SENTIASALAH BERIBADAT JANGAN LEKA, GALAKAN BERSEDEKAH SEBELUM MATI & AJAL TIDAK BOLEH DITANGGUH.
Full video : https://youtu.be/-jrzpR-GdKE
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t mengingatkan kita hamba-Nya yang beriman agar sentiasalah beribadat jangan leka dan lalai dari berzikir mengingati Allah s.w.t.
- Allah galakkan bersedekah infaq fi sabilillah sebelum tibanya mati.
- Apabila ajal tiba, ia tidak boleh ditangguhkan lagi.
AYAT 9- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JANGANLAH KAMU DILALAIKAN OLEH (URUSAN) HARTA BENDA KAMU DAN ANAK-PINAK KAMU DARIPADA MENGINGATI ALLAH (DENGAN MENJALANKAN PERINTAHNYA). DAN (INGATLAH), SESIAPA YANG MELAKUKAN DEMIKIAN, MAKA MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG RUGI.} (AL-MUNAAFIQUUN 63:9)
- Allah s.w.t mengingatkan dan ajar kepada orang beriman agar segera melakukan perkara yang boleh mengingat dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
- Biarlah harta dan keluarga kita menjadi sebab untuk kita mendekatkan diri kepada Allah bukan menjadi sebaliknya, penyebab yang membuatkan kita sibuk, lalai & lagha dari mengingati Allah!
- Ulama\’ tafsir menyeneraikan beberapa maksudnya zikrillah (mengingati Allah);
i- haji
ii- zakat
iii- baca al-Quran
iv- sentiasa berzikir
v- solat 5 waktu
vi- semua perkara yang wajib
vii- sentiasa memuji Allah – bertasbih bertahmid.
ix- berdoa. - Kata Ibnu Asyur rhm. ia adalah:
i- berzikir dengan lidah seperti berzikir dan baca al-Quran.
ii- berzikir dengan akal, iaitu kita berfikir akan sifat Allah, nama-nama-Nya, berfikir hikmah kejadian alam ini & makhluk Allah dan lain-lain.
iii- zikir dengan anggota iaitu beramal dengan apa yang kita belajar.
Yang penting berzikir ikut sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w bukan ikut yang selain darinya yang belum tentu selamat atau sahih. Jika tidak ikut Sunnah Nabi s.a.w akan jauhlah daripada kebenaran.
- Sesiapa yang lalai & lagha dari mengingati Allah- mereka itulah orang yang rugi.
Oleh kerana tabiat orang munafiq yang hanya mementingkan diri & harta benda semata-mata, maka Allah s.w.t mengingatkan orang beriman agar menjauhi semua keburukan mereka itu. Kita mempelajari untuk dijauhi bukan untuk diikuti! - Firman Allah s.w.t:
{Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.} (At-Taghaabun 64:15)
Jika kita lepas ujian harta dan anak-anak ini Allah akan sediakan satu pahala yang besar di sisi-Nya.
AYAT 10- {DAN BELANJAKANLAH (DERMAKANLAH) SEBAHAGIAN DARI REZEKI YANG KAMI BERIKAN KEPADA KAMU SEBELUM SESEORANG DARI KAMU SAMPAI AJAL MAUT KEPADANYA, (KALAU TIDAK) MAKA IA (PADA SAAT ITU) AKAN MERAYU DENGAN KATANYA: \” WAHAI TUHANKU! ALANGKAH BAIKNYA KALAU ENGKAU LAMBATKAN KEDATANGAN AJAL MATIKU – KE SUATU MASA YANG SEDIKIT SAHAJA LAGI, SUPAYA AKU DAPAT BERSEDEKAH DAN DAPAT PULA AKU MENJADI DARI ORANG-ORANG YANG SOLEH \”.} (AL-MUNAAFIQUUN 63:10)
- Allah gambarkan satu analogi yang akan berlaku kepada kita semua apabila nak mati nanti!
- Ini adalah galakkan untuk bersedekah dengan sebahagian daripada harta yang menjadi rezeki anugerah dari Allah s.w.t. Samada nafkah, zakat, infaq sedekah dan seumpamanya!
- Sedekahlah sebelum tiba ajal kamu, sebelum kamu mati! Allah beritahu kita dari awal lagi supaya dialog ini tidak akan berlaku kepada kamu dengan penuh penyelasan dan kerugian kerana tidak mungkin akan dapat lagi!
- Merayulah mereka ini dengan berkata: {\”Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh \”.}- apa yang Allah katakan ini benar sekali dan adalah hakikat kenyataan yang akan berlaku bagi orang yang tidak bersedekah & tidak beramal soleh semasa hidup & sihatnya.
- Firman Allah s.w.t:
{Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: \”Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) –
\”Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan\”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).} (Al-Mu\’minuun 23:99-100)
AYAT 11- {DAN (INGATLAH), ALLAH TIDAK SEKALI-KALI AKAN MELAMBATKAN KEMATIAN SESEORANG (ATAU SESUATU YANG BERNYAWA) APABILA SAMPAI AJALNYA; DAN ALLAH AMAT MENDALAM PENGETAHUANNYA MENGENAI SEGALA YANG KAMU KERJAKAN.} (AL-MUNAAFIQUUN 63:11)
- Apabila tibanya ajal seseorang Allah sekali-kali tidak akan menangguhkannya. Tidak melewatkannya atau menyegerakan.
- Allah beri peringatan kepada kita sekali lagi: {dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.}
- Atas dunia ini boleh sahaja kamu mengaku sebagai orang baik atau beriman, didepan orang lain, di belakang orang lain, begitulah makhluk sesumpah yakni manusia munafiq!
- Ingatlah suratan amalan yang akan kamu baca di akhirat kelak, kamulah penulisnya!
Baik atau buruk semuanya adalah hasil dari perbuatan kamu sendiri!
Jadi pilihlah apa yang kamu baca di hadapan Allah Azza wa Jalla!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 9- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah..}- wahai orang yang beriman jangan biarkan harta benda & anak pinak kamu melalaikan kamu dari berzikir mengingati Allah.
Sebagaimana definisi yang dihuraikan di atas tadi zikir merangkumi semua perkara ibadat dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
Zikir juga ada tiga dimensi- dengan lidah, akal/hati dan anggota perbuatan.
Kata ulama\’ tadabbur sesiapa yang mantap imannya; dia tidak akan memandang mulia dan mementingkan harta dunia & anak pinak lebih dari akhirat; atau dibandingkan dengan kemuliaan Allah s.w.t!
Kerana itu dalam perkara larangan kita hendaklah jauhi & jangan hampiri dari awal lagi kerana bila dah dapat akan sayang untuk dilepaskan. Dunia ini bila sudah masuk dalam hati & kepala susah sekali untuk dilepaskan!
Bahkan Allah s.w.t sentiasa berfirman tentang perkara larangan ini dengan mengatakan jangan dekatinya, jauhilah ia: {لَا تَقۡرَبُواْ}.
Allah s.w.t tidak terus kata jangan kamu buat!
Ayat ini mengingatkan kita agar sentiasa menjaga zikir mengingati Allah s.w.t sepanjang hidup. Jangan dekat nak mati baru nak berzikir.
Kata seorang ulama\’ salaf, Abu Hazim rhm.:
Semua perkara yang menyibukkan kamu daripada mengingati Allah; maka itu adalah satu kecelakaan kepada kamu! Samada harta, anak-anak atau apa saja.
Maka sentiasalah berzikir mengingati Allah dengan tiga cara berzikir yang kita telah bincangkan di atas.
- Ayat 9- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh..}- dalam ayat ini Allah sebut terus { لَا تُلْهِكُمْ} jangan dilalaikan bukan jangan disibukkan {لا تشُغُلٍكمۢ}. Kenapa?
Ini kerana ada benda sibuk itu ada juga yang baik, bukan semua melalaikan. Seperti ketika dalam solat, kita sibuk dengan beribadat kepada Allah s.w.t. serta penduduk Syurga yang sibuk dengan nikmat di dalamnya.
FIRMAN ALLAH S.W.T :
{Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk { فِى شُغُلٍۢ} leka menikmati kesenangan;} (Yaa Siin 36:55)
Sibuk bukan seperti lagha, lalai, leka yang semuanya tiada kebaikan.
Begitulah mendalam dan indahnya bahasa al-Quran- kalam Allah yang begitu hebat.
ii- Kasih (محبة) pula ada dua:
a- kasih/suka secara tabi\’i iaitu kehendak adalah tidak dilarang; seperti orang mengantuk nak tidur, orang dahaga nak air, orang lapar nak makan dan seumpamanya.
b- yang dilarang ialah mahabbah yang melalaikan kita daripada mencintai Allah s.w.t Contohnya apabila bertembung antara cinta Allah & cinta makhluk, tolak cinta makhluk itu.
Boleh baca buku DDAAM yang santai ini:
https://dartaibah.com/
- Ayat 9- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah}- Allah menyuruh kita banyak mengingati Allah kerana ia akan menjauh dan membebaskan dari sifat munafiq.
Ini kerana orang munafiq tidak akan berzikir mengingati Allah s.w.t.
FIRMAN ALLAH S.W.T :
{Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).} (An-Nisaa\’ 4:142)
Kata Ka\’bun rhm.: Sesiapa yang lidahnya banyak berzikir kepada Allah s.w.t, dia akan bebas daripada sifat munafiq!
Maka dalam ayat ini adalah amaran atau peringatan dari sifat munafiq!
Orang munafiq tidak akan mengingati Allah s.w.t kecuali sedikit sekali!
Sahabat ditanya apakah golongan Khawarij itu adalah kaum munafiq?
Mereka menjawab tidak! Ini kerana golongan Khawarij amat anti akan pembohongan bahkan menghukum sesiapa yang berbohong adalah kafir.
Sedangkan munafiq dibina atas pembohongan; maka mereka adalah dua kumpulan yang berbeza.
Faedah berzikir :
i- aman dari sifat munafiq
ii- menjadi sebab untuk mendapat mahabbah Allah s.w.t!
Maka jika nak Allah sayangkan kita, cintakan kita maka perbanyakkanlah zikir.
- Ayat 10- {Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya,}- Allah peringatkan orang mukmin supaya berinfaq, bersedekahlah sebelum kamu mati!
Hadis- Nabi s.a.w ditanya sedekah apakah yang paling baik?
Abu Hurairah R.A berkata:
\”Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad S.A.W dan berkata: Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya.
Rasulullah s.a.w menjawab:
أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيحٌ شَحِيحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى وَلَا تُمْهِلَ حَتَّى إِذَا بَلَغَتْ الْحُلْقُومَ قُلْتَ لِفُلَانٍ كَذَا وَلِفُلَانٍ كَذَا أَلَا وَقَدْ كَانَ لِفُلَانٍ
Ertinya: \”Hendaknya engkau bersedekah sementara engkau dalam keadaan sihat dan tamak, yakni engkau sedang menginginkan (mencintai) kehidupan dan takut akan kemiskinan.
Dan Jangan menangguhkan kebaikan seperti sedekah ini sehingga tiba ajal tiba ditenggorokmu lalu tiada penyesalan berguna lagi.
Lalu engkau (baru) mengatakan, \’Untuk fulan sekian (aku berikan dari hartaku) dan untuk fulan sekian.\’ Ketahuilah, harta itu telah menjadi milik orang lain.\” (HR Muslim)
Yakni sedekah terbaik adalah ketika diri kita dalam keadaan sihat dan kedekut, sayang dan masih perlukan harta itu.
Ayat ini juga mengajar kepada kita bahawa bukan semua harta kita kena infaq, hanya sebahagian darinya sahaja! Islam tidak begitu.
Hadis had infaq jika ada pewaris:
Daripada Sa\’ad Ibn Waqqas R.A, beliau berkata:
عَادَنِى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فِى حَجَّةِ الْوَدَاعِ مِنْ وَجَعٍ أَشْفَيْتُ مِنْهُ عَلَى الْمَوْتِ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ بَلَغَنِى مَا تَرَى مِنَ الْوَجَعِ وَأَنَا ذُو مَالٍ وَلاَ يَرِثُنِى إِلاَّ ابْنَةٌ لِى وَاحِدَةٌ أَفَأَتَصَدَّقُ بِثُلُثَىْ مَالِى قَالَ « لاَ ». قَالَ قُلْتُ أَفَأَتَصَدَّقُ بِشَطْرِهِ قَالَ : لاَ الثُّلُثُ وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ إِنَّكَ أَنْ تَذَرَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَذَرَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ وَلَسْتَ تُنْفِقُ نَفَقَةً تَبْتَغِى بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلاَّ أُجِرْتَ بِهَا حَتَّى اللُّقْمَةُ تَجْعَلُهَا فِى فِى امْرَأَتِكَ
Maksudnya: Rasulullah S.A.W pernah menziarahiku ketika sakit pada masa Hajjatul Wada\’ yang aku rasa membawa kematian.
Lantas aku bertanya,
\”Wahai Rasulullah, telah kamu melihat keadaanku yang sakit sedangkan aku mempunyai harta dan tidak ada yang mewarisiku kecuali anak perempuanku satu-satunya.
Bolehkah aku bersedekah dengan dua pertiga hartaku?
Baginda menjawab: \”Jangan.\”
Aku bertanya: Apakah aku menyedekahkan separuh daripadanya?
Baginda menjawab: \”Jangan.\”
Aku bertanya lagi: Apakah aku sedekahkan sepertiganya?
Beliau menjawab: \”Ya, sepertiga, dan sepertiga itu banyak.
Sesungguhnya engkau meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka dalam keadaan fakir meminta-minta kepada orang ramai.
Dan tidaklah kamu sedekah semata-mata mencari keredhaan Allah kecuali kamu diberi pahala dengannya sekalipun kamu memberi satu suapan kepada mulut isterimu juga dikira pahala.\” [HR al-Bukhari (4409) dan Muslim (4296)].
- Ayat 11- {Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; – ajal bila datang tiada penangguhan dan minta tempoh.
Ayat ini mengajar kepada kita untuk membuat persiapan awal-awal, segerakan bertaubat & buat kebajikan. Bila ajal datang ia akan berlaku segera.
Cuma ada persoalan ada hadis Rasulullah s.a.w riwayat dari Anas bin Malik r.a:
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: Barangsiapa yang suka untuk diluaskan baginya rezeki, dan dipanjangkan umurnya, maka sambungkanlah silaturrahim. [HR al-Bukhari dalam al-Sahih (2067)]
Apakah maksudnyanya?
Apakah umur akan jadi panjang dengan sebab silaturrahim?
Jawapannya;
Tidak begitu ulama\’ kata ia seolah menjadi sebab seorang itu panjang umurnya, sedangkan umurnya sudah ditetapkan oleh Allah s.w.t. apa yang sudah ditetapkan di Lauh Mahfuz tidak akan bertukar, ini adalah Qadha al-Mubram.
Qadha\’ itu ada dua:
i- Qadha\’ mubram-ketetapan yang tidak akan bertukar seperti umur seseorang telah ditetapkan 80 tahun, dia tetap akan mati pada usia itu.
ii- qada\’ muallaq – ketetapan yang berkait- boleh bertukar. Ia bukan berubah yang asal cuma proses atau perjalanan dalam menuju kepada umur kita yang asal itu, Allah akan ubah yang patut.
Sepertimana sabda Rasulullah juga dengan doa boleh tukar juga.
Daripada Thauban R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِنَّ الرَّجُلَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ ، وَلاَ يَرُدُّ الْقَدَرَ إِلاَّ الدُّعَاءُ
Maksudnya: \”Sesungguhnya seseorang itu boleh terhalang dari rezeki disebabkan dosa yang dilakukannya. Tidak ada yang dapat menolak takdir kecuali doa.\” [HR Ibnu Majah (4022), Ahmad (22745)].
Ulama\’ kata maksudnya panjang umur di sini:
i- umurnya panjang sungguh.
ii- umur panjang yakni walaupun dia mati awal, tetapi orang tetap menyebut-nyebut dan mengenang kebaikannya.
Alhamdulillah tamatlah surah kita ini hari ini dan kita akan sambung dalam surah seterusnya Insya\’ Allah.
Doa-
اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ ، وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ ، وَلِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ ، وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ ، فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ \”
\”Wahai Allah bersihkanlah hatiku dari nifaq, (bersihkanlah) amalku dari riya, (bersihkanlah) lisanku dari dusta, (bersihkanlah) mataku dari pengkhianatan. Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan didalam dada.\”
\”Ya Allah matikanlah kami dalam husnul-khatimah & keredhaan-Mu.\”