View Categories

SURAH AL-MULK : AYAT 6-11

\"\"

KAFIR KE JAHANNAM, KEADAAN NERAKA MENERIMA PENGHUNINYA & PENYESALAN TIDAK BERGUNA.

Full video : https://youtu.be/kli9aAoVeJg

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menegaskan bahawa orang kafir akan dihumban ke dalam neraka jahannam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
  2. Allah ceritakan juga keadaan neraka menerima penghuninya, dengan amat marah, geram dan penuh kebencian.
  3. Kemudian malaikat bertanya kepada mereka apakah mereka tidak menerima peringatan sebelum ini?
    Mereka mengakui ada tetapi mereka mendustakannya, lalu menyesal kerana tidak mendengarnya tetapi malangnya penyesalan pada hari itu tidak berguna lagi!
  4. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t ceritakan tentang bagaimana keadaan syaitan yang sentiasa mencari jalan, mengintai-intai untuk mencuri dengar maklumat dari langit.

ii- Allah juga nyatakan bahawa Dia yang Maha Berkuasa atas semua perkara serta di[erkenalkan sifat-Nya yang Maha Gagah Perkasa (ٱلْعَزِيزُ) tetapi dalam masa yang juga Maha Pengampun (ٱلْغَفُورُ).

iii- maka dalam ayat ini dinyatakan jika kamu tetap kufur ingkar maka bagi kamu adalah balasan azab neraka Jahannam di Akhirat kelaka.

Ya Allah selamatkan kami & semua orang yang kami sayangi daripada api neraka!

AYAT 6- {DAN BAGI ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR TERHADAP TUHAN MEREKA, DISEDIAKAN AZAB NERAKA JAHANNAM, DAN ITULAH SEBURUK-BURUK TEMPAT KEMBALI.} (AL-MULK 67:6)

  1. Allah tegaskan bahawa bagi orang yang kufur & ingkar kepada Allah s.w.t akan disediakan azab neraka Jahannam yang sangat dahsyat!
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.} (Al-A\’raaf 7:179)
  3. Neraka Jahannam itulah seburuk-buruk tempat kembali & tempat tinggal.

AYAT 7- {APABILA MEREKA DICAMPAKKAN KE DALAMNYA, MEREKA MENDENGAR SUARA JERITANNYA MERAUNG-RAUNG, SEDANG IA MENGGELEGAK.} (AL-MULK 67:7)

  1. Keadaan atau respon neraka apabila dicampakkan orang-orang kafir ke dalamnya, kedengaran suara mereka mendidih menggelegak seolah suara keldai bertempik!
  2. Ini kerana mereka terlalu marah, geram dan benci dengan sesungguhnya terhadap para pendosa itu!
  3. Inilah antara hikmah & faedah Rasulullah s.a.w menyuruh kita membaca surah ini pada waktu malam sebelum tidur, agar kita dapat tadabbur dan memikirkan akan keadaan & nasib kita di akhirat kelak!
  4. Bukan menjadi budaya baca ramai-ramai di masjid atau mana saja selepas solat isya. Sekurangnya sebelum kita tidur itu mengalir air mata mengenangkan nasib kita di akhirat kelak, gerun dan takut kepada azab Allah, sebagai satu motivasi untuk ingt kepada mati.

AYAT 8- {HAMPIR-HAMPIR IA PECAH BERKECAI-KECAI KERANA KUAT MARAHNYA. TIAP-TIAP KALI DICAMPAKKAN KE DALAMNYA SEKUMPULAN BESAR (DARI ORANG KAFIR), BERTANYALAH PENJAGA-PENJAGA NERAKA ITU KEPADA MEREKA: \”TIDAKKAH KAMU PERNAH DIDATANGI SEORANG RASUL PEMBERI INGATAN DAN AMARAN (DI DUNIA DAHULU)?\”} (AL-MULK 67:8)

  1. Neraka itu sendiri geram, benci dan nak marah kepada penghuninya yang derhaka dan kufur kepada Allah s.w.t!
    Allah gambarkan seolah ia hampir pecah berkecai kerana amat marahnya!
  2. Firman Allah s.w.t juga:
    {Apabila neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, kedengaranlah mereka suara marahnya yang menggelegak dan mengeluh.} (Al-Furqaan 25:12)
  3. Setiap kali dicampakkan sekumpulan orang kafir ke dalam neraka, malaikat penjaga neraka bertanya kepada mereka: \”Tidakkah kamu pernah didatangiseorang Rasul pemberi ingatan dan amaran di dunia dahulu?\”
  4. Setiap umat ada rasul-nya serta pendakwah itu adalah penyambung lidah rasul!

AYAT 9- {MEREKA MENJAWAB: \”ADA! SEBENARNYA TELAH DATANG KEPADA KAMI SEORANG RASUL PEMBERI INGATAN DAN AMARAN, LALU KAMI DUSTAKAN SERTA KAMI KATAKAN (KEPADANYA): ALLAH TIDAK MENURUNKAN SESUATUPUN, KAMU (WAHAI ORANG YANG MENDAKWA MENJADI RASUL) HANYALAH BERADA DALAM KESESATAN YANG BESAR! \”} (AL-MULK 67:9)

  1. Mereka mengkuinya ada, telah datang kepada mereka rasul memberi peringatan!
    Pada hari itu mereka tidak dapat berbohong dan menafikan lagi!
  2. Tetapi mereka juga mengakuinya mereka telah mendustakan rasul itu, melawan dan menentangnya serta tidak percaya kepadanya.
  3. Bahkan mereka mendakwa rasul itu pula yang berada dalam kesesatan yang nyata, bawa ajaran bohong dan palsu!

AYAT 10- {DAN MEREKA BERKATA: \”KALAULAH KAMI DAHULU MENDENGAR DAN MEMAHAMI (SEBAGAI ORANG YANG MENCARI KEBENARAN), TENTULAH KAMI TIDAK TERMASUK DALAM KALANGAN AHLI NERAKA\”.} (AL-MULK 67:10)

  1. Setelah itu, barulah mereka berasa insaf dan menyesal: Kalaulah kami dulu mendengar ajaran dan peringatan yang dibawa oleh rasul, oleh pendakwah dan ustaz yang datang memberi nasihat.
  2. Kalaulah kami faham dan terimanya sebagai orang yang mencari kebenaran, pastilah kami tidak akan termasuk dalam kalangan ahli neraka ini, tidak akan mendapat azab ini!
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.} (Al-Furqaan 25:44)
    Yakni mereka dengar cuma tidak buat & ikut, seperti haiwanlah.

AYAT 11- {AKHIRNYA MEREKA MENGAKUI DOSA-DOSA MEREKA (SEBAGAI ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR), MAKA TETAPLAH JAUHNYA RAHMAT ALLAH DARI AHLI NERAKA.} (AL-MULK 67:11)

  1. Apabila melihat semua itu akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka, mengakui mereka adalah orang yang kufur ingkar! Dengan sebab dosa itulah mereka masuk neraka!
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): \”Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin\”.} (As-Sajdah 32:12)
  3. Tetapi pengakuan itu tidak berguna lagi, mereka tetap jauh dari rahmat Allah s.w.t, celakalah (فَسُحْقًۭا) bagi ahli-ahli neraka!
    Mereka tidak akan mendapat lagi peluang untuk kembali hidup di dunia dan berbuat amal kebaikan.
  4. Ulama\’ tafsir cuba menafsirkan apakah dosa yang mereka akui itu (فَٱعْتَرَفُوابِذَنۢبِهِمْ), iaitu merangkumi:
    i- dosa syirik
    ii- pendustaan mereka terhadap rasul.
    iii- mereka kufur dan menolak kebenaran para nabi & rasul.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 7- {Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.}- kata ulama\’ tadabbur Allah s.w.t sebut dalam beberapa ayat dalam al-Quran yang menunjukkan ahli neraka itu boleh mendengar, tengok & bercakap.
    i- Ayat 7 ini

ii- {Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): \”Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin\”. (As-Sajdah 32:12) |

Tetapi dalam ayat lain seperti firman Allah s.w.t ini pula, dikatakan mereka tidak mendengar bahkan dalam keadaan buta tuli & bisu?
i- {Mereka mendayu-dayu (kesakitan) di dalam neraka, dan mereka pula di situ tidak dapat mendengar sesuatu yang menyenangkan.} (Al-Anbiyaa\’ 21:100)

ii- {Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing-masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak; tempat kediaman mereka: neraka Jahannam; tiap-tiap kali malap julangan apinya, Kami tambahi mereka dengan api yang menjulang-julang.} (Al-Israa\’ 17:97)

Jawapannya kata ulama\’:
i- pada permulaan mereka dibangkitkan dalam kubur memang mereka dalam keadaan buta tuli & bisu.
Tetapi apabila mereka sudah mahu dimasukkan ke dalam neraka Allah bagi mereka dengar & lihat. Mereka juga boleh bercakap dengan malaikat apabila sudah berada di dalam neraka.

ii- Maksudnya buta tuli ialah mereka tidak mendengar perkara yang baik & menggembirakan semuanya menakutkan & mengerikan. Serta mereka tidak dapat bercakap dengan hujjah & atau memberi alasan lagi.

iii- Pada awal mereka dapat bercakap kemudian apabila mereka cuba berhelah dan memberi alasan lagi Allah s.w.t kunci balik mulut mereka!

  1. Ayat 7- {Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.}- ayat ini menunjukkan bahawa neraka itu ada perasaan dan kehendak.

Allah s.w.t telah nyatakan dalam beberapa ayat bahawa neraka itu boleh bercakap, marah, minta tambah penghuninya serta mencela ahlinya.

Kerana itu kita diajar untuk sentiasa membaca doa-doa ini:
i- Minta jauh dari neraka: اللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ
ii- Minta syurga: اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ

HADIS :

عن انس بن مالك رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من سأل الله الجنة ثلاث مرات قالت
الجنة: اللهم أدخله الجنة ومن استجار من النار ثلاث مرات قالت النار اللهم أجره من النار \”

Dari Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
\”Sesiapa yang telah memohon syurga kepada Allah 3 kali maka syurga akan berkata: \”Ya Allah, masukkan ia kedalam syurga, dan sesiapa memohon diselamatkan dari siksa neraka 3 kali; maka neraka akan mendoakannya, \”Ya Allah, selamatkan dia dari siksa neraka.\” [HR at-Tirmizi, an-Nasa\’i dan Ibnu Majah].

  1. Ayat 8- {Bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: \”Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?\”}- ulama\’ tadabbur kata penhaga neraka bertanya soalan ini kerana Allah s.w.t tidak akan mengazab seseorang itu kecuali setelah dia menerima dakwah & risalah melalui seorang rasul yang diutuskan.

Kerana itu setiap kali datang kumpulan baru dicampakkan penjaga neraka bertanya untuk ta\’kidkan hal ini dan agar mereka mengakui dan mengingatkan baliknya.

Ini juga menunjukkan tidak dicampakkan ke dalam neraka kecuali orang yang telah mengakui akan dosa & kesalahan mereka!
Ia juga menunjukkan dimasukkan manusia ke dalam neraka itu dengan kumpulan-kumpulan.

Firman Allah s.w.t:
{Allah berfirman: \”Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: \”Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka\”. Allah berfirman: \”Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui\”.} (Al-A\’raaf 7:38)

Hadis – Rasulullah s.a.w menceritakan bahawa neraka itu setiap kali dicampakkan kumpulan penghuni baru ke dalamnya, neraka akan bertanya: Adakah tambahan lagi? Adakah tambahan lagi? Ada banyak lagi tempat ini! [HR Bukhari].

  1. Ayat 10- {Dan mereka berkata: \”Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka\”.}- ayat ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t mengumpulkan antara dengar dengan berakal.

Ini kerana taklif Syara\’ ini berpaksi kepada dua iaitu:
i- dalil naqli- dalil daripada Sam\’i iaitu dengar daripada al-Quran & Hadis.
ii- dalil aqli- kita sendiri yang berfikir dan memahami dengan waras lalu beriman.

Tetapi ingat jangan sekali-kali dalil aqli mendahului dalil naqli seperti sebahagian ahli falsafah dan ahli kalam yang menjadi sesat dan tidak beriman akibat mendahulukan akal.

Akal yang waras tidak mungkin bertembung dengan dalil aqli daripada al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w!
Akal yang waras akan menerima dan beriman dengan apa yang dibawa oleh al-Quran & Hadis.

Kerana itu besarnya anugerah akal, jika tiada akal tidak boleh menjadi mukallaf.

  1. Ayat 11- {Akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai orang-orang yang kufur ingkar), maka tetaplah jauhnya rahmat Allah dari ahli neraka.}- mengakui segala dosa dan menyesalinya tiada guna lagi selepas dimasukkan ke dalam neraka!

Jika nak mengakui segala dosa adalah sekarang, bangunlah bertahajjud seorang diri kepada Allah, dedahkan segala rahsia, dosa dan kesalahan kita hanya kepada-Nya dan mintalah keampunan dari Allah Azza wa Jalla.

Jangan tunggu mati atau lebih dahsyat lagi masuk ke dalam neraka (wal iyazu billah) baru nak menyesal dan mengaku!
Itu adalah satu penyesalan yang tiada guna!

Gunakanlah akal berpandukan kepada wahyu Allah s.w.t, semoga kita selamat.
Serta akuilah dosa-dosa kita di dunia sebelum kita meninggalkan dunia ini semoga Allah s.w.t ampunkan dosa-dosa kita!

Powered by BetterDocs