MUNAFIKIN BERKOMPLOT DENGAN YAHUDI, JANJI MEREKA PALSU & MUNAFIK TAKUT KEPADA MUKMIN.
Full video : https://youtu.be/CIc6EoghIjg
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang komplot antara munafikin dengan yahudi. Pakatan sesama jahat untuk melawan Rasulullah s.a.w di Madinah.
- Kemudian Allah perkenalkan sifat mereka yang suka berjanji, tetapi janji mereka adalah palsu! Ketika berjanji dengan orang mukmin mereka bohong dan khianat, tetapi apabila berjanji sesama kafir pun mereka tipu dan palsu juga!
- Maka kita ambil pengajaran iktibar dari ayat ini, jangan ada dan jauhkan sifat munafiq ini dari diri kita, suka bersumpah palsu, suka berjanji tetapi khianat dan menipu!
- Allah s.w.t juga gambarkan orang munafik ini takut kepada mukmin lebih kepada takut kepada Allah s.w.t.
Jika takut kepada Allah pasti mereka akan beriman dan tidak sembunyikan kekufuran begitu.
Jadi kerana takut kepada orang mukmin mereka berpura beriman walaupun hakikatnya mereka tidak kufur dan tidak percaya! - Munasabah ayat:
A- Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t ceritakan tentang:
i- golongan Ansar & Muhajirin yang Allah puji dan amat mulia sifatnya.
Di Madinah ada 3 kelompok manusia- orang mukmin, kafir (yahudi) & golongan munafiq yang berpura beriman.
Munafiq ini muncul apabila Islam mendapat kemenangan. Mereka mencari peluang untuk menyelamatkan diri dan mendapat habuan dunia sedangkan mereka tidak mahu beriman!
Semasa di Makkah tidak ada munafiq kerana pada waktu itu imat Islam lemah dan kafir yang menindas kaum muslimim.
ii- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t juga sebut tentang apa yang terjadi kepada yahudi bani Nadhir yang diusir keluar dari Madinah.
Serta sebab yang menjadikan mereka jadi begitu. Harta mereka juga telah dijadikan harta Fai\’, yang diberikan kepada orang-orang tertentu.
B- maka dalam ayat ini Allah s.w.t:
i- dedahkan tentang satu kelompok manusia di Madinah iaitu golongan munafiqin. Sudah sebati dalam jiwa mereka sifat- menipu, bohong, khianat dan berpura-pura.
ii- Mereka datang berpakat dengan golongan yahudi bani Nadhir, membuat konspirasi untuk menentang Rasulullah s.a.w!
AYAT 11- {TIDAKKAH ENGKAU MELIHAT DAN MERASA HAIRAN (WAHAI MUHAMMAD) TERHADAP SIKAP ORANG-ORANG MUNAFIK ITU? MEREKA TERGAMAK BERKATA KEPADA SAUDARA-SAUDARA MEREKA YANG KAFIR DARI KALANGAN (KAUM YAHUDI) AHLI KITAB: \”SESUNGGUHNYA, KALAU KAMU DIHALAU KELUAR SUDAH TENTU KAMI AKAN KELUAR BERSAMA-SAMA KAMU, DAN KAMI TIDAK AKAN TUNDUK TAAT KEPADA SESIAPAPUN UNTUK MENENTANG KAMU SELAMA-LAMANYA; DAN KALAU KAMU DIPERANGI, SUDAH TENTU KAMI AKAN MEMBELA KAMU!\” PADAHAL ALLAH MENGETAHUI DAN MENYAKSIKAN BAHAWA SEBENARNYA MEREKA ADALAH PENDUSTA.} (AL-HASY-R 59:11)
- Allah s.w.t berfirman kepada Rasulullah s.a.w tidakkah Baginda berasa hairan melihat perangai orang munafiq yang jahat itu? Mengaku beriman tetapi kafir, bercakap bohong dan apabila berjanji khianat. Inilah sifat mereka yang tidak tetap pendirian dan suka mencari kesempatan.
- Allah dedahkan bahawa mereka kaum munafiq cuba berpakat dan bersekongkol, membuat konspirasi dengan saudara-saudara mereka yang kafir dari kalangan kaum Yahudi bani Nadhir.
- Allah kata \’saudara-saudara\’ mereka, kerana mereka itu sefahaman dalam aqidah dan dalam hendak menjatuhkan Islam.
3. Mereka berkata kepada yahudi yang sudah dihalau oleh Rasulullah s.a.w supaya jangan takut dan jangan keluar, bahkan bersumpah dan berjanji bahawa:
i- akan bersama mereka memberi sokongan dan bersumpah akan sama-sama keluar bersama yahudi jika dihalau keluar dari Madinah!
ii- mereka tidak akan taat kepada Rasulullah s.a.w jika mahu menentang dan lawan kaum yahudi.
iii- berjanji lagi jika Rasulullah dan orang Islam mahu berperang, mereka akan turut berperang bersama yahudi bahkan berjanji untuk hantar 2000 orang tentera. Sedangkan mereka ada berapa orang saja di Madinah!
- Begitulah hebat janji puak Munafik itu kepada puak Yahudi. Semuanya kerana hendak berbaik sahaja dengan golongan Yahudi, sedangkan ia adalah sumpah & dakwaan kosong sahaja.
- Allah s.w.t sendiri yang menjadi saksi (وَٱللَّهُ يَشْهَدُ) akan pembohongan dan sumpah palsu ini dan mendedahkannya kepada Rasulullah s.a.w bahawa mereka adalah pendusta!
- Kata Ibnu Kathir rhm: Iaitu mereka berbohong dan berjanji palsu, beri harapan yang kosong, mereka tiada niat pun untuk menolong. Ini kerana mereka sebenarnya tidak mampu dan tidak berani pun melawan Rasulullah s.a.w dan kaum mukminin. Yang penting mereka mahu porak-perandakan kedamaian dan kesatuan umat Islam.
- Maka kita jangan sekali-sekali mengikut sifat munafiq ini!
AYAT 12- {DEMI SESUNGGUHNYA! JIKA ORANG-ORANG (YAHUDI) ITU DIHALAU KELUAR (DARI MADINAH), MEREKA (YANG MUNAFIK) INI TIDAK AKAN KELUAR BERSAMA-SAMANYA; DAN DEMI SESUNGGUHNYA, JIKA ORANG-ORANG (YAHUDI) ITU DIPERANGI, MEREKA (YANG MUNAFIK) INI TIDAK AKAN MEMBELANYA; DAN DEMI SESUNGGUHNYA, JIKA DITAKDIRKAN MEREKA MEMBELANYA SEKALIPUN, SUDAH TENTU MEREKA (SEMUANYA – YAHUDI DAN MUNAFIK) AKAN MELARIKAN DIRI; KEMUDIAN MEREKA TIDAK AKAN MENDAPAT PERTOLONGAN,} (AL-HASY-R 59:12)
- Allah sekali lagi menekankan bahawa jika orang yahudi itu dihalau keluar kaum munafiq pasti tidak akan keluar bersama mereka. Mereka akan bersembunyi dan lari bahkan menonjolkan seolah mereka mengeji yahudi ini!
- Juga jika yahudi diperangi oleh tentera Islam, mereka kaum munafiq juga tidak akan sekali-kali menyertainya bersama mereka! Bahkan sekali lagi mereka sembunyikan kepala mereka menyorok entah di mana!
- Ketika ayat ini diturunkan bani Nadhir sudah dihalau keluar dari Madinah.
Maksudnya kaum yang akan diperangi ini, yang Allah bagi gambaran ini ialah yahudi Bani Quraizah yang belot selepas peperangan Khandak atau Ahzab. Ternyata benar sekali kaum munafiq tidak membantu mereka lansung! - Bahkan jika mereka sungguh keluar membela, mereka bukan bantu sangat pun. Mereka akan berlakon seolah nak keluar membantu golongan Yahudi itu, tapi ia seumpama sebagai datang ambil nama sahaja. Kemudian mereka akan lari meninggalkan kaum yahudi itu!
- Allah jelaskan mereka semua tidak akan mendapat pertolongan dari sesiapa pun. Kerana Allah sudah buat keputusan untuk mengalahkan mereka.
- Persoalan: Adakalanya menang juga orang kafir dalam memerangi orang Islam? Yakni selepas zaman Rasulullah s.a.w.
- Sifat orang Arab ini: Mereka akan serang balik selepas tewas untuk merampas balik kemenangan!
Tetapi Allah s.w.t nyatakan selepas peperangan Khandak/Ahzab- orang kafir tidak akan serang balik lagi Madinah bahkan tentera Islam yang akan keluar serang dan tawan negara-negara luar selepas ini. - Fakta- setakat hari ini selepas hadis Rasulullah s.a.w itu Madinah masih selamat tidak pernah diserang oleh orang kafir lagi. Madinah sebagai tapak iman seolah ular kembali ke sarangnya!
Boleh baca maklumat penuh:
https://dartaibah.com/
AYAT 13- {(KERANA) SESUNGGUHNYA KAMU – DALAM HATI MEREKA, – SANGAT DITAKUTI LEBIH DARI ALLAH; YANG DEMIKIAN ITU, KERANA MEREKA IALAH KAUM YANG TIDAK MENGERTI (AKAN KEKUASAAN ALLAH DAN KEBESARANNYA).} (AL-HASY-R 59:13)
- Ini kerana dalam hati puak kafir dan munafiq itu mereka sangat takut dan gerun kepada Rasulullah s.a.w & orang Islam lebih daripada takut kepada Allah s.w.t!
Jika takut kepada Allah s.w.t pasti mereka akan beriman! - Tetapi mereka takut kepada Nabi s.a.w kerana:
i- takut kena bunuh, takut kena halau keluar dari Madinah, takut tidak dapat projek dan peluang, harta dan bantuan dan lain-lain habuan dunia. - Munasabah ayat:
i- maksud tujuan Allah s.w.t nyatakan bahawa kaum munafiq itu lemah, goyah dan penakut serta segala janji mereka kepada yahudi itu hanya palsu dan pembohongan sahaja.
ii- untuk mengguatkan jiwa dan semangat Rasulullah s.a.w dan kaum mukminin; supaya tidak berasa takut, tertekan dan bimbang akan gabungan dua musuh ini.
iii- Bahkan Allah nyatakan hakikat sebenar bahawa mereka sebenarnya lebih takut kepada Rasulullah dan orang -orang yang beriman.
- Makanya dalam dunia Islam pada bila-bila masa saja pun, jika ada para pejuang yang ikhlas dan teguh imannya; mereka akan ditakuti oleh orang kafir dan munafiq!
Ya Allah, jadikan kami orang yang ikhlas untuk membela Islam dan menyebarkan Sunnah Rasulullah s.a.w!
- Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa ketakutan yang tersembunyi dalam hati puak munafiq kepada Rasulullah itu lebih berat daripada mereka takut kepada Allah Azza wa Jalla. Ada ulama\’ kata puak munafiq ada kata puak bani Nadhir- yang betul adalah kedua-duanya!
- Kitapun jika mahu orang kafir dan munafiq takut kepada kita- kita mestilah teguh keimanan, ketaqwaan dan ketakutan kepada Allah s.w.t!
- Allah s.w.t berkata kerana mereka ialah kaum yang tidak mengerti akan kekuasaan Allah dan kebesaran-Nya.
Yakni kerana mereka puak yahudi & puak munafiqin tidak kenal Allah s.w.t maka mereka tidak akan takut dan sayang kepada Allah dengan hak-Nya!
BETULLAH KATA ORANG :
Tidak kenal maka tidak cinta- begitu juga jika kita tidak kenal- kita juga tidak akan takut kepada seseorang itu!
- Takut kepada Allah kita berlari kepada-Nya, bersungguh mencari keredhaan-Nya menjauhi kemurkaan-Nya. Bila kita kenal Allah kita akan takut dan memcintai Allah lebih dari segalanya.
- Allah s.w.t sebut di sini mereka tidak faqih { لَّا يَفْقَهُونَ}- kata Ibnu Asyur: Apabila dikatakan seseorang itu faqih ialah bahawa dia memahami makna-makna yang tersembunyi!
- Maka apabila kita tahu dan kenal betul-betul Allah, walaupun kita tidak tengok Allah s.w.t, tetapi kita akan merasai dan menjiwai bahawa kita duduk di bawah pemerhatian dan pengawasan Allah s.w.t selalu, malaikat lihat dan tulis apa yang kita buat; maka kita tidak akan berani ingkar dan buat maksiat terhadapnya!
- Kerana itu kata ulama\’:
i- Munculkanlah dirimu di tempat yang Allah s.w.t mahu lihat kamu berada seperti di masjid, kuliah agama, menziarahi orang sakit, kematian, memberi bantuan, di rumah dan seumpamanya!
ii- Juga jauhkan diri kamu dari tempat yang Allah s.w.t tidak suka lihat kamu ada di situ; seperti di tempat maksiat dan mungkar.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 11- {Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang munafik itu?}- Allah s.w.t bertanya kepada Rasulullah s.a.w.
Kata ulama\’ tadabbur ayat ini dalil bahawa perangai dan tingkah-laku yang sebati dalam diri munafiq itu ialah:
i- menipu dan suka berbohong.
ii- jika berjanji tidak akan tunaikan.
Yakni sifat suka memperdaya orang agar percaya kepada mereka. Percakapan yang begitu manis di bibir, orang akan mudah terperangkap dan terpedaya. Sedangkan kebanyakannya hanya putar belit dan cakap besar!
Maka kita mesti berusaha untuk bercakap benar agar masyarakat kita hari ini sentiasa benar dan tidak membudayakan sikap seperti munafiq ini. Agar terdidik dengan amalan mulia dan akhlak yang murni.
- Ayat 11- {Padahal Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta.}- sesungguhnya Allah s.w.t menyaksikan bahawa mereka itu bohong. Kita manusia tidak tahu apa yang mereka sembunyikan dalam hati mereka, hanya Allah s.w.t sahaja yang tahunya.
Tetapi Allah s.w.t beritahu beberapa sifat mereka yang dapat orang mukmin cam dan kesan melalui hadis Rasulullah s.a.w ini:
\”Jika bercakap selalu berdusta, jika berjanji selalu mengingkari, jika diberikan amanah kepercayaan akan khianat, dan jika memusuhi melampaui batas.\” (HR. Al-Bukhari).
Ayat ini juga menjadi dalil bahawa benarnya Rasulullah s.a.w kerana Allah s.w.t memberitahunya perkara yang ghaib dan menjadi saksi akan pembohongan golongan munafiq ini!
- Ayat 12- {Demi sesungguhnya! Jika orang-orang (Yahudi) itu dihalau keluar (dari Madinah), mereka (yang munafik) ini tidak akan keluar bersama-samanya; dan demi sesungguhnya, jika orang-orang (Yahudi) itu diperangi, mereka (yang munafik) ini tidak akan membelanya;}- Allah s.w.t nyatakan bahawa golongan munafiq itu tidak akan sekali-kali menolong, membantu atau bersama membela golongan yahudi itu!!
Andainya mereka keluar sungguh pun, mereka hanya akan berlakon dan sekadar tunjuk muka kemudian akan lari berpaling meninggalkan kaum yahudi itu, demi menjaga diri mereka!
Inilah sifat dan tabiat mereka yang sebenarnya, pengecut, pembohong dan pendusta.
- Ayat 13- {(Kerana) sesungguhnya kamu – dalam hati mereka, – sangat ditakuti lebih dari Allah;}- melalui ayat ini Allah s.w.t beri khabar gembira kepada Rasulullah s.a.w bahawa Allah s.w.t akan menolong Baginda dengan mencampakkan perasaan takut ke dalam hati musuhnya!
Ini adalah antara sifat hebat & mukjizat Rasulullah s.a.w.
Hadis dari Jabir bin Abdullah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Aku telah diberi pertolongan oleh Allah dengan rasa takut (الرغب) yang dicampakkan di dada-dada musuh aku dalam masa sebulan perjalanan. [HR Bukhari].
Kata ulama\’: Kamu takutkan orang munafiq itu dengan manusia manakala orang mukmin itu ditakutkan dengan Allah s.w.t!
Ini kerana orang mukmin beriman kepada Allah tetapi munafiqin itu tidak beriman.
Ini kerana orang yang betul-betul faqih dan faham agama itulah orang yang takut kepada Allah s.w.t daripada melakukan maksiat & kemungkaran kepada Allah s.w.t.
Jika setakat sesama manusia atau pengikutnya yang menabal dan memberi gelaran yang hebat-hebat ini, tetapi amalannya tidak ikut Sunnah dan ajaran Nabi s.a.w, maka itu adalah satu gelaran yang tidak berpijak di bumi yang nyata!
- Ayat 13- {(Kerana) sesungguhnya kamu – dalam hati mereka, – sangat ditakuti lebih dari Allah;}- Rasulullah s.a.w lebih ditakuti oleh munafiqin dalam hati mereka, lebih daripada Allah Azza wa Jalla.
Sepatutnya semua makhluk ini takut kepada Allah s.w.t. Apabila kita kenal dan beriman kepada Allah, sifat takut akan lahir dari hati kita kepada Allah!
Tetapi kerana munafiqin ini tidak beriman, jadi cahaya keimanan tiada dalam harti mereka, mereka tidak takut kepada Allah, tetapi takut kepada manusia!
Inilah yang kita bimbangkan sekarang; kita takut kepada sesama manusia lebih daripada kita takut kepada Allah! Maka kita akan termasuk dalam sifat munafiqin!
Baca al-Quran tidak menangis, dengar ayat-ayat tentang azab tidak gerun; tetapi apabila manusia datang gertak sikit- terus kita kecut menggigil!
Takut kepada Allah (خشية) itu di dalam hati kita iaitu pergantungan dalam hati kepada Allah & kuasa-Nya.
Manakala takut biasa atau tabi\’i (خوف) tidak salah dan normal- seperti takut kepada binatang buas, takut kepada api, takut kepada benda tertentu- ini tidak salah dan bukan syirik!
Begitu juga meminta tolong sesama makhluk dalam urusan dunia juga bukan syirik seperti berjumpa doktor, minta orang baiki kereta, minta buat rumah, minta duit dengan bapa, minta makanan dengan ibu dan seumpamanya, hanya orang yang kurang akal dan lemah iman sahaja tidak akan dapat membezakan akan dua perkara ini!
Semoga kita termasuk dalam golongan mereka yang benar-benar takut kepada Allah s.w.t pada setia saat dan detik, di mana saja kita berada, tersembunyi atau ghaib!