MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, KEADAAN HARI KIAMAT & KEBINASAAN KAUM \’AD DAN THAMUD.
Full video : https://youtu.be/qTU4qiELyR4
MUQADDIMAH SURAH :
- Alhamdulillah pada pagi ini, Isnin 22 Rajab 1444H bersamaan 13hb Februari 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Haaqqah- سورة الحاقة.
- Syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
- Surah Al-Haaqqah adalah surah ke-69 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Surah Al-Qalam – سورة القلم – surah yang ketiga dalam juz ke 29, mengandungi 52 ayat.
- Surah ini turun di Makkah dan ramai ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan bahawa surah ini adalah surah Makkiyyah, yang turun di Makkah sebelum hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah.
- Surah ini menceritakan tentang keadaan huru-hara hari Kiamat yang tetap akan berlaku. Serta peringatan kepada kita tentang kebinasaan orang terdahulu yang telah ditimpakan Kiamat kecil atau peribadi terhadap mereka.
NAMA SURAH :
- Dinamakan surah ini sebagai :
i- Surah Al-Haaqqah- سورة الحاقة yang bermakna {Saat Yang Pasti Berlaku} iaitu salah satu nama Hari Kiamat. Kerana pada awal surah ini dan ayat-ayat selepasnya Allah s.w.t sebut {الحاقة }- – Allah s.w.t tentang menegaskan bahawa akan berlaku hari Kiamat tanpa syak lagi.
ii- Allah s.w.t mengulang tentangnya sebanyak tiga kali menunjukkan akan kepentingan dan betapa besarnya kejadian hari Kiamat itu.
INTISARI KANDUNGANNYA :
- Menceritakan tentang penduduk dunia dari pelbagai kaum dan bangsa. Ada yang dibinasakan pada zaman silam dengan sebab mereka kufur ingkar. Lalu diceritakan panjang lebar tentang kejadian-kejadian yang akan berlaku bila tiba hari Kiamat dan peristiwa yang terjadi di Akhirat kelak.
- Sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Pada hari itu, kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal); tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi (kepada Allah) dari perkara-perkara kamu yang tersembunyi.} - Maka sesiapa yang diberikan kitab amalnya dengan tangan kanannya maka akan bahagialah dia dan menikmati hidup bersenang-lenang dalam syurga yang tinggi darjatnya.
Ya Allah jadikan kami semua daripada mereka yang menerima surat amalan dengan tangan kanannya. - Sebaliknya sesiapa yang menerima kitab amalan dengan tangan kirinya maka akan menyesal sambil meratapi nasibnya dan akan diseret ke dalam azab yang tidak terperi sengsaranya. Na\’uzubillah.
- Surah ini diakhiri dengan memberi penegasan tentang kebenaran al-Quran yang menjadi peringatan kepada orang yang bertaqwa kerana hanya orang yang bertaqwa sahaja yang akan memperolehi manfaat dari peringatan dan hidayah petunjuk dari al-Quran itu. Ini disebabkan dengan iman & taqwa mereka, manakala orang yang kufur adalah sebaliknya!
MUNASABAH SURAH AL-HAAQQAH INI DENGAN SURAH AL-QALAM SEBELUMNYA :
- Dalam Surah al-Qalam Allah s.w.t hanya sebut tentang cerita hari Kiamat secara ringkas dengan menyebut bahawa ia adalah satu hari yang penuh kedahsyatan dan huru-hara dalam ayat 42:
{ يَوْمَ يُكْشَفُ عَن سَاقٍۢ}.
ii- dalam surah ini Allah s.w.t gambarkan pula peristiwa hari Kiamat yang besar dalam 3 ayat pertamanya. Kemudian disyarahkan lagi tentang Kiamat dalam ayat-ayat berikutnya.
- Dalam surah al-Qalam Allah bagi ancaman kepada orang yang mendustakan al-Quran bahawa Allah akan tarik mereka ke dalam kebinasaan sedikit demi sedikit dari arah yang mereka tidak sangka iaitu dalam ayat 44:
{ فَذَرْنِى وَمَن يُكَذِّبُ بِهَـٰذَا ٱلْحَدِيثِ ۖ سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ}.
ii- dalam surah ini Allah s.w.t menyebut satu-persatu umat terdahulu yang dibinasakan kerana mereka kufur & mendustakan rasul yang diutuskan kepada mereka; sebagai pengajaran dan iktibar untuk orang semasa.
MAQASID/OBJEKTIF SURAH :
- Antara objektifnya ialah Allah s.w.t gambarkan dan ceritakan tentang hari Kiamat dan keadaan (أحوال) manusia pada waktu itu.
- Menegakkan dalil akan kebenaran dakwah Rasulullah s.a.w dan bahawa al-Quran ini datang dari sisi Allah Azza wa Jalla, bukan direka oleh Baginda s.a.w.
ISU PENTING DALAM SURAH :
- Allah mulakan surah ini dengan menampakkan gambaran hari Kiamat dan membesarkannya agar kita terasa takut dan sentiasa berhati-hati.
- Memperingatkan tentang apa yang telah berlaku ke atas umat terdahulu yang tidak percaya & mendustakan hari Kiamat dan apa yang telah berlaku kepada mereka.
- Allah gambarakan huru-hara (أهوال) hari Kiamat dan keadaan orang yang bahagia dari kalangan yang menerima suratan amalan dengan tangan kanan DAN keadaan orang yang celaka yang menerima suratan amalan dengan tangan kiri.
- Allah cerita tentang kedudukan al-Quran bahawa ia turun dari sisi Allah s.w.t bukan rekaan Nabi s.a.w. Maka benarlah Rasulullah s.a.w dengan apa yang disampaikannya dari Tuhanya melalui risalah dan al-Quran yang turun kepadanya.
- Allah s.w.t nyatakan bahawa al-Quran ini adalah satu peringatan bagi orang mukmin dan satu kerugian besar bagi orang kafir.
- Diakhiri surah ini dengan arahan supaya sentiasa bertasbih kepada Allah Azza wa Jalla.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
AYAT 1- {SAAT YANG TETAP BERLAKU ITU.} (AL-HAAQQAH 69:1)
- Saat yang tetap dan pasti berlaku iaitu Hari Kiamat di mana akan terdedah segala rahsia dan terlaksanalah segala janji baik (الوعد) Allah s.w.t terhadap orang beriman dan janji ancaman (الوعيد) bagi orang yang derhaka!
- Kata ulama\’ makna { ٱلْحَآقَّة} ini ialah:
i- saat yang pasti akan berlaku, tidak boleh lari & elak lagi.
ii- kata ath-Tha\’labi rhm.- ulama\’ bahasa: Kerana hari itu pasti terjadi dan tiada siapa akan membohonginya.
iii- Akan terjadi segala yang dijanjikan oleh Allah s.w.t yang baik dan buruk. Terlaksanalah juga pada hari itu hukuman mengikut amalan masing-masing.
iv- hari yang dikatakan bohong oleh puak kafir.
- Yang penting { ٱلْحَآقَّة} ini ialah salah satu nama bagi hari Kiamat.
AYAT 2- {APAKAH DIA SIFAT DAN KEADAAN SAAT YANG TETAP BERLAKU ITU?} (AL-HAAQQAH 69:2)
- Bagaimana pula sifat & keadaan hari itu? Allah tanya pula untuk menerangkan keadaan dan kedudukan hari Kiamat yang amat besar dan penting itu.
AYAT 3- {DAN APA JALANNYA ENGKAU DAPAT MENGETAHUI TENTANG SIFAT DAN KEADAAN SAAT YANG TETAP BERLAKU ITU? (SAAT ITU IALAH HARI KIAMAT).} (AL-HAAQQAH 69:3)
- Allah ulang tanya lagi, apakah kamu tahu tentang sifat & keadaan saat itu iaitu hari Kiamat yang pasti akan berlaku???
- Kata ulama\’ tadabbur yang memerhati:
i- Apabila Allah s.w.t tanya sesuatu dengan uslub (وَمَآ أَدْرَىٰكَ) – apa yang kamu tahu tentang..?
Allah s.w.t akan jawab dan beri penjelasan tentangnya. Kerana ia biasanya adalah sesuatu yang manusia tidak tahu tentangnya.
ii- tetapi jika ditanya dengan uslub ini (مَا يُدۡرِيكَ)- apa yang kamu tahu tentang..?
Ia adalah pertanyaan untuk kita fikirkan atau cari sendiri jawapannya. Tidak diberitahu jawapannya biasanya. Makna soalan sama tetapi perkataan yang digunakan berbeza.
AYAT 4- {KAUM THAMUD DAN AAD TELAH MENDUSTAKAN HARI (KIAMAT) YANG MENGGEMPAR DAN MENGHARUKAN ITU.} (AL-HAAQQAH 69:4)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t menceritakan tentang orang-orang dahulu yang tidak percaya & telah mendustakan hari Kiamat (ٱلْقَارِعَةِ) yang amat dahsyat itu.
Iaitu disebut di sini Kaum Thamud, kaum Nabi Soleh & Kaum Ad iaitu kaum Nabi Hud. - Munasabah ayat:
i- Allah s.w.t telah sebut tentang Kiamat dan besarkan suasananya supaya kita takut, maka;
ii- Allah s.w.t ceritakan pula tentang mereka yang tidak percaya & mendustakan hari Kiamat. Lihatlah apa yang telah terjadi kepada mereka ini yang tidak beriman kepada Allah.
iii- ini adalah untuk menakutkan ahli Makkah supaya mereka takut dan beringat agar tidak ditimpa nasib seperti mereka.
- Disebut dua kaum ini kerana kaum Quraisy Makkah mengenali & mengetahui kisah mereka dan melihat kesan peninggalan mereka setiap kali rehlah perdagangan musim panas dan musim sejuk mereka ke Yaman dan ke Syam.
- Mereka telah lihat dengan mata kepala mereka sendiri kesan-kesan kebinasaan dua kaum ini. Tetapi mereka tetap keras kepala tidak mahu beriman juga!
AYAT 5- {MAKA (MASING-MASING MENERIMA AZAB DUNIANYA) – ADAPUN THAMUD (KAUM NABI SOLEH), MAKA MEREKA TELAH DIBINASAKAN DENGAN (PETIR) YANG MELAMPAU DAHSYATNYA.} (AL-HAAQQAH 69:5)
- Kaum Thamud ini telah dibinasakan dengan letusan suara petir yang amat dahsyat. Sekali tempikan mereka yang hidup di dalam rumah di dalam bukit-bukit habis mati bergelimpangan!
- Apakah maksudnya {ٱلطَّاغِيَةِ} suara tempikan yang amat dahsyat ini?
Ulama\’ membuat perbincangan panjang tentangnya. - Kata Ibnul Jauzi rhm.ada tiga pendapat tentangnya:
i- dibinasakan dengan suara yang dahsyat kerana kejahatan mereka (taghut).
ii- dengan letusan suara yang cukup dahsyat, pecah telinga terbeliak mata terus mati.
iii- dibinasakan mereka yang jahat itu kerana mereka sembelih unta mukjizat nabi Soleh. Lalu diberi masa tiga hari, maka turunlah azab ke atas mereka.
AYAT 6- {ADAPUN AAD (KAUM NABI HUD), MAKA MEREKA TELAH DIBINASAKAN DENGAN ANGIN RIBUT YANG KENCANG, YANG MELAMPAU KENCANGNYA,} (AL-HAAQQAH 69:6)
- Adapun Kaum Ad, kaum Nabi Hud di sebelah Yaman, mereka dibinasakan dengan angin ribut yang kencang lagi memunsnahkan.
- Munasabah ayat:
i- Allah nyatakan bahawa kaum Thamud dibinasakan dengan tempikan suara yang dahsyat, kerana mereka mendustakan Nabi Soleh & sembelih untanya.
ii- maka diceritakan pula tentang golongan kedua yang binasa iaitu kaum Ad yang dibinasakan dengan ribut kencang.
- Ini untuk menunjukkan bahawa Allah s.w.t maha Berkuasa! Dia mahu membinasakan manusia dia tengok keadaan mereka:
i- Kaum Thamud yang tinggal di dalam bukit yang diukir maka suara yang membinasakan ini sesuai untuk mereka. Jika angin mungkin tidak akan memberi kesan dan tidak menggoyahkan bukit yang menjadi kediaman mereka!
ii- Manakala kaum Ad yang membina dan tinggal dalam bangunan yang tinggi, sesuai dibinasakan dengan angin kencang yang berdesir lebih dahsyat dari ribut & puting berliung. Angin ini meruntuhkan segala bangunan tinggi dan mereka juga musnah kesemuanya!
- Hadis Rasulullah s.a.w: Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
\”Aku diberi pertolongan dengan angin timur, sementara kaum Ad dibinasakan dengan angin barat.\” [HR Bukhari & Muslim].
AYAT 7- {YANG DIARAHKANNYA MENYERANG MEREKA TUJUH MALAM LAPAN HARI TERUS-MENERUS; (KALAULAH ENGKAU MENYAKSIKANNYA) MAKA ENGKAU AKAN MELIHAT KAUM ITU BERGELIMPANGAN MATI, SEOLAH-OLAH MEREKA: BATANG-BATANG POHON KURMA YANG (TUMBANG DAN) LOMPANG.} (AL-HAAQQAH 69:7)
- Allah s.w.t arahkan angin itu untuk menyerang mereka selama tujuh malam lapan hari terus-menerus tanpa henti dan reda. Mereka tidak dapat bergerak dan keluar dari rumah.
- Kemudian jika dapat bayangkan, kamu akan melihat mereka mati bergelimpangan seperti batang tamar yang kosong dan lompong (نَخْلٍ خَاوِيَةٍۢ). Yakni ringan dan mudah terbalik dek rosaknya!
AYAT 8- {DENGAN YANG DEMIKIAN, DAPATKAH ENGKAU MELIHAT LAGI SISA-SISA MEREKA (YANG MASIH HIDUP)? (AL-HAAQQAH 69:8)
- Tamatlah kisah puak mereka itu, mereka musnah binasa, mati semuanya tidak ada baki dari keturunan mereka yang hidup!
- Kita minta perlindungan dengan Allah s.w.t dari menjadi orang yang dimurkai dan dibinasakan-Nya.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 1- {Saat yang tetap berlaku itu.}, Ayat 2- {Apakah dia sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu?} & Ayat 3- {Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu? (Saat itu ialah hari kiamat).}- daripada tiga ayat ini Allah s.w.t bertanya tentang Hari Kiamat dan keadaannya kerana Allah s.w.t mahu menunjukkan kebesaran hari Kiamat dan mahu kita nampak kedahsyatannya.
Maka kita akan berasa gerun, takut dan berhati-hati akannya dengan membuat persediaan dan persiapan untuk menghadapinya!
Bukan takut dan lari darinya tetapi takut dan membuat persediaan.
- Ayat 3- {Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu? (Saat itu ialah hari kiamat).}- kata ulama\’ Sufyan bin Uyainah rhm. berkata: Antara mukjizat dan keindahannya; semua dalam ayat al-Quran:
i- Jika Allah gunakan kalimah (مَا يُدۡرِيكَ)- (apakah kamu mengetahui) memberi isyarat bahawa Allah s.w.t tidak akan jelaskan ceritanya, ayat itu tergantung, kita perlu cari & korek dalam ayat atau surah lain.
ii- jika Allah s.w.t tanya guna kalimah (وَمَآ أَدْرَىٰكَ)- (apakah kamu mengetahui) ini memberi isyarat bahawa Allah s.w.t akan jawab dan jelaskan cerita yang detail tentang perkara itu dalam ayat berdekatan.
Inilah ilmu analisa kepada gaya bahasa (uslub) dalam al-Quran.
- Ayat 4- {Kaum Thamud dan Aad telah mendustakan hari (kiamat) yang menggempar dan mengharukan itu.} – di sini ulama\’ tadabbur mengatakan bahawa jika kita nak buat analogi bandingan kita kena buat bandingan dengan perkara yang yang orang tahu dan boleh faham, yang boleh buat mereka insaf.
Al-Quran ini turun kepada Rasulullah s.a.w yang kaumnya adalah Arab Quraisy Makkah. Kerana itu disebut contoh kaum Ad dan kaum Thamud kerana ia adalah dua kisah yang dikenali dan ketahui oleh kaun Quraisy Makkah.
Perjalanan kafilah perdagangan mereka melalui lokasi kesan kedua kaum yang dimusnahkan!
KATA ULAMA\’ :
Manusia yang bijak ialah yang menjadikan orang lain sebagai pengajaran;
Manusia yang celaka ialah dia yang dijadikan bahan pengajaran!
Peringatan: Jangan puji, buat ikon dan terlalu memuja manusia yang masih hidup kerana ia tidak akan aman dari fitnah.
- Ayat 6- {Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya,}- dalam ayat ini Allah s.w.t katakan; angin {رِيحٍ} yang kencang {صَرْصَرٍ} dan amat kuat keadaannya {عَاتِيَةٍۢ}.
Soalan: Perkataan {رِيحٍ} adalah perempuan (مؤتث) tetapi kenapa perkataan {صَرْصَرٍ} tentang sifat ini bukan lafaz (مؤتث). Tetapi untuk perkataan {عَاتِيَةٍۢ} pula digunakan sifat perempuan?
JAWAPAN ULAMA\’ :
i- Ini kerana {صَرْصَرٍ} adalah satu sifat khas kepada angin, maka tidak perlu lagi dijadikan (مؤتث) (perempuan).
ii- Sama seperti hamil (حامل) atau (حائض) sifat perempuan yang hamil atau haidh, ia sudah menunjukkan perempuan tidak perlu kata (امرأة حاملة) atau (امرأة حائضة) perempuan hamil/haid- cukuplah dengan; (امرأة حامل) & (امرأة حائض).
- Ayat 8- {Dengan yang demikian, dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)? – ini adalah azab yang menyeluruh (total), (عذاب الإستئصال) semua keturunan mereka binasa dan dimusnahkan semuanya.
Kedua kaum Ad & Thamud ini dibinasakan keseluruhan, tiada yang tertinggal, maka terputuslah keturunan mereka dan tiada bakanya. Jika disebutpun dalam al-Quran hanyalah kerana Allah s.w.t mahu menceritakan tentang keburukan mereka! Umat terdahulu ini mati dan musnah dibinasakan di hadapan nabi mereka sendiri keseluruhannya.
Azab datang dan keseluruhan mereka mati, yang tua yang muda yang lemah atau yang kuat, tidak meninggalkan baka keturunan! Walaupun ada kesan-kesan tinggalan kebinasaan mereka, tetapi umatnya tiada.
Ini berbeza dengan umat nabi Muhammad s.a.w. Mereka tidak dibinasakan dalam jumlah yang ramai begitu apatah lagi keseluruhannya di hadapan Baginda s.a.w! Yang paling ramai pernah Rasulullah s.a.w lihat ialah pada hari peperangan Badar, iaitu apabila Allah binasakan Abu Jahal dan geng penjahatnya seramai 70 orang.
Tamatlah 5 faedah untuk ayat-ayat dalam siri pertama ini, Insya\’ Allah kita sambung dalam siri yang seterusnya.