View Categories

(1) Surah Al-Mutaffifin : Ayat 1-6

Surah Al-Mutaffifin – سورة المطففين
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH & ANCAMAN KEPADA GOLONGAN MENGURANGKAN SUKATAN DAN TIMBANGAN.

Full video : https://youtu.be/6igw5sppkio?si=XYmfih4GR9-qUqkn

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Sabtu 22 Syawwal 1444H bersamaan 13hb Mei 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Mutaffifin – سورة المطففين.
  1. Semoga Allah SWT kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita ke syurga-Nya.
  1. Surah Al-Mutaffifin – سورة المطففين adalah surah ke-83 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang keenam dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Al-Infitar – سورة الإنفطار. Mengandungi 36 ayat yang pendek-pendek.
  1. Tentang sama ada ia Makkiyah atau Madaniyyah terdapat banyak perbincangan ulama’:
    i- Ramai ‘ulama’ tafsir mengatakan : Surah ini adalah Makkiyyah iaitu diturunkan di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah iaitu.
    Antaranya ialah; Ibnu Jarir At-Tobari, Az-Zajjaj, Ibnu Abi Zamani, al-Wahidi, Ibnu Juzai RHM dan lain-lain mengatakan ia Makkiyyah.
    Sama seperti pendapat ahli panel tafsir Bimbingan ar-Rahman ini.

    ii- Ada juga pendapat yang mengatakan : Ia turun di Madinah kerana ia membincangkan tentang hukum muamalat.
    Mereka antaranya ialah: Muqatil Bin Sulaiman, al-Baghawi, Ibnu Kathir, al-Biqa’i, asy-Syarbini dan lain-lain.

    iii- Ada ulama’ kata : Ayat ini turun antara Makkah & Madinah iaitu ketika Rasulullah SAW nak hijrah, setengahnya dekat Makkah separuhnya dekat dengan Madinah.
  1. Kesimpulannya kata Ibnu Juzai RHM : Ada tiga pandangan pandangan ulama’ tentang surah ini:
    i- Makkiyyah. 

    ii- Madaniyyah.

    iii- Ada kata 8 ayat bermula dari ayat 29 sehingga ke akhir surah adalah Makkiyyah.  

    iv- Hanya 1 ayat Madaniyyah manakala yang lain adalah Makkiyyah semuanya.
    Kesimpulannya, wallahu a’lam!
  1. Allah SWT mulai surah ini dengan menyebut satu penyakit yang buruk dalam masyarakat iaitu mengurangkan sukatan & timbangan dalam urusan. 
    Penyakit ini berterusan menular sehinggalah ke hari ini! Jika timbangan digital kita pada hari ini, lagi detail & jelas bacaannya!
    Ini adalah satu perkara yang cukup berat & dikecam Allah SWT!

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Mutaffifin – سورة المطففين yang bermakna {Orang Yang Curang Dalam Timbangan & Sukatan} kerana pada awal surah Allah SWT memberi amaran & balasan yang seburuknya bagi orang yang bersifat sedemikian. Alik dia mahu lebih, alik orang dikurangkan!
  1. Surah ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti:
    i- Sebahagian ulama’ menulisnya sebagai surah { وَيْلٌۭ لِّلْمُطَفِّفِين}- iaitu diambil penuh ayatnya yang pertama. Kebanyakan penulis Kitab menukilkannya sedemikian.

    ii- Ada ulama’ menamakannya sebagai (التطفيف) dengan makna mengurangkan sukatan juga.

INTISARI KANDUNGAN :

  1. Setelah menerangkan tentang curangnya perangai orang yang mengurangkan sukatan & timbangan, gantang-cupak, gram atau meter; iaitu apabila mengambil untuk mereka cukup atau lebih, tetapi apabila timbang untuk orang lain mereka mengurangkannya. 
    Setelah itu dijanjikan azab siksa yang dahsyat untuk mereka, jika masih meneruskan perbuatan keji itu.
  1. Lalu diterangkan bahawa suratan amalan orang yang berdosa adalah didaftarkan dalam sijjin {سِجِّينٍۢ} iaitu kitab catatan yang jelas nyata.
  1. Manakala orang yang baik berbakti dengan taat serta beramal soleh, suratan amalan mereka akan didaftarakan dalam illiyyin {عِلِّيِّينَ} iaitu kitab catatan yang jelas nyata, dengan disaksikan oleh sekumpulan malaikat yang mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah Azza wa Jalla.
  1. Setelah menerangkan tentang akibat buruk yang akan menimpa orang yang kufur ingkar & balasan baik bagi orang beriman dan beramal soleh di akhirat kelak; maka surah ini diakhiri dengan menegaskan untuk menambahkan kegembiraan orang yang beriman dengan ditanya; bukankah orang kafir sudah dibalas dengan apa yang mereka kerjakan di dunia dulu?

    Maka puas hatilah orang yang beriman melihat orang yang melawan agama Islam dan menindas orang Islam dulu telah tergolek di dalam neraka yang mereka ingkari dulu!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH:

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah sebagai satu amaran keras agar jangan mengurangkan timbangan & sukatan.
  1. Allah sebut dua sifat manusia yang jahat & yang baik. Serta bandingan yang dibuat untuk mengenal pasti keadaan dua kumpulan tersebut; yang baik ke syurga & yang jahat ke neraka!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah SWT beri amaran daripada menggurangkan sukatan serta dijanjikan azab siksa bagi mereka yang melakukannya. 
    Serta diingatkan akan hari kebangkitan semula & balasan azab di akhirat kelak. 
    Jika terlepas atas dunia ini jangan lupa perkiraan kita di akhirat kelak!
  1. Menjelaskan buruknya akhir pekerjaan orang yang jahat (ٱلْفُجَّارِ) dan mulianya akhir pekerjaan al-abrar. 
    Dinyatakan bahawa suratan amalan orang jahat duduk di bawah manakala suratan orang yang baik di atas.
  1. Menyebut apa yang dilakukan oleh puak kafir terhadap orang mukmin dari perbuatan jahat seperti menyakiti, perli, khiant, buat tuduhan dan lain-lain keburukan.
  1. Memberi khabar gembira kepada orang mukmin– atas dunia ini kamu disakiti oleh puak kafir maka sabarlah, di akhirat kelak kamu akan ketawakan mereka yang khianat ini!

MUNASABAH SURAH AL-MUTAFFIFIN – سورة المطففين DENGAN SURAH AL-INFITAR- سورة التكوير SEBELUMNYA;

  1. Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Infitar – سورة الإنفطار:

    i- Allah SWT sebut dalam dalam Surah Al-Infitar sebelumnya tentang hari Kiamat & tiada siapa boleh menolong sesiapa pun. 
    Ayat ini beri amaran besar terhadap golongan penderhaka & celaka.

    ii- Dalam surah ini Allah sebut antara orang yang celaka ialah mereka yang mengurangkan sukatan & timbangan.
  1. Persamaan dalam kedua surah; keduanya menyebut tentang keadaan hari Kiamat.
  1. Allah sebut :

    i- Dalam Surah Al-Infitar bahawa bagi manusia ada malaikat yang menjaga & mencatat amalan kita iaitu Kiraman Katibin.

    ii- Dalam surah ini Allah sebut dalam ayat 9 & 20 tentang tulisan catatan yang jelas { كِتَـٰبٌۭ مَّرْقُومٌۭ}, bagi orang beriman terletak di tempat yang tinggi iaitu {عِلِّيِّينَ} manakala bagi orang kafir di tempat paling bawah iaitu {سِجِّينٌۭ}.
  1. Allah sebut manusia terbahagi kepada dua :
    Iaitu al-abrar (yang beriman & bertaqwa) mereka akan ke syurga atau golongan jahat, al-fujjar yang akan dicampak ke dalam neraka!
    Maka kita pilihlah jalan mana yang mahu, kita sudah tahu akhirnya, maka pilihlah yang terbaik barulah kita bahagia & selamat di akhirat.

    Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {KECELAKAAN BESAR BAGI ORANG-ORANG YANG CURANG (DALAM TIMBANGAN DAN SUKATAN),} (AL-MUTAFFIFIN 83:1)

  1. Celakalah bagi orang yang mengurangi timbangan & sukutan. Termasuk juga, ukuran, penggunaan waktu dan seumpamanya. 
  1. Sabab nuzul ayat:
    Hadis riwayat Ibnu Abbas RA, Ketika awal ketibaan Rasulullah SAW di Madinah, adalah penduduk Madinah; yang masih belum beriman termasuk yahudi- adalah manusia yang terburuk yang tidak jujur dalam bab sukatan & timbangan ini! Maka Allah SWT turunkan ayat ini! Celaka & neraka bagi mereka yang curang ini. { وَيْلٌۭ لِّلْمُطَفِّفِينَ}. Selepas daripada itu penduduk Madinah yang beriman & tidak beriman pun tidak berani lagi melakukan perbuatan buruk ini. [HR an-Nasaie, Ibnu Majah dan lain-lain].
  1. Makna celaka {وَيْلٌۭ} ini ialah kemurkaan & azab bagi mereka yang mengurangkan sukatan & timbangan ini. 
    Ia termasuk segala ukuran berat, luas, panjang dan semuanya jika termasuk dalam hak orang lain.
  1. Kata Ibnu Asyur RHM : Sepakat huraian ulama’ tafsir bahawa penduduk Yathrib (Madinah), adalah masyhur sebagai golongan yang jahat dalam bab sukatan & timbangan.
    Apabila turun ayat ini mereka perbetulkan perbuatan mereka itu.
    Yakni jika beriman kerana takut akan neraka; manakala yang tidak beriman kerana takut akan diambil tindakan oleh Rasulullah SAW yang sentiasa mengawas dan menyelia urusan di pasar-pasar Madinah agar tidak berlaku penipuan & kezaliman.

AYAT 2- {IAITU MEREKA YANG APABILA MENERIMA SUKATAN (GANTANG CUPAK) DARI ORANG LAIN MEREKA MENGAMBILNYA DENGAN CUKUP,} (AL-MUTAFFIFIN 83:2)

  1. Iaitu mereka ini apabila menerima (membeli) dari orang; mereka akan mengambil yang cukup atau bahkan lebih pula! 
    Mereka begitu teliti & berkira untuk pastikan timbangan yang mereka terima adalah cukup & tidak kurang sedikitpun!

AYAT 3- {DAN (SEBALIKNYA) APABILA MEREKA MENYUKAT ATAU MENIMBANG UNTUK ORANG LAIN, MEREKA KURANGI.} (AL-MUTAFFIFIN 83:3)

  1. Sebaliknya jika mereka memberi (jual) kepada orang lain; mereka akan mengurangi sukatan & timbangan yang akan diberi! 
  1. Inilah kejahatan para peniaga yang tidak amanah!
  1. Hatta zaman kita ini ramai lagi manusia yang bersikap begini. 
    Mereka ini telah kumpul dua sifat buruk dalam diri mereka iaitu: 
    i- Tamak (bila dia ambil hak dia) nak banyak & lebih. 
    ii- Bakhil apabila nak beri hak orang! Kurangkan & cukup yang hak!

AYAT 4- {TIDAKKAH MEREKA MENYANGKA BAHAWA MEREKA AKAN DIBANGKITKAN (HIDUP SEMULA SESUDAH MATI)?} (AL-MUTAFFIFIN 83:4)

  1. Allah SWT tanya: Apakah mereka tidak sedar bahawa mereka akan dibangkitkan kelak? Tidakkah mereka yakin akan kebangkitan semula?
  1. Munasabah ayat: 
    i- Allah SWT sebut perangai yang ketagih dengan perbuatan buruk ini, sudah menjadi kebiasaan bagi mereka tanpa rasa bersalah.

    ii- Maka Allah SWT tanya di sini, wahai manusia yang buat kerja buruk ini; apakah kamu tidak yakin & tidak percaya bahawa kamu akan dibangkitkan semula???? 
    Beginilah orang yang tidak beirman & tidak percaya! 

    Tetapi orang yang beriman yang melakukan perkara begini ada juga, ini kerana iman mereka malap tidak mantap & mereka tidak yakin!

AYAT 5- {PADA HARI (KIAMAT) YANG AMAT BESAR (HURU-HARANYA),} (AL-MUTAFFIFIN 83:5)

  1. Yakni apakah mereka tidak percaya bahawa mereka akan dibangkit semula pada hari Kiamat yang amat dahsyat & besar huru-haranya!!! 

AYAT 6- {HARI BERDIRI MANUSIA UNTUK MENGADAP TUHAN SEKALIAN ALAM?} (AL-MUTAFFIFIN 83:6)

  1. Itulah hari yang seluruh manusia bangun berdiri { يَوْمَ يَقُومُ} di hadapan Allah SWT, Tuhan sekelian alam. 
  1. Kemudian mereka akan mengahadapi perhitungan; dihisab, dihitung amalan masing-masing lalu yang beriman ke syurga yang jahat ke neraka!
  1. Hadis riwayat Abdullah bin Umar RA: Bahawa Rasulullah SAW mebaca ayat ini:
    {Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam?}- يَعْرَقُ النَّاسُ يَوْمَ القِيَامَةِ حَتَّى يَذْهَبَ عَرَقُهُمْ فِي الأَرْضِ سَبْعِينَ ذِرَاعًا، وَيُلْجِمُهُمْ حَتَّى يَبْلُغَ آذَانَهُمْ
    Maksudnya: “Manusia akan berpeluh pada hari kiamat sehingga peluh mereka di bumi setinggi 70 hasta dan sehingga menenggelamkan mereka sampai ke telinga.” [Riwayat al-Bukhari (6532)]
  1. Ya Allah begitu dahsyat, mengharung dalam air peluh yang busuk lagi kotor, sungai peluh manusia yang begitu dahsyat! 
    Kita minta Allah SWT selamatkan daripada segala perangai buruk, ampunkan dosa kita & aman di akhirat.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan),}-

    Celaka bagi orang yang mengurangkan timbangan.

    Ayat 2- {Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup,} & Ayat 3- {Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.}-

    Manakala ayat 2 & 3 ini adalah cara mereka mengurangi timbangan itu! 

    Kata ulama’ tadabbur; ayat ini mencela mengutuk, mengecam mereka yang berperangai begini, khianat dalam timbangan ini. 
    Ini adalah satu isu yang besar bukan main-main kerana semua manusia perlukan jual beli & urusan ini!
    Muamalat dalam jual beli pula, asas utamanya terdiri dari sukatan, timbangan & ukuran. 

    Contoh zaman kita sekarang ini pula, zaman teknologi ini: 
    i- Kita langgan line internet bayarannya adalah rm120 untuk sebulan; tiba-tiba line rosak selama 3 hari. Apakah syarikat itu bayar balik, kurangkan bayaran atau tambah masa yang rosak 3 hari itu? Pasti tidak pernah berlaku & terdengar dalam sejarah. Yakni yang kita kena bayar full, alik dia no problem!

    ii- Beli tiket kapal terbang;  
    a) Timenya jam 8 pagi.. tetapi delay sehingga jam 12 tengahari, tidak diberinya pampasan kerugian masa kita menunggu & terlepas appointment yang sepatutnya, kena makan minum di airport yang mahal itu dan seumpamanya.

    b) Bayaran beg yang ditimbang, lebih berat kena bayar extra, tetapi jika kurang tak akan diberinya balik duit!
    Kerana itulah Islam mengambil berat isu ini kerana muamalat & perniagaan adalah salah keperluan besar manusia, semua orang berhajat kepadanya. 
    Jadi prinsip keadilan dalam Islam melarang keras perbuatan jahat & khianat ini tidak mahu menzlaimi orang walaupun sedikit.

    Oleh kerana itu Allah besarkan isu ini & beri amaran keras, siapa yang khianat maka nerakalah balasannya! 
    Firman Allah SWT:
    i- {Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan, Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan; Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.} (Ar-Rahman 55: 7-9)

    ii- {Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan (dalam semua perkara).} (Al-Hadid 57:25)

    Tidak akan memberi manfaat & tidak akan terlepas dari dosa perbuatan mengurangkan sukatan & timbangan ini kecuali dia bertaubat & hantar balik hak orang yang dia kurangi & ambil itu!
    Bagaimana caranya nak buat jika telah berlalu masa yang lama & tidak diketahui siapakah mangsanya lagi??
    Kerana itu Rasulullah SAW menggalakkan para peniaga agar banyak bersedekah takut-takut ada tersilap salah!  Mudah-mudahan dengannya akan terhapus apa yang kita tidak tahu & tidak sengaja itu dalam urusan jual-beli kita itu!! [HR Abu Daud & a-Tirmizi].
  1. Ayat 2- {Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup,} &
    Ayat 3- {Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.}-

    Dalam dua ayat ini Allah SWT gambarkan tentang khianat dalam jual beli, yakni jika dia beli mahu cukup atau lebih, tetapi apabila dia jual pasti akan diberi kurang! 

    Sekarang kita mahu semak apakah amalan yang kita buat sekarang ini betul atau tidak. 
    Ini adalah dua gambaran atau bandingan contoh yang Allah Azza wa Jalla buat dalam sukatan & timbangan maka kamu buatlah qiyas dengan apa saja yang seumpamanya. 

    Setiap orang yang menuntut haknya tetapi tidak diberi & tidak mendapat haknya yang sempurna maka ia termsuk dalam kes Al-Mutaffifin { المُطَفِّفِينَ} ini.
    Contoh realiti semasa:
    i- Seorang suami nak isterinya layannya penuh, dalam layanan makan-minum pakaian & jagaan, kasih-sayang dan lain-lain.
    Tetapi dalam masa yang sama dia pula tidak begitu, tidak layan isteri dengan baik, nafkah & kasih sayang kurang, isteri di rumah dia mengopi di warung dan seumpamanya.
    Yakni tidak cukup hubungan baik dari sebelah pihaknya! Hak dia tuntut sepenuhnya tetapi tanggungjawab dia tidak sempurna. 
    Masa semasa bekerja sudah banyak habis di luar rumah, habis kerja pun tak manfaatkan masa dengan keluarga! 
    Ini termasuk dalam Al-Mutaffifin, timbangan yang tidak seimbang dalam keluarga! 

    ii- Pekerja, pegawai-pegawai sama ada kerajaan atau swasta; waktu jam kerjanya sudah dimaklumi, tetapi hadir lewat atau salah guna masa kerjanya (curi tulang dalam masa kerja) tetapi dalam masa sama menuntut bayaran yang penuh bagi gaji atau upahnya, tidak boleh terkurang sedikitpun!
    Ini juga termasuk dalam Al-Mutaffifin, orang yang mengurangkan sukatan & timbangan!

    iii- Seseorang itu apabila kritik kelemahan seseorang dia akan sebut semuanya sedangkan ianya termasuk dalam keuzuran atau kelemahan yang tidak dapat dielakkan.
    Sedangkan dalam masa yang sama lansung tidak disebut kebaikan lain yang ada pada orang itu!
    Iaitu penilaian yang tidak adil & berat sebelah.
    Ini juga termasuk dalam Al-Mutaffifin, orang yang mengurangkan sukatan & timbangan!

    Banyak lagilah contoh-contoh yang diberi oleh ulama’, selain dalam jual-beli yang ma’ruf. Termasuk juga kita membuat penilaian terhadap seseorang yang tidak kita cuba kaji dan selidik, ikut dengar orang kata sahaja terus label!
    Ini juga termasuk dalam Al-Mutaffifin, orang yang mengurangkan sukatan & timbangan!

    Boleh baca risalah ringkas susunan DAAM dalam Tenang Dengan Ujian ini: https://dartaibah.com/?page_id=179…
  1. Ayat 1- {Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan),}–

    Ini satu peringatan dari Allah SWT bahawa punca penyakit atas dunia ini adalah akhlak yang buruk!
    Akhlak buruk ini adalah hasil akibat cintakan dunia, maka tidak kira lagi halal & haram, apa yang dikejar ialah habuan & harta dunia! 
    Maka salah satu cara nak cepat kaya & untung ialah kurangkan sukatan, timbangan & ukuran! 
    Lebih jahat lagi ialah jika adanya unsur riba & penipuan pula dalam urusan itu sama ada jual-beli dan lain-lain muamalat.
  1. Ayat 1- {Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan),}-

    Celaka bagi orang yang mengurangkan sukatan!
    Mengurangkan sukatan & timbangan ini bukan hanya dalam urusan jual beli & menilai orang saja; bahkan ia termasuk juga dalam ibadat.
    Kata ulama’: Boleh terjadinya (Al-Mutaffifin) kurang timbangan ini dalam semua ibadat sama ada dalam wudhuk, dalam solat dan lain-lain.
    Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri RA, beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ أَسْوَأَ النَّاسِ سَرِقَةً الَّذِي يَسْرِقُ صَلَاتَهُ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَكَيْفَ يَسْرِقُهَا؟ قَالَ: لَا يُتِمُّ رُكُوعَهَا وَلَا سُجُودَهَا.
    “Sesungguhnya seburuk-buruk manusia adalah pencuri yang mencuri dalam solatnya.” Para Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana ia mencuri dalam solatnya?” Baginda menjawab: “Ia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” [HR Ahmad (11106)]

    Termasuk yang kita bimbang hari ini; ialah orang yang solat atas kerusi atau duduk terus.
    Adakah betul-betul telah menilai keuzuran mereka yang tidak mampu sujud atas lantai, benar-benar tak mampu setelah rujuk kepada asatizah yang dipercayai; atau hanya suka-suka ikut orang buat. 
    Maka jika hanya ikut orang, takut dikira pencuri juga dalam solat. 
    Lalu termasuk juga dalam Al-Mutaffifin, orang yang mengurangkan sukatan & timbangan! Na’uzubillah!
  1. Ayat 4- {Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)?}-

    Kata ulama’ : orang yang tidak beriman dengan bangkit semula atau mereka yang syak ragu-ragu tentangnya; maka mereka inilah orang yang berani buat dosa maksiat yang buruk ini. Ia akan menyebabkan mereka terjebak dengan perangai buruk yang tidak baik ini!
    Mudah-mudahan Allah SWT selamatkan kita dari sifat mazmumah ini.
  1. Kenapa hari Kiamat dinamakan sebagai HARI KIAMAT {يوم القيامة}? 

    Kata ulama’ ini kerana 3 perkara:
    i- Semua manusia bangun berdiri (قام) keluar dari kubur mereka. Sebagaimana dalam ayat yang kita baca ini: { يَوْمَ يَقُومُ ٱلنَّاسُ}- 

    ii- Ia adalah hari tertegaknya, berdirinya keadilan & perhitungan. Tiada siapa boleh tipu & kelentong orang lainlagi.
    Firman Allah SWT:
    {Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.} (Al-Anbiya’ 21:47)

    iii- Iaitu hari terdirinya segala saksi (وَيَوْمَ يَقُومُ ٱلْأَشْهَـٰدُ) bagi perbicaraan yang adil di hadapan Allah SWT.
    Firman Allah SWT:
    {Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman, dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi { وَيَوْمَ يَقُومُ ٱلْأَشْهَـٰدُ} (pada hari kiamat).} (Ghaafir 40:51)

    Semoga Allah SWT letakkan perasaan takut kita kepada Allah, supaya kita sentiasa berhati-hati & beringat dari untuk melakukan perbuatan buruk yang boleh mengundang bala di akhirat & hilang keberkatan atas dunia ini!
    Semoga kita berdiri di hadapan Allah SWT kelak dalam keadaan tenang & aman, segala amalan kita baik manakala buruk kita minta ampun bertaubat dengan Allah sebelum kita mati, semoga terampun semuanya!

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs