View Categories

Surah Al-Ma’idah : Ayat 42-43

SIFAT YAHUDI DENGAR PENDUSTAAN, MAKAN HARAM, TAK TERIMA HUKUM NABI & PUTAR BELIT TAURAT.

Full video : https://youtu.be/TcgxOSzbcko?si=BNo7Slz9CpAEkMUb

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 42 sehingga 43.
  1. Dalam siri ini Allah SWT sambungan cerita dari ayat 41, iaitu menceritakan tentang sifat yahudi yang suka dengar pendustaan, segala yang palsu, bohong & dusta itulah yang mereka suka & terus taja dan sokong! 
    Kerana mereka nak memporak-perandakan Islam.
  1. Mereka juga suka makan haram, sama ada yang zahir atau batin, serta suka buat perkara yang Allah larang & benci!
  1. Mereka juga tak terima hukum-hukum yang dibawa oleh Nabi SAW. Jika bertentangan dan tak kena dengan nafsu & kehendak mereka, mereka akan tolak.
    Tetapi mereka akan terima tetapi jika dengan nafsunya!
  1. Kemudian mereka putar belit Kitab Taurat untuk kepentingan mereka, habuan dunia. 
    Kita juga ada yang jadi begitu, tunggang al-Quran untuk habuan dunia dan kepentingan diri.

    Allah SWT bawa banyak ayat-ayat menceritakan tentang sifat buruk golongan yahudi ini sebagai peringatan & pengajaran kepada kita orang beriman agar jangan mengikut & meniru sifat mereka yang buruk ini!
    Jika mereka buruk & jahat jangan kita jahat & buruk sama, jika mereka ada kitab Taurat tetapi putar belit & selewengkannya; maka kita yang ada al-Quran jangan jadi begitu juga, guna al-Quran untuk tunggang agama!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang perangai yahudi yang suka dengar berita palsu, gossip buruk & desas-desus yang boleh menjatuhkan Rasulullah SAW.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah sebut sekali lagi bahawa perangai yahudi itu suka dengar perkara buruk & suka makan benda haram!
  1. Allah sebut dalam ayat yang lepas, bahawa yahudi ini suka memasukkan ke dalam telinga & hati mereka perkataan buruk, keji, jahat & hina, maka dalam ayat ini Allah tambah lagi bahawa mereka juga suka sumbat ke dalam perut mereka makanan yang haram. 
    Kedua sumbatan ini, dalam perut atau kepala; adalah perbuatan yang buruk lagi keji!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 42- {MEREKA SANGAT SUKA MENDENGAR BERITA-BERITA DUSTA, SANGAT SUKA MEMAKAN SEGALA YANG HARAM (RASUAH DAN SEBAGAINYA).}

  1. Allah menyatakan puak yahudi ini suka dengar benda karut & palsu serta terus menerima & menyebarnya tanpa tabayyun & siasat; untuk memporak-perandakan kesatuan umat Islam Madinah & menjatuhkan Nabi SAW.
  1. Antara perkataan buruk mereka:
    i- Menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW bukan nabi & rasul yang sebenarnya, hanya pengembala kambing dari Makkah.

    ii- Tukar hukum zina daripada rejam kepada conteng muka dan arak (usung) seluruh bandar & disebat.
  1. Sifat buruk mereka juga suka makan benda haram seperti:
    i- Rasuah, semua benda boleh dibeli.

    ii- Riba, mereka adalah kapitalis yang penindas.

    iii- Menghalalkan duit hasil pelacuran, di mana mereka lacurkan hamba-hamba mereka & makan hasilnya.

    iv- Menjual benih (sperma) bagi lelaki.

    v- Ambil hasil dari jualan arak & bangkai.

    vi- Tilik nasib, judi dan seumpamanya.

    vii- Menganjurkan tempat maksiat. Cari rezeki haram melalui maksiat seperti beri sewa dewan untuk orang buat maksiat dan seumpamanya.

    Inilah beberapa senarai pendek tentang perangai buruk yahudi yang amat banyak lagi!
  1. Benda buruk ini ada dua jenis:
    i- Zat atau ainnya sendiri itu buruk & haram seperti bangkai, arak, babi dan lain-lain.

    ii- Zat atau ainnya asal baik seperti makanan halal yang dibeli dengan duit haram atau disembelih bukan dengan nama Allah dan seumpamanya.

AYAT 42- {OLEH ITU KALAU MEREKA DATANG KEPADAMU, MAKA HUKUMLAH DI ANTARA MEREKA (DENGAN APA YANG TELAH DITERANGKAN OLEH ALLAH), ATAU BERPALINGLAH DARI MEREKA; DAN KALAU ENGKAU BERPALING DARI MEREKA MAKA MEREKA TIDAK AKAN DAPAT MEMBAHAYAKANMU SEDIKITPUN; DAN JIKA ENGKAU MENGHUKUM MAKA HUKUMLAH DI ANTARA MEREKA DENGAN ADIL; KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH MENGASIHI ORANG-ORANG YANG BERLAKU ADIL.}

  1. Dalam ayat ini Allah beri pilihan kepada Rasulullah SAW jika puak yahudi datang meminta hukum kepada Baginda, terdapat dua pilihan baginya:
    i- Terima mereka & hukumlah di antara mereka dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah.
    Nyatakan apakah hukuman yang mereka tanya itu sebagaimana yang ada dalam al-Quran.

    ii- Atau berpalinglah dari mereka; yakni tak perlu layan dan jawab pertanyaan mereka.
    Ini mereka kebiasaan yahudi itu datang jumpa yahudi bukan nak mencari kebenaran tetapi nak cari hukum yang lebih ringan daripada apa yang ada dalam Taurat jika ada!
  1. Tetapi ingat- pilihan ini hanya untuk:
    i- Golongan yahudi kafir yang ada perjanjian damai (المعاهدة) dengan orang Islam & Rasulullah SAW pada masa itu. 
    Bukan bagi mereka tinggal di dalam negara Islam Madinah dan di bawah pemerintahan Rasulullah SAW.

    ii- Tetapi jika kafir atau yahudi zimmiy yang duduk dengan aman dalam negara Islam, mereka terikat dengan pemerintahan negara Islam. 
    Wajib bagi mereka untuk berhukum & ikut undang-undang Islam kecuali yang diharuskan oleh agama mereka seperti minum arak dan seumpamanya, tetapi kena ada had & peraturan khas juga!

    Yakni jangan libatkan anak orang Islam, asingkan kegiatan orang bukan Islam yang ada di bawah pemerintahan kita sebagaimana yang telah dibuat oleh Allahyarham TG Hj Nik Abdul Aziz di negeri Kelantan semasa pemerintahannya dalam beberapa isu yang berkaitan dengan arak, judi, hiburan dan lain-lain setakat kemampuannya. 
  1. Allah juga nyatakan ini kerana jika engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun atau memberi mudharat kerana mereka bukan ahli negara Islam. 
    Atau kerana mereka bukannya mahu mencari hukum cuma mahu mencari kepentingan dan keringanan sebagaimana dalam ayat (41) yang lepas.
  1. Kemudian Allah berpesan lagi : Jika Rasulullah SAW memilih untuk berhukum bagi mereka maka hukumlah di antara mereka dengan adil.
    Betapa kena adil walaupun dengan musuh apatah lagi sesama saudara Islam.
    Ini kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil terhadap semua makhluk-Nya.
  1. Hadis : Rasulullah SAW bersabda: 
    “Orang-orang yang berlaku adil berada di sisi Allah SWT di atas mimbar (panggung) yang terbuat dari cahaya, di sebelah kanan tuhan yang bersifat Ar Rahman ‘azza wajalla, mereka ialah orang-orang yang berlaku: adil dalam hukuman mereka, adil dalam keluarga, adil ke atas semua orang yang di bawah tanggungjawab mereka.” [HR Muslim 3406]
  1. Ingatlah sesiapa yang memegang amanah jangan sesekali berani khianat dan salah guna segala duit derma & harta yang diamanahkan kepada kita untuk uruskannya dan sampaikannya kepada sasaran & penerima yang sepatutnya! 
    Allahlah yang membantu mereka ini dalam menjalankan amanah!
    Jangan pondok buruk atau asrama anak yatim dhaif dan serba kekurangan tetapi rumah & kereta penjaganya mewah & besar!

AYAT 43- {DAN (SUNGGUH MENGHAIRANKAN), BAGAIMANA MEREKA MEMINTA KEPUTUSAN HUKUM KEPADAMU, PADAHAL DI SISI MEREKA ADA KITAB TAURAT YANG MENGANDUNGI HUKUM ALLAH, KEMUDIAN MEREKA BERPALING PULA SESUDAH ITU (DARI HUKUMANMU)? DAN (SEBENARNYA) MEREKA ITU BUKANLAH ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AL-MA’IDAH 5:43)

  1. Allah nyatakan lagi sebab & helah mereka datang mencari hukum dari Rasulullah SAW & al-Quran sedangkan mereka sudah ada kitab Taurat adalah kerana ingin mencuba nasib, mencari hukum yang ringan yang sesuai dengan nafsu & kepentingan dunia mereka! 

    Sebagaimana telah mereka ceritakan kepada Rasulullah SAW kenapa mereka tukar hukum zina dari rejam kepada conteng muka semata-mata nak jaga kepentingan pembesar & orang mulia di kalangan mereka yang berzina!
  1. Kerana jika mereka benar mahu beriman tinggalkan Taurat terus beriman dengan al-Quran atau sekurang-kurangnya jika tidak mahu beriman & terima al-Quran, berhukumlah dengan apa yang ada dalam kitab Taurat itu sesuai dengan nama mereka sebagai ahli kitab!
    Ini tidak semua tidak mahu ikut, hanya mahu cari dan pilih yang sesuai dengan kehendak nafsu dan kepentingan dunia saja!
    Kita minta perlindungan dari Allah SWT dari segala perbuatan buruk & keji ini!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 42- {Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta,}-

    Allah nyatakan kepada kita dalam ayat-ayat ini sifat buruk yahudi yang suka dengar berita palsu, terus terima, pegang dan sebarkannya.
    Antara sifat buruk mereka:
    i- Suka sangat dengar berita bohong

    ii- Percaya dan sebarkannya pula.
    Maka akan berlakulah penyelewengan dan pendustaan yang dahsyat & berleluasa!
    Allah ulangnya dua kali dalam ayat ini berturut-turut iaitu ayat 41 & 42 untuk memberi peringatan dan pengajaran kepada kita agar menjauhi sifat sedemikian!
    Maka kita sebagai orang Islam jangan suka dengar berita bohong yang melibatkan agama, maruah orang atau apa saja, jika berita bohong jangan terima!
    Kita orang Islam walaupun cerita untuk nabi, jika bohong jangan sesekali kita terima & sebarkannya pula! 
    Kata ulama’ : Jika hadis tiada sanad macamana kita nak pastikan ianya sahih atau tidak untuk disandarkan kepada Nabi SAW. 
    Sedangkan hadis-hadis atau cerita yang tiada sanad ini biasanya dibaca dalam majlis sambutan maulidur-Rasul, majlis cintakan Nabi, puji dan seumpamanya. 
    Sama ada kita baca qasidah, berzanji atau apa saja jika ia cerita untuk memuji & memuliakan Nabi, jika tidak benar apa faedahnya!
    Contoh: Bahawa dewan di istana Kasra di Parsi pecah jatuh 14 bilik, api di Parsi padam pada malam kelahiran Nabi SAW sedangkan ia palsu.

    Banyak lagi hadis-hadis yang sahih tentang kelahiran & mukjizat Nabi SAW. Dakwa cinta Nabi tetapi bawa cerita karut maka ia adalah seumpama cerita palsu!
    Walaupun ayat ini kepada yahudi tetapi ia juga peringatan kepada kita agar jangan suka dengar cerita palsu 
  1. Ayat 42- {Mereka sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).}-

    Sebagaimana yang kita sebut dalam ayat tadi seperti suka makan riba, rasuah, harta orang & anak yatim, arak dan hasilnya dan lain-lain.
    Kata para ulama’ tadabbur : sesiapa yang cari harta secara haram, makan riba & rasuah maka itulah perangai yahudi!
    Sesiapa yang suka menipu orang itulah perangai yahudi, ini kerana Allah SWT sendiri yang menyebutnya.
    Maka hati-hatilah para scammer, scammer dunia atau Akhirat, lebih-lebih lagi penunggang agama guna anak yatim, pelajar tahfiz, sekolah pondok dan seumpamanya! 
    Para penderma juga hati-hati jangan sampai harta yang kita nak infaq tidak sampai kepada yang sepatutnya, yang memerlukannya, bukan jatuh ke tangan scammer si penipu, si penunggang agama yang mencari habuan untuk dirinya sendiri!
    Pastikan kita kenal, pasti & tahu ke mana yang kita nak infaq itu, juga jangan lupa lihat juga kepada amalan dan ajaran mereka apakah bertepatan dengan ajaran Islam & Sunnah Nabi SAW yang sahih!
  1. Ayat 42- {dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil;}-

    Wajib berlaku adil dalam berhukum, menjatuhkan hukuman kepada sesiapa saja, jangan pilih kasih!
    Tidak layak, tidak patut bagi manusia untuk pilih-pilih orang untuk menjatuhkan hukum atau pilih hukuman yang akan dijatuhkan.
    Sebagaimana hadis tentang terdapat anak orang besar mencuri pada zaman Rasulullah SAW lalu para sahabat cuba bertolak ansur sehingga menimbulkan kemurkaan Rasulullah SAW. 
    Juga Yahudi conteng muka orang yang berzina sebagai ganti kepada hukum rejam kerana nak jaga kepentingan orang besar yang berzina di kalangan mereka!
  1. Ayat 42- {kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.}-

    Allah kata Allah suka kepada orang yang adil!
    Ayat ini galakan untuk kita berlaku adil dalam semua perkara.
    Ini kerana Allah itu sendiri maha Adil & suka kepada orang yang berlaku adil!

    Jika kamu nak jadi orang yang disayangi Allah maka berlaku adillah dalam semua perkara & urusan : Dalam hukuman, kasih-sayang, memilih kawan dan semuanya!
  1. Ayat 43- {Dan (sungguh menghairankan), bagaimana mereka meminta keputusan hukum kepadamu, padahal di sisi mereka ada Kitab Taurat yang mengandungi hukum Allah,}-

    kenapa yahudi datang untuk berhukum kepada Rasulullah SAW; sedangkan mereka sudah mempunyai kitab Taurat yang juga mengandungi hukum-hakam dari Allah?
    Ini kerana: Yahudi sebenarnya tidak ikhlas dalam mencari hukum atau kebenaran, tetapi kerana nak mencari peluang jika ada hukum yang lebih ringan sesuai dengan nafsu & kepentingan dunia mereka!

    Kita orang Islam jangan ikut perangai yahudi ini, jangan suka mencari & memilih hukum yang ringan, dia telah bertanya kepada ramai ustaz sehingga bertemu dengan yang memberi jawapan yang diingininya yang ringan dan sesuai dengan kepentingannya!
    Kita cari hukum yang boleh memberi ketenangan kepada hati kita serta guna akal untuk melihat kepada dalil-dalil & sumber yang telah dibuat & dikaji oleh para ulama’! 
    Kita gunalah otak sendiri pula sama ada nak ikut Nabi dengan berpandukan kepada nas al-Quran & Hadis Nabi SAW.atau nak pilih yang telah ditakwil oleh orang lain dengan ikut akal.

    Para agamawan yang bertanggungjawab juga berhati-hati dalam memberi fatwa & pendapat kerana yang akan bertanggungjawab di hadapan Allah SWT nanti ialah orang yang memberi fatwa lalu diikut & dilakukan oleh orang awam yang percaya kepadanya.
    Jangan cari yang mudah seperti yahudi; tetapi carilah yang sahih sebagaimana yang telah diajar oleh Allah & Rasulullah SAW.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs