View Categories

SURAH AL-JIN : AYAT 25-28

\"\"

TARIKH KIAMAT TIDAK DIKETAHUI, HANYA ALLAH S.W.T YANG MENGETAHUI PERKARA GHAIB & PARA RASUL TABLIGH APA YANG DIWAHYUKAN.

Full video : https://youtu.be/L0pH3KvLCt4?si=a_g8soZkQKnTKigy

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan kepada kita tentang wahyu-Nya kepada Rasulullah s.a.w supaya Baginda sampaikan kepada umatnya bahawa tarikh kiamat tidak diketahui oleh sesiapapun samada malaikat atau rasul.
  2. Bahawa hanya Allah s.w.t yang mengetahui perkara ghaib seperti bilakah akan berlaku Kiamat & datangnya azab.
  3. Tugas para rasul hanya menyampaikan (tabligh) apa yang diwahyukan oleh Allah kepada mereka.
  4. Munasabah ayat:
    i- Puak kafir selalu bertanya kepada Rasulullah s.a.w soalan berbentuk provokasi dan mengejek-ejek dengan tidak percaya untuk menyusahkan Rasulullah sebagaimana firman Allah s.w.t ini:
    i- {Dan mereka bertanya: \”Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?\”} [An-Namli- 27: 71].

ii- {Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: \”Bilakah masa datangnya?\”
Katakanlah: \”Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut\”.
Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: \”Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui\”.} [Al-A\’raf- 7:187].

ii- maka datanglah Ayat 25 ini dimana Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w memberi tahu bahawa Baginda tidak tahu apakah dekat atau jauh hari Kiamat itu. Maka tunggulah sehingga mereka lihat azab di depan mata mereka baru mereka tahu [Ayat 24, surah Jin sebelum ini].

AYAT 25- {(KALAU DITANYA BILAKAH AZAB ITU? MAKA) KATAKANLAH: \”AKU TIDAK MENGETAHUI SAMA ADA (AZAB) YANG DIJANJIKAN KEPADA KAMU ITU SUDAH DEKAT, ATAU TUHANKU MENENTUKAN BAGI KEDATANGANNYA SATU TEMPOH YANG LANJUT.} (AL-JIN 72:25)

  1. Allah s.w.t menurunkan ayat ini untuk Rasulullah s.a.w menjawab jika orang kafir itu bertanya lagi, bilakah Kiamat dan azab akan berlaku dan datang.
  2. Bahawa Baginda s.a.w tidak tahu bilakah akan berlaku hari Kiamat itu. Apakah dekat atau jauh, hanya Allah s.w.t yang tahu dan menentukannya!
  3. Firman Allah s.w.t juga:
    {Dan aku tidak mengetahui sama ada (balasan buruk) yang dijanjikan kerana keingkaran kamu itu, sudah dekat atau masih jauh.} [Al-Anbiya\’: 109].
  4. Rasulullah s.a.w tahu tentang Kiamat dan alamatnya, tentang azab yang akan menimpa ke atas kaum kafir, apa yang berlaku di Akhirat tentang syurga & neraka- itu semua adalah wahyu dari Allah s.w.t, Rasulullah s.a.w bukan seorang pereka, Baginda hanya penyampainya sahaja!

AYAT 26- {\”TUHANLAH SAHAJA YANG MENGETAHUI SEGALA YANG GHAIB, MAKA IA TIDAK MEMBERITAHU PERKARA GHAIB YANG DIKETAHUINYA ITU KEPADA SESIAPAPUN,} (AL-JIN 72:26)

  1. Hanya Allah s.w.t Yang Esa sahaja yang mengetahui perkara ghaib, tiada makhluk lain yang mengetahuinya. Allah tidak memberitahunya kepada sesiapapun tentang ilmu khas hanya untuk Allah s.w.t!
  2. Sebagaimana firman Allah s.w.t juga:
    {Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.} [Al-An\’am: 59].
  3. Hadis- Sabda Rasulullah s.a.w:
    \”Kunci perkara ghaib itu ada lima hanya Allah yang tahu;
    Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang hari kiamat dan
    Dialah yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada dalam rahim.
    Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok hari.
    Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.\” (Surah Luqman:34). [HR al-Bukhari.]
  4. Ilmu tentang bilakah waktu hari Kiamat akan berlaku tidak diketahui oleh Rasulullah mahupun malaikat yang dekat kepada Allah.

AYAT 27- {\”MELAINKAN KEPADA MANA-MANA RASUL YANG DI REDAINYA (UNTUK MENGETAHUI SEBAHAGIAN DARI PERKARA GHAIB YANG BERKAITAN DENGAN TUGASNYA; APABILA TUHAN HENDAK MELAKUKAN YANG DEMIKIAN) MAKA IA MENGADAKAN DI HADAPAN DAN DI BELAKANG RASUL ITU MALAIKAT-MALAIKAT YANG MENJAGA DAN MENGAWASNYA (SEHINGGA PERKARA GHAIB ITU SELAMAT SAMPAI KEPADA YANG BERKENAAN).} (AL-JIN 72:27)

  1. KECUALI apa yang Allah s.w.t beritahu kepada para rasul yang diredhai-Nya yang berkaitan dengan tugas & dakwah mereka samada malaikat atau rasul dari kalangan manusia.
  2. Rasulullah s.a.w hanya mengetahui perkara ghaib yang diberitahu oleh Allah s.w.t kepada Baginda melalui wahyu-Nya seperti alamat Kiamat dan lain-lain.
  3. Kerana itu jangan kita bercakap untuk beri pahala, kekayaan, kesenangan atau balasan baik seperti dapat husnul khatimah dan seumpamnya untuk amalan-amalan tertentu kecuali ada authoriti dari al-Quran & hadis yang sahih.
    Jika tidak kita telah merempuh masuk dalam perkara yang tidak sepatutnya iaitu bercakap dalam perkara ghaib yang tidak dimaklumkan oleh Allah kepada malaikat atau rasul-Nya.
    Kita pula yang lebih tahu dan mendapat ilmu itu!
  4. Teori-teori tentang bilakah akan berlaku Kiamat ini sudah dibuat reka oleh manusia sejak zaman dahulu lagi samada oleh orang kafir orientalis atau oleh umat Islam sendiri! Semua terbukti tidak benar dan palsu.
  5. Ingatlah- Kerja kita bukan mencari bilakah Kiamat;
    Tetapi kerja kita adalah membuat persiapan untuk menghadapi Kiamat. Samada Kiamat kecil atau individu iaitu maut atau Kiamat besar berakhirnya dunia ini!
    Keduanya akan datang tiba-tiba dan memerlukan bekalan amal ibadat yang baik!
  6. Apabila Allah s.w.t pilih di kalangan hamba-Nya yang diredhai untuk diberi maklumat tentang perkara ghaib, maka Allah s.w.t hantar malaikat untuk menjaga rasul-rasul & Rasulullah s.a.w dari depan & belakang dari kejahatan syaitan yang mahu mencuri maklumat ini!
  7. Sehingga termasuk langit telah dijaga oleh malaikat agar para syaitan tidak mampu lagi naik ke langit untuk mencuri rahsia tentang perkara ghaib; mereka akan dilontar dengan panahan api!
    Allah sembunyikan tarikh-tarikh & waktu yang rahsia dari jin syaitan & sesiapa saja yang tidak dikehendakinya!
  8. Maka apa yang Allah nak beritahu Dia akan beritahunya; apa yang dia tidak mahu Dia tidak beritahunya hatta malaikat & rasul juga tidak mengetahuinya!
  9. Maka janganlah kita pula lebih-lebih mendakwa Rasulullah mengetahui semua perkara ghaib. Kerana Baginda sendiri sudah memberitahu bahawa dia tidak dapat memberi manfaat atau mudharat kecuali dengan izin Allah s.w.t!

AYAT 28- {\”(TUHAN MENGADAKAN MALAIKAT-MALAIKAT ITU) SUPAYA IA MENGETAHUI BAHAWA SESUNGGUHNYA – (DENGAN JAGAAN MEREKA) – RASUL-RASUL ITU TELAH MENYAMPAIKAN PERUTUSAN-PERUTUSAN TUHAN MEREKA, (DENGAN SEMPURNA); PADA HAL IA MEMANG MENGETAHUI DENGAN MELIPUTI SEGALA KEADAAN YANG ADA PADA MEREKA, SERTA IA MENGHITUNG TIAP-TIAP SESUATU: SATU PERSATU\”.} (AL-JIN 72:28)

  1. Allah s.w.t beri wahyu kepada rasul & menghantar malaikat untuk menjaga para rasul ini untuk memastikan bahawa mereka berjaya & selamat menyampaikan segala wahyu yang diutuskan kepada mereka dengan sempurna.
  2. Malaikat diperintah untuk jaga langit & rasul agar tidak bocor maklumat.
    Juga memastikan wahyu dapat disampaikan oleh para rasul sebagaimana sepatutnya agar tidak bercampur aduk dengan kekeliruan dan pendustaan yang dibuat oleh jin & syaitan!
  3. Ayat ini dapat dibaca dengan dua bacaan (qira\’at) bagi perkataan { لِّيَعْلَمَ } yang membawa erti ini:
    i- Supaya manusia tahu bahawa para rasul itu telah menjalankan tugas mereka atau;

ii- Allah s.w.t sudah tahu semuanya cuma Allah mahu zahirkan bahawa rasul-Nya telah menjalankan tugas mereka!

  1. Ilmu Allah s.w.t meliputi semua perkara, satu-persatu dapat dikesan dan diketahui-Nya. Sebagaimana Allah sudah tahu para rasul sudah menyampaikan tugas mereka cuma Allah mahu zahirkannya lagi!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 25- {(Kalau ditanya bilakah azab itu? Maka) katakanlah: \”Aku tidak mengetahui sama ada (azab) yang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat, atau Tuhanku menentukan bagi kedatangannya satu tempoh yang lanjut.}- Allah ajar Rasulullah s.a.w supaya menjawab bahawa Baginda tidak tahu bilakah hari Kiamat akan berlaku!

Persoalan:
Apakah ayat ini tidak bercanggah dengan hadis ini:

Nabi S.A.W bersabda: \”Jarak antara aku diutuskan dengan tibanya Hari Kiamat adalah seperti ini.\” Anas R.A berkata, \”Rasulullah S.A.W menggabungkan antara jari telunjuk dengan jari tengah.\” [HR al-Bukhari].

Yakni seolah Baginda sudah tahu bila akan berlaku Kiamat tetapi kenapa dalam ayat ini Baginda menafikannya?

JAWAPAN :
i- Ia bermaksud tempoh kebangkitan Rasulullah s.a.w dengan Kiamat lebih dekat kerana selepasnya tiada lagi nabi & rasul lain, Kiamatlah yang akan berlaku. Maka ia dekat.
Jika ada orang yang mengaku nabi lagi sekarang ini maka jelaslah ia satu pendustaan.

ii- Apabila Rasulullah s.a.w dibangkitkan umur dunia sudah panjang jika dibandingkan umur dunia sebelum kebangkitan Rasulullah s.a.w. Jadi Baginda dengan Kiamat adalah dekat.
Dekat itu adalah tempoh tetapi bilakah tarikhnya akan berlaku tetap tidak diketahui!

Maka jika ada sesiapa yang mengaku bahawa dia tahu bilakah Kiamat maka jelaslah itu satu pendustaan yang nyata kerana bertentangan dengan ayat al-Quran!

  1. Ayat 27- {\”Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya;}- Allah tidak akan memberitahu tentang perkara ghaib kepada sesiapapun kecuali kepada mereka dari kalangan rasul yang diredhai dan dikehendaki-Nya.

KATA ULAMA\’ :

Maksud rasul di sini samada: dari kalangan malaikat, atau para rasul yang telah dibangkitakan dan Rasulullah s.a.w sendiri.

Ayat ini juga menolak dakwaaan ahli sihir, ahli nujum & tukang tilik dan yang seumpamanya yang mendakwa mereka mengetahui perkara ghaib (tentang nasib, jodoh atau umur orang lain), kita jangan percaya kerana mereka telah mendustakan apa yang ada dalam al-Quran.
Mereka juga bukan dari golongan yang mendapat keredhaan Allah s.w.t seperti para malaikat & rasul.

Sesiapa yang percaya bahawa kemunculan sesatu bintang itu menandakan bahawa ada orang besar nak lahir maka dia telah percaya kepada sesuatu yang syirik.

Masyarakat kita sejak dulu sehingga kini amat percaya kepada ramalan dan kata-kata bomoh yang mengaku tahu perkara ghaib ini samada sihir atau perkara yang lepas & akan datang.

Hadis tentang pergi jumpa bomoh/dukun dan yang seumpamanya:
i- Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya: \”Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.\” [HR Muslim].

ii- Rasulullah s.a.w bersabda lagi:
\”Sesiapa yang menemui \’arraf (tukang tilik) atau munajjim (tukang ramal dengan menggunakan peredaran bintang) atau kahin (pawang dan bomoh) dan mempercai ramalam mereka, sesungguhnya dia telah kufur terhadap kebenaran yang dibawa oleh Muhammad s.a.w.\” [HR Ahmad].

  1. Ayat 26- {\”Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun,}- hanya Allah s.w.t yang tahu perkara ghaib- tidak ada siapa yang tahu dari kalangan makhluk kecuali orang yang Allah redha seperti para malaikat & rasul-rasul-Nya a.s.

Maka jangan sampai kerugian meninggalkan yang sahih dari Allah & Rasulullah s.a.w, yang sudah terbukti, tetapi mencari yang pelik-pelik & percaya apa yang dibawa oleh manusia.

  1. Ayat 26- {\”Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun,}- ayat ini menolak fahaman & sangkaan salah golongan Syi\’ah.

Mereka yang mendakwa bahawa para Imam 12 mereka mengetahui perkara ghaib!
Ini adalah kebodohan dan dakwaan yang amat merbahaya kerana ia bertentangan dengan nas & dalil daripada al-Quran!

Mereka ini amat mensucikan imam-imam mereka ini seolah amat berkuasa & lebih hebat daripada Rasulullah s.a.w!

Semua perkara ghaib yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w samada tentang syurga & neraka, alamat Kiamat, apa yang akan berlaku di Akhirat, adalah datang dari wahyu Allah s.w.t!
Baginda tidak mengetahui semua perkara ghaib KECUALI yang diberitahu oleh Allah s.w.t!

Jika Rasulullah s.a.w tahu perkara ghaib pastilah Baginda tidak perlu strategi & hantar perisik untuk menyiasat keadaan musuh dalam peperangan di Badar dengan Quraisy dan seumpamanya!

Kita bukan merendah atau menafikan ilmu Rasulullah s.a.w, kita hanya mahu menghadkan bahawa Baginda hanya tahu apa yang Allah s.w.t wahyukan kepada Baginda, untuk menolak pegangan yang memberi kedudukan yang melampaui kepada Rasulullah s.a.w.

  1. Ayat 28- {\”(Tuhan mengadakan malaikat-malaikat itu) supaya Ia mengetahui bahawa sesungguhnya – (dengan jagaan mereka) – Rasul-rasul itu telah menyampaikan perutusan-perutusan Tuhan mereka, (dengan sempurna); pada hal Ia memang mengetahui dengan meliputi segala keadaan yang ada pada mereka, serta Ia menghitung tiap-tiap sesuatu: satu persatu\”.}- ayat ini menunjukkan ilmu Allah s.w.t meliputi segala perkara dengan detail dan terperinci.

Allah s.w.t mengetahui semua perkara dari sekecil-kecilnya sehingga yang sebesarnya. Bukan hanya yang besar dan penting saja, hatta tentang ulat dalam batu & rezekinya juga Allah s.w.t tahu dan ambil kira.
Allah s.w.t mengetahui apa yang Zahir dan batin, yang nyata atau tersembunyi, yang besar atau kecil!

Alhamdulillah tamatlah kita pengajian tafsir yang ringkas tentang surah Jin ini.

Ya Allah rezekikan ilmu supaya kami & keluarga kami dapat memahami ayat-ayat Allah & Sunnah Rasulullah s.a.w dengan baik serta beramal dengannya.
Istiqomah atas kebaikan, dapat mengambil pengajaran dengan mencontohi sifat jin beriman yang baik dan mulia.
Berikan kami kefahaman dalam tadabbur al-Quran dan kecintaan untuk terus belajar tanpa jemu dan mengambil manfaat darinya.

Powered by BetterDocs