SIFAT MUNAFIKIN, MENGAKU BERIMAN DENGAN LIDAH, TIPU ORANG MUKMIN & HATI BERPENYAKIT.
Full video : https://youtu.be/pzq0yPAgzIo?si=BJ1_YVSY0veJhLf_
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir surah Al-Baqarah ini dengan ayat 8 sehingga 10, iaitu siri yang pertama tentang sifat golongan Munafiqin.
- Dalam siri ini Allah SWT menyatakan bahawa antara sifat mereka ialah: Mengaku beriman dengan lidah, tipu orang mukmin & hati berpenyakit.
- Allah dedahkan tentang siapakah mereka ini, dari mana asal mereka, sifat buruk & perangai jahat mereka dalam 13 ayat dalam surah Al-Baqarah ini bermula dari ayat 8 sehingga ayat 20.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT menceritakan tentang sifat orang mukmin dari awal surah sehingga ayat 5.
Kemudian Allah SWT perkenalkan pula sifat orang kafir dengan dua ayat sahaja (Ayat 7-8).
Tidak selindung & sebarang kesamaran kerana mereka ini jelas dapat dikenali.
ii- Maka bermula dari ayat 8 ini Allah SWT nyatakan sifat & keadaan orang munafiq yang mengaku beriman secara zahir tetapi sembunyikan kekufuran dalam hatinya.
Oleh kerana urusan munafiqin ini agak sukar, penuh dengan kesamaran & konspirasi, maka Allah SWT panjangkan huraian tentang mereka dengan bawa beberapa sifat keburukan mereka, perangai munafiq yang dapat dicam!
iv- Kata Syeikh Ibnu Jarir At-Tobari RHM : Telah sepakat semua ulama’ tafsir bahawa: Ayat ini diturunkan kepada puak munafiqin dan inilah sifat-sifat mereka.
Kamu nak kenal mereka, senaraikan sifat ini dan perhatikanlah karenah tingkah laku mereka. Mungkin tak dapat cam 100%, tetapi dapat dikenali dengan beberapa tanda.
Tetapi ingat, jangan berani sangat menuduh orang munafiq, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat berhati-hati dengan mereka ini yang muncul dalam kalangan Islam.
Sebagaimana apabila Rasulullah SAW mendapat kekuasaan di Madinah mereka mula muncul!
Puak munafiq ini muncul apabila Islam atau orang Islam kuat, kerana mereka ini mencari peluang & habuan dunia serta untuk menyelamatkan diri mereka!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 8- {DAN DI ANTARA MANUSIA ADA YANG BERKATA: “KAMI TELAH BERIMAN KEPADA ALLAH DAN KEPADA HARI AKHIRAT”; PADAHAL MEREKA SEBENARNYA TIDAK BERIMAN.} (AL-BAQARAH 2:8)
- Allah nyatakan bahawa ada kalangan manusia ini yang mengaku beriman kepada Allah & hari Kiamat, tetapi Allah tahu ini hanya semata-mata ucapan manis mulut tetapi hati kufur.
- Orang munafiq ini bermuka dua. Perkataannya tidak menggambarkan apa yang ada dalam hatinya.
Inilah sifat mereka & golongan ini terdapat bila-bila masa, sepanjang zaman berterusan sehingga ke hari Kiamat.
Tetapi kita manusia tidak dapat menghukum hati orang; hanya Allah & tuan pelmilik hati itu saja yang tahu apa yang ada dalam hati mereka!
- Mereka adalah golongan yang dimurkai Allah SWT kerana mereka adalah golongan yang kufur & ingkar pada hakikatnya, hanya mengaku luaran!
- Allah SWT gambarkan sifat mereka ini dalam ayat pertama surah Al-Munafiqun: {Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah”.
Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.} (Al-Munaafiquun 63:1)
- Yakni mereka datang berjumpa Rasulullah SAW, lembik tengkuk, lembut gigi daripada lidah, mengaku beriman dan taat kepada Rasulullah SAW.
Serban mereka besar, sentiasa di saf depan, solat di belakang Nabi SAW, tetapi waktu kuliah lari!
Hati-hati kita sekarang pun, inilah antara simptonnya.
Sehinggakan tidak boleh dibezakan lansung antara mereka & mukmin yang hakiki dari segi penampilannya!
- Kisah si munafiq Al-Julais Bin Suwaid & anak saudaranya Umair Bin Saad RA yang masih kanak-kanak ketika itu, yang mendengar Julais berkata di belakang orang mukmin ketika bersama geng munafiqnya: “Seandainya laki-laki ini memang benar, tentulah kita ini lebih buruk dari keldai-keldai!” Yang dimaksudkan dengan laki-laki di sini ialah Rasulullah SAW. Umair sangat terkejut apabila mendengarnya kerana Julais ini adalah seorang yang sentiasa hadir dalam majlis Rasulullah SAW & adakalanya solat jemaah di belakang Baginda! Dia menjadi bingung apakah mahu melaporkan hal ini kepada Rasulullah SAW atau mendiamkan diri sahaja! Akhirnya dia memberanikan dirinya untuk memberitahu apa yang dia dengar ini! Tetapi apabila melaporkan ini tiada siapa yang percaya kerana penampilan Al-Julais & sifat pura-puranya itu! Umair sangat sedih lalu Rasulullah SAW panggil, si Al-Julais pun bersumpah dengan sumpah palsunya mengaku beriman & bahawa Umair berbohong! Lalu, turunlah ayat Al-Quran yang memisahkan antara yang hak dengan yang batil, (At-Taubah: 74) yakni terbukti kebenaran Umair & Rasulullah SAW memujinya. Julais juga terpaksa mengakui kesalahannya.
Lihat cerita ini di link berikut. Golongan yang mempersendakan agama.
https://abuanasmadani.blogspot.com/…/golongan-yang…
AYAT 9- {MEREKA HENDAK MEMPERDAYAKAN ALLAH DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN, PADAHAL MEREKA HANYA MEMPERDAYA DIRINYA SENDIRI, SEDANG MEREKA TIDAK MENYEDARINYA.} (AL-BAQARAH 2:9)
- Mereka menipu orang beriman dengan cara menzahirkan keimanan & menyembunyikan kekufuran yang ada dalam hati mereka!
- Firman Allah SWT juga:
{Ketika mereka semuanya dibangkitkan oleh Allah (pada hari kiamat), maka mereka bersumpah kepada-Nya (bahawa mereka adalah orang-orang mukmin) sebagaimana biasanya mereka bersumpah kepada kamu; dan mereka menyangka bahawa (dengan berbuat demikian) mereka akan mendapat sesuatu (yang berfaedah kepada mereka). Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya merekalah golongan pendusta.} (Al-Mujaadalah 58:18)
Di akhirat kelak pun mereka cuba lagi menipu, cuba mengaku bersumpah beriman kepada Allah SWT yang mengetahui segala yang zahir & batin!
Apatah lagi menipu sesama manusia semasa di dunia ini!
- Padahal Allah SWT mengetahui segalanya, mereka sebenarnya telah menipu diri mereka sendiri.
Mereka hanya menyangka bahawa mereka boleh menipu Allah, menipu Rasulullah SAW serta menipu orang yang beriman!
- Perkataan {خدع} dalam ayat ini dibaca dengan dua cara:
i- Huruf (خ) dengan baris mati {يَخْدَعُونَ }- mereka cuba tipu orang lain yakni sebelah pihak saja.
ii- Dengan baris atas { يُخَـٰدِعُونَ}- yakni dua kali kena tipu, dia tipu orang tetapi dalam masa yang sama dia tipu diri dia sendiri!
Inilah sifat munafiq yang sangat buruk semoga Allah SWT jauhkan kita dari sifat ini!
- Firman Allah SWT:
{Sesungguhnya orang-orang munafiq itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafiq). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).} (An-Nisaa’ 4:142)
- Zaman kita ini adalah zaman yang penuh dengan penipuan & kepalsuan!
Orang yang benar akan didustakan manakala pembohong pula akan dipercayai & dibenarkan!
Percakapan dusta & pembohongan sudah dianggap biasa dan normal!
Orang yang baik dianggap buruk manakala orang yang jahat & penipu pula dipuja & disokong!
- Ini jelas sebagaimana dalam hadis Rasulullah SAW tentang tahun penuh tipu daya atau putar belit:
[عن أبي هريرة:] سيَأتي على النّاسِ سنواتٌ خدّاعاتُ يصدَّقُ فيها الكاذِبُ ويُكَذَّبُ فيها الصّادِقُ ويُؤتَمنُ فيها الخائنُ ويُخوَّنُ فيها الأمينُ وينطِقُ فيها الرُّوَيْبضةُ قيلَ وما الرُّوَيْبضةُ قالَ الرَّجلُ التّافِهُ في أمرِ العامَّةِ.
الألباني (ت ١٤7٠)، صحيح ابن ماجه ٣7٧٧ • صحيح • أخرجه ابن ماجه (٤٠٣٦) واللفظ له، وأحمد (٧٩١7) •
Sabda Rasulullah SAW: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah.
Kemudian akan berkata-katalah golongan Al-Ruwaibidhah. Baginda S.A.W ditanya: Siapakah golongan Al-Ruwaibidhah? Maka baginda S.A.W menjawab: Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar.” (HR Ibnu Majah & Ahmad)
- Kita minta Allah SWT selamatkan kita & anak keturunan kita dari sifat ini serta dari para pembohong & penipu ini!
AYAT 10- {DALAM HATI MEREKA (GOLONGAN YANG MUNAFIK ITU) TERDAPAT PENYAKIT (SYAK DAN HASAD DENGKI), MAKA ALLAH TAMBAHKAN LAGI PENYAKIT ITU KEPADA MEREKA; DAN MEREKA PULA AKAN BEROLEH AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA, DENGAN SEBAB MEREKA BERDUSTA (DAN MENDUSTAKAN KEBENARAN).} (AL-BAQARAH 2:10)
- Dalam hati orang munafiq itu ada penyakit syak keraguan tentang agama & hasad dengki kepada orang lain!
Malangnya penyakit hasad ini juga ada dalam hati orang yang beriman, maka berhati-hatilah!
Kerana hasadlah huru-hara, tidak ada toleransi & tidak ada kematangan dalam tindakan!
- Kerana dalam hati mereka ada perasaan syak tidak percaya kepada Allah dan perasaan nifaq, maka Allah SWT tambah & tindakkan lagi penyakit yang ada kepada mereka! Mereka tidak percaya maka Allah tambahkan lagi perasaan tidak percaya ini!
- Kata ulama’ : Balasan yang Allah beri adalah mengikut jenis amalan kamu.
Sebagaimana firman Allah SWT:
{Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik – derhaka.} (As-Saff 61:5)
- Yakni bagi mereka azab yang pedih dengan sebab mereka berdusta & mendustakan orang lain pula!
Tetapi ingat jangan kita mudah-mudah tunding kepada orang dengan kata orang ini munafiq, orang ini tidak betul dan seumpamanya!
Jangan mensucikan diri kita dengan rasa kita betul & orang lain salah semuanya!
- Perkataan dusta ini juga ada dua bacaannya:
i- Bacaan pertama {يَكْذِبُونَ } yakni mereka pembohong & pendusta dalam kata-kata mereka, mengaku beriman tetapi hakikatnya tidak, hanya berbohong!
ii- Dengan tasydid {يُكَذِّبُون}- yakni mereka mendustakan Rasulullah SAW & Al-Quran setiap masa!
- Allah SWT tutup ayat ini dengan menyatakan bagi mereka azab dengan sebab perbuatan mereka ini, berbohong dusta serta menuduh orang lain bohong juga!
- Berhati-hatilah! minta Allah selamatkan kita & keluarga kita dari sifat munafiq & teori-teori konspirasi yang berleluasa di akhir zaman ini.
- DOA HINDARI SIFAT MUNAFIK: “اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ ، وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ ، وَلِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ ، وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ ، فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ”
“Wahai Allah bersihkanlah hatiku dari nifaq, {bersihkanlah} amalku dari riya’, {bersihkanlah} lisanku dari dusta, {bersihkanlah} mataku dari pengkhianatan. Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan didalam dada.” [HR. Hakim (2/227] Sanadnya Dhaif].
Doa ini elok untuk diamalkan, maknanya betul cuma jangan kita sandarkan kepada Rasulullah SAW!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 8- {Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.}
Ada orang mengaku beriman tetapi Allah nafikannya- menyatakan- {padahal mereka sebenarnya tidak beriman.}
Kata ulama’ : Ayat ini menunjukkan bahawa kata sahaja dengan lidah tidak menunjukkan keimanan!
Wajib lidah & hati serentak barulah seorang itu akan menjadi betul-betul beriman!
Maka di sini Allah SWT menafikan bahawa mereka beriman, ini menjadi dalil bahawa iman tidak jadi & tidak memadai sekadar ucap dengan lidah!
Iman ini ada 3 komponennya:
i- Kata dengan lidah.
ii- Yakin/membenarkan dengan hati.
iii- Beramal dengan anggota.
Mengaku dengan hati, lidah juga ucap; tetapi tidak solat, tidak benar beriman begitu!
- Ayat 9- {Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman}
Allah SWT nyatakan sifat munafiq yang mahu menipu Allah & orang beriman!
Maka kita kena hati-hati dengan golongan munafiqin!
Jangan mudah terpedaya & percaya dengan mereka, jangan mudah terperangkap lihat kepada sifat mereka!
Rasulullah SAW telah nyatakan sifat mereka dalam hadisnya ini:
Daripada Abi Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tanda-tanda orang munafiq ada TIGA iaitu apabila dia bercakap dia berdusta dan apabila dia berjanji dia memungkiri dan apabila dia diberi amanah dia telah mengkhianati.” [HR Bukhari].
Sifat munafiq ini ada DUA:
i- Munafiq dari segi iktiqad- memang kafir & tidak beriman!
ii- Manakala munafiq amali- mereka mungkin Islam & beriman tetapi perbuatan & sifat mereka seperti sifat munafiq ini!
Sifat pertama inilah yang kita bincangkan dalam ayat hari ini!
- Ayat 10- {Dalam hati mereka (golongan yang munafiq itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki) manusia itu apabila tidak terima kebenaran maka di dalam hati mereka Allah nyatakan ada penyakit!
Penyakit hati ini ada DUA:
i- Penyakit syak keraguan yang ada pada orang kafir & munafiq!
ii- Penyakit syahwat = Cintakan dunia, harta perempuan dan lain-lain; muslim atau kafir ada belaka sifat ini.
Penyakit hati yang kita bincangkan dalam ayat ini adalah penyakit syak keraguan yang ada dalam hati golongan munafiq.
Kerana dalam hati mereka itu ada penyakit, lalu Allah tindan & tambah lagi keraguan & syak dalam hati mereka lalu mereka terus berada dalam kesesatan.
- Ayat 9- {Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.}
Mereka tidak menipu kecuali diri mereka sendiri!
Penipu & penjahat itu; kejahatan & penipuan mereka akan kembali ke atas kepala mereka!
Orang munafiq ingat dia dapat tipu Allah, mengaku beriman secara zahir, mereka ingat mereka menang & hebat, tetapi hakikatnya mereka tipu diri sendiri, orang boleh kenal & kesan mereka.
Penipuan itu tidak memberi mudharat kepada Tuhan atau orang mukmin lain bahkan mudharat itu kembali kepada diri mereka sendiri.
Kata Syeikh As-Sa’di rhm. : Ini adalah antara benda ajaib yang Allah SWT dedahkan!
Biasanya orang yang tipu orang dia untung & orang kena tipu itu rugi.
Tetapi tidak dalam bab keimanan: Munafiq ini mereka tipu orang tetapi mereka yang tertipu!
- Ayat 10- {Dalam hati mereka (golongan yang munafiq itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki) Allah SWT gambarkan mereka ini sangat berbahaya kerana dalam hati mereka ada penyakit!
Sifat munafiq ini amat merbahaya kerana mereka dikira sebagai duri dalam daging, api dalam sekam & gunting dalam lipatan!
Jika mereka kafir kita tahu tetapi mereka ini menyamar dan hadir bersama dalam perhimpunan orang mukmin, tetapi bila dapat maklumat laporkan kepada kumpulan mereka untuk menjatuhkan Islam.
Jika di Madinah dulu mereka laporkannya kepada orang yahudi!
Lalu yahudi buat perancangan untuk menjatuhkan orang Islam.
Sifat yahudi & munafiq ini sama- sifat mereka penakut tidak berani berdepan, berselindung di sebalik orang lain!
i- Penipu tetapi penakut!
ii- Menjadi orang belakang tabir yang mahu memporak-perandakan umat Islam.
Hadis Rasulullah SAW: Daripada Abdullah Ibn Mas’ud RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
إِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ؛ فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّابًا
Maksydnya: “Jauhilah kalian daripada sikap suka berbohong kerana berbohong akan membawa kepada perbuatan kemaksiatan, dan perbuatan kemaksiatan akan membawa ke neraka. Jika sekiranya seseorang itu sentiasa berdusta, maka kelak dia akan dicatat di sisi Allah SWT sebagai pendusta.” [HR Bukhari].
Semoga Allah SWT jauhkan kita dari sifat munafiq yang jahat suka berdusta ini.
Alhamdulillah tamatlah perbincangan untuk siri kuliah pagi ini.