SEMUA MAKHLUK BERTASBIH DAN MEMUJI ALLAH, SIFAT KEWUJUDAN ALLAH & DALIL QUDRAT ALLAH MENCIPTA ALAM.
Full video : https://youtu.be/mFUiNd3R7m8
MUQADDIMAH :
- Dalam siri pertama surah al-Hadid ini, Allah s.w.t ceritakan pada permulaan surah bahawa semua makhluk bertasbih dan memuji Allah.
- Ada yang bertasbih kepada Allah secara nyata dan ada yang secara hal; iaitu keadaanya (secara tabi\’e) puji tetapi mulut & perbuatannya syirik.
- Kemudian Allah s.w.t nyatakan beberapa sifat kewujudan Allah s.w.t yang cukup mantap.
- Lalu dibawa dalil qudrat Allah dalam mencipta alam yang besar ini.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 1- {SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN DI BUMI TETAP MENGUCAP TASBIH KEPADA ALLAH; DAN DIA LAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-HADID 57:1)
- Semua yang ada di langit dan di bumi bertasbih memuji Allah s.w.t. Iaitu memuji membersihkan Allah s.w.t dari segala kekurangan & kelemahan.
- Tasbih ada dua kategori:
i- secara lisan yang hakiki (لسان المقال) iaitu semua manusia & jin yang beriman, makhluk yang baik seperti malaikat, haiwan dan semua makhluk bertasbih kepada Allah, kecuali orang kafir.
ii- secara hal (لسان الحال) Ini kerana semua makhluk secara hal atau atas fitrah semulajadinya memuji Allah s.w.t, termasuk jin & manusia yang kafir.
Walaupun secara hakiki & perbuatan mereka kufur dan ingkar kepada Allah Azza wa Jalla.
- Maksud dua sifat ini:
i- Al-Aziz (ٱلْعَزِيزُ)- Allah yang amat kuat lagi gagah perkasa; tiada yang dapat mengalahkan-Nya.
ii- lagi Maha bijaksana, al-Hakim (ٱلْحَكِيمُ)- iaitu yang meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Jika letak selipar atas kepala; itu sudah lari dari kewarasan manusia kerana kepala bukan tempat selipar.
AYAT 2- {DIA LAH SAHAJA YANG MENGUASAI DAN MEMILIKI LANGIT DAN BUMI; IA MENGHIDUPKAN DAN MEMATIKAN; DAN IA MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-HADID 57:2)
- Allah s.w.t sajalah Pemilik langit dan bumi, seluruh isi kandungannya serta apa yang ada antara keduanya.
- Tiada sekutu bagi Allah dalam penciptaannya mahupun dalam pentadbiran keduanya! Tiada pembantu bagi Allah kerana hanya orang yang lemah perlukan bantuan atau pembantu.
- Allah juga amat berkuasa untuk menghidupkan dan mematikan {يُحْىِۦ وَيُمِيتُ} seluruh manusia dan makhluk. Dengan segala dalil-dalil yang dibawa sebelum ini, yang di atas dan di bawah, di laut di darat.
- Allah juga Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu dengan kuasa-Nya yang penuh & mutlak, tidak ada sesuatu yang dapat mengalah atau merempuhnya. Tidak seperti kuasa manusia yang terhad dan ada sekatan.
AYAT 3- {DIA LAH YANG AWAL DAN YANG AKHIR; DAN YANG ZAHIR SERTA YANG BATIN; DAN DIA LAH YANG MAHA MENGETAHUI AKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-HADID 57:3).
- Allah Dia-lah Yang Awal (هُوَ ٱلْأَوَّلُ)- yakni Allah s.w.t yang tunggal, yang telah wujud sejak azali, wujud-Nya tiada permulaan.
- Dan Yang Akhir (وَٱلْـَٔاخِرُ)- Allah s.w.t kekal selamanya tidak ada pengakhiran yang terhenti setakat itu. Semua makhluk rosak tetapi Allah s.w.t kekal!
- Dan Yang Zahir (ٱلظَّـٰهِرُ)- iaitu Allah s.w.t yang Esa yang Tunggal, yang Maha Tinggi Zat-Nya daripada segala makhluk, tiada siapa yang dapat mengatasinya, yang gagah perkasa dan Dia yang berkuasa penuh!
- Serta Yang Batin (ٱلْبَاطِن)- Allah s.w.t yang Esa Yang Mengetahui segala perkara yang ghaib & batin, yang tidak nampak, yang tersembunyi semuanya meliputi di dalam ilmu Allah s.w.t.
i- kata ahli lughah- az-Zajaj rhm.: Kenapa Allah disebut sebagai (ٱلْبَاطِن)- kerana Allah s.w.t tidak dapat dilihat dengan pancaindera, mata biasa. Contoh lain: nyawa & udara.
ii- dalam bahasa Arab (ٱلْبَاطِن) maksudnya ialah (الخبير العالم)- ialah orang yang amat mahir & pakar, yang maha mengetahui segala perkara yang tersembunyi & nyata.
iii- Salah satu bacaan sebelum tidur sebagaiman riwayat Abu Hurairah r.a Rasulullah s.a.w mengajar untuk membaca doa ini:
اللهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ وَرَبَّ الْأَرْضِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ، اللهُمَّ أَنْتَ الْأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُونَكَ شَيْءٌ، اقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ، وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ
\”Ya Allah, Tuhan yang menguasai langit dan tuhan penguasa bumi, Tuhan yang menguasai arsy yang agung, Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu.
Tuhan yang membelah butir tumbuh-tumbuhan dan biji buah,
Tuhan yang menurunkan kitab Taurat, Injil dan Furqan (Al-Qur\’an). Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan segala sesuatu yang Engkau memegang ubun-ubunnya.
Ya Allah, Engkau-lah yang pertama, sebelum-Mu tidak ada sesuatu.
Engkau-lah yang terakhir, setelah-Mu tidak ada sesuatu.
Engkau-lah yang zahir, tidak ada sesuatu di atas-Mu.
Engkau-lah yang Batin, tidak ada sesuatu yang menghalangi-Mu,
lunasilah hutang kami dan berilah kami kekayaan hingga terlepas dari kefakiran.\” [HR Muslim- Rujuk- Perisai Muslim].
- Dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu (عَلِيمٌ)- yakni ilmu Allah s.w.t meliputi segala sesuatu termasuk segala sifat yang di atas.
AYAT 4- {DIA LAH YANG TELAH MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI DALAM ENAM MASA, KEMUDIAN IA BERSEMAYAM DI ATAS ARASY; IA MENGETAHUI APA YANG MASUK KE BUMI SERTA APA YANG KELUAR DARIPADANYA; DAN APA YANG DITURUNKAN DARI LANGIT SERTA APA YANG NAIK PADANYA. DAN IA TETAP BERSAMA-SAMA KAMU DI MANA SAHAJA KAMU BERADA, DAN ALLAH MAHA MELIHAT AKAN APA YANG KAMU KERJAKAN.} (AL-HADID 57:4)
- Allah s.w.t yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa. Allah s.w.t boleh saja mencipta semuanya dalam sekelip mata jika Dia kehendaki (كُن فَيَكُونُ). Tetapi kenapa Allah tidak buat begitu?
- Ini kerana Allah s.w.t mahu mendidik hamba-Nya, mahu mengajar kita agar jangan gopoh dan perlu merancang dalam segala pekerjaan yang besar atau kecil.
Manusia pun berada di dalam perut ibunya sebagai janin selama 9 bulan biasanya. Hormati & muliakanlah para ibu bapa kamu wahai anak-anak!
- Kemudian Allah s.w.t bersemayam { ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ} di atas Arasy. Bagaimana caranya jangan kita bayang atau syarahkan, semua sifat Allah ia adalah sebagaimana yang layak bagi sifat Allah s.w.t, ia bukan makhluk.
Kita juga kena sekatnya dengan pasakkan aqidah { لَيۡسَ كَمِثۡلِهِۦشَيۡءٞۖ} bahawa tidak ada sesuatupun yang menyerupai Allah s.w.t.
- Allah s.w.t Maha Mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya samada:
i- haiwan atau tumbuhan yang tumbuh keluar.
ii- mayat-mayat yang ditanam dalam perut bumi.
iii- gedung-gedung khazanah- emas permata serta minyak dan lain-lain logam. - Allah s.w.t Maha Mengetahui apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya seperti:
i- malaikat & roh yang naik & turun.
ii- hujan & rezeki yang turun.
iii- catatan amalan manusia yang diangkat naik oleh malaikat.
iv- dan wap-wap udara yang naik ke langit. - Allah s.w.t juga tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada. Ulama\’ kata maksudnya Allah sedia mengetahui keadaan kamu dengan ilmu (mengetahui & memantau), menyaksi segala perbuatan kamu, di laut atau di darat, pada waktu siang atau malam.
Jangan salah faham seperti fahaman (Wahdatul-Wujud) yang kata Allah s.w.t duduk bersama dengan dia- hanya dgnilmu dan pengetahuan-Nya.
- Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan – tiada yang tersembunyi dari ilmu Allah, ia akan melihat dan membalas segala perbuatan kamu yang kamu buat!
AYAT 5- {DIA LAH SAHAJA YANG MENGUASAI DAN MEMILIKI LANGIT DAN BUMI; DAN KEPADA ALLAH JUALAH DIKEMBALIKAN SEGALA URUSAN.} (AL-HADID 57:5)
- Allah s.w.t itu adalah Pemilik langit & bumi ini. Allah s.w.t bukan saja memiliki keduanya- Dia juga yang menguasai dan mentadbir semuanya dengan terperinci dan menyeluruh!
- Munasabah ayat:
i- Ini kerana ada orang yang bekerja tetapi dia bekerja untuk orang dengan mengambil upah, kuli. Atau raja pemerintah tetapi tidak sempurna pemerintahannya jika dia tidak mengetahui segala urusan dan objek dalam kerajaannya.
ii- Orang kafir itu mengingkari kebangkitan semula, lalu Allah s.w.t nyatakan di sini kenapa kamu masih mahu ingar dan tidak percayanya, kamu tidak kenal ke Aku ini Allah, Pemilik dan Penguasa langit dan bumi! Tiada sekutu bagi Allah dalam pemilikan dan pentadbirannya. Yakni bawa dalil dan hujjahnya di sini bahawa tiada sebab lagi bagi mereka untuk ingkar dan dustakannya.
- Akhirnya ingatlah- kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan! Semua perkara samada kamu percaya atau tidak, kamu akan jumpanya nanti, bermula dari saat kematian, kemudian apabila dibangkitkan di akhirat kelak!
AYAT 6- {DIA LAH YANG MEMASUKKAN WAKTU MALAM KE DALAM WAKTU SIANG, DAN MEMASUKKAN WAKTU SIANG KE DALAM WAKTU MALAM (SILIH BERGANTI); DAN DIA LAH YANG MAHA MENGETAHUI AKAN SEGALA (ISI HATI) YANG TERKANDUNG DI DALAM DADA.} (AL-HADID 57:6)
- Allah yang menjadikan malam & siang silih berganti. Bila malam datang, kegelapannya masuk ke dalam siang maka hilanglah siang, diliputi kegelapann malam.
Begitu juga sebaliknya bila datang siang, cahaya matahari menyinari dunia hilanglah pula malam! - Dia-lah yang Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada manusia. Hanya Allah yang mengetahui perkara tersembunyi ini, sesiapa di kalangan manusia yang mendakwa bahawa dia mengetahui apa yang terkandung dalam hati orang lain, maka itu dakwaan itu menyalahi kenyataan ini.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 1- {Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} – surah ini di antara tujuh surah (المسبحات السبع) yang dimulai dengan tasbih. Maka Allah s.w.t mula surah ini dengan menyebut tasbih yang membersih & mensucikan Allah s.w.t.
Ini adalah antara perkara penting untuk kita isbatkan sifat Allah ialah sucinya Allah s.w.t daripada segala sifat yang tidak layak bagi-Nya. Iaitu menyucikan Allah s.w.t dari segala sekutu & mengesakan-Nya dengan sesungguhnya.
Ini adalah pegangan & aqidah murni yang sangat besar.
Allah s.w.t mulakan dengan memuji dirinya kemudian dibawa 10 sifat-Nya yang mulia iaitu:
ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ يُحْىِۦ وَيُمِيتُ ٱلْأَوَّلُ وَٱلْـَٔاخِرُ
وَٱلظَّـٰهِرُ وَٱلْبَاطِنُ قَدِيرٌ عَلِيمٌ.
semua sifat ini yang menunjukkan suci-Nya Allah yang mulia.
- Ayat 1- {Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}- ulama\’ kata semua makhluk yang ada dalam langit dan bumi samada haiwan-haiwan yang berbunyi atau tidak, serta benda keras dan kaku seperti batu & kayu semuanya bertasbih kepada Allah s.w.t!
Samada tasbih hakiki dengan lidahnya atau dengan keadaan hal (لسان الحال) secara tabi\’i sahaja seperti orang kafir yang tidak beriman dan ingkar kepada Allah s.w.t tetapi secara fitrah mereka tetap hamba Allah.
- Ayat 3- {Dia lah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.}- ada 4 sifat Allah s.w.t yang disebut di sini:
i- awal (ٱلْأَوَّلُ)- tiada yang sebelumnya, Allah s.w.t wujud sejak azali, tiada permulaan.
ii- akhir (وَٱلْـَٔاخِرُ)- tiada pengakhiran bagi Allah s.w.t, makhluk lain rosak tetapi Dia kekal abadi selamanya.
Disebut dua kategori ini untuk menyatakan bahawa dia merangkumi seluruh tempat & sepanjang masa.
i- Zahir (ٱلظَّـٰهِرُ)- yang gagah perkasa menguasai segala yang zahir & nampak.
ii- batin (ٱلْبَاطِن)- yang mengetahui segala perkara samada nampak atau tersembunyi.
- Ayat 4- {Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.}- dalam ayat ini serta ayat mujadilah 4/7- ulama\’ salaf menafsirkan perkataan {Dia bersama kamu (هُوَ مَعَكُمْ)} ini bermaksud dengan ilmu dan pemantauanya.
Bukan bersama secara zahir dan hakikat duduk bersama kamu bahkan ada yang sesat berkata Tuhan ada bersamanya, dalam poketnya! - Ayat 6- {Dia lah yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam (silih berganti); – ini menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t dan hikmah kebijaksanaan-Nya, kerana bergantinya siang dan malam adalah satu keperluan yang besar bagi manusia dan seluruh makhluk atas dunia ini.
Ia juga membawa kepada pertukaran musim dunia dalam setahun; ada musim panas, musim sejuk, musim bunga/buah, musim luruh. Ada juga musim hujan bergantung kepada tempat kita di muka bumi ini.
Semua ini mempunyai hikmah yang besar, dalil akan rahmat & nikmat yang Allah s.w.t anugerahkan kepada manusia!
Hari ini hari Jumaat, ingat Jumaat jangan lupa:
i- perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w.
اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل مُحَمَّدٍ.
ii- baca surah al-Kahfi utk menerangi hati.