HUKUM BERHUTANG, TULIS SEMUA TRANSAKSI HUTANG DENGAN TERPERINCI & PARA SAKSI TUNAIKAN AMANAH DENGAN JUJUR.
Full video : https://youtu.be/9YZ3kmpBP6A?si=X1gZlNrhnLcnmRcX
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam satu ayat yang panjang iaitu ayat 282 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang ketiga.
Ini adalah ayat yang terpanjang dalam al-Quran dan dinamakan ayat Hutang (آية الدين). - Dalam siri ini Allah SWT nyatakan hukum berhutang & cara-cara berhutang agar tidak timbul masalah & kesusahan di kemudian hari.
- Allah perintahkan untuk menulis semua transaksi hutang dengan terperinci, jangan ambil mudah akannya.
- Juga pesanan kepada para saksi agar tunaikan amanah dengan jujur jangan sembunyikan maklumat yang dia tahu.
- Munasabah ayat:
i- Allah SWT telah mengadakan perbincangan tentang sistem perjalanan hidup manusia dalam hartanya. Allah mulakan dengan ambil berat tentang keadaan orang miskin yang ada hutang dan mereka patut di bantu.
Kemudian Allah jelaskan tentang pengharaman riba. Siapa yang ambil riba maka dia telah mengisytiharkan perang terhadap Allah & Rasul-Nya!
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan isu yang ketiga iaitu untuk mengadakan saksi yang baik, bukti & maklumat yang jelas dalam urusan hutang & transaksi jual-beli yang bertangguh samada saksi bertulis menulis catatan maklumat yang jelas atau meletakkan gadaian (cagaran) atau apa saja janji lain yang boleh menjaga hak tuan hutang! - Undang-undang Islam yang cukup indah kerana ia datang dari Allah Azza wa Jalla. Ini menunjukkan akan keindahan Islam, ia tidak menentang hak milik seseorang dalam harta tetapi Islam larang kezaliman, penindasan, manipulasi, larang menganiaya orang miskin dan lain-lain jenayah.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 282- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! APABILA KAMU MENJALANKAN SESUATU URUSAN DENGAN HUTANG PIUTANG YANG DIBERI TEMPOH HINGGA KE SUATU MASA YANG TERTENTU MAKA HENDAKLAH KAMU MENULIS (HUTANG DAN MASA BAYARANNYA) ITU DAN HENDAKLAH SEORANG PENULIS DI ANTARA KAMU MENULISNYA DENGAN ADIL (BENAR) DAN JANGANLAH SESEORANG PENULIS ENGGAN MENULIS SEBAGAIMANA ALLAH TELAH MENGAJARKANNYA. OLEH ITU, HENDAKLAH IA MENULIS DAN HENDAKLAH ORANG YANG BERHUTANG ITU MERENCANAKAN (ISI SURAT HUTANG ITU DENGAN JELAS). DAN HENDAKLAH IA BERTAQWA KEPADA ALLAH TUHANNYA, DAN JANGANLAH IA MENGURANGKAN SESUATU PUN DARI HUTANG ITU.} (AL-BAQARAH 2:282)
- Sekali lagi Allah menyeru kepada orang -orang yang beriman agar menulis segala urusan kewangannya (muamalat) sesama mereka. Hukum ini meliputi semua jenis muamalat seperti jual-beli, hutang piutang, sewa-menyewa dan sebagainya.
- Allah arahkan untuk kita tulis bila berhutang atau beli secara bertangguh, detail tentang berapa, bila, dimana, dengan siapa, bila janjinya yakni secara detail & terperinci.
Penulis hutang hendaklah adil dan benar, jangan buat penipuan seperti tukar atau tambah atau kurangkan. Tulislah dengan adil saksama & telus. - Tidak kira kamu siapa; pak lebai, ustaz, tok imam, golongan professional atau sesiapa saja kena tulis! Jangan mempersoalkan arahan Allah untuk menulis transaksi ini. Kerana hari ini kita ambil esok mungkin sudah lupa!
Tuan hutang mungkin tidak lupa tetapi orang yang berhutangn selalunya mudah lupa! - Ini adat orang berhutang kena tulis serta penulisnya kena adil, arahan ini untuk melindungi yang berhutang dan si pemiutang.
- Allah beri peringatan lagi : {dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya.}
Ayat ini turun pada zaman tidak ramai orang yang tahu menulis & membaca. Maka orang yang pandai menulis itu jangan enggan & sombong dengan kemahirannya, tolong tulis perjanjian hutang ini.
Ini adalah arahan Allah pada mereka yang pandai menulis untuk membantu orang ramai! - Si penulis hutang juga kena ada etika, amanah, hendaklah mereka tulisnya dengan telus & amanah. Hendaklah masukkan dengan jelas detail tentang hutangnya. Jangan minta tulis yang tidak betul, jangan mengurangi jumlahnya.
AYAT 282- {KEMUDIAN JIKA ORANG YANG BERHUTANG ITU BODOH ATAU LEMAH ATAU IA SENDIRI TIDAK DAPAT HENDAK MERENCANAKAN (ISI ITU), MAKA HENDAKLAH DIRENCANAKAN OLEH WALINYA DENGAN ADIL BENAR); DAN HENDAKLAH KAMU MENGADAKAN DUA ORANG SAKSI LELAKI DARI KALANGAN KAMU. KEMUDIAN KALAU TIDAK ADA SAKSI DUA ORANG LELAKI, MAKA BOLEHLAH, SEORANG LELAKI DAN DUA ORANG PEREMPUAN DARI ORANG-ORANG YANG KAMU SETUJUI MENJADI SAKSI, SUPAYA JIKA YANG SEORANG LUPA DARI SAKSI-SAKSI PEREMPUAN YANG BERDUA ITU MAKA DAPAT DIINGATKAN OLEH YANG SEORANG LAGI. DAN JANGAN SAKSI-SAKSI ITU ENGGAN APABILA MEREKA DIPANGGIL MENJADI SAKSI. .} (AL-BAQARAH 2:282)
- Isu ketiga : Jika jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah (seperti kanak-kanak atau orang kurang upaya) atau ia sendiri tidak dapat hendak mengarang isi perjanjian itu sehingga terpaksa ditulis oleh orang lain, maka jangan kamu berlaku zalim dan mengambil kesempatan atasnya.
- Maka hendaklah direncanakan yakni ditulis oleh walinya dengan adil & benar.
Contoh wali adalah samada memang penjaganya, saudaranya, kawannya atau pembantunya yang memang digaji khas untuk membatu & menjaganya! Wali itu kenalah adil, tulis, jangan ada unsur menipu. - Hendaklah kamu berlaku adil dalam mencatat itu, janganlah kamu zalim. Kita lihat betapa banyak perkataan dengan adil {بِٱلْعَدْلِ} diulang dalam ayat ini, menunjukkan penekanan Allah tentang adil dalam hal berhutang.
- Isu keempat : Untuk menyaksikan perjanjian hutang ini; hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu.
Saksi itu hendaklah dua orang lelaki yang dipercayai dari kalangan kamu! - Kemudian jika tidak ada dua lelaki yang dapat dipercayai maka bolehlah diambil seorang lelaki bersama dengan dua orang wanita sebagai saksi. Supaya jika yang seorang dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu lupa maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi.
Yakni Allah beri peluang, wanita boleh menjadi saksi dalam bab kewangan, alhamdulillah. - Isu kelima : Ini adalah peringatan untuk para saksi pula:
i- Jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.
Termasuklah jika perlu, apabila dipanggil ke mahkamah atau di mana saja, kamu kena bertanggung-jawab jangan buat payah.
ii- Ini agar tidak hilang hak salah seorang yang buat perjanjian itu samada yang berhutang atau yang memberi hutang. Orang yang jadi saksi kena berlaku adil & ikhlas kerana Allah, mesti tolong untuk membela kebenaran & menghapuskan kezaliman!
AYAT 282- {DAN JANGANLAH KAMU JEMU MENULIS PERKARA HUTANG YANG BERTEMPOH MASANYA ITU, SAMA ADA KECIL ATAU BESAR JUMLAHNYA. YANG DEMIKIAN ITU, LEBIH ADIL DI SISI ALLAH DAN LEBIH MEMBETULKAN (MENGUATKAN) KETERANGAN SAKSI, DAN JUGA LEBIH HAMPIR KEPADA TIDAK MENIMBULKAN KERAGUAN KAMU. KECUALI PERKARA ITU MENGENAI PERNIAGAAN TUNAI YANG KAMU EDARKAN SESAMA SENDIRI, MAKA TIADALAH SALAH JIKA KAMU TIDAK MENULISNYA. DAN ADAKANLAH SAKSI APABILA KAMU BERJUAL-BELI. DAN JANGANLAH MANA-MANA JURUTULIS DAN SAKSI ITU DISUSAHKAN. } (AL-BAQARAH 2:282)
- Isu keenam : Allah menyeru peringatkan untuk menulis semua urusan muamalat kamu itu. Jangan kamu jemu (cuai atau memandang ringan) untuk menulis perkara hutang ini samada jumlah yang besar atau yang kecil; hutang RM10 pun tulis, hutang RM1000 pun tulis apatah lagi yang banyak berjuta-juta! Allah mengajar perkara ini demi kemaslahatan bersama.
- Suatu ketika dulu di kedai kopi & kedai-kedai runcit di kampung menyediakan buku (555) untuk menulis hutang para pelanggannya yang tidak mampu membayar tunai. Mereka akan bayarnya apabila cukup tempoh tertentu yang dijanjikan atau bila ada duit hasil jual getah atau padi.
- Membuat catatan tentang urusan hutang ini, adalah lebih adil di sisi Allah dan lebih membetul & menguatkan keterangan saksi, agar tidak menimbulkan masalah & keraguan di kalangan kamu kelak!
- Isu ketujuh : Jika kamu membuat urusan jual-beli secara cash/tunai, tidak menjadi kesalahan jika kamu tidak menulisnya. Jika nak tulis juga tidak mengapa, seperti kebiasaan resit yang dikeluarkan oleh kedai-kedai sekarang ini. Tuan kedai pula rekod atau tulis untuk tujuan rekod akaun perniagaannya.
- Isu kelapan : Juga arahan agar diadakan saksi dalam urusan jual-beli kamu agar tidak timbul masalah- ini pembelian besarlah. Tetapi transaksi hari ini lebih canggih dengan adanya resit, scan komputer dan seumpamanya; sudah mencukupi & diterima sebagai uruf (kebiasaan) zaman ini.
- Isu kesembilan : Kemudian Allah pesan agar jangan kamu menyusahkan pula saksi-saksi & jurutulis itu, dengan permintaan yang tidak logik & membuatkan mereka dalam keadaan serba-salah. Contoh : perkara ringkas disusahkan, yang sikit minta tulis banyak, yang palsu dibenarkan seperti guna resit palsu atau buat claim palsu.
AYAT 282- {DAN KALAU KAMU MELAKUKAN (APA YANG DILARANG ITU), MAKA SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN ADALAH PERBUATAN FASIK (DERHAKA) YANG ADA PADA KAMU. OLEH ITU HENDAKLAH KAMU BERTAQWA KEPADA ALLAH; DAN (INGATLAH), ALLAH (DENGAN KETERANGAN INI) MENGAJAR KAMU; DAN ALLAH SENTIASA MENGETAHUI AKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-BAQARAH 2:282)
- Jika kamu melakukan apa yang dilarang, wahai para penulis, para saksi, penjual atau pembeli; ingatlah sesungguhnya yang demikian itu adalah perbuatan yang fasik lagi derhaka kepada Allah! Hendaklah kamu takut & bertaqwa kepada Allah!
- Ayat ini adalah ayat sentap; ingatlah wahai para saksi, penulis, penjual & pembeli serta penghutang semua, bahawa Allah Maha mengetahui segala sesuatu. Semua orang bertanggungjawap atas persaksian & perbuatan mereka.
Jangan buat perkara yang tidak benar dan tidak jelas, takutlah dengan azab Allah, jangan buat perbuatan yang boleh mengundang kemurkaan & bala Allah SWT!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 282- {Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu…}-
Dalam ayat ini Allah nyatakan tentang satu hukum, transaksi jual beli & hutang piutang untuk orang yang beriman kepada Allah. Hukum ini meliputi segala jenis mu’amalat (tansaksi/urusan) yakni segala urusan mengenai berjual-beli, hutang-piutang, sewa-menyewa dan sebagainya yang berkait dengan urusan kewangan. Jika kamu orang yang beriman dengan Allah, ikutlah arahan yang diturunkan, kamu tulislah dengan telus, dengan adil jangan khianat mana-mana pihak.
Kerana itu Allah mulakan seruan kepada orang yang beriman, maka sesiapa yang langar undang-undang ini maka dia adalah orang yang kurang & lemah imannya kerana dia tidak jujur & amanah dalam tanggungjawab yang Allah berikan.
Harta ini adalah satu amanah yang Allah beri kepada kita, untuk kita cari, jaga & gunakannya sebaiknya ikut SOP Syari’ah & perintah Allah.
Hadis riwayat Amru bin al-‘Ash RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Amru, sebaik-baik harta adalah harta yang dimiliki oleh hamba yang soleh.” [HR Ahmad 4/197]. - Ayat 282- {Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu.}-
Allah SWT menyatakan dalam ayat ini bahawa Allah mengambil berat tentang hukum jual-beli, hutang piutang & transaksi urusan harta sesama manusia. Ini kerana harta adalah:
i-Punca berbalahan sesama manusia
ii- Punca manusia mendapat dosa & ke neraka. Jika ia makan haram, hutang orang lupa dibayar maka dosalah yang dapat! Ia juga menunjukkan bahawa Islam ambil berat soal muamalat sama seperti soal ibadat. Allah ambil berat hubungan kita dengan Allah dalam masa yang sama Allah juga ambil berat dalam hubungan kita sesama manusia. Agar kita menjaga dan pelihara hak sesama muslim dengan baik dan telus.
Tuliskan semua urusan hutang tertangguh bagi menjaga kemaslahatan bersama dunia akhirat. - Ayat 282- {itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya.}-
Allah juga menyatakan agar kamu menuliskan urusan ini. Janganlah orang yang pandai menulis tidak mahu menulis, tidak mahu menggunakan ilmu yang diajar Allah kepadanya ini!
Tidak kira siapa kamu! Ustaz pendakwah alim ulama’, menteri, peniaga, cikgu atau siapa saja; hendaklah menulis hutang yang diberikan dengan terperinci agar tidak berlaku kezaliman pada orang. Ini tidak, orang suruh tulis marah, ditanya pula: Kamu tidak percaya kepada saya???
Tulis jangan tak tulis, kerana manusia ini mudah lupa, jangan rasa kamu sudah cukup amanah & terpaling kuat ingatannya!
Allah yang Maha Mengetahui sifat manusia, kerana itu Allah suruh tulis dengan terperinci dan cari saksi yang hadir! - Ayat 282- {Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya.}-
Dalam ayat ini Allah beri kelonggaran & pengecualian daripada menulis urusan secara terperinci. Pengecualian ini diberikan dalam urusan jual beli secara tunai, tidak perlu perjanjian secara bertulis, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya.
Yakni tidak mengapa untuk tidak menulis jual beli yang dilakukan secara tunai kerana kurang sikit perbalahan yang akan timbul selepas itu. Tetapi untuk lebih cermat adalah lebih baik untuk tulis atau sekarang ini print resit belian.
Dengan adanya resit, kita boleh periksa semak betulkah semua barang yang kita beli sudah dikira atau mungkin ada yang kita tak ambil dikira juga. Ini untuk keadilan & kebaikan bagi dua-dua pihak agar tidak dizalimi! - Ayat 282- {Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar);}-
Jika orang membeli itu orang yang bodoh tidak pandai jual-beli, orang yang lemah & dhaif seperti OKU, kanak-kanak atau orang tua;
Mereka ini memerlukan kepada wali untuk mengguruskan urusan muamalat jual-beli dan lain-lain kewangan mereka agar mereka tidak tertipu & dianiayai.
Allah larang, jangan biarkan mereka melakukan urusan jual beli sendiri tanpa bantuan & pantauan orang yang berkeupayaan yang bertanggung-jawab ke atas mereka.
Semoga bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.