MUQADDIMAH INTISARI SURAH, MUNASABAH & ALLAH BERSUMPAH DENGAN 5 PERKARA, KUMPULAN ZALIM AKAN BINASA.
Full video : https://youtu.be/hXpoS0rIQek?si=WST08H7FPsSFe63x
MUQADDIMAH SURAH :
- Alhamdulillah syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi yang ceria ini, Khamis 19 Zulqa\’dah 1444H bersamaan 8hb Jun 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Fajr – سورة الفجر.
- Surah Al-Fajr – سورة الفجر adalah surah ke-89 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang kedua-belas dalam juz ke 30, iaitu selepas surah Al-Ghasyiyah – سورة الغاشية.
Mengandungi 30 ayat yang pendek. - Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
NAMA SURAH :
- Dinamakan surah ini sebagai:
i- Surah Al-Fajr – سورة الفجر yang bermakna {Waktu Fajar} kerana pada awal surah Allah s.w.t bersumpah dengan waktu fajar dan lain-lainnya (5 perkara). - Bukankah ia satu sumpah yang diakui kebenaran oleh orang yang berakal sempurna. Yakni bukankah perkara yang dijadikan persumpahan itu mengandungi erti sumpah yang mencukupi untuk orang berakal bersyukur akan nikmat-Nya, mengesakan-Nya, menghargai apa yang dihormati-Nya & mengakui Keesaan-Nya.
INTISARI KANDUNGANNYA :
- Menegaskan bahawa Allah s.w.t akan membinasakan orang-orang yang menentang Nabi Muhammad s.a.w.
- Sebagaimana yang telah dilakukan kepada beberapa kaum yang telah menentang nabi mereka pada zaman silam seperti kaum Ad, kaum Thamud & Firaun.
- Kemudian diberi amaran bahawa Allah s.w.t akan tetap mengawas & membalas terutamanya dalam hal akhirat.
Oleh sebab itu kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan kemuliaan & kemewahan hidup dia tidak bersyukur bahkan terus bersikap takabbur serta berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakanku!
4. Sebaliknya apabila diuji oleh Tuhannya dengan disempitkan rezekinya dia tidak sabar, mengeluh merepek dan mengatakan: Tuhanku telah menghinaku!
5. Kemudian ditegaskan bahawa anggapan sedemikian adalah salah, apabila mendapat kemewahan & kesenangan; tidak bermakna Tuhan memuliakannya & kesempitan hidup seseorang itu tidak pula bererti Tuhan menghinanya!
Kerana kemuliaan yang sebenar ialah taufiq & hidayah dari Allah s.w.t yang diberikan kepada seseorang untuk beriman & beramal soleh.
Demikianlah juga kehinaan yang sebenar ialah ketiadaan taufiq & hidayah dari Allah s.w.t untuk mencapai perkara tersebut.
6. Setelah menerangkan akibat orang yang tidak menghiraukan hari akhirat, menyatakan Allah menyatakan bahawa orang yang beriman & beramal soleh akan disambut dengan dikatakan kepadanya:
{\”Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! –
\”Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)!
\”Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia –
\”Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! \”} (Al-Fajr 89: 27-30)
MAQASID/OBJEKTIF SURAH :
- Antara objektifnya yang terpenting ialah untuk menetapkan hati Rasulullah s.a.w agar tidak goyah, tidak berfikir bukan-bukan, dengan menjamin bahawa semua penentangnya akan dikalahkan!
- Mengisbatkan adanya hari akhirat serta hisab pengadilan serta balasan dosa & pahala!
ISU PENTING DALAM SURAH :
- Allah s.w.t mulakan surah ini dengan bersumpah dengan lima perkara dari makhluk-Nya.
- Memperingatakan orang kafir tentang apa yang telah terjadi kepada kaum yang telah mendustakan rasul mereka sebelum ini seperti Ad, Thamud & Firaun.
- Menyatakan keadaan manusia ketika dia kaya & susah.
Serta banyak mendapat nikmat bukan dalil bahawa Allah sayang & kesempitan hidup bukan dalil Allah benci.
Allah beri & uji seseorang hamba itu mengikut maslahah yang Dia kehedaki!
Maka jika senang syukur, jika susah hendaklah bersabar.
- Allah s.w.t sebut keadaan hari Kiamat & huru-haranya, manusia akan kecewa atas kecuaiannya kerana tidak beriman, manakala orang yang sudah beriman akan menyesal atas kecuaianya tidak beramal sebanyak mungkin ketika diberi rezeki hidup & sihat atas dunia ini!
- Memberi khabar gembira kepada orang yang beriman kepada Allah Azza wa Jalla bahawa mereka akan mendapat nikmat & keampunan dari Allah Azza wa Jalla.
MUNASABAH SURAH AL-FAJR- سورة الفجر DENGAN SURAH AL-GHASYIYAH – سورة الغاشية SEBELUMNYA :
Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Ghasyiyah – سورة الغاشية:
- Sumpah yang Allah bersumpah di awal surah ini sebagai dalil bukti akan benarnya penamat surah yang lepas. Allah berfirman:
{Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka,
Selain dari itu, sesungguhnya tanggungan Kamilah soal menghitung amal mereka.} (Al-Ghaasyiyah 88: 25-26)
ii- kemudian datang surah ini; Allah s.w.t bersumpah lima kali bahawa benarnya kamu semua akan kembali kepada Aku, akan dihisab & dihitung!
- Dalam surah al-Ghasiyah Allah telah membahagikan manusia ini kepada dua bahagian:
Orang yang mukanya tunduk hina & wajahnya yang bercahaya ceria!
ii- maka dalam surah ini Allah s.w.t bawa contoh manusia penyanggak yang menentang iaitu kaum Ad, Thamud & Firaun.
Kemudian Allah nyatakan pula kumpulan yang beriman & bersyukur kepada Allah- inilah mereka yang bahagia & beruntung.
- Persamaan untuk ambil pengajaran:
i- pada ayat 17 surah al-Ghasiyah Allah surah manusia lihat kepada persekitarannya seperti unta, bukit dan seumpamanya.
{أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى ٱلْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ}
ii- dalam surah ini Allah s.w.t suruh lihat kepada umat-umat terdahulu yang telah dibinsakan oleh Allah s.w.t!
{ أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ }
Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
AYAT 1- {DEMI WAKTU FAJAR;} (AL-FAJR 89:1)
- Allah bersumpah demi waktu fajar. Iaitu waktu subuh sebelum terbitnya matahari.
- Waktunya tidak panjang, hanya antara sejam lebih dan tempohnya berbeza mengikut musim.
- Apakah pula maksudnya { وَٱلْفَجْرِ} waktu fajar ini:
i- Kata Ibnu Abbas { وَٱلْفَجْرِ} ini ialah waktu fajar pagi sebelum keluarnya matahari.
Keluarnya cahaya merah di ufuk timur setiap hari sebelum terbitnya natahari iaitu waktu subuh.
ii- fajar pada hari haji yang besar (Haji Akbar); iaitu hari Raya Korban. Kerana semua orang berkumpul di masjid masing-masing untuk menyembelih korban.
iii- ada ulama\’ kata fajar itu iaitu fajar pada hari 1hb -10hb Zulhijjah (10 awal Zulhijjah. Sebagaimana dalam ayat kedua.
Majoriti ulama\’ setuju dengan pendapat ini!
AYAT 2- {DAN MALAM YANG SEPULUH (YANG MEMPUNYAI KELEBIHAN DI SISI ALLAH);} (AL-FAJR 89:2)
- Iaitu adalah malam kesepuluh (1-10) Zulhijjah menurut pendapat jumhur ulama\’.
Ada juga yang kata fajar malam 10 akhir Ramadhan. Ibnu Abbas kata sanad tentang pendapat ini adalah dhaif.
- 10 hari awal Zulhijjah ini dikira sebagai hari terbaik dunia. Kerana terdapat padanya hari Arafah dan hari Raya 10 Zulhijjah.
- Sebagaimana hadis daripada Ibnu Abbas R.A, Nabi S.A.W bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ.
Maksudnya: \”Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-Baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah-.\”
Para sahabat bertanya, \”Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?\”
Baginda bersabda,\”Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.\” [HR al-Bukhari (969].)
- Banyak sudah huraian setiap tahun tentang Kelebihan 10 Awal Zulhijjah semoga kita membuat persiapan rapi untuk pengisiannya.
AYAT 3- {DAN BILANGAN YANG GENAP SERTA YANG GANJIL;} (AL-FAJR 89:3)
- Allah s.w.t bersumpah dengan dua bilangan ini. Iaitu bilangan ganjil & genap.
- Kata ulama\’ setiap benda itu ada genap & ganjilnya. Genap ialah malam 2,4,6,8,10 dan seterusnya.
Manakala yang ganjil ialah 3,5,7,9 dan seterusnya. - Maka ulama\’ kata hari yang genap itu ialah hari Raya Haji iaitu 10hb Zulhijjah manakala yang ganjil itu ialah hari Arafah iaitu 9hb Zulhijjah.
- Allah s.w.t boleh bersumpah dengan apa saja yang dikehendakinya, bukan seperti kita manusia tidak boleh bersumpah kecuali dengan nama Allah & sifat-Nya yang mulia!
AYAT 4- {DAN MALAM, APABILA IA BERLALU;} (AL-FAJR 89:4)
- Demi malam apabila ia berlalu. Ulama\’ kata boleh jadi malam yang tertentu atau mana-mana malam saja yang telah berlalu!
- Demikianlah Allah s.w.t telah bersumpah dengan 5 perkara yang dikehendaki-Nya.
AYAT 5- {BUKANKAH YANG DEMIKIAN ITU MENGANDUNGI SUMPAH (YANG DIAKUI KEBENARANNYA) OLEH ORANG YANG BERAKAL SEMPURNA?} (AL-FAJR 89:5)
- Semua sumpah ini menunjukkan kepada tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t yang ada di depan mata kita.
- Orang yang berakal sempurna akan memikirkan kepada keagungan & kekuasaan Allah s.w.t.
AYAT 6- {(KAMI TETAP AKAN MEMBINASAKAN ORANG-ORANG YANG MENENTANGMU WAHAI MUHAMMAD), TIDAKKAH ENGKAU PERHATIKAN, BAGAIMANA TUHANMU TELAH MELAKUKAN TERHADAP KAUM AAD (YANG KUFUR DERHAKA).} (AL-FAJR 89:6)
- Allah memberi jaminan dan janji-Nya bahawa orang yang menentang Rasulullah s.a.w pasti akan dibinasakan sebagaimana Allah telah binasakan kaum Ad yang kufur derhaka.
Kaum Ad ialah kaum nabi Hud yang berada di Yaman.
AYAT 7- {IAITU PENDUDUK \”IRAM\” YANG MEMPUNYAI BANGUNAN-BANGUNAN YANG TINGGI TIANGNYA, (SESUAI DENGAN PENDUDUKNYA).} (AL-FAJR 89:7)
- Mereka Ad ini adalah dari kabilah Iram, yang membina bangunan-bangun yang tinggi.
AYAT 8- {YANG BELUM PERNAH DICIPTAKAN SEPERTINYA (TENTANG BESAR DAN KUKUHNYA) DI SEGALA NEGERI (PADA ZAMANNYA)?} (AL-FAJR 89:8)
- Belum pernah lagi ada pada zaman mereka itu; bangunan yang kukuh & tinggi seperti binaan mereka itu!
- Yakni mereka buat bangunan tinggi atas bukit yang tinggi pula- maka sesuailah dimusnahkan dengan angin kencang yang meruntuhkan semuanya!
AYAT 9- {DAN (TERHADAP) KAUM THAMUD YANG MEMAHAT BATU-BATU BESAR DI LEMBAH (WADIL-QURA IAITU TEMPAT TINGGALNYA)?} (AL-FAJR 89:9)
- Juga satu lagi kaum yang Allah s.w.t telah binasakan – iaitu kaum Thamud, kaum Nabi Soleh yang mendiami Wadil-Qura sebagai tempat tinggalnya.
Kawasannya sekarang ini dikenali sebagai Madain Soleh di Mantiqah al-Ula, Madinah.
- Mereka membina rumah mereka di dalam bukit dengan memahat batu, lalu sesuailah Allah musanahkan mereka dengan menghantar suara yang bingit & memusnahkan semua manusia.
AYAT 10- {DAN (TERHADAP) FIRAUN YANG MENGUASAI BANGUNAN-BANGUNAN YANG HANDAL KUKUH?} (AL-FAJR 89:10)
- Serta Firaun yang membuat bangunan tinggi & kukuh di tengah padang pasir iaitu piramid yang masih ada sehingga sekarang.
- Semua ini sekarang sudah menjadi tinggalan sejarah untuk diambil ibrah pengajaran oleh manusia selepasnya.
AYAT 11- {(SEMUANYA ITU IALAH) ORANG-ORANG YANG TELAH BERMAHARAJALELA DI NEGERI (MASING-MASING).} (AL-FAJR 89:11)
- Mereka adalah orang yang zalim & bermaharajalela di negeri masing-masing. Mereka juga menentang rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka!
AYAT 12- {LALU MEREKA MELAKUKAN DENGAN BANYAKNYA KEROSAKAN DAN BENCANA DI NEGERI-NEGERI ITU.} (AL-FAJR 89:12)
- Maka banyaklah berlaku kerosakan atas muka bumi ini akibat kezaliman mereka!
AYAT 13- {DENGAN YANG DEMIKIAN, TUHANMU MENCURAHKAN KE ATAS MEREKA BERBAGAI PALUAN AZAB;} (AL-FAJR 89:13)
- Lalu Allah s.w.t hantarkan ke atas mereka pukulan azab yang membinasakan mereka, hancur-lebur, mati habis puak kafir itu!
AYAT 14- {SESUNGGUHNYA TUHANMU TETAP MENGAWAS DAN MEMBALAS, (TERUTAMA BALASAN AKHIRAT).} (AL-FAJR 89:14)
- Sesungguhnya Allah tetap mengawas dan membalas apabila tiba masanya!
Mungkin Allah akan biarkan mereka dulu tetapi bukan bermakna dia cuai & abaikan mereka, tetapi kerana belum tiba masanya!
- Mereka ini semasa di dunia lagi telah dibinasakan & azab di akhirat pastilah lebih dahsyat & pedih!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 1 sehingga Ayat 4- dalam ayat ini Allah s.w.t telah bersumpah dengan 5 perkara yang berkait dengan masa.
Ini semua sebagai dalil yang menunjukkan kepada kita betapa indahnya penciptaan Allah s.w.t, luasnya kekuasaan-Nya, Dia susun atur dengan tertib dan indah, ada pagi & malam, malam pula ada yang ganjil & yang genap. Bahawa setiap masa & waktu kita kena ingat kepada Allah s.w.t.
Allah bersumpah dengan masa iaitu dengan waktu malam dan pagi, juga untuk hamba-Nya mengingati Allah mengikut masa seperti pada waktu pagi dengan solat subuh, waktu tengahari pula Zohor & Asar, pada waktu malam Maghrib dan Isya\’. Supaya kita tidak lalai & lagha kepada Allah s.w.t!
- Dalam ayat-ayat yang kita baca tadi, Allah peringatkan kita dengan mencela & mencerca golongan yang dibinasakan kerana mereka terperdaya dengan kemegahan, kekuasaan dan melampau, mereka rasa mereka gagah perkasa.
Boleh baca tentang fitnah kemegahan, kekuasaan & penguasa yang zalim dalam tafsir surah al-Kahfi.
Kuliah tafsir tadabbur surah al-Kahfi telah dibukukan boleh dapatkannya di:
https://dartaibah.com/?page_id=179…
Dalam surah ini Allah nyatakan tiga ikon jahat: kaum Thamud, kaum Ad dan kaun Firaun yang terpedaya dengan kedudukan masing-masing- lalu mereka dibinasakan dan menjadi ibrah pengajaran bagi manusia yang selepas mereka, bahawa mereka juga akan dibinasakan sebagaimana umat terdahulu yang lebih gagah, kuat & perkasa!
- Ayat 7- {Iaitu penduduk \”Iram\” yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya).}- puak Iram yang kuat, tidak ada lagi atas dunia ini bangsa yang gagah seperti mereka.
Sifat yang disebut ini dengan makna-maknanya dengan binaan & bangunan yang tinggi itu menunjukkan satu lambang tamadun manusia yang bijak & gagah perkasa!
Tetapi apa boleh buat walaupun tiada yang dapat mencabar mereka dari segi kekuatan & tamadun yang tinggi; akhirnya tempat mereka kosong kerana derhaka kepada Allah, mereka tetap binasa dek azab yang diturunkan Allah Azza wa Jalla!
Atas dunia hari ini manusia ini betapa ramai manusia yang sombong – apabila ada kuasa sikit mula mahu menindas orang, fitnah sana- fitnah sini- ingatlah kuasa kamu itu kecil- sedang kuasa diktator yang besar pun boleh tumbang apatah lagi jika hanya gabungan yang rapuh!
- Ayat 12- {Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu.}- iaitu { طَغَوْا۟} ialah orang yang kuat derhaka kepada Allah dan zalim kepada rakyat dan manusia lain.
Apa yang mereka nak ambil mereka ambil, apa yang mereka nak sekat mereka akan sekat- yakni bermaharajalela melakukan kejahatan kezaliman dengan bebas!
Mereka ini sudahlah zalim kepada diri sendiri dengan kufur kepada Allah; tetapi dalam masa yang sama menzalimi menindas rakyat atau orang yang dibawah kekuasaan mereka. Inilah makna orang yang taghut!
Contohnya kejahatan Firaun kepada bani Israil; memperhambakan mereka, bunuh anak lelaki dan pelbagai kejahatan lagi.
Orang yang jahat atas dunia akan menerima balasannya samada di dunia terus atau di akhirat.
Kita yang rasa ditindas & dizalimi, sabar, kata orang tidak lama penguasa yang jahat atas dunia ini, mereka akan meninggalkan kenangan yang buruk setelah mati kepada orang ramai!
Maka orang yang dizalimi sabarlah Allah s.w.t akan membalas kezaliman itu, jika mereka berkuasa dan terlepas atas dunia, ingatlah tidak lama kita akan bertemu dengan Allah s.w.t nanti!
- Ayat 13- {Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab;}- ayat ini menyebut Allah s.w.t akan mencurahkan/campak {فَصَبَّ} ke atas mereka paluan azab { سَوْطَ عَذَابٍ}.
Apakah maksudnya paluan azab { سَوْطَ عَذَابٍ} ini?
JAWAPAN :
Ini sebagai isyarat bahawa mereka akan dikenakan azab secara berterusan dan berulang-ulang!
Allah mencampak pelbagai azab yang berterusan, samada di dunia lagi atau berulang yang di dunia kemudian bersambung dengan azab di akhirat kelak.
Seperti Firaun yang dihantar kepadanya 9 jenis azab sebagai tanda kekuasaan Allah s.w.t tetapi tetap tidak insaf & kufur.
Begitulah manusia yang keras kepala walaupun azab datang berulang dia tetap begitu!
Allah kata di akhir ayat bahawa Allah s.w.t juga perhatikan apa yang kamu buat!
Maka awas dan berhati-hatilah!
Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.