KATA-KATA BURUK MUNAFIQ, MENGHASUT JANGAN BANTU PENGIKUT NABI S.A.W & MENGATAKAN MEREKA ORANG HINA.
Full video : https://youtu.be/mhCkjvwmjGU
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t mendedahkan tentang kata-kata buruk munafiq terhdap Rasulullah s.a.w & kaum muslim di Madinah.
- Mereka juga menghasut orang ramai agar jangan membantu orang Islam pengikut Nabi s.a.w yang susah dan memerlukan.
- Munafiq juga mengatakan Rasulullah s.a.w & kaum muslim sebagai orang hina. Manakala mereka adalah kaum yang mulia!
- Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya;
Ayat al-Quran ini mendedahkan sifat sebenar golongan munafiq yang cuba mendekatkan diri kepada Rasulullah s.a.w dengan memuji membodek tetapi pada hakikatnya dalam hati mereka penuh kebencian dan kedengkian terhadap Rasulullah & Orang mukmin.
Apa yang mereka katakan dibelakang dan didengar oleh Zaid adalah benar walaupun mereka tidak mengaku dan bersumpah menafikannya.
Mereka menghina dan mengutuk orang muslimin di belakang mereka tetapi apabila berdepan manis mukannya dan lembut gigi daripada lidah!
AYAT 7- {MEREKALAH YANG MENGATAKAN (KEPADA ORANG-ORANG ISLAM DI MADINAH YANG MENOLONG RASULULLAH DAN ORANG-ORANG MUHAJIRIN): \”JANGANLAH KAMU MEMBELANJAKAN HARTA KAMU KEPADA ORANG-ORANG YANG ADA BERSAMA-SAMA RASULULLAH SUPAYA MEREKA BERSURAI (MENINGGALKANNYA)\”. PADAHAL BAGI ALLAH JUALAH PERBENDAHARAAN LANGIT DAN BUMI, (TIADA SESIAPAPUN YANG DAPAT MEMBERI ATAU MENYEKAT SEBARANG PEMBERIAN MELAINKAN DENGAN KEHENDAKNYA); AKAN TETAPI ORANG-ORANG YANG MUNAFIK ITU TIDAK MEMAHAMI (HAKIKAT YANG SEBENARNYA).} (AL-MUNAAFIQUUN 63:7)
- Allah s.w.t dedahkan tentang kata-kata orang munafiq. Mereka mengatakan kepada orang Islam di Madinah (Ansar) yang membantu Rasulullah s.a.w & orang muhajirin yang datang dari Makkah.
- Munafiq sakit hati dan dengki kerana orang Muhajirin ini mendapat tempat di hati kaum Ansar dan mereka memberikan segala bantuan dan pertolongan. Lalu munafiq menghasut mereka ini agar jangan tolong lagi para pendatang Muhajirin ini, biarkan mereka dalam kesusahan sehingga mereka lari tinggalkan Rasulullah s.a.w atau Madinah!
- Sabab Nuzul ayat ini:
Masih lagi tentang cerita Zaid bin al-Arqam r.a yang mendengar kata-kata bapa munafiq, Abdullah bin Ubai bahawa orang mulia iaitu golongan mereka akan menyekat orang yang hina iaitu kaum muslimin. Apabila Zaid melaporkan hal itu, Rasulullah s.a.w dan orang ramai tidak mempercayainya kerana Abdullah bin Ubai adalah seorang tokoh yang menzahirkan penampilan yang hebat dan warak, sentiasa berada di belakang Rasulullah s.a.w.
Sama seperti kita hari ini, jangan tengok pakaian seseorang tetapi tengok ajarannya, walaupun serban & tasbihnya besar, tetapi jika asyik bawa hadis palsu di meja kuliah, janganlah terpedaya.
Zaid berasa amat sedih dan dukacita apabila kata-katanya tidak diterima oleh Rasulullah s.a.w & dicela pula oleh orang lain. Lalu pulang ke rumahnya.
Tidak lama kemudian Rasulullah s.a.w memanggil Zaid untuk datang kepadanya, Rasulullah s.a.w memberitahu khabar gembira.
\”Alhamdulillah Allah telah membenarkan apa yang kamu katakan, walaupun manusia biasa tidak mempercayainya!\”
Allah lalu menurunkan ayat al-Quran ini yang betul-betul mengandungi ucapan sebagaimana yang dilaporkan oleh oleh Zaid.
Orang mengucapkan tahniah pula kepada Zaid.
- Kata Ibnu Asyur rhm.: Inilah perangai munafiq, baik didepan tetapi di belakang penuh kutukan dan cemuhan!
Ramailah manusia yang bersifat begini, sifat munafiq yang penuh kejahatan dan keburukan! - Tujuan mereka ialah supaya orang mukmin yang dikatakan hina & miskin itu berasa tertekan dan terumbang-ambing tanpa bantuan golongan Ansar lalu lari kembali ke Makkah kepada golongan musyrikin!
- Inilah isu licik yang mereka permainkan iaitu isu ekonomi & kemiskinan! Lalu Allah s.w.t jawab terus agar orang mukmin tidak mudah koyak & rasa tergugat!
- Bagi Allah-lah segala rezeki & khazanah yang ada di langit & bumi. Bukan milik si bapa munafiq itu atau sesiapa saja dari kalangan makhluk. Jangan sesiapa berasa sombong, kita hanya kuli bagi Allah Pemilik Gedung langit & bumi!
- Kita hanyalah \”pembahagi\” rezeki yang Allah berikan! Iaitu seperti orang-orang kaya yang berinfaq & bersedekah kepada orang lain, berbahagi rezeki yang Allah anugerahkan kepada mereka!
- Tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian kepada sesama makhluk melainkan dengan kehendak Allah s.w.t!
- Allah s.w.t tutup ayat ini dengan menyatakan akan tetapi orang-orang yang munafik itu tidak memahami hakikat yang sebenarnya, iaitu hakikat:
i- tentang rezeki & nikmat anugerah Allah.
ii- Mereka tidak tahu sempurnanya kuasa Allah, apa yang Allah kehendaki akan berlaku apa yang Dia sekat tidak akan berlaku.
iii- rezeki ditangan atau di bawah kuasa Allah, Dia berikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya banyak atau sedikit!
AYAT 8- {MEREKA BERKATA LAGI: \” DEMI SESUNGGUHNYA! JIKA KITA KEMBALI KE MADINAH (DARI MEDAN PERANG), SUDAH TENTU ORANG-ORANG YANG MULIA LAGI KUAT (PIHAK KITA) AKAN MENGUSIR KELUAR DARI MADINAH ORANG-ORANG YANG HINA LAGI LEMAH (PIHAK ISLAM)\”. PADAHAL BAGI ALLAH JUALAH KEMULIAAN DAN KEKUATAN ITU DAN BAGI RASULNYA SERTA BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN; AKAN TETAPI GOLONGAN YANG MUNAFIK ITU TIDAK MENGETAHUI (HAKIKAT YANG SEBENARNYA).} (AL-MUNAAFIQUUN 63:8)
- Para munafiq ini berbual lagi sesama mereka di belakang Rasulullah s.a.w & orang mukmin yang lain, dalam perjalanan pulang ke Madinah selepas satu peperangan iaitu Perang Bani Mustaliq pada Tahun ke-6H.
- Mereka berasa stress dan nak marah kerana terpaksa ikut serta dalam peperangan yang mereka tidak suka & redha untuk menyertainya! Masih tidak insaf walaupun kafir Makkah telah kalah dalam Perang Ahzab pada tahun sebelum itu.
- Mereka mengatakan apabila sampai di Madinah nanti, pasti mereka orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak munafiq) akan usir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam) yang dianggap pendatang.
- Hadis riwayat Jabir bin Adullah r.a:
Ketika kami dalam peperangan Bani Mustaliq; tercetusnya perselisihan antara Jahjah ibn Masu\’d (dari Muhajirin) dan Sinan ibn Wabr al-Juhani (dari kaum Ansar). Perselisihan yang berlaku di telaga al-Muraysi\’ itu hampir mencetuskan peperangan di antara kaum Muslimin.
Jahjah telah meminta bantuan kaum Muhajirn untuk berlawan dengan Sinan, begitu juga dengan Sinan. Sinan menyeru kaum Ansar untuk menyokong pergaduhan ini.
Apabila Rasulullah s.a.w mendengarnya Baginda terus bangun dan menyeleraikannya. Sifat asabiyyah ini (iaitu membantu kaum sendiri atas dasar kezaliman) adalah perkara yang dikeji dalam Islam sehingga Rasulullah ﷺ menyifatkan perkara ini sebagai sikap Jahiliyyah yang busuk.
Kata Jabir lagi pada awal kedatangan Rasulullah s.a.w di Madinah kaum Ansar lebih ramai dari mereka yang berhijrah (Muhajirin) lama kelamaan semakin ramai orang yang datang berhijrah ke Madinah untuk bersama Rasulullah s.a.w dan mendapat pahala akhirnya Madinah dipenuhi oleh golongan Muhajirin melebihi kaum Ansar!
Bapa munafiq bimbang apabila melihat fenomena ini takut Madinah terlepas dari tangan mereka lalu dia memulakan api permusuhan sesama Islam.
Melagakan antara Ansar & Muhajirin, menyalakan batu api sehingga mula tercetus bibit permusuhan!
Setelah tidak berjaya dalam rancangan di atas tadi, perbalahan antara Ansar & Muhajirin tadi dihentikan oleh Rasulullah s.a.w sebelum bermula, golongan munafiq yang kecewa menyambung kembali rancangan jahat mereka dan berbisik sesama mereka bahawa mereka akan menghalau golongan Islam ini keluar dari Madinah sekembalinya ke Madinah selepas peperangan ini!\” [HR Bukhari & Muslim].
Jelaslah bagi kita bagaimana percakapan antara munafiqin ini berlaku.
- Bila kaum munafiq timbulkan isu orang Islam sebagai orang yang lemah & hina, mereka munafiq adalah mulia Allah s.w.t juga terus menjawabnya!
- Allah s.w.t terus jawab dan nafikan dakwaan mereka. Bahawa kaum munafiq tidak memiliki kemuliaan lansung, bahkan Allah khususkan kemuliaan itu hanyalah bagi:
i- bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu
ii- dan bagi Rasul-Nya
iii- serta bagi orang-orang yang beriman; - Akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya tentang hal ini. Mereka menyangka dan mendakwa merekalah orang kuat & mulia, mereka ingat merekalah yang benar.
- Terdapat beberapa firman Allah s.w.t yang berkaitan dengan isu kemuliaan ini:
i- {Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan.} (Faatir 35:10)
ii- {Akuilah kesucian Tuhanmu, – Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, – dari apa yang mereka katakan!} (As-Saaffaat 37:180)
- Dalam hadis Tamim ad-Dari yang panjang, Rasulullah s.a.w bersabda antaranya:
Urusan Islam akan sampai di mana saja sampai malam & siang, semua jenis rumah akan dimasuki agama ini, dengan mulianya orang mulia & hinanya orang yang hina – kemuliaan yang Allah berikan kemuliaan kepada orang Islam & kehinaan yang Allah letakkan bagi orang kafir. [HR Ahmad dan lain-lain]. - Hadis riwayat Ubai bin Ka\’ab r.a: Rasulullah s.a.w bersabda:
Berikan khabar gembira kepada umat ini dengan ketinggian & kemuliaan. Pertolongan Allah & kemenangan di bumi!
Sesiapa yang mengerjakan amalan akhirat tetapi untuk dunia (nak duit, pulangan, perhatian atau bayaran), di Akhirat kelak tiada pulangannya. (kosong akaunnya). [HR Ahmad]
Kerana itu kita kena ikhlaskan segala kerja buat kita kerana Allah s.w.t. - Nasihat untuk kita dengari & sama-sama muhasabah baiki diri: Jangan tayangkan semua nikmat & kesenangan yang Allah berikan kepada kita di medsos. Lebih-lebih lagi jika dengan niat nak cari glamour & pengikut (like).
Apatah lagi ketika beribadat jangan campur-adukkan dengan dunia, bergambar dan sebar untuk ditunjukkan kepada orang. Ini supaya hati kita tidak menjadi laluan syaitan. Apabila ditegur melenting dan suruh orang itu pula cek hatinya!!! Allahu al-Musta\’an.
- Tetapi orang munafiq itu tidak mengetahui hakikat yang sebenar. Mereka menyangka merekalah orang yang mulia kerana mereka kaya, hebat, ramai pengikut & keturunan, terpedaya dengan kebatilan yang mereka percayai!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 7- {Merekalah yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): \”Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya)\”.}- ayat ini Allah s.w.t membuat pendedahan kepada kita orang Islam bahawa senjata utama yang digunakan oleh orang kafir ialah senjata ekonomi!
Sejak dulu dan kini, inilah mentaliti yang diterapkan kepada kita, ugutan isu ekonomi menjadi mainan; jika tiada si kafir sekian-sekian, kita tidak akan dapat makan atau minum sekian-sekian! Sehingga kita takut dan terpaksa bergantung dengan orang-orang kafir ini!
Sedangkan Allah s.w.t telah mendedahkan rahsia ini sejak 1400 tahun dulu lagi! Sebagai orang mukmin kita patut bebaskan diri kita dari fahaman ini, berikhtiar dan berjuanglah untuk jihad ekonomi juga!
- Ayat 7- {Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendakNya);}- bagi Allah segala kunci rezeki di bumi & di langit. Allah telah tetapkan rezeki bagi semua makhluk-Nya, manusia haiwan & tumbuhan- hatta ulat di dalam batu ada makanannya.
Setiap orang Allah sediakan rezekinya, dan ia bukan ditangan manusia. Sempit atau luas rezeki itu atas hikmah dan ketentuan Allah s.w.t. - Ayat 8- {Mereka berkata lagi: \”Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)\”.}- kaum munafiq ini merasakan merekalah orang yang mulia, maka Allah s.w.t potong terus mengatakan bahawa bagi Allah-lah segala kemuliaan itu!
- Ayat 8- {Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman;}- Allah s.w.t menggunakan perkataan bagi
(وَلِلَّهِ ٱلْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِۦ وَلِلْمُؤْمِنِينَ)
yakni bagi Allah kemuliaan itu, bagi Rasul-Nya kemuliaan kerana ikut Allah dan bagi orang mukmin kemuliaan itu kerana ikut Nabi s.a.w!
Bukan kata lebih mulia tetapi tutup dan khususkan terus kemuliaan itu hanya bagi Allah, bagi Rasulullah s.a.w & bagi orang mukmin.
Ini kerana jika dikatakan Allah lebih mulia; seolah memberi makna bahawa mereka kaum munafiq itu mulia juga cuma Allah & Rasul-Nya lebih mulia daripada mereka.
Maka Allah tutup dan nafikan terus kemuliaan itu bagi mereka, mereka bukan sesekali kaum yang mulia!
Mereka pula mengaku mulia;
Begitulah orang yang lemah jiwanya, biasanya bercakap besar & kosong, manakala orang yang besar jiwanya, tidak akan bercakap sombong!
- Ayat 8- {akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).}- Allah s.w.t nafikan bagi kaum munafiq ini ilmu yang bermanfaat! Mereka mungkin bijak dan pandai tetapi tidak memberi faedah kepada mereka.
Yakni walaupun mereka tahu Islam itu benar, Rasulullah s.a.w itu benar, tetapi mereka seolah tidak tahu atau ilmu yang mereka tahu itu tidak memberi manfaat kepada mereka; kerana itu mereka tidak beriman dan menolak menentangnya!
Maka jadilah mereka orang yang menzalimi diri sendiri dengan mendapat azab di akhirat kelak!