereka yang buat bencana atas muka bumi ini!
- Musuh dalam selimut ini amat berbahaya, lebih daripada musuh di luar sana.
Mereka ini duduk sekali dengan kita, berkawan dengan kita, depan kita nampak hormat & baik tetapi rupanya mereka membuat fitnah & memburukkan kita di belakang kita!
Inilah talam dua muka; depan lain, zahir lain tetapi di dalam hati mereka rupanya penuh permusuhan & kebencian!
AYAT 206- {DAN APABILA DIKATAKAN KEPADANYA: “BERTAQWALAH ENGKAU KEPADA ALLAH” TIMBULAH KESOMBONGANNYA DENGAN (MENERUSKAN) DOSA (YANG DILAKUKANNYA ITU). OLEH ITU PADANLAH IA (MENERIMA BALASAN AZAB) NERAKA JAHANNAM DAN DEMI SESUNGGUHNYA, (NERAKA JAHANNAM ITU) ADALAH SEBURUK-BURUK TEMPAT TINGGAL.} (AL-BAQARAH 2:206)
- Apabila mereka yang buat kerosakan ini diberi nasihat- mereka sombong; bukannya nak dengar bahkan meneruskan dosa & kerosakan itu dengan penuh kesombongan & berbangga pula!
- Maka mereka akan menerima balasan azab yang amat dahsyat, mereka akan disiksa di dalam neraka Jahannam yang merupakan seburuk-buruk tempat!
AYAT 207- {DAN DI ANTARA MANUSIA ADA YANG MENGORBANKAN DIRINYA KERANA MENCARI KEREDAAN ALLAH SEMATA-MATA; DAN ALLAH PULA AMAT BELAS-KASIHAN AKAN HAMBA-HAMBANYA.} (AL-BAQARAH 2:207)
- Allah juga nyatakan ada antara manusia beriman itu yang mengorbankan dirinya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah.
- Allah buat perumpamaan ibaratnya mereka menjual diri {مَن يَشْرِى نَفْسَهُ} untuk Allah, korbankan diri untuk menegakkan agama Allah & Sunnah Nabi SAW!
- Mereka telah mengorbakan masa, tenaga, usaha, harta benda & dirinya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah.
Semoga kita semua termasuk dalam golongan ini. - Semua itu berlaku dengan taqdir dan kehendak Allah SWT. Kita buatlah setara mana pun jika orang tak suka & nak marah; dia tetap akan tolak & komplen.
Orang yang paling berhikmah, paling benar dakwahnya ialah Rasulullah SAW; tetapi tetap dibenci & dimarahi oleh orang yang tidak mahu meneriman kebenaran ini! - Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa Dia Amat belas-kasihan {رَءُوفٌۢ } terhadap hamba-Nya.
Yakni rahmat Allah luas, Allah sayang kepada orang beriman yang telah infaqkan dirinya untuk mencari keredhaan Allah SWT!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 204- {Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya)}-
Allah nyatakan ada orang yang membuatkan kita (orang Islam) kagum dengan penampilan, gaya & percakapannya.
Jika kita lihat gayanya sama ada yang moden bergaya umpama jutawan atau penampilan warak, penampilan ulama’ dengan serban jubahnya, kita akan berasa kagum & tertarik kepada mereka.
Tiga sikap yang kita kena perhati & hati-hati ialah mereka yang:
i- Suka bercakap manis
ii- Suka bersumpah untuk menguatkan kata-katanya.
iii- Ada kepetahan dalam berhujjah.
Kita jangan tengok atau dengar kata-kata atau sekadar penampilannya- tetapi kita lihat kepada perbuatannya.
Maka dalam ayat ini Allah dedahkan akan dua golongan:
i- Mereka yang munafiq baik di luar buruk di dalam.
ii- Yang menjual dirinya berkorban pada jalan Allah.
Ya Allah berilah kami rahmat-Mu, hidayah & bimbingan-Mu agar kami hidup aman di dunia, mati dalam husnul khatimah serta mendapat keredhaan di Akhirat dan syurga-Mu. - Ayat 204- {padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).}-
Allah gambarkan bahawa orang munafiq ini juga mereka amat suka berbalah berdebat & berhujjah.
Biasanya orang begini Allah tidak akan beri keberkatan dalam kehidupan mereka kerana Allah sangat tidak sukakan orang yang suka berdebat ini. Kerana itu Rasulullah SAW telah nyatakan bahawa orang yang meninggalkan (tidak mahu) berdebat walaupun dia tahu & ada ilmu tentangnya, akan mendapat tempat khas di dalam syurga. Apatah lagi jika tiada ilmu & pengetahuan, hanya semata-mata suka berdebat berbalah tanpa fakta walaupun tahu dia salah, tetap mahu berteganng urat menegakkan benang basah!
Daripada Abi Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: مَا ضَلَّ قَوْمٌ بَعْدَ هُدًى كَانُوا عَلَيْهِ إِلَّا أُوتُوا الجَدَلَ
Maksudnya: “Tidaklah suatu kaum itu tersesat setelah mereka berada di atas hidayah melainkan orang yang suka berdebat”. [HR at-Tirmizi (3176) dan Ibnu Majah (47)] - Ayat 206- {Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertaqwalah engkau kepada Allah” timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu).}-
Mereka ini juga amat sombong apabila ditegur & diberi nasihat, bahkan mereka bangga dengan dosa mereka. Ayat ini adalah amaran daripada menolak nasihat, Allah gambarkan antara sifat munafiq ialah menolak nasihat!
Sepatutnya apabila kita diberi nasihat dengan dikatakan: {Takutilah Allah- ٱتَّقِ ٱللَّهَ }.
Maka kita jawablah : Kami mendengar & kami taat (سمعنا و أطعنا) dan (وجزاك الله خيرا).
Ini sebagai mengagungkan dan membesarkan nasihat dengan nama Allah.
Jangan jadi orang yang sombong yang akan marah dan menjawab balik dengan sindiran & perlian nasihat orang.
Kenapa suruh aku takut Tuhan? Aku jahat ke?
Kamu sudah cukup baik ke? - Ayat 204- {Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya,}-
Ayat ini adalah ayat aqidah untuk menyatakan bahawa Allah SWT tahu apa yang ada dalam hati kita!
Jangan jadi munafiq yang tidak percaya akan ilmu Allah ini; kerana itu mereka berani zahirkan iman sedangkan dalam hati, batin mereka kufur!
Mereka ingat Allah tak tahu & tak nampak apa yang tersembunyi dalam hati mereka!
Maka jangan kita buat perangai seperti munafiq ini kerana seolah-olah kita tidak yakin dengan Allah atau percaya akan ilmu Allah ini seperti munafiq.
Ini kerana Allah tidak suka akan orang yang buat kerosakan atas muka bumi ini, maka kita nak jadi baik adalah dengan beriman & taat kepada perintah Allah! - Ayat 207- {Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata;]-
Allah kata ada orang yang menjual dirinya yakni berkorban kerana mencari keredhaan Allah Azza wa Jalla.
Bila kita nak suruh Allah redha kepada kita:
i- Pertama sekali kita kena ikhlas dalam segala amalan kita!
Ikhlas ini tak perlu cerita kepada orang kerana ikhlas itu di dalam hati. Itulah yang Allah nilai, apa yang ada dalam hati kita.
ii- Kemudian setelah ikhlas kita kena buat kerja atau amal, inilah manhaj ahli Sunnah. Iman & amal mesti serentak!
Bukan seperti fahaman murji’ah (sekular/liberal) yang memisahkan iman & amal- solat walaupun pergi pesta maksiat, sedekah & waqaf walaupun hasil perniagaan dari sumber riba, pergi ke Makkah walaupun makan rasuah!
Semoga Allah curahkan ikhlas dalam hati kita, supaya kita sanggup korbankan diri kita semata-mata kerana mencari keredhaan Allah, menegakkan agama Allah & Sunnah Rasulullah.
Ya Allah jagalah kami dari kejahatan & fitnah orang-orang yang jahat, sama ada yang khianat secara fizikal & mental, dengan sebaran fitnah & hebahan berita palsu!
Serta selamatkan saudara kami di Palestin dari kejahatan yahudi dan kuncu-kuncunya.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.