View Categories

SURAH AL-HAQQAH : AYAT 38-52

\"\"

AL-QURAN KITAB YANG BENAR, SESIAPA YANG SELEWENGKANNYA AKAN BINASA & SEBAGAI PERINGATAN BAGI MANUSIA.

Full video : https://youtu.be/pCCvAYgOKCY

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan dengan bersumpah bahawa Al-Quran adalah Kitab yang benar, dari Allah s.w.t yang dibaca oleh Nabi s.a.w.
  2. Ia bukan rekaan Nabi s.a.w. atau ahli sihir, penyair dan seumpamanya. Sesiapa yang cuba mereka-rekanya atau selewengkannya akan binasa samada rasul sendiri atau sesiapa saja.
  3. Al-Quran juga sebagai peringatan bagi manusia yang bertaqwa dan mengenalkan siapa yang berbohong dalam masalah ini.
  4. Satu kerugian & penyesalan bagi pihak kafir yang mendustakannya dulu, setelah mereka mati, apabila melihat kebenaran pada hari Kiamat kelak.
  5. Allah s.w.t tutup surah ini dengan tasbih kepada-Nya.
  6. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat-ayat yang lepas Allah s.w.t menyatakan dalil akan berlakunya Kiamat. Semuanya di bawah kuasa Allah s.w.t dan ia pasti terjadi.

Kemudian Allah s.w.t ceritakan tentang keadaan orang yang bahagia & celaka serta diakhiri dengan keagungan al-Quran.

ii- dalam ayat ini Allah s.w.t bersumpah pula tentang kebenaran al-Quran dengan semua benda yang kamu manusia nampak dan apa yang kamu tidak nampak! Kata ulama\’ ini adalah sumpah yang paling umum yang disebut dalam al-Quran.

AYAT 38- {MAKA AKU BERSUMPAH: DEMI SEGALA (YANG NYATA) YANG KAMU MELIHATNYA,} (AL-HAAQQAH 69:38)

  1. Allah s.w.t bersumpah semua benda yang kita nampak (yang nyata) yang kamu dapat melihatnya, yang besar atau yang kecilnya.
  2. Antara benda yang kita nampak ialah langit dan bumi serta apa yang ada padanya seperti matahari. Bulan, bintang, bukit-bukau dan lain-lain.
  3. Semua ini meunjukkan kekuasaan dan kudrat Allah s.w.t!

AYAT 39- {DAN SEGALA (YANG GHAIB) YANG KAMU TIDAK MELIHATNYA,} (AL-HAAQQAH 69:39)

  1. Allah s.w.t bersumpah semua benda yang kita tidak nampak (yang ghaib) yang kamu tidak dapat melihatnya.
  2. Antara benda yang kita tidak nampak ialah seperti: malaikat, jin, arasy, kursi dan semua makhluk yang Allah sebut, yang kita percaya dan beriman walaupun tidak nampak.

AYAT 40- {BAHAWA SESUNGGUHNYA AL-QURAN ITU IALAH (WAHYU DARI KAMI) YANG DISAMPAIKAN OLEH RASUL YANG MULIA.} (AL-HAAQQAH 69:40)

  1. Iaitu Allah bersumpah bahawa al-Quran itu ialah wahyu dari Allah. Al-Quran yang disampaikan oleh Rasul yang mulia.
  2. Tentang siapa rasul (رَسُولٍۢ كَرِيمٍۢ) itu ramai ulama\’ kata ia adalah Baginda Nabi Muhammad, Rasulullah s.a.w.
    Tetapi ada juga yang mengatakan maksudnya rasul itu ialah malaikat Jibril a.s.
  3. Kata al-Qurtubi: al-Quran bukan kata-kata Rasulullah s.a.w tetapi ia adalah kata-kata Allah dan dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w sebagai pelaksanaanya, yang menerimanya, yang menyampaikannya, yang membacanya yang mengamalkannya!

AYAT 41- {DAN BUKANLAH AL-QURAN ITU PERKATAAN SEORANG PENYAIR (SEBAGAIMANA YANG KAMU DAKWAKAN. TETAPI SAYANG!) AMATLAH SEDIKIT KAMU BERIMAN.} (AL-HAAQQAH 69:41)

  1. Allah menegaskan bahawa al-Quran bukanlah sejenis syair seperti yang didakwa oleh kaum Quraisy.
  2. Firman Allah s.w.t:
    {(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan;} (Yaa Siin 36:69)
  3. Tetapi malangnya amat sedikit sekali daripada mereka yang beriman dan percaya akan Rasulullah s.a.w!
  4. Kita hari ini ramai yang beriman dan percaya kepada al-Quran tetapi tidak pula mengamalkan ajaran dan hukum-hakamnya!
  5. Ya Allah jadikanlah kami daripada golongan yang sedikit itu, yang beriman dan percaya kepada al-Quran.

AYAT 42- {DAN JUGA BUKANLAH AL-QURAN ITU PERKATAAN SEORANG PAWANG (SEBAGAIMANA YANG KAMU KATAKAN. TETAPI SAYANG!) AMATLAH SEDIKIT KAMU MENGAMBIL PERINGATAN.} (AL-HAAQQAH 69:42)

  1. Al-Quran itu bukan perkataan atau rekaan seorang pawang { كَاهِنٍۢ}; iaitu bomoh, dukun, tukang tilik atau seumpamanya yang mendakwa tahu benda ghaib! Kamu sahaja yang membuat dakwaan & tuduhan itu.
  2. Tetapi malangnya sedikit sekali yang mendengarnya dan mahu mengambil peringatan iaitu ilmu dan maklumat darinya.
  3. Kita orang yang beriman pun dengarlah dengan lapang dada dan perhatikanlah baru banyak ilmu kita akan dapat!

AYAT 43- {(AL-QURAN ITU) DITURUNKAN DARI ALLAH TUHAN SEKALIAN ALAM.} (AL-HAAQQAH 69:43)

  1. Al-Quran adalah Kalam Allah Tuhan sekelian alam yang benar, diturunkan kepada Rasul-Nya! Bukan syair, bukan nujum atau pawang!

AYAT 44- {DAN KALAULAH (NABI MUHAMMAD YANG MENYAMPAIKAN AL-QURAN ITU) MENGATAKAN ATAS NAMA KAMI SECARA DUSTA – SEBARANG KATA-KATA REKAAN,} (AL-HAAQQAH 69:44)

  1. SEKIRANYA, andainya Rasulullah s.a.w mereka-reka al-Quran dan menyampaikannya secara dusta, iaitu mendakwa bahawa ia adalah dari Allah dengan palsu!

AYAT 45- {SUDAH TENTU KAMI AKAN MENYENTAPNYA, DENGAN KEKUASAAN KAMI,} (AL-HAAQQAH 69:45)

  1. Pasti Allah s.w.t akan menyegerakan tindakan ke atasnya dengan kekuasaan & kekuatan-Nya.

AYAT 46- {KEMUDIAN SUDAH TENTU KAMI AKAN MEMUTUSKAN TALI JANTUNGNYA (SUPAYA IA MATI DENGAN SERTA-MERTA);} (AL-HAAQQAH 69:46)

  1. Iaitu dengan menyentap urat jantungnya, ini adalah tindakan yang amat berat & segera- yang akan membawa kematian.
  2. Bukan amaran semata-mata tetapi Allah akan segerakan tindakan dan akibatnya!

AYAT 47- {MAKA TIDAK ADA SEORANGPUN DI ANTARA KAMU YANG DAPAT MENGHALANG (TINDAKAN KAMI ITU) DARIPADA MENIMPANYA.} (AL-HAAQQAH 69:47)

  1. Jika Allah s.w.t mengambil tindakan itu, tiada sesiapa yang boleh menyekat dan menghalang kuasa Allah Azza wa Jalla.

AYAT 48- {DAN SESUNGGUHNYA (AL-QURAN) ITU TETAP MENJADI PERINGATAN BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA.} (AL-HAAQQAH 69:48)

  1. Al-Quran itu tetap menjadi peringatan bagi orang-orang yang bertaqwa. Ini kerana hanya orang yang bertaqwa akan mendapat manfaat dan faedah darinya disebabkan iman & taqwa mereka.
  2. Mereka dengar, faham & beramal.
    Manakala orang yang kufur sebaliknya, hanya dengar semata.
  3. Munasabah ayat:
    i- Allah s.w.t telah menyatakan bahawa al-Quran itu adalah dari Allah yang dibawa turun oleh Jibril a.s kepada Rasulullah s.a.w. Ia bukan sejenis syair, perbuatan tukang sihir atau bomoh!
    Yakni membatalkan dulu segala tuduhan jahat yang batil. Kemudian:

ii- Kemudian Allah nyatakan sifat & fungsi sebenar al-Quran iaitu sebagai peringatan kepada orang -orang yang bertaqwa! Iaitu orang yang ikut arahan Allah dan menjauhi diri dari larangan. Mereka mengambil nasihat & pengajaran daripada al-Quran.

4. Inilah uslub al-Quran yang perlu kita belajar dan tiru apabila berhadapan dengan tuduhan, dakwaan palsu atau fitnah; kita batalkan serlahkan dulu kebatilan atau kepalsuan dakwaan itu; kemudian barulah kita bawa yang sebenar dan yang haqnya!

5. Dalam bab ilmu kita jangan sembunyikan fakta. Jika ada pecahan pandangan ulama\’ kena dengar dan tahu tentangnya.
Jadi apabila kita dengar orang lain mengatakannya, kita tidak mudah koyat dan boleh buat penilaian, bukan terus menuduh orang itu tidak benar dan salah! Sedangkan kita sebenarnya yang jahil!!!

AYAT 49- {DAN SESUNGGUHNYA KAMI SEDIA MENGETAHUI BAHAWA ADA DI ANTARA KAMU YANG MENDUSTAKAN (AL-QURAN, MAKA KAMI AKAN MEMBALASNYA).} (AL-HAAQQAH 69:49)

  1. Allah menyatakan bahawa dia tahu pasti ada antara manusia hamba-Nya yang mendustakan al-Quran!
  2. Maka Allah s.w.t akan membalasnya.

AYAT 50- {DAN SESUNGGUHNYA AL-QURAN ITU SUDAH TENTU AKAN MENYEBABKAN PENYESALAN BAGI ORANG-ORANG YANG KAFIR (SEMASA MEREKA MENERIMA BALASAN).} (AL-HAAQQAH 69:50)

  1. Kelak orang kafir pasti menyesal akan pendustaan mereka terhadap al-Quran!
  2. Tetapi penyesalan yang tidak berguna lagi kerana mereka pada waktu itu telah berdepan dengan balasan yang akan diterima!

AYAT 51- {DAN SESUNGGUHNYA AL-QURAN ITU ADALAH KEBENARAN YANG DIYAKINI (DENGAN SEYAKIN-YAKINNYA).} (AL-HAAQQAH 69:51)

  1. Al-Quran adalah sesuatu kebenaran yang amat diyakini, tidak ada syak & ragu lagi, benar dari Allah s.w.t!
  2. Cuma tengok kedudukan kita dengan al-Quran, pada tahap mana, level baca saja, level nak baca dan nak faham kemudian naik kepada tahap nak beramal dengannya, alhamdulillah!
    Tetapi daripada tidak baca lansung baik baca juga sedikit.

AYAT 52- {OLEH ITU BERTASBIHLAH DENGAN MEMUJI NAMA TUHANMU YANG MAHA BESAR.} (AL-HAAQQAH 69:52)

  1. Maka bertasbihlah dengan nama Tuhanmu Yang Maha Besar lagi Maha Agung!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 38- {Maka Aku bersumpah: Demi segala (yang nyata) yang kamu melihatnya,} & Ayat 39- {Dan segala (yang ghaib) yang kamu tidak melihatnya,}- Allah bersumpah dengan dua perkara yang besar ini, samada yang kita nampak; seperti langit, bulan, bumi, bukit bukau dan lain-lain & apa yang kita tidak nampak seperti roh, malaikat, jin, syaitan dan perkara yang akan berlaku di akhirat & seumpamanya.

Kata ulama\’ tadabbur; Allah s.w.t kumpulkan semua benda dalam sumpahnya ini, dari perkara yang besar dan makhluk-Nya, sesuatu yang menunjukkan akan keagungan Allah s.w.t!

  1. Ayat 40- {Bahawa sesungguhnya Al-Quran itu ialah (wahyu dari Kami) yang disampaikan oleh Rasul yang mulia.}- kata ulama\’ dalam ayat ini menunjukkan bahawa boleh menisbahkan sesuatu perkara itu kepada orang yang menyampaikannya.
    Dalam ayat ini Allah s.w.t menisbahkannya kepada Rasulullah s.a.w. yakni Nabi kita adalah penyampai al-Quran bukan perekanya.

Contoh lagi; Ada juga dalam ayat lain Allah s.w.t menisbahkannya kepada malaikat Jibril a.s:
{Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia,
Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy,} (At-Takwiir 81: 19-20).

Yakni dinisbahkan kepada orang yang bercakap berlaku dari sudut bahasa dan Syara\’ & adalah dibolehkan.

  1. Ayat 43- {(Al-Quran itu) diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.}- ayat ini menjadi isyarat bahawa wajib kita beramal dengan al-Quran.
    Kerana yang menurunkan al-Quran itu ialah Allah s.w.t, bukan dari Nabi s.a.w atau makhluk lain. Kerana ia adalah arahan dan pesanan dari Allah s.w.t!

Sedang Allah s.w.t yang menurunkan segala rezeki dan nikmat kepada kita, Allah adalah Tuhan yang wajib kita taat dan sembah, ikut arahan-Nya dan jauhi larangan-Nya.

Sebaliknya jika kita ikut dan sembah orang lain maka ini adalah satu kerosakan dan kesalahan yang besar.

  1. Ayat 44- {Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata rekaan,} & Ayat 45- {Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami,} – benda ini tidak berlaku tetapi andaikata Rasulullah s.a.w yang reka al-Quran kemudian nisbahkan kepada Allah s.w.t!

Nescaya- pasti Allah s.w.t akan sentap dan cabut jantungnya, yakni terus ambil tindakan & menghukumnya.

Ayat ini menunjukkan bahawa bahayanya untuk kita berkata atas nama Allah & agama tanpa ilmu. Juga haram berdusta atas nama Rasulullah s.a.w.

Menjadi kewajipan atas seorang muslim jangan keluarkan hukum atau fatwa kecuali setelah kita betul-betul kaji ia telah dibincangkan atau instibat dari para fuqaha\’ dan ulama\’ yang telah mengkaji dan membincangkannya lalu mengeluarkan fatwanya.

Ayat ini menunjukkan Allah s.w.t larang kita daripada menisbahkan sesuatu kepada Allah atau ke atas Rasulullah s.a.w sesuatu yang tidak sahih apatah lagi jika palsu! Haram dan berdosa jika rekaan semata.

Menjadi kewajipan kepada kita belajar dulu, jangan main tangkap-muat seperti baca atau dengar, kemudian terus percaya dan sebarnya. Pastikan ianya kita ambil dengar dari mereka yang pakar seperti para ulama\’ muktabar.

Ayat ini menjadi peringatan dan amaran: Allah andaikan jika Nabi buat sesuatu begini akan dihukum terus, begitu juga semua sesiapa saja.

RASULULLAH S.A.W JUGA TELAH BERPESAN DAN MEMBERI AMARAN DENGAN SABDANYA :

وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: \”Barangsiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.\” [HR al-Bukhari (110)]

  1. Ayat 51- {Dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah kebenaran yang diyakini (dengan seyakin-yakinnya).} & Ayat 52- {Oleh itu bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar.}- al-Quran itu adalah sesuatu yang tidak diragui lagi, diyakini dengan sebenar-benarnya.

Kata ulama\’ martabat yakin ada tiga:
i- ilmu yang kita dapat daripada maklumat (علم اليقين)- ilmul-yakin.

ii- sesuatu yang kita nampak dengan mata kepala kita sendiri (عين اليقيىن) ainul-yakin.

iii- keyakinan yang pasti, yang sudah kita tengok, rasa dan saksikannyna sendiri (حق اليقين) haqqul-yakin.

Al-Quran mempunyai ketiga-tiga keyakinan ini dan tidak dapat dipertikaikan lagi.

Kemudian Allah s.w.t tutup surah ini dengan tasbih kepada-Nya. Sudah cukup dinyatakan dalam ayat-ayat sebelumnya segala peringatan dan amaran, sebagai alat untuk selamat maka bertasbihlah kamu memuji Allah s.w.t yang Agung. Allah Yang telah anugerahkan segala nikmat dan kebaikan kita, mudah-mudahan kita akan selamat!

Alhamdulillah tamatlah kita surah al-Haqqah ini semoga kita semua mendapat manfaat dan ganjaran pahala dari Allah s.w.t.

P/S: Kuliah Subuh Tafsir ini akan ditangguhkan sehingga kepada hari Sabtu 4hb Mac 2023 Insya\’ Allah kerana DAAM akan bermusafir untuk mengerjakan umrah.

Powered by BetterDocs