SERUAN BERIMAN DENGAN ALLAH, AHLI KITAB DAPAT DUA PAHALA & LIMPAH KURNIA ALLAH.
Full video : https://youtu.be/yc6DmBtu81w
MUQADDIMAH :
- Ini adalah siri yang ke-9 dan terakhir bagi surah al-Hadid ini. Dalam siri ini Allah s.w.t sebut kepada kita tentang seruan beriman dengan Allah.
- Diceritakan juga bahawa ahli Kitab yang beriman kepada Rasulullah s.a.w akan mendapat dua pahala.
- Juga tentang limpah kurnia Allah kepada orang yang bertaqwa samada di dunia atau di akhirat.
AYAT 28- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH DAN TETAPLAH BERIMAN KEPADA RASULNYA (MUHAMMAD), SUPAYA ALLAH MEMBERI KEPADA KAMU DUA BAHAGIAN DARI RAHMATNYA, DAN MENJADIKAN BAGI KAMU CAHAYA UNTUK KAMU BERJALAN DENGANNYA (PADA HARI KIAMAT KELAK), SERTA DIAMPUNKANNYA DOSA KAMU; DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-HADID 57:28)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t menyeru orang yang beriman dengan Allah & Rasulullah s.a.w agar bertaqwa kepada Allah s.w.t.
- Taqwa itu ialah dengan mengikut arahan-Nya & menjauhi larangan-Nya.
Buat yang Allah suruh, tinggal yang dilarang! - Kemudian diseru pula agar beriman kepada Rasulullah s.a.w. Iaitu realisasikan iman itu agar lebih mantap dan teguhkan iman kepada Rasulullah s.a.w, tetapkan pendirian dan terus istiqomah di atas iman itu!
- Ramai ulama\’ tafsir berpendapat ayat ini asalnya turun kepada golongan ahli kitab yahudi & Nasrani- iaitu mereka yang beriman kepada Nabi Musa & Isa a.s agar mereka tetap bertaqwa dan beriman pula kepada Nabi Muhammad, Rasulullah s.a.w.
- Pendapat kedua: Bukan kepada dua golongan itu- kerana tidak mungkin Allah s.w.t akan menyeru atau memanggil mereka yang telah kufur itu dengan panggilan: {Wahai orang-orang yang beriman- يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ }.
Seruan ayat ini adalah kepada orang yang beriman di kalangan orang Islam. - Kata Syeikh as-Sa\’adi rhm.: Yang zahirnya ayat ini adalah umum untuk semua orang yang telah dan pernah beriman kepada Allah, pernah beriman Nabi Musa & Isa a.s- maka mantap dan lengkapkan iman kamu dengan beriman juga kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Atau untuk para mukmin yang telah beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w, maka mantapkan iman kamu kepada Rasulullah s.a.w!
7. Allah s.w.t akan berikan kepada mereka dua bahagian dari rahmat-Nya. Siapakah pula yang di maksudkan dapat dua pahala itu?
Firman Allah s.w.t:
{Orang-orang yang Kami beri Kitab sebelum turunnya Al-Quran, mereka beriman kepadanya.
Dan apabila Al-Quran itu dibacakan kepada mereka; mereka, berkata: \”Kami beriman kepadanya, sesungguhnya ia adalah perkara yang betul benar dari Tuhan kami; sesungguhnya kami sebelum ia diturunkan, telahpun mematuhinya \”.
Mereka itu akan beroleh pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka; dan juga kerana mereka menolak kejahatan dengan kebaikan, dan mereka menderma dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.} [Al-Qasas 28: 52-54].
8. Dari hadis Rasulullah s.a.w:
[عن أبي موسى الأشعري:] ثلاثةٌ يُؤتَونَ أجرَهم مرَّتَينِ: عبدٌ أدّى حقَّ اللهِ وحقَّ مواليِه، فذاكَ يُؤتى أجرَه مرَّتَينِ، ورجلٌ كانَت عِندَه جاريةٌ وضيئةٌ، فأدَّبَها فأحسنَ تأديبَها، ثمَّ أعتقَها، ثمَّ تزوَّجَها، يبتَغي بذلكَ وجهَ اللهِ، فذلكَ يُؤتى أجرَه مرَّتَينِ، ورجلٌ آمنَ بالكتابِ الأولِ ثمَّ جاءَ الكِتابُ الآخِرُ فآمنَ بهِ، فذلكَ يُؤتى أجرَه مرَّتَينِ.الألباني (ت ١٤7٠)، صحيح الترغيب ١٨٨7 • صحيح • أخرجه البخاري (٣٠١١)، ومسلم
Dari Abu Musa al-Asy\’ari r.a bahawa, Rasulullah S.A.W bersabda:
\”Ada tiga golongan yang mendapat ganjaran pahala dua kali ganda.
Pertama, seorang hamba yang menunaikan hak Allah dan hak tuannya. Maka baginya dua pahala.
Kedua, seorang lelaki yang ada hamba perempuan, lalu dia mendidik, memperbaiki adabnya, memerdekakannya, lalu mengawininya. Maka baginya dua pahala.
Ketiga, seorang ahli kitab yang beriman kepada kitab dan nabinya yang terdahulu, kemudian dia beriman pula kepadaku. Maka baginya dua pahala.\” [HR Bukhari & Muslim].
9. Maksud dua pahala itu adalah kerana:
i- mereka telah beriman dengan nabi-nabi terdahulu kemudian beriman pula dengan Nabi Muhammad s.a.w. Maka mereka mendapat pahala dua kali. Ini pandangan ulama\’ yang mengatakan ayat ini ditujukan kepada ahli kitab tersebut.
ii- bagi umat Nabi Muhammad s.a.w yang telah beriman Baginda s.a.w pula- mendapat dua pahala- yakni pertama pahala yang di dunia, mendapat rahmat Allah s.w.t, mendapat kasih-sayang Rasulullah serta pahala yang berlipat-ganda di Akhirat kelak pula.
10. Kelebihan orang yang beriman ini:
i- mendapat dua pahala.
ii- akan diberi cahaya di Akhirat kelak.
iii- Allah s.w.t akan sembunyikan dosa-dosa dengan memberi keampunan-Nya.
11. Pendapat tentang cahaya ini pula:
i- cahaya yang diberi untuk melintasi Sirat dalam keadaan gelap gelita.
ii- cahaya muka orang yang beriman di akhirat kelak.
iii- orang yang beriman dengan Allah, dengan Rasul dan dengan al-Quran yang diturunkan- Allah s.w.t akan berikannnya cahaya untuk mendapat hidayah atas dunia ini. Cahaya yang memberi petunjuk kepada landasan yang benar, yang membolehkannya ke syurga!
Ya Allah kurniakan kepada Kami cahaya yang dapat membimbing kami di dunia & juga di Akhirat kelak!
12. Pada akhir ayat ini Allah s.w.t tutup dengan menyebut dua sifat-Nya: Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani- iaitu Allah s.w.t amat pengampun dan luas rahmat-Nya ke atas hamba-Nya.
13. Syukurlah kita masih bernyawa pagi ini, sempat bertaubat menyesali segala kesilapan & dosa yang telah kita lakkukan samada secara sengaja atau tidak!
Sebagai orang mukmin; jika diuji dengan musibah iringkanlah dengan sabar manakala maksiat terus iringkan dengan beristighfar.
AYAT 29- {(DITETAPKAN PEMBERIAN YANG DEMIKIAN KEPADA KAMU) SUPAYA GOLONGAN AHLI KITAB (YAHUDI DAN NASRANI – YANG MENENTANG ISLAM) MENGETAHUI, BAHAWA SESUNGGUHNYA MEREKA TIDAK MEMPUNYAI SEBARANG KUASA UNTUK MENDAPAT (ATAU MENYEKAT) SESUATU DARI LIMPAH KURNIA ALLAH, DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA LIMPAH KURNIA ITU TERLETAK DALAM KEKUASAAN ALLAH, DIBERIKANNYA KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA. DAN (INGATLAH), ALLAH JUALAH YANG MEMPUNYAI LIMPAH KURNIA YANG BESAR.} (AL-HADID 57:29)
- Yakni tiada siapa yang dapat menyekat samada dari segi pahala atau taqdir yang telah Allah s.w.t tentukan.
Kita telah berusaha mendapatkan sesuatu tetapi apakan daya Allah telah tulis bahawa ia adalah milik orang lain!
Apa yang kita dapat buat ialah muhasabah diri perbaiki apa yang tidak kena, jangan pula salahkan taqdir! - Dalam ayat ini Allah sebut bahawa Dia telah beri tiga kelebihan bagi orang yang beriman dan lain-lain kelebihan yang banyak lagi.
- Ini supaya orang yahudi & Nasrani sedar bahawa mereka tidak boleh menyekat limpah kurnia dan pahala kelebihan yang Allah anugerahkan kepada orang Islam yang beriman!
- Ini kerana semua kelebihan & limpah kurnia itu berada di bawah kekuasaan Allah s.w.t, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, tiada siapa yang dapat menyekat menghalangnya!
- Hadis Rasulullah s.a.w yang panjang riwayat Abdullah ibnu Umar r.a:
عَنْ عَبْدِ الله أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – يَقُولُ « إِنَّمَا بَقَاؤُكُمْ فِيمَا سَلَفَ قَبْلَكُمْ مِنَ الأُمَمِ كَمَا بَيْنَ صَلاَةِ الْعَصْرِ إِلَى غُرُوبِ الشَّمْسِ ، أُوتِىَ أَهْلُ التَّوْرَاةِ التَّوْرَاةَ فَعَمِلُوا حَتَّى إِذَا انْتَصَفَ النَّهَارُ عَجَزُوا ، فَأُعْطُوا قِيرَاطًا قِيرَاطًا ، ثُمَّ أُوتِىَ أَهْلُ الإِنْجِيلِ الإِنْجِيلَ فَعَمِلُوا إِلَى صَلاَةِ الْعَصْرِ ، ثُمَّ عَجَزُوا ، فَأُعْطُوا قِيرَاطًا قِيرَاطًا ، ثُمَّ أُوتِينَا الْقُرْآنَ فَعَمِلْنَا إِلَى غُرُوبِ الشَّمْسِ ، فَأُعْطِينَا قِيرَاطَيْنِ قِيرَاطَيْنِ ، فَقَالَ أَهْلُ الْكِتَابَيْنِ أَىْ رَبَّنَا أَعْطَيْتَ هَؤُلاَءِ قِيرَاطَيْنِ قِيرَاطَيْنِ ، وَأَعْطَيْتَنَا قِيرَاطًا قِيرَاطًا ، وَنَحْنُ كُنَّا أَكْثَرَ عَمَلاً ، قَالَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ هَلْ ظَلَمْتُكُمْ مِنْ أَجْرِكُمْ مِنْ شَىْءٍ قَالُوا لاَ ، قَالَ فَهْوَ فَضْلِى أُوتِيهِ مَنْ أَشَاءُ »
Ertinya: Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
\”Sesungguhnya bahagian kamu berbanding dengan apa yang telah diberikan dari umat-umat terdahulu sebelum kamu laksana antara solat Asar sampai terbenamnya matahari, kaum ahli kitab Taurat diberikan Taurat lalu mereka mengamalkannya sehingga sampai pertengahan siang iaitu waktu zohor, kemudian mereka menjadi lemah, maka mereka diberi satu qirath, satu qirath (iaitu nilai pahala masing-masing).
Kemudian kaum ahli kitab Injil diberikan Injil, lalu mereka mengamalkannya sehingga solat Asar, kemudian mereka menjadi lemah, maka mereka diberi (pahala masing-masing) satu qirath, satu qirath.
Kemudian kita diberikan Al Quran, lalu kita mengamalkannya (dari waktu asar) sehingga terbenam matahari (maghrib), maka kita diberi (pahala masing-masing) dua qirath, dua qirath.
Dua kaum dari dua kitab itu berkata: \”Wahai Tuhan kami, Engkau telah memberikan mereka dua qirath-dua qirath sedangkan kami Engkau beri satu qirath-satu qirath, padahal kami lebih banyak amalannya,\”
Allah Azza wa Jalla berfirman: \”Apakah Aku telah menzalimi sedikit dari pahala kamu?\”
Mereka menjawab: \”Tidak,\”
Maka Allah berfirman: \”Itulah kemurahan-Ku yang Aku berikan kepada siapa yang Aku kehendaki.\” [HR Bukhari].
- Allah s.w.t tutup ayat ini dengan peringatan bahawa Allah jualah yang mempunyai limpah kurnia yang besar. Dia beri kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan Dia tidak beri kepada yang tidak dapat. Tiada yang dapat menghalang atau menyekatnya!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 28- {Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}- kata ulama\’ tadabbur- taqwa itu menjadi sebab untuk mendapatkan ilmu!
Berapa ramai orang yang mencari ilmu dan mencari kefahaman, kita katakan syarat mencari ilmu itu ialah dengan bertaqwa kepada Allah Azza wa Jalla. Iaitu dengan meralisasi dan mentahqiqkan imannya.
Kata ulama\’: Sesiapa yang beramal dengan ilmu yang dia tahu/belajar;
Allah s.w.t akan bukakan kepadanya ilmu yang dia tidak tahu lagi!
Bertaqwalah kamu kepada Allah, Allah s.w.t akan ajarkan kepadamu ilmu.
Tetapi orang yang benar-benar mendapat ilmu ladunni, dia tidak akan menceritakan rahsia yang dia tahu kepada orang ramai.
Yang dok dakwa kata dia dapat ilmu ladunni tu mangarut je, cari pengikut.
- Ayat 28- {Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad),- kenapa dalam ayat ini Allah s.w.t menyeru orang beriman kemudian disuruh beriman pula? Tidakkah itu bertindan?
JAWAPAN :
i- Seruan agar menjaga & mantapkan iman, realisasikannya, kerana iman itu ada masanya malap dan suram, ada kuat & lemah, maka kena jaga agar tidak malap.
ii- seruan kepada orang yang beriman dengan lidahnya agar beriman seikhlasnya dengan hati juga, sucikan hatinya dengan iman yang sebenar.
iii- jika seruan untuk ahli Kitab, maka diseru wahai orang yang beriman dengan Musa & Isa, berimanlah kepada Nabi Muhammad s.a.w pula. Jika tidak, tidak lengkap iman kamu!
iv- Lafaz iman dalam al-Quran biasanya disebut secara berkait (مقيدا) dengan lafaz lain. Seperti dalam ayat ini untuk mantapkan iman dengan Rasulullah s.a.w kerana ayat ini membincangkan tentang ahlul-kitab dan nabi-nabi lain juga.
- Ayat 28- {Dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak),} – para ulama\’ mengatakan sesiapa yang berpegang & beramal dengan Kitab & Sunnah Nabi s.a.w, maka dia akan mendapat ilmu orang yang terdahulu dan yang terkemudian, dia akan mendapat cahaya-cahaya di dunia & di Akhirat.
Cahaya (نُورًۭا) ini adalah sumber kebaikan, keindahan yang datang dari mengikut segala perintah Allah & Rasul, menjauhi laranganya dan bersabar atas tanggung-jawab yang Allah berikan kepada kita.
Beramal dengan ilmu yang kita belajar akan menjadi sebab lekatnya ilmu itu dalam hati dan kepala kita. Siapa yang belajar dan tidak beramal akan mudah lupa dan hilang ilmu itu dari hatinya!
- Ayat 28- {Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad),}- ulama\’ menyatakan dengan sebab taqwa Allah s.w.t akan berikan tiga kelebihan-Nya kepada hamba-Nya:
i- Allah berikan dua bahagian rahmat-Nya. Atau gandakan dengan mendapat dua pahala.
ii- cahaya untuk berjalan dalam kegelapan iaitu pahala petunjuk di dunia mendapat hidayah & kebenaran. Juga cahaya- pahala balasan nikmat di akhirat.
iii- Allah s.w.t akan hapus dan ampunkan dosa-dosa mereka.
Sebuah syair dari Imam asy-Syafei yang mengadu kepada gurunya Waki\’ tentang susahnya untuk menghafal pelajarannya.
Maka gurunya memberi nasihat untuk:
Bertaqwalah kepada Allah s.w.t, tinggalkan maksiat;
Maka Allah s.w.t akan berikan ilmu dan kefahaman kepadamu.
Macamana Allah s.w.t gandakan pahala untuk umat ini yang pendek umur dan masanya supaya dapat mengatasi umat terdahulu yang lebih panjang umurnya.
Jawapan: Kerana umat ini adalah umat terbaik yang dikeluarkan dari kalangan manusia, maka diberi pahala gandaan pahala yang begitu besar bagi beberapa amalan ibadat seperti:
i- malam Lailatul-Qadar.
ii- puasa hari Arafah.
iii- puasa pada hari 10 Muharram dan lain-lain.
- Ayat 29- {(Ditetapkan pemberian yang demikian kepada kamu) supaya golongan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani – yang menentang Islam) mengetahui,}- ayat ini menunjukkan kebijaksanaan Allah s.w.t! Allah s.w.t Maha Bijaksana- Dia tidak akan membuat sesuatu tanpa faedah, tanpa kebaikan dan hikmahnya. Setiap sesuatu Allah buat itu ada peranan dan fungsinya hatta syaitan!
Allah s.w.t juga pesan agar jangan ikut perangai yahudi & Nasrani yang keras hati serta telah menyeleweng.
Maka ikutlah Sunnah Nabi s.a.w bukan ikut perangai yahudi yang putar belit kitab mereka dan Nasrani yang seleweng ajaran dan mereka-reka ibadat.
Marilah kita letakkan keazaman untuk mengamalkan Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih, mengikut ajarannya dan menyebarkannya.
Alhamdulillah pagi ini khatamlah kita surah al-Hadid yang banyak mengajar, memberi ilmu dan peringatan kepada kita.
Ya Allah anugerahkan kepada kepada kami cahaya keimanan yang dapat memandu kami di dunia ini serta cahaya di akhirat yang dapat pula menyuluh perjalan kami dalam kegelapan azab untuk menuju kepada syurga-Mu.
Jauhilah kami dari terpengaruh, terjebak mengikut ajaran yang tidak benar.
Hari ini hari Jumaat, jangan lupa:
i- baca surah al-Kahfi
ii- perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w