SERUAN MENERIMA ISLAM SEPENUHNYA, JANGAN IKUT SYAITAN & KAFIR CINTAKAN DUNIA PERLI ORANG BERIMAN.
Full video : https://youtu.be/zuWF2eNOl2U?si=-beefToFBbTfAviP
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 208 sehingga ayat 212 bagi surah Al-Baqarah.
Surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua. - Dalam siri ini Allah SWT bawa seruan kepada orang beriman agar menerima Islam sepenuhnya, bukan hanya separuh-separuh atau sebahagian saja.
Ini kerana Islam ini syumul (menyeluruh) untuk semua, serta kamil (sempurna). - Allah juga melarang agar jangan ikut syaitan yang kerjanya nak menghalang manusia daripada kebaikan & menyuruh kepada kemungkaran.
Tak kiralah syaitan jin atau syaitan manusia. Begitulah kerjanya menghalang manusia daripada menerima Islam sepenuhnya. - Kemudian Allah nyatakan bahawa orang kafir cintakan dunia serta suka perli orang beriman. Maka azab yang dahsyat untuk mereka di Akhirat kelak!
- Kita orang beriman tetap dengan iman kita. Sekarang kita sedang belajar Kalam Allah & Sunnah Rasulullah SAW yang sahih.
Insya’ Allah semoga kita berada dalam kumpulan Ahlus-Sunnah yang benar seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para sahabat Salafus-Soleh. - Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa manusia ini ada yang soleh ada yang fasad.
Yang baik adalah yang benar-benar beriman zahir & batin.
Manakala ada yang tak baik ialah orang kafir tulen atau kafir sembunyi iaitu munafiq.
Maka orang yang baik akan makmurkan bumi manakala orang yang jahat akan rosakkan bumi dengan maksiat & kemungkaran.
ii- Maka datang ayat ini di mana Allah perintahkan orang beriman untuk bersatu hati di atas satu manhaj iaitu manhaj Kitab dan Sunnah.
Jangan berkelahi, berpecah & berbalah, hendaklah kamu di atas landasan agama yang satu, Islam, berpegang dengan Al-Quran & Sunnah Nabi SAW- kekallah kamu di atas agama ini sehingga mati!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 208- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! MASUKLAH KAMU KE DALAM AGAMA ISLAM (DENGAN MEMATUHI) SEGALA HUKUM-HUKUMNYA; DAN JANGANLAH KAMU MENURUT JEJAK LANGKAH SYAITAN; SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU MUSUH BAGI KAMU YANG TERANG NYATA.} (AL-BAQARAH 2:208)
- Allah menyeru kepada orang yang beriman agar menerima Islam sepenuhnya & beramal dengan seluruh Syari’ah serta mematuhi semua hukum-hakamnya.
Bukan boleh pilih-pilih apa yang nak atau apa yang tak mahu, kerana Islam adalah dari Allah. - Tetapi datang penjajah orang kafir yang ajar kita untuk pilih-pilih hukum yang diamalkan. Ibadat solat puasa ikut Islam- akad nikah ikut Islam lagi tetapi majlis mulai dirosakkan dengan acara-acara & pakaian yang tak ikut Syari’ah.
Pemerintahan negara ikut undang-undang orang putih begitu juga dalam bab muamalat- berasas riba & rasuah seolah halal! Pemerintahan negeri & negara juga ikut undang-undang yang digubal manusia. - Islam adalah lengkap dari segi keimanan, tauhid, feqah ibadat, muamalat, jenayah, akhlak dan seluruh gaya hidup.
Jika kita tidak memahami hakikat ini maka inilah punca orang Islam sendiri akan menghina dan meremehkan agama Islam & hukum-hakamnya. - Inilah kepincangan yang akan terjadi jika kita yang tidak menerima Islam yang sebenar yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW & para sahabat RAnhum.
- Untuk penjelasan yang lebih lanjut tentang Islam Cara Hidup & tentang Keindahan Islam boleh ikuti kuliah AAM di:
https://www.youtube.com/watch?v=8Hjhtu0lo18… - TETAPI ingatlah cabaran sesiapa yang mahu ikut & mengamalkan ajaran Islam dan Sunnah Rasulullah SAW yang sahih pasti ada penentang selagi ada syaitan yang menghasut!
- Allah peringatkan kita agar jangan ikut syaitan ini- kerana dia adalah musuh yang sangat nyata, bila Allah perintah kita untuk ambil Islam seluruh dalam masa yang sama Allah beri amaran.
i- Cabaran & halangan pasti akan ada kerana syaitan tak suka kita belajar Al-Quran kerana ia akan menembus hati kita untuk mengenal Allah & beramal dengan Al-Quran sepenuhnya.
ii- Begitu juga apabila kita belajar hadis Rasulullah SAW yang menjadi sumber perundangan Islam yang kedua; untuk mengamalkan Sunnah dalam kehidupan kita- sekali lagi syaitan juga akan datang hasut kita- jangan ikut itu baru bahan mentah, tetapi buat & ikutlah amalan yang ini yang telah dihurai dan dibaiki oleh orang lain.
Sedangkan hadis Nabi itu bukan sesuatu yang pelik & susah difahami oleh akal manusia. Ulama’-ulama’ hadis yang muktabar telah menilai hadis Nabi SAW untuk kita pilih ambil, ulama’ terdahulu lebih memahami mereka lebih awal menerima Islam & Al-Quran.
Manakala ulama’ terkini hanya menambah nilai tambah untuk lebih difahami mengikut situasi semasa. - Ingatlah apabila hati kita telah jinak untuk belajar Al-Quran & beramal dengannya akan datang syaitan untuk menjauhkan kembali kita dengan pelbagai cara!
Sama ada syaitan jin asli atau syaitan manusia; semuanya akan cuba menghalang!
Penjajah kafir telah menjauhkan Al-Quran daripada kehidupan manusia.
Dia tidak sekat orang baca Al-Quran tetapi dia asingkan antara agama & kehidupan seharian (ajaran sekular). - Begitu juga apabila datang penghalang hari ini; Mereka mungkin tidak sekat direct manusia daripada belajar Al-Quran, tidak berani nak tembak Al-Quran terus; tetapi dia akan tembak orang yang mengajar Al-Quran atau mengajak kembali kepada Sunnah itu dengan perbagai peluru tohmahan & tuduhan yang dapat menimbulkan keraguan, keresahan & waswas sehingga orang mulai ragu & lari!
- Hilang habis ilmu yang diikuti selama ini; sekali orang tembak terus koyak & goyah- terasa bersalah dan lemah!
Jangan begitu; di mana manfaat dari ilmu yang dipelajari, kuliah yang ditadabbur selama ini????
Kenapa tertutup pintu hati kita untuk muhasabah, mengkaji & siasat dulu?
Jarum syaitan ini laju dan masuk sasaran yang menyebabkan orang hilang pertimbangan & kewarasan! - Ya Allah selamatkan kami daripada perancangan jahat mereka serta kembalikan kejahatan & fitnah mereka ke atas mereka semula!
Jadikan kami ahli Al-Quran & as-Sunnah yang akan berada di bawah panji Rasulullah SAW di Akhirat nanti!
AYAT 209- {MAKA KALAU KAMU TERGELINCIR (DAN JATUH KE DALAM KESALAHAN DISEBABKAN TIPU DAYA SYAITAN ITU), SESUDAH DATANG KETERANGAN-KETERANGAN YANG JELAS KEPADA KAMU, MAKA KETAHUILAH BAHAWASANYA ALLAH MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-BAQARAH 2:209)
- Apabila sudah ditembak syaitan kita akan mula goyah lalu tergelincir jatuh ke dalam kesalahan akibat terpedaya dengan tipu syaitan, sedangkan sudah datang keterangan yang jelas kepada kita sebelum ini, yakni kita langar Syari’at dengan sengaja!
- Kita sudah ada ilmu tetapi terjebak juga dengan maksiat- kita sudah dengar dalil dari Al-Quran, hadis & huraian dari para ulama’ Salafus-Soleh tetapi kita masih menolak & cari yang lain juga!
- Ingatlah jika kita bersalah, azab Allah itu amat berat siksanya & tiada siapa yang dapat menghalangnya!
Balasan Allah pula adalah setimpal dengan penuh hikmah kebijaksanaan Allah SWT. - Azab itu mengikut kategori perbuatan dosa yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya & setimpal dengan perbuatan itu. Contoh:
i- Firaun tenggelam dalam laut kerana angkuh mengaku sungai Nil di Mesir mengalir di bawah kekuasaannya.
ii- Qarun Allah selam & tenggelam dalam bumi kerana sombong dengan kekayaannya. - Maka jangan angkuh jangan sombong kita akan bertemu dengan Allah Azza wa Jalla.
Berapa hari saja kita hidup atas dunia ini, beranilah buat fitnah & khianat atas dunia ini, kita akan bertemu dengan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
AYAT 210- {(ORANG-ORANG YANG INGKAR ITU) TIDAK MENUNGGU MELAINKAN KEDATANGAN (AZAB) ALLAH KEPADA MEREKA DALAM LINDUNGAN-LINDUNGAN AWAN, BERSAMA-SAMA DENGAN MALAIKAT (YANG MENJALANKANNYA), PADAHAL TELAHPUN DIPUTUSKAN PERKARA ITU (BALASAN AZAB YANG MENIMPA MEREKA); DAN KEPADA ALLAH JUA KEMBALINYA SEGALA URUSAN.} (AL-BAQARAH 2:210)
- Allah nyatakan orang yang berbuat ingkar itu, yang terpesong dari jalan yang benar walaupun setelah datang kepada mereka keterangan yang jelas dari Al-Quran, dalil dari Sunnah Nabi SAW, tetapi mereka mendustakan ajaran Al-Quran, mendustakan ajaran & Sunnah Nabi SAW; maka mereka akan menunggu kedatangan Allah, para malaikat & balasan Allah di Akhirat kelak!
- Kita perhatikan, kena belajar ilmu ini tentang perbezaan antara ulama’ salaf & khalaf:
i- Ulama’ salaf (yang terdahulu) terjemahkan terus sebagaimana yang Allah nyatakan dalam Al-Quran iaitu {menunggu kedatangan Allah- أَن يَأْتِيَهُمُ ٱللَّهُ} – bagaimana kedatangan itu jangan tanya kerana { لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ}- inilah aqidah kita, pegangan ahlus-Sunnah.
Tidak menyalahi kerana itulah pegangan mereka para ulama’ Salafus-Soleh.
ii- Manakala ulama’ khalaf (yang terkemudian) menambahnya dengan diletakkan dalam kurungan perkataan azab- {kedatangan (azab) Allah } dalam awan Bersama malaikat. - Ingatlah apabila menafsirkan sifat Allah SWT kita wajib berpegang bahawa semua sifat itu adalah yang layak bagi Allah bukan seperti manusia atau makhluk yang lain, iaitu {لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ} – {Tidak ada sesuatu apapun yang serupa dengan DIA}.
Ayat-ayat sebeginilah yang menjadi pertikaian dan menimbulkan polemik jika tidak ditafsirkan dengan cara yang harmoni & dengan kefahaman yang baik. Akan jadilah tuduh-tuduhan!
Kena ingat semua sifat Allah SWT adalah yang layak bagi-Nya bukan seperti sifat manusia! - Yakni Allah SWT dan para malaikat datang lalu memutuskan hisab & pengadilan bagi hamba-Nya, hukuman & balasan azabnya yang akan menimpa mereka.
Yakni semua urusan dunia & Akhirat akan kembali kepada Allah di hari Kiamat nanti. - Setelah selesai hisab pengadilan; tiba saat hukuman, orang yang celaka & derhaka akan dicampak ke dalam neraka manakala orang yang dapat nikmat akan ke syurga! (اَللهم أَجِرْنَا مِنَ النَّارِ – “Ya Allah, selamatkan dari azab neraka”.)
- Firman Allah SWT juga:
هَلْ يَنْظُرُونَ إِلَّا أَنْ تَأْتِيَهُمُ الْمَلَائِكَةُ أَوْ يَأْتِيَ رَبُّكَ أَوْ يَأْتِيَ بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ ۗ يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا ۗ قُلِ انْتَظِرُوا إِنَّا مُنْتَظِرُونَ
{Yang mereka nanti-nanti tidak lain hanyalah kedatangan malaikat kepada mereka (untuk mencabut nyawa mereka) atau kedatangan (siksa) Tuhanmu atau kedatangan beberapa ayat Tuhanmu. Pada hari datangnya ayat dari Tuhanmu, tidaklah bermanfaat lagi iman seseorang kepada dirinya sendiri yang belum beriman sebelum itu, atau dia (belum) mengusahakan kebaikan dalam masa imannya. Katakanlah: “Tunggulah olehmu sesungguhnya Kamipun menunggu (pula)”.} [Al-An’am: Ayat 158] - Semoga Allah SWT selamat & amankan kita, setelah keluar dari kubur, bangkitkan kita di Akhirat kelak dalam keadaan aman, mendapat hisab yang baik, layak untuk minum air dari kolam Nabi SAW & layak ke syurga, nikmat yang abadi bertemu Allah dengan hati yang sejahtera (بقلب سليم).
- Serta ingatlah hanya kepada Allah-lah segala Kerajaan & urusan kembali pada hari Kiamat itu.
Kita hanya menanti keampunan, rahmat & kasih sayang Allah SWT untuk memberi keampunan kepada kita, itulah yang kita tunggu!
AYAT 211- {BERTANYALAH KEPADA BANI ISRAIL, BERAPA BANYAK KETERANGAN-KETERANGAN YANG TELAH KAMI BERIKAN KEPADA MEREKA (SEDANG MEREKA MASIH INGKAR)? DAN SESIAPA MENUKAR NIKMAT KETERANGAN ALLAH (DENGAN MENGAMBIL KEKUFURAN SEBAGAI GANTINYA) SESUDAH NIKMAT ITU SAMPAI KEPADANYA, MAKA (HENDAKLAH IA MENGETAHUI) SESUNGGUHNYA ALLAH AMAT BERAT AZAB SEKSANYA.} (AL-BAQARAH 2:211)
- Allah SWT perintah Rasulullah SAW bertanya kepada bani Israil; iaitu para yahudi ahli Kitab itu tentang berapa banyak keterangan yang telah diberi kepada mereka melalaui kitab-kitab yang telah diturunkah Allah sebelum ini, begitu banyak sekali Nabi yang diutuskan & Kitab yang diturunkan kepada mereka- iaitu apa yang telah terjadi kepada Kitab Zabur, Taurat & Injil yang ada di tangan mereka sebelum ini?
- Tetapi apa boleh buat mereka menukarnya dengan apa yang mereka mahu ikut hawa nafsu mereka, kerana itu menolak dan tidak menerima Rasulullah SAW walaupun jelas telah ada khabar tentang Baginda dalam kitab-kitab mereka.
i- Si yahudi yang dimurkai Allah, mereka menokok tambah, menukar ayat Allah SWT. sewenang-wenangnya.
ii- Manakala nasrani bapa kepada kumpulan yang sesat ini pula kerjanya mereka-reka ibadat yang tidak di ajar oleh Allah.
iii- Kita umat Islam pengikut Nabi SAW, jangan tiru perangai dua golongan ini: jangan putar belit ayat Allah & jangan reka ibadat yang tidak disyari’atkan Allah SWT, barulah kita selamat! - Tetapi malangnya hari ini apabila kita berdakwah mengajak manusia kembali kepada Al-Quran & ajaran Rasulullah SAW yang ori yang asal, tinggalkan ajaran & budaya-budaya yang baru dimasukkan ke dalam Islam; kita pula yang akan dimarah, dikecam, dikutuk, dihentam- begitu sukarnya untuk berada di atas landasan yang benar { ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ} setelah ajaran agama ini dimodified oleh mereka yang tertentu.
- Allah beri amaran keras dengan menyatakan sesiapa yang tukar nikmat yang Allah beri iaitu tolak ajaran Islam yang sebenar dengan dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya, ikut ajaran lain; maka hendaklah ia mengetahui sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT: أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ بَدَّلُوا نِعْمَتَ اللَّهِ كُفْرًا وَأَحَلُّوا قَوْمَهُمْ دَارَ الْبَوَارِ
Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan?, جَهَنَّمَ يَصْلَوْنَهَا ۖ وَبِئْسَ الْقَرَارُ Iaitu neraka jahannam; mereka masuk kedalamnya; dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman. [Surah Ibrahim: Ayat 28-29].
AYAT 212- {KEHIDUPAN DUNIA (DAN KEMEWAHANNYA) DIPERHIASKAN (DAN DIJADIKAN AMAT INDAH) PADA (PANDANGAN) ORANG-ORANG KAFIR, SEHINGGA MEREKA (BERLAGAK SOMBONG DAN) MEMANDANG RENDAH KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN. PADAHAL ORANG-ORANG YANG BERTAQWA (DENGAN IMANNYA) LEBIH TINGGI (MARTABATNYA) DARIPADA MEREKA (YANG KAFIR ITU) PADA HARI KIAMAT KELAK. DAN (INGATLAH), ALLAH MEMBERI REZEKI KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA DENGAN TIDAK TERKIRA (MENURUT UNDANG-UNDANG PERATURANNYA).} (AL-BAQARAH 2:212)
- Munasabah ayat:
i- Allah sebut dalam ayat sebelum ini ada di kalangan manusia yang menukar ajaran Allah- Allah bawa Kitab Zabur, Taurat & Injil; mereka tukar & ubah ikut selera & nafsu mereka!
Kita hari ini pun Allah beri Al-Quran kita tukar ambil undang-undang manusia, ambil undang-undang sekular, undang-undang Lord Reid, undang-undang yang lain;
Sunnah ajaran Rasulullah ditukar dengan ajaran amalan yang diperbaharui, yang dibawa dari budaya, bangsa & negara lain seperti Parsi dan lain-lain.
Termasuk dalam acara ibadat kita juga sama; melompat sana sini, buat acara besar-besaran dikubur (kita tak kata penyembah kubur).
Sedangkan Allah perintah orang mukmin untuk menghidupkan masjid bukan kubur, Rasulullah SAW juga anjurkan kita ziarah kubur untuk mengingatkan kepada kematian, serta beri salam & berdoa kepada si mati dari kalangan keluarga kita & orang mukmin semuanya.
Sekarang ni banyak video yang tersebar seolah buat pesta dikubur dengan bergendang, berdoa berzikir kuat beramai-ramai dan lain-lain.
ii- Lalu dalam ayat ini Allah sebut SEBAB kenapa mereka tukar ajaran Allah itu:
Kerana dunia telah dihiaskan dan dijadikan amat indah pada pandangan orang-orang kafir, juga orang Islam yang terpedaya & cinta dunia, dunia ini manis dan hijau!
Maka orang yang hatinya mudah terpengaruh dengan dunia, mereka sangup tukar ambil dunia & tinggal Akhirat.
Baik atau buruk jangan dipersoal, halal atau haram jangan ditanya asalkan dapat!
Inilah juga kenapa kita lihat sekarang hari-hari ada manusia begitu mudah ditipu oleh scammer, percaya kepada penipu kerana sifat cintakan dunia ini, tamak untuk mendapat habuan dunia lalu terpedaya!
Hatta orang tua yang nak masuk dalam tanah dah pun, masih terpedaya dengan kilauan harta dunia ini! - Orang kafir yang cintakan dunia ini juga berlagak sombong, angkuh dan memandang rendah kepada orang-orang yang beriman.
Banyak sejarah-sejarah telah menunjukkan hakikat ini seperti para sahabat zaman Rasulullah SAW yang dihina oleh musyrikin!
Ada harta & kuasa mulai khianat & tindas orang, perli orang yang beriman, ada ilmu salah guna untuk sebar fitnah & tohmah orang pula! - Padahal orang yang beriman & beramal itu adalah lebih tinggi martabat dan kedudukannya di Akhirat kelak; ini kerana orang kafir akan hina menderita dalam azab neraka di Akhirat kelak!
Biarlah kita hina atas dunia agar berjaya & mulia di Akhirat. - Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira menurut undang-undang peraturanNya.
Kerana itu apabila kita solat, kita ibadat, Allah beri kita rahmat. Jika nak banding solat yang kita buat itu tak padan harganya untuk membayar syurga yang begitu indah & mulia dan banyak rahmatnya! - Semoga Allah SWT jauhkan kita daripada sifat-sifat ini serta jauhkan kita daripada kejahatan mereka ini.
Tunjukkan kami jalan yang lurus yang boleh sampai kepada syurga-Mu. - Pintu syurga itu luas, kita takutnya kita tak jumpa pintunya!
Jalan untuk ke syurga ini ialah jalannya melalui Al-Quran & Sunnah Rasulullah yang telah dihuraikan oleh para ulama’ yang benar, para Salafus-Soleh & ulama’ terkini yang muktabar.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 208- {Wahai orang-orang yang beriman!}-
Ini adalah panggilan yang mulia. Allah mulakan ayat ini dengan seruan yang mulia ini.
Ini kerana hanya orang yang beriman sahaja yang akan ikut arahan Allah SWT. Seruan supaya beriman dan menerima Islam sepenuhnya ini adalah seruan untuk orang beriman!
Semoga kita menjadi orang yang benar-benar beriman, yang apabila mendengar kata-kata Allah dan Rasulullah; telinga kita terus menangkapnya, hati menerima & anggoat kita beramal. Jika kita dengar & tahu saja tanpa beramal maka kita adalah orang rugi.
Kata cerdik-pandai: Orang yang baik itu bukan hanya tahu kebenaran tetapi orang yang beramal dengan kebenaran! - Ayat 208- {Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya;}-
Orang beriman itu kena terima Islam dengan menyeluruh. Iaitu Islam yang dibawa oleh Al-Quran & Rasulullah SAW!
Maksudnya {كَآفَّةًۭ}- wajib kita mengamalkan Islam ini secara total & menyeluruh tidak boleh kita pilih ambil bab ibadat Islam, bab muamalat amabil yang sekular!
Atau separuh-separuh, saya terima Islam tetapi saya terima juga ajaran kapitalis atau sekular yang memisahkan agama & kehidupan.
Beramallah dengan yang betul lagi benar, jangan kamu ikut jejak langkah syaitan.
Kata ulama’ : Ia tiada pilihan, kita wajib terima Islam semua sekali secara menyeluruh.
Cuma dalam Islam ada tahap atau tingkatannaya, ada yang wajib & fardhu- ini wajib tak boleh tinggalkan, manakala yang sunat, adalah pilihan dan menjadi nilai tambah amalan kita yang mendekatkan kepada Allah & Rasul-Nya. - Ayat 208- {dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.}-
Allah peringatakan orang yang beriman agar jangan ikut langkah syaitan! Hasutan syaitan ini mengikut kategori & jenis kecenderungan sifat manusia. Syaitan itu masuk melalui jalan yang sesuai & disenangi oleh semua orang. Syaitan tidak akan masuk melalui jalan no-entry!
Pelajar yang sudah mula jinak dengan Al-Quran jangan mudah koyak! Dimanakah hasil ilmu yang kita belajar selama ini???
Jaga diri dan iman ,jangan terperangkap dengan tektik dan strategi syaitan dan kuncu-kuncunya.
Siapa yang terima risalah fitnah daripada sumber yang tidak jelas & identiti palsu; ingatlah itu semua adalah risalah dari syaitan, jangan pedulikannya, hapuskan saja, tak perlu share & sebar.
Jangan kamu gelincirkan akidah kamu dengan lakukan kesilapan/kesalahan dan mudah tertipu dengan hasutan syaitan yang terang-terangan sesat dan merugikan. - Ayat 209- {Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu,}-
Jika kamu tersalah atau melakukan kepincangan juga walaupun selepas datangnya ayat Al-Quran.
Ini adalah amaran yang keras dari Allah SWT kepada orang yang tahu, orang yang ada ilmu tetapi dia lari daripada kebenaran landasan ilmunya.
Mereka ini Allah kata lebih dahsyat daripada orang yang jahil tiada ilmu.
Akibat kesalahan atau dosa orang yang alim lebih dahsyat daripada orang yang jahil tiada ilmu!
Orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya akan diazab terlebih dahulu daripada penyembah berhala! Wal ‘iyazubillah! - Ayat 212- {Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir,}-
Binasa hancur & musnah kehidupan seseorang apabila digoda oleh fitnah dunia!
Maka apabila seseorang digoda fitnah dunia dia akan terpesong akidahnya, akan buat apa saja, dia akan peril, dia akan hina orang yang Islam & beramal dengan ajaran Islam. Sedangkan dunia ini hanyalah sementara, tempat untuk kita meraih dan mencari pahala, sebagai bekalan untuk kembali di Akhirat.
Hadis- sabda Rasulullah SAW:لَوْ كَانَتِ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللهِ جَنَاحَ بَعُوْضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ
“Seandainya dunia punya nilai di sisi Allah walau hanya menyamai nilai sebelah sayap nyamuk, niscaya Allah tidak akan memberi minum kepada orang kafir seteguk airpun.” (HR. At-Tirmizi no. 2320)
Dunia ini hina di sisi Allah tetapi besar di sisi manusia, maka jangan kita menjadi manusia yang hina di sisi Allah. Kita beramalah dengan apa yang kita belajar, dunia ini menjadi jambatan untuk ke Akhirat, bukan dunia segala-galanya!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.