View Categories

SURAH AL-HADID : MUQADDIMAH

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH ANTARA SURAH & KELEBIHAN SURAH.

Full video : https://youtu.be/_Vane78N5T8

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Khamis 22 R. Thani 1444H bersamaan 17hb November 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Hadid – سورة الحديد.
  2. Surah Al-Hadid adalah surah ke-57 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Al-Waqi\’ah – سورة الواقعة, akhir juz ke 27, mengandungi 29 ayat yang pendek-pendek.
  3. Ia termasuk dalam kumpulan surah Mufassal (المفصل), iaitu surah yang pendek-pendek.
  4. Tentang turun di mana surah ini terdapat beberapa pandangan:
    i- Majoriti para ulama\’ tafsir (ittifaq\’ ulama\’) mengatakan surah ini Madaniyyah, yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

ii- Ada juga ulama\’ kata ia Makkiyyah kecuali dari ayat 16 sehingga ayat 25 adalah Madaniyyah.

iii- Ibnu Asyur rhm. membuat kajian untuk menghimpunkan dua pendapat ini: Permulaan ayat ini adalah Makkiyatun (1-9), manakala selepas daripada itu adalah turun di Madinah dikesan kerana ada ayat-ayat yang menceritakan golongan munafiq.

iv- yakni majoriti ayatnya Madaniyyun kecuali dicelah-celahnya ada ayat yang turun di Makkah (Makkiyyah).

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Hadid – سورة الحديد, yang bererti Besi. Kerana Allah s.w.t telah menegaskan pada ayat ke-25 bahawa Dia telah menciptakan besi dalam keadaan mengandungi kekuatan yang handal & pelbagai faedah untuk manusia.
    Dijadikan besi itu bersifat sedemikian supaya manusia menggunakan faedahnya dalam kehidupan seharian mereka.

ii- Juga supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang menggunakan kekuatan handal itu untuk berjuang mempertahankan dan menegakkan agama Allah & menolong Rasul-Nya dengan kekuatannya.
Dia berjuang walaupun tidak nampak balasan baik yang akan diterimanya. Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Kuat lagi Maha berkuasa.

  1. Kata Ibnu Asyur rhm.:
    i- Nama surah ini al-Hadid kerana Allah sebutnya dalam surah ke-25, iaitu (وَأَنزَلْنَا ٱلْحَدِيدَ- dan kami telah menciptakan besi).
    Lafaz besi (ٱلْحَدِيدَ) ini sudah ada dalam surah al-Kahfi- ayat ke-96. Ia lebih awal turun daripada surah al-Hadid ini.
    Jadi kenapa Alllah s.w.t tidak namakannya surah al-Hadid?

Jawapan: Kerana isu yang lebih besar, masyhur dan utama dalam surah al-Kahfi adalah tentang kisah Ashabul-Kahfi, maka difokuskan kepadanya. Besi hanya disebut secara spontan dan sekali lalu itu sahaja.

ii- Manakala dalam surah ini banyak disebut cerita tentang besi, penggunaannya, kekuatannya & faedahnya kepada manusia. Besi juga untuk Allah kenal siapakah antara hamba-Nya yang betul-betul berjuang secara ghaib kepada Allah & Rasul-Nya.
Maka ia dipilih untuk dinamakan surah al-Hadid walaupun perkataan besi ini sudah pernah disebut dalam surah lain sebelum ini.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Membentangkan ajaran-ajaran yang mengarahkan umat Islam agar membuktikan imannya & berkorban dengan segala-galanya pada jalan Allah. Iaitu Allah perintah untuk beriman kepada Allah & Rasul-Nya serta membelanjakan hartanya yang dikurniakan Allah pada jalan kebajikan.
  2. Kemudian ditegaskan bahawa Allah-lah yang menurunkan kepada hamba-Nya yakni Nabi Muhammad s.a.w keterangan al-Quran yang terang nyata; kerana Allah mahu keluarkan kamu daripada gelap-gelita kekufuran kepada cahaya iman yang terang-benderang.
  3. Setelah itu, Allah s.w.t menujukan firman-Nya kepada sebahagian orang Islam yang tidak begitu bersungguh-sungguh menjalankan perintah Allah s.w.t!
    Apabila kita lemah dalam iman atau ibadat; kita kena cari punca untuk menguatkan balik semangat perjuangan fi-sabilillah. Iaitu dengan perintah Allah s.w.t supaya kita berfikir dengan ayat ini.
  4. Belum sampaikah lagi masanya bagi orang beriman untuk khusyuk hatinya mematuhi peringatai dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran al-Quran yang diturunkan kepada mereka dan janganlah menjadi seperti orang yang telah diberi kitab sebelum mereka iaitu yahudi & Nasrani.
    Setelah melalui waktu yang panjang, hati mereka menjadi keras dan kebanyakan dari mereka adalah orang yang fasiq derhaka! Mula-mula semangat tinggi; lama-lama makin lemah.
  5. Kemudian Allah s.w.t menegaskan bahawa tidak ada sesuatu kesusahan atau bala bencana yang menimpa diri kamu atau di bumi ini melainkan telah ada dalam Kitab pengetahuan Allah s.w.t sebelum menjadikannya iaitu di Lauh Mahfuz.
    Semua itu adalah mudah bagi Allah s.w.t.
    Kamu diberitahu tentang itu supaya kamu tidak berdukacita dengan apa yang telah luput dari kamu serta tidak pula bergembira secara sombong & berbangga secara berlebihan.
    Dan ingatlah Allah s.w.t tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur & membanggakan diri.

OBJEKTIF/MAQASID SURAH (TAFSIR AL-MUHARRAR) :

  1. Allah sebut dalam ayat ini tanda-tanda zahir akan kekuasaan Allah & sifat-sifat Allah Azza wa Jalla yang Maha Indah & Maha Tinggi.
  2. Allah s.w.t mengajak orang mukmin agar berpegang teguh dengan ajaran agama ini. Kukuh & mantap keimanannya seperti kuatnya besi al-Hadid dan tidak mudah goyah

TAJUK-TAJUK SURAH :

  1. Allah buka surah ini dengan menyatakan bahawa semua makhluk bertasbih memuji Allah s.w.t dengan menyebut sebahagian nama-nama-Nya yang indah & sifat-Nya yang Maha Tinggi.
  2. Allah s.w.t sebut sebahagian daripada tanda-tanda zahir kekuasaan Allah, luasnya kuasa Allah dan lengkapnya pentadbiran Allah Azza wa Jalla.
  3. Ayat ini juga menggalak & mengguatkan semangat orang mukmin agar tetap teguh pendirian atas keimanan mereka serta perbanyakkan infaq & nafkah fi-sabilillah.
  4. Allah juga menyatakan betapa eloknya akhir kesudahan perjalanan orang mukmin & mukminat, mereka akan dibawa ke syurga.
    Serta bagaimana sebalik- buruknya akhir kesudahan orang munafiq serta apa yang terjadi antara dua kumpulan itu: pertembungan, perdebatan & perlawanan!
  5. Menggalakkan orang mukmin supaya sentiasa khusyuk, tunduk dan takut kepada Allah s.w.t. Juga memberi amaran kepada orang muslimin agar jangan terjebak dengan sebab-sebab yang boleh menjadikan hati kita keras sebagaimana ditimpa atas golongan ahli kitab yang terdahulu!
  6. Allah s.w.t sebut pahala orang yang besedekah, seolah memberi hutang kepada Allah s.w.t. Pahalanya pasti akan dibayar oleh Allah s.w.t!
  7. Allah s.w.t mahu nyatakan perjalanan hidup di dunia & seruan supaya mengutamakan persiapan untuk kehidupan yang abadi berbanding dengan kesenangan dunia yang sementara ini. Mengutamakan yang kekal daripada yang fana\’ iaitu dunia.
  8. Untuk menetapkan bahawa setiap sesuatu, semua benda itu berlaku dengan taqdir & ketetapan (القضاء و القدر) dari Allah Azza wa Jalla.
  9. Menjelaskan bahawa risalah yang datang dari langit (dari Allah) ini adalah satu sahaja iaitu TAUHID kepada Allah s.w.t. mereka mungkin berbeza dari segi cabang tetapi dalam usulnya adalah sama & satu.

Allah nyatakan juga hikmah kenapa diutuskan rasul dan diturunkan kitab-kitab.

MUNASABAH SURAH AL-HADID – سورة الحديد DENGAN SURAH AL-WAQI\’AH – سورة الواقعة SEBELUMNYA :

  1. Diakhir surah al-Waqiah dengan perintah untuk mensucikan (فَسَبِّحْ) Allah s.w.t yang maha Agung. {Oleh itu, bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar.}

Manakala surah ini dimulakan terus dengan amali iaitu: (سَبَّحَ لِلَّهِ) – {Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}
Yakni disana arah, disuruh lalu terus dibuat dan diamal di sini!

2- Surah al-Hadid ini menjadi sebab kepada apa yang Allah s.w.t perintahkan dalam surah al-Waqiah tentang bertasbih. Seolah begini susunannya;

i- arahan dalam surah al-Waqiah: {Oleh itu, bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar.} Allah menyeru wahai seluruh manusia bertasbihlah kamu kepada Allah s.w.t.

ii- kemudian dinyatakan dalam surah al-Hadid bahawa {Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} bahawa semua makhluk atas dunia ini telahpun bertasbih kepada Allah.
Maka jika kamu manusia, ada yang tidak mahu bertasbih maka dia adalah makhluk yang tidak cerdik, malang dan kerugian!

KELEBIHAN FADHILAT SURAH AL-HADID – سورة الحديد :

  1. Ia adalah di antara tujuh surah yang dimulai dengan tasbih kepada Allah s.w.t.

(المسبحات السبع) ﻫﻲ ﺍﻟﺴﻮﺭ ﺍﻟﺘﻲ ﺗﺒﺪﺃ ﺑﺘﺴﺒﻴﺢ ﺍﻟﻠﻪ ﻭﻫﻲ: الإسراء وﺍﻟﺤﺪﻳﺪ ﻭﺍﻟﺤﺸﺮ ﻭﺍﻟﺼﻒ ﻭﺍﻟﺠﻤﻌﺔ ﻭﺍﻟﺘﻐﺎﺑﻦ ﻭﺍﻷﻋﻠﻰ

Iaitu surah al-Isra\’, al-Hadid, al-Hasyr, as-Sof, al-Jumu\’ah, at-Taghabun & al-A\’la.
Ianya di mulai dengan perkataan berikut: { سبَّح أو سبحان أو يسبِّحُ أو سبِّح }.

  1. Tidak terdapat hadis-hadis yang khusus yang menyebut tentang bacaan surah al-Hadid ini kecuali hadis al-Irbad ini:
    وقد وردَ في الحديث عن العرباض بن سارية -رضي الله عنه- في فضل هذه السور: \”أنَّ النبيَّ -صلى الله عليه وسلم- كانَ يقرأُ المسبِّحات قبلَ أنْ يَرقدَ، وقالَ: إنَّ فيهِنَّ آيَةً أفضلَ منْ ألفِ آية\”.

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi s.a.w membaca surah-surah musabbihat ini sebelum Baginda tidur. Ada dalam surah ini satu ayat yang lebih afdhal daripada seribu ayat lain! [HR Imam Ahmad, Daud & at-Tirmizi].

Ulama\’ berbeza pendapat tentang sanad hadis ini. Ulama\’ yang mentahqiq mengatakan sanadnya dhaif.

  1. Penyusun kitab ini berkata: Kebanyakan hadis-hadis tentang kelebihan surah ini adalah dhaif sanadnya! Yakni kita tidak boleh berpegang dengannya sebagai satu pegangan yang kuat.
  2. Diriwayatkan dari Imam Ibnu Kathir rm bahawa dia berkata:
    ووردَ عن الإمام ابن كثير أنَّه قال: إنَّ هذه الآيةَ هي: {هو الأوَّل والآخرُ والظاهرُ والباطنُ وهوَ بكلِّ شيءٍ علِيم}، إلا أنَ القول الراجح أنَّها آية التسبيح التي بدأت بها كل سورة من المسبحات.

Insya\’Allah kita akan mulakan ayat yang pertama surah ini dalam siri yang akan datang.

Powered by BetterDocs