View Categories

(13) Surah Al-Baqarah : Ayat 36-39

IBLIS MEWASWAS ADAM, ALLAH SWT AJAR TAUBAT & DIPERINTAHKAN TURUN KE BUMI.

Full video : https://youtu.be/sw8F9OenZ3Q?si=0v0OvPc_ZRIl2m3J

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 36-39 bagi surah Al-Baqarah, iaitu surah yang kedua dalam Juz yang pertama.
  1. Dalam ayat ini Allah SWT ceritakan bagaimana iblis telah menyelinap masuk semula ke dalam syurga untuk menghasut Adam & Hawa sehingga membuatkan Adam waswas, lalu Adam tersalah melakukan apa yang telah dilarang oleh Allah SWT!
  1. Dalam siri yang lepas kita telah dengar tentang dua jenis dosa iaitu:
    i- Melanggar atau membuat apa yang dilarang.

    ii- Meninggalkan atau tidak buat apa yang diperintahkan.
    Keduanya adalah tidak baik tetapi meninggalkan apa yang diperintah adalah yang lebih dahsyat & besar kesalahannya.
    Iblis kerana dia ingkar & takabbur; dilaknat sehingga ke hari Kiamat manakala Adam diberi ruang untuk bertaubat & Allah ajarnya untuk bertaubat.
  1. Allah SWT ajar kepada nabi Adam AS untuk bertaubat dari kesalahannya lalu diperintahkan turun ke bumi.
    Hari ini kita akan dengar kisahnya apa yang terjadii pada Adam atas muka bumi sehingga kepada kita hari ini, Insya’ Allah.
  1. Munasabah ayat:
    i- Ayat ini berterusan menyatakan bahawa Allah memuliakan manusia, telah terserlah kemuliaan Adam yang dicipta & diberi duduk dalam syurga.
    Tetapi telah tertulis juga bahawa Adam akan mejadi khalifah atas bumi maka dia dikeluarkan dari syurga.
    Ini untuk melahirkan manusia yang hebat yang dapat melawan syaitan!

    ii- Maka ayat ini untuk menenangkan hati Rasulullah SAW setelah Baginda ditentang oleh kaumnya; bahawa kerja manusia itu menderhaka kepada Allah.
    Maka kerja Rasulullah SAW & para pendakwah ialah membaik pulih manusia ini sehingga mereka insaf & kembali kepada Allah kerana pintu taubat itu akan sentiasa terbuka sehinggalah nyawa di halkum atau matahari terbit dari sebelah barat iaitu hari Kiamat.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 36- {SETELAH ITU MAKA SYAITAN MENGGELINCIRKAN MEREKA BERDUA DARI SYURGA ITU DAN MENYEBABKAN MEREKA DIKELUARKAN DARI NIKMAT YANG MEREKA TELAH BERADA DI DALAMNYA DAN KAMI BERFIRMAN: “TURUNLAH KAMU! SEBAHAGIAN DARI KAMU MENJADI MUSUH KEPADA SEBAHAGIAN YANG LAIN DAN BAGI KAMU SEMUA DISEDIAKAN TEMPAT KEDIAMAN DI BUMI, SERTA MENDAPAT KESENANGAN HINGGA KE SUATU MASA (MATI)”.} (AL-BAQARAH 2:36)

  1. Setelah Allah SWT memberitahu kepada Adam & isterinya untuk duduk baik-baik dalam syurga, maka datang syaitan menggelincirkan mereka berdua lalu mereka tersalah & melanggar perintah Allah itu, maka Allah berfirman supaya mereka keluar dari syurga & nikmatnya.
  1. Ulama’ kata kalimah { فَأَزَلَّهُمَا} ini ada dua bacaan yang membawa dua makna:
    i- Jika dibaca dengan baris panjang huruf zai itu { فَأَزَالهُمَا} membawa makna syaitan mengeluarkan mereka & menjauhkan dari syurga.

    ii- Dengan bacaan yang kita baca ini { فَأَزَلَّهُمَا} – syaitan berjaya menghasut sehingga membuat mereka tergelincir dengan tipu-dayanya lalu menyebabkan Adam jauh daripada syurga.
  1. Lalu iblis dengan tipu-dayanya berjaya membuatkan Adam & isterinya keluar dari syurga yang penuh dengan nikmat & rezeki yang banyak!
    Tidak ada khilaf di kalangan ulama’ bahawa iblis yang menipu Adam AS.
  1. Lalu Allah SWT memerintahkan mereka bertiga: Adam, Hawa & Iblis untuk keluar dari syurga & turun ke bumi!
    Tentang makhluk keempat iaitu ular adalah kisah Israiliyyat yang tiada asas & jangan dipercayai!
  1. Sebuah lagi buku baru yang menarik bagi yang faham bahasa Arab: مراجعات في الإسرائليات
    Murajaat fil-Israiliyyat.
    Link: https://www.noor-book.com/%D9%83%D8%AA%D8%A7%D8%A8-%D9%85…
    Adapun buku buku karangan Sheikh Muhammad Abu Syahbah terjemahannya telah diterbitkan oleh JAKIM.
  1. Kemudian Allah SWT berpesan: {Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain}- iaitu musuh kamu adalah syaitan & Iblis; ingatlah jangan ambil mereka ini sebagai kawan atau penasihat kamu!
    Siapa berkawan dengan syaitan dia adalah musuh Allah!
  1. Firman Allah SWT juga:
    i- {Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.} (Al-Kahfi 18:50)

    ii- {Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.} (Faatir 35:6)
    Musuh Allah bukan hanya iblis dan syaitan; tetapi sesiapa yang tidak beriman & menderhaka kepada Allah adalah musuh Allah!
  1. Allah juga menyatakan Dia disediakan bagi kamu bumi; untuk kamu hidup & menikmati rezeki yang Allah beri sehingga tamat tempohnya, iaitu kedatangan ajal maut!
    Duduklah menikmati rezeki yang Allah beri, ada orang yang atas dunia lagi sudah dapat nikmat dari Allah!
    Setelah mati kamu akan menunggu di alam kubur pula sehingga hari Kiamat; sama ada menjalani nikmat atau azab kubur.
    Ya Allah jadikanlah kubur kami sebagai taman daripada taman-taman syurga!
  1. Ada juga ulama’ kata maksud ayat ini
    { وَمَتَـٰعٌ إِلَىٰ حِينٍۢ} Ialah hidup di alam kubur kerana tempoh menunggu di alam kubur lebih lama daripada masa hidup di atas dunia.
  1. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: أَعْمَارُ أُمَّتِي مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى السَّبْعِينَ، وَأَقَلُّهُمْ مَنْ يَجُوزُ ذَلِكَ
    Maksudnya: “Umur-umur umatku di antara 60 hingga 70 tahun dan amat sedikit yang lebih daripada itu.” [HR al-Tirmizi (3550)- Hadith ini dinilai hasan gharib oleh Imam at-Tirmizi]
    Kajian perubatan hari ini pula mendapati wanita lebih panjang usianya daripada lelaki kerana itu penduduk dunia lebih ramai wanita bilangannya.

AYAT 37- {KEMUDIAN NABI ADAM MENERIMA DARI TUHANNYA BEBERAPA KALIMAH (KATA-KATA PENGAKUAN TAUBAT YANG DIAMALKANNYA), LALU ALLAH MENERIMA TAUBATNYA; SESUNGGUHNYA ALLAH, DIA LAH YANG MAHA PENGAMPUN (PENERIMA TAUBAT), LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-BAQARAH 2:37)

  1. Kemudian nabi Adam menerima kalimah taubat dari Allah SWT sebagai pengakuan taubatnya untuk dibaca & diamalkan.
  1. Kalimah taubat ini sebagaimana dalam firman Allah SWT ini: { رَبَّنَا ظَلَمْنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ}-
    {“Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.} (Al-A’raaf 7:23)
  1. Keadaan Adam & Hawa juga dikisahkan sebagaimana dalam firman Allah SWT ini:
    {Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).

    Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.} (Taha 20:122)
    Apabila Allah SWT sayang kepada seorang hamba-Nya Allah SWT akan buka pintu hatinya untuk bertaubat!
  1. Hadis Rasulullah SAW : الندم توبة “Penyesalan itu taubat!” [HR Ibnu Majah].

    Semoga Allah SWT campakkan ke dalam hati kita rasa sesal atas setiap perbuatan yang kita tersalah & tersilap, menjadi orang yang sentiasa kembali bertaubat kepada Allah SWT, menyesali segala dosany & mati dalam husnul-khatimah, dibangkitkan di kalangan orang yang diredhai Allah & dimasukkan ke dalam syurga.
  1. Lalu Allah menerima taubat Nabi Adam AS ini kerana sesungguhnya Allah yang Maha Pengampun, Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

AYAT 38- {KAMI BERFIRMAN LAGI: “TURUNLAH KAMU SEMUANYA DARI SYURGA ITU! KEMUDIAN JIKA DATANG KEPADA KAMU PETUNJUK DARIKU (MELALUI RASUL-RASUL DAN KITAB-KITAB YANG DITURUNKAN KEPADA MEREKA), MAKA SESIAPA YANG MENGIKUTI PETUNJUKKU ITU NESCAYA TIDAK ADA KEBIMBANGAN (DARI SESUATU YANG TIDAK BAIK) TERHADAP MEREKA, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN BERDUKACITA”.} (AL-BAQARAH 2:38)

  1. Allah berifirman lagi: Keluarlah kamu dari syurga, turunlah kamu untuk hidup di atas muka bumi.
  1. Setelah Adam & Hawa duduk di bumi, lalu Allah SWT memberitahu kepada mereka akan datang nanti wahyu petunjuk yang turun dari Allah, yang akan diberi melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka.
  1. Orang beriman tidak takut & berdukacita untuk mati! Apabila nak mati malaikat rahmat bersama malaikat maut datang & tunjukkan kepada kita ke mana pengakhiran kita nanti!
    Orang yang baik nampak syurga & nikmatnya manakala orang yang celaka akan nampak neraka & azabnya!
    Kerana itulah taubat tidak diterima lagi ketika nazak atau sakaratul-maut ini!
  1. Semoga Allah SWT jaga anak cucu yang kita akan tinggalkan ini menjadi orang yang soleh & layak mendapat nikmat & keredhaan Allah SWT! Mengikut legasi yang kita tinggalkan; Jika sayang kepada anak jadilah orang soleh, didik anak sebagai orang soleh, maka Allah akan menjaga mereka!

AYAT 39- {DAN ORANG-ORANG KAFIR YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI, MEREKA ITU IALAH AHLI NERAKA, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA.} (AL-BAQARAH 2:39)

  1. Munasabah ayat ini dengan yang sebelumnyna:
    i- Apabila Allah SWT beri khabar gembir kepada orang beriman: {sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.}

    ii- Lalu Allah SWT bawa pula ayat ini tentang mereka yang sebaliknya iaitu tetapi ingat: orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah: Allah nyatakan bahawa: {mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.} Wal-iayazu billah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 36- {Kami berfirman: “Turunlah kamu!}-

    Allah sebut: “Turunlah kamu”, Maknanya syurga itu berada di tempat yang tinggi.
    Majoriti ulama’ mengatakan bahawa syurga itu berada di langit.
    Syurga yang dijanjikan Allah SWT yang kekal abadi itu telah ada dari sekarang lagi, berada di atas langit!

    Puak muktazilah kata tidak! Mereka kata Syurga itu dicipta khas untuk menguji nabi Adam dan ia berada di bumi, ada kata berada Eden, Yaman dan lain-lain yang tidak dapat diterima pendapatnya.

    Dalam Ayat 35 yang lepas juga Allah SWT berfirman: {Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga.}
    Yakni Adam & isterinya { وَزَوْجُكَ}.

    Nama isteri Adam ini ialah Hawwa’ (حوّاء).
    Timbul perbahasan dari mana datangnya Hawwa’ ini?

    Terdapat beberapa pandangan:
    i- Ada yang kata dicipta dari tulang rusuk Adam di ambil dari firman Allah SWT ini:
    a-{Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.} (An-Nisaa’ 4:1)

    b- Hadis riwayat oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
    اسْتَوْصُوا بِالنساءِ خَيْرًا، فإنَّ المرأةَ خُلقتْ من ضِلَعٍ ، وإنَّ أَعْوَجَ شيءٍ في الضِّلعِ أَعْلَاه ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيْمُهُ كَسَرْتَهُ ، وإن تركتَه لم يزلْ أَعْوَجَ ، فاستوصُوا بالنِّساءِ خَيْرًا
    Maksudnya: “Nasihatilah para wanita kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok daripada tulang rusuk itu adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka ia akan patah, namun bilamana kamu biarkan ia maka ia akan tetap bengkok, untuk itu, nasihatilah para wanita”. [HR al-Bukhari]

    ii- Seorang ulama’ Fakharudin Ar-Razi berpendapat bukan begitu maksudnyanya:
    a) Bahkan maksudnya ayat itu adalah dari jenis yang sama iaitu sesama manusia bukan dari tulang rusuknya.
    Kita boleh kahwin dengan wanita kerana ia dari jenis manusia juga bukan jin atau malaikat.
    Ini sebagaimana firman Allah SWT:
    {“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keteranganketerangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”} (Surah Ar-Rum: ayat 21)

    b) Manakala tentang hadis itu adalah hanya satu perumpamaan atau analogi sahaja.
    Rasulullah SAW beri analogi bahawa wanita ini perlu dididik dengan cara baik dan lembut kerana jika terlalu kasar akan menyebabkan patah (rosak).
    Suami kena ada seni untuk mendidik isteri; kerana wanita ini adalah satu makhluk yang unik, banyak gaya karenahnya, maknanya jika kamu tidak dapat ikut gaya mereka & betulkan mereka dengan lembut maka mereka akan rosak atau rumahtangga kamu akan punah (bercerai).

    Maknanya siyaqul-ayat & hadis tidak bermaksud menunjukkan bahawa Hawwa’ dicipta dari tulang rusuk bahkan ia hanya satu anologi perbandingan.
    Nama Adam { ءَادَمُ} ini disebut sebanyak 25 kali dalam Al-Quran.
    Ayat 31-37 surah Al-Baqarah menceritakan tentang Nabi Adam AS. Juga dalam surah lain-lain.

    Episod tentang Adam ada 6 dalam Al-Quran:
    i- Adam dicipta dari tanah.

    ii- Iblis & malaikat diperintahkan sujud hormat kepada Adam.

    iii- Sebab iblis menyalahi perintah Allah adalah kerana sombong takabbur.

    iv- Perlantikan Adam sebagai khalifah di muka bumi.

    v- Adam diajar oleh Allah nama-nama benda yang ada pada saat itu.

    vi- Adam duduk dalam syurga dengan isterinya kemudian dikeluarkan.
    Terdapat sebuah buku yang ditulis khas tentang kisah nabi Adam AS (Sirah Adam) oleh Sheikh Dr. Solah Al-Khalidi.
    Link: https://www.kotobati.com/…/%D9%83%D8%AA%D8%A7%D8%A8-%D8…
  1. Ayat 36- {dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”.}-

    Ini memberi isyarat bahawa bumi adalah tempat yang paling sesuai untuk didiami oleh manusia, bukan tinggal di planet, langit atau mana-mana tempat lain.
    Dalam ayat ini Allah mengungkit sekali lagi nikmat pemberian-Nya kepada manusia.
    Semuanya telah disediakan untuk kemudahan manusia manusia, lengkap segala kehidupan & keperluan atas muka bumi ini.

    Tak perlu naik ke langit mencari rezeki lagi. Langit bukan tempat untuk kita naik cari apa-apa bahkan dari langit Allah telah turunkan ke bumi wahyu-Nya iaitu Al-Quran sebagai panduan hidup manusia!
  1. Ayat 36- {Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya}-

    Syaitan dengan tipu-dayanya {إغواء} telah mengeluarkan Adam & isterinya dari syurga.
    Syaitan memang mengacau manusia supaya lari dari tempat yang baik ke tempat yang sebaliknya!
    Kerja syaitan untuk mengeluarkan kita dari tempat yang baik untuk ke tempat yang tidak baik.
    Dia akan datang ganggu, buat waswas, khianat sehingga kita rasa panas tidak selesa duduk di pondok contohnya!
    Syaitan memang tugasnya agar kita terkeluar dari syariat Allah SWT, jatuh & terkeluar dari landasan iman.
    Dia tidak akan duduk diam, dia datang atas nama penasihat.
    Syaitan juga boleh ada dikalangan manusia maka kita kena berhati-hati dengan syaitan yang bertopeng penasihat.
  1. Ayat 36- {dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”.}-

    Allah kata bagi kamu manusia semua atas dunia ini tempoh & ajal yang telah Allah tetapkan.
    Allah nak ajar & didik kita supaya bersifat zuhud atas dunia ini.
    Jangan terpedaya dengan keindahan perhiasan dunia ini.
    Hidup kita di atas dunia ini bukan kekal abadi bahkan ada tempoh yang telah ditetapkan Allah SWT!
    Ini peringatan bahawa dunia ini hanya sementara maka hati-hatilah dengan talbis Iblis (perangkap syaitan) dalam kehidupan kita ini!

    Mengapa kita nak kempen atau angkat barang atau produk yang bukan dari orang Islam sedangkan yang Islam juga ada!
    Semoga Allah SWT beri kita istiqomah atas jalan yang benar, dunia ini kecil & sementara sahaja.
    Segala hukum-hakam & Syari’ah Allah wajib dijaga & diamalkan.

    Apabila kita sentiasa benar & ingat kepada Allah SWT Insya’ Allah, Allah akan beri kepada kita hidayah petunjuk untuk sentiasa berada atas landasan yang benar.
  1. Ayat 38- {maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.}-

    Orang yang istiqomah selepas bertaubat & menyesal jika ada tersilap & salah; serta ikut petunjuk Allah SWT dia tidak akan sedih & dukacita lagi, Allah beri khabar gembira kepadanya sebelum mati lagi!
    Malaikat datang tunjukkan tempatnya di dalam syurga!
    Dia tidak perlu risau tentang anak cucu & zuriat keturuanan yang akan ditinggalkannya!
    Allah akan jaga mereka seperti dalam kisah surah Al-Kahfi, harta anak yatim dipelihara oleh Allah kerana ayahnya dan datuknya orang soleh.
    Bahkan Allah hantar seorang rasul & seorang walinya untuk melindungi harta mereka.
    Datuk mereka yang atas-atas dulu adalah orang soleh maka cucunya mendapat tempias kebaikan!
    Ya Allah jadikanlah kami orang yang soleh, keluarga kami & anak cucu zuriat kami juga! Hantarkanlah malaikat dekat kami nak mati membawa khabar gembira tiada lagi ketakutan & kebimbangan.

    Ya Allah jadikan kami orang yang sentiasa mendapat keamanan di dunia, di dalam kubur & di akhirat sehingga sampai ke syurga-Mu.

Powered by BetterDocs