ALLAH JELASKAN SEBAHAGIAN NIKMAT AHLI SYURGA, BUAH-BUAHAN & MINUMANNYA ZANJABIL.
Full video : https://youtu.be/39QsZLe7CYU?si=qdcZcDTKrQ1obKIJ
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t jelaskan sebahagian daripada keadaan & nikmat ahli syurga golongan al-Abrar.
- Antara nikmat itu ialah bagaimana keadaan buah-buahan dalam syurga, minumannya pula adalah campuran dari zanjabil.
- Dalam siri yang lepas kita telah bincangkan apakah amalan yang melayakkan mereka ini mejadi ahli syurga sebagai motivasi & galakan untuk kita berusaha.
- Untuk maklumat hari ini dalam sejarah:
Ulama\’ sepakat mengadakan Pembukaan Kota Makkah berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-8 H.
Tarikhnya: ada yang kata Rasulullah s.a.w dan para sahabat keluar dari Madinah bergerak ke Makkah pada 10hb Ramadhan.
Sebahagian ulama\’ berpendapat Rasulullah s.a.w tiba dan memasuki Makkah pada 20hb Ramadhan.
Kebanyakan peristiwa penting dalam sejarah Islam berlaku pada bln Ramadhan. - Dengan Pembukaan Kota Makkah ini berakhirlah episod syirik dan penyembahan berhala di Makkah.
Alhamdulillah Makkah telah dibersihkan dengan pengambilan & kemasukan Rasulullah s.a.w.
Kita sekarang ini jika boleh bersihkan tempat-tempat yang menjadi kecenderungan masyarakat ke arah itu supaya tidak berulang seperti umat dahulu!
AYAT 13- {MEREKA BEREHAT DI DALAM SYURGA DENGAN BERBARING DI ATAS PELAMIN-PELAMIN (YANG BERHIAS), MEREKA TIDAK NAMPAK DI SITU ADANYA MATAHARI (USAHKAN HAWA PANASNYA), DAN TIDAK JUGA MERASAI SUASANA YANG TERLAMPAU SEJUK;} (AL-INSAAN 76:13)
- Suasana dalam syurga yang indah & penuh nikmat.
Mereka menyandar berehat { مُّتَّكِـِٔينَ} di atas singgahsana atau pelamin { ٱلْأَرَآئِكِ} yang dihias indah! - Dalam ayat yang lepas kita telah baca beberapa keadaan & sifat ahli syurga.
Hari ini kita baca ayat yang Allah ceritakan tentang gaya duduk, keadaan cuaca dan suhunya pula! - Mereka orang-orang Abrar; tidak nampak matahari atau hawa panasanya!
Dalam syurga tidak ada matahari maka tidak ada panas yang melampau juga tidak ada sejuk terlampau.
Udaranyna nyaman dan ikut kehendak. - Oleh kerana tiada matahari, hari tidak bergerak- tiada pertukaran malam dan siang. Maka ahli syurga umur mereka sentiasa muda dan sihat dalam awal 30 puluhan tidak akan bertambah & tua selamanya! Allahu Akbar!
AYAT 14- {SEDANG NAUNGAN POHON-POHON SYURGA ITU DEKAT KEPADA MEREKA, DAN BUAH-BUAHANNYA PULA DIMUDAHKAN (UNTUK MEREKA MEMETIKNYA) DENGAN SEMUDAH-MUDAHNYA.} (AL-INSAAN 76:14)
- Bayangan pokok-pokok yang merimbun menaungi mereka dengan dekat & buah-buahannya mudah untuk dipetik!
Tidak perlu bersusah untuk bangun memetik atau mengaitnya! - Bayangan ini bukan dari matahari tetapi bayangan dari pokok atau dari cahaya lampunya yang indah!
AYAT 15- {DAN (SELAIN ITU) DIEDARKAN KEPADA MEREKA (OLEH PELAYAN-PELAYANNYA): BIJANA DARI PERAK DAN PIALA-PIALA MINUMAN YANG KEADAANNYA LAKSANA KACA (NAMPAK JELAS ISINYA) -} (AL-INSAAN 76:15)
- Para pelayan syurga pula sentiasa bersedia untuk melayan mereka dengan mengedar bekas dari perak & bekas minuman (piala) yang jernih seperti kaca sehingga boleh nampak jelas isinya.
- Para pelayan syurga {ولدان} ini Allah cipta khas untuk melayan ahli syurga!
AYAT 16- { (KEADAANNYA LAKSANA) KACA, (SEDANG IA) DARI PERAK; PELAYAN-PELAYAN ITU MENENTUKAN KADAR ISINYA SEKADAR YANG CUKUP BETUL DENGAN KEHENDAK PENGGUNANYA.} (AL-INSAAN 76:16)
- Bekasnya diperbuat daripada perak tetapi tetapi ia bersinar jernih seperti kaca yang tembus pandangannya.
AYAT 17- {DAN MEREKA DALAM SYURGA ITU, DIBERI MINUM SEJENIS MINUMAN YANG CAMPURANNYA DARI \”ZANJABIL\”,} (AL-INSAAN 76:17)
- Air minuman mereka pula dicampur dengan zanjabil- iaitu maksudnya halia jika di atas dunia ini. Tetapi pastilah tidak sama dengan yang di dalam syurga.
- Kata Ibnu Kathir rhm. tentang minuman dalam syurga ini:
i- adakalanya di campur dengan kafur kerana ia bersifat sejuk.
ii- kadang-kadang dicampur dengan zanjabil kerana ia panas.
Supaya seimbang diet mereka para al-Abrar. - Manakala bagi para al-Muqarrabun; minuman mereka adalah asli dan tidak bercampur.
Ya Allah kita memohon untuk menjadi ahli syurga yang mendapat keredhaan-Mu.
- Sempena 10 akhir Ramadhan ini kita perbanyakkan doa ini:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى
\”Ya Allah sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Yang Maha Pemaaf,
Engkau suka memberi kemaafan, oleh yang demikian maafkanlah daku.\”
- Kita bacalah apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w ini bukan ikut ajaran orang lain!
Sekarang ini terdapat orang yang mengajar masyarakat untuk membaca beberapa surah tertentu maka akan dapat pahala khatam sepenuhnya!
Semua ini untuk mengajar orang menjadi pemalas!
Kita kata; kita menyeru orang ramai untuk membaca al-Quran sepenuhnya semua ayat-ayat dan surahnya bermula dari al-Fatihah sehingga an-Nas, bukan pilih surah-surah tertentu sahaja.
AYAT 18- {IAITU SEBUAH MATAIR DALAM SYURGA, YANG DISEBUTKAN SIFATNYA SEBAGAI \”SALSABIL\”.} (AL-INSAAN 76:18)
- Terdapat sebuah mata air di dalam syurga yang disebut sifat & namanya sebagai Salsabil.
- Hadis- Seorang pendeta yahudi datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang makanan sambutan untuk ahli syurga untuk menguji Baginda s.a.w:
Dia bertanya: \”Apakah hidangan penduduk syurga ketika mereka memasuki syurga?\”
Baginda menjawab: \”Sejuzuk bahagian hati ikan yang paling lazat.\”
Dia bertanya lagi: \”Apa lagi makanan setelah itu.\”
Baginda menjawab: \”Disembelih untuk mereka lembu jantan syurga yang makanannya di tepi-tepi taman-taman syurga.\”
Dia bertanya: \”Apakah minuman mereka?\”
Baginda menjawab: \”Daripada mata air yang dinamakan salsabila.\”
Katanya: \”Benarlah kamu.\” [HR Muslim].
Yakni dia akui benar kerana ada tentang ini dalam Kitab mereka.
Yakni antara makanan awal ahli syurga adalah:
i- Sejuzuk bahagian hati ikan yang paling lazat.
ii- Lembu jantan.
iii- Air dari mata air yang dinamakan salsabila.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 13- {mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk;}- maksudnya matahari memang tidak ada dalam syurga, yakni tiada kepanasan yang membakar kulit serta sejuk yang mencengkam tulang.
Orang dalam syurga dia tidak akan tengok bulan & matahari, cuacanya tidak panas dan tidak sejuk- suhunya sederhana dan amat nyaman!
Ini kerana matahari & bulan sudah musnah semasa hari Kiamat dan digulung lalu dicampakkan ke dalam neraka.
Bukan keduanya diazab tetapi untuk dilihat oleh para penyembahnya dulu untuk menambah azab dan penyesalan mereka!
- Ayat 14- {Sedang naungan pohon-pohon Syurga itu dekat kepada mereka, dan buah-buahannya pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan semudah-mudahnya.}- naungan atau bayang pokok-pokok syurga dekat dengan mereka.
Maka timbul persoalan: Bukankah matahari sudah tiada; macam mana pula da bayang-bayang????
JAWAPAN :
i- sesungguhnya bayangan atau naungan dalam syurga itu teduhan pokok itu sendiri, bukan bayang matahari!
ii- bayangan atau naungan itu hanya ibarat sahaja, maksudnya nikmat dan kesenangan ahli syurga.
iii- pokok-pokok syurga ini disinari dengan lampu-lampu dari Arasy Allah s.w.t!
- Ayat 15- {Dan (selain itu) diedarkan kepada mereka (oleh pelayan-pelayannya): bijana dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya) -}- mereka dihidangkan dengan bekas-bekas perak.
Persoalan: Kenapa Allah s.w.t hanya sebut bekas perak? Apakah tidak ada bekas emas di dalam syurga?
Jawapan:
i- ayat yang dibincangkan ini ialah tentang golongan al-Abrar yang mendapat nikmat dalam syurga. Dimana minuman mereka dari campuran kafur & zanjabil yang diisi dalam bekas perak!
ii- manakala golongan al-Muqarrabun pula (VIP) yang lebih tinggi lagi darjatnya, terdiri dari golongan yang terawal lain pula. Perhiasan & makanan mereka lain pula, ada emas ada perak dan seumpamanya!
Yakni dalam syurga itu banyak tempat & tingkatannya, ada bekas emas ada bekas perak, ada ahli biasa ada ahli VIP!
Dalilnya firman Allah s.w.t:
{Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan besar dan piala-piala dari emas; dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): \”Kamu adalah tetap kekal di dalamnya\”.} (Az-Zukhruf 43:71)
- Ayat 15- {bijana dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya) -}- bekas perak tetapi seumpama kaca.
Persoalan: Apakah maksudnya?
JAWAPAN :
I- ini kerana kaca yang ada atas dunia ini diperbuat daripada pasir asalnya!
ii- maka dengan kuasa Allah yang Maha Berkuasa, Dia Yang berkuasa menukar kaca daripada pasir, maka Dia berkuasa juga menukar kaca kepada perak!
KATA IBNU ABBAS R.A :
Tidak ada dalam dunia ini apa yang ada di dalam syurga. Hanya nama sahaja yang sama atau seumpamanya tetapi hakikatnya apstilah berbeza & tidak dapat dibayangkan!
iii- memang dia perak tetapi perak berbentuk kaca! Macamana? Itu semua kuasa Allah Azza wa Jalla.
- Ayat 17- {Dan mereka dalam Syurga itu, diberi minum sejenis minuman yang campurannya dari \”Zanjabil\”,}- bagi kita zanjabil ini ertinya halia. Halia adalah sesuatu yang panas.
Tetapi bukan begitu yang ada dalam syurga itu. Ia pastilah sesuatu yang lazat & enak serta menyamankan!
Sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Abbas r.a di atas tadi:
Tidak ada dalam dunia ini apa yang ada di dalam syurga. Hanya nama sahaja yang sama atau seumpamanya tetapi hakikatnya pastilah berbeza & tidak dapat dibayangkan!
Ada yang kata Zanjabil ini nama sebuah mata air dalam syurga, minuman bagi golongan al-Abrar.
Manakala bagi al- Muqarrabun, minuman mereka adalah pati yang asli, tidak ada campuran, kerana mereka adalah golongan yang paling ikhlas amalannya dan dekat dengan Allah s.w.t. Wallahu a\’lam!