View Categories

SURAH AL-MUDDATHTHIR : AYAT 32-37

\"\"

ALLAH BERSUMPAH DENGAN BULAN, MALAM DAN SUBUH, NERAKA ADALAH ISU BESAR & PILIHLAH KAMU NAK APA?

Full video : https://youtu.be/X-fUpCqb_Z8?si=jZpkgfMoFV8KrzG0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t bersumpah dengan bulan, malam dan subuh, serta dinyatakan kenapa sebab & rahsianya.
  2. Allah beri peringatan kepada semua bahawa neraka adalah satu isu besar, bukan perkara yang boleh dibuat main-main.
  3. Pilihlah kamu nak apa? Siapa nak Islam alhamdulillah, siapa nak pilih kekufuran juga silakan! dan tunggulah akibatnya.

AYAT 32- {SEBENARNYA! DEMI BULAN,} (AL-MUDDATHTHIR 74:32)

  1. Tidak sekali-kali {كَلَّا} sebagaimana yang kamu sangka!
    Ini adalah satu ayat penafian atau jerkahan untuk kenyataan puak kafir yang perli & main-main tentang bilangan malaikat yang Allah s.w.t sebut!
  2. Kemudian Allah s.w.t bersumpah sebanyak tiga kali di sini dengan tiga makhluk-Nya.
  3. Demi bulan!

AYAT 33- {DAN MALAM APABILA IA BALIK MELENYAPKAN DIRI,} (AL-MUDDATHTHIR 74:33)

  1. Demi malam apabila ia melenyapkan diri, iaitu gelap gelita.

AYAT 34- {DAN WAKTU SUBUH APABILA IA TERANG-BENDERANG,} (AL-MUDDATHTHIR 74:34)

  1. Demi permulaan subuh! Apabila terbitnya fajar dan ia mula menyerlahkan cahayanya.
  2. Fajar itu ada dua jenis:
    i- fajar kazib (palsu):- fajar kazib bentuknya vertikal, cahayanya menegak di langit dari atas ke bawah. Dipanggil fajar palsu kerana pada masa itu belum masuk waktu subuh lagi, cuma cahaya matahari yang baru nak keluar.

ii- fajar sodiq (benar):- manakala fajar sadik bentuknya horizontal iaitu cahayanya melintang di langit. Semakin matahari mendekati ufuk, semakin terang fajar sadik. Ia dipanggil fajar yang sebenar kerana waktu solat subuh telah tiba dengan kedatangan fajar sadik atau cahaya yang membentang di horizon.

AYAT 35- {SESUNGGUHNYA (إِنَّهَا) NERAKA SAQAR ITU ADALAH SALAH SATU (MALAPETAKA) YANG AMAT BESAR,} (AL-MUDDATHTHIR 74:35)

  1. Sesungguhnya api neraka itu adalah salah satu perkara besar, bala petaka besar yang tidak ada taranya!
  2. Ada ulama\’ kata (Tafsir Ibnu Abbas) ianya (إِنَّهَا) kembali kepada:
    i- ia cahaya yang muncul pada waktu fajar.

ii- ia neraka. Neraka satu perkara yang besar!

  1. Kata al-Mawardi rhm.: Ianya (إِنَّهَا) adalah satu perkara besar yang sepatutnya kita perhatikan.
    Ada 3 tafsiran tentangnya:
    i- pendustaan yang dibuat oleh puak kafir terhadap Rasulullah s.a.w adalah salah satu dosa & jenayah yang besar. Pembohongan penentangan & penolakan mereka adalah jenayah yang besar.

ii- sesungguhnya neraka yang Allah s.w.t sediakan kepada puak kafir itu adalah satu perkara yang besar yang menakutkan!
Kita mohon selamat kepada Allah daripada neraka dan azabnya!

iii- ia kembali kepada tanda-tanda (ayat) Allah yang besar.
Kemungkinan juga ia dengan makna: berlakunya Kiamat- ia adalah satu perkara besar dan menakutkan juga!

  1. Kata Ibnu Atiyah rhm.: Ianya (إِنَّهَا) adalah satu perkara besar yang akan berlaku iaitu hari Kiamat maka ia adalah peringatan kepada kita untuk membuat persediaan menghadapinya.
    Sama seperti mati juga, adalah satu perkara yang besar dan memerlukan persiapan.
  2. Semua ini apapun maksudnya adalah sebagai satu peringatan kepada manusia, bagi orang beriman ia adalah satu isu yang besar yang perlu kita jauhi dan perhatikan.

AYAT 36- {YANG MENJADI AMARAN BAGI UMAT MANUSIA,} (AL-MUDDATHTHIR 74:36)

  1. Semua ayat-ayat Allah s.w.t ini menjadi peringatan kepada manusia.
  2. Kematian, bencana alam yang berlaku, tsunami, banjir, Covid 19. Keruntuhan ekonomi, peperangan dan semuanya adalah peringatan dan amaran kepada kita dari Allah s.w.t.
  3. Neraka juga satu isu yang amat besar!
    Cukuplah ingat kepada neraka menakutkan kita dan mengingatkan kepada Allah s.w.t!
  4. Antara punca kenapa manusia tidak takutkan neraka & tidak ingat mati adalah kerana:
    i- kerana dia merasakan dia lambat lagi akan mati!
    ii- kerana dia lupa akan segala peringatan yang diberikan!
  5. Beza antara takut mati & ingat mati:
    i- takutkan mati- buat persediaan untuk sihat & hidup lebih lama, ambil pelbagai ubat, vitamin & supplement!

ii- ingatkan mati- tidak berani buat maksiat dan dosa serta buat persedian untuk kehidupan selepasnya. Perbanyakkan amal ibadat kepada Allah s.w.t & kebaikan sesama manusia.

  1. Persoalan- jika kita bersedekah tetapi rupanyna jatuh ke tangan scammer atau penipu, apa jadi dengan sedekah kita itu, dapat pahala atau tidak?
  2. Kita lihat hadis nabi s.a.w ini:
    Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda:
    \”Ada seorang lelaki berkata, \”Malam ini aku benar-benar akan bersedekah.\”
    Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan sedekahnya itu diserah ke tangan pelacur.
    Keesokan harinya, ramai orang berbicara bahawa malam tadi ada pelacur diberi sedekah.
    Maka lelaki (yang memberi sedekah) itu berkata:
    \”Ya Allah! Bagi Mu segala pujian kerana sedekahku jatuh ke tangan pelacur. Nescaya aku akan bersedekah lagi.\”

Dia pun keluar membawa sedekahnya lalu bersedekah kepada seorang yang kaya.
Keesokan harinya orang ramai berbicara bahawa pada malam tadi seorang yang kaya telah diberi sedekah. Pemberi sedekah itu berkata:
\”Ya Allah! Bagi Mu segala pujian kerana sedekahku jatuh ke tangan orang kaya. Pasti aku akan bersedekah lagi.\”

Lalu dia keluar untuk bersedekah. Kali ini sedekahnya jatuh ke tangan pencuri.
Keesokan harinya ramai orang membincangkannya bahawa seorang pencuri telah diberi sedekah. Pemberi sedekah itu berkata,

\”Ya Allah! segala pujian bagi Mu. Sedekahku telah ditakdirkan jatuh ke tangan penzina, orang kaya dan pencuri.\” Kemudian lelaki itu didatangi malaikat dan berkata,

\”Adapun sedekahmu telah diterima Allah.
Ada pun sedekahmu kepada pencuri semoga sedekah itu ia dapat menjaga dirinya dari mencuri. Dan, sedekahmu kepada wanita penzina semoga ia dapat menjaga diri dari melakukan zina.
Sedangkan sedekahmu kepada orang kaya mudah-mudahan ia dapat mengambil pelajaran darinya sehingga ia menafkahkan apa yang diberikan Allah kepadanya.\” [HR Bukhari].

Maksudnya sedekah kita itu dinilai dengan niat masa kita memberinya. Kita tidak tahu perkara yang batin bagi orang lain.

AYAT 37- {(IAITU) BAGI SESIAPA DI ANTARA KAMU YANG MAHU MAJU (DALAM MENGERJAKAN KEBAIKAN) ATAU YANG MAHU MUNDUR (DARIPADA MENGERJAKANNYA).} (AL-MUDDATHTHIR 74:37)

  1. Sesiapa antara kamu yang nak maju ke depan; iaitu mahu bersegera dalam mengerjakan kebaikan, silakan!
  2. Atau yang mahu mundur (lambat & menangguhkan) daripada mengerjakannya maka pilih dan buatlah!

Tetapi kamu akan menerima balasan yang setimpal atas apa saja pilihan yang kamu buat semasa atas dunia dulu!

  1. Ulama\’ kata:
    i- ada orang boleh menerima peringatan ini maka dia maju ke depan untuk melakukan kebaikan & menggilap imannya. Inilah orang yang beruntung!

ii- ada orang yang tidak pedulikan peringatan ini maka dia mundur ke belakang, tidak beriman & tidak beramal, buat maksiat dan segala peringatan tidak dipedulikan. Maka inilah manusia yang celaka! Wal-\’iyazubillah!

  1. Waktu kita masih hidup & sihat wal-afiyat ini buatlak amal ibadat semaksimum mungkin.
    Rugilah apabila masa dah ada, peluang masih ada, jika kita sia-siakannya!
    Baca dan tadabbur quran semasa hidup ini, jangan tunggu orang mari baca al-Quran & solat atas kubur kita!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 32- {Sebenarnya!- كَلَّا}- Allah jawab dengan sepatah perkataan ini!
    Dengan makna tidak mungkin!
    Tidak sekali-kali sebagaimana yang kamu sangkakan!

Ia adalah satu bantahan atau penafian yang membatalkan tohmahan orang kafir terhadap Rasulullah s.a.w & al-Quran.

Yang mana dalam ayat sebelumya mereka si kafir:
i- mempermainkan bilangan 19 malaikat yang Allah sebut
ii- memperkecilkan bandingan yang Allah s.w.t buat dalam al-Quran.

  1. Ayat 32- {Sebenarnya! Demi bulan,} & Ayat 33- {Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri,} & Ayat 34- {Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang,}- Ini adalah 3 sumpah dari Allah s.w.t untuk menguatkan bantahannya itu. Diulang tiga kali untuk menambahkan kesungguhannya.

Allah s.w.t bersumpah dengan tiga makhluk-Nya yang besar-besar belaka, bulan, malam & subuh.

Apakah munasabahnya:
Ini kerana 3 benda ini akan zahir daripada kegelapan, dari gelap menjadi cerah. Ianya adalah seumpama manusia yang berada dalam syirik kesesatan yang gelap gelemat sebelum ini, apabila mendapat hidayah dari Allah s.w.t, seolah mendapat cahaya yang terang benderang!

  1. Ayat 32- {Sebenarnya! Demi bulan,} & Ayat 33- {Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri,} & Ayat 34- {Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang,}-
    Allah s.w.t bersumpah atas tiga makhluk untuk menunjukkan bahawa manusia itu akan mati & akan hidup semula.

Ini kerana apabila Allah s.w.t bersumpah dengan sesuatu maka ia menunjukan benda itu besar. Setiap benda itu beredar daripada tiada kepada ada, begitu juga perjalanan hidup manusia, dari hidup kepada mati kepada hidup semula pada hari Kiamat.

  1. Ayat 37- {(Iaitu) bagi sesiapa di antara kamu..}
    Menunjukkan bahawa pilihan di tangan kamu, kamu yang pilih apa yang kamu mahu. Samada mahu bersyukur atau mahu kufur!

Tetapi bukan pilihan bebas, Allah s.w.t bagi akal fikiran maka kamu pilih dengan akal kamu, berpanduakan al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w, apa yang baik & apa yang buruk!

  1. Ayat 32- {Sebenarnya! Demi bulan,} & Ayat 33- {Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri,} & Ayat 34- {Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang,}- menunjukkan bahawa masa itu beredar & bergerak!

Kita hidup atas dunia ini masa itu tidak pernah terhenti atau menunggu sesiapa.

Kata ulama\’: Kita ini akan sentiasa berjalan tidak akan berhenti; samada kita naik ke atas yakni pergi ke depan dengan buat baik lalu bertambah keimanan atau turun ke bawah yakni mundur ke belakang dengan buat jahat maka berkurangnya iman.

Sama seperti jantung kita yang sentiasa berdetik, jika jantung berhenti maka akan matilah manusia itu! Betapa ramai manusia yang tidur tidak bangun-bangun lagi!

Kerana itu pentingnya kita membaca doa-doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w sebelum kita tidur! Bukan saja-saja nak baca, tetapi ia mempunyai doa & makna yang amat baik.

Sesiapa yang mensia-sikan waktu adalah manusia yang telah kerugian, hilangnya masa yang berharga adalah lebih rugi dari hilang harta!

Berilah masa untuk al-Quran, bukan tunggu ada masa baru nak baca al-Quran.

Hari ini hari Jumaat, ingat Jumaat ingat:
i- perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w.
ii- baca surah al-Kahfi
iii- perbanyakkan sedekah sempena Ramadhan ini.

Powered by BetterDocs