View Categories

SURAH AL-HAJJ : AYAT 19-25

\"\"

DUA KUMPULAN YANG BERBANTAH TENTANG ALLAH, KAFIR YANG MENYEKAT DARI MASUK MASJIDIL HARAM & LARANGAN ILHAD DI TANAH HARAM.

Full video: https://youtu.be/6rYpMLHc7Ls

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas telah disebut dan dijelaskan tentang 6 golongan manusia.
  2. 1 kumpulan yang teguh beriman kepada Allah s.w.t, manakala 5 lagi adalah yang lari dari landasan Syariah.
  3. Maka ramailah mereka yang kena azab kerana tidak mahu beriman dan tunduk kepada Allah s.w.t, الله المستعان
  4. Kali ini diceritakan pula tentang pertembungan yang berlaku antara kumpulan yang beriman dan kumpulan kafir serta balasan bagi keduanya di akhirat nanti.

AYAT 19- {INILAH DUA GOLONGAN (MUKMIN DAN KAFIR) YANG BERBANTAH-BANTAHAN TENTANG TUHAN MEREKA. MAKA ORANG-ORANG YANG KAFIR AKAN DISEDIAKAN UNTUK MEREKA PAKAIAN DARI API NERAKA, SERTA DICURAHKAN ATAS KEPALA MEREKA AIR PANAS YANG MENGGELEGAK,} (AL-HAJJ 22:19)

  1. Inilah dua golongan yang berlawanan (mukmin dan kafir) sebagaimana yang disebut dalam ayat 16 & 17 yang lepas.
  2. Mereka ini berbantah-bantahan tentang tuhan, bagi kita orang mukmin pastilah Tauhid kepada Allah s.w.t yang Esa, manakala bagi mereka adalah syirik menyembah tuhan yang direka-reka.
  3. Sabab nuzul ayat ini:
    i- Ada yang mengatakan bahawa kaum muslim bertengkar dengan kaum Ahli Kitab. Ahli Kitab mengatakan, \”Nabi kami sebelum nabi kalian, dan kitab kami sebelum kitab kalian, maka kami lebih utama kepada Allah daripada kalian.\” Kaum muslim berkata, \”Kitab kami memutuskan terhadap kitab kalian semuanya, nabi kami adalah penutup para nabi, maka kami lebih utama kepada Allah daripada kalian.\”
    Kemudian Allah memenangkan agama Islam atas semua agama yang menentangnya. Dan Allah menurunkan firman-Nya ini.
    ii- Ada yang mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan orang-orang yang bertempur satu lawan satu dalam Perang Badar, iaitu Ali, Hamzah, dan Ubaidah bin Haris dari satu pihak; sedangkan dari pihak lain (kafir) ialah Syaibah ibnu Rabi\’ah, \’Utbah ibnu Rabi\’ah, dan Al Walid ibnu Atabah. Lalu semua kafir ini kalah dan terbunuh.
  4. Apapun sebab nuzulnya, Allah s.w.t menegaskan hukumannya bahawa orang-orang yang kafir kelak akan disediakan untuk mereka pakaian dari api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak.
    والعياذ بالله

AYAT 20- {YANG DENGANNYA DIHANCURKAN APA YANG ADA DALAM PERUT MEREKA, DAN JUGA KULIT BADAN MEREKA.} (AL-HAJJ 22:20)

  1. Apabila disiramkannya ke atas kepala mereka, maka hancurluluhlah segala isi perut mereka, seperti daging, lemak, usus dan sebagainya, dan terbakarlah kulit mereka, kerana sangat panas sekali. Semuanya jatuh berguguran.
  2. Nabi s.a.w. bersabda, \”Sesungguhnya air yang sangat panas benar-benar dituangkan di atas kepala mereka, lalu air panas itu menembus tempurung kepala mereka dan menembus sampai ke perutnya sehingga hancur luluhlah semua isi perutnya, lalu terus menembus sampai kepada kedua telapak kakinya; hamim itu adalah logam yang dilebur. Kemudian diulangi lagi seperti semula.\”

AYAT 21- {DAN MEREKA PULA DISEDIAKAN BATANG-BATANG BESI UNTUK MENYEKSA MEREKA.} (AL-HAJJ 22:21)

  1. Disediakan juga sebagai azab untuk mereka batang-batang dari besi yang digunakan untuk memukul mereka, sehingga setiap anggota tubuhnya bercerai berai.
    Ya Allah betapa siksanya, selamatkanlah kami dari azab neraka-Mu.
  2. Rasulullah s.a.w bersabda,

مَنْ سَأَلَ اللَّهَ الْجَنَّةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، قَالَتِ الْجَنَّةُ: اللَّهُمَّ أَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَمَنْ اسْتَجَارَ مِنَ النَّارِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ،
قَالَتِ النَّارُ: اللَّهُمَّ أَجِرْهُ مِنَ النَّارِ
Ertinya: Siapa yang meminta syurga 3 kali, maka syurga akan berkata: \’Ya Allah, masukkanlah dia ke dalam syurga.\’ Dan siapa yang memohon perlindungan dari neraka 3 kali, maka neraka akan berkata: \’Ya Allah, lindungi lah dia dari neraka.\” [HR Ahmad, Nasaei dan lain-lain.].

AYAT 22- {TIAP-TIAP KALI MEREKA HENDAK KELUAR DARI NERAKA ITU, DISEBABKAN MEREKA MENDERITA AZABNYA, MEREKA DIKEMBALIKAN PADANYA, SERTA DIKATAKAN: \”RASALAH KAMU AZAB SEKSA YANG MEMBAKAR!\”} (AL-HAJJ 22:22)

  1. Mereka pastilah cuba lari dari azab yang dahsyat itu, tetapi mereka akan dikembalikan semula.
  2. Bahkan malaikat berkata kepada mereka menambahkan lagi kedahsyatan itu: \”Rasalah kamu azab seksa yang membakar!\”}
  3. Dalam ayat 20,21 dan 22 ini Allah s.w.t menggambarkan dan menyatakan azab-azab di dalam neraka dengan cara agak terperinci.
  4. Selepas ini akan diceritakan pula balasan bagi golongan yang beriman.

AYAT 23- {SESUNGGUHNYA ALLAH AKAN MEMASUKKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH KE DALAM SYURGA YANG MENGALIR PADANYA BEBERAPA SUNGAI; MEREKA DIHIASKAN DI SITU DENGAN GELANG-GELANG EMAS DAN MUTIARA, DAN PAKAIAN MEREKA DI SITU DARI SUTERA.} (AL-HAJJ 22:23)

  1. Ayat ini pula menceritakan balasan kepada golongan yang beriman dan beramal soleh.
  2. Ini syarat yang telah banyak kali diulang; beriman dan beramal soleh.
  3. Syarat amal soleh pula: Ikhlas kepada Allah s.w.t dan ikut ajaran Nabi s.a.w.
  4. Balasannya mereka akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh nikmat dan indah:
    i- mereka dihiaskan dengan gelang-gelang emas dan mutiara,
    ii- dan pakaian mereka dari sutera.
  5. Hadis Rasulullah s.a.w:
    i- Nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Huzaifah:
    نَهَانَا رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم عَن لبس الْحَرِير والديباج وَأَن نجلس عَلَيْهِ
    Maksudnya: \”Nabi S.A.W melarang kita daripada memakai sutera dan dibaj (sejenis sutera) serta duduk di atasnya.\” [Riwayat al-Bukhari (5837) dan Muslim (2067)].
    ii- Sabda Nabi S.A.W:
    أَنَّهُ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – أَخَذَ فِي يَمِينِهِ قِطْعَةَ حَرِيرٍ وَفِي شِمَالِهِ قِطْعَةَ ذَهَبٍ وَقَالَ
    هَذَانِ حَرَامٌ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي حِلٌّ لِإِنَاثِهِمْ

Maksudnya: \”Nabi Muhammad S.A.W mengambil sutera dan dipegangnya dengan tangan kanan. Lalu baginda mengambil emas dan dipegangnya dengan tangan kiri. Kemudian baginda bersabda, \”Kedua-duanya ini (sutera dan emas) haram untuk kaum lelaki dalam kalangan umatku, dan halal untuk kaum wanitanya\”. Riwayat Ahmad (3/255); Al-Bukhari (2921); Muslim (2076)
iii- Sabda Nabi SAW (bermaksud):
\”Jangan kamu minum dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan dalam pinggan dari keduanya kerana sesungguhnya ia untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia dan untuk kamu di akhirat\” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Huzaifah r.a.)

  1. PERINGATAN:
  2. Emas dn perak – haram untuk diguna sebagai bekas dan peralatan oleh semua orang Islam- lelaki dan perempuan. (bekas pinggan-mangkuk, gelas, pen dan lain-lain.)
  3. Tetapi wanita boleh pakai emas dan perak sebagai perhiasan. Lelaki haram pakai emas sebagai perhiasan tetapi perak harus.
  4. Sutera -halal bagi Wanita, HARAM bagi lelaki, pakaian atau sebagai pelapik cadar pun.

AYAT 24- {DAN MEREKA DIBERI PETUNJUK KEPADA MENGUCAPKAN KATA-KATA YANG BAIK, SERTA DIBERI PETUNJUK KE JALAN ALLAH YANG AMAT TERPUJI.} (AL-HAJJ 22:24)

  1. Orang yang baik akan diberi petunjuk untuk mengucapkan kata-kata yang baik, lidah yang sentiasa berzikir dan memberi nasihat peringatan yang indah dan lain-lain.
  2. Mereka juga akan diberi petunjuk ke jalan Allah Yang Amat Terpuji, iaitu syurga.
  3. Senjata/tanda orang yang tidak baik adalah perkataannya yang buruk.

AYAT 25- {SESUNGGUHNYA (AMATLAH ZALIM) ORANG-ORANG YANG KAFIR SERTA MENGHALANGI MANUSIA DARI JALAN ALLAH (AGAMA ISLAM), DAN DARI MEMASUKI MASJID AL-HARAAM (MAKKAH) YANG KAMI JADIKAN DIA TEMPAT BERIBADAT UNTUK SELURUH UMAT MANUSIA (YANG BERIMAN) – SAMA ADA YANG TINGGAL MENETAP DI SITU ATAU YANG DATANG BERZIARAH; DAN SESIAPA YANG BERAZAM MELAKUKAN DI SITU SEBARANG PERBUATAN YANG DI LARANG DENGAN CARA YANG ZALIM, KAMI AKAN MERASAKANNYA AZAB YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AL-HAJJ 22:25)

  1. Orang kafir yang cuba menyekat kaum muslimin dari agama Allah dan memasuki Tanah Haram Makkah adalah orang yang sangat zalim.
  2. Jika disebut Masjid Al-Haram bermaksud Tanah Haram Makkah keseluruhannya.
  3. Kisah tentang ayat ini dan perincian tentang Makkah boleh baca buku: Makkah: Kelebihan Dan Sejarah.
    http://www.dartaibah.com/…
  4. Masjid Al-Haram dan Tanah Haram Makkah telah Allah s.w.t jadikan sebagai tempat beribadat untuk seluruh umat manusia yang beriman – samada untuk penduduknya yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah dari luar.
  5. Amaran keras dan ancaman kepada kaum kafir musyrik Makkah yang sedang menguasai Makkah pada masa itu daripada melakukan kejahatan terhadap Rasulullah dan rombongannya. Ini kerana dengan ajaran syaitan mereka berniat nak serang rombongan Rasulullah ketika mereka sedang tawaf.
  6. Kisahnya di mana mereka telah menyekat Rasulullah s.a.w dan rombongannya yang telah sampai ke Hudaibiyah pada Tahun ke 6 H. Selepas berunding mereka benarkan datang semula pada tahun berikutnya. Lalu Rasulullah s.a.w akur dan berjaya memasuki Makkah dan melakukan umrah, itupun bersyarat hanya selama 3 hari dan tanpa bawa senjata kecuali pedang yang bersarung. Ketika inilah mereka berniat jahat.
  7. Pada tahun ke 8H, Rasulullah s.a.w berjaya menguasai kota Makkah, inilah yang dinamakan Pembukaan (Fathu) Kota Makkah.
  8. Cerita lengkap boleh baca buku Makkah tadi atau dengar Kuliah DDAAM dalam siri Rehlah Haji.
  9. Amaran ini juga untuk semua mereka yang berazam atau berniat melakukan sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, (ilhad) di Tanah Haram Makkah. Allah s.w.t akan menganakan azab yang tidak terperi sakitnya.
  10. Perbezaan antara Tanah Haram Makkah dengan tanah halal:
    i- di Makkah- Jika berniat jahat sahaja sudah akan dapat dosa.
    ii- di tanah halal- jika niat saja, tidak terus dapat dosa, bahkan jika dibatalkan dapat pahala pula.
    iii- Hadis Rasulullah s.a.w: Daripada Ibn Abbas RAnhuma, daripada Nabi ASW, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Tuhannya telah berfirman:
    إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ، وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً
    Maksudnya: \”Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan.\” [HR al-Bukhari, no. 6491].
    iv- Sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
    إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَتَكَلَّمْ
    Maksudnya: \”Sesungguhnya Allah memaafkan umatku ke atas apa yang terlintas di dalam dirinya selama dia tidak melakukannya atau bercakap tentangnya.\” [HR al-Bukhari, no. 5269].

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs