NIKMAT BAGI MUTTAQIN, AZAB BAGI MUJRIMIN & MAKLUMAT MANA YANG MEREKA PERCAYA
Full video : https://youtu.be/6X3aBwNCTqY?si=NFp8lbLqbP_9Q9Fe
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah episod ini adalah siri terakhir (ke-6) bagi surah al-Mursalat dengan 50 ayatnya.
- Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan nikmat bagi golongan Muttaqin (bertaqwa), nikmat syurga yang tidak digambarkan keindahannya.
- Serta ancaman azab bagi Mujrimin (penjahat yang berdosa); samada jahat dari segi aqidah atau perangainya!
Azab yang tidak terperi dahsyatnya. - Kemudian Allah s.w.t tanya di akhir surah, maklumat mana lagi yang mereka (kafir) mahu percaya jika mereka menolak tidak mahu percaya & menerima al-Quran!
AYAT 41- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERTAQWA BERADA DI TEMPAT TEDUH (YANG DIPENUHI PELBAGAI NIKMAT), DAN YANG BERDEKATAN DENGAN MATAIR-MATAIR (YANG MENGALIR),} (AL-MURSALAAT 77:41)
- Allah s.w.t nyatakan keadaan golongan yang bertaqwa di dalam syurga dengan segala nikmatnya:
i- mereka berehat di bawah tempat teduh (ظِلَـٰلٍۢ) yang dipenuhi pelbagai nikmat,
ii- yang berdekatan dengan matair-matair (وَعُيُونٍۢ) yang mengalir.
Inilah nikmat yang disukai manusia hatta atas dunia ini lagi.
- Orang yang bertaqwa secara ringkasnya ialah orang yang takut kepada Allah; dengan buat segala yang Allah perintahkan & meninggalkan segala yang Allah s.w.t larang!
- Firman Allah s.w.t juga:
{Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan;
Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;} (Yaa Siin 36:56) - Sebelum ini Allah s.w.t ceritakan tentang kaum mujrimin yang berada di bawah naungan asap yang tebal hitam lagi panas sebagai azab.
- Maka kita perbanyakkan doa-doa ini sempena Ramadhan sekarang dan bila-bila masa saja selepas ini:
i- اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ
Ya Allah, aku mohon kepada-Mu syurga, dan aku berlindung kepada-Mu dari neraka.
ii- أَللّـهُمَّ أَعْتِقْ رِقاَبَناَ وَرِقاَبَ آباَئِناَ وَأُمَّهاَتِناَ مِنَ النَّارِ
Ya Allah hapus nama kami dan nama ayah dan ibu kami dari api neraka.
AYAT 42- {SERTA MENIKMATI BUAH-BUAHAN DARI SEGALA JENIS YANG MEREKA INGINI.} (AL-MURSALAAT 77:42)
- Mereka juga menikmati segala buah-buahan syurga, apa saja yang mereka ingini! Bila disebut air pasti ada pokok, bila ada pokok pasti ada buahnya!
- Firman Allah s.w.t juga:
{Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;} (Yaa Siin 36:57)
AYAT 43- {(PADA KETIKA ITU DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”MAKANLAH DAN MINUMLAH KAMU DENGAN LAZATNYA, DISEBABKAN APA YANG KAMU TELAH KERJAKAN.\”} (AL-MURSALAAT 77:43)
- Ketika mereka sedang berehat itu, dikatakan kepada mereka nikmatilah segala ini, makan & minumlah apa saja.
- Semua ini dengan sebab amalan baik & soleh yang telah kamu kerjakan di atas dunia dulu!
- Memanglah kita akan masuk syurga dengan rahmat Allah! Tetapi kita nak dapatkan rahmat Allah s.w.t pastilah kena beramal soleh & tidak melanggar perintah Allah!
- Semua makanan & minuman yang disediakan ini baik, lazat dan tidak memberi mudharat atau penyakit! Tiada pantang dan penyakit dalam syurga!
AYAT 44- {SESUNGGUHNYA, DEMIKIANLAH KAMI MEMBALAS ORANG-ORANG YANG BERUSAHA MENGERJAKAN AMAL-AMAL YANG BAIK.} (AL-MURSALAAT 77:44)
- Balasan yang Allah beri adalah mengikut amalan soleh kita semasa hidup di dunia dulu!
- Amalan baik & banyak pastilah lebih tinggi lagi tahap/darjatnya di dalam syurga berbanding dengan mereka yang sedikit amalannya!
- Rebutlah peluang yang Allah beri semasa di dunia ini untuk menambah pahala dengan melakukan amalan sebaik & semampunya seperti pada 10 akhir Ramadhan dan lain-lain.
AYAT 45- {KECELAKAAN BESAR, PADA HARI ITU, BAGI ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN (NIKMAT-NIKMAT SYURGA)!} (AL-MURSALAAT 77:45)
- Celakalah { وَيْلٌۭ} bagi mereka yang mendustakan nikmat-nikmat syurga yang Allah nyatakan ini!
- Ini adalah celaan yang kelapan bagi mereka yang mendustakan al-Quran & Rasulullah s.a.w!
AYAT 46- {MAKANLAH DAN BERSENANG-SENANGLAH KAMU (WAHAI ORANG-ORANG YANG INGKAR DERHAKA) SEMENTARA WAKTU HIDUP, (KEMUDIAN KAMU AKAN MENGHADAPI BAHAYA), KERANA SESUNGGUHNYA KAMU ADALAH ORANG-ORANG YANG BERDOSA.} (AL-MURSALAAT 77:46)
- Manakala bagi pendusta hari Kiamat akan dikatakan kepada mereka: Makan dan nikmatilah selagi usia masih ada atas dunia ini.
- Tetapi ingat- kamu akan menghadapi bahaya dianggap sebagai mujrimin (penderhaka) kepada Allah & akan diazab di akhirat kelak kerana kamu adalah orang yang berdosa!!!
- Firman Allah s.w.t:
{Katakanlah (wahai Muhammad): \”Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara di dunia), kerana sesungguhnya kesudahan kamu ke neraka\”.} (Ibrahim 14:30)
Atas dunia kita nampak mereka bebas bahagia tanpa sekatan, tetapi ingat azab yang menunggu di akhirat!
AYAT 47- {KECELAKAAN BESAR, PADA HARI ITU, BAGI ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN (AMARAN ALLAH),} (AL-MURSALAAT 77:47)
- Celakalah { وَيْلٌۭ} bagi mereka yang mendustakan amaran & peringatan Allah s.w.t.
- Ini adalah celaan yang kesembilan bagi mereka yang mendustakan al-Quran & Rasulullah s.a.w!
AYAT 48- {DAN APABILA DIKATAKAN KEPADA MEREKA (YANG INGKAR): \”TAATLAH DAN KERJAKANLAH SEMBAHYANG\”, MEREKA ENGGAN MENGERJAKANNYA.} (AL-MURSALAAT 77:48)
- Mereka ini apabila diperintahkan untuk taat (beriman) dan mengerjakan solat; mereka ingar dan enggan mengerjakannya!
- Orang kafir tetap akan dikira dosanya jika dia tidak solat, mencuri dan lain-lain jenayah.
Dosa sebagai kafir yang tidak beriman serta syirik itu sudah satu dosa yang besar!
Jadi dosa mereka bertambah & bertindan-tindan- wal \’iyazu billah!
AYAT 49- {KECELAKAAN BESAR, PADA HARI ITU, BAGI ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN (PERINTAH-PERINTAH ALLAH DAN LARANGANNYA)!} (AL-MURSALAAT 77:49)
- Kecelakan besar { وَيْلٌۭ} bagi mereka yang mendustakan perintah & larangan Allah s.w.t.
- Ini adalah celaan yang kesepuluh bagi mereka yang mendustakan al-Quran & Rasulullah s.a.w!
AYAT 50- {(KALAU MEREKA TIDAK JUGA MAHU BERIMAN KEPADA KETERANGAN-KETERANGAN YANG TERSEBUT) MAKA KEPADA PERKATAAN YANG MANA LAGI, SESUDAH ITU, MEREKA MAHU BERIMAN?} (AL-MURSALAAT 77:50)
- Jika kamu tidak mahu terima juga apa yang Allah beri peringatan dalam al-Quran ini, segala peringatan & nasihat telah diberikan.
- Maka dengan tanda-anda atau ayat mana lagi yang kamu percaya wahai orang kafir????
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 41- {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada di tempat teduh (yang dipenuhi pelbagai nikmat), dan yang berdekatan dengan matair-matair (yang mengalir),}
Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan orang kafir berada di bawah naungan asap tiga segi yang tebal & hitam. Ianya tidak dapat melindungi mereka dari api neraka, bahkan asap itu sendiri adalah sebahagian daripada azab! Tidak teduhan perlindungan, tiada makanan dan azab secara mental dengan kata-kata cercaan & perlian.
Lalu dalam ayat ini Allah s.w.t bawa pula cerita sebaliknya iaitu nikmat yang diperolehi oleh ahli syurga mereka berada di naungan & bayangan teduh yang nyaman dan indah, Mereka mendapat tiga nikmat:
i- mereka duduk di tempat teduh yang berdekatan dengan matair-matair yang mengalir.
ii- mereka menikmati buah-buahan dari segala jenis yang mereka ingini.
iii- serta kata-kata & ucapan yang baik.
- Ayat 44- {Sesungguhnya, demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang baik.}
Allah s.w.t nyatakan bahawa demikianlah dia akan membalas mereka yang bersifat ihsan & muhsin { ٱلْمُحْسِنِينَ}.
Allah sebut sifat golongan yang baik ini secara umum bukan kepada individu atau nama khas. Sesiapa saja yang bertaqwa, inilah balasannya!
Ulama\’ kata dari ayat ini juga kita dapati: Balasan itu juga mengikut jenis amalan & kualitinya! Begitu juga siksaan, mengikut perbuatannya! Itulah keadilan Allah s.w.t, tiada siapa yang akan dizalimi!
Firman Allah s.w.t:
{Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?} (Ar-Rahmaan 55:60)
- Ayat 46- {Makanlah dan bersenang-senanglah kamu (wahai orang-orang yang ingkar derhaka) sementara waktu hidup, (kemudian kamu akan menghadapi bahaya), kerana sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang berdosa.}- dikatakan kepada orang mujrimin lagi; makan minum (melantaklah) kamu atas dunia ini, kerana kamu orang yang jahat!
Ini secara cercaan & perlian; makan & bersenang-senanglah kamu di atas dunia ini tetapi ingat di akhirat kelak kamu akan dikenakan azab!
Ini kerana mereka lupa pintu-pintu yang boleh mendekatkan kepada Allah s.w.t, Tiada halal-haram, dan sekatan bagi mereka!
Bagi orang Islam pasti kena ikut halal-haram serta larangan jangan melampau & membazir!
- Ayat 48- {Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): \”Taatlah dan kerjakanlah sembahyang\”, mereka enggan mengerjakannya.}- apabila disuruh rukuk- { ٱرْكَعُوا۟} mereka enggan dan ingkar! Yakni apabila disuruh solat mereka tidak mahu solat!
Kenapa rukuk dikira solat?
Kata ulama\’ ini menunjukkan bahawa rukuk itu salah satu rukun solat! Siapa yang tidak rukuk tidak sah solatnya. Jadi kita ambil atau sebut satu juzuk bagi menunjukkan semua perbuatan solat yang lain!
Ayat ini juga menunjukkan bahawa semua manusia akan dipertanggung-jawab atas amal ibadat masing-masing.
Orang kafir juga akan dikira wajib- apa yang dia tidak buat akan dikira dosanya selain dosa utama iaitu dosa kufur & syirik!
Apatah lagi orang beriman yang tidak mahu solat kerana malas atau sebab lain, pastilah akan berdosa juga!
- Ayat 50- {(Kalau mereka tidak juga mahu beriman kepada keterangan-keterangan yang tersebut) maka kepada perkataan yang mana lagi, sesudah itu, mereka mahu beriman?}
Allah s.w.t bertanya lagi; jika al-Quran kamu tolak & dustakan, hujjah mana lagi yang kamu mahu terima????? Ini soalan untuk orang kafir.
Kita orang Islam pun jika al-Quran tidak dijadikan hujjah & uslub dakwah, maka kita nak dakwah dengan apa lagii?????
Antara perkara yang menjadi kewajipan orang Islam ialah menyampaikan kebenaran itu ke telinga mad\’u kita. Dia terima atau tidak; tidak mengapa kerana kita sudah sampaikan!
Semoga kita menjadi ahli al-Quran, orang yang mencintai al-Quran, menghayati al-Quran dalam bacaan & kehidupan kita. Lalu menjadi orang dicintai Allah s.w.t yang melayakkan kita ke syurga Insya\’Allah!
Alhamdulillah dengan tamatnya surah al-Mursalat ini tamatlah juzuk yang ke-29, dan selepas hari Raya kita akan mulakan juzuk ke-30.
Marilah sama-sama kita berdoa semoga kita mendapat manfaat dan faedah dari terjemahan & tadabbur al-Quran ini!
Ya Allah anugerahkan kami syurga serta nikmat memandang kepada wajah-Mu!
Hari ini akan berlaku gerhana. Fenomena bulan keluar awal daripada matahari. Boleh mula solat gerhana dalam jam 11.45 pagi, Insya Allah.
Sama-samalah kita hidupkan Sunnah solat gerhana yang disyariatkan oleh Rasulullah s.a.w secara berjemaah.