View Categories

Surah Al-Ma’idah : Ayat 35-37

ARAHAN BERTAQWA, MENDEKATKAN DIRI DENGAN AL-WASILAH, BERJIHAD & KAFIR KEKAL DALAM NERAKA TIADA TEBUSAN.

Full video : https://youtu.be/lRvXow7WaZE?si=MrJQEompI7YijHf_

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah dengan ayat 35 sehingga 37.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang arahan bertaqwa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan al-Wasilah, iaitu amalan yang mendekatkan diri kepada Allah, seperti solat, puasa, zikri dan lain-lain. 
  1. Antara wasilah yang besar, cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT ialah dengan berjihad fi-sabilillah. 
  1. Allah nyatakan bahawa orang kafir akan menyesal pada hari Kiamat, mereka nak tebus untuk selamatkan diri daripada azab. 
    Tetapi mereka akan kekal dalam neraka selamanya tiada tebusan yang dapat menyelamatkannya. 
    Jika nak tebus atas dunia ini berimanlah kepada Allah SWT secepat mungkin.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang balasan mereka yang memerangi Allah & Rasul serta melakukan kerosakan atas muka bumi ini dengan maksiat atas muka bumi ini serta pelbagai kejahatan; lalu Allah bawa 4 hukuman atas dunia & azab yang besar menunggu di Akhirat kelak!

    ii- Maka datang ayat ini memberi cara menyelamatkan diri dari hukuman Allah itu. Iaitu Allah perintahkan orang beriman supaya taat kepada Allah dengan mencari al-wasilah, amal kebajikan yang mampu kamu buat, fardhu atau sunat, kecil atau besar kerana amalan itulah yang akan menyelamatkan dari memerangi Allah & Rasul serta selamat daripada hukuman di Akhirat. 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 35- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DAN CARILAH YANG BOLEH MENYAMPAIKAN KEPADANYA (DENGAN MEMATUHI PERINTAHNYA DAN MENINGGALKAN LARANGANNYA); DAN BERJUANGLAH PADA JALAN ALLAH (UNTUK MENEGAKKAN ISLAM) SUPAYA KAMU BEROLEH KEJAYAAN.} (AL-MAAIDAH 5:35)

  1. Allah menyeru kepada seluruh orang beriman untuk mencari wasilah iaitu jalan atau cara yang benar, yang mengikut Syari’ah bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT! 

    Apabila Allah sayang kepada hamba-Nya Dia akan panggil dengan pangilan yang dapat mendekatkan jiwa mereka kepada-Nya serta mudah untuk dengar kata & ikut peraturan.
  1. Arahan supaya bertaqwa kepada Allah iaitu ikut arahan Allah dan jauhi larangan-Nya serta carilah wasilah. 
    Al-Wasilah (ٱلْوَسِيلَةَ) ialah cari jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan melakukan amalan yang diredhai Allah SWT.
  1. Kata Imam Ibnu Kathir RHM dalam kitab Tafsirnya ketika menafsirkan ayat ini : Dengan menukilkan perkataan As-Sahabi Al-Jalil Ibnu Abbas RA :
    i- Wasilah ialah amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah!
    Sheikh Mujahid dan lain-lain ulama’ menoyokong pandangan ini.

    ii- Kata Sheikh Qatadah RHM pula : Ia adalah mendekatkat diri kepada Allah dengan melakukam amalan yang Allah redha.
    Semua ulama’ tafsir salaf mengatakan : Al-wasilah ialah amalan-amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah.
  1. Malangnya ada orang terkemudian yang mengatakan wasilah ialah mencari perantaraan untuk meminta & mendekat diri kepada Allah seperti mencari kubur-kubur wali yang telah mati, meminta memohon mereka yang telah mati berdoa kepada Allah. 
    Lama-lama akan menimbukkan ketaksuban yang melampau dan boleh membawa kepada khurafat & kesesatan! 
  1. Fenomena menghias kubur dan memuliakan kubur sehingga taksub kepada tok syeikh mereka yang telah mati mula menular dan berleluasa sekarang, semoga pihak berkuasa negara kita dapat membendungnya dan menyelamatkan aqidah rakyat Islam kita!
    Ya Allah jauhkan masyarakat kita dari perkara yang tidak baik dan selamat daripada segala perkara tahyul khurafat & karut marut ini!
  1. Inilah makna & tafsiran Wasilah yang benar sebagaimana yang ditafsirkan oleh ulama’ Salaf dan tiada yang melebihi daripada itu.
  1. Kemudian Allah galakkan hamba-Nya untuk mendekatkan diri kepada Allah & menyatakan antara ketaatan yang besar & amal ibadat yang hebat ialah berjihad berjuang pada jalan Allah, berjihad menentang musuh Allah, tak kira dari mana saja, luar atau dalam, timur taau barat!
    Asal mereka nak sekat perjalan agama Allah maka wajib kita berjihad untuk menegakkan agama ini. 
  1. Kita berjihad dengan diri kita seperti lidah, tangan, badan atau dengan kuasa dan kekuatan atau dengan harta & segala kemapuan yang kita ada; maka barulah kamu akan dapat kejayaan dan kemenangan serta keselamatan di di dunia & Akhirat!
    Inilah wasilah yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT!
  1. Maka ayat ini menunjukkan beri galakan & buka jalan, carilah wasilah maka berjuanglah.
    Ini sibuk cari wasilah tetapi berjihad tidak mahu!
    Inilah yang kita bimbangkan fenomena hari yang mengadakan majllis haul-haul, terlalu memuja mengagung sehingga taksub kepada pemimpin-pemimpin tertentu! 
    Mengundang kepada perkara yang tidak baik diakhir nanti serta menimbulkan fanatik & kerosakan! 
  1. Kita fokuskan kepada penyelewengan yang berlaku, jangan melilau dan mengambil kesempatan untuk mengait golongan atau orang tertentu dengan niat menjatuhkan mereka bersama dengan golongan sesat yang telah dituju dan dikenalpasti oleh pihak berkuasa! 

AYAT 36- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KAFIR, KALAU (TIAP-TIAP SEORANG DARI) MEREKA MEMPUNYAI SEGALA YANG ADA DI MUKA BUMI ATAU SEBANYAK ITU LAGI BERSAMANYA, UNTUK MEREKA MENJADIKANNYA PENEBUS DIRI MEREKA DARI AZAB SEKSA HARI KIAMAT, NESCAYA TEBUSAN ITU TIDAK AKAN DITERIMA DARI MEREKA; DAN MEREKA AKAN BEROLEH AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AL-MAAIDAH 5:36)

  1. Munasabah ayat: 
    i- Dalam ayat yang lepas Allah perintahkan kepada orang beriman untuk bertaqwa dengan mengikut jalan yang diredhai-Nya bukan jalan yang direka sendiri serta galakan berjihad pada jalan Allah. 

    ii- Maka dalam ayat ini sebut pula kumpulan yang menentang, kumpulan yang melawan & tak dengar kata! 
    Mereka ini jika mempunyai harta yang sebanyak bumi & langit atau lebih lagi; akan sanggup menggunakannnya untuk menebus diri mereka daripada azab!
  1. Tetapi Allah sesekali tidak akan terimanya! Bahkan Allah beri ancaman & amaran untuk orang kafir bahawa mereka kelak akan ditimpa azab kekal selamanya & tidak akan ada yang dapat menyelamatkan mereka walaupun mempunyai seluruh harta atas dunia ini atau lebih lagi sebagai tebusannya.
  1. Firman Allah SWT:
    Maksudnya: {Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun ia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.} (Ali-‘Imran 3:91)
  1. Hadis riwayat dari Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
    يُجاءُ بالكافِرِ يَومَ القِيامَةِ، فيُقالُ له: أرَأَيْتَ لو كانَ لكَ مِلْءُ الأرْضِ ذَهَبًا، أكُنْتَ تَفْتَدِي بهِ؟ فيَقولُ: نَعَمْ، فيُقالُ له: قدْ كُنْتَ سُئِلْتَ ما هو أيْسَرُ مِن ذلكَ. الراوي: أنس بن مالك • البخاري، صحيح البخاري (٦٥٣٨) • [صحيح] • أخرجه البخاري (٦٥٣٨)، ومسلم (٢٨٠٥)
    Maksudnya: “Seorang kafir akan dibawakan ke muka (pengadilan) pada hari kiamat, lalu dikatakan kepadanya; ‘Apa pandangan kamu sekiranya kamu mempunyai emas sepenuh bumi, adakah kamu akan menggunakannya sebagai tebusan (untuk menggantikan azab yang kamu rasai)?” Si kafir itupun berkata, ‘Ya.’ Sabda Rasulullah SAW: Maka dikatakan kepada si kafir itu, ‘Sesungguhnya Aku telah meminta dari kamu suatu yang lebih mudah dari sedemikian itu.’” [HR Bukhari]

    Iaitu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya melakukan ketaatan.

AYAT 37- {MEREKA SENTIASA BERHARAP HENDAK KELUAR DARI API NERAKA ITU, PADAHAL MEREKA TIDAK SEKALI-KALI AKAN DAPAT KELUAR DARIPADANYA; DAN BAGI MEREKA AZAB SEKSA YANG TETAP KEKAL.} (AL-MAAIDAH 5:37)

  1. Mereka yang kafir ini juga begitu berharap & teringin nak keluar dari neraka kerana amat berat siksa dan dahsyat azabnya! 
  1. Tetapi apakan daya tiada jalan untuk keluar kerana mereka tidak sekali-kali akan dapat keluar daripadanya; dan bagi mereka azab seksa yang kekal selamanya!
    Tidak akan hilang dari mereka azab itu dan sampai bila-bila.
  1. Firman Allah SWT juga:
    i- Maksudnya: {Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: “Rasalah kamu azab seksa yang membakar!”} (Al-Hajj 22:22)

    ii- Maksudnya: {Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.} (Al-Baqarah 2:167)
    Wal-‘iyazubillah.
  1. Ya Allah selamatkan kami semua dari azab neraka & jadikan kami orang yang mecari wasilah yang benar yang dapat mendekatkan diri kepada Allah bukan wasilah yang sesat & khurafat!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 35- {Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya..}-

    Ini adalah seruan dari Allah, penggilan kepada orang yang beriman agar bertaqwa kepada Allah!
    Kerana hanya orang yang beriman akan dengar arahan & taat kepada perintah Allah. 
    Inilah cara yang paling baik untuk kita panggil orang agar dengar apa yang kita mahu sampaikan!
    Kita gerakkan hati orang yang kita tujukan itu, sebut dengan sebutan yang baik agar mereka akur, dengar & taat kepada perintah atau arahan yang mahu disampaikan.

    Contoh dalam majlis ilmu; Wahai para pencinta ilmu.
    Nak minta derma: Wahai para dermawan dan pemurah yang baik hati… dan seumpamanya.

    Ayat ini duduk dicelah-celah ayat tentang hukum-hakam & tentang orang yang derhaka kepada Allah SWT. Iaitu orang yang memerangi Allah & Rasul, dua anak Adam yang saling bunuh membunuh kemudian cerita tentang orang kafir.
    Kemudian datang ayat ini sebagai ayat selingan (جملة اعتراضية), ayat yang duduk di tengah iaitu:
    Ayat tentang orang mukmin, menyeru orang beriman supaya bertaqwa, cari jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah & galakan untuk berjihad fi-sabilillah.
    Inilah uslub al-Quran yakni dalam keadaan marah, dia bagi ayat tenang. 
    Dalam membincangkan tentang orang kafir datang ayat penenang kita sebut juga tentang orang yang beriman begini caranya yang dikehendaki iaitu mencari wasilah bagi mendekatkan diri kepada Allah. 

    Inilah uslub & gaya al-Quran dalam banyak-banyak ayat akan diselit ayat lain dengan nasihat galakan dan kebaikan.
  1. Ayat 35- {Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya);}-

    Allah menyeru kepada orang yang beriman agar bertaqwa dengan mencari jalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah!
    Kata ulama’ : Setiap kali ibadat itu lebih banyak mendekatkan diri kita kepada Allah maka lebih semangat kita nak beribadat! 
    Antara amalan yang mendekatkan diri kepada Allah ialah seperti solat, puasa, haji, infaq, tolong orang dan lain-lain.
    Maka apabila kita mendengar pahala-pahala yang dijanjikan Allah SWT kepada kita, makin semangat dekat dan kuat kita untuk beribadat.
    Kerana itu Allah perintahkan kita mencari jalan yang dapat mendekatkan kita kepada Allah setelah kita diperintahkan untuk bertaqwa dan mencari jalan yang terdekat iaitu yang disyari’atkan Allah Azza wa Jalla.

    Kata ulama’ taklif : (Tanggungjawab Syara’) ke atas kita itu ada dua:
    i- Tinggalkan apa yang Allah SWT larang kerana itu Allah kata kamu takutlah kepada Allah.

    ii- Buat perkara yang baik, cari jalan yang dapat mendekatkan kamu kepada Allah iaitu dengan melakuakan ketaatan, amal ibadat & kebaikan! 
    Bukan cari ibu ini, syeikh ini sebagai perantaraan kita dengan Allah!
    Itu wasilah ciptaan syaitan untuk merosakkan anak Adam.
    Apa yang diperintahkan Allah ialah wasilah mendekatkan diri dengan melakukan amal kebajikan & kebaikan.
  1. Ayat 35- {dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.}-

    Kamu kena berjihad kepada jalan Allah. 
    Ayat ini menunjukan kepada ikhlas & Allah sandarkan kepada dirinya, kamu berjuang pada jalan-Nya {فِى سَبِيلِهِ} iaitu jalan Allah.
    Isyarat kepada wajib manusia itu berjuang pada jalan Allah & semata-mata kerana Allah untuk menegakkan kalimah Allah; bukan untuk dapat projek, naik nama & masyhur, memburu harta kekayaan dan pangkat atau untuk menjatuhkan orang lain!
    Kadang-kadang manusia ini apabila kita berjuang menyatakan kebenaran, membongkar penyelewengan, mereka kata untuk menaikkan puak-puak dialah itu! 
    Ini bukan kerana mana-mana puak!
    Soalnya perjuangan kita wajib fi-sabilillah!
    Macamana nak tahu kita ikut jalan Allah atau jalan syaitan?

    Ikutlah al-Quran & Sunnah Nabi SAW:
    i- Apa yang Nabi buat alhamdulillah kita ikutlah buat.

    ii- Yang Nabi larang kita jangan buat!

    iii- Apa yang Nabi SAW tak buat kita tengok dalam keadaan & suasana apa.
    Jika dalam bab ibadat kita jangan buat! 
    Dalam bab cara metod penyampaian kita boleh gunakan. 
    Jika dalam bab kehidupan dunia, ikut perkembangan & teknologi semasa yang tiada kaitan dengan ibadat itu harus dan perlu!
    Jangan jadi manusia yang tak reti nak bezakan antara apa itu perjalanan agama & apa itu proses kehidupan/kemanusian biasa.

    Seperti kata : Kenapa ustaz naik kereta atau kapal terbangnya sedangkan Nabi naik unta je! Atau kenapa minta nasi atau duit dari mak, tak minta dari Tuhan jika takut khurafat?
  1. Ayat 36- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir, kalau (tiap-tiap seorang dari) mereka mempunyai segala yang ada di muka bumi atau sebanyak itu lagi bersamanya,..}-

    Orang kafir ini jika mereka ada milik segala harta yang ada atas dunia ini dan lebih lagi; mereka akan gunakannya untuk menebus & menyelamatkan diri mereka dari azab Allah!
    Kata ulama’ tadabbur : Kemenangan & keberuntungan itu atas diri kita masing-masing, keselamatan yang hakiki ialah diri kita selamat, bukan harta yang bertimbun tetapi tidak dapat menyelamatkan kita! 
    Harta banyak berjuta-juta tetapi ada musuh atau bencana alam, kesihatan yang hilang, nak bernafas pun kena beli gas dan sebagainya!
    Keselamatan hakiki ialah diri kamu itu yang selamat bukan ada harta yang banyak tetapi tidak selamat apa gunanya! 
    Jadi apa guna kamu mempunyai harta yang bertimbun dan menggunung tetapi akan ditinggalkan setelah mati & tidak menolong lansung untuk menyelamatkan kamu di Akhirat kelak.
    Kerana itu Allah kata manusia ini jika ada harta dia akan gunakannya untuk selamatkan dirinya tidak kira berapa akan sanggup membayarnya!
    Kerana itu Rasulullah SAW beritahu Allah SWT tidak minta dengan kamu emas segunung atau harta berjuta-juta; tetapi Allah hanya minta lebih ringan dan mudah daripada itu, iaitu mengucapkan dua kalimah syahadah, kamu taat kepada Allah, cukuplah sebagai wasilah, sebagai jalan ke syurga!
    Tetapi malangnya apa boleh buat; kamu memilih jalan yang sukar, jalan yang salah; hartanya banyak tetapi tuannya ke neraka, wal’iyazu billah.
    Betapa ramai manusia yang hidup dalam neraka dunia atas dunia ini. 
    Duit & hartanya banyak, anaknya ramai tetapi tidak jadi kerja.
    Anak-anaknya pula membawa kerosakan dan kerunsingan hati.

    Manakala jika harta tak banyak tetapi anak-anaknya soleh dan menggembirakan hati ibu bapa di dunia & Akhirat kelak, itulah nikmat!
    Kebahagian itu atas diri masing-masing.
    Inilah yang perlu kita belajar daripada ayat ini!
  1. Ayat 37- {Mereka sentiasa berharap hendak keluar dari api neraka itu, padahal mereka tidak sekali-kali akan dapat keluar daripadanya; dan bagi mereka azab seksa yang tetap kekal.}-

    Orang kafir akan kekal diazab di dalam neraka selama-lamanya, wal’iyazu billah!
    Inilah manhaj ahli Sunnah mengatakan : Bahawa orang yang kafir yang tidak pernah mengucap dua kalimah syahadah dengan ikhlas tanpa paksaan maka dia akan kekal di dalam neraka selama-lamanya!
    Neraka itu juga akan kekal, tidak akan hilang & musnah, kerana Allah kata kekal maka kita percaya ia kekal, inilah pegangan ahli Sunnah wal Jama’ah. 
    Tak perlu kita bahaskan, apa yang nak jadi- jadilah kelak!

    Yang pentingnya kita, keluarga kita & semua orang yang kita sayangi; kita nak akan bersama semuanya di dalam syurga di Akhirat nanti, duduk dibawah keredhaan Allah SWT.
    Di Padang Mahsyar ketika orang dalam kepanasan, kita berada di bawah naungan bayangan Arasy Allah, akan berada di bawah panji Rasulullah SAW yang akan melayakkan kami ke syurga kelak!
    اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ
    Ya Allah jadikan kami dari ahli syurga-Mu & jauhkan kami dari neraka-Mu.
    Ya Allah tunjukkan kami wasilah, jalan yang dapat membawa kami ke syurga dengan melakukan ketaatan & mengikut Sunnah Nabi SAW! 

Alhamdulillah tamatlah tafsir & tadabbur ringkas kita untuk hari ini semoga mendapat manfaat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs