View Categories

SURAH AL-HASYR : AYAT 18-21

\"\"

ARAHAN BERTAQWA, SENTIASA BERAMAL UNTUK AKHIRAT & KEAGUNGAN AL-QURAN.

Full video : https://youtu.be/fPCr3cRHKag

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t arahkan untuk kita supaya jangan sibuk-sibuk lagi, perangai yahudi dan munafiq telah didedahkan, maka kamu jauhi sifat buruk itu serta bertaqwalah kepada Allah.
  2. Juga agar sentiasa membuat persiapan, bekalan untuk hari kematian. Ini kerana akhirat adalah tempat menerima balasan bukan untuk mencari bekalan lagi!
    Sesiapa yang yakin dia akan mati dan bertemu dengan Allah s.w.t maka persiapan rapi perlu dibuat semasa atas dunia ini.
  3. Allah menyatakan tentang keagungan Al-Quran yang jika diturunkan ke atas bukit, bukitpun akan pecah! Tetapi masih ada hati manusia yang keras tidak terasa apa-apa dengan al-Quran yang diturunkan.
  4. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah mendedah dan membongkar perangai munafiq; bohong, khianat, janji palsu dan lain-lain.

Maka dalam ayat-18 ini Allah s.w.t kembali semula kepada orang mukmin untuk mencari jati diri agar bertaqwa kepada Allah Azza wa Jalla. Carilah jalan-jalan yang boleh melembutkan hati dan berhati-hatilah akan segala sifat yang boleh mengundang bala dan kemurkaan Allah s.w.t!

ii- Dalam ayat yang lepas juga Allah s.w.t menyebut beberapa nikmat-Nya iaitu antaranya ialah kemenangan puak Islam mengalahkan orang yahudi yang didokong oleh puak munafiqin.
Allah s.w.t telah berikan kepada golongan Muhajirin dan mereka yang miskin lain harta al-Fai\’ iaitu harta peninggalan bani an-Nadhir itu. Ini adalah manfaat dan faedah duniawi.

Sekarang adalah manfaat ukhrawi pula; Manfaat untuk Akhirat kita mesti buat bekalan jangan kita main-main kerana perjalanan kita itu jauh!

AYAT 18- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! BERTAQWALAH KEPADA ALLAH (DENGAN MENGERJAKAN SURUHANNYA DAN MENINGGALKAN LARANGANNYA); DAN HENDAKLAH TIAP-TIAP DIRI MELIHAT DAN MEMERHATIKAN APA YANG IA TELAH SEDIAKAN (DARI AMAL-AMALNYA) UNTUK HARI ESOK (HARI AKHIRAT). DAN (SEKALI LAGI DIINGATKAN): BERTAQWALAH KEPADA ALLAH, SESUNGGUHNYA ALLAH AMAT MELIPUTI PENGETAHUANNYA AKAN SEGALA YANG KAMU KERJAKAN.} (AL-HASY-R 59:18)

  1. Seruan dan arah pertama kepada orang beriman agar bertaqwa kepada (ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ) Allah s.w.t iaitu dengan: Meninggalkan larangan Allah dan mengerjakan suruhan-Nya.
  2. Arahan kedua ialah untuk kita muhasabah (وَلْتَنظُرْ نَفْسٌۭ) – audit periksa diri kita sendiri, apa amalan dan kebaikan yang telah kita buat dan sediakan untuk bekalan hari Akhirat.
    Apa persiapan kita untuk bertemu dengan Allah s.w.t esok (غَدٍۢ).
    Ini kerana surat amalan yang akan kita baca kelak- kita sendirilah penulisnya!
  3. Kenapa Allah s.w.t sebut esok (غَدٍۢ)?
    Ini kerana hari itu ada dua sahaja iaitu sekarang atau hari ini ialah hari dunia. Manakala esok bermakna hari Akhirat, bukan esok yang selepas 24 jam dari hari ini.
  4. Sekali diingatkan agar kita bertaqwa- mencari keredhaan Allah, carilah buatlah apa saja yang dapat menolong dan menyelamatakan kita di akhirat kelak!
  5. Ingatlah Allah s.w.t mengetahui semua perkara apa yang kamu kerjakan, ilmu-Nya segala sesuatu yang zahir atau batin!
    Allah tahu semua perbuatan kita, akan dicatat oleh malaikat kemudian didedahkan di akhirat esok. Tiada lagi alasan dan auta- segalanya akan telus dan terperinci.
  6. Jangan jadi seperti golongan munafiq yang semasa di akhirat pun masih mahu menipu lagi di depan Allah s..w.t!!!

Maka jangan dinormalisasikan pembohongan dan penipuan dalam masyarakat kerana ia adalah sesuatu sifat yang amat bahaya, sifat munafiq yang dicela.

AYAT 19- {DAN JANGANLAH KAMU MENJADI SEPERTI ORANG-ORANG YANG TELAH MELUPAKAN (PERINTAH-PERINTAH) ALLAH, LALU ALLAH MENJADIKAN MEREKA MELUPAKAN (AMAL-AMAL YANG BAIK UNTUK MENYELAMATKAN) DIRI MEREKA. MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG FASIK – DERHAKA.} (AL-HASY-R 59:19)

  1. Ini adalah arahan atau peringatan yang ketiga- Perhatikan hidup kita ini, jangan hidup dalam kumpulan yang lagha dan lupa kepada Allah s.w.t, lupa untuk berzikir kepada-Nya.
  2. Jangan lupa untuk menunaikan perintah dan hak Allah iaitu segala amal-amal yang baik untuk menyelamatkan diri mereka, seperti solat dan lain-lain- serta meninggalkan segala yang maksiat yang dilarang-Nya.
  3. Jangan sampai Allah s.w.t lupakan kita juga maka kita akan menjadi orang yang rugi dan celaka! Atas dunia tidak dapat kebaikan, pahala untuk akhirat juga akan terlepas dan hina!
  4. Allah nyatakan dengan jelas bahawa: Mereka yang lupa kepada Allah, lupa kepada kebaikan diri sendiri itulah orang-orang yang fasik – derhaka kepada Allah s.w.t.
    Yakni keluar dari ketaatan kepada kederhakaan dan mungkar serta maksiat!

AYAT 20- {TIDAKLAH SAMA AHLI NERAKA DAN AHLI SYURGA; AHLI SYURGALAH ORANG-ORANG YANG BEROLEH KEMENANGAN (MENDAPAT SEGALA YANG DIINGINI).} (AL-HASY-R 59:20)

  1. Setelah dicuit agar kita muhasabah diri kita selalu serta amaran kepada kafir agar jangan jadi manusia yang lupa diri: Allah s.w.t nyatakan bahawa sekali-kali tidak akan sama ahli neraka dan ahli Syurga; tidak terbanding lansung!
  2. Yakni supaya kita fikir dan pilihlah apa yang kamu mahu, mahu jadi ahli syurga atau ahli neraka? Jika mulut sahaja menjawab pasti semua akan mengatakan mahu syurga! Tetapi apakah perbuatan dan amalan kamu seiring dengan keinginan dan jawapan kamu?
  3. Firman Allah s.w.t ini menafsirakan ayat ini:
    {(Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama (dalam menerima balasan).
    Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan beroleh Syurga tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.
    Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka; tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: \”Rasalah azab neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu\”.} (As-Sajdah 32: 18-20)
  4. Ini kerana ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan iaitu terlepas dari azab dan mendapat segala nikmat yang diingini, yang tidak terbayang.
  5. Firman Allah s.w.t:
    {Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya.} (A-li\’Imraan 3:185)
  6. Ini adalah perbandingan yang tidak boleh dibanding! Cuma Allah s.w.t bawa bandingan ini untuk kita beringat, berhati-hati, berfikir, sentiasa muhasabah diri dan bertaqwa kepada Allah, agar tidak kerugian masa & tenaga untuk sentiasa membuat persiapan diri, untuk bertemu dengan Allah Azza wa Jalla.

AYAT 21- {SEKIRANYA KAMI TURUNKAN AL-QURAN INI KE ATAS SEBUAH GUNUNG, NESCAYA ENGKAU MELIHAT GUNUNG ITU KHUSYUK SERTA PECAH BELAH KERANA TAKUT KEPADA ALLAH. DAN (INGATLAH), MISAL-MISAL PERBANDINGAN INI KAMI KEMUKAKAN KEPADA UMAT MANUSIA, SUPAYA MEREKA MEMIKIRKANNYA.} (AL-HASY-R 59:21)

  1. Kemudian Allah s.w.t buat bandingan lagi: Apa yang akan berlaku jika al-Quran ini diturunkan ke atas sebuah gunung yang besar atas dunia ini???
  2. Allah nyatakan bahawa kamu akan melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah.
  3. Firman Allah s.w.t tentang kisah Nabi Musa a.s:
    {Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: \”Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (Zat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu\”. Allah berfirman: \”Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku\”,
    Setelah Tuhannya \”Tajalla\” (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) \”Tajalli-Nya\” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: \”Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada-Mu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku).} (Al-A\’raaf 7:143)
  4. Munasabah ayat:
    i- Setelah Allah s.w.t terangkan tentang golongan yang kufur ingar dan setelah Allah memerintahkan orang yang beriman agar tetap melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya;

ii- lalu diberi misal perbandingan dengan al-Quran yang mengandungi berbagai pengajaran dan segala hidayah petunjuk dan – yang jika diturunkan ke atas gunung, dan gunung itu diberi akal fikiran untuk memahami isi kandungannya, pasti gunung itu akan khusyuk serta hancur terbelah kerana gerun takut akan kemurkaan Allah jika ia cuai tidak mampu untuk menunaikan perintah-Nya.

Tetapi bagaimana dengan hati manusia yang masih keras membatu untuk menerima arahan Allah s.w.t dan keras dalam melakukan ketaatan!

Kenapa hati manusia ini keras?
Kerana kita tidak tadabbur al-Quran, tidak teliti kepada makna dan isinya dan ambil perhatian apa yang Allah mahu beritahu kepada kita. Kita tidak ambil iktibar dan pengajaran dari al-Quran. Jka baca pun hanya baca tanpa fahaman dan tadabbur yang betul. Maka tidak akan dapat manfaat dan pengajaran yang sepatutnya dari al-Quran!

  1. Firman Allah s.w.t:
    {Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.} (Al-Baqarah 2:74)
  2. Makhluk-makhluk ciptaan Allah semuanya beribadat dan takut kepada Allah serta benci kepada manusia yang buat maksiat dekat mereka.
  3. Tujuan Allah s.w.t bawa bandingan, contoh-contoh dan misal-misal perbandingan dalam al-Quran ini kepada manusia, supaya mereka memikirkannya lalu ambil pengajaran!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 18- {Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah..}- ayat ini menunjukkan galakan kepada bertaqwa kepada Allah s.w.t dan arahan untuk bersegera dalam beramal hatta digunakan feel madhi (مَّا قَدَّمَتْ) (فعل الماضي) yang telah lepas. Supaya kita bersegera buat amal seolah dah terjadi, jangan tangguh-tangguh lagi! Yang lepas adalah apa yang kita milik yang akan datang kita tidak tahu lagi!

Apa yang telah kamu buat, apa yang telah kamu beramal untuk hari akhirat? Yakni wajib kita kaji dan muhasabah diri kita, jika ada kelemahan dan kekurangan segera baiki dan baik-pulih! Baiki apa yang tak kena, tambahkan apa yang kurang!

Manusia bahagia bila dapat mencari kelemahan dirinya sendiri.
Manusia celaka mencari kelemahan orang lain untuk disebar dan ditularkan!

Jangan dok berbalah dengan orang, cari kekurangan orang lain TETAPI berbalah dengan diri kita sendiri, cari kelemahannya untuk dibaiki!

  1. Ayat 18- {dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat).}- makna esok (غدا) ini bukan hari esok yang 24 jam selepas hari ini!

Tetapi ertinya adalah hari yang berbeza, hari lain. Hari ini adalah hari dunia sekarang ini manakala esok adalah hari lain iaitu hari Akhirat.

ini kerana Allah s.w.t mahu gambarkan kepada kita bahawa hari Kiamat itu dekat dengan kita, tidak lama lagi.

Allah s.w.t suruh kita buat persiapan untuk hari esok, hari Kiamat yang akan datang tidak lama lagi. Maka ini akan menggerakkan hati kita untuk bersegera beramal dan banyak membuat persiapan yang sepatutnya! Kerana kita tahu esok akan datang!

  1. Ayat 20- {Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; – ayat ini memberi peringatan buat manusia yang lupa!
    Iaitu lupa untuk untuk berfikir, membuat pebandingan, kajian dan pengajaran. Maka kita akan tersentap dan bersegera ambil perhatian!

Ayat ini juga menafikan bahawa tiada persamaan lansung antara orang mukmin dan orang kafir- atau ahli syurga & neraka!
Sebagaimana dalam surah as-Sajadah tadi juga- tidak sama! Maka kita cari dan pilihlah yang terbaik!

  1. Ayat 21- {Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah.}- ayat ini memberi arahan kepada kita agar sentiasa memerhatikan nasihat-nasihat bimbingan dalam al-Quran!

Ia juga memberi amaran bahawa tiada alasan untuk manusia yang beriman untuk tidak mengkaji dan tadabbur al-Quran.
Kamu manusia yang ada akal ada otak; kenapa tidak mahu tadabbur al-Quran, berfikir dan ambil pengajaran dari al-Quran yang diturunkan kepada kamu.

Maka Allah buat bandingan bukit atau gunung yang begitu besar dan keras itu, jika turun al-Quran ke atasnya akan hancur dan khusyuk kerana takutkan Allah s.w.t!
Tetapi malangnya jika hati manusia yang kecil dan lemah ini, apabila mendengar ayat al-Quran tidak memberi kesan, maka amat rugi sekali!

Maka supaya hati kita yang kecil dan lemah ini tidak keras dan menjadi lembut, sentiasalah menghayati nasihat yang terdapat dalam al-Quran, buat kajian tadabbur tentang isi kandungannya.

Boleh dengar kuliah AAM tentang bagaimana ulama\’-ulama\’ bertadabbur al-Quran- AAM 2022 Bersama Al-Quran:
https://youtube.com/playlist…

  1. Ayat 21- {Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.}- ayat ini sekali lagi memberi arahan supaya kita tadabbur al-Quran, memahamai al-Quran dan berfikir sentiasa.
    Kata seorang ulama\’ salaf al-Hasan al-Basri: Wahai anak Adam. Jika syaitan datang membisik-bisik keraguan dan hasutan kepada kamu, membuat was-was; maka bacalah ayat al-Quran ini!

Bukit pun boleh pecah kerana takutkan al-Quran takkan hati aku yang kecil dan lemah ini tidak terkesan dengan al-Quran, tidak boleh takut kepada Allah s.w.t!

Ini supaya kita berfikir dan muhasabah, apabila lihat kepada gunung dan bukit; ambik iktibar & pengajaran, bukan hanya sekadar pergi berkelah semata.

Ya Allah! Jadikan kami orang yang berfikir, orang yang tadabbur al-Quran, orang yang takut kepada Allah maka akan buat segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Powered by BetterDocs