MUQADDIMAH INTISARI SURAH, CELAAN AHLI KITAB MENOLAK KEBENARAN & ARAHAN IKHLASKAN TAUHID.
Full video : https://youtu.be/ROItBM0Xiis?si=hpVmWUhL503yfqql
MUQADDIMAH SURAH :
- Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Selasa 14 Muharram 1445H bersamaan 1hb Ogos kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Bayyinah- سورة البينة .
- Semoga Allah s.w.t qabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita ke syurga-Nya.
- Surah Al-Bayyinah- سورة البينة adalah surah ke-98 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang kedua-puluh satu dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Al-Qadr- سورة القدر .
Mengandungi 8 ayat yang pendek. - Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Madaniyyah yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
Ada juga yang kata ia adalah Makkiyyah.
NAMA SURAH :
- Dinamakan surah ini sebagai:
i- Surah Al-Bayyinah – سورة البينة yang bermakna {Keterangan Yang Jelas Nyata} kerana pada awal surah Allah s.w.t nyatakan bahawa orang kafir ahli Kitab (yahudi & Nasrani) serta orang musyrik kafir yang lain tidak akan terlepas dari kepercayaan & amalan masing-masing sehingga datang kepada mereka { ٱلْبَيِّنَةُ} bukti yang jelas nyata.
ii- Iaitu seorang rasul dari Allah yang membaca lembaran (suhuf) yang suci, yang terkandung di dalamnya hukum & pengajaran yang benar!
- Surah ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti:
i- لَمْ يَكُنِ – tidak akan
ii- ٱلْقَيِّمَةِ – hukum-hukum yang jelas
iii- المُنفَكِّينَ- terlepas
iv- ٱلْبَرِيَّةِ- makhluk
v- al-infika\’.
Yakni diambil daripada lafaz-lafaz yang pelik dari surah ini, yang biasanya tidak ada dalam surah lain perkataan itu.
- Dinamakan juga sebagai surah (لَمْ يَكُنِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟) berdasarkan hadis riwayat Anas bin Malik r.a ini:
Nabi S.A.W berkata kepada Ubai bin Ka\’ab r.a: \”Sesungguhnya ALLAH memerintahkan kepadaku untuk mengajarmu menbaca
(لَمْ يَكُنِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟).\”
Ubai bertanya: \”Apakah ALLAH menyebut namaku kepadamu?\” Nabi S.A.W menjawab: \”Ya.\”
Ubai bertanya kembali: \”Dan aku disebut di sisi ALLAH Pencipta alam semesta?\”
Nabi S.A.W menjawab: \”Ya.\” Mendengar hal itu, mata Ubai mengalirkan air mata, menangis. [HR Bukhari & Muslim].
Ubai ini salah seorang sahabat yang mahir dalam bidang Qira\’at.
Ada juga orang lain yang namanya disebut dalam al-Quran secara umum.
INTISARI KANDUNGANNYA :
- Menerangkan bahawa orang yahudi & Nasrani yang diberi kitab Taurat & Injil itu berpecah belah; melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang jelas nyata. Iaitu bukti yang menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang rasul yang terakhir sebagaimana yang disebut dalam kitab Taurat & Injil mereka.
Nama nabi, sifat nabi & ajaran yang akan dibawa oleh Baginda semuanya jelas nyata dalam kitab mereka!
- Kerana itulah yahudi yang ikhlas terus menerima Rasulullah s.a.w dan memeluk Islam manakala yang jahat dan ada kepentingan terus menolak & menentanganya kerana ada kepentingan dunia. Mereka juga menyembunyikan fakta & kebenaran tentang Rasulullah s.a.w. kepada orang ramai.
- Berlakunya perselisihan & penentangan itu kerana:
i- ada antara mereka orang yang sayang untuk meninggalkan ajaran tok nenek mereka & amalan yang dilakukan turun temurun.
ii- serta kerana hasad dengki- inilah yang paling jahat; serta takut hilang jawatan & pengaruh yang dinikmati selama ini.
Supaya tak lari pengikut- lawan tetap lawan walaupun mereka tahu Rasulullah s.a.w adalah benar. Jangan kita ikut perangai yahudi ini!
Begitu juga fenomena hari ini, ramai orang yang apabila kita kemukakan dalil & bukti amalan-amalan Sunnah daripada Nabi s.a.w; mereka katakan ana tahu, ana tahu, tetapi ana tak boleh buat. Kenapa???
Kerana takut orang kampung marah & lari atau takut hilang jawatan.
Kita kata dimanakah amanah ilmiah, amanah ilmu yang kita ada, tidak berani, takut untuk buat & nyatakan kebenaran kerana takut orang marah atau lari!
Allahu Akbar amat bahaya sekali!
- Dijelaskan juga bahawa mereka berselisih & berpecah belah dalam hal cabang agama, sedangkan mereka tidak diperintahkan kecuali untuk menyembah dan mengikhlaskan ibadat kepada Alllah s.w.t yang Esa., mendirikan solat, mengeluarkan zakat serta dan itulah agama yang benar.
- Setelah diterangkan azab siksa yang disediakan bagi mereka akibat kekufuran mereka, maka surah ini diakhiri dengan menerangkan perihal orang yang beriman serta beramal soleh, serta balasan yang sebaik-baiknya yang diberi kepada mereka!
MAQASID/OBJEKTIF SURAH :
- Antara objektifnya yang terpenting ialah Allah mencela orang kafir musyrikin & ahli Kitab. Kerana mereka mendustakan al-Quran & Rasulullah s.a.w & menyatakan hujung jatuh mereka dan apa kesudahan orang mukmin yang beriman dengan Allah s.w.t.
ISU PENTING DALAM SURAH :
- Allah s.w.t mencela orang kafir musyrikin & ahli Kitab yang berterusan atas kesesatan mereka walaupun telah diterang kebenaran.
- Pelik dengan sikap mereka yang terumbang-ambing & tidak stabil serta menyatakan sebab kekufuran mereka kerana keras kepala & hasad terhadap Rasulullah s.a.w.
Yakni walaupun tahu apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w adalah kebenaran mereka tidak mahu terima kerana hasad.
- Allah catatkan atas kepala mereka sebagai seburuk-buruk manusia {شَرُّ ٱلْبَرِيَّةِ} manakala orang yang beriman sebagai sebaik-baik manusia {خَيْرُ ٱلْبَرِيَّةِ}.
- Allah s.w.t puji orang yang beriman & beramal soleh serta Allah nyatakan balasan & kesudahan mereka di akhirat.
MUNASABAH SURAH AL-BAYYINAH – سورة البينة DENGAN SURAH AL-QADR – سورة القدر SEBELUMNYA :
Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Qadr – سورة القدر :
- Surah al-Bayyinah ini seolah penyambung kepada surah al-Qadr. Iaitu Allah nyatakan Dia telah menurunkan al-Quran pada malam Lailatul-Qadr.
Maka timbul persoalan; untuk apa, kenapa al-Quran itu diturunkan?
ii- jawapannya ada dalam surah al-Bayyinah; iaitu puak kafir ini tidak akan meninggalkan fahaman sesat & kufur mereka sehinggalah datang kepada mereka bukti dalil yang jelas nyata {ٱلْبَيِّنَةُ}.
Maka Allah bawa dan tunjukkan al-Bayyinah ini kepada mereka! Inilah keterangan yang nyata iaitu al-Quran & Rasulullah s.a.w yang diutuskan!
Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
AYAT 1- {ORANG-ORANG YANG KAFIR DARI AHLI KITAB (YAHUDI DAN NASRANI) SERTA ORANG-ORANG MUSYRIK, TIDAK AKAN TERLEPAS (DARI KEPERCAYAAN DAN AMALAN MASING-MASING) SEHINGGA DATANG KEPADA MEREKA BUKTI YANG JELAS NYATA,} (AL-BAYYINAH 98:1)
- Puak kafir yahudi & Nasrani adalah satu golongan kafir yang mempunyai kitab & kafir musyrikin yang menyembah selain dari Allah (berhala dan seumpamanya).
- Kesemua mereka ini sama tidak berpecah dan tidak akan meninggalkan ajaran mereka selagi tidak datang bukti & tanda yang jelas, bukti yang nyata dari Allah s.w.t yang menunjukkan bahawa agama yang dibawa oleh Nabi s.a.w itu benar!
- Yakni makna {مُنفَكِّينَ} ialah mereka tidak akan keluar atau meninggalkan kekufuran & kesyirikan mereka sehingga datang hujjah menjelaskan.
- Kata Ibnu Juzai rhm. maksud {مُنفَكِّينَ} ialah:
i- mereka tidak akan keluar atau meninggalkan kefahaman lama mereka sehingga datang hujjah menjelaskan.
ii- sehingga mereka mengenali Nabi s.a.w. Selagi Rasulullah tidak muncul selagi itulah mereka tunggu.
iii- mereka tidak akan terpisah dari ajaran buruk mereka sehingga Allah hantar rasul.
iv- mereka tidak akan terpisah dari ajaran buruk mereka sehingga Allah hantar Rasulullah s.a.w menjelaskan kepada perkara.
4 perkara ini dekat-dekat dan merangkumi boleh dijamak.
- Tetapi apa boleh buat bila dah keras kepala, bawalah dalil dan bukti apapun mereka tetap tidak beriman!
- Firman Allah s.w.t juga:
{Dan mereka yang kafir berkata: \”Mengapa ia tidak membawa kepada kami satu tanda mukjizat dari Tuhannya yang membuktikan kebenarannya?\” Bukankah telah datang kepada mereka berbagai-bagai keterangan dan khasnya Al-Quran yang menjadi kenyataan yang menerangkan apa yang terkandung dalam Kitab-kitab yang dahulu?
Dan sekiranya Kami binasakan mereka dengan sesuatu azab sebelum datangnya Rasul Kami membawa Al-Quran ini, tentulah mereka akan berkata pada hari kiamat: \”Wahai Tuhan Kami!
Mengapa Engkau tidak mengutuskan kepada kami seorang Rasul supaya kami menurut ayat-ayat keteranganMu yang dibawanya, sebelum kami menjadi hina (dengan azab di dunia), dan mendapat malu (dengan azab di akhirat)?\” (Taha 20:134)
AYAT 2- {IAITU SEORANG RASUL DARI ALLAH YANG MEMBACAKAN (KEPADA MEREKA) LEMBARAN-LEMBARAN SUCI,} (AL-BAYYINAH 98:2)
- Allah nyatakan apakah bayyinah yang mereka tunggu itu?
- Iaitu seorang rasul yang datang kepada mereka & membaca lembaran-lembaran suhuf yang suci.
- Rasul yang diutuskan Allah iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang membacakan kepada mereka Kitab al-Quran yang diturunkan kepada mereka; yang suci daripada segala kesalahan & penyelewangan.
AYAT 3- {TERKANDUNG DI DALAMNYA PELAJARAN-PELAJARAN DAN HUKUM-HUKUM YANG BENAR.} (AL-BAYYINAH 98:3)
- Dalam Kitab suci itu terkandung di dalamnya pengajaran & hukum-hukum yang benar!
- Ia adalah kitab yang benar & jelas, yang tidak ada sebarang kesalahan & penyelewangan kerana ia datang dari Allah Azza wa Jalla.
- Kata al-Mawardi rhm. maksudnya { فِيهَا كُتُبٌۭ قَيِّمَةٌۭ} ialah:
i- kitab Allah Taala yang jelas & nyata yang dibawa oleh Jibril a.s kepada Rasulullah s.a.w & seluruh rasul yang lain.
ii- al-Quran sebagai pengawal (Muhaimin) kitab yang terdahulu, menjamin bahawa semua kitab & semua nabi terdahulu membawa ajaran Tauhid yang satu dari Allah!
iii- ada juga yang mengatakan dalam al-Quran ini ada fardhu kewajipan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t yang sangat menarik!
AYAT 4- {DAN ORANG-ORANG (YAHUDI DAN NASRANI) YANG DIBERI KITAB (TAURAT DAN INJIL) ITU, TIDAK BERPECAH-BELAH MELAINKAN SETELAH DATANG KEPADA MEREKA BUKTI YANG JELAS NYATA.} (AL-BAYYINAH 98:4)
- Mereka pada awalnya percaya kepada kedatangan nabi yang terakhir, bahkan menunggu-nunggu kedatangannya.
Tetapi apabila Rasulullah s.a.w diutuskan dan mereka dapati bertepatan dengan apa yang dinyatakan dalam kitab mereka. - Lalu puak yahudi ini berpecah-belah menjadi dua golongan:
i- sebahagian kecil yang hatinya bersih terus percaya & beriman kepada Rasulullah s.a.w seperti sahabat yang mulia Sayyidina Abdullah bin Salam r.a, seorang pendeta yahudi yang amat Ikhlas dalam ajarannya.
ii- sebahagian besar para pembesar & pendeta yahudi terus menolak dan melawan Rasulullah s.a.w walaupun keterangan yang benar jelas di depan mata!
Lawan tetap lawan seperti ketua yahudi Huyai bin Akhtab & saudaranya.
Kisahnya sebagaimana yang diriwayatkan oleh UM Sofiyyah binti Huyai r.anha (anak perempuannya yang kemudiannya menjadi isteri Rasulullah s.a.w}.
Inilah makhluk yang bengong yang keras kepala, dengar yang benar tetapi tetap tidak mahu ikut, inilah sifat pendeta yahudi yang ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w, yang wajib kita jauhi sifatnya!
- Yakni bukti yang menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w ialah seorang rasul yang dijanjikan dalam kitab-kitab Taurat & Injil yang diturunkan kepada mereka, tetapi berlakunya pecah belah itu kerana:
i- ada antara mereka orang yang sayang untuk meninggalkan ajaran tok nenek mereka & amalan yang dilakukan turun temurun.
ii- serta kerana hasad dengki- inilah yang paling besarnya.
iii- takut hilang jawatan & pengaruh yang dinikmati selama ini.
AYAT 5- {PADA HAL MEREKA TIDAK DIPERINTAHKAN MELAINKAN SUPAYA MENYEMBAH ALLAH DENGAN MENGIKHLASKAN IBADAT KEPADANYA, LAGI TETAP TEGUH DI ATAS TAUHID; DAN SUPAYA MEREKA MENDIRIKAN SEMBAHYANG SERTA MEMBERI ZAKAT. DAN YANG DEMIKIAN ITULAH AGAMA YANG BENAR.} (AL-BAYYINAH 98:5)
- Semua Nabi & rasul dakwah mereka hanya satu iaitu Tauhid menyembah Allah yang Esa & jauhi taghut. Allah namakan dakwah semua para nabi ini sebagai Islam.
*Yang berbeza hanya dari segi Syari\’ah perundangan & Syari\’ah. - Firman Allah s.w.t:
{Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): \”Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut\”.} (Al-Nahl 16:36) - Allah s.w.t namakan mereka ini sebagai:
i- مُخْلِصِينَ – mengikhlaskan ibadat kepada-Nya.
ii- حُنَفَآءَ- tetap teguh di atas tauhid. - Firman Allah s.w.t:
{Katakanlah (wahai Muhammad): \”Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik\”.
Katakanlah: \”Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)\”.} (Al-An\’aam 6:163) - Munasabah ayat: Yakni setelah diterangkan tentang asas agama ini yang dibina atas dasar tauhid;
i- Kemudian mereka juga diperintahkan untuk mendirikan solat- ibadat yang bersifat harian, terpakai untuk yang kaya & miskin, sihat atau sakit. Dilakukan dengan rukun & syaratnya yang tertentu. Ini hubungan dengan Allah. Ini adalah tiang agama.
ii- Kemudian difardhukan zakat ke atas orang kaya secara khas. Untuk dikeluarkan 1/40 dari bahagian hartanya untuk diberi kepada 8 asnaf (kumpulan) yang memerlukan, fakir miskin layak menerima zakat!
6. Demikianlah agama yang benar! Selepas tiga perkara yang dibuat ini kamu telah menegakkan agama yang benar ini! Arahan kepada tauhid, solat & zakat.
Ayat al-Quran ini berperingkat- rukun Islam yang lain seperti puasa & haji ada disebut dalam ayat lain pula!
7. Firman Allah s.w.t:
{(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu kepadaNya; dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna; dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik.} (Ar-Ruum 30: 30-31)
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 1- {Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata,}- Allah mengatakan tidak akan terlepas dari kepercayan mereka dua golongan ini iaitu:
i- orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani)
ii- serta orang-orang musyrik.
Persoalan: Kenapa dipisahkan dua golongan ini? Sedangkan sama-sama kafir?
Jawapan: Ada kategorinya- jika disebut syirik secara mutlak di dalam al-Quran ia tidak termasuk ahli kitab.
Dalam perbahasan agama ulama\’ mengatakan syirik terbahagi kepada dua:
i- syirik sepenuhnya- yakni tidak ada kitab, syirik sepenuhnya tanpa pegangan kepada mana-mana agama atau kitab.
ii- syirik ahli Kitab- iaitu mereka yang asalnya berpegang kepada Kitab Allah tetapi akhirnya terseleweng menjadi syirik atau kafir akibat kitab-kitab mereka telah diubah oleh para pendeta mereka sendiri.
- Ayat 1- {Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik}-
Kenapa Allah sebut ahli kitab {أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ} bukan terus sebut yahudi atau Nasrani?
JAWAPAN :
Ini kerana maksud { أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ} menunjukkan mereka dari kalangan ulama\’, iaitu pendeta-pendeta yang ada kitab di tangan mereka.
Yakni jika mereka kufur lagi besar dosa mereka, dari jahat daripada kafir biasa kerana mereka orang yang tahu kebenaran & ada ilmu (ada kitab).
Maka orang yang ada ilmu, yang ada pengetahuan, jangan mudah koyak & takut walaupun dihentam ditentang, nyatakan kebenaran walaupun sakit!
Tetapi Allah nyatakan puak kafir ini hanya satu kumpulan, semuanya sesat & batil dan akan berakhir di neraka semuanya. Jadi janganlah kita berlembut & toleransi dengan mereka sebagaimana yang dipegang oleh golongan liberal yang boleh buat apa saja- ke masjid boleh ke disko pun boleh!
Pihak berkuasa penguasa agama kena bertegas, ingatlah bahawa kita akan dipersoal di hadapan Allah s.w.t kelak!
- Ayat 2- {Iaitu seorang Rasul dari Allah yang membacakan (kepada mereka) Lembaran-lembaran Suci,}- ayat ini seolah menunjukkan seolah Rasulullah s.a.w membaca kitab- sedangkan sudah disepakati ulama\’ Islam seluruhnya bahawa Baginda tidak membaca & tidak menulis iaitu seorang ummiyy (الأمي).
Beza antara dua perkataan ini:
i- ummu-ibu (الأم) manakala ummi-ibu saya (أمي)-
ii- tidak membaca & tidak menulis iaitu seorang ummiyy (الأمي).
JAWAPAN :
Kita sudah bincangkan dalam surah Iqra\’ bahawa membaca itu ada dua, samada membaca dari tulisan atau membaca dari ingatan.
Rasulullah s.a.w tidak membaca daripada tulisan mashaf/suhuf itu tetapi Baginda membacanya dari hati berdasarkan ingatannya. Yakni Baginda apa yang tertulis dalam al-Quran tetapi berdasarkan ingatannya yang jelas & lancar.
- Ayat 4- {Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab (Taurat dan Injil) itu, tidak berpecah-belah melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang jelas nyata.}- yakni mereka telah membaca dalam kitab mereka sekian-sekian tentang rasul akhir zaman.
Lalu mereka semua sepakat tentangnya, tidak berbalah & berpecah tentang fakta itu!
Bahkan ada yang yahudi berduyun-duyun datang ke Madinah untuk menunggu kedatangan rasul akhir zaman ini sebagaimana keterangan dalam kitab mereka!
Dengan harapan akan lahir dari kalangan anak cucu mereka itu nabi akhir zaman!
Salman al-Farisi r.a seorang sahabat dari Parsi juga memberitahu ada keterangan tentang rasul akhir zaman dalam Kitab Injil yang membawanya mengembara sehingga ke Madinah.
Tetapi apabila muncul keterangan yang nyata itu { ٱلْبَيِّنَةُ} datang, iaitu Rasulullah s.a.w yang Allah utuskan, mereka terus berpecah-belah dan berkeras kepala menolak, berjanji mahu lawan & menentang sehingga mati!
Begitulah juga kita pada hari ini; bila datang Sunnah Nabi s.a.w yang sahih yang sahih & yang jelas, ulama\’ ahlu Sunnah yang awal yang muktabar juga telah menerangkan sekian-sekian, tetapi apabila datang golongan muktazilah yang guna akal lawannya!
Datang pula puak jahmiyyah, mujassimah, musyabbihah- lawan juga Sunnah yang sahih guna akal- semuanya huru-hara- kelompok yang duduk dalam Islam tetapi mereka telah berpecah-belah akibat perbezaan dalam menakwilkan nas yang ada! Inilah bahaya perbezaan dalam bab Aqidah.
Kita tidak berselisih dalam bab asas solat seperti rakaat & kewajipab solat fardhu yang asasnya.
Adapun perbezaan dalam furu\’ (cabang) ibadat seperti cara angkat tangan atau takbir dalam solat ia adalah satu keluasan dan tidak membawa huru-hara seperti dalam bab aqidah.
Boleh baca buku DAAM tentang keluaasan bab perbezaan pendapat:
https://dartaibah.com/?page_id=179…
Dalam masalah furu\’ ada rahmat tetapi jika bab aqidah bahaya kerana mereka ini merempuh masuk melawan Syari\’ah seperti kelompok yang disebut tadi.
Kitab-kitab yang terdahulu seperti Taurat & Injil semuanya benar, datang dari Allah s.w.t tetapi mereka para pendeta telah tukar & ubahnya!
- Ayat 5- {Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya,}- Allah minta supaya kita ikhlaskan agama & amal kita kerana Allah.
Kata ulama\’ ayat ini menjadi dalil wajibnya berniat dalam ibadat serta ikhlaskannya kerana Allah s.w.t!
Syarat qabul ibadat itu ialah:
i- ikhlas kerana Allah s.w.t
ii- bertepatan dengan ajaran Rasulullah s.a.w.
Jika tidak ikhlas ia tidak akan diterima oleh Allah s.w.t. & Siapa tidak ikut Nabi s.a.w walaupun dia ikhlas tetap tidak akan diterima!
Maka marilah kita bertaqarrub kepada Allah s.w.t dengan melaksanakan ruh ibadat dengan cara kita ikhlas & mengikut Sunnah Nabi s.a.w!