View Categories

SURAH AL-MULK : AYAT 2-5

\"\"

HIKMAT HIDUP DAN MATI, PENCIPTAAN LANGIT & BINTANG-BINTANG.

Full video : https://youtu.be/IKrJo64jdfw

MUQADDIMAH :

  1. Dalam ayat-ayat siri ini Allah s.w.t menyatakan tentang kemuliaan Zat-Nya yang Maha Mulia dan semua perkara di bawah kekuasaan Allah s.w.t samada yang telah hidup dan mati dengan penuh hikmat.
  2. Serta Allah telah mencipta langit yang bertingkat-tingkat, langit itu pula tidak pernah pecah, yang pecahnya manusia yang tidak dengar kata, yang degil.
  3. Allah s.w.t suruh kita lihat kepada langit berulang kali, cuba cari jika ada kekurangan & kelemahan dalam penciptaanya, tetapi kita tidak akan jumpanya!
  4. Kemudian Allah nyatakan bahawa Dia sempurnakan langit dengan mencipta bintang-bintang sebagai perhiasannya.
  5. Maha Berkat & Maha Tinggi Allah s.w.t Yang menguasai segala pemerintahan di langit & di bumi, dunia & akhirat.
  6. Allah perkenalkan kepada kita tanda-tanda, bukti keesaan & kekuasaan Allah s.w.t supaya kita nampak & berfikir.
  7. Sebagaimana kata ulama\’ Ahli Sunnah, cara kita nak kenal Allah s.w.t adalah melalui tiga dimensi iaitu:
    i- melalui nama-nama-Nya.
    ii- melalui sifat-sifat-Nya.
    iii- melalui makhluk ciptaan-Nya.
  8. Maka ini antara tanda yang Allah s.w.t tunjukkan kepada kita, kita kenal Allah melalui makhluk ciptaan-Nya yang amat besar dan gah, takkanlah kita nampak dengan mata tetapi hati kita tak nampak, tertutup untuk berfikir tentang keagungan keesaan dan kekuasaan Allah Azza wa Jalla.

AYAT 2- {DIA LAH YANG TELAH MENTAKDIRKAN ADANYA MATI DAN HIDUP (KAMU) – UNTUK MENGUJI DAN MENZAHIRKAN KEADAAN KAMU: SIAPAKAH DI ANTARA KAMU YANG LEBIH BAIK AMALNYA; DAN IA MAHA KUASA (MEMBALAS AMAL KAMU), LAGI MAHA PENGAMPUN, (BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAUBAT);} (AL-MULK 67:2)

  1. Allah s.w.t yang telah mentaqdirkan adanya mati & hidup kamu!
  2. Munasabah ayat:
    i- Ayat ini mejelaskan secara terperinci kepada beberapa hukum atau keadaan kekuasaan Allah s.w.t supaya kita dapat melihat kesan-kesan qudrat Allah s.w.t yang Maha Agung.

ii- Allah s.w.t bina kehidupan ini untuk kemaslahatan manusia, dengan matlamat dan tujuan yang sangat murni.

  1. Allah cipta mati & hidup. Allah s.w.t mulakan ayat ini dengan mati dulu, kenapa? Apakah kita hidup dulu atau mati dulu?
  2. Kata ulama\’ ini boleh ditafsirkan kepada beberapa pandangan:
    i- kerana sebelum kita ada & hidup atas dunia ini kita dianggap sebagai orang yang mati dulu. Ini kerana sumber kehidupan manusia ini berasal daripada benda yang telah mati seperti air mani, kemudian jadi darah, daging kemudian ditiupkan roh baru hidup menjadi manusia.

ii- atau mati itu maksudnya kita tiada, kemudian hidup di atas dunia ini kemudian mati semula, kemudian dibangkitkan hidup semula yang kekal abadi di akhirat kelak!

iii- yakni Allah s.w.t mencipta mati & hidup. Allah s.w.t yang mencipta dan berkuasa atas kedua-duanya! Ada orang yang mati ada orang yang hidup!

  1. Kemudian Allah s.w.t nyatakan matlamat kita dicipta dan dihidupkan atas dunia ini ialah untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah yang di antara kamu yang lebih baik amalannya.
  2. Bentuk ujiannya samada:
    i- diberi arahan- kita buat atau tidak.
    ii- diberi larangan – kita tinggal atau tidak.
    iii- kemudian diberi ujian nafsu- kita guna akala tau ikut nafsu?
    iv- kemudian kita diuji juga dengan ditimpa musibah. Sihat sakit, kaya miskin, senang susah semua itu adalah ujian.
    Yang paling ditakuti ialah musibah dalam agama!
  3. Allah s.w.t mahu melihat amalan kita; siapakah yang paling amalannya? Amalan yang baik ialah amalan yang ikhlas kepada alhh dan benar ikut ajaran al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w!
  4. Allah s.w.t nyatakan dua sifatnya yang Maha Agung di sini iaitu Maha Maha Kuasa (ٱلْعَزِيزُ) lagi Maha Pengampun (ٱلْغَفُورُ):
    i- bagi sesiapa yang melanggar sempadan hukum Allah ingatlah bahawa Allah Amat berkuasa untuk membalas segala amalan dan keburukan kamu.

ii- tetapi jika kamu insaf kembali bertaubat kepada Allah s.w.t, Dia juga Maha Pengampun! Jangan risau kembalilah kepada Allah jika kamu tersilap jalan sebelum ini!

  1. Inilah keindahan kita belajar ilmu nama-nama Allah yang indah (الۡاَسۡمَآءُ الۡحُسۡنٰى). Kerana kita kefahaman dan rasa pemantauan.

AYAT 3- {DIA LAH YANG TELAH MENGATURKAN KEJADIAN TUJUH PETALA LANGIT YANG BERLAPIS-LAPIS; ENGKAU TIDAK DAPAT MELIHAT PADA CIPTAAN ALLAH YANG MAHA PEMURAH ITU SEBARANG KEADAAN YANG TIDAK SEIMBANG DAN TIDAK MUNASABAH; (JIKA ENGKAU RAGU-RAGU) MAKA ULANGILAH PANDANGAN – (MU) – DAPATKAH ENGKAU MELIHAT SEBARANG KECACATAN? (AL-MULK 67:3);}

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t perkenalkan lagi sifat-Nya yang Maha Kuasa, kudrat & kuasa-Nya yang telah mencipta tujuh lapis langit (سَبْعَ سَمَـٰوَٰتٍۢ طِبَاقًۭا ۖ) serta mengatur kejadiannya dengan tertib.
  2. Maksudnya tujuh lapis (طِبَاقًۭا) itu langit bertingkat-tingkat atau berlapis-lapis antara satu sama lain. Lapisannya lebih kurang antara satu lain.
  3. Sebagaimana kata nabi Nuh a.s kepada kaumnya dalam firman Allah s.w.t ini:
    {\”Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,} (Nuh 71:15)
  4. Allah nyatakan dalam ciptaan langit itu tidak ada yang tidak seimbang dan yang tidak munasabah! Jika kamu ragu-ragu maka ulangilah semula perhatian & pandanganmu, dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan atau kekurangan?

AYAT 4- {KEMUDIAN ULANGILAH PANDANGAN (MU) BERKALI-KALI, NESCAYA PANDANGANMU ITU AKAN BERBALIK KEPADAMU DENGAN HAMPA (DARIPADA MELIHAT SEBARANG KECACATAN), SEDANG IA PULA BERKEADAAN LEMAH LESU (KERANA HABIS TENAGA DENGAN SIA-SIA).} (AL-MULK 67:4)

  1. Kemudian Allah nyatakan kesempurnaan dan kelengkapan ciptaan-Nya yang hebat!
  2. Allah s.w.t suruh kamu ulang-balik, lihat, perhati dan kaji balik jika kamu dapat cari kelemahan dan kecacatannya. Ini adalah satu cabaran!
  3. Setelah kamu lihat perhati dan ulang balik beberapa kali akhirnya kamu sendiri yang akan keletihan dan kehampaan daripada menemui sebarang kekurangan! Ini kerana habis tenaga dan usaha dengan sia-sia kerana mahu mencari kekurangan dan kelemahan dalam ciptaan Allah s.w.t Yang Maha Hebat!

AYAT 5- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MENGHIASI LANGIT YANG DEKAT (PADA PENGLIHATAN PENDUDUK BUMI) DENGAN BINTANG-BINTANG, DAN KAMI JADIKAN BINTANG-BINTANG ITU PUNCA REJAMAN TERHADAP SYAITAN-SYAITAN; DAN KAMI SEDIAKAN BAGI MEREKA AZAB NERAKA YANG MENJULANG-JULANG.} (AL-MULK 67:5)

  1. Allah s.w.t menyatakan bahawa Dia telah menghiasi langit yang dekat dengan kita makhluk yang hidup bumi iaitu langit dunia. Dengan bintang-bintang yang menyala & bercahaya sebagai perhiasan langit.
  2. Tugas bintang yang kedua juga ialah sebagai sumber rejaman/panahan api terhadap Syaitan-syaitan yang cuba naik ke langit untuk mencuri dengar rahsia yang Allah sampaikan kepada malaikat yang bertugas.
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya.
    Dan Kami pelihara (urusan) langit itu dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang kena rejam.
    Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan (malaikat di langit), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menyala, yang nyata kelihatan.} (Al-Hijr 15: 16-18)
  4. Qatadah R.A yang menyebutkan bahawa:

إنما خلقت هذه النجوم لثلاث خصال : خلقها الله زينة للسماء ، ورجوما للشياطين ، وعلامات يهتدى بها، فمن تأول فيها غير ذلك فقد قال برأيه ، وأخطأ حظه ، وأضاع نصيبه ، وتكلف ما لا علم له به

Maksudnya: Sesungguhnya diciptakan bintang-bintang ini dengan tiga tujuan, iaitu; Allah S.W.T menciptakannya sebagai:
perhiasan di langit, alat-alat rejaman terhadap syaitan dan juga petunjuk jalan dengannya. Oleh itu, barangsiapa yang mentakwilkannya kepada perkara selain yang telah disebut, maka dia telah mengeluarkan pandangan sendiri, tersalah dalam pandangannya, sia-sia sumbangannya dan membebani diri dengan sesuatu yang dia tiada ilmu berkaitannya. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 8:198).

  1. Kemudian Allah s.w.t nyatakan bahawa disediakan bagi mereka syaitan-syaitan di akhirat kelak azab neraka yang menjulang-julang.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 2- {Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu)]- sesiapa yang perhati kepada ayat ini, membaca surah al-Mulk ini setiap malam dengan tadabbur dan berfikir; maka kamu akan sedar bahawa dunia ini adalah medan untuk bercucuk tanam dan di akhiratlah tempat untuk kita menuai segala usahanya!

Dunia bukan tempat tinggal selamanya tetapi tempat meninggal!
Apa yang kamu nak tuai kelak maka semailah ia di dunia ini, nak kebaikan & syurga buatlah kebaikan & amalan yang dapat menyampaikan kepadanya dan jauhilah keburukan!

Sesiapa yang banyak mengingati kematian adalah satu sumber yang paling utama untuk ingat kepada Allah s.w.t dan sebagai pendorong untuk terus menerus beramal soleh kerana kita tahu kita akan mati!

  1. Ayat 2- {Untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya;}- dunia ini adalah tempat ujian atau peperiksaan (لِيَبْلُوَكُمْ).
    Sesiapa yang nak berjaya di Akhirat kelak kena lulus dulu ujian atas dunia ini! Iaitu buatlah amalan yang dapat menyelamatkan kamu!

Apakah maksudnya amalan yang tebaik itu { أَحْسَنُ عَمَلًۭا}?
Iaitu amalan yang paling ikhlas dan yang paling benar.

Kata Syeikh al-Fudhail bin Iyadh, Abu Ali rhm. apabila dia membaca ayat ini dia menafsirkan maknanya { أَحْسَنُ عَمَلًۭا} ialah:
Yang paling ikhlas dan yang paling benar!

Anak muridnya tanya macamana itu? Jawabnya:
i- amalan jika ikhlas tetapi jika tidak benar & tidak betul tidak akan diterima.
ii- begitu juga walaupun betul dan benar apa yang dia buat tetapi jika tidak ikhlas, Allah s.w.t tidak akan terima juga.

Maka ikhlas itu untuk Allah manakala benar itu apabila amalan itu ikut Sunnah. [Ibnu Abu ad-Dunya di dalam Kitabnya: Al-Ikhlas wan-Niyah].

Inilah neraca timbangan kita, bukan betul sebab orang ramai buat, yang betulnya adalah ikut Nabi s.a.w!

  1. Ayat 2- {Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati (ٱلْمَوْتَ)}- kata ulama\’ mati atau maut itu adalah satu sifat yang memang wujud & ada, namanya mati.

Puak falsafah yang menggunakan akal semata mereka menyalahi pandangan Ahli Sunnah wal Jamaah ini yang mengatakan mati itu satu sifat wujudiyah!

Ini kerana Allah s.w.t sendiri yang menyatakan bahawa Dia menciptanya sebagaimana Dia mencipta hidup juga! Keduanya adalah makhluk Allah s.w.t!

Apabila roh tinggalkan jasad- namanya mati, bukan bererti orang itu telah tiada (عدم), Dia masih ada cuma tiada lagi hidup atas dunia ini, dia telah mati tetapi rohnya tetap ada & hidup di akhirat dan akan menuju ke temapat pengakhirannya samada yang baik (syurga) atau buruk (neraka).

Hadis- riwayat daripada Abu Said al-Khudri r.a bahawa:
Rasulullah s.a.w bersabda,
\”Apabila seluruh ahli syurga telah masuk syurga, dan ahli neraka telah masuk neraka, maka didatangkanlah Al-Maut pada hari kiamat bagaikan seekor kibas putih berbelang hitam. Ia diletakkan antara syurga dan neraka.
Lalu, diserukan, \”Wahai penghuni syurga, tahukah kamu semua apa ini?\”
Mereka mendongak dan melihat, lalu berkata, \”Ya, itulah Al-Maut.\”
Sesudah itu dikatakan, \”Wahai penghuni neraka, tahukah kamu semua apa ini?\”
Mereka mendongak dan melihat, lalu berkata, \”Ya, itulah Al-Maut.\”
Maka, diperintahkanlah agar Al-Maut itu disembelih.
Kemudian, dikatakan, \”Wahai penghuni syurga, kekal, tidak ada lagi kematian. Hai penghuni neraka, kekal, tidak ada lagi kematian dalam neraka.\” [HR Muslim].

  1. Ayat 5- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang,}- ulama\’ kata Allah s.w.t ciptakan bintang ini kerana tiga fungsi iaitu:
    i- sebagai perhiasan bagi langit dunia.

ii- sebagai rejaman pelontar api kepada syaitan.

iii- sebagai petunjuk dan pedoman bagi pengembara di lautan atau daratan atas dunia ini (seolah Kompas). Juga sebagai petunjuk kepada perubahan sesuatu musim, bermula atau berakhirnya.

Bukan bintang itu memberi kesan cuma sebagai petunjuk yang dianugerahkan Allah s.w.t kepada hamba-Nya.

  1. Ayat 5- {Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan;}- timbul persoalan bagaimana syaitan dan iblis yang dicipta daripada api boleh disakiti dengan lontaran sesama api juga?
    Api bakar api apakah dapat memberi kesan?
    Sebagaiman firman Allah s.w.t:
    {Dan Ia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang;} (Ar-Rahman 55:15)

JAWAPAN :

i- Allah s.w.t nisbahkan asal kejadian jin dan iblis itu daripada api, dia bukan lagi api tetapi jin.
Sepertimana kita manusia asal kita daripada tanah, kita bukan lagi tanah tetapi manusia! Kalau kita jatuh atas tanah atau ditimpa tanah tetap sakit dan boleh membawa maut!
Begitu juga syaitan & jin yang dilontar atau disiksa dengan api pasti sakit dan menyiksa juga!

ii- api itu juga ada banyak tahapnya, ada yang kuat ada yang lemah!
Seperti api neraka yang 70 kali ganda lebih panas daripada api dunia ini.
Maka api yang kuat pasti dapat memberi kesan atau menyakiti api yang lemah.
Wallahu a\’lam!

Powered by BetterDocs