PERANGAI BURUK MUNAFIK WALA\’ KEPADA YAHUDI, SUKA BERSUMPAH & SEBAB KESESATAN MEREKA.
Full video : https://youtu.be/LywG3lo0V9I
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan beberapa perangai buruk kaum munafik iaitu:
i- wala\’ kepada yahudi, cintakan sesama puak kafirnya.
ii- suka bersumpah. - Kemudian Allah s.w.t nyatakan sebab-sebab kesesatan dan kejahatan mereka.
- Munasabah ayat:
Allah s.w.t telah nyatakan dalam ayat-ayat yang lepas bahawa ilmu-Nya meliputi semua perkara. Ini untuk menolak orang-orang yang terpedaya dengan sifat Allah s.w.t Yang Maha Lemah-lembut, Maha Kasih Sayang.
Maka dalam ayat-ayat ini Allah s.w.t menyatakan bahawa Dia kenal & tahu tentang kaum munafiq yang ada di kalangan orang mukmin. Lalu Allah s.w.t perkenalkan kepada Rasulullah s.a.w tentang puak munafiqin yang berteman rapat kepada puak yahudi, mereka menyokong dan cuba memberi bantuan kepada mereka.
AYAT 14- {TIDAKKAH ENGKAU MELIHAT (BAGAIMANA JAHATNYA) ORANG-ORANG YANG BERSAHABAT KARIB DENGAN KAUM YANG TELAH DIMURKAI ALLAH (DENGAN SEBAB KEKUFURAN DAN KHIANATNYA)? MEREKA ITU BUKANLAH DARI GOLONGAN KAMU DAN BUKAN PULA DARI GOLONGAN KAUM YANG TERSEBUT ITU (KERANA MEREKA IALAH GOLONGAN MUNAFIK); DAN LAGI MEREKA SELALU BERSUMPAH DENGAN DUSTA, SEDANG MEREKA MENGETAHUI (BAHAWA MEREKA ADALAH BERDUSTA).} (AL-MUJADILAH 58:14)
- Allah s.w.t bertanya kepada Rasulullah s.a.w tidakkah Baginda melihat bagaimana jahatnya orang yang berteman rapat dan menyokong
(ٱلَّذِينَ تَوَلَّوْا۟)
dengan kaum yang dimurkai Allah
(قَوْمًا غَضِبَ ٱللَّهُ عَلَيْهِم). - Menurut ulama\’ mereka ini:
i- orang yang berteman rapat
(ٱلَّذِينَ تَوَلَّوْا۟) –
ialah kaum munafiqin
ii- kaum yang dimurkai Allah
(قَوْمًا غَضِبَ ٱللَّهُ عَلَيْهِم)-
ialah kaum yahudi.
- Sedangkan mereka munafiq itu pada hakikatnya bukan dari kalangan muslimin yang mengikut agama Islam, mereka hanya mengaku dan berlakon luaran sahaja!
Mereka juga bukan berasal dari kaum yahudi! - Sifat mereka juga suka bersumpah sedangkan mereka tahu mereka adalah berbohong!
Semua itu hanyalah strategi untuk menyelamatkan diri mereka! - Orang Islam tidak akan bersifat begini kecuali mereka yang bersifat seperti munafiq ini!
- Munafiq ada dua jenis:
i- Munafiq Iktiqadi, munafiq yang memang kafir dalam hatinya, cuma luaran berpura beriman.
ii- Munafiq Amali, dari segi sifat, mereka beriman tetapi banyak bersifat seperti munafiq ini, suka bersumpah, berbohong dan lain-lain sifat buruk.
- Sebab turunnya ayat ini:
Hadis riwayat dari Ibnu Abbas r.a yang berkata,
\”Pada suatu masa, Rasulullah s.a.w berada di bawah naungan bayang-bayang sebuah bilik. Bayang-bayang itu telah hampir habis ketika Rasulullah berkata: \’Sesungguhnya akan segera datang menghampiri kamu seorang lelaki yang melihat kepada kamu dengan pandangan yang tidak baik. Jika ia datang, maka janganlah seorang pun dari kamu yang bercakap dengannya.\”
Tidak lama kemudian, muncullah seorang lelaki yang berkulit biru.
Rasulullah s.a.w. lantas memanggil lelaki itu.
Ketika dia dekat, Rasulullah s.a.w. berkata:
\’Atas dasar apa engkau dan teman-temanmu mencaci makiku?\’
Lelaki itu menafikan sambil menjawab, \”Izinkan saya membawa teman-teman saya itu kemari.\’ Lelaki itu lalu pergi untuk memanggil teman-temannya.
Ketika telah berada kembali di hadapan Rasulullah, mereka serentak bersumpah bahawa mereka tidak pernah mengatakan sedemikian atau melakukannya.
Allah s.w.t lalu menurunkan ayat ini.\” [HR Imam Ahmad, Al-Hakim menilainya sahih.]
Yakni mereka bersumpah bahawa mereka tidak kata dan tidak buat sebagaimana yang ditanya oleh Rasulullah s.a.w! Sedangkan Allah s.w.t mendedahkannya.
- Mereka bersumpah bahawa mereka beriman, bahawa mereka akan menolong orang Islam dan taat setia kepada Rasulullah s.a.w, bahawa mereka tidak pernah mencaci mencela Rasulullah, sedangkan semua itu palsu dan Allah s.w.t mengetahuinya!
AYAT 15- {ALLAH TELAH MENYEDIAKAN BAGI MEREKA AZAB SEKSA YANG BERAT; SESUNGGUHNYA AMATLAH BURUK APA YANG MEREKA TELAH LAKUKAN.} (AL-MUJADILAH 58:15)
- Allah nyatakan mereka semua ini akan menerima azab siksa yang buruk.
- Ini kerana perbuatan mereka itu amat jahat, menjual nama Allah dengan sumpah palsu!
- Kita juga jangan mudah percaya kepada orang yang suka bersumpah kerana Allah telah nyatakan bahawa ini adalah sifat munafiq yang buruk!
AYAT 16- {MEREKA MENJADIKAN SUMPAHNYA SEBAGAI PERISAI (UNTUK MENYELAMATKAN DIRI DAN HARTA BENDANYA DARIPADA DIRAMPAS ATAU DIBUNUH), MAKA DENGAN YANG DEMIKIAN DAPATLAH MEREKA MENGHALANG (DIRINYA DAN ORANG LAIN) DARI JALAN ALLAH; OLEH ITU MEREKA BEROLEH AZAB SEKSA YANG MENGHINA.} (AL-MUJADILAH 58:16)V
- Mereka gunakan sumpah mereka itu sebagai perisai (جُنَّةًۭ) untuk menyelamatkan diri dan harta mereka.
- Iaitu guna sumpah bohong kepada orang beriman itu sebagai pelindung daripada terdedah sifat sebenar dan tembelang buruk mereka, agar mereka selamat dan tidak dimusuhi dan diperangi oleh orang Islam, ditangkap atau dibunuh.
- Bila orang percaya dengan sebab sumpah palsu itu, mereka mula buat karenah & khianat! Mereka gunakan semua ini juga untuk menghalang dirinya dan orang lain juga dari kebaikan & jalan Allah.
- Allah s.w.t mencela perbuatan mereka ini sebagai perbuatan yang amat buruk dan keji, kerana jual nama Allah untuk menyelamatkan diri!
AYAT 17- {HARTA BENDA MEREKA DAN ANAK PINAK MEREKA TIDAK SEKALI-KALI AKAN DAPAT MEMBERIKAN SEBARANG PERTOLONGAN KEPADA MEREKA DARI AZAB ALLAH. MEREKALAH AHLI NERAKA, MEREKA TETAP KEKAL DI DALAMNYA.} (AL-MUJADILAH 58:17)
- Allah s.w.t nyatakan lagi harta benda & anak keturunan mereka tidak akan dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah. Maka tidak perlu berbangga dengan semua itu, tiada faedahnya!
- Munasabah ayat: Sebelum ini Allah nyatakan bahawa sumpah mereka tidak dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah.
Maka sebagaimana sumpah mereka tidak dapat menyelamatkan mereka maka begitu juga harta, anak pinak & penyokong mereka, tidak akan dapat memberi pertolongan pada hari akhirat nanti! - Kata Ibnu Asyur rhm. kenapa Allah sebut begini:
Ini kerana golongan munafiq adalah orang bangsawan, berkedudukan dan berjawatan tinggi di Madinah, mereka kaya mempunyai harta yang banyak!
Antaranya ialah Abdullah bin Ubai bin Salul, ketua munafiq. Sebelum kedatangan Islam dia adalah calon yang hampir-hampir ditabalkan menjadi pemerintah Madinah. Pada tahun pertama Hijrah dia sering berbangga-bangga dengan harta dan anak-keturunannya yang ramai kepada orang Islam.
- Kerana itu ia amat sakit hati dan berdendam kepada Rasulullah s.a.w & Islam. Dia pernah mengeluarkan kata-kata buruk kepada orang Islam sebagaimana yang Allah s.w.t rakamkan dalam firman-Nya:
{Mereka berkata lagi: \”Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)\”. Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Al-Munaafiquun 63:8) - Allah tetapkan bahawa mereka akan menjadi ahli neraka yang akan kekal di dalamnya. Kerana munafiq ini adalah orang kafir pada hakikatnya!
- Maka kita orang Islam jangan ikut perangai buruk puak munafiq ini, suka bersumpah, berbohong dan menyekat sana sini untuk menjaga kedudukan dan pangkat.
AYAT 18- {(SETELAH NYATA KEPADA ORANG-ORANG MUNAFIK ITU BAHAWA HARTA BENDA DAN ANAK PINAKNYA TIDAK DAPAT MEMBERIKAN PERTOLONGAN), KETIKA MEREKA SEMUANYA DIBANGKITKAN OLEH ALLAH (PADA HARI KIAMAT), MAKA MEREKA BERSUMPAH KEPADANYA (BAHAWA MEREKA ADALAH ORANG-ORANG MUKMIN) SEBAGAIMANA BIASANYA MEREKA BERSUMPAH KEPADA KAMU; DAN MEREKA MENYANGKA BAHAWA (DENGAN BERBUAT DEMIKIAN) MEREKA AKAN MENDAPAT SESUATU (YANG BERFAEDAH KEPADA MEREKA). KETAHUILAH! BAHAWA SESUNGGUHNYA MEREKALAH GOLONGAN PENDUSTA.} (AL-MUJADILAH 58:18)
- Ayat ini adalah cerita setelah dibangkitkan di akhirat kelak: Setelah mereka pasti bahawa semua harta dan anak-pinak mereka tidak dapat menolong mereka, apa yang mereka buat?
- Mereka lalu bersumpah kepada Allah bahawa mereka adalah orang-orang mukmin, sebagaimana mereka bersumpah kepada Nabi s.a.w atas dunia dulu! Mereka menyangka dengan sumpah itu dapat menyelamatkan diri mereka dan dapat kedudukan di sisi Allah Azza wa Jalla.
- Sabab Nuzul ayat ini dengan dengan ayat 14 tadi adalah sama.
Lihat hadis tentang lelaki berkulit biru yang suka bersumpah di atas. - Allah s.w.t jatuhkan hukum bahawa sesungguhnya mereka adalah golongan pendusta!
- Kerana itulah Allah s.w.t lalu tutup mulut mereka dari terus berbohong dan bersumpah:
{Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.} (Yaa Siin 36:65)
AYAT 19- {SYAITAN TELAH MENGUASAI DAN MEMPENGARUHI MEREKA, SEHINGGA MENYEBABKAN MEREKA LUPA MENGINGATI (AJARAN DAN AMARAN) ALLAH; MEREKA ITULAH PUAK SYAITAN. KETAHUILAH! BAHAWA PUAK SYAITAN ITU SEBENARNYA ORANG-ORANG YANG RUGI.} (AL-MUJADILAH 58:19)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan punca dan sebab kebinasaan mereka ini! Agar kita juga tahu sebabnya, maka kita jangan dekati dan jauhinya!
- Sebab kerosakan mereka ini adalah kerana syaitan telah menguasai dan mempengaruhi jiwa dan hati mereka, lalu mereka pun jauh dan lupa kepada Allah s.w.t! Lupa kepada ajaran dan amaran Allah s.w.t!
- Mereka itulah puak/kumpulan atau parti (حِزْبُ ) syaitan. Mereka itulah orang yang rugi kerana di dunia mereka susah, di akhirat kelak bertambah susah!
- Kita atas dunia ini begitulah, apabila orang itu lupa kepada tauhid, lupa kepada ibadat, lupa kepada Allah maka itulah orang yang dikuasai oleh syaitan!
- Hadis- Abu ad-Darda\’ telah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah bersabda:
»مَا مِنْ ثَلَاثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلَا بَدْوٍ لَا تُقَامُ فِيهِمْ الصَّلَاةُ إِلَّا قَدْ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمْ الشَّيْطَانُ، عَلَيْكَ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْخُذُ الذِّئْبُ مِنَ الْغَنَمِ الْقَاصِيَةَ» رواه أبو داود بإسناد حسن
\”Tidaklah ada tiga orang di satu kampung atau pedalaman, jika tidak didirikan di tengah-tengah mereka solat (berjemaah), kecuali syaitan telah menguasai mereka. Kamu hendaklah sentiasa solat berjemaah. Sesungguhnya serigala memakan kambing yang menyendiri dan terpencil. [HR Abu Daud dengan sanad hasan].
- Demikianlah juga manusia hendaklah sentiasa solat berjemaah dan duduk dalam kumpulan orang Islam agar kita tidak terumbang-ambing, lupa dalam lupa lalu mudahlah dikacau oleh syaitan dan termasuk dalam kumpulannya.
- Banyak lagi kisah munafiq ini, Insya\’ Allah kita akan mendengarnya lebih lanjut dalam surah al-Munafiqun nanti.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 14- {Tidakkah engkau melihat (bagaimana jahatnya) orang-orang yang bersahabat karib dengan kaum yang telah dimurkai Allah (dengan sebab kekufuran dan khianatnya)?}- dalam ayat ini Allah s.w.t ingkar ke atas puak munafiq yang mengambil sebagai teman rapat mereka orang yang dimurkai oleh Allah Azza wa Jalla (orang kafir).
Maka pengingkaran ini menunjukkan larangan keras agar kita jangan berwala\’ kan orang kafir.
i- Ini bukan racist; Kita kena ingat, tidak salah untuk kita berkawan, berjiran, bermualat dalam perniagaan dan seumpamanya dengan orang kafir. Tetapi jangan berwala\’ iaitu memberi kecintaan, memberi sokongan padu dan kepatuhan dan
taat setia kepada orang bukan Islam!
ii- Berkawan tidak mengapa, tetapi apabila kita nampak dia tu anti-Islam, ada agenda yang tersembunyi atau yang sudah dizahirkan beberapa Ketika, atau jelas melalui perbuatan mereka yang sudah dikesan, jangan lagi kita menyokong mereka!
iii- Kata ulama\’- antara alamat dan tanda orang itu munafiq ialah dia suka dan sayang kepada orang yang anti-Islam dan pemimpin yang kafir. Suka puji orang kafir kononnya bijak, berintegriti, jauh pandangan & seumpamanya, dan suka menyebarkan pandangan mereka yang menyalahi Islam.
iv- Maka ini amat bahaya, kita berhati-hatilah, ambil langkah yang baik bukan langkah yang sumbang takut nanti kita berwala\’kan orang kafir dan bangkit bersama mereka sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ
Dari Abu Wa`il dari Abdullah dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda: \”Seseorang akan (dibangkitkan) bersama dengan orang yang dicintainya.\” [HR Bukhari].
v- Jika nak puji kebaikan yang dibuat oleh orang bukan Islam- kita nyatakan sahaja faktanya, jangan berlebihan memuja-memuji. Ini tidak, kerana terlalu semangat sangat dengan orang bukan Islam sehingga sesama Islam yang solat bersama di atas masjid, dikeji dan dikutuk! Kita beringatlah jangan sampai ada sifat munafiq dalam diri kita!
- Ayat 16- {Mereka menjadikan sumpahnya sebagai perisai}- iaitu mereka kaum munafiq menjadikan sumpah itu sebagai satu topeng untuk menarik kepercayaan orang mukmin dan sekaligus untuk menyekat orang lain dari Islam.
Ayat ini menunjukkan orang munafiq itu mencari kepercayaan orang mukmin dengan sumpah-sumpah yang bohong.
Juga kata ulama\’; dalam konteks zaman itu, jika terserlah kekufuran mereka, mereka boleh dibunuh dan diperangi di dalam negara Islam.
Tetapi masalahnya mereka ini sembunyikan kekufuran dan zahirkan keislaman mereka. Lalu mereka jalankan strategi jahat mereka, menyembur racun-racun hasutan dan fitnah sehingga orang muslim berpecah-belah dan bertelingkah sesama mereka!
Sejarah membuktikan kisah Aus & Khazraj di Madinah; yang beberapa kali telah berbalah akibat hasutan golongan munafiq sehingga Rasulullah s.a.w terpaksa campur-tangan mendamaikan mereka. Inilah permainan munafiqin.
- Ayat 14- {dan lagi mereka selalu bersumpah dengan dusta, sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).}- mereka bersumpah dusta sedang mereka tahu mereka berbohong!
Apa faedah Allah s.w.t nyatakan: {sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).}
Jawapan: Ini untuk menyatakan buruknya dan jahatnya mereka ini kerana mereka berani bersumpah dengan sumpah dusta! Yakni mereka sedar dan sengaja untuk tujuan tidak baik.
Sumpah ini ada beberapa kategori:
i- sumpah yang benar- untuk mempertahankan diri.
ii-sumpah kebiasaan, main-main yang tidak diambil kira, seperti percakapan spontan sesuatu bangsa.
iii- sumpah palsu yang menjerumuskan tuannya ke dalam neraka!
Betapa ramai manusia yang berani bersumpah di atas pentas dan di hadapan orang ramai sekarang ini.
Kerana itu ulama\’ kata sumpah dusta tiada kaffarah- tidak boleh bayar dendanya, kerana ia amat buruk, jual nama Allah untuk kepentingan dirinya!
- Ayat 18- {ketika mereka semuanya dibangkitkan oleh Allah (pada hari kiamat), maka mereka bersumpah kepadaNya (bahawa mereka adalah orang-orang mukmin) sebagaimana biasanya mereka bersumpah kepada kamu;}- mereka ini amat berani dan jahat sehingga sanggup bersumpah di hadapan Allah s.w.t pula di akhirat kelak. Sedangkan Allah s.w.t Maha Mengetahui segala yang ada dalam hati manusia.
Kata ulama\’ kerana sikap dusta itu sudah sebati dalam diri mereka, maka walaupun telah mati dan dibangkitkan semula di hadapan Allah s.w.t di akhirat, mereka berani bersumpah palsu lagi!
Maka kita berhati-hatilah jaga diri dan lidah dari suka bersumpah paslu, bercakap bohong, membuat tuduhan, mengata mencemuh orang lain dan segala sifat buruk yang boleh membawa ke neraka.
- Ayat 19- {Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan.}- apabila orang itu lupa kepada Tuhan mereka akan dikuasai dan dipengaruhi oleh syaitan maka jadilah mereka puak syaitan (حِزْبُ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ).
Kata ulama\’; semua orang kafir dan tidak beriman itulah puak syaitan! Maka kita kena jagalah diri kita, bina benteng dan perisai untuk kita selamat dari syaitan dan dari api neraka.
Semoga kita semua selamat dari pengaruh syaitan dan tetap menjadi muslim yang istiqomah atas jalan Allah s.w.t dan Sunnah Rasulullah s.a.w.