LARANGAN DARI MEMPERLI, MENGHINA & MEMBERI GELARAN BURUK KEPADA SESAMA UMAT ISLAM.
Full video : https://youtu.be/bD-ehNKCSps
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini hanyalah satu ayat tetapi mengandungi perbincangan & banyak larangan dan peringatan.
- Pertama adalah larangan dari mencemuh, memperli, menghina & memberi gelaran buruk kepada orang lain.
- Yakni kita tidak boleh menghina orang, kata tidak baik, jangan mengeluarkan perkataan tidak sopan dan menyakitkan hati kawan serta jangan memberi gelaran buruk terhadap orang lain samada di depan atau belakangnya.
Jika gelaran yang dia suka tidak mengapa. - Munasabah ayat: Dalam akhir ayat yang lepas Allah s.w.t mengingatkan kepada kita bahawa sesungguhnya orang berimana itu bersaudara. Maka apabila bersaudara mestilah kita layan dan bermu\’amalah dengannya dengan baik. Tidak boleh khianat, perli atau menghinanya.
Maka ayat ini mengingatkan kita agar jangan merosakkan ukhuwwah persaudaraan itu dengan menghina, memerli, membuka keaiban dan memberi gelaran buruk terhadap satu sama lain.
- Dalam ayat ini juga Allah s.w.t sebut khas larangan ini secara berasingan antara lelaki dan perempuan walaupun ia adalah larangan dan peringatan yang sama. Ini menunjukkan betapa besar dan pentingnya larangan ini untuk diambil perhatian!
AYAT 11- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JANGANLAH SESUATU PUAK (DARI KAUM LELAKI) MENCEMUH DAN MERENDAH-RENDAHKAN PUAK LELAKI YANG LAIN, (KERANA) HARUS PUAK YANG DICEMUHKAN ITU LEBIH BAIK DARIPADA MEREKA; DAN JANGANLAH PULA SESUATU PUAK DARI KAUM PEREMPUAN MENCEMUH DAN MERENDAH-RENDAHKAN PUAK PEREMPUAN YANG LAIN, (KERANA) HARUS PUAK YANG DICEMUHKAN ITU LEBIH BAIK DARIPADA MEREKA; DAN JANGANLAH SETENGAH KAMU MENYATAKAN KEAIBAN SETENGAHNYA YANG LAIN; DAN JANGANLAH PULA KAMU PANGGIL-MEMANGGIL ANTARA SATU DENGAN YANG LAIN DENGAN GELARAN YANG BURUK. (LARANGAN-LARANGAN YANG TERSEBUT MENYEBABKAN ORANG YANG MELAKUKANNYA MENJADI FASIK, MAKA) AMATLAH BURUKNYA SEBUTAN NAMA FASIK (KEPADA SESEORANG) SESUDAH IA BERIMAN. DAN (INGATLAH), SESIAPA YANG TIDAK BERTAUBAT (DARIPADA PERBUATAN FASIKNYA) MAKA MEREKALAH ORANG-ORANG YANG ZALIM.} (AL-HUJURAAT 49:11)
- Inilah seruan kepada orang yang beriman yang keempat. {Wahai orang-orang yang beriman!- يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا}
Sebagaimana kata Abdullah Ibnu Mas\’ud r.a: \”Apabila kamu semua mendengar firman Allah S.W.T yang berbunyi \'(يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا), maka dengarlah dengan teliti kerana padanya mengandungi kebaikan yang diperintahkan atau keburukan yang ditegah olehnya\”. [Athar Riwayat Abu Hatim dan lain-lain.]
- Dalam ayat ini Allah s.w.t melarang khas kepada semua hamba-Nya yang beriman baik lelaki mahupun perempuan agar jangan menghina mencemuh atau memerli orang lain. Sedangkan boleh jadi orang yang dihina itu lebih baik daripada orang yang menghinanya.
- Dalam ayat ini Allah s.w.t sebut secara berasingan khas untuk lelaki dan wanita sedangkankan biasanya apabila diseru dengan {Wahai orang-orang yang beriman!- يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا} sudah termasuk keduanya, tetapi Allah sebut dua-dua lelaki dan wanita untuk menunjukkan betapa pentingnya sifat & akhlak ini.
- Maksudnya {يَسْخَر}- iaitu mencemuh dan memerli dengan niat merendah-rendah dan menghina orang itu yang dirasakan lebih buruk daripadanya.
- Larangan kedua ialah: Mengaibkan orang lain dengan membuka rahsia keburukannya, mendedahkan kelemahan dan kekuranganya yang boleh menghina dan memalukannya tanpa sebab yang sah!
- Larangan ketiga ialah: Melemparkan gelaran yang tidak disukai oleh seseorang walaupun ia adalah hakikat atau label melabel seperti pada hari ini.
- Ayat ini memberi peringatan besar kepada kita dan ia adalah berdosa! Sesiapa yang tersalah buat maka dia kena bertaubat dan menyesali perbuatannya.
Sesiapa yang tidak bertaubat maka dia adalah manusia yang zalim. - Hadis Rasulullah s.a.w:
\”الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ\”
\”Orang muslim itu adalah saudara muslim lainnya, ia tidak boleh berbuat aniaya terhadapnya dan tidak boleh pula menjerumuskannya.\” [HR Muslim].
Maka jangan sesekali kamu merosakkan persaudaraan itu dengan menghina mencemuh memberi gelaran buruk kepada saudara kamu sendiri .
- Allah s.w.t larang satu kaum (قَوْمٌ) dari mencemuh satu kaum (مِنْ قَوْمٍ) yang lain tetapi ia bermaksud sama saja walaupun hanya seorang saja yang melakukan perbuatan itu.
Ini kerana walaupun seorang sahaja yang bercakap dan berbuat begitu tetapi orang ramai yang ada bersamanya samada di dalam majlis nyata atau dalam grup di alam maya tidak membantahnya maka mereka semua terlibat sama seolah sama-sama melakukan perbuatan tersebut. Jika tidak mampu nak bantah maka kita ingkari perbuatan munkar itu dengan keluar dari majlis atau grup tersebut!
- Apakah maksud perbuatan mencemuh {يَسْخَرْ } itu?
Kata Imam at-Tobari: Ulama\’ tafsir membawa beberapa maksud untuknya:
i- orang kaya menghina orang miskin. Maka kita dilarang hina orang kerana kefaqirannya. Tetapi jika dia faqir tetapi kita tegur tentang keburukan akhlaknya boleh.
ii- Allah s.w.t larang kita dari mendedahkan perbuatan seseorang beriman yang baik dan soleh asalnya, tetapi dia terfitnah dengan sesuatu perbuatan buruk, seperti cenderung kepada wanita dan lain-lain. Jangan terus sebar dan viralkan, beri nasihat dan teguran biar dia sedar terlebih dahulu. Beri amaran agar dia bertaubat jika tidak akan diambil tindakan.
iii- semua perbuatan, percakapan dan mimik muka yang boleh menghina orang termasuk dalam larangan ini.
iv- ada juga ahli tafsir kata memerli itu boleh jadi juga dengan gerak-gerinya; seperti si tempang, si pendek dan seumpamanya. Juga dari percakapannya seperti si gagap, si gugup dan lain-lain. Ini termasuk juga dalam \’mencemuh\’.
- Kata Imam Ghazali rhm. dalam kitabnya Ihya\’ Ulumuddin: Mencemuh itu maksudnya menghina orang dan mencanang kelemahan orang supaya orang lain ketawa. Ia boleh jadi dengan perbuatan atau dengan isyarat. Jika kita hina di depan-depan ia akan jadi menghina yang mengandungi makna mengumpat juga.
- Perangai menghina orang ini ialah perangai kafir pada zaman jahiliyyah lagi.
Firman Allah s.w.t:
{Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman.} (Al-Baqarah 2:212)
- Rasulullah s.a.w juga melarang perbuatan ini dalam hadisnya:
i- Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya. Jangan kamu menzalimi dan membiarkannya disakiti tanpa diberi pertolongan dan jangan kamu menghinanya.\” [HR Muslim].
ii- Hadis riwayat Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
لَا يَسْتُرُ عَبْدٌ عَبْدًا فِي الدُّنْيَا، إِلَّا سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: \”Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat.\” [HR Muslim (2590)].
- Dalam ayat yang sama Allah s.w.t ingatkan kepada para wanita secara khas juga: {Dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;}.
- Kata-kata menarik dari ulama\’ Salaf: Kenapa kita nak hina orang dan bangga diri? Jika kita lihat orang tua kita katakan dia telah lama hidup pasti telah banyak dia melakukan amala ibadat, solat baca al-Quran, mengerjakan haji dan lain-lain ibadat yang lebih banyak dari kita.
Jika lihat orang yang lebih muda pula, kita katakan bahawa dia masih muda dari saya walaupun mungkin tak banyak lagi ibadatnya tetapi pasti dia lebih sedikit keburukan dan maksiat yang dilakukannya daripada diriku!
Ilmu meletakkan sangkaan baik kepada orang lain amat penting, barulah kita tidak akan menghina orang lain!
16.Larangan kedua pula ialah agar jangan menyatakan keaiban orang { وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ}- iaitu seolah membuat tuduhan buruk terhadap orang lain, mengatakan orang itu begitu begini.
- Tetapi kenapa Allah s.w.t kata {jangan hina diri kamu- وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ}??? In kerana apabila kita hina orang pasti dia akan hina kita balik! Maka seolah kita buka ruang untuk dihina diri sendiri!
- Sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w:
Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda:
\”Di antara dosa besar adalah seorang lelaki memaki kedua orang tuanya.\”
Maka ditanyakan kepada Rasulullah ﷺ , \”Apakah ada seorang mencaci-maki kedua orang tuanya?\”
Rasulullah ﷺ bersabda, \”Ya, ada. Seseorang mencaci ayah orang lain, maka orang lain tersebut kembali mencaci ayahnya. Dan (demikian juga) ia mencaci maki ibu orang lain, lalu orang lain tersebut mencaci ibunya pula.\” [HR Bukhari & Muslim]. - Hadis- Daripada Ibn Umar R.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: \”Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.\” [HR Abu Daud].
- Kata ulama\’ salaf lagi: Sesiapa yang hina kawannya yang berdosa, maka dia tidak akan mati kecuali dia akan terkena tempias dosa tersebut walaupun dia tidak melakukannya!
- Imam Malik rhm. berkata:
\”Aku kenal di Madinah ini seorang yang baik akhlaknya & peribadi tetapi dia terjebak dengan perbuatan menghina dan membongkar rahsia orang, akhirnya Allah bagi dia keaiban dan orang ramai bongkar rahsianya!
Aku juga kenal di Madinah ini seorang yang sebaliknya, tidak berapa baik akhlaknya tetapi dia tidak sibuk dengan keburukan orang lain, Allah sembunyikan rahsianya dan akhirnya dia bertaubat kepada Allah s.w.t.\” - Maka marilah kita jaga diri kita, hati-hati dalam mendedahkan keburukan orang, ingatlah jika rahsia kita didedahkan pula oleh Allah s.w.t ke mana lagi kita nak lari!
- Tetapi kita disuruh mencegah kemungkaran bagaimana pula, sedangkan kita juga dilarang dari mendedah rahsia keburukan orang?
Memang benda mungkar wajib kita kena larang, nasihat & ambik tindakan, tetapi bukan bermakna larang itu mendedahkan kepada umum. Ada cara dan jalannya tersendiri.
- Firman Allah s.w.t: {Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji,} (Al-Humazah 104:1).
- Hadis- dari Abdullah bin Umar r.a bahawa dia mendengar sabda Rasulullah s.a.w: \”Siapa yang kata (tuduh) sesuatu yang tidak ada pada seorang mukmin, Allah s.w.t akan letakkan dia dalam neraka yang dipenuhi air nanah, dia tidak akanblh keluar dari neraka itu sehingga dia keluarkan tuduhan daripada orang itu!\” [HR Abu Daud].
- Larangan ketiga: {dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.}- memberi gelaran yang buruk dan menghina, realiti hari ini termasuk dengan melabel orang dalam kumpulan tertentu yang dianggap sesat, ia satu perbuatan yang buruk dan berat untuk kamu bertemu dengan Allah s.w.t kelak!
- Kata Imam an-Nawawi dalam kitab al-Azkar: Sepakat ulama\’ mengatakan haram untuk memanggil seseorang dengan gelaran yang tidak disukainya! Tetapi untuk pengenalan dan pengecaman tidak mengapa, bukan dengan niat menghina!
- Sabab turun ayat: Dari Abu Jabirah Ibnu adh-Dhahhak al-Ansari r.a berkata: \”Ayat ini turun berkenaan dengan kami, Bani Salamah. Pada ketika Nabi s.a.w tiba di Madinah, setiap lelaki dari kami pasti memiliki dua atau tiga nama panggilan.
Suatu ketika, Nabi s.a.w memanggil salah seorang dari mereka dengan nama tertentu (kerana Baginda tidak tahu, ikut lain orang panggil).
Orang-orang lalu berkata, \”Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia marah dengan panggilan tersebut.\’ Tidak lama kemudian, turunlah ayat ini; {dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.}\” [HR Ahmad].
- Larangan tersebut adalah kerana boleh menyebabkan seseorang itu menjadi fasiq! Seburuk-buruk gelaran kepada seseorang adalah gelaran fasiq setelah beriman!
Maka beringatlah manusia semua, atas dunia ini kamu bebas saja membuat label, membuat senarai hitam dan tuduhan ke atas orang tertentu, kepada orang yang kamu tidak suka,maka tunggulah kamu di Akhirat kelak, apa yang berlaku ke atas kamu!
- Allah kata sesiapa yang tidak berhenti dari perbuatan ini, menggelar dan melabel orang; maka dia adalah orang zalim terhadap dirinnya sendiri kerana dia telah meletakkan dirinya untuk dibicarakan di hadapan Allah s.w.t kelak!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 11- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;}- ayat ini Allah tujukan kepada orang yang beriman, menunjukkan bahawa orang yang mantap imannya tidak akan hina orang lain, tidak akan buat kelakuan ini!
Orang yang hilang title iman yang mantap maka dia berbuat sedemikian. Maka hati-hatilah; sesiapa yang sayang kepada imannya jauhilah perbuatan buruk ini.
- Ayat 11- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;}- ayat ini menjadi hak kepada orang beriman agar jangan sekali-kali menghina saudara muslim yang lain dalam apa bentuk saja baik perbuatan, perkataan atau penulisan.
Sesiapa yang menghina orang dia telah terpedaya dengan syaitan yang menjadikan dia berasa dirinya sempurna dan lengkap! Jika kita rasa diri kita lemah & tidak sempurna kita tidak akan hina orang lain!
Hadis: Sabda Rasulullah s.a.w: \”Sesiapa yang menghina saudaranya yang muslim cukuplah menjadi tanda bahawa dia adalah orang yang tidak baik.\” [HR Muslim].
- Ayat 11- {(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;}- kita harus percaya bahawa orang lain itu lebih hebat dan baik daripada kita! Juga kita wajib orang yang dihina itu lebih baik sebenarnya lebih dari orang yang menghinanya!
Kerana kita tidak tahu yang batin, apa yang tersembunyi dalam hati orang, apa yang kita nampak hanya yang zahir sahaja.
Kita betulkan hati kita dengan anggapan dan perasaan ini; bahawa semua orang itu lebih baik daripada kita serta jangan sekali-kali menghina orang lain!
- Ayat 11- {وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ – jangan kamu hina diri sendiri}- yakni apabila kita hina orang lain seolah kita mengundang penghinaan ke atas diri kita sendiri pula!
Kisah Syeikh Ibnu Sirin rhm.: \”Dulu, aku pernah berkata kepada seseorang: Wahai si muflis! Maka sekarang Allah s.w.t bayarnya kepadaku sebelum aku mati dengan menjadikan aku seorang muflis juga akibat kerugian dalam perniagaan!\”
*Kerugian itu kerana minyak yang dijualnya ada kerosakan lalu sebagai sorang yang warak dan telus, dia tidak sanggup menjualnya demi mendapat keuntungan dengan menipu pelanggan. Akibatnya dia mengalami kerugian yang besar dan tidak dapat membayar hutangnya, lalu diisytiharkan muflis dan dimasukkan ke penjara.
Orang yang baik akan terus nampak kesalahannya sendiri walaupun ia telah berlalu puluhan tahun yang lalu dan menyesalinya!
Kita minta berlindung dari kemurkaan Allah s.w.t!
Maka jangan buat gelaran buruk terhadap orang lebih-lebih lagi gelaran atau label yang menampakkan seseorang itu sangat buruk dan sesat, ia akan mengundang bala besar di sisi Allah s.w.t di Akhirat kelak!
- Ayat 11- { Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.}- taubat ini satu perkara yang wajib kita buat.
Mudah untuk kita bertaubat jika hanya berdosa dengan Allah s.w.t. Kita insaf dan berhenti melakukannya!
Tetapi jika berdosa dengan manusia masalah ulama\’ kata kita kena buat beberapa perkara:
i- minta maaf dengan dirinya sendiri serta nyatakan apakah kesalahan kita.
ii- istighfar meminta ampun & bertaubat.
iii- memuji dirinya dengan sebaliknya apa yang kita hina dia dulu!
Serta di mana dan dengan medan mana kita buat penghinaan itu, di situlah kita iklan pula kebaikannya untuk menyapu kembali tuduhan dan kesalahan yang kita buat!
Hadis Rasulullah s.a.w: \”Barangsiapa yang menanggung kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain, sama ada mengenai maruah dan kehormatan atau apa-apa perkara lain (mengambil harta orang lain) maka bersegeralah untuk meminta keampunan sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya. [HR Tirmizi 2419]
Kata ulama\’ Salaf: Kita kena sentiasa bertaubat setiap waktu siang & malam serta apabila setiap kali kita merasa telah tersalah dan berbuat dosa.
Siapa yang tidak bertaubat, dia telah menzalimi dirinya sendiri kerana dia akan meletakkan dirinya dalam kehinaan di hadapan Allah s.w.t di Akhirat kelak!
Maka kita jauhilah tiga larangan ini agar kita terselamat dunia & Akhirat.