View Categories

SURAH AL-INSAN : AYAT 1-3

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH & KEJADIAN MANUSIA DAN ALLAH TUNJUKKAN JALAN

Full video : https://youtu.be/46pioFovxDY?si=MajLKRRGxMg3nsy_

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Ahad 18 Ramadhan 1444H bersamaan 9hb April 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Insan – سورة الإنسان.
  2. Syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya.

Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.

  1. Surah Al-Insan – سورة الإنسان adalah surah ke-76 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Al-Qiyamah – سورة القيامة – surah yang kesepuluh dalam juz ke 29, mengandungi 31 ayat yang pendek-pendek.
  2. Ulama\’ tafsir mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

Tetapi ada juga khilaf yang kata surah ini Madaniyyah, yakni diturunkan di Madinah.

  1. Mengikut kajian yang dibuat oleh ulama\’ tafsir seperti Ibnu Asyur rhm.: Lebih tepatnya Surah ini Makkiyyah kerana berdasarkan gaya bahasa & isi kandungannya yang sama dengan tertib mengikut surah-surah lain yang turun di Makkah. Banyak cerita tentang Kiamat & Akhirat.
  2. Dalam surah ini Allah s.w.t ceritakan tentang kejadian manusia. Kemudian Allah beri kita dua pilihan jalan, jalan yang Allah s.w.t tunjuk atau jalan yang sebaliknya!
    Tetapi bukan bererti kita bebas setelah membuat pilihan ini; jika pilihan kita salah kita akan dipersoalkan di hadapan Allah s.w.t kelak!

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai :
    i- Surah Al-Insan – سورة الإنسان yang bermakna {Manusia} kerana pada awal surah Allah s.w.t menegaskan tentang penciptaan manusia, daripada tiada kepada ada.
    Juga tentang manusia yang tergamak kufur ingkar kepada Allah s.w.t & tidak percaya kepada hari Akhirat.
  2. Surah in mempunyai 5 nama:
    i- Al-Insan.
    ii- pada zaman sahabat ia terkenal dengan nama { هَلْ أَتَىٰ عَلَى ٱلْإِنسَـٰنِ}.
    iii- surah ad-Dahri (ٱلدَّهْرِ- masa).
    iv- surah al-Abrar (orang yang baik-baik).
    v- surah Amsyaj (أَمْشَاجٍۢ- air mani yang bercampur)- kerana perkataan ini mungkin tidak ada dalam surah lain!

FADHILAT SURAH :

  1. Surah ini sunat dibaca oleh imam pada rakat kedua dalam solat subuh pada hari Jumaat.
  2. Dalilnya hadis riwayat Abu Hurairah r.a:
    \”Bahawa Rasulullah s.a.w dalam solat subuh pagi Jumaat membaca pada rakat pertama
    { الٓمٓ ١ تَنزِيلُ ٱلْكِتَـٰبِ}
    iaitu surah as-Sajadah dan membaca
    { هَلْ أَتَىٰ عَلَى ٱلْإِنسَـٰنِ}
    yakni surah al-Insan.\” [HR Bukhari &Muslim].
  3. Yang terbaiknya kita ikut dengan baca dua surah begini. Tetapi jika terlalu panjang dan tidak sesuai bagi sesetengah Jemaah yang tua & uzur, boleh bergilir-gilir baca satu surah saja dalam setiap solat. Wallahu a\’lam.
  4. Hikmah kenapa sunatnya baca dua surah ini pada solat subuh hari Jumaat:
    i- kerana dua surah ini mengandungi kisah awal kejadian manusia
    ii- sehingga ke akhir perjalanan manusia iaitu hari Kiamat.
    iii- disebut perhimpunan manusia di Akhirat, mereka keluar dari kubur dihisab kemudian dimasukkan ke dalam syurga & neraka.
    iv- Kiamat akan berlaku pada hari Jumaat, maka dibaca surah ini untuk mengingatkan manusia tentang kematian & Kiamat lalu membuat persiapanan yang sepatutnya!

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menerangkan asal-usul kejadian manusia dan ujian yang dikenakan ke atasnya serta kewajipan-kewajipan lain.
    Oleh sebab itu ia dilengkapan kepadanya panca-indera pendengaran & penglihatan untuk mendengar nasihat pengajaran & menyaksikan bukti & dalil-dalil. Inilah dua cara untuk mendapat ilmu & maklumat- tegok & dengar!
  2. Memandangkan keadaan dua alat tidak mencukupi maka Allah s.w.t telah menunjukkan kepadanya akal & hantar Rasul-Nya s.a.w untuk menunjukkan jalan yang benar & jalan yang salah! Maka terserahlah kepadanya samada dia beriman & taat atau kufur ingkar!
  3. Kemudian diterangkan balasan sebaik-baiknya yang akan diperolehi oleh orang yang beriman serta akibat buruk bagi yang menentang kebenaran.
  4. Surah ini ditutupkan dengan menegaskan bahawa segala keterangan yang disebutkan adalah menjadi peringatan, maka sesiapa yang mahu kebaikan bagi dirinya, bolehlah dia mengambil jalan yang diredhai Allah!
  5. Dalam pada itu tiadalah manusia berkemahuan melakukan sesuatu perkara melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah s.w.t!
    Dia memasukkan sesiapa yang dikehendaki menurut peraturan yang ditetapkan ke dalam rahmat-Nya!
    Sebaliknya bagi orang yang zalim disediakan balasan yang buruk, yang sesuai dengan perbuatan jahat masing-masing.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah Allah nyatakan tentang kejadian anak Adam Serta terbahagi mereka kepada beberapa bahagian: lelaki atau perempuan serta khunsa jarang-jarang.
  2. Kemudian terbahagi pula kepada yang beriman & tidak beriman. Semua mereka akan dipertemukan nanti di akhirat untuk menerima balasan masing-masing.

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t memperingatkan manusia tentang nikmat-nikmat-Nya yang banyak ke atas mereka-di jadikan dari air mani yang bercampur antara lelaki & perempuan- beri dua alat untuk menerima ilmu iaitu penglihatan & pendengaran serta diberi akal untuk memilih jalan yang baik & buruk.
  2. Allah s.w.t sebut nikmat-nikmat yang disediakan bagi orang yang melakukan ketaatan & bertaqwa kepada Allah s.w.t.
  3. Amaran keras kepada puak kafir dengan buruknya akibat jika mereka tidak beriman.
  4. Mengisbatkan bahawa al-Quran ini dari sisi Allah s.w.t.
  5. Allah sebut anugerah-Nya yang besar ke atas Rasulullah s.a.w dengan menurunkan al-Quran kepadanya.

Serta Allah s.w.t perintahkan Baginda supaya bersabar, sentiasa mengingati Allah, bersujud & bertasbih kepada-Nya.

Bilakah al-Quran turun?
Terdapat beberapa pendapat & tarikh, tetapi berdasarkan kajian para ulama\’, tarikh yang lebih tepat ialah 24hb Ramadhan bukan 17hb. Wallahu a\’lam.

  1. Allah juga menyatakan bahawa kehendak Allah ( الإرادة والمشيئة الله) mengatasi segala kehendak makhluk.
    Kita merancang atau mahu sesuatu tetapi ia tetap akan berlaku apa yang telah Allah s.w.t tetapkan.

Munasabah Surah Al-Insan – سورة الإنسان dengan Surah Al-Qiyamah -سورة القيامة sebelumnya;
Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Qiyamah – سورة القيامةل:

  1. Dalam Surah Al-Qiyamah Allah s.w.t menyebut pada akhirnya tentang kejadian manusia. Ayat-ayat terakihir.

ii- Dalam permulaan Surah Al-Insan – سورة الإنسان ini Allah s.w.t sebut tentang penciptaan Nabi Adam, bapa segala manusia daripada tanah, kemudian dicipta manusia daripada air mani yang bercampur antara lelaki & perempuan.

Kemudian Allah lengkapkan kepadanya dua alat untuk menerima maklumat- penglihatan & pendengaran.

Kemudian Allah s.w.t tunjukkan jalan pilihlah mana yang mahu, yang baik atau buruk- akhirnya terhasillah dua golongan manusia, ada yang beriman ada yang kafir.

  1. Dalam Surah Al-Qiyamah Allah s.w.t sebut sifat syurga & neraka secara umum.
    ii- dalam surah Al-Insan Allah s.w.t perincikan sifat keduanya dengan sifat syurga lebih panjang & terperinci.
  2. Pada akhir Surah Al-Qiyamah Allah sebut huru-hara yang akan berlaku ke atas puak kafir pada hari Kiamat.
    ii- dalam Surah ini sebut bahawa orang yang baik-baik {الأبرار} akan berada dalam nikmat yang besar!

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {الأبرار}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
AYAT 1- {BUKANKAH TELAH BERLALU KEPADA MANUSIA SATU KETIKA DARI MASA (YANG BEREDAR), SEDANG IA (MASIH BELUM WUJUD LAGI, DAN) TIDAK MENJADI SESUATU BENDA YANG DISEBUT-SEBUT, (MAKA MENGAPA KAUM MUSYRIK ITU MENGINGKARI HARI AKHIRAT)?} (AL-INSAAN 76:1)

  1. Telah berlalu satu ketika peredaran masa ke atas manusia sebelum dia diwujudkan lagi dan tidak disebut sebagai apa-pun.
  2. Ulama\’ kata maksudnya Insan { ٱلْإِنسَـٰنِ} di sini ada dua pandangan:
    i- iaitu Nabi Adam a.s. sebelum dicipta Adam sudah ada makhluk lain seperti malaikat, iblis dan lain-lain.
    ii- manusia keseluruhannya sebagai bukan makhluk pertama yang diciptakan.

AYAT 2- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH ATURKAN CARA MENCIPTA MANUSIA BERMULANYA DARI AIR MANI YANG BERCAMPUR (DARI PATI BENIH LELAKI DAN PEREMPUAN), SERTA KAMI TETAP MENGUJINYA (DENGAN KEWAJIPAN-KEWAJIPAN); OLEH ITU MAKA KAMI JADIKAN DIA BERKEADAAN MENDENGAR DAN MELIHAT.} (AL-INSAAN 76:2)

  1. Dinyatakan di sini bagaimana manusia itu dijadikan. Iaitu semuanya melalui proses percampuran air mani antara lelaki & perempuan.
  2. Semua ini untuk diujinya dengan pelbagai ujian atas dunia ini. Ujian dengan tanggung-jawabnya yang banyak- kepada Tuhannya, kepada sesama manusia secara umum, kepada ibu bapa, anak isteri dan semuanya.
  3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t ini:
    {Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);} (Al-Mulk 67:2)
  4. Untuk menghadapi ujian ini maka Allah jadikan bagi mereka panca-indera untuk mendengar dan melihat serta akal (hati) untuk berfikir dan memilih.

Tetapi ini tidak mencukupi- lalu Allah beritahu dalam ayat seterusnya :

AYAT 3- {KERANA KEADAAN ITU TIDAK MENCUKUPI, MAKA) SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENUNJUKKAN KEPADANYA (MELALUI AKAL DAN RASUL) AKAN JALAN-JALAN (YANG BENAR DAN YANG SALAH; MAKA TERSERAHLAH KEPADANYA) SAMA ADA IA BERSYUKUR (DENGAN BERIMAN DAN TAAT), ATAUPUN IA BERLAKU KUFUR (DENGAN MENGINGKARI KEBENARAN ATAU MENDERHAKA).} (AL-INSAAN 76:3)

  1. Tanpa bimbingan pasti pendengaran & penglihatan saja tidak cukup.
    Maka Allah juga telah beri akal & hantar Rasul sebagai pembimbing menunjuk jalan yang benar kepada manusia!
  2. Kemudian gunalah akal itu untuk membuat pilihan jalan yang mana mereka mahu ikut! Samada mereka bersyukur dengan beriman atau taat atau dia berlaku kufur dengan mengingkari kebenaran lalu menjadi jahat!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut,}- surah ini antara surah yang pelik keadaannya.

Surah yang ringkas hanya 31 ayat sahaja tetapi lengkap perbincangannya!
Bermula dari peringkat kejadian manusia, dari air mani yang bercampur kemudian sektul darah, daging dan seterusnya!
kemudian alat yang Allah beri kepada manusia, pendengaran & penglihatan, diberi akal & dihantar Rasulullah s.a.w.

Maka manusia menggunakan akalnya untuk dia pilih jalan mana yang mahu diikutnya; syukur & beriman ATAU kafir & ingkar.

Tidak ada lagi hujjah & alasan untuk tidak beriman kerana sudah ada maklumat yang jelas dari rasul kepada umat masing-masing.

  1. Ayat 1- {Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut,}- Allah s.w.t perkenalkan kepada manusia tentang keadaan dirinya & asal kejadiannya.
    Manusia berasal daripada air mani yang hina, kemudian Allah s.w.t muliakan bani Adam. Maka tidak layak baginya untuk menjadi kufur, angkuh & sombong kepada Allah s.w.t Pencipta-Nya!

Sebagaimana dalam surah yang lepas- kejadian manusia berasal dari dua jalan kencing ibu & ayah, kemudian berjalan bawa tangki septik pula!
Maka sedarlah asal kejadianmu wahai manusia!

  1. Ayat 1- {Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut,}- kata ulama\’ tadabbur- ayat ini menunjukkan bahawa roh kita ini satu makhluk dan bukan benda baru.

Sebelum ini kita tiada, kemudian ditiup roh oleh malaikat setelah berada di dalam perut ibu sebagai janin!
Tentang bilakah roh ini ditiup terdapat perbincangan yang panjang tentangnya!
Boleh baca untuk ilmu & maklumat yang lebih panjang:
https://abuanasmadani.com/proses-kejadian-janin-dan…/

Manusia terdiri daripada jasad & roh, jika tiada roh itu dipanggil mayat!

Selepas kita mati ia akan berpisah dari jasad dan akan berada di alamnya yang khas iaitu alam barzakh- pemisah antara dunia & akhirat. Ia tidak akan kembali ke dunia untuk melihat keadaan keluarganya! Keadaan & nasibnya sendiri terlalu gawat & genting untuk dihadapi.

  1. Ayat 2- {oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.} – ini adalah suatu nikmat yang paling besar yang Allah s.w.t anugerahkan kepada kita, alat yang amat berguna untuk menerima ilmu & maklumat.

Cuma menjadi perbahasan ulama\’ ahli falsafah; mana yang lebih hebat antara mata & telinga?
Berdasarkan hakikat & realiti semasa- pendengaran lebih hebat; kita boleh lihat betapa sejarah telah membuktikan betapa ulama\’ yang hebat & alim terdiri dari orang buta, mereka hafaz al-Quran, bahkan menjadi mufti negara, tetapi tidak orang pekak.

Ada antara nama-nama & sifat yang Allah s.w.t sebut juga kepada makhluk-Nya dan Nabi-Nya serta dalam masa yang sama guna untuk zat-Nya yang mulia!

Yang penting, membincangkan tentang sifat Allah s.w.t kita wajib ingat dan beriman bahawa: {لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌۭ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ} – Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.} [Asy-Syura: 11].

Ayat ini menjadi hujjah kepada golongan Jahmiyyah yang tidak mahu menta\’tilkan sifat Allah s.w.t, terlalu lari sangat kerana takut kepada persamaan dengan makhluk.

Kita berpegang dengan pandangan ulama\’ salafus-soleh bahawa Allah s.w.t dengan sifat-Nya yang mulia dan tidak sama sekali dengan makhluk, itu hak-Nya dan dia tidak menyerupai sesuatupun-
{لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌۭ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ}.

  1. Ayat 3- {Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).}- Allah s.w.t telah tunjukkan kepada manusia dua jalan.
    Terserah kepadanya untuk memilih yang mana.

Kita berdoa kepada Allah s.w.t untuk menunjukkan kepada kita jalan yang lurus iaitu jalan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w!
{ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ}.

Powered by BetterDocs