View Categories

SURAH AL-JIN : AYAT 8-10

\"\"

JIN CERITA PENGALAMANNYA MENCURI MAKLUMAT, MALAIKAT KAWAL LANGIT & JIN CARI SEBAB DIKAWAL.

Full video : https://youtu.be/YPWZvYI2Gw4?si=uXO5ad-ThIGaPA9V

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan jin menceritakan pengalamannya semasa nakal sebelum Islam dulu, naik mencuri maklumat di langit.
  2. Kemudian mereka dapati malaikat telah mengawal langit dengan begitu ketat & mereka akan dipanah dengan panahan api dari tahi bintang (komet/meteor)- (شُهُبًۭا).
  3. Lalu golongan jin mencari sebab kenapa sekarang mereka tidak dapat naik dan kenapa langit dikawal. Apakah nak berlaku Kiamat atau kenapa.

AYAT 8- {`DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA KAMI TELAH BERUSAHA MENCARI BERITA LANGIT, LALU KAMI DAPATI LANGIT ITU PENUH DENGAN PENGAWAL-PENGAWAL YANG SANGAT KUAT KAWALANNYA, DAN (DENGAN REJAMAN-REJAMAN) API YANG MENYALA.} (AL-JIN 72:8)

  1. Jin menceritakan kisah mereka dulu yang hobinya (هواية) suka naik ke langit untuk mencuri maklumat ghaib bagi kepentingan mereka walaupun banyak cabarannya.
  2. Tetapi sekarang mereka dapati mereka tidak dapat naik lagi kerana ia dikawal dengan ketat oleh para malaikat yang ditugaskan Allah s.w.t.
  3. Mereka juga akan dipanah oleh malaikat itu dengan panahan api yang berupa tahi bintang- meteor (شُهُبًۭا) untuk menghalau dan membakar mereka.
  4. Panahan api (شُهُبًۭا) ini adalah satu objek yang terpisah dari bintang- maka ia dipanggil tahi bintang dalam bahasa Melayu atau meteor dalam istilah sains.

AYAT 9- {`PADAHAL SESUNGGUHNYA KAMI DAHULU BIASA MENDUDUKI TEMPAT-TEMPAT (PERHENTIAN) DI LANGIT UNTUK MENDENGAR (PERCAKAPAN PENDUDUKNYA); MAKA SEKARANG SESIAPA YANG CUBA MENDENGAR, AKAN MENDAPATI API YANG MENYALA YANG MENUNGGU MEREJAMNYA.} (AL-JIN 72:9)

  1. Padahal dulu mereka dapat naik dan duduk-duduk di langit sambil mencuri dengar percakapan malaikat yang menerima tugas & wahyu dari Allah s.w.t.
  2. Contoh maklumat seperti apa yang diterima malaikat: taqdir apa yang berlaku dalam setahun, di mana hujan akan turun di mana kemarau dan sebagainya daripada khabar ghaib! Kemudian mereka akan sampaikan kepada manusia dari golongan tukang sihir & ahli nujum yang akan mengaburi manusia pula.
  3. Kata al-Biqa\’i rhm.:
    i- Telah diriwayatkan bagaimana sifat jin naik ke langit, iaitu mereka berdiri secara bertindan-tindan, yang satu berdiri atas yang lain sehingga sampai ke langit.
    Apabila yang di atas kena panah yang lain menggantikannya.

ii- kemudian apabila yang teratas sekali dapat mendengar berita, dia akan bisikkan kepada yang dibawahnya dan seterusnya sehingga tiba kepada yang di bumi di bawah sekali.

Mereka ini pun akan menceritakan kepada para tukang tilik, ahli sihir, tukang nujum para peramal yang akan menggunakannya untuk kepentingan dan penipuan kepada orang ramai. YANG benar hanya satu tetapi mereka akan menambahnya pula dengan 100 atau 1000 pembohongan.

  1. Tetapi sekarang ada panahan api yang menyala dari malaikat yang menunggu untuk melontar mana-mana syaitan & jin, supaya mereka tidak dapat naik dan mendengar maklumat.
  2. Firman Allah s.w.t juga:
    {Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya.
    Dan Kami pelihara (urusan) langit itu dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang kena rejam.
    Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan (malaikat di langit), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menyala, yang nyata kelihatan.} (Al-Hijr 15: 16-18)

Hadis Rasulullah s.a.w riwayat dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

إِذَا قَضَى اللَّهُ الأَمْرَ فِي السَّمَاءِ، ضَرَبَتِ المَلاَئِكَةُ بِأَجْنِحَتِهَا خُضْعَانًا لِقَوْلِهِ، كَالسِّلْسِلَةِ عَلَى صَفْوَانٍ

Maksudnya: Apabila Allah menitahkan takdir suatu perkara di langit, para malaikat mengepakkan sayap mereka kerana tunduk takut terhadap Kalimat-Nya, yang didengari seperti gemerincing rantai di atas batu yang licin.
Apabila rasa takut telah dihilangkan dari hati mereka, mereka mengucapkan, \”Apa yang telah difirmankan oleh Tunah kalian?\” Mereka menjawab, \”Perkataan yang benar. Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar.\”

Maka syaitan-syaitan pengintip berita itu pun mendengarkan berita itu. Mereka berada dalam posisi yang saling bersesak-sesakan -Sufyan R.A menggambarkannya dengan mengiringkan telapak tangannya dan merenggangkan jari-jemarinya.

Jika syaitan yang di atas mendengar berita itu, maka segera disampaikan kepada syaitan yang berada di bawahnya. Kemudian yang lain juga menyampaikan kepada syaitan yang berada di bawahnya hingga sampai kepada tukang sihir dan dukun.

Kadang-kadang syaitan pengintip berita itu terkena panahan api sebelum sempat menyampaikan berita itu. Ada masa pula syaitan itu sempat menyampaikan berita itu sebelum terkena api. Lalu dengan berita yang didengarnya itulah tukang sihir atau dukun membuat seratus kedustaan.
Orang-orang yang mendatangi tukang sihir atau dukun pun mengatakan, \”Bukankah pada hari ini dan itu, dia telah mengkhabarkan kepada kita bahawa akan terjadi demikian dan demikian?\”
Akibatnya, tukang sihir dan dukun itu pun dipercayai kerana satu kalimat yang telah didengarnya dari langit. [HR al-Bukhari: 4800].

  1. Hadis riwayat dari UM Aisyah r.a, seorang sahabat (yang berasa kagum terhadap kebenaran seorang munajjim (tukang tilik) yang ditemuinya) bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang keharusannya menemui dan mempercayai kata-kata munajjim itu.

Baginda s.a.w. menegaskan, ia tidak harus.
Sahabat tersebut menyatakan, semua kata-kata munajjim itu benar belaka.

Rasulullah s.a.w. lalu bersabda, \”Munajjim itu pembohong, walaupun cakapnya benar.\”
(Yakni: Tukang tilik dan ahli nujum pembohong kerana kebenaran yang disampaikan hanya satu (sebagai umpan) sedangkan pembohongannya seribu.) [HR Bukhari & Muslim].

  1. Hukum berjumpa dengan tukang nujum atau bomoh ini:
    i- Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya: \”Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.\” [HR Muslim].

ii- Rasulullah s.a.w bersabda lagi:
Maksudnya: \”Sesiapa yang menemui \’arraf (tukang tilik) atau munajjim (tukang ramal dengan menggunakan peredaran bintang) atau kahin (pawang dan bomoh), sesungguhnya dia telah kufur terhadap kebenaran yang dibawa oleh Muhammad s.a.w.\” [HR Ahmad].

AYAT 10- {`DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA KAMI TIDAK MENGETAHUI ADAKAH (DENGAN ADANYA KAWALAN LANGIT YANG DEMIKIAN) HENDAK MENIMPAKAN BALA BENCANA KEPADA PENDUDUK BUMI, ATAU PUN TUHAN MEREKA HENDAK MELIMPAHKAN KEBAIKAN KEPADA MEREKA?} (AL-JIN 72:10)

  1. Lalu mereka berbincang sesama mereka kenapa perkara ini berlaku? Yakni kenapa langit dikawal malaikat sedemikian rupa sehingga mereka tidak boleh naik lagi.
  2. Mereka cuba membuat analisa, kajian & mencari sebabnya:
    i- Apakah Allah s.w.t telah mahu memusnahkan bumi dan menimpa bencana kepada penduduknya.

ii- atau Allah hendak limpahkan kebaikan kepada mereka penduduk bumi.

  1. Terdapat satu risalah yang dibuat oleh ulama\’: Hukum-hakam berkait Dengan Jin.

AAM 2012 Beriman Kepada Malaikat (Siri 09) Mengenali Hakikat Jin & Sifatnya.
Link: https://youtu.be/_Jv3kcsSvlE

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 8- {`Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.} – kata ulama\’ pada zaman Rasulullah s.a.w terdapat banyak tahi bintang (meteor- شُهُبًۭا) atau panahan api kerana untuk menjaga al-Quran yang sedang diturunkan pada masa itu.

Kerana jika mereka jin & syaitan berjaya curi dengarnya mereka akan memanipulasinya untuk kegunaan yang salah & tidak benar.

Persoalan: Apakah sebelum dibangkitkan Rasulullah s.a.w tiada tahi bintang ini (شُهُبًۭا) ini:

JAWAPAN :

i- pertamanya menurut pandangan Ibnu Abbas & Ubai bin Ka\’ab r.a: meteor ini tidak ada sebelum Rasulullah s.a.w dibangkitkan.

ii- meteor ini sudah ada cuma apabila al-Quran diturunkan, ia ditambah lagi dengan banyaknya untuk menjaga al-Quran.
Yakni sebelum ini langit sudah dikawal cuma sekarang lebih ketat kawalannya sebagaimana kata jin langit sekarang sudah penuh (مُلِئَتْ) dengan meteor (شُهُبًۭا) ini. Ini menunjukkan ia bertambah banyak.

  1. Ayat 9- {maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.}- siapa naik sekarang akan kena lontar dengan api.

Persoalan: Kenapa jin itu sanggup mengorbankan dirinya untuk naik juga ke langit untuk curi maklumat itu walaupun mereka tahu akan dipanah oleh malaikat?

JAWAPAN :

Kerana jin ini tidak serik, kerana tabiatnya sukakan cabaran, meneroka dan minat mereka walaupun mereka disakiti, direjam dan hangus terbakar direjam malaikat.
Ataupun mereka mudah lupa, nafsunya suka cari benda pelik lalu mereka tidak kira terbakar atau tidak.

Begitu juga manusia yang minatnya begitu walaupun membahayakan diri ataupun tahu salah dari segi undang-undang, mereka akan tetap dengan hobi atau pekerjaan mereka itu walaupun akan ditimpa akibatnya.

Sama seperti kelkatu dengan cahaya, walaupun akan terkorban tetap datang menghurunginya.

  1. Ayat 9- {maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.}- ini adalah salah satu tanda & mukjizat Rasulullah s.a.w iaitu langit dikawal dan dipenuhi dengan komet, meteor & tahi bintang (شُهُبًۭا).

Tiada sesiapa yang boleh ingkar samada dari sudut sains dan ia juga hakikat yang dapat dilihat dengan mata kasar, apatah lagi jika dilihat dengan alat-alat khas yang lebih canggih. Benda yang berlaku dan tidak dapat diingkari- satu mukjizat Rasulullah s.a.w!

Allah s.w.t beri maklumat kepada Baginda tentang apa yang berlaku di langit.

Sebagaimana juga peristiwa Isra\’ Mikraj, apabila Rasulullah s.a.w dicabar oleh musyrikin akan kebenarannya, Allah s.w.t hantar maklumat Baitul Maqdis kepada Baginda untuk menjadi dalil kebenarannya.

  1. Ayat 10- {`Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah (dengan adanya kawalan langit yang demikian) hendak menimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka?}- jin kata mereka tidak tahu apa yang Allah s.w.t mahu, nak rosakkan bumi atau nak beri kebaikan kepada manusia penduduknya.

Ayat ini satu dalil yang menunjukkan bahawa jin itu sebenarnya tidak tahu benda ghaib. Apa yang mereka tahu ialah sedikit dari apa yang mereka dapat curi dengar maklumat yang disampaikan kepada malaikat.

Persoalan: Kenapa dalam ayat sebelum ini apabila dengar al-Quran dikatakan jin tahu kemudian dalam ayat ini tidak tahu pula?

Jawapan:
i- ayat 10 ini sebelum mereka berjumpa dengan Rasulullah s.a.w & sebelum beriman, iaitu pada peringkat awal naik ke langit mereka kena sekat. Lalu mereka mencari sebabnya mengembara ke seluruh pelusuk bumi.

ii- lalu setelah mereka bertemu dengan Rasulullah s.a.w dan mendengar al-Quran, mereka faham & beriman lalu mereka tahulah sebabnya, iaitu dengan sebab kebangkitan Rasulullah s.a.w. iaitu setelah jin dapat maklumat maka dia tahulah sebabnya.

  1. Ayat 10- {`Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah (dengan adanya kawalan langit yang demikian) hendak menimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka?}- ini adalah dalil bahawa jin yang pandai beradab dengan Tuhan.

i- Iaitu ketika mahu kata tentang kemusnahan penduduk bumi iaitu benda tidak baik; mereka tidak nisbahkan kepada Tuhan.

ii- tetapi apabila mahu katakan tentang benda baik iaitu; apakah Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka: mereka nisbahkannya kepada Allah s.w.t.

Walaupun pastilah semua perkara itu baik atau buruk semuanya dari Allah, berlaku dengan kehendak Allah s.w.t!

Sama seperti kata-kata Khadhir dalam surah al-Kahfi. Apabila melakukan perkara buruk dia katakan dirinya yang melakukan itu:

i- {Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya.} (Al-Kahfi 18:79)

Tetapi apabila benda baik dinisbahkannya kepada Allah s.w.t:
ii- {Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka).} (Al-Kahfi 18:82)

Walaupun hakikatnya semua yang berlaku adalah dengan taqdir & kehendak Allah s.w.t!
Ia adalah cara kita beradab dengan Allah s.w.t!

Ingat Jumaat ingat untuk:
i- perbanyakkan selawat kepada Rasulullah s.a.w.
ii- baca surah al-Kahfi

Powered by BetterDocs