View Categories

(9) Surah Al-Baqarah : Ayat 26-27

FAEDAH “AMTHAL” PERUMPAMAAN DALAM QURAN, KESAN PENERIMAANNYA & JANGAN BATALKAN PERJANJIAN.

Full video : https://youtu.be/QiRBXB-_LtI?si=nuJJhcptTovgmX8c

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 26-27 & siri ke 9 bagi surah Al-Baqarah.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa Dia tidak malu untuk bawa Faedah “Amthal” (أمثال) perumpamaan dalam Al-Quran, sama ada yang besar atau yang kecil.
    Ini untuk kamu berfikir & ambil iktibar pengajarannya.
  1. Kemudian Allah nyatakan hikmah dari perumpamaan itu: iaitu kesan penerimaannya ke atas orang Islam & orang kafir.
    Jika orang beriman bertambah mantap keimanannya manakala bagi orang kafir tiada kesan apa-apa bahkan bertambah kekufuran mereka.
  1. Allah SWT juga sebut tentang kumpulan yang membatalkan perjanjian: sama ada perjanjian dengan Allah iaitu tauhid atau perjanjian sesama manusia seperti memutuskan silatur-Rahim dan seumpamanya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 26- {SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK MALU MEMBUAT PERBANDINGAN APA SAHAJA, (SEPERTI) NYAMUK HINGGA KE SUATU YANG LEBIH DARIPADANYA (KERANA PERBUATAN ITU ADA HIKMATNYA), IAITU KALAU ORANG-ORANG YANG BERIMAN MAKA MEREKA AKAN MENGETAHUI BAHAWA PERBANDINGAN ITU BENAR DARI TUHAN MEREKA; DAN KALAU ORANG-ORANG KAFIR PULA MAKA MEREKA AKAN BERKATA: “APAKAH MAKSUD ALLAH MEMBUAT PERBANDINGAN DENGAN INI?” (JAWABNYA): TUHAN AKAN MENJADIKAN BANYAK ORANG SESAT DENGAN SEBAB PERBANDINGAN ITU, DAN AKAN MENJADIKAN BANYAK ORANG MENDAPAT PETUNJUK DENGAN SEBABNYA; DAN TUHAN TIDAK AKAN MENJADIKAN SESAT DENGAN SEBAB PERBANDINGAN ITU MELAINKAN ORANG-ORANG YANG FASIK;} (AL-BAQARAH 2:26)

  1. Allah menyatakan bahawa Dia tidak malu untuk bawa contoh perumpamaan {مَثَلًۭا} dalam Al-Quran dengan apa saja dari makhluknya walaupun tentang benda yang kecil atau nampak hina!
  1. Dalam ayat ini Allah SWT bawa contoh bandingan tentang nyamuk {بَعُوضَةً } sejenis haiwan yang kecil & seolah tidak ada apa-apa kesan ke atas manusia.
    Tetapi hakikatnya walaupun pun kecil betapa banyak mudharat yang boleh dibawa olehnya, ia boleh menumpahkan darah manusia tanpa peperangan!
    Betapa banyak penyakit & wabak merbahaya yang dibawanya serta dikatakan Raja Namrud mati kerana nyamuk! Boleh lihat tentang keajaiban nyamuk di:
    AAM 2017 – Keajaiban Nyamuk & Bandingan Nyamuk Dengan Nilai Dunia.
    Link: https://www.facebook.com/AbuAnasMadani/videos/1705981149428512

    Dan di YouTube Abu Anas Madani:
    Link: https://youtu.be/HC0vNW60EwQ?si=W3QRcKE56dtitWq8
  1. Allah SWT tidak malu kerana semua makhluk ini ada hikmahnya yang tersendiri.
    Juga untuk menyatakan kebenaran & untuk menguji hamba-Nya dengan perumpamaan yang Allah bawa ini!
    Ini untuk membezakan orang yang dapat hidayah & beriman dengan orang yang sesat & kufur.
  1. Syeikh Ibnul Qayyim telah menyusun sebuah kitab khas tentang ”Perbandingan (الأمثال في القرآن) Yang Allah Buat Dalam Al-Quran”.
    Link: https://waqfeya.net/book.php?bid=10891
  1. Perbandingan (أمثال) ini maksudnya:
    Buat bandingan satu benda dengan benda yang lain dari bab hukumnya serta untuk mendekatkan pemikiran kita dengan benda yang ada & nampak, atau benda yang nampak dengan benda yang tidak nampak, untuk mengambil pengajaran dari dua perkara itu!
    Seperti dalam ayat-ayat sebelum ini Allah buat bandingan orang kafir & munafiq dengan kilat, hujan, cahaya lampu dan sebagainya.
  1. Kemudian Allah perjelaskan lagi sikap manusia dalam menerima perumpamaan ini ada dua jenis:
    i- Kumpulan pertama: Bagi orang yang beriman mereka tahu ia benar dari Allah untuk manusia berfikir mengkaji meneliti apa yang Allah nak sampaikan kepada kita!
    Ini kerana mereka tahu Allah SWT tidak akan buat perbandingan yang sia-sia tanpa hikmah, lalu mereka tadabbur, mengkaji & ambil iktibar darinya lalu bertambahlah keimanan mereka!

    ii- Kumpulan kedua: Iaitu orang kafir yang apabila melihat bandingan yang kecil begini, mereka akan berkata sambil mengejek: Apa yang Allah mahu beritahu dari makhluk yang kecil & remeh ini!
    Ini kerana mereka tidak mahu menerima kebenaran & tidak mahu tunduk kepada kebenaran mereka tidak akan faham hikmah dari perbandingan yang Allah buat!

    Kerana itu {لِذَا} mereka tercengang & terumbang-ambing atau mereka tetap bantah dengan mulut walaupun jauh disudut hati mereka, mereka tahu ia adalah benar! Inilah yang ramainya!
    Maka bertambahlah kekufuran mereka yang telah sedia kafir.
  1. Kita orang beriman belajarlah dari sifat buruk ini!
    Betapa ramai orang atas dunia ini yang tahu perkara itu benar, perkara itu Sunnah yang sahih, tetapi tidak berani buatnya kerana takut orang marah atau tolak!
    Jangan begini; kita kena takut Allah marah!
  1. Kita minta berlindung dengan Allah dari menjadi orang yang menentang kebenaran walaupun hati kita tahu ianya adalah benar!
  1. Allah mengatakan lagi bahawa:
    i- Dia akan menjadikan ramai orang sesat dengan sebab perumpamaan itu; yang kafir bertambah kafir.

    ii- Juga akan menjadikan ramai orang mendapat petunjuk dengan sebabnya.
    Terdapat juga orang kafir yang mengkaji lalu terbuka hatinya untuk beriman!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini juga:
    {Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): “Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?”Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir.} (At-Taubah 9: 124-125)
  1. Allah tutup ayat ini dengan menyatakan bahawa tidak akan sesat dengan sebab perumpamaan ini kecuali orang fasiq!
    Iaitu mereka yang keluar dari ketaatan kepada Allah SWT dari kalangan kafir & musyriqin.
    Inilah hikmah penciptaaan & keadilan Allah SWT Aku buat perumpamaan supaya kamu berfikir; tetapi kamu jadi kafir.
  1. Firman Allah SWT juga:
    {Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Quran), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya; dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu); dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: “Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?” Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.} (Al-Muddaththir 74:31)
  1. Ya Allah jadikan kami orang mantap imannya. Makin belajar Al-Quran makin bertambah keimanan & ketaatan kepada Allah!

AYAT 27- {(IAITU) ORANG-ORANG YANG MEROMBAK (MENCABULI) PERJANJIAN ALLAH SESUDAH DIPERTEGUHKANNYA, DAN MEMUTUSKAN PERKARA YANG DISURUH ALLAH SUPAYA DIPERHUBUNGKAN, DAN MEREKA PULA MEMBUAT KEROSAKAN DAN BENCANA DI MUKA BUMI. MEREKA ITU IALAH ORANG-ORANG YANG RUGI.} (AL-BAQARAH 2:27)

  1. Siapakah orang fasiq itu? Allah beri jawapannya dalam ayat ini.
    Allah sifatkan orang fasiq yang sesat akibat perumpamaan ini ialah:
    i- Orang yang merombak & mencabuli perjanjian Allah ambil ke atas kita supaya beriman & mengikut Rasul.
    Sebagaimana bani Israil yang melanggar perjanjian dengan rasul mereka, umat Rasulullah SAW ini juga ada yang melanggar janji Allah ini!
  1. Allah SWT sebut tiga kali tentang perjanjian ini dalam Al-Quran:
    i- {Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: “(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing”. Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).} (Al-Baqarah 2:84)

    {Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.} (Al-Baqarah 2:85)

    ii- {Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Israil (supaya mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya), dan Kami telah utuskan dari kalangan mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan masing-masing); dan Allah berfirman (kepada mereka): “Bahawa Aku adalah beserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat, dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanku) serta menolong bantu mereka (dalam menegakkan agama Allah), dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang kufur ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah ia dari jalan yang betul.”} (Al-Maaidah 5:12)

    {Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka sentiasa mengubah Kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar, dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka mereka dengannya. Dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan, kecuali sedikit dari mereka (yang tidak berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.} (Al-Maaidah 5:13)

    iii- {Demi sesungguhnya! Kami telah mengambil perjanjian setia dari Bani Israil dan Kami telah utuskan kepada mereka beberapa orang Rasul. (Tetapi) tiap-tiap kali datang – seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu mereka, mereka dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang sebahagian lagi.} (Al-Maaidah 5:70)
  1. Sifat yang kedua ialah memutuskan apa yang Allah SWT suruh hubungkan iaitu:
    i- Putuskan atau batalkan keimanan dengan Allah maka tiada tali hubungan dengan Allah!

    ii- Putus dalam membenarkan dakwah para nabi-nabi.

    iii- Putus silatur-rahim, hubungan kekeluargaan berbalah sesama anak beranak.

    iv- Memutuskan persaudaraan sesama Islam. Sedangkan Allah sudah nyatakan bahawa sesama orang beriman adalah saudara!
    Contohnya: Amat malang & menyedihkan sekali perjanjian sesama Islam yang dibuat dengan linangan air mata, dibatalkan semata-mata kerana nak berkawan berkompromi dengan orang bukan Islam!

    v- Serta memutuskan dengan tidak mengikut ajaran agama juga dikira membatalkan perjanjian itu!
  1. Sifat orang fasiq yang ketiga ialah membuat kerosakan di atas muka bumi ini dengan kekufuran & maksiat.
    Ini adalah bencana & kerosakan yang besar terhadap Allah Azza wa Jalla atas dunia ini!
  1. Maka mereka ini dengan sebab kekufuran, perbuatan mungkar & maksiat yang dilakukan; mereka adalah orang yang sesat & kerugian mereka telah hilangkan dari diri mereka sendiri keuntungan hakiki untuk mendapat keredhaan & rahmat Allah SWT iaitu balasan syurga & nikmatnya di akhirat kelak!
  1. Allah nyatakan semua ini untuk kita ingat, ambil iktibar pengajaran, supaya kita mendapat kasih sayang Allah lalu layak ke syurga-Nya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 26- {Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya)

    Allah kata Dia tidak malu untuk membuat perbandingan hatta dengan benda yang kecil seperti nyamuk pun!
    Kata ulama’ : Ayat ini menunjukkan betapa rahmatnya Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya.
    Supaya kita mudah faham, Dia membuat perbandingan dengan sesuatu yang kita nampak dengan yang kita tidak nampak!
    Benda yang kecil seperti nyamuk tetapi kesannya amat besar.
    Kamu nak lawan Allah lagi?
    Dengan nyamuk pun manusia boleh kalah & sakit apatah lagi jika Allah SWT hantar benda atau binatang lain yang lebih besar????
    Ia adalah perbandingan yang cukup besar untuk kita berfikir!
    Carilah buku “Amthal Dalam Al-Quran” yang disebut tadi sudah ada terjemahan!
  1. Ayat 26- {Iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka;}

    Ulama’ kata: Orang mukmin tidak mungkin menentang apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT dengan akalnya!
    Kerana itu tidak akan bercanggah akal yang sejahtera (العقل السليم) dengan Al-Quran.
    Jika bercanggah itu bererti akalnya yang senget & tidak betul!
    Al-Quran tidak akan salah & bercanggah sekali-kali!
    Ayat ini menjadi dalil bahawa qiyas adalah satu hujjah yang diterima dalam Syari’ah Islam.

    Perundangan Islam ada empat yang asasnya:
    i- Al-Quran

    ii- Sunnah

    iii- Ijma’ ulama’

    iv- Qiyas (perbandingan).
    Banyak lagi tetapi ini yang masyhur!
  1. Ayat 26- {dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?”}

    Orang kafir yang tidak beriman mempertikai & melecehkan perbandingan yang Allah buat ini!
    Apalah nilai perbandingan yang bodoh & remeh begini!
    Bagi puak kafir semua yang Allah buat adalah tidak betul!
    Mereka lawan hukum Allah & tidak memahami hikmah yang ada disebaliknya.
    Kita kena cari hikmah di sebalik hukum yang Allah suruh & larang kita.
    Insya’ Allah kita akan menemui & memahami sebahagian dari jawapannya jika tidak semuapun!
  1. Ayat 26- Dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;}

    Allah kata tidak sesat, tidak menyeleweng, tidak tersalah langkah dengan sebab perumpamaan ini kecuali orang fasiq!
    Kata ulama’ : Sesatnya orang yang sesat itu kerana ada sebabnya.
    Iaitu seperti mereka tidak dengar kata, keras kepala, mendustakan, putuskan hubungnan dan seumpamanya, maka Allah sesatkan mereka.
    Mekanisma nak jadi sesat ada beberapa langkah, sama ada: Salah jalan yang dipilihnya sendiri, atau salah ikut guru yang sesat, atau ikut kawan-kawan yang jahat, yang sesat juga!

    Allah juga kata : {Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya;} ramai yang sesat & ramai juga yang dapat hidayah dengan sebab perumpamaan ini!
    Allah kata ramai yang sesat & ramai yang dapat hidayah ini kita tengok kepada dua kategori ini.
    Tetapi kita kena ingat bahawa ramai {كَثِيرًۭا} di sini adalah bukan berdasarkan angka bilangan.
    Jika kita lihat kepada angka & majoriti maka Islam akan sentiasa kalah & sedikit.

    Ini kerana lebih ramai orang sesat daripada yang mendapat hidayah.
    Contohnya:
    i- Zada zaman Nabi Nuh AS hanya berapa orang yang beriman dengannya & naik bahtera lalu selamat.

    ii- Zaman Nabi Musa AS hanya kaum Bani Israil yang lemah menjadi pengikutnya.

    iii- Zaman Nabi Lut AS lagi dahsyat. Hanya kaum keluarga atas rumahnya saja yang beriman bahkan isterinya juga tidak termasuk dalam golongan yang beriman.

    iv- Yang beriman dengan Rasulullah SAW di Makkah hanya sedikit berbanding dengan golongan Abu Jahal.

    v- Sekarang ini kita lihat betapa jumlah orang Islam seluruh dunia berbanding dengan yang bukan Islam, hanya beberapa peratus sahaja.
    Kerana ini maksud ramai {كَثِيرًۭا} dalam ayat ini bukan bilangan tetapi dari sudut keadaan!
    Ini kerana tidak ramai orang yang beriman.

    Bahkan Allah SAW telah berfirman bahawa amat sedikit hamba-Nya yang bersyukur:
    {Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu yang bersyukur. (Al A’raf ayat 10).

    Maka marilah kita berdoa agar termasuk dalam golongan yang sedikit ini: اللهم اجْعَلْنا مِنْ عِبَادِكَ القَلِيْل
    “Ya Allah, jadikanlah kami dalam kalangan hamba-Mu yang sedikit.”
  1. Ayat 27- {(Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi.}

    Susunan ayat ini cukup teratur dalam menyatakan perbuatan yang buruk.
    Ini kerana apabila orang nak jadi jahat, perkara yang pertama dibuatnya ialah:
    i- Membatalkan atau khianati perjanjian.

    ii- Kemudian dia akan lari & putuskan hubungan yang Allah suruh sambung.

    iii- Akhirnya akan berlaku & buat kerosakan atas muka bumi.
    Inilah hasil dari akibat orang yang jahat iaitu membatalkan perjanjian dengan Allah SWT kemudian putuskan hubungan lalu melakukan kerosakan!
    Inilah sifat munafiq yang paling besar dan orang fasiq yang jahat!
    Kita minta dijauhkan dari dibiarkan Allah SWT terumbang terambing begitu sahaja!
    Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs