JIN YANG BERIMAN DIJANJIKAN SYURGA, MENDAPAT NIKMAT DI DUNIA & ORANG TINGGALKAN QURAN AKAN DIAZAB.
Full video : https://youtu.be/spI19dlFLBM?si=81NOvN2rDqNDvcbI
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan bahawa jin yang beriman dijanjikan syurga, sama seperti manusia yang beriman.
- Allah s.w.t juga memberikan kepada mereka nikmat & rezeki di dunia ini.
- Manakala orang tinggalkan al-Quran akan diazab neraka di Akhirat kelak.
AYAT 14- {`DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA (DENGAN DATANGNYA AL-QURAN, NYATALAH) ADA DI ANTARA KITA GOLONGAN YANG BERAGAMA ISLAM, DAN ADA PULA GOLONGAN YANG (KUFUR DERHAKA DENGAN) MENYELEWENG DARI JALAN YANG BENAR; MAKA SESIAPA YANG MENURUT ISLAM (DENGAN BERIMAN DAN TAAT), MAKA MEREKALAH GOLONGAN YANG BERSUNGGUH-SUNGGUH MENCARI DAN MENURUT JALAN YANG BENAR,} (AL-JIN 72:14)
- Ayat ini masih lagi kata-kata jin yang beriman yang menceritakan perihal keadaan kaumnya setelah kedatangan al-Quran.
- Ada antara mereka yang menerima Islam, taat kepada Allah s.w.t, berjalan atas landasan Islam yang benar.
- Ada juga yang tetap kufur derhaka (ٱلْقَـٰسِطُونَ) tidak menerima Islam dan menyeleweng dari jalan yang benar.
- Kata al-Qurtubi rhm.: Jin berkata selepas mendengar al-Quran, kaum mereka mula terbahagi kepada dua golongan:
i- ada yang beriman menerima Islam.
ii- ada yang tetap kafir menyelewang daripada jalan yang benar. - Sesiapa yang Islam ikut agama, ikut Allah s.w.t dengan tauhid & tunduk kepada Allah s.w.t, dengan ketaatan itulah orang yang mencari hak kebenaran dan mereka telah melalui jalan-jalan yang menyampaikan ke syurga!
- Ulama\’ berbeza pendapat tentang akhir ayat ini adalah kata-kata siapa pula:
i- ulama\’ seperti al-Makki & Muqatil rhm. mengatakan ia adalah masih lagi kata-kata jin. Mereka ini cepat faham dan dapat mengeluarkan kata-kata seperti itu.
ii- ulama\’ tafsir lain seperti Ibnu Atiyah, Ibnu Asyur rhm. mengatakan: Ini bukan lagi kata-kata jin tetapi perkataan dari Allah s.w.t kerana ini adalah janji & jaminan dari Allah s.w.t.
- Tetapi keduanya boleh diterima, al-Quran itu semuanya Kalamullah cuma cerita itu adalah tentang kata-kata siapa, apakah Allah s.w.t cerita tentang kata-kata jin atau Allah s.w.t bagi hukuman-Nya.
- Jika ia kata-kata jin; ia menunjukkan betapa tingginya pemahaman dan fikiran jin setelah mereka Islam, pandai membuat penilaian dari apa yang mereka faham dari al-Quran.
Inilah kelebihan mereka yang beriman dengan mereka yang tidak beriman!
AYAT 15- {`ADAPUN ORANG-ORANG YANG MENYELEWENG DARI JALAN YANG BENAR, MAKA MEREKA MENJADI BAHAN BAKARAN BAGI NERAKA JAHANNAM.\’} (AL-JIN 72:15)
- Adapun orang yang menyeleweng dari jalan yang benar iaitu dari jalan Islam, yang buat syirik kepada Allah s.w.t, maka mereka akan menjadi bahan bakar neraka Jahannam!
Api neraka itu menyala kerana mereka! - Ini adalah sebagai balasan terhadap perbuatan buruk mereka di dunia dulu!
- Ayat ini ditafsir dengan firman Allah s.w.t ini:
{Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, menjadi bahan-bahan bakaran yang dilimparkan ke dalam neraka Jahannam; kamu (sudah tetap) akan memasukinya.} (Al-Anbiyaa\’ 21:98)
AYAT 16- {(NABI MUHAMMAD DIWAHYUKAN MENERANGKAN LAGI): \”DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA! KALAULAH MEREKA (MANUSIA DAN JIN) ITU BERJALAN BETUL DI ATAS JALAN (ISLAM), SUDAH TENTU KAMI (AKAN MEMBERIKAN MEREKA SEBAB-SEBAB KEMEWAHAN, TERUTAMA) MENURUNKAN HUJAN LEBAT KEPADA MEREKA.} (AL-JIN 72:16)
- Allah s.w.t mewahyukan lagi kepada Rasulullah s.a.w tentang keadaan manusia & jin jika mereka beriman dan berada di atas jalan yang benar.
- Kata ulama\’ ayat ini ada beberapa huraian:
i- Pandangan pertama: iaitu jika orang yang menyeleweng & sesat tadi meninggalkan kufur & syirik mereka, kembali bertaubat & beriman kepada Allah s.w.t & menurut jalan Islam; maka Allah s.w.t akan curahkan kepada mereka rezeki seperti hujan yang membawa manfaat, bumi dihiasai dengan pokok-pokok yang subur & indah serta banyak rezekinya!
Yakni siapa yang ikut petunjuk & hidayah akan dapat kelebihan dari Allah s.w.t ini, jika kamu baik Allah bukakan pintu langit dengan keberkatan & rezeki yang banyak!
Firman Allah s.w.t:
{Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.} (Al-A\’raaf 7:96)
ii- Pandangan kedua; jika wahai kamu puak yang menyeleweng & sesat tadi- tetap istiqomah atas kesesatan & kebatilan kamu, tidak meninggalkan kufur & syirik dan kembali kepada Allah; Tuhan akan bagi rezeki & kemewahan sebagai satu ujian iaitu istidraj- Allah beri kemewahan yang akan menyebabkan mereka makin jauh dari Allah, kerana mereka menyangka semua itu adalah hasil usaha mereka sendiri. Bukan anugerah keredhaan dari Allah s.w.t!
Kita dapat lihat kemewahan, kekayaan & kemajuan teknologi di negara-negara kafir- itulah istidraj yang Allah beri, membuatkan mereka makin angkuh dan tidak sedar diri!
- Yakni kita ada dua huraian di sini:
i- sesiapa yang istiqomah atas kebenaran, Allah s.w.t akan beri rahmat & nikmat kebaikan-Nya agar mereka bersyukur.
ii- sesiapa yang istiqomah atas kekufuran, Allah akan beri juga kemewahan tetapi bukan sebagai satu nikmat dari-Nya bahkan sebagai satu istidraj!
Orang yang dapat tetapi salah gunanya untuk menunjukkan keangkuhan, kesombongan bahkan kadang-kadang kebodohan!
- Kata ramai ulama\’ tafsir seperti ar-Ras\’ani dari Muqatil rhm. & jumhur ulama\’: ayat ini adalah ditujukan kepada ahli Makkah, jika kamu ikut Rasulullah s.a.w kamu akan senang, tetapi jika kamu tetap dengan kekufuran kamu pun, mungkin kamu akan senang tetapi ia sebagai satu ujian Allah Azza wa Jalla ke atas kamu.
- Jika huraiannya seperti berikut:
i- jika untuk orang beriman maka ia seperti dalam ayat selepas ini iaitu Allah s.w.t beri nikmat untuk uji kamu kerana Allah nak lihat kamu syukur atau tidak!
ii- bagi orang yang tetap atas kufur; maka Allah s.w.t beri mereka kemewahan supaya mereka terus teruji, teruja & takabbur dengan nikmat yang mereka dapat. Kerana nikmat itu seolah satu pengiktirafan atas perbuatan mereka.
- Risalah susunan AAM- istiqomah selepas ibadat yang besar:
link - Sufyan bin Abdullah ath-Thaqafi r.a datang meminta kepada Rasulullah s.a.w untuk mengajarnya tentang agama dan syariatnya; yang dia tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain.
Baginda bersabda: \”Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah.\” [HR Muslim].
AYAT 17- {\”(PEMBERIAN YANG DEMIKIAN) UNTUK KAMI MENGUJI (DAN MENZAHIRKAN BAWAAN DAN KEADAAN) MEREKA DALAM MENIKMATI APA YANG KAMI BERIKAN ITU (ADAKAH MEREKA BERSYUKUR DAN TETAP BETUL MENURUT ISLAM); DAN (INGATLAH), SESIAPA YANG BERPALING DARI MENGINGATI TUHANNYA, (DENGAN BERLAKU INGKAR – DERHAKA, MAKA) TUHAN AKAN MEMASUKKANNYA KE DALAM AZAB YANG MEMUNCAK BERATNYA.} (AL-JIN 72:17)
- Manusia semuanya diberi nikmat, diluaskan rezeki untuk diuji mereka dengannya.
- Pemberian nikmat yang Allah beri itu satu ujian kerana Allah s.w.t mahu melihat:
i- jika mereka orang beriman, apakah bersyukur atau tidak atas nikmat itu lalu bertambah keimanan dan amal ibadat mereka.
ii- jika orang kafir; apakah mereka tetap kafir dan terus kufur akan nikmat Allah atau mereka bersyukur, mendapat hidayah lalu beriman & taat kepada Allah s.w.t.
- Firman Allah s.w.t:
{Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.} (Al-Anbiyaa\’ 21:35) - Daripada Amru bin Auf r.a, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
\”Maka demi Allah, bukanlah kefaqiran aku bimbangkan dibukakan ke atas kamu tetapi aku bimbang dibukakan ke atas kamu pintu dunia sepertimana dibentangkan ke atas umat sebelum kamu. Lalu kamu berlumba-lumba mengejarnya sepertimana mereka berlumba-lumba mengejarnya dan ia harta itu akan membinasakan kamu seperti mana ia telah membinasakan mereka.\” [HR Bukhari]. - Maka hati-hatilah anak-anak semua akan kilauan harta dan kekuasaan yang dapat menghanyutkan kita & buat jadi lupa diri.
Jangan Allah biarkan kita begini, berilah petunjuk & hidayah supaya kita tetap istiqomah atas landasan yang benar! - Limpahan nikmat dari Allah s.w.t mewajibkan seseorang itu bersyukur dan melipat-gandakan ibadatnya kepada Tuhan Pencipta & Pemberi Rezeki. Maka sesiapa yang tidak syukur, hanyut & lagha dalam kesenangan yang didapati, nikmat itu akan menjadi bala bencana.
Sesiapa yang berpaling dari mengingati Tuhannya, kufur nikmat tidak bersyukur maka Allah s.w.t akan campakkanya ke dalam neraka! - Firman Allah s.w.t:
{Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: \”Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras\”.} (Ibrahim 14:7) - Manakala tentang perkataan
{ وَمَن يُعْرِضْ عَن ذِكْرِ رَبِّهِۦ
- sesiapa yang berpaling dari mengingati Tuhannya} ada beberapa pandangan ulama\’:
i- iaitu al-Quran – sesiapa yang lari daripada al-Quran tidak belajar & amal al-Quran maka dia akan dicampakkan ke dalam neraka.
ii- ada ulama\’ kata tauhid, tidak beriman kepada Allah.
iii- Lari dari landasan yang benar, iaitu ajaran Islam.
Kesemua ini akan menyebabkan mereka dihumban ke dalam neraka!
- Pandangan peribadi AAM: Tidak sesuai digunakan perkataan sang kepada Allah s.w.t seperti Sang Pencipta, Sang Pemberi Rezeki dan seumpamanya. Kita sebut Allah Tuhan Pemberi Rezeki, tidak perlu sang-sang lagi,
Ini mengingatkan kita kepada sang kancil, sang kelembai, sang keledai dan lain-lain dalam cerita kanak-kanak pada suatu masa dulu.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 14- {maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar,}- dalam ayat ini menunjukkan bahawa sesiapa yang beriman kepada Allah akan mendapat petunjuk dan dia telah mencari sebab keselamatan dan mereka akan meraih pahala yang banyak.
Kerana sebab-sebab mendapat petunjuk ialah beriman kepada Allah s.w.t.
Sesungguhnya sesiapa yang beriman (mukmin) samada jin atau manusia, Allah s.w.t akan masukkan mereka ke dalam syurga.
Petunjuk itu ialah al-Quran, sesiapa yang tidak dapat masuk dalam syurga bermakna dia tidak dapat petunjuk { رَشَدًۭا} itu!
Ada orang yang tahu syurga saja tetapi tidak dapat masuk ke dalamnya kerana dia tidak beriman & beramal untuknya. Kita mahu orang yang tahu dan dapat masuk ke dalamnya!
- Ayat 15- {`Adapun orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka Jahannam.\’}- sesiapa yang jahat & menyeleweng dari jalan yang benar, maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka!
Persoalan: Kenapa Allah hanya sebut balasan orang yang menyeleweng tetapi tidak sebut pahala untuk orang mukmin?
JAWAPAN :
Allah telah sebut dalam ayat sebelumnya ini, pahala orang mukmin iaitu mereka telah mencari jalan Allah, petunjuk { رَشَدًۭا}.
Sesiapa yang mencari jalan Allah s.w.t melalui al-Quran & Sunnah Rasulullah s.a.w semuanya akan diberi pahala oleh Allah s.w.t, jika tidak sebut pun tak apa, ia akan datang.
Ayat ini juga menunjukkan golongan kafir dari golongan jin akan masuk neraka sebagaimana kafir manusia juga.
- Ayat 15- {`Adapun orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar { ٱلْقَـٰسِطُونَ}, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka Jahannam.\’}- timbul persoalan jin itu makhluk yang dijadikan daripada api jadi bagaimana ia boleh menjadi bahan bakar api? Serta bagaiman mereka diazab dengan api juga?
JAWAPAN :
Memang asal punca kejadian makhluk jin itu daripada api tetapi sekarang ini mereka sudah menjadi makhluk lain.
i- Sama seperti kita manusia yang berasal dari sumber tanah liat (nabi Adam a.s) tetapi kita sekarang bukan tanah lagi, hanya pati asalnya iaitu air mani & sumber makanan kita daripada tanah.
ii- Jawapan kedua: api itu ada tahap & peringkat kepanasannya. Api yang kuat dapat menyiksa/menyakiti api yang lemah. Sebagaimana hanya besi dapat potong besi, kayu potong kayu. Seperti manusia yang boleh disakiti dengan tanah, dilempari atau ditimbus tanah boleh menyakiti!
Kisah seorang murid yang bertanya soalan ini kepada gurunya;
Maka gurunya tidak menjawab tetapi dia mengambil seketul tanah dan ketuk dahinya dan ia mengaduh kesakitan.
Bila ditanya kenapa buat begitu- jawapannya kerana mahu menjawab soalan muridnya, tanah dapat menyakiti juga muridnya yang berasal dari tanah! Maka dapat difahami bahawa jin & syaitan pun dapat disakiti dengan api juga.
- Ayat 15- {`Adapun orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar { ٱلْقَـٰسِطُونَ}- Allah kata di sini: Adapun orang-orang yang jahat menyeleweng, zalim & jahat kepada orang; Allah s.w.t akan hilangkan keberkatan umur, ilmu rezeki & amalnya. Orang yang derhaka kepada Allah akan dicabut keberkatan dari hidupnya!
Manakala satu lagi firman Allah s.w.t:
{Kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil- ٱلْمُقْسِطِينَ.} (Al-Maaidah 5:42)
Perhatian: Dua perkataan ini berdekatan tetapi berbeza makna:
i- qasit { القاسطون} – bermakna tidak baik, zalim.
ii- muqsit { المقسطون} – bermakna baik & adil.
*Sebagaimana dalam siri sebelum ini tentang perbezaan orang yang soleh & tholeh.
Orang yang zalim Allah s.w.t akan hilangkan keberkatan rezeki, orang yang menyeleweng ini akan terhalang daripada mendapat rezeki yang baik (halal dan bersih) dengan sebab perbuatan dosa mereka. Rezeki ada & mungkin luas, tetapi tidak halal & tidak berkat seperti riba dan rasuah.
- Ayat 16- {(Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): \”Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka.}- Allah kata orang yang istiqomah atas landasan yang benar, jalan Allah mereka akan diberikan sebab kemewahan yakni rezeki yang mencurah-curah.
Kata ulama\’: Pemberian yang Allah s.w.t beri itu adakalanya:
i- ujian bagi orang yang tetap kafir & syirik sebagai satu istidraj kepada mereka. Dengan nikmat itu mereka menjadi bertambah angkuh & sombong, lupa kebenaran Islam, lupa kepada Allah sebagai Pemberi Nikmat.
ii- nikmat pemberian, anugerah untuk hamba-Nya yang beriman & bersyukur.
Yang kita bimbang kerana tidak tahu rezeki yang kita dapat ini apakah satu anugerah atau ujian?
Orang yang istiqomah atas agama & kebenaran, atas dunia lagi Allah beri anugerah berupa kesenangan atas dunia ini. Ia tidak semestinya kekayaan & kemewahan, walaupun tidak kaya tetapi senang & bahagia hidup serta tenang hati tidak keluh kesah & syukur nikmat.
Yang kita tidak mahu dan takutnya banyak dapat balasan & anugerah atas dunia ini banyak sehingga habis tidak ketinggalan di akhirat kelak!
Sebagaimana kisah sahabat Rasulullah s.a.w, Abdur Rahman bin Auf r.a yang menangis kerana bimbang & takut tidak akan mendapat kebaikan di akhirat kelak kerana dia sudah mendapat terlalu banyak kekayaan dan kemewahan atas dunia ini, berbanding dengan sahabat-sahabat lain yang telah meninggal dunia lebih awal. Kita juga minta berlindung dari hal ini.
Kesimpulannya ada dua kumpulan:
i- orang yang istiqomah atas landasan yang benar, Allah beri nikmat untuk uji & lihat apakah dia bersyukur.
ii- manakala orang yang kufur, sesat, derhaka & maksiat juga diberi kesenangan sebagai satu istidraj supaya mereka makin lupa diri, angkuh & takabbur. Akhirnya mereka akan dihumban ke dalam neraka, wal \’iyazubillah.