PENERIMA SURAT AMALAN DENGAN TANGAN KIRI, DIBELENGGU DAN DICAMPAK KE NERAKA & SEBAB KECELAKAAN.
Full video : https://youtu.be/SwfMw8tHhtk
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan pula tentang keadaan golongan (Ashabusy-Syimal) { أَصۡحَٰبُ ٱلشِّمَال}, iaitu penerima surat amalan dengan tangan kiri. Na\’uzubillah.
- Mereka bertempik menyesal melihat keputusan hisab amalan mereka itu. Penyesalan yang tiada gunanya lagi.
- Juga bagaimana mereka dibelenggu dan dicampak ke neraka oleh para malaikat yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.
- Kemudian Allah s.w.t nyatakan sebab mereka mendapat azab dan kecelakaan pertamanya adalah kerana mereka dulu tidak beriman kepada Allah s.w.t.
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat lepas Allah s.w.t sebut tentang pembahagian rekod amalan. Manusia terbahagi kepada dua golongan; golongan yang diterima Allah s.w.t iaitu Ashabul-Yamin { أَصۡحَٰبِ ٱلۡيَمِين}.
Allah s.w.t mulakan kepada kita cerita tentang kumpulan yang baik ini sebagai galakan dan semangat untuk kita beramal soleh seperti mereka.
ii- kemudian dalam ayat-ayat ini Allah s.w.t ceritakan pula tentang golongan yang ditolak Allah s.w.t iaitu Ashabusy-Syimal { أَصۡحَٰبُ ٱلشِّمَال}.
Allah sebut keadaan mereka ini sebagai iktibar pengajaran kepada kita agar menjauhkan sifat seperti mereka dan menyelamatkan diri daripada kemurkaan dan azab Allah s.w.t!
AYAT 25- {ADAPUN ORANG YANG DIBERIKAN MENERIMA KITAB AMALNYA DENGAN TANGAN KIRINYA, MAKA IA AKAN BERKATA (DENGAN SESALNYA): \”ALANGKAH BAIKNYA KALAU AKU TIDAK DIBERIKAN KITAB AMALKU, -} (AL-HAAQQAH 69:25)
- Adapun orang yang mendapat kitab amalannya dengan tangan kirinya dia akan berasa takut dan penuh penyesalan!
- Mereka akan berkata lagi dengan penuh kesal dan penyesalan {يَـٰلَيْتَنِى} yang tidak berguna: Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku!
AYAT 26- {\”DAN AKU TIDAK DAPAT MENGETAHUI HITUNGAN AMALKU.} (AL-HAAQQAH 69:26)
- Maka mereka tidak akan mengetahui nasibnya kerana tidak tahu keputusan perhitungan amalannya!
Mereka kira jika tak tahu mereka akan selamat!
AYAT 27- {\”ALANGKAH BAIKNYA KALAU KEMATIANKU DI DUNIA DAHULU, MENJADI KEMATIAN PEMUTUS (YANG MENAMATKAN KESUDAHANKU, TIDAK DIBANGKITKAN LAGI);} (AL-HAAQQAH 69:27)
- Mereka terus meratap lagi dengan penuh penyesalan { يَـٰلَيْتَهَا}: Alangkah baiknya kalau kematian di dunia menjadi pengakhiran dan pemutus bagiku.
- Iaitu tamat episod kehidupannya hanya dengan kematian di dunia, tidak hidup dan tidak dibangkit lagi untuk hisab & perhitungan!
AYAT 28- {\”HARTA KEKAYAANKU TIDAK DAPAT MENOLONGKU SEDIKITPUN; } (AL-HAAQQAH 69:28)
- Segala harta yang ada di dunia dulu tidak akan dapat menolongnya sedikitpun. Bahkan harta itu sesekali tidak akan dapat dibawa bersama ke akhirat.
- Firman Allah s.w.t:
{Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,}. (Asy-Syu\’araa\’ 26:88)
AYAT 29- {KUAT KUASAKU (DAN HUJJAH-HUJJAHKU MEMBELA DIRI), TELAH BINASA DAN HILANG LENYAP DARIKU\”.} (AL-HAAQQAH 69:29)
- Dia juga kehilangan segala pangkat kekuasaannya semasa di dunia dulu!
- Hujjah dan alasannya untuk menyelamatkan diri juga tidak ada lagi!
AYAT 30- {(LALU DIPERINTAHKAN MALAIKAT PENJAGA NERAKA): \”TANGKAPLAH ORANG YANG BERDOSA ITU SERTA BELENGGULAH DIA,} (AL-HAAQQAH 69:30)
- Lalu Allah s.w.t berfirman kepada malaikat agar menangkap dan membelenggu orang yang berdosa itu dengan rantai besi! Yakni ambil si kafir ini dan ikatnya dengan rantai!
- Firman Allah s.w.t juga:
{(Dalam pada itu), sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang.} (Al-Insaan 76:4) - Yakni setelah dia meratap penuh penyesalan itu bermulah episod siri azabnya!
AYAT 31- {\”KEMUDIAN BAKARLAH DIA DI DALAM NERAKA JAHIIM;} (AL-HAAQQAH 69:31)
- Kemudian Allah s.w.t berfirman lagi kepada malaikat agar humbankannya ke dalam neraka Jahim dan bakarlah dia!
AYAT 32- {\”SELAIN DARI ITU, MASUKKANLAH DIA DALAM (LINGKARAN) RANTAI BESI YANG UKURAN PANJANGNYA TUJUH PULUH HASTA, (DENGAN MEMBELITKANNYA KE BADANNYA)!} (AL-HAAQQAH 69:32)
- Selepas itu Allah memerintahkan malaikat agar memasukkan ahli neraka itu ke dalam lingkaran rantai yang panjang!
- Kata Ibnu Jarir rhm.: Rantai itu dicucuk-masukkan ke dalam dubur kemudian keluar melalui mulut!
*Ada kata sebaliknya; masuk melalui mulut keluar melalui dubur. Yakni rantai itu bukan diikat saja tetapi dimasukkan ke dalam tubuhnya! - Panjang rantai pula 70 hasta panjangnya, dibelit sekeliling tubuhnya sehingga tidak dapat bergerak atau berjalan!
- Firman Allah s.w.t\”
{Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka, sambil mereka, diseret. Ke dalam air panas yang menggelegak; kemudian mereka dibakar dalam api neraka;} (Ghaafir 40: 71-72)
AYAT 33- {\”SESUNGGUHNYA DIA DAHULU TIDAK BERIMAN KEPADA ALLAH YANG MAHA BESAR,} (AL-HAAQQAH 69:33)
- Kemudian Allah s.w.t nyatakan sebab mengapa mereka diazab itu!
- Iaitu pertamanya kerana mereka dulu semasa di dunia tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar, Yang Maha Agung Kekuasaan-Nya!
- Lalu mereka berhak menerima azab yang dahsyat ini!
AYAT 34- {\”DAN DIA JUGA TIDAK MENGGALAKKAN (DIRINYA DAN ORANG LAIN) MEMBERI MAKANAN (YANG BERHAK DITERIMA OLEH) ORANG MISKIN.} (AL-HAAQQAH 69:34)
- Kemudian mereka tidak mengeluarkan hak harta dan menghalang orang miskin daripada menerima haknya!
- Iaitu mereka sendiri tidak mengeluarkan zakat yang wajib serta tidak menggalakkan atau menghalang orang lain juga daripada mengeluarkan zakat dan berbuat kebaikan sedekah.
- Kata Ibnu Asyur rhm.: Allah kata mereka tidak menggalakan orang lain memberi makan orang miskin, memberi makna bahawa; dengan hartanya mestilah dia lagi bakhil dan tidak melakukan perbuatan baik itu!
- Untuk keluar dan jauh dari golongan ini maka kita perbanyakkanlah sedekah dan memberi bantuan, jamuan dan memberi makan kepada anak-anak yatim, fakir-miskin dan orang yang memerlukan.
AYAT 35- {\”MAKA PADA HARI INI, TIDAK ADA BAGINYA DI SINI (SEORANGPUN DARI) KAUM KERABAT SERTA SAHABAT HANDAI (YANG DAPAT MENOLONGNYA),} (AL-HAAQQAH 69:35)
- Maka pada hari itu tiada siapa yang dapat menolonganya. Tiada siapa yang dapat menolong siapa pada hari yang begitu gawat itu samada kaum kerabat atau kawan-kawan!
- Firman Allah s.w.t:
{(Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabatpun yang boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya.} (Ghaafir 40:18) - Kata al-Qurtubi rhm.: Maksud { حَمِيمٌۭ} di sini ialah kaum kerabat atau sahabat pandai yang dapat menolongnya! Bukan dengan makna air panas, seperti dalam ayat surah Ghafir tadi.
AYAT 36- {\”DAN TIDAK ADA MAKANAN (BAGINYA) MELAINKAN DARI AIR DANUR,} (AL-HAAQQAH 69:36)
- Tidak ada makanan bagi mereka kecuali air danur { غِسْلِينٍۢ} iaitu air nanah yan bercampur darah kepunyaan sesama ahli neraka yang keluar!
AYAT 37- {\”YANG TIDAK MEMAKANNYA MELAINKAN ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN PERKARA YANG SALAH\”.}
- Yakni makanan neraka ini hanya dimakan oleh mereka yang berdosa dan bersalah dengan sengaja atas dunia ini! Samada golongan kafir & musyrikin atau munafiq!
- Orang yang baik dan tidak melakukan kesalahan sekali-kali tidak akan memakan makanan ini! Na\’uzubillah!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 25- {Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya.}- Allah katakan golongan celaka ini menerima kitab amalan mereka dengan tangan kirinya.
Tetapi ada dalam ayat-ayat al-Quran lain mengatakan mereka menerima Kitab mereka dari belakang mereka:
{Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dari sebelah belakangnya. (وَرَآءَ ظَهْرِهِۦ),} (Al-Insyiqaaq 84:10)
Apakah dua kali mereka terima kitabnya???
JAWAPAN :
i- hanya sekali dan sama sahaja iaitu mereka terimanya dengan tangan kiri kemudian mereka menyembunyikan kitab itu di belakang mereka kerana malu dan hinanya perasaan mereka pada masa itu!
Ulama\’ kata malunya mereka pada masa itu lebih teruk daripada dibakar dengan api! Itulah azab rohani yang lebih dahsyat daripada azab fizikal.
ii- punca semua ini kerana atas dunia dulu mereka membelakangi kebenaran, campakkan al-Quran dibelakang, hukum Allah diletak di belakang!
Itulah azab dari sudut rohani lebih dahsyat daripada azab jasmani! Kerana itu mereka sembunyikan kitab itu di belakang.
- Ayat 25- {Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya}- ulama\’ kata ayat ini memberi dalil bahawa orang kafir juga akan dihisab.
Bagaimana? Ini kerana tafsir berbeza pendapat tentang ini:
i- ada kata mereka tidak dihitung seperti orang mukmin yakni bukan bandingan antara kebaikan dan keburukan. Ini kerana orang kafir memang tiada kebaikan.
ii- tetapi semua amalan mereka tetap dibentangkan, iaitu dihitung perbuatan sesama mereka, sesama kafir. Siapa yang lebih jahat dan banyak dosanya maka akan dihukum azab mengikut banyak atau sedikit kejahatan dan dosanya!
- Ayat 32- {\”Selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)!}- mereka dibelit dengan rantai dan dimasukan rantai itu ke dalam mulut dan keluar ikut punggung atau sebaliknya.
Kata Ibnu Jarir rhm. ulama\’ berbeza pendapat tentang rantai ini dan ukuran 70 hastanya. Hasta mana yang dikehendaki Allah s.w.t, hasta seperti atas dunia ini atau ukuran akhirat? Wallahu a\’lam.
i- Kata Imam Al-Hasan Al-Basri rhm.: Hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahui ia mengikut ukuran (hasta) mana. Allah hanya disebut 70 hasta kerana orang Arab itu suka sebut angka 70 apabila menyatakan bilangan yang besar atau ukuran yang panjang.
Jadi ia menunjukan betapa panjang dan dahsyatnya rantai neraka itu!
- Ayat 34- {\”Dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin.}- punca binasanya puka kafir ini pertamanya mereka tidak beriman kemudian bakhil tidak mahu beri sedekah dan memberi makan kepada fakir-miskin.
Ulama\’ kata selepas dari kafir perangai buruk manusia yang paling dahsyat ialah bakhil dan kerasnya hati!
Punca kebaikan manusia itu ada dua:
i- ikhlas kepada Allah dalam amalannya,
ii- buat baik (al-ihsan) kepada sesama manusia.
- Ayat 36- {\”Dan tidak ada makanan (baginya) melainkan dari air danur,}- makanan ahli neraka ialah air danur {غِسْلِينٍۢ} iaitu air nanah bercampur darah.
Tetapi ada beberapa firman Allah s.w.t yang menyebut nama lain bagi makanan ahli neraka ini:
i- {Tiada makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri, ضَرِيعٍۢ } (Al-Ghaasyiyah 88:6)
ii- {(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum (ٱلزَّقُّومِ), (Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka).} (Ad-Dukhaan 44: 43-44)
JAWAPAN :
KATA ULAMA\’ :
Ini semua adalah makanan dalam neraka sebagaimana yang disebut sendiri Allah s.w.t. Yakni menu azabnya berbeza-beza, ada yang makan nanah, ada yang makan pokok berduri dan ada yang makan Zaqqum dan sebagainya – na\’uzubillah!
Jadi semuanya ada dalam neraka itu!
Ya Allah selamatkanlah kami daripada azab neraka yang dahsyat dan tidak terperi ini! Jadikanlah kami daripada golongan yang Allah redhai dan mendapat balasan nikmat-Nya!
Hari ini hari Jumaat, ingat Jumaat ingat:
i- baca surah al-Kahfi
ii- perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w.