View Categories

Surah Al-Baqarah : Ayat 221-223

LARANGAN BERKAHWIN DENGAN KAFIR, HUBUNGAN KETIKA HAIDH & MENDATANGI ISTERI PADA TEMPATNYA.

Full video : https://youtu.be/pUY-WO9dc5I?si=80kagqG-snHLkAHl

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 221 sehingga ayat 223 bagi surah Al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan larangan berkahwin dengan orang kafir musyrik perempuan atau lelaki.
  3. Soalan tentang hubungan dengan isteri ketika mereka haidh.
  4. Kemudian Allah SWT buat satu anologi yang mudah isteri itu sebagai satu ladang tempat bercucuk tanam iaitu untuk mendapatkan zuriat yang soleh & solehah.
    Maka hendaklah mendatangi isteri pada tempatnya.
  5. Munasabah ayat:
    i- Ayat ini adalah kumpulan beberapa hukum-hakam yang menyusun atur msyarakat Islam dari dalam negara. Dalam ayat yang lepas (Ayat 220) Allah ajar cara bergaul dengan anak yatim & cara mengurus harta mereka.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan tentang perhubungan nikah kahwin.
    Jika nak kahwin jangan cari orang kafir musyrik/musyrikah tetapi kahwinlah sesama Islam.
    Walaupun ada pendapat ulama’ kata boleh kahwin dengan kafir ahli Kitab (zaman dulu). Tetapi ahli kitab hari ini, yang ada pada zaman kita ini tidak lagi berpegang dengan Kitab mereka yang asal!
    Kitab yang asal pun sudah tiada dan diubah. Jika masih tak yakin boleh kaji sendiri lagi.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 221- {DAN JANGANLAH KAMU BERKAHWIN DENGAN PEREMPUAN-PEREMPUAN KAFIR MUSYRIK SEBELUM MEREKA BERIMAN (MEMELUK AGAMA ISLAM); DAN SESUNGGUHNYA SEORANG HAMBA PEREMPUAN YANG BERIMAN ITU LEBIH BAIK DARIPADA PEREMPUAN KAFIR MUSYRIK SEKALIPUN KEADAANNYA MENARIK HATI KAMU.}

  1. Pertama sekali adalah larangan kepada lelaki muslim agar; jangan berkahwin {وَلَا تَنكِحُوا۟} dengan perempuan yang kafir musyrikin sehinggalah mereka memeluk agama Islam! Jangan kamu terpengaruh walaupun mereka amat menarik hati kamu!
  2. Allah nyatakan wanita beriman itu walaupun seorang hamba lebih baik bagi kamu walaupun si perempuan musyrikah itu menarik perhatian kamu dan lebih cantik menarik!
  3. Ini kerana ia akan membawa banyak kecelaruan agama terhadap anak-anak mereka nanti.
    Pastilah akan terpengaruh dengan agama si ibu yang bukan Islam itu!
    Amat bahaya sekali jika membawa kepada syirik kepada Allah.
    Sama juga dengan menghantar anak yang masih kecil ke tadika atau nursery yang yang jelas pendidikan bukan aliran Islam atau sekular.
    Anak kita lahir di atas fitrah- jangan biarkan mereka dicorakkan (membesar) dalam suasana (bi’ah) bukan Islam yang akan mempengaruhi jiwa & agama mereka. Jangan sampai kita menyesal tak sudah di Akhirat kelak.

{DAN JANGANLAH KAMU (KAHWINKAN PEREMPUAN-PEREMPUAN ISLAM) DENGAN LELAKI-LELAKI KAFIR MUSYRIK SEBELUM MEREKA BERIMAN (MEMELUK AGAMA ISLAM) DAN SESUNGGUHNYA SEORANG HAMBA LELAKI YANG BERIMAN LEBIH BAIK DARIPADA SEORANG LELAKI MUSYRIK, SEKALIPUN KEADAANNYA MENARIK HATI KAMU.}

  1. Ini pula larangan kepada para wali agar jangan mengahwinkan {وَلَا تُنكِحُوا۟} perempuan-perempuan Islam dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka si lelaki itu beriman memeluk agama Islam.
  2. Terdapat perbezaan perkataan (nikah) dengan ayat yang pertama:
    i- Khitab yang pertama larangan untuk kamu sendiri wahai kaum lelaki- jangan kahwini. {وَلَا تَنكِحُوا۟}- huruf ta baris di atas.

    ii- Manakala ayat kedua ini jangan kamu kahwinkan yakni larangan untuk para wali jangan kahwinkan anak-anak perempuan mereka. {وَلَا تُنكِحُوا۟}- huruf ta baris di depan.
  3. Allah nyatakan lelaki beriman itu walaupun seorang hamba lebih baik bagi perempuan muslimah walaupun si lelaki musyrik itu menarik perhatian kamu dan lebih dari si lelaki muslim dari sudut harta dunia!

{(YANG DEMIKIAN IALAH KERANA ORANG-ORANG KAFIR ITU MENGAJAK KE NERAKA SEDANG ALLAH MENGAJAK KE SYURGA DAN MEMBERI KEAMPUNAN DENGAN IZINNYA. DAN ALLAH MENJELASKAN AYAT-AYATNYA (KETERANGAN-KETERANGAN HUKUMNYA) KEPADA UMAT MANUSIA, SUPAYA MEREKA DAPAT MENGAMBIL PELAJARAN (DARIPADANYA).} (AL-BAQARAH 2:221)

  1. Larangan ini adalah bersebab.
    Iaitu kerana orang kafir akan mengajak & membawa kamu ke neraka!
  2. Yakni lelaki yang beriman & perempuan beriman diharamkan berkahwin dengan orang kafir musyrik!
    Bukan saja kerana berlainan agama, tetapi kerana hubungan mesra & kasih-sayang yang terjalin antara suami isteri akan membuatkan mereka terpengaruh dengan agama pasangannya yang dapat membawa kepada aqidah yang sesat, yang bertentangan dengan ajaran Islam, lalu akan membawa kedua-duanya ke neraka!
  3. Sedangkan Allah SWT mengajak kita ke syurga- manakala orang kafir pula akan membawa kit ake neraka. Wal-‘iyazu billah!
    Punca kerosakan atas dunia ini kerana cintakan dunia, cintakan harta, anak-pinak atau pasangan masing-masing.
  4. Sesungguhnya Allah telah menjelaskan ayat-ayat-Nya, keterangan-keterangan hukum-Nya kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran daripadanya.

AYAT 222- {DAN MEREKA BERTANYA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD), MENGENAI (HUKUM) HAID. KATAKANLAH: “DARAH HAID ITU SATU BENDA YANG (MENJIJIKKAN DAN) MENDATANGKAN MUDARAT”. OLEH SEBAB ITU HENDAKLAH KAMU MENJAUHKAN DIRI DARI PEREMPUAN (JANGAN BERSETUBUH DENGAN ISTERI KAMU) DALAM MASA DATANG DARAH HAID ITU, DAN JANGANLAH KAMU HAMPIRI MEREKA (UNTUK BERSETUBUH) SEBELUM MEREKA SUCI. KEMUDIAN APABILA MEREKA SUDAH BERSUCI MAKA DATANGILAH MEREKA MENURUT JALAN YANG DIPERINTAHKAN OLEH ALLAH KEPADA KAMU. SESUNGGUHNYA ALLAH MENGASIHI ORANG-ORANG YANG BANYAK BERTAUBAT, DAN MENGASIHI ORANG-ORANG YANG SENTIASA MENSUCIKAN DIRI.} (AL-BAQARAH 2:222)

  1. Dalam ayat yang lepas kita telah bincangkan tentang soalan yang ditanya oleh para sahabat kepada Rasulullah SAW. Ini adalah salah satu soalan yang ditanya mereka iaitu tentang haidh!
    Terdapat 13 Soalan para sahabat kepada Rasulullah SAW.
    Baca di: Surah Al-Baqarah : Ayat 219-220 (2)
  2. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelum ini adalah tentang larangan daripada berkahwin dengan orang kafir & ahli kitab yang bersifat melampaui dalam agama. Maka Allah suruh kita bersihkan diri kita daripada perangai & gaya hidup orang kafir. Di mana orang yahudi apabila isteri mereka datang haidh akan mengasingkan diri mereka & tidak boleh duduk dekat!

    ii- Lalu Allah turun ayat ajar kepada orang beriman bagaimana cara berinteraksi dengan isteri yang sedang mengalami haidh!
    Yahudi bersifat melampaui maka Islam mengajar cara yang lebih sederhana & hubungan yang baik kepada kaum wanita.
  3. Sebab nuzul ayat- kerana kisah yahudi di Madinah lalu sahabat bertanya:
    Diriwayatkan oleh Anas Bin Malik RA :
    أَنَّ الْيَهُودَ كَانُوا إِذَا حَاضَتِ الْمَرْأَةُ فِيهِمْ لَمْ يُؤَاكِلُوهَا، وَلَمْ يُجَامِعُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ
    فَسَأَلَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ,
    فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى: {وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ} إِلَى آخِرِ الآيَةِ ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اصْنَعُوا كُلَّ شَيْءٍ إِلاَّ النِّكَاحَ
    Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Yahudi apabila kaum wanita mereka datang haid mereka tidak akan duduk makan bersama wanita mereka (dan tidak akan makan masakan mereka) dan mereka juga tidak akan bergaul serta tidak duduk bersama. Maka para sahabat bertanya kepada Nabi SAW. Lalu Allah SWT menurukan ayat ini: {Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudharat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu.} Lalu Nabi SAW bersabda lagi: Buatlah apa sahaja (dengan isteri kamu yang sedang haidh) kecuali nikah (bersetubuh).” Ketika ‎hal itu (hadis ini) sampai kepada orang-orang Yahudi, mereka berkata, “Lelaki ini (yakni Rasulullah SAW) tidak ingin ‎meninggalkan sesuatu dari perkara (ajaran) kita melainkan dia akan menyalahi kita”. Lalu Usaid bin ‎Hudair dan Abbad bin Bisyr berkata, “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya orang-orang Yahudi ‎berkata demikian dan demikian, apakah kami tidak boleh menyetubuhi wanita ketika haidh sekalian?” Tiba-tiba raut wajah ‎Rasulullah SAW berubah hingga kami menyangka bahawa Baginda telah marah ‎pada keduanya. Lalu keduanya keluar dan berselisih dengan orang yang membawa hadiah susu ‎untuk diberikan kepada Nabi SAW. Lalu Baginda mengirim utusan untuk ‎menyusul keduanya dan Baginda memberikan minuman untuk keduanya. Maka ‎keduanya sedar bahawa Baginda SAW tidak marah pada keduanya.” [HR Muslim (455)].

    Rasulullah SAW marah bukan kerana peribadi tetapi kerana agama- Allah sudah bawa hukum kenapa kamu pergi dengar kata-kata yahudi lagi!
  4. Hadis ini menjelaskan tidak perlu menjauhi perempuan yang datang haidh- cuma diharamkan bagi suami untuk bersetubuh saja!
    Maka selain dari itu adalah dibenarkan untuk duduk bersama mereka, makan masakan mereka dan lain-lain aktiviti harian yang dibenarkan Syara’.
  5. Yakni Nabi SAW menjelaskan bahawa yang dimaksud ayat Al-Quran dengan {فَٱعْتَزِلُوا۟} (menjauhi wanita) itu adalah kahas untuk tidak menyetubuhinya kerana darah haidh itu kotor dan boleh membawa penyakit { أَذًۭى } dan bukan menjauhi dalam perkara yang selainnya.‎
  6. Tetapi ada sempadannya- tunggulah apabila isteri kamu itu telah suci {حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ} & mandi wajib {تَطَهَّرْنَ} dari haidh itu maka bolehlah kamu bersama (jimak) mereka.
    Bolehlah kamu mendatangi mereka pada tempat yang boleh dibolehkan, yang diizinkan Allah SWT.
    (penjelasannya dalam ayat 223 nanti).
  7. Allah perintahkan supaya kita membersihkan diri zahir & batin:
    i- Bersih zahir seperti mandi, berwuduk dan lain-lain cara jaga kebersihan.

    ii- Bersih batin ialah dengan menjauhkan diri segala sifat buruk & penyakit hati!
  8. Dan jika kamu tersalah melakukan yang dilarang itu, maka bertaubatlah kepada Allah daripada kesalahan melakukan persetubuhan ketika haidh!
    Allah suka orang yang Insaf & bertaubat jika telah tersalah!

AYAT 223- {ISTERI-ISTERI KAMU ADALAH SEBAGAI KEBUN TANAMAN KAMU, OLEH ITU DATANGILAH KEBUN TANAMAN KAMU MENURUT CARA YANG KAMU SUKAI DAN SEDIAKANLAH (AMAL-AMAL YANG BAIK) UNTUK DIRI KAMU; DAN BERTAQWALAH KEPADA ALLAH SERTA KETAHUILAH SESUNGGUHNYA KAMU AKAN MENEMUINYA (PADA HARI AKHIRAT KELAK) DAN BERILAH KHABAR GEMBIRA WAHAI MUHAMMAD) KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AL-BAQARAH 2:223)

  1. Kemudian Allah nyatakan setubuhilah isteri kamu dari sudut mana sekalipun tetapi hendaklah pada tempat yang dibenarkan itu!
    Iaitu melalaui faraj bukan melalui dubur!
    Ini kerana mereka adalah seperti ladang kamu {حرث} yang kamu mahu letak benih yang baik.
    Maka mestilah diletakkan pada tempatnya!
  2. Sabab nuzul:
    i- Turunnya ayat ini mengandung sebab dan hikmah yang besar sebagaimana yang diriwayatkan dari Jabir bin Abdillah RA : “Orang Yahudi mempersempit gaya persetubuhan tanpa dasar hukum syara’, sedang orang-orang Ansar dan berikutnya mengikuti cara-cara mereka itu. Mereka berpendapat: Jika seorang laki-laki menyetubuhi isterinya pada farajnya dari belakang, maka anaknya akan lahir juling.” Kemudian turunlah ayat ini untuk membatalkan fahaman yahudi yang tidak benar itu: {Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai}-(al-Baqarah: 223). Yakni dari cara depan mahupun dari belakang selama diarahkan untuk satu tujuan, iaitu kemaluan atau faraj bukan dubur.

    ii- Sumber lain menyebut ada seorang perempuan Ansar bertanya kepada Nabi tentang menyetubuhi perempuan di farajnya tetapi dari belakang, maka Nabi membacakan ayat: – {Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai } (al-Baqarah: 223).
    [HR Ahmad]

    iii- Umar pernah juga bertanya kepada Nabi: “Ya Rasulullah! Celaka aku. Nabi bertanya: apa yang mencelakakan kamu? Ia menjawab: tadi malam saya memutar kakiku –satu sindiran tentang bersetubuh dari belakang– maka Nabi tidak menjawab, hingga turun ayat (al-Baqarah: 223) lantas beliau berkata kepada Umar: boleh kamu bersetubuh dari depan dan boleh juga dari belakang, tetapi hindari di waktu haidh dan dubur.” [HR Ahmad dan at-Tarmizi].

    iv- Hadis riwayat Ibnu Umar RA :
    إنَّ ابنَ عمرَ عَرضَ المصحفَ يومًا وأنا عنده حتى بلغ نِساؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنّى شِئْتَمْ فقال يا نافعُ هل تعلمْ من أمر هذه الآيةِ قلتُ لا قال إنا كنا معشرَ قريشٍ نُجْبي النساءَ فلما دخلْنا المدينةَ ونكَحنا نساءَ الأنصارِ أرَدْنا منهن مثلَ ما كنا نريدُ فإذا هنَّ قد كرِهنَ ذلك وأعظَمْنَه وكانت نساءُ الأنصارِ قد أَخذْنَ بحال اليهودِ إنما يُؤتَيْن على جنوبِهنَّ فأنزل اللهُ نِساؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنّى شِئْتَمْ الراوي: نافع مولى ابن عمر • ابن كثير، تفسير القرآن العظيم (١/٣٨٣) • إسناده صحيح

    Ibnu ‘Abbas RA meriwayatkan: “Dahulu warga Ansar yang asalnya penyembah berhala, hidup berdampingan dengan warga yahudi yang merupakan ahli kitab. Orang-orang ansar itu menganggap orang-orang yahudi mempunyai banyak kelebihan Ilmu. Oleh kerana itulah mereka pun menirunya. Salah satu kebiasaan ahli kitab adalah mereka hanya menyetubuhi isteri dari arah samping (tepi). Alasannya agar aurat isteri lebih tertutup. Dahulu warga ansar meniru kebiasaan tersebut. Adapun warga Quraisy, mereka biasa menyetubuhi isteri dengan posisi yang bermacam-macam, terkadang berhadap-hadapan, dari belakang atau dengan posisi telentang. Ketika kaum muhajirin datang ke Madinah, ada salah seorang lelaki mereka menikah dengan wanita ansar. Orang Muhajirin tadi hendak menyetubuhi isterinya dengan cara biasa yang dia lakukan. Akan tetapi, si isteri yang ansar itu menolak seraya berkata: “Menurut kebiasaan kami di sini, kami para isteri biasa disetubuhi dari arah samping (tepi). Oleh kerana itu lakukanlah kebiasaan itu atau tidak mahu sila jauhi saya”. Pertengkaran itu semakin memuncak, dan berita tersebut sampai kepada Rasulullah saw. Ketika itu turunlah ayat: {“Isteri kamu adalah ladang-ladang kamu, Oleh kerana itu, datangilah lading tersebut sesuka kalian. Ertinya posisi bersetubuh boleh berhadap-hadapan, dari arah belakang mahupun telentang asalkan pada kemaluan”.} [H/R Abu Daud, Hakim, Baihaqi, Al wahidi, dan Al Khattabi]

    iv- Rasul SAW menutup hadis tadi dengan penyataan yang tegas: “Mahu dari depan atau dari belakang boleh, asal pada kemaluan (faraj) isteri.” (HR Imam Al-Bukhari 154/8, dan Imam Muslim 156/4).
  3. Bukan seperti kepercayaan yahudi, dalam Islam, suami dan isteri boleh melakukan berbagai gaya atau posisi ketika berhubungan suami isteri asalkan menuju ke tempat yang benar iaitu kemaluan isteri & bukan DUBUR isteri.
  4. Kemudian Allah perintahkan untuk kita sediakan amalan baik sebagai persediaan untuk bekalan Akhirat.
    Antara amalan baik itu ialah berkahwin (jangan berzina) dan bergaul baik antara suami isteri. Serta semasa bercucuk tanam itu berniatlah untuk mendapat zuriat yang baik yang dapat mendoakan kita kelak.
  5. Serta bertaqwalah kamu kepada Allah, jangan melakukan perkara yang keji & dimurkai Allah seperti liwat.
    Ingatan ialah supaya kamu jangan melakukan liwat walaupun dengan isteri sendiri!
  6. Ingatlah kamu akan bertemu dengan Allah di Akhirat kelak!
    Yakni jangan buat dosa & maksiat walaupun secara sembunyi kerana Allah SWT Maha Mengetahui segalanya!
    Ini kerana perbuatan antara kamu suami isteri tiada siapa yang tahu, hanya di dalam rumah kamu!
  7. Di akhir ayat Allah SWT suruh Rasulullah SAW nyatakan bahawa khabar gembira bagi orang mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah Azza wa Jalla.
    Yang Insaf & terus bertaubat jika tersalah melakukan kesalahan!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 221- {Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam);}-

    Allah SWT bagi arahan keras untuk berkahwin hanya sesama orang berimana!
    Tetapi jika seorang lelaki itu tidak mampu untuk mengahwini seorang perempuan Muslimah, nak kahwin juga dengan orang kafir, maka kena pilih & pastikan bahawa mereka adalah ahli Kitab yang diiktiraf bahawa mereka bukan syirik.
    Panjang perbahasan ulama’ tentang masalah ini:
    i- Ada ulama’ kata {ٱلْمُشْرِكَـٰتِ} itu tidak masuk kafir ahli kitab.

    ii- Ada ulama’ kata maksudnya {ٱلْمُشْرِكَـٰتِ} itu adalah semua jenis kafir!
    Pada zaman kita ini- yang penuh dengan pancaroba, oleh kerana kafir yang ada sekarang seperti Kristian & yahudi yang sangat totok perbalahan mereka terhadap orang Islam.
    Kecenderungan pendapat AAM tidak ada lagi ahli Kitab yang benar-benar ikhlas berpegang dengan Kitabnya yang asal kecuali orang musyrikin.
    Ini semua demi keselamatan dan kesejahteraan aqidah anak-anak kita.
    Betul sudah perundangan negara kita yang tidak membenarkan pernikahan antara berlainan agama.
  2. Ayat 221- {dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. }

    Allah buat bandingan, hamba yang beriman lebih baik daripada mereka yang kafir itu sama ada yang lelaki atau perempuan!
    Hanya kerana kecantikan atau kekayaan dunia- lihat kepada agenda mereka!
    Jangan terpedaya dengan kelicikan & tipu daya mereka, macamana kita nak dapat zuriat yang soleh jika ibu atau bapa mereka adalah seorang yang syirik kepada Allah?
    Ayat ini boleh ditafsirkan dengan firman Allah ini juga:
    {Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.} (Al-Maaidah 5:100)
    Ayat ini juga Allah menunjukkan perbezaan antara keadaan taraf manusia- ada hamba tetapi dia beriman.
    Ada orang Merdeka tetapi dia tidak beriman!
  3. Ayat 221- {SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.}-

    Dalam masalah ini tentang kesucian & kebersihan dalam Islam.
    Allah SWT ajar dan didik kita agar menjaga kebersihan supaya bersih zahir & batin.
    Dari segi zahir, dalam masalah ini, apabila buang air besar atau kecil kita kena basuh, nak solat jika berhadas kecil- kena berwudhuk, bila haidh, berjunub atau lain-lain hadas besar kita kena mandi.
    Itulah caranya dalam Islam kita kena jaga kebersihan zahir & batin.
    Jika zahir saja bersih tetapi batinnya tidak bersih itu munafiq.
    Manakala jika hanya batinnya bersih tetapi zahirnya tidak bersih & kemas itu orang yang darwish iaitu orang yang serebeh (selekeh), tidak bersih & tidak kemas, serabai penampilannya.
    Maka kita kena jaga kebersihan dua-dua zahir & batin, wajib kembar sekali kerana Allah mengasihi:
    i- Orang-orang yang banyak bertaubat, iaitu menyucikan batinnya.

    ii- Orang-orang yang sentiasa mensucikan diri secara fizikal & zahir juga.
  4. Ayat 221- {Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam);}-

    Jangan kahwini mereka sehingga mereka beriman, memeluk Islam.
    Allah bawa hukum dan bawa sebab sekali. Larangan berkahwin dengan orang kafir ini adalah sehingga mereka beriman.
    Yakni apabila hilang larangan itu bolehlah kamu berkahwin dengannya apabila hilang sebab (kafir & Syirik).
    Yakni dengan sebab agama & aqidah mereka, bukan sebab fizikal mereka.
    Larangan ini termasuk juga bagi golongan yang mengaku Islam tetapi aliran Syiah.
    Syiah ini ada sifat bermuka-muka (taqiyah), yakni berlakon saja, depan lain belakang lain.
    Inilah antara golongan yang tak boleh kita percaya iaitu syiah, yahudi & munafiq!
  5. Ayat 223- {Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai}-

    Allah buat bandingan isteri itu sebagai ladang kepada para suami untuk bercucuk tanam.
    Allah ajar kepada kita penggunaan bahasa yang sopan dan baik, jangan lucah jangan terlalu direct sangat apatah lagi di khalayak ramai.
    Bila kita bercakap biar orang tak sakit telinga atau terasa malu.
    Allah juga buat bandingan pasangan suami isteri seperti pakaian kepada satu sama lain. Masing-masing melindungi pasangannya dari kepanasan atau kesejukan, menutup aib & auratnya, menjaga keselamatan dan lain-lain manfaat & faedah.
    Itulah bahasa Al-Quran, yang penuh dengan adab & sopan.
    Sesuai dibaca di dalam majlis rasmi atau tidak, di khayalak ramai, di atas masjid hatta di dalam solat!
    Para pendakwah; belajar & ingatlah- belajarlah ilmu Sunnah & adab percakapan yang baik dan sopan.
    Depan khayalak dan anak-anak janganlah sx18 sangat!
    Yang penting kita nak sampaikan ilmu dengan berhemah dan biar memberi kesan kepada masyarakat.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs