View Categories

(19) Surah Al-Baqarah : Ayat 61

SIKAP TAMAK BANI ISRAEL, KEHINAAN MEREKA & SEBAB MEREKA DIHUKUM.

Full video : https://youtu.be/9DlTAq4GEsE?si=4mnrOK4_FstnM9Yy

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah tafsir surah Al-Baqarah. Surah Al-Baqarah adalah surah yang kedua selepas Al-Fatihah, dalam juzu’ yang pertama.
  1. Dalam siri ini kita akan bincangkan ayat ke-61 di mana Allah SWT nyatakan sikap buruk bani Israel atau yahudi, yang tamak & degil tidak dengar kata.
  1. Sikap buruk mereka inilah yang menyebabkan mereka mendapat kehinaan & sebab mereka dihukum atas dunia lagi sebelum akhirat.
  1. Setelah dinyatakan tentang 10 nikmat yang Allah kurniakan kepada mereka, maka ayat ini sekali lagi memberi peringatan kepada kita bahawa bani Israel ini satu golongan yang degil tidak dengar kata!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 61- {DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMU BERKATA: “WAHAI MUSA, KAMI TIDAK SABAR (SUDAH JEMU) DENGAN MAKANAN YANG SEMACAM SAHAJA; MAKA POHONKANLAH KEPADA TUHANMU UNTUK KAMI, SUPAYA DIKELUARKAN BAGI KAMI SEBAHAGIAN DARI APA YANG TUMBUH DI BUMI; DARI SAYUR-SAYURANNYA, DAN MENTIMUNNYA, DAN BAWANG PUTIHNYA, DAN ADAS (KACANG DALNYA), SERTA BAWANG MERAHNYA”.

  1. Allah mengingatkan lagi: “Ingatlah {وَإِذْ } wahai bani Israil apabila kamu berkata kepada Nabi Musa bahawa kamu sudah tidak sabar, sudah jemu makan makanan yang sama iaitu manna & salwa yang diturunkan khas untuk kamu dari langit!”
  1. Padahal rezeki makanan itu Allah SWT turunkan kepada mereka tanpa susah payah, makanan yang baik & eksklusif, turun khas dari langit!
    Bukan sahaja mereka tidak bersyukur tetapi mereka ini degil keras kepala, tidak sabar & mengamuk tidak tentu pasal!
    Maka kita kena banyak sabar, jangan mengamuk tak tentu pasal.
    Pesan orang tua jika nak bercakap atau menulis komen sekarang ini, tengok kiri kanan dulu.
  1. Mereka suruh nabi Musa minta agar (Tuhanmu) Allah supaya keluarkan pula untuk mereka makanan yang biasa mereka makan iaitu seperti: Dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya.

    Lihat betapa angkuhnya mereka, mereka tidak kata Tuhan kita tetapi Tuhanmu {رَبَّكَ} yakni hanya Tuhan Musa!
  1. Sedangkan nabi Musa dulu tidak menjanjikan apa-apa kepada mereka, Musa hanya menyelamatkan datuk nenek mereka dari kezaliman Firaun dan mengajak untuk beriman!
  1. Kita belajarlah ilmu menghormati makanan, orang yang menyediakan makanan, terutaman sekali kepada Allah, Pemberi nikmat itu!
    Rasulullah SAW tidak pernah menghina makanan, jika Baginda tidak Sukanya, Baginda hanya diam & tidak makannya.

AYAT 61- {NABI MUSA MENJAWAB: “ADAKAH KAMU MAHU MENUKAR SESUATU YANG KURANG BAIK DENGAN MENINGGALKAN YANG LEBIH BAIK? TURUNLAH KAMU KE BANDAR KERANA DI SANA KAMU BOLEH DAPATI APA YANG KAMU MINTA ITU”.

  1. Nabi Musa menjawab balik dengan bertanya kepada mereka apakah mereka mahu menukar sesuatu yang baik, yang ekslusif dari Allah SWT dengan sesuatu yang biasa & kurang baik, sayur-sayuran yang berbau?
  1. Nabi Musa mencela & mengingkari perbuatan mereka itu yang mahu menukar sesuatu yang lebih tinggi dengan sesuatu yang lebih rendah darjatnya!
  1. Tunggulah sehingga kamu turun ke mana-mana bandar {مِصْرًۭا } -bukan Mesir sekarang ini, apabila keluar dari padang pasir, pastilah kamu akan jumpa dengan segala makanan yang kamu minta itu!
    Ia adalah makanan biasa yang banyak, kamu akan dapatinya di mana-mana, maka mintalah ia! Manakala manna & salwa itu hanya di sini ada.

AYAT 61- {DAN MEREKA DITIMPAKAN DENGAN KEHINAAN DAN KEPAPAAN, DAN SUDAH SEPATUTNYA MEREKA MENDAPAT KEMURKAAN DARI ALLAH.

  1. Kaum yahudi disebabakan derhaka & kepada Allah maka mereka ditimpa kehinaan, menjadi papa & miskin melarat.
    Walaupun pada zahirnya nampak kaya tetapi mereka hina & miskin jiwanya!
  1. Jelas akibat kemurkaan Allah ini, ke mana saja mereka pergi, kaum yahudi akan dibenci & dihina!
    Ini disebabkan sikap buruk mereka suka hasad dengki, khianat & pencerobohan!
  1. Ayat ini Allah tujukan juga kepada yahudi sekarang!
    Akibat perangai buruk datuk nenek mereka dulu menyebabkan mereka dihina Allah SWT & hidup dalam kepapaan & buangan walaupun banyak harta.
    Mereka tiada negara cuma hidup dalam dakapan negara besar Amerika, yang memecahkan negara Pelastin dan memberikannya kepada yahudi atas nama Israel!
  1. Tetapi mereka tetap hidup dalam ketakutan & tidak tenang hidupnya, akibat khianat & merampas tanah & hak orang Palestin.
    Walaupun hanya dengan anak batu, yahudi tidak tenangn hidupnya.
  1. Munasabah ayat ini dengan ayat yang sebelummya:
    i- Permintaan mereka kepada nabi Musa ini adalah dalil yang besar menunjukkan yahudi adalah kaum yang tidak sabar.
    Mereka juga memandang hina kepada arahan Allah & memandang kecil kepada nikmat-nikmat yang Allah kurniakan kepada mereka.

    ii- Maka mereka ini dibalas mengikut perbuatan yang mereka buat. Mereka ditimpa kehinaan, hidup terbuang & sentiasa miskin, jika tak miskin harta, miskin jiwa. Iaitu sentiasa tamak nak harta walaupun sudah kaya.
    Orang yang kaya jiwa dia tidak tamak & zuhud dengan apa yang ada ini adalah sifat Qana’ah, berpada dengan apa yang ada.
    Mereka juga ditimpa kemurkaan Allah SWT. mereka keluar dari padang pasir dalam kemurkaan Allah.

AYAT 61- {YANG DEMIKIAN ITU IALAH DISEBABKAN MEREKA KUFUR (MENGINGKARI) AYAT-AYAT ALLAH (PERINTAH-PERINTAH DAN MUKJIZAT-MUKJIZAT YANG MEMBUKTIKAN KEBESARANNYA); DAN MEREKA PULA MEMBUNUH NABI-NABI DENGAN TIDAK ADA ALASAN YANG BENAR.

  1. Allah SWT menyatakan sebab mereka ditimpa kehinaan itu, begitulah uslub Al-Quran dinyatakan sebab di sebalik setiap arahan, larangan atau hukuman!
  1. Sebab mereka mendapat kemurkaan Allah & kehinaan:
    i- Kerana mereka kufur. Iaitu sama ada kufur sungguh KAFIR, atau kufur dengan mengingkari ayat-ayat Allah iaitu perintah & mukjizat yang membuktikan kebenaran ajaran Allah!
    Sama ada ayat yang dibaca pada masa itu (Taurat) atau mukjizat yang Allah beri kepada nabi Musa AS, tidak memberi kesan kepada jiwa mereka & tidak menambah keimanan.

    ii- Mereka membunuh para nabi Allah tanpa hak atau alasan yang benar!
    Jika bunuh orang biasa pun dosanya besar apatah lagi membunuh nabi utusan Allah yang mulia!
  1. Antara nabi-nabi yang mereka bunuh ialah nabi Zakaria, Yahya dan beberapa orang lagi yang tidak disebut nama atau kisahnya dalam Al-Quran.

AYAT 61- {YANG DEMIKIAN ITU IALAH DISEBABKAN MEREKA MENDERHAKA DAN MEREKA PULA SENTIASA MENCEROBOH.} (AL-BAQARAH 2:61)

  1. Kemurkaan Allah itu juga kerana sebab ketiga ini: Itulah balasan orang yang menderhaka {عَصَوا۟} kepada Allah Azza wa Jalla dengan buat dosa maksiat, buat perkara yang dilarang oleh Allah.
  1. Mereka juga sentiasa melampaui batas, menceroboh {يَعْتَدُونَ} hukum-hakam Allah dengan degil, keras kepala & sombong takabbur.
    Maka jadilah mereka golongan yang hina & zalim atas dunia ini.
  1. Semoga Allah selamatkan kita, keluarga kita & semua orang yang kita sayangi semua agar jauh dari semua sifat buruk ini!
    Jadikan kita hamba yang beriman, baik, taat & patuh kepada Allah SWT.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 61- {Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja;}-

    Ayat ini menunjukkan bahawa:
    i- Nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada nenek moyang dulu akan tempias turun kepada anak cucu orang yang soleh.

    ii- Begitu juga celaan kepada nenek moyang akan turun juga kepada anak cucunya jika mereka bersikap seperti tok nenek mereka dulu juga!
    Bani Israel dulu menentang nabi Musa & yahudi pada zaman Rasulullah SAW juga menentangnya, maka celaan ini juga untuk mereka.
    Ayat in menunjukkan umat yang satu, mereka akan bersatu atas landasan kemaslahatan dan kedudukan.
  1. Ayat 61- {maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami..}-

    Wahai Musa berdoalah kepada Tuhan kamu! Yakni mereka bukan kata (kepada Tuhan kami).
    Bani Israel ini adalah satu bangsa yang hati kering & degil, sedangkan mereka ikut nabi Musa yang telah menyelamatkan mereka daripada kezaliman Firaun, telah beriman kepada nabi Musa tetapi mereka tetap bersikap & berkata-kata dengan sifat yang menyakitkan hati nabi Musa AS.

    Sebagaimana firman Allah SWT ini juga:
    {Mereka (menolak dengan) berkata: “Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu”.} (Al-Maaidah 5:24)
  1. Ayat 61- {Nabi Musa menjawab: “Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik?}-

    Mereka memilih makanan yang buruk sedangkan yang baik & halal ada.
    Maka kata ulama’: Sesiapa yang memilih sesuatu yang tidak baik daripada yang baik, pilih martabat yang rendah meninggalkan martabat yang tinggi, maka dia telah meniru & menyerupai perangai yahudi.

    Contohnya: Orang yang pilih benda yang haram sedangkan benda yang halal ada seperti makanan atau seumpamanya.
    Pilih skim riba dalam mana-mana muamalat sedangkan skim yang halal tanpa riba ada!
    Memilih sesuatu yang buruk & haram jika yang baik & halal ada; adalah satu kehinaan!
    Adapun memilih yang afdhal & terbaik dalam makanan tidak dicela jika tidak melampaui batas dan membazir.

    Tetapi jangan sampai beza harga terlalu jauh, berpuluh atau beratus ringgit seperti buffet hotel dengan makan di restoran biasa jika makanannya juga baik & bersih.
  1. Ayat 61- { Nabi Musa menjawab: “Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik?}-

    Orang yang mahu menukar sesuatu yang baik dengan sesuatu yang buruk atau kurang baik layak dicela. Kerana itu nabi Musa AS mencela bani Israel yang minta makanan biasa kebiasaan mereka walaupun Allah telah turunkan kepada mereka makanan istimewa dari langit khas untuk mereka!

    Kata ulama’ : Jika kita ada benda yang baik tetapi menukarnya dengan sesuatu yang tidak baik, boleh dicela.
    Ia juga menunjukkan sikap buruk manusia yang sanggup meninggalkan sesuatu yang lebih tinggi dengan sesuatu yang rendah!

    Kata imam Al-Hasan Al-Basri RHM : Orang Yahudi ini suka makan makanan yang busuk dan berbau seperti bebawang, daun sup atau daun bawang dan lain-lain. Inilah tabiat mereka, maka mereka teringat & mengidam akannya.
    Jika nak makan makanan yang berbau seperti bawang atau durian ini harus, tetapi pilihlah waktu yang sesuai, jangan dekat waktu solat nak ke masjid untuk solat jemaah!
    Kerana Rasulullah SAW juga melarangnya. Bajet atau timing masa sehingga dijangka sempat hilang baunya sebelum ke masjid.

    Hadis:
    i- Nabi SAW larang makan bawang ketika Khaibar: Daripada Abu Said Al Khudri RA, beliau berkata:
    “Kami tidak berlebih-lebihan di hari pembukaan Khaibar. Kami menjumpai sayuran tersebut (bawang dan bawang putih). Kami telah memakannya dengan kadar yang banyak kerana kelaparan kemudian kami beredar menuju ke masjid. Rasulullah SAW menghidu baunya seraya bersabda: Sesiapa yang makan tumbuhan yang buruk ini maka janganlah dia dekati kami di dalam masjid. Maka berkata para jemaah: Telah haramlah, telah haramlah. Kemudian kata-kata itu sampai kepada pengetahuan Rasulullah SAW lalu Baginda s.aw bersabda: Wahai manusia aku tidak berhak mengharamkan sesuatu yang dihalalkan Allah, akan tetapi ianya merupakan tumbuhan yang aku tidak suka baunya”. [HR Muslim & Ahmad].

    ii- Daripada Ibnu Umar RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: «مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ الْبَقْلَةِ فَلَا يَقْرَبَنَّ مَسَاجِدَنَا، حَتَّى يَذْهَبَ رِيحُهَا» يَعْنِي الثُّومَ
    “Sesiapa yang makan daripada tumbuhan (Al-Baqlah) ini, maka janganlah dia mendekati masjid kami sehingga hilang baunya” iaitu bawang putih. [HR Bukhari & Muslim].

    iii- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ، فَلَا يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا، وَلَا يُؤْذِيَنَّا بِرِيحِ الثُّومِ
    “Sesiapa yang makan daripada pokok ini, maka janganlah dia dekati masjid kami dan janganlah dia menyakiti kami dengan bau bawang putih”. [HR Muslim].
  1. Ayat 61- {Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah.}-

    Dengan sebab keingkaran & penderhakaan mereka Allah timpakan ke atas mereka kehinaan dan kepapaan dan mendapat kemurkaan dari Allah.
    Miskin {ٱلْمَسْكَنَةُ} di sini bukan semestinya miskin harta, tetapi juga miskin hati walaupun kaya tetap tamak & tidak puas, tidak pernah kenyang dengan dunia maka ini adalah satu kehinaan!
    Seperti kita semakin berusia, sudah habis bekerja, sudah pencen. Sepatutnya semakin mendekatkan diri kepada Allah, waktu untuk mencari ilmu agama, menambahkan ma’rifat, cari tempat untuk dapat beribadat dengan tenang & mudah.
    Bukan tambah kerja atau cari kerja lain pula untuk dunia!

    Mereka ini dihina kerana 3 sebab:
    i- Kufur dengan ayat-ayat Allah.

    ii- Mereka bunuh nabi-nabi yang diutus kepada mereka.

    iii- Tamak & putar belit fakta.

    Hadis dari Ibnu Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling teruk azabnya pada hari Kiamat ialah mereka yang:
    i- Lelaki yang dibunuh oleh nabinya atau orang yang bunuh nabinya.

    ii- Pemimpin yang sesat lagi menyesatkan.

    iii- Orang yang mencincang mayat yang sudah mati!” [HR Imam Ahmad].
    Rasulullah SAW hanya membunuh seorang sahaja umatnya pada zaman ini dengan pedang, iaitu Ubai Bin Khalaf.

    Persoalan:
    Kenapa Allah tidak membela para nabi itu & membiarkan mereka dibunuh oleh kaumnya yang kafir?
    Sedang mereka adalah orang yang disayang oleh Allah.

    Jawapan:
    Kata ulama’: Allah SWT mahu mengangkat darjat kemuliaan mereka, menambah kedudukan & pahala mereka sehinggakan mereka mendapat pahala seperti orang yang syahid fi-sabilillah.

    Kata Ibnu Abbas RA: “Nabi-nabi yang dibunuh itu ialah para nabi yang tidak diperintahkan untuk keluar berjihad atau berperang, hanya berdakwah kepada kaumnya Sahaja seperti Nabi Zakaria & Yahya. Lalu mereka dibunuh untuk diberi pahala mati syahid!”

    Manakala mana-mana Nabi yang pergi berperang seperti nabi Daud & nabi Sulaiman juga nabi kita Rasulullah SAW mereka akan menang & diberi pertolongan oleh Allah SWT. Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs