NABI ISA AS MEMBENARKAN TAURAT, MENERIMA KITAB INJIL & WAJIB MELAKSANAKAN HUKUM ALLAH SWT.
Full video : https://youtu.be/tvIcdKNDo7c?si=oMujtjX5Xd3zOzzF
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 46 dan 47.
- Dalam siri ini masih lagi menceritakan tentang kewajipan beriman dengan kitab Taurat yang Allah SWT turunkan kepada Nabi Musa AS.
- Selepas itu datangnya Nabi Isa AS membenarkan Taurat, dan Baginda Isa sendiri menerima Kitab Injil dari Allah SWT.
- Kemudian Allah nyatakan wajib melaksanakan hukum Allah SWT. dan sesiapa yang tidak berhukum dengannya maka itulah orang yang fasiq.
Ini adalah ulangan kali ketiga Cuma berbeza hujung ayat.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa kitab Taurat ini telah digunapakai oleh Nabi Musa AS yang menerimanya sehingga nabi-nabi selepasnya, tiada kitab lain selepasnya sehinggalah datangnya nabi terakhir dari bani Israil iaitu Isa & kitabnya Injil.
ii- Dalam ayat ini Allah sebut bahawa salah seorang nabi yang berpegang dengan kitab Taurat ialah Nabi Isa AS dan dia sendiri mempunyai kitabnya yang khas iaitu kitab Injil.
Allah sebut Nabi Isa untuk membersihkannya daripada pelbagai dakwaan buruk ahli kitab seperti yahudi yang kata Isa anak zina atau nasrani yang kata Isa anak Tuhan!
Bagi kita orang Islam, umat Nabi Muhammad SAW; Isa ialah seorang hamba Allah dan rasul-Nya!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 46- {DAN KAMI UTUSKAN NABI ISA IBNI MARYAM MENGIKUTI JEJAK LANGKAH MEREKA (NABI-NABI BANI ISRAIL), UNTUK MEMBENARKAN KITAB TAURAT YANG DITURUNKAN SEBELUMNYA; DAN KAMI TELAH BERIKAN KEPADANYA KITAB INJIL, YANG MENGANDUNGI PETUNJUK HIDAYAH DAN CAHAYA YANG MENERANGI, SAMBIL MENGESAHKAN BENARNYA APA YANG TELAH ADA DI HADAPANNYA DARI KITAB TAURAT, SERTA MENJADI PETUNJUK DAN NASIHAT PENGAJARAN BAGI ORANG-ORANG YANG (HENDAK) BERTAQWA.} (AL-MA’IDAH 5:46)
- Allah nyatakan bahawa Dia yang telah mengutus Nabi Isa ibnu Maryam, meneruskanjejak langkah nabi-nabi Bani Israil sebelumnya, bermula dari datuknya Nabi Yaakob AS.
- Nabi Isa tugasnya untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan dia juga telah diberikan kepadanya Kitab Injil.
- Allah ulang dua kali perkataan membenarkan {مُصَدِّقًۭا} dalam ayat ini kerana ia membawa maknanya yang tersendiri:
i- Bahawa Nabi Isa sendiri membenarkan apa yang ada sebelumnya iaitu bahawa Kitab Taurat itu yang benar datang dari Allah SWT.
ii- Tasdiq yang kedua ialah bahawa kitab Injil itu juga membenarkan kebenaran kitab Taurat. Untuk melengkap & menyempurnakan hukumnya.
Yakni undang-undang yang ada dalam kitab Taurat masih diterima pakai walaupun kitab Injil telah diturunkan kecuali yang bercanggah dengannya.
- Kitab-kitab ini menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang hendak bertaqwa iaitu orang yang ikut perintah Allah SWT.
Mereka orang muttaqin inilah yang akan mendapat faedah dari nasihat yang ada dalam kitab Taurat, Injil & al-Quran.
Mereka yang ikut apa yang Allah suruh & tinggal apa yang Allah larang.
- Ia sama dengan Syari’ah Islam juga, dalam kitab Injil ini:
i- Ada petunjuk (هُدًۭى) untuk hukum zahir & amali seperti solat dan lain-lain ibadat.
ii- Cahaya (نُورٌۭ) kepada aqidah tauhid iaitu memurnikan aqidah untuk beribadat semata-mata kepada Allah & menolak sebarang bentuk syirik kepada Allah!
- Yakni Allah ulang dua kali kalimah {مُصَدِّقًۭا} untuk menyatakan bahawa Nabi Isa AS membenarkan kitab Taurat & kitab Injil yang diturunkan kepada Baginda juga membenarkan kebenaran Taurat.
AYAT 47- {DAN HENDAKLAH AHLI KITAB INJIL MENGHUKUM DENGAN APA YANG TELAH DITURUNKAN OLEH ALLAH DI DALAMNYA; DAN SESIAPA YANG TIDAK MENGHUKUM DENGAN APA YANG TELAH DITURUNKAN OLEH ALLAH, MAKA MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG FASIK.} (AL-MA’IDAH 5:47)
- Allah turunkan kepada Nabi Isa kitab Injil untuk berhukum kepada pengikutnya berpandukan hukum-hakam yang ada dalam kitab Injil!
Mereka mesti beriman dengan semua yang dibawa di dalamnya dan berhukum dengan segala hukum yang ada di dalamnya.
- Antara maklumat & perintah yang ada dalam Injil ialah khabar gembira untuk beriman dan menerima rasul yang terakhir dari kalangan Arab yang bernama Ahmad.
Tetapi malangnya walaupun ada maklumat dan ilmu mereka menolak Rasulullah SAW & tidak beriman dengannya.
- Kita yang tidak sempat berjumpa dengan Rasulullah SAW ini bersyukurlah kepada Allah SWT yang menjadikan kita di kalangan orang yang beriman & mencintai Rasulullah SAW!
Juga beramal dengan Sunnahnya tanpa mereka-reka ibadat yang tidak diajar Baginda SAW.
- Kemudian Allah nyatakan: sesiapa yang tidak berhukum dengan kitab Allah, iaitu nasrani dengan kitab Injilnya pada zaman itu & yahudi dengan kitab Taurat pada zamannya dan jika pada zaman kita ini dengan al-Quran. Yakni siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah akan dikira sebagai orang fasiq!
Akan dikira terkeluar dari jalan yang benar & orang yang batil!
- Kata ulama’ apakah fasiq {ٱلْفَـٰسِقُونَ} di sini sekadar fasiq maksiat yang berdosa saja atau boleh membawa kepada kekufuran?
i- Sesiapa yang kata undang-undang lain lebih baik daripada undang-undang al-Quran maka dia telah kufur.
ii- Sesiapa yang berhukum dengan hukum lain dari Syari’ah Allah, bukan kerana ingkar tetapi kerana kepentingan nafsu, maka dia adalah orang yang jahat & fasiq, orang yang tidak baik tetapi tidak masuk kufur lagi!
Tetapi pastilah bahaya juga kerana fasiq ini kedudukannya hanya di bawah kufur!
- Allah SWT sebut tiga jenis sifat buruk ini; kufur, fasiq & zalim:
i- Kafir : Dia kafir dari segi Aqidah dan perbuatannya.
ii- Zalim : Kerana khianat orang dengan orang atau dia sendiri dengan syirik.
iii- Fasiq : Kerana buat perkara yang dilarang seperti memutar belit ayat-ayat Allah!
- Maka apakah faedah Allah sebut fasiq & zalim selepas kafir?
Tidakkah cukup hanya dengan sebut kafir terus?
Kenapa sebut lagi yang dua itu?
- Jawapannya:
Ini kerana kafir itu lebih besar daripada zalim, zalim lebih ringan daripada kafir tetapi jika syirik ia adalah satu kezaliman juga.
Fasiq pula adalah manusia yang buat maksiat & dosa tetapi tidak sampai kepada kafir.
Kerana itu Allah SWT ulang dalam ayat ini tiga kategori jenis manusia ini!
Yakni setiap sifat & ayat itu ada kategorinya masing-masing, ada orang yang kafir saja, zalim saja atau fasiq saja atau adakalanya mungkin berkembar tiga-tiga sekali!
PENUTUP & FAEDAH:
- Ayat 46- {Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil),}-
Allah nyatakan Dia bawa datang Nabi Isa selepas nabi-nabi lain.
Kata ulama’, ini menunjukkan bahawa tiada lagi nabi lain selepas Nabi Isa dari keturunan yahudi kecuali Nabi Muhammad SAW dari Bani Hasyim, Quraisy dari Arab Makkah.
Nabi Isa adalah penutup kepada nabi dari keturunan bani Israil, bukan tidak ada nabi lain selepasnya tetapi datang dari jalur lain iaitu dari jalur Nabi Ismail bin Ibrahim AS. bukan lagi dari jalur bani Israil.
Jika ada lagi Allah tidak kata penutup kepada nabi.
Maka jika ada lagi yang mengaku menjadi nabi atau rasul selepas Nabi Muhammad SAW; itu adalah satu pembohongan & kesesatan yang nyata!
Tetapi malangnya masih ada orang yang percaya & menjadi pengikut mereka ini bahkan taksub pula!
Moga pendedahan yang dibuat dapat memberi kesedaran kepada masyarakat dan membuka mata mereka.
Ingatlah ekonomi orang Islam ialah ekonomi yang halal & bersih, wajib aqidah yang murni, patuh Syari’ah, tidak zalim dan menindas pengikutnya!
- Ayat 46- {Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka ..}-
Nabi Isa bin Maryam dinisbahkan kepada ibunya kerana Isa ini tidak ada bapa.
Secara rasmi Nabi Isa tidak ada bapa tetapi lahir melalui mukjizat & karamah yang Allah berikan kepada ibunya.
Lalu Allah sendiri yang menamakannya Isa bin Maryam {عِيسَى ٱبْنِ مَرْيَمَ} di dalam al-Quran.
Manakala orang biasa yang kena dibinkan kepada ibunya ialah:
i- Sesiapa yang tidak ada bapa rasmi, yang tidak berkahwin dengan ibunya, maka dia akan dinisbahkan kepada ibunya.
Inilah anak zina atau anak tak sah taraf.
ii- Begitu juga orang yang ada suami tetapi si suami itu tidak mengaku itu anaknya, dia kena bersumpah laknat bahawa itu bukan anaknya & anak itu tidak boleh dibinkan kepadanya!
Perundangan kita di Malaysia hari ini; untuk menjaga maruah anak-anak ini dibenarkan bin kepada Abdullah (dengan maksud Hamba Allah) bukan kepada ibunya secara rasmi dalam pendaftaran kelahiran.
Oleh kerana Nabi Isa ini tidak ada bapa maka lahirlah dakwaan sesat dua golongan ini:
i- Nasrani kata Isa anak Tuhan kerana itu tidak ada bapa.
ii- Yahudi kata Isa anak zina yang tiada bapa.
Maka jika kita ada bapa jangan pandai-pandai nak tukar bubuh kepada nama ibu, ini biasanya dalam isu perbomohan atau baca talkin. Walaupun ada riwayat nisbah kepada nama ibu tetapi ulama’ hadis ada yang mengatakan tidak sahih.!
Tok bomoh juga biasanya minta nama ibu, maka berhati-hatilah!
- Ayat 46- {untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya;}-
Inilah kerja atau tugas Injil iaitu membenarkan apa yang ada dalam kitab Taurat.
Maka ayat ini membesarkan kedudukan Taurat & kelebihannya yang besar.
Nabi Isa membenarkan Taurat & Nabi Muhammad SAW juga membenarkan kitab Taurat. Ia lebih awal dari segi kedudukannya berbanding kitab lain!
- Ayat 46- {dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi,}-
Allah kata kitabnya ini yang akan mendapat faedah darinya adalah orang yang bertaqwa.
Jika tidak akan menjadi seperti lembu kenyang, yang dengar saja tetapi tidak mendapat apa-apa manfaat.
Maka orang yahudi yang bertaqwa akan dapat faedah dari Taurat, orang nasrani yang bertaqwa akan dapat faedah dari Injil.
Begitu juga kita yang beriman akan mendapat faedah dengan bertaqwa dan beramal dengan ajaran al-Quran.
Betapa pentingnya untuk menjadi orang yang bertaqwa jika tidak kita akan kerugian!
- Ayat 47- {Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya;}-
Kita kena ingat kitab Injil ini adalah kitab yang Allah turunkan!
Kitab Injil itu juga adalah dari Kalam atau wahyu dari Allah, yang diturunkan kepada Nabi Isa al-Masih AS.
Kemudian sekali lagi Allah tekankan kepada Nasrani, oleh kerana kitab Injil ini kitab yang lengkap dan sempurna; maka ke atas kamu untuk berhukum dengannya!
Jangan cari undang-undang yang lain selain darinya.
Begitu juga kita dengan al-Quran, kita percaya al-Quran ini Kalamullah, al-Quran lengkap dan penuh hikmah, al-Quran ini petunjuk & cahaya; tetapi apabila nak berhukum pergi ambil & cari undang-undang cipataan lord itu lord ini! Ini adalah satu kepincangan yang amat besar yang berlaku!
Kesimpulan dari ayat-ayat:
Allah SWT sebut tiga sifat ini: Fasiq, zalim & kafir {ٱلْفَـٰسِقُونَ, ٱلظَّـٰلِمُونَ,الْكَـٰفِرُونَ }: Apakah ia satu sifat yang sama atau yang berlainan?
Jawapan:
Ada ulama’ tafsir kata: tiga sifat ini adalah satu benda yang sama saja.
Kata Ibnu Abbas RA :
i- Sesiapa yang ingkar maka dialah zalim, dialah fasiq & kafir!
ii- Tetapi jika tidak ingkar tetapi dia khianti orang dengan ayat al-Quran dia putar belit; maka dia zalim.
iii- Ataupun dia tafsir ayat ikut hawa nafsu maka itulah orang yang fasiq.
Tetapi boleh jadi ketida-tiga sifat ini ada padanya semua.
Kata Ibnu Abbas RA lagi: Walaupun ayat ini turun kepada yahudi & nasrani tetapi ingat baik-baik; ia juga terpakai kepada kita semua, sesiapa yang tolak undang-undang al-Quran & mengambil undang-undang bukan Islam kerana benci kepada al-Quran & menganggap undang-undang Islam ini lekeh, yakni menolak dan mengingkari hukum Allah SWT. Maka dia adalah kafir!
Jika dia buat juga zalim & fasiq maka ia akan menjadi satu pakej sifat kafir yang lengkap!
Yang penting dalam Islam ada dhawabit (batasan) khas tentang kafir, jangan sewenang-wenang atau mudah untuk mengkafirkan orang lain.
Mungkin dia tidak melaksanakan hukum Allah SWT kerana sebab tertentu tetapi ia mengakui kebenarannya, maka ia adalah orang fasik tidak kafir.
Sebagaimana hadis Nabi SAW: أَيُّمَا رَجُلٍ قَالَ لِأَخِيهِ يَا كَافِرُ، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا
Maksudnya: “Mana-mana orang yang mengatakan kepada saudaranya: Wahai kafir. Maka jatuhlah (kafir itu) ke atas salah seorang daripadanya.” [HR al-Bukhari (6104) dan Muslim (111).]
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Thabit bin Dhahak RA, Nabi SAW bersabda: ومَن رَمَى مُؤْمِنًا بكُفْرٍ فَهو كَقَتْلِهِ.
Maksudnya: “Sesiapa yang menuduh orang beriman dengan kafir maka dosanya sama seperti membunuhnya.” [HR al-Bukhari].|
Yakni jangan mudah mengkafirkan orang tetapi menyatakan batasan (sempadan) antara iman & kafir wajib, kewajipan para pendakwah agar orang tahu & tidak tergelincir ke arahnya!
Jika seseorang itu sifatnya suka mengkafirkan orang, dia akan ketagih dengannya dan akan mudah-mudah mengatakan kepada sesiapa saja!
Kita buatlah apa yang kita rasa betul mengikut al-Quran & Hadis Rasulullah SAW yang sahih.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.