WATAK MUNAFIQ DIKAGUMI ORANG RAMAI, MEREKA MUSUH MERBAHAYA & BERSIKAP ANGKUH.
Full video : https://youtu.be/A1kThsuQTjs
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini adalah sambungan tentang beberapa sifat & watak buruk orang munafiq.
- Allah s.w.t menyatakan bahayanya mereka ini kerana boleh buat orang kagum dan terpengaruh dengan penampilan & fizikal mereka. Maka mereka adalah musuh yang amat merbahaya.
- Mereka juga bersifat angkuh dan takabbur tidak boleh ditegur dan dinasihati.
- Munasabah ayat: Allah s.w.t telah dedahkan kepada kita sifat batin kaum munafiq yang tersembunyi dalam ayat-ayat yang lepas; dalam ayat ini Allah s.w.t sifatkan penampilan dan perwatakan mereka yang secara zahir pula.
AYAT 4- {DAN APABILA ENGKAU MELIHAT MEREKA, ENGKAU TERTARIK HATI KEPADA TUBUH BADAN MEREKA (DAN KELAKUANNYA); DAN APABILA MEREKA BERKATA-KATA, ENGKAU JUGA (TERTARIK HATI) MENDENGAR TUTUR KATANYA (KERANA MANIS DAN FASIH. DALAM PADA ITU) MEREKA ADALAH SEPERTI BATANG-BATANG KAYU YANG TERSANDAR (TIDAK TERPAKAI KERANA TIDAK ADA PADANYA KEKUATAN YANG DIKEHENDAKI). MEREKA (KERANA MERASAI BERSALAH, SENTIASA DALAM KEADAAN CEMAS SEHINGGA) MENYANGKA TIAP-TIAP JERITAN (ATAU RIUH RENDAH YANG MEREKA DENGAR) ADALAH UNTUK MEMBAHAYAKAN MEREKA. MEREKA ITULAH MUSUH YANG SEBENAR-BENARNYA MAKA BERJAGA-JAGALAH ENGKAU TERHADAP MEREKA. SEMOGA ALLAH MEMBINASA DAN MENYINGKIRKAN MEREKA DARI RAHMATNYA. (PELIK SUNGGUH!) BAGAIMANA MEREKA DIPALINGKAN (OLEH HAWA NAFSUNYA – DARI KEBENARAN)?} (AL-MUNAAFIQUUN 63:4)
- Allah menyatakan dalam ayat ini penampilan zahir golongan munafiq yang boleh mempesona & memperdayakan orang yang melihatnya:
i- badan mereka secara fizikalnya tegak dan hebat walaupun sudah berusia. Ini kerana mereka sangat menjaga penampilan dan tubuh badan mereka, sangat segak dan elok.
ii- apabila mereka bercakap pula dengan berpidato, mengeluarkan idea dan formula yang hebat walaupun kosong sebenarnya; sangat menarik perhatian orang ramai.
Ini kerana petah lidah mereka, fasih bahasanya, menarik ucapannya, serta manis sekali ayat-ayatnya.
Kerana itu berhati-hatilah kerana tidak semestinya orang yang fasih bercakap itu hebat & benar tindakannya.
- Kata pepatah Arab:
Penampilan yang indah biasanya menunjukkan peribadi yang indah juga.
TETAPI tidak bagi golongan munafiq ini, elok & hebat diluar tetapi buruk & busuk di dalamnya. - Sifat ini dihuraikan oleh firman Allah s.w.t:
{Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).
Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.
Dan apabila dikatakan kepadanya: \”Bertaqwalah engkau kepada Allah\” timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.} (Al-Baqarah 2: 204-206) - Tetapi Allah membuat bandingan semua kehebatan penampilan dan fizikal itu seperti batang kayu yang yang telah dipotong dari pokoknya serta hanya disandarkan sebagai pameran dan dilihat kecantikannya sahaja! Yakni sudah tak hidup dan tidak manfaat dari sudut kehidupan.
- Kata ulama\’ tadabbur; begitulah gambaran munafiq walaupun zahir & jasadnya hebat tetapi tidak ada roh, feqah dan ilmu pada mereka.
- Kata ulama\’ tafsir: Lafaz ini umum untuk semua orang yang bersifat Islam tetapi dalam hatinya membenci dan anti-Islam.
Walaupun pada waktu itu ayat ini ditujukan kepada Abdullah bin Ubai bin Salul ketua munafiq.
Tidak kira siapapun, asal perwatakannya sedemikian kita kena berhati-hati dengan kelicikan mereka!
Semoga kita tidak menjadi mangsa permainan munafiq atas dunia ini.
- Seterusnya sifat mereka, kerana berasa bersalah atas perbuatan jahat mereka yang menipu orang dan bersumpah palsu, mereka sentiasa dalam keadaan cemas dan menyangka setiap isu atau iklan yang timbul adalah ditujukan kepada mereka.
- Ini kerana mereka adalah kaum yang penakut, tidak berprinsip, takut orang tahu pembohongan mereka serta takut Allah dedahkan rahsianya.
- Sifat munafiq pada zaman Rasulullah s.a.w ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t ini:
{Mereka bersikap bakhil kedekut terhadap kamu (wahai orang-orang mukmin untuk memberikan sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh yang menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar seperti orang yang pengsan semasa hampir mati. Kemudian apabila hilang perasaan takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil mereka tamakan kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu tidak beriman, lalu Allah gugurkan amal-amal mereka. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.} (Al-Ahzaab 33:19) - Puak munafiq adalah musuh yang sebenarnya bagi Islam maka hendaklah kamu berjaga & waspada wahai Muhammad s.a.w:
i- jangan terpedaya & percaya dengan kata-kata dan penampilan zahir mereka,
ii- jangan cenderung untuk beri kedudukan & tempat kepada mereka,
iii- jangan menzahirkan rahsia Islam kepada mereka.
Ini kerana mereka hanya zahirkan watak baik sedangkan batin mereka tidak suka pada Islam & memberi sokong kepada puak kafir secara rahsia.
- Munafiq juga menunggu-nunggu peluang untuk menjatuhkan kamu, mereka ini lebih bahaya daripada kafir tulen yang kita boleh tahu dan nampak dengan jelas!
- Allah s.w.t melaknat { قَـٰتَلَهُمُ ٱللَّهُ} puak munafiq ini dan Allah s.w.t akan tinggalkan begitu saja terkapai-kapai tanpa hdayah. Bagaiman mereka boleh berpaling dari yang benar sudah jelas kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w!
- Kata Ibnu al-Ambari rhm.: Di dalam al-Quran atau Hadis Nabi, apabila perkataan bunuh atau perangi (قَـٰتَلَ) disandarkan kepada Allah atau Rasulullah s.a.w ia bermakna Allah atau Rasul-Nya melakat kaum tersebut.
Maka mereka menjadi seperti orang yang dibunuh atau dibinasakan kerana jauh dari rahmat Allah s.w.t!
AYAT 5- {DAN APABILA DIKATAKAN KEPADA MEREKA: \”MARILAH (BERTAUBAT) SUPAYA RASULULLAH MEMINTA AMPUN (KEPADA ALLAH) UNTUK KAMU\”, MEREKA (ENGGAN SAMBIL) MENGGELENG-GELENGKAN KEPALANYA; DAN ENGKAU MELIHAT MEREKA BERPALING (DARI BERTAUBAT) SERTA MEREKA BERLAKU SOMBONG ANGKUH.} (AL-MUNAAFIQUUN 63:5)
- Ini adalah perwatakan kaum munafiq yang seterusnya, apabila mereka dinasihati dan ditegur lalu diajak oleh orang mukmin untuk bertaubat dan berjumpa Rasulullah agar Baginda meminta ampun untuk mereka.
- Mereka berpaling dan mengeleng-geleng kepala mereka menunjukkan enggan dan sombongnya mereka.
- Sebagaimana dalam kisah hadis riwayat Zaid bin Arqam r.a sebelum ini yang mendengar perbualan Abdullah bin Ubai ketua munafiq dan rakan-rakannya dalam perjalanan pulang ke Madinah:
\”Kamu jangan memberi nafkah kepada orang-orang yang dekat dengan Rasulullah s.a.w sebelum mereka meninggalkan agamanya.
Kelak apabila kita pulang ke Madinah, pasti orang yang mulia (yakni mereka) akan mengusir orang yang hina (yakni muslim) dari kota itu.\”
Apabila berita ini disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah memanggil Zaid bin Arqam kemudian Rasulullah s.a.w juga memanggil Abdullah bin Ubai dan kawan-kawannya. Akan tetapi mereka bersumpah di hadapan Rasulullah s.a.w bahawa mereka tidak pernah berkata demikian.
Rasulullah s.a.w seolah tidak mempercayai Zaid bin Arqam, dan lebih mempercayai Abdullah bin Ubai yang telah bersumpa palsu itu.
Zaid merasa sedih dan dukcita yang amat sangat, kerana belum pernah mendapat musibah seperti itu. Ia pun tinggal di rumahnya, dan tidak mahu keluar.
Maka Allah menurunkan ayat ini (Al-Munafiqun: 1) yang menegaskan bahawa kaum munafiqun selalu berdusta; dan ayat ini pun membenarkan ucapan Zaid bin Arqam.
Kemudian Rasulullah s.a.w mengutus seseorang kepada Zaid bin Arqam untuk membacakan ayat tersebut, dan menegaskan bahawa Allah membenarkan ucapannya sedang manusia dibumi tidak percayakannya. [HR Bukhari]. - Ekoran kejadian ini Rasulullah s.a.w memanggil mereka untuk mengaku salah, bertaubat dan meminta ampun kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. Tetapi munafiqin geleng kepala, sombong & angkuh tidak mahu mengaku salah dan bertaubat.
- Selalulah baca doa sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w yang telah kita tulis dalam siri yang lepas semalam.
AYAT 6- {(TIDAK ADA FAEDAHNYA) KEPADA MEREKA, SAMA ADA ENGKAU MEMINTA AMPUN UNTUK MEREKA ATAU ENGKAU TIDAK MEMINTA AMPUN, ALLAH TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENGAMPUNKAN MEREKA. SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADA KAUM YANG FASIK.} (AL-MUNAAFIQUUN 63:6)
- Kemudian Allah s.w.t memberitahu Rasulullah bahawa tidak ada faedah samada Baginda meminta ampun atau tidak kepada mereka kerana mereka itu kafir & Allah sekali-kali tidak akan mengampunkan mereka!
- Dalam surah at-Taubah Allah s.w.t telah menegur Rasulullah s.a.w:
{(Orang-orang manufik itu) sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan mereka; yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya; dan Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.} (At-Taubah 9:80) - Jelas Allah s.w.t nyatakan: Walaupun kamu meminta ampun sebanyak 70 kali sekalipun kepada mereka, Allah tidak akan ampunkan dosa mereka kerana mereka kufur dengan Allah & Rasul-Nya. Allah tutup terus peluang.
- Ini kerana Rasulullah s.a.w diperintahkan untuk berhukum secara zahir, maka apabila mereka meninggal dunia Rasulullah s.a.w meminta ampun untuk mereka berdasarkan pengakuan zahir mereka yang mengaku beriman.
- Tetapi Allah s.w.t tidak akan memberi keampunan & hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik- digunakan perkataan fasik ini kerana ia termasuk semua musyrikin, munafiq, kafir zahir- kafir batin, kafir palsu dan semuanya!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 4- {Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelakuannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih.)}- yakni penampilan fizikal dan percakapan mereka amat menarik dan mengagumkan.
Badanya tegak dan tidak lemah bukan seperti sebahagian sahabat. Apabila bercakap pula fasih dan berdegang-degung dan penuh idea yang hebat pula!
Kata ulama\’: Dari ayat ini kita boleh buat kesimpulan bahawa baik atau buruknya manusia terletak pada hatinya!
Hebat mana fizikal & penampilan; jika hati buruk maka hanya seperti batang kayu hiasan yang tiada roh dan kehidupan!
Kerana itulah seorang muslim wajib dan mesti menjaga hatinya dari sifat & penyakit hati yang buruk seperti riya\’, takabbur, hasad dan seumpamanya.
Kita kena hilangkan sifat mazmumah (terkeji) itu dari hati, kemudian isikannya dengan sifat mahmudah (terpuji).
Untuk mendengar tentang penyakit hati & penawarnya boleh dengar Kuliah Kitab Penawar Bagi Hati oleh Abu Anas Madani di:
https://www.youtube.com/watch?v=oi6s_F4FnVU…
Penyakit hati ada dua:
i- penyakit syubhah- keraguan yang masuk dalam hati; yang boleh membawa kepada aqidah yang rosak atau menjadi munafiq.
ii- penyakit syahwat – seperti gila seks, LGBT, gila & tamakkan harta dan seumpamanya. Ini yang boleh bawa kepada dosa-dosa besar!
Ya Allah selamatkan kami dari nifaq dan bersihkan hati daripada semua penyakit hati zahir & batin ini!
- Ayat 4- {Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelakuannya);}- Maka timbul persoalan adakah tidak boleh kita nak berhias dengan memakai pakaian yang kemas & elok?
JAWAPAN :
Islam tidak menyekat kebaikan, keindahan & kebersihan. Tetapi jangan melampau dan kena ikut SOP Syari\’ah. Sesungguhnya Allah s.w.t itu Indah dan Dia suka keindahan.
Cara berpakaian dan berhias dalam Islam ada tiga kategori:
i- yang dipuji (المحمود) apabila kita pakai dan cakap kerana Allah dan boleh membantu kita melakukan ketaatan kepada Allah dan menunaikan tanggung-jawab kepada Allah.
Sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah ada pakaian yang segak apabila menerima dan menyambut para tetamu delegasi dari luar yang datang menemui Baginda s.a.w. untuk menunjukkan keindahan Islam, bukan selekeh dan hina.
Juga dalam peperangan; Rasulullah s.a.w juga menggunakan baju besi & senjata yang hebat sebagai langkah keselamatan.
ii- yang dicela (المذموم)- untuk dunia, mahu menunjukkan kehebatan, mencari pengaruh, mahu menyombong dan menunjuk, nak dikagumi dan dipuji orang dan pengikut.
Maka jika kita pakai baju kita rasa riya\’ maka jangan pakainya, tukarlah.
iii- yang harus iaitu yang biasa- tidak dipuji & tidak dicela. Pakaian adat kebiasaan, bukan pakai kerana Allah dan bukan untuk menunjuk kepada orang.
Maka seeloknya kita buat dan pakailah kerana Allah s.w.t!
Barulah kita akan mendapat pahala Insya\’ Allah!
- Ayat 4- {Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka.}- munafiq ini mudah curiga kepada orang dan sentiasa cemas, ini kerana mereka mempunyai rahsia yang buruk dan jahat, penipu dan penjahat, lalu mereka sentiasa berasa bersalah dan takut.
Jadi pastilah mereka sentiasa tidak tenang dan dalam keadaan cemas & curiga takut rahsia itu terbongkar!
Munafiq itu ada dua jenis:
i- munafiq iktiqadi- munafiq yang kafir tulen hatinya walaupun zahirnya beriman.
Yang ini kita tidak nampak dan tidak tahu tanpa ada dalil dan petunjuk.
ii- munafiq amali- mereka bukan kafir tetapi mempunyai sifat dan perbuatan yang membawa kepada dosa besar.
Sifat ini jelas sebagaimana dalam hadis Rasulullah s.a.w:
Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash, Nabi S.A.W bersabda: \”Empat sikap yang sesiapa ada pada dirinya, maka dia seorang munafik tulen.
\”Sesiapa yang pada dirinya salah satu daripada sikap itu, maka dalam dirinya terdapat salah satu sikap munafik, hingga dia meninggalkannya.
Iaitu, apabila diberikan amanah dia khianat, apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia menipu dan apabila bertengkar dia ingin menang.\” [HR Bukhari dan Muslim].
Kita beringatlah hatta berjanji dengan anak-anak kena tunaikan apatah lagi janji dengan rakyat atau orang yang ada haknya!
- Ayat 5- {Dan apabila dikatakan kepada mereka: \”Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu\”, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya; dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh.}- ulama\’ kata ini adalah antara ciri-ciri sifat munafiq iaitu sombong dan angkuh, tidak mahu beristighfar meminta ampun apabila diajak atau ditegur dan diberitahu kesalahannya.
Orang mukmin wajib tawadhuk, apabila orang tegur dan beri nasihat kena terima untuk muhasabah dan baiki diri. Bahkan kita kena berterima kasih kepada yang menegur dengan niat yang baik.
Kata-kata menairk Sayyidina Umar al-Khattab r.a yang telah berdoa untuk orang yang menegurnya:
Semoga Allah memberi rahmat kepada sesiapa yang telah menyampaikan kepada kami kelemahan dan kesalahan kami!
Kita orang mukmin orang yang tawadhuk & merendah diri; bukan orang yang sombong, takabbur & angkuh!
- Ayat 6- {(Tidak ada faedahnya) kepada mereka, sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka.}- zahir ayat ini Allah s.w.t tidak ampunkan dosa orang munafiq, mereka tetap kafir.
Timbul persoalan; dalam ayat surah at-Taubah tadi dikatakan walaupun Rasulullah s.a.w meminta ampun untuk mereka sebanyak 70 kali Allah tidak akan ampunkannya.
Apakah ada ruang, yakni jika diminta ampun lebih dari 70 kali Allah akan terimanya?
JAWAPAN :
Bukan, ayat ini hanya menunjukkan bahawa manusia, terutama orang Arab itu suka kepada angka. Walaupun hanya beberapa kali, kita akan sebut angka yang banyak dan bukan bilangan yang sebenarnya.
Angka itu hanya menunjukkan bahawa walaupun berapa banyak kali kamu meminta ampun tetapi tiada faedah!
Hakikatnya sudah tidak ada ruang untuk mereka diampunkan.
Allah tutup ayat ini dengan mengatakan Dia tidak akan memberi hidayah kepada orang fasiq- semua manusia kufur dan munafiq termasuk dalam kategori ini.
Ya Allah kami memohon dengan nama-Mu Yang indah dan sifat-Mu yang Maha Tinggi,
Ya Allah bersihkan hati kami & sifat kami dari segala yang tidak baik yang tidak mendapat petunjuk dan keredhaan-Mu.