View Categories

SURAH AL-MUZZAMMIL : AYAT 1-4

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH & ALLAH SERU NABI S.A.W YANG BERSELIMUT AGAR BANGUN SOLAT MALAM.

Full video : https://youtu.be/m5TqKfizPMI?si=GJtaYLgrpibV_GQm

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Rabu 29 Sya\’ban 1444H bersamaan 22hb Mac 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Muzzammil – سورة المزمل.
  2. Syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya.
    Semoga Allah s.w.t qabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita ke syurga-Nya.
  3. Surah Al-Muzzammil – سورة المزمل adalah surah ke-73 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Jin – سورة الجن – surah yang ketujuh dalam juz ke 29, mengandungi 20 ayat.
  4. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
  5. Tetapi ada juga ulama\’ kata ia surah Makkiyyah kecuali dua ayat iaitu ayat 10 dan 11 selepasnya.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Muzzammil – سورة المزمل yang bermakna {Wahai Orang Yang Berselimut} kerana pada ayat pertama Allah s.w.t seru Rasulullah s.a.w yang sedang berselimut { يَـٰٓأَيُّهَا المزمل }- kerana demam gementar selepas menerima wahyu yang pertama.
  2. Allah s.w.t menyuruhnya supaya bangun keluar dari selimut dan bangun beribadat pada waktu malam.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Allah s.w.t mengarahkan Rasulullah dan juga umatnya supaya membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat bagi nafsu.
    Ini kerana Allah s.w.t akan menurunkan wahyu al-Quran yang mengandungi perintah yang berat bagi orang yang tidak bersedia menerimanya.
    Ia adalah bangun solat bertahajjud pada waktu malam.
    *Kerana itu Rasulullah s.a.w menyuruh kita tidur awal untuk bangun awal pula.
  2. Sebelum itu diperintahkan untuk membaca al-Quran dengan tartil iaitu terang jelas & mengikut hukum tajwid yang betul.
  3. Diterangkan pula keistimewaan beribadat pada saat yang sunyi dan sepi.
    Solat & ibadat pada waktu malam yang sepi lebih kuat kesannya pada jiwa dan lebih tetap betul bacaannya.
  4. Digalakkan untuk menyebut & mengingati nama Allah terus menerus siang & malam serta menumpukan amal ibadat kepada-Nya dengan sebulat & seikhlasnya.
  5. Diberi amaran kepada puak kafir yang menentang Rasulullah s.a.w. Bahawa jika mereka terus berdegil menentangnya, maka akibat yang amat buruk bagi mereka seperti yang telah menimpa Firaun & kaum sebelummya.
  6. Sesungguhnya keterangan yang mengandungi amaran ini satu peringatan, oleh itu sesiapa yang mahu kebaikan bagi dirinya, dapatlah dia mengambil jalan yang membawa kepada Tuhannya dengan iman & taat.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah Allah berikan arahan & bimbingan supaya kita menambahkan bekalan kekuatan jiwa & iman dengan bertahajjud & berzikir untuk menanggung beratnya tanggung-jawab dakwah menyampaikan Islam.

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w untuk bangun solat malam. Kita mahu menjadi pendakwah beginilah juga.
  2. Allah mahu mantapkan keimanan Rasulullah s.a.w untuk menanggung tugasan menyampaikan wahyu (تبليغ).
  3. Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w agar sabar menghadapi karenah buruk puak kafir.
  4. Allah memberi amaran kepada mereka dengan menyatakan sebahagian daripada siksaan yang Allah sediakan bagi orang kafir.
  5. Memberi nasihat & peringatan kepada puak kafir dengan apa yang telah ditimpakakn ke atas Firaun & semua kaum yang mendustakan rasul-rasul sebelum mereka.
  6. Allah sebut sedikit tentang hari Kiamat & sifat huru-haranya.
  7. Allah s.w.t permudahkan ibadat qiyamullail- sunat tidak diwajiblkan tetapi amat digalakkan.
  8. Arahan supaya mendirikan solat, tunaikan zakat, beri sedekah serta arahan supaya sentiasa beristihgfar, minta ampun kepada Allah daripada dosa-dosa yang telah dilakukan.

MUNASABAH SURAH AL-MUZZAMMIL – سورة المزمل DENGAN SURAH AL-JIN – سورة الجن SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Jin.

  1. Di akhir Surah Jin Allah s.w.t menyatakan bahawa Dia telah memerintahkan para rasul menyampaikan risalah iaitu tabligh wahyu yang diterima.

ii- Dalam Surah Al-Muzzammil – سورة المزمل ini Allah s.w.t terus perintah kepada Rasulullah s.a.w agar tinggalkan selimut bangun membuat persiapan untuk menerima tugasnya yang besar dengan bertahajjud & baca al-Quran kerana kamu akan diberi tugasan yang berat iaitu menyampaikan dakwah Islam.

  1. Dalam Surah Jin Allah s.w.t nyatakan tindak balas daripada dakwah Baginda antara kaumnya Quraisy dengan golongan jin. Iaitu dalam ayat 18 & 19:
    {\”Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.}-
    {\”Dan bahawa sesungguhnya, ketika hamba Allah (Nabi Muhammad) berdiri mengerjakan ibadat kepadaNya,}

ii- pada permulaan surah Al-Muzzammil ini Allah s.w.t telah mengarahkan Rasulullah s.a.w agar bangun solat sepanjang malam, atau separuh atau kurang lagi. Yakni kaitan surah dulu kisah jin berdakwah kepada kaumnya & surah ini perintah untuk kita berdakwah dengan jelas!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 1- {Wahai orang yang berselimut!} (Al-Muzzammil 73:1)

  1. Allah s.w.t menyeru orang yang berselimut, yakni Nabi Muhammad s.a.w. yang sedang berselimut selepas kembalinya dari Gua Hira setelah menerima wahyu yang pertama!
  2. Ia adalah satu pengalaman yang amat mengejutkan bagi Rasulullah s.a.w sehingga Baginda ketar-gementar.
  3. Kata Imam Ibnu Kathir rhm.: Dalam ayat ini Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w agar tinggalkan selimutnya pada waktu malam & agar bangun besolat & beribadat kepada Tuhannya iaitu ibadat Qiyamullail.

Sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.} (As-Sajdah 32:16)
Lalu Rasulullah s.a.w mengikut perintah Allah untuk bangun bersolat.

ii- ada juga yang kata ia adalah selimut sebagai pakaian untuk solat.

  1. Kata Ibnu Atiyah rhm.: majoriti ulama\’ tafsir berkata bahawa: Ketika Rasulullah s.a.w didatangi malaikat Jibril ketika Baginda berada di atas gua Hira\’ dan mewayhyukan ayat Iqra\’, maka Baginda kembali kepada isterinya UM Khadijah di rumah dan berkata: Selimutilah aku selimutilah aku! Sayyidah menyelimuti Baginda s.a.w.

Lalu Allah s.w.t turunkan ayat ini! Yakni { يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمُدَّثِّرُ} kemudian { يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمُزَّمِّلُ} ini.

  1. Ulama\’ ada sedikit perbezaan pandangan tentang tertib ayat mana yang turun dulu selepas yang pertama iaitu { ٱقْرَأْ}- dari surah al-\’Alaq.
  2. Kata Ibnu Asyur rhm. pendapat yang sahih pada kajiannya mengikut hadis yang sahih:
    i- ayat dan wahyu yang pertama adalah dari surah al-\’Alaq iaitu dari ayat 1 sehingga ayat 5.

ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِنْ عَلَقٍ 7 ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ ٣ ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ ٤ عَلَّمَ ٱلْإِنسَـٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ٥

ii- tetapi ulama\’ berbeza pandangan tentang surah apa yang turun selepasnya.

  1. Beberapa pandangan tentang surah yang kedua turun:
    i- ada yang kata surah al-Qalam iaitu:
    {نٓ ۚ وَٱلْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ}

ii ada kata surah al-Muddatthir: { يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمُدَّثِّرُ} – Ini dikatakan pendapat yang paling rajih (terpilih).

iii- ada yang kata: { يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمُزَّمِّلُ}- ada juga yang kata Muzzammil ini yang ketiga, al-Qalam yang keempat. Ada kata al-Muzzammil ini ada yang kata keempat.
Berkisar dalam empat surah ini tetapi yang pertamanya tiada pertikaian.

  1. Tetapi majoriti ulama\’ kata { ٱلْمُدَّثِّرُ} turun sebelum { ٱلْمُزَّمِّلُ} berdasarkan analisa yang dibuat dari zahir hadis Urwah bin az-Zubair r.a dari UM Aisyah r.a tentang peristiwa permulaan turunnya wahyu dalam Sahih al-Bukhari.
  2. Kata Ibnu Hajar rhm.: Turunnya { ٱلْمُزَّمِّلُ} terkemudian daripada { ٱلْمُدَّثِّرُ} adalah lebih tepat.

Ini kerana:
i- dalam surah { ٱلْمُدَّثِّرُ} Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w memberi peringatan kepada kaumnya. Ini adalah diawal kebangkitan Rasulullah s.a.w.

ii- manakala dalam surah { ٱلْمُزَّمِّلُ} Allah s.w.t suruh Rasulullah s.a.w bangkit bangun solat dan baca al-Quran. Takkan suruh baca al-Quran jika tiada ayat lain yang sudah turun dulu sebelumnya. Wallahu a\’lam.

AYAT 2- {BANGUNLAH SEMBAHYANG TAHAJJUD PADA WAKTU MALAM, SELAIN DARI SEDIKIT MASA (YANG TAK DAPAT TIDAK UNTUK BEREHAT),} (AL-MUZZAMMIL 73:2)

  1. Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w supaya bagun untuk solat dan tidak tidur kecuali sedikit masa yang diperuntukkan untuk tidur dan rehat.
  2. Kata al-Mawardi rhm.: Apakah qiyamullail ini wajib ke atas Rasulullah s.a.w atau wajib kepada semua umat pada peringkat awalnya?
  3. Ada dua pandangan:
    i- wajib ke atas Rasulullah s.a.w tetapi tidak wajib kepada umatnya.

ii- wajib ke atas Rasulullah s.a.w dan wajib kepada semua sahabat pada masa itu. Lalu mereka bangun solat malam sehingga bengkak kaki.
Kata Ibnu Abbas r.a: Mereka berdiri solat pada waktu malam seperti solat pada malam Ramadhan. Kemudian solat ini dinasakhkan (dihapuskan) dengan solat fardhu 5 waktu. Iaitu apabila difardhukan solat yang lima, solat tahajjud ini pun dimansukhkan!

  1. Kita ucapkan alhamdulillah; jika tidak lagi ramailah yang akan masuk neraka!
    Solat yang lima ini pun ramai yang tidak lepas, apatah lagi solat tahajjud! Allahu al-Musta\’an.

AYAT 3- {IAITU SEPARUH DARI WAKTU MALAM, ATAU KURANGKAN SEDIKIT DARI SEPARUH ITU,} (AL-MUZZAMMIL 73:3)

  1. Allah perintahkan supaya bangun pada separuh daripada waktu malam atau kurangkan sedikit iaitu satu pertiga malam.
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.
    Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).} (Az-Zaariyaat 51:18)

AYAT 4- {ATAUPUN LEBIHKAN (SEDIKIT) DARIPADANYA; DAN BACALAH AL-QURAN DENGAN \”TARTIL\”.} (AL-MUZZAMMIL 73:4)

  1. Atau lebihkan sedikit daripada waktu malam iaitu pada dua-pertiga malam. Yakni Allah s.w.t bagi pilihan; tidak salah untuk kita bangun solat pada separuh malam, 1/3 malam atau 2/3 malam.
  2. Hadis riwayat dari UM Aisyah r.a:
    \”Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w bangun solat malam hingga bengkak kakinya. Aisyah berkata: Wahai Rasulullah, kenapa Tuan melakukan ini padahal Allah telah mengampuni dosa Tuan yang telah berlalu dan yang dikemudian.
    Baginda s.a.w bersabda: Apakah tidak boleh untuk aku menjadi hamba yang bersyukur?\” [HR Bukhari & Muslim].

Kita jika tidak mampu solat malam banyak, jangan tinggalkan solat sunat pada waktu siang seperti solat Dhuha & solat rawatib sebelum & selepas solat fardhu.
Ingatlah projek mega mampu milik yang dikempen oleh AAM.

  1. Serta bacalah al-Quran dengan terang & jelas, jangan hanya degungan saja atau gopoh. Yakni bacalah secara perlahan, setiap hurufnya disebut dengan jelas supaya kita dapat menghayati bacaan & maknanya. Ia akan lebih memberi kesan kepada jiwa kita Insya\’ Allah.
  2. Hadis tentang cara Rasulullah s.a.w membaca al-Quran:
    i- dari UM Hafsah r.a berkata:
    \”Adalah Rasulullah s.a.w membaca al-Quran; satu surah secara tartil (perlahan & suara yang nyata jelas) sehingga surah yang pendek menjadi lebih panjang daripada surah yang panjang.\” [HR Muslim].

ii- HR Qatadah r.a:
عَنْ قَتَادَةَ، قَالَ: قُلْتُ لِأَنَسِ بْنِ مَالِكٍ: كَيْفَ كَانَتْ قِرَاءَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَقَالَ: «كان يمد مَدًّا>>

Qatadah berkata: Aku bertanya kepada Anas bin Malik r.a: \”Bagaimanakah cara Rasulullah membaca Quran?\” Jawab Anas, \”Baginda memanjangkan bacaan (sesuai dengan hukum tajwid).\” [HR Bulhari].

iii- Daripada Abdullah bin \’Amr R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ: اقْرَأْ، وَارْتَقِ، وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا

Maksudnya: \”Dikatakan kepada pembaca al-Quran: Bacalah dan naiklah, bacalah sebagaimana kamu membacanya di dunia. Sesungguhnya tempat kamu (di Syurga) adalah pada ayat terakhir yang kamu bacakannya\”. [HR Abu Daud (1464)]
lagi banyak kita baca al-Quran lagi tinggi darjat di dalam syurga- masya Allah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Wahai orang yang berselimut!}- dalam ayat ini Allah s.w.t menyeru Rasulullah s.a.w dengan sifat atau keadaannya ketika itu.

Ia memberi dua isyarat samada:
i- satu panggilan lembut (الملاطفة)- wahai yang berselimut, tentang sifat atau keadaan Baginda s.a.w pada masa itu.

ii- ia memberi peringatan kepada semua orang yang sedang tidur, sedang berselimut pada waktu malam; agar bangun untuk beribadat kepada Allah s.w.t pada waktu malam yang sunyi itu. Ingatlah kepada Allah dengan bertahajjud dan qiyamullail.

  1. Ayat 1- {Wahai orang yang berselimut!}- Allah s.w.t memanggil Rasulullah s.a.w dengan gelaran, sifat & keadaan Baginda.

Tetapi Allah s.w.t memanggil para rasul & nabi lain a.s dengan nama mereka seperti:
i- {Ya Adam- وَقُلْنَا يَـٰٓـَٔادَمُ} – [Al-Baqarah: 35]

ii- {Ya Nuh- قِيلَ يَـٰنُوحُ }- [Hud: 48].

iii- {Ya Musa- نُودِىَ يَـٰمُوسَىٰٓ}- [Toha: 11] dan lain-lain.

Allah s.w.t tidak pernah memanggil Nabi Muhammad s.a.w dengan namanya sendiri tetapi dengan gelaran atau sifat Baginda s.a.w:
i- {Wahai Nabi- يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ } [At-Tahrim: 1].

ii- { Wahai Rasulullah- يَـٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ } [Al-Maidah: 41].

iii- { Wahai Rasulullah- يَـٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ } [Al-Maidah: 67].

serta dalam ayat ini { يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمُزَّمِّلُ}- dan banyak lagi contohnya.

Jika Allah s.w.t mengajar kita supaya beradab dengan Rasulullah s.a.w, maka kita lebih-lebih lagi berhak untuk beradab dengan Baginda s.a.w jangan dok panggil ya Muhammad ya Muhammad.

Tetapi jika mahu ceritakan tentang Nabi s.a.w, barulah Allah s.w.t sebut nama Baginda s.a.w seperti dalam ayat-ayat ini:
i- {Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu,-
مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَآ أَحَدٍۢ مِّن رِّجَالِكُمْ}
[al-Ahzab: 40].

ii- {Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah;-
مُّحَمَّدٌۭ رَّسُولُ ٱللَّهِ ۚ} [al-Fathi: 29].

Jadi kita kena beradablah- jangan buat lagu buat nasyid panggil (Ya Muhammad) kerana Allah s.w.t tidak ajar kita pangil Nabi begitu, bahkan Allah s.w.t panggil Baginda dengan sifat & jawatannya.

  1. Ayat 1- {Wahai orang yang berselimut!}- apakah {ٱلْمُزَّمِّلُ} al-Muzzammil- itu nama Nabi s.a.w? Ada orang buat nasyid juga!

Jawapan:
Mengikut kajian ulama\’: {ٱلْمُزَّمِّلُ} Ia adalah bukan nama Rasulullah s.a.w & Baginda tidak dikenali dengan nama itu sebagaimana yang dikatakan oleh setengan orang.

Perkataan {ٱلْمُزَّمِّلُ} itu diambil daripada suasana atau keadaan Rasulullah s.a.w yang sedang berselimut ketika itu. Sebagai satu panggilan yang lembut atau lebih dekat!

Ia adalah sesuatu yang khilaf, ulama\’ mengatakan bukan nama Nabi s a.w. dan ada juga yang mengatakan ia adalah nama Nabi s.a.w.

  1. Ayat 2- {Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam,}- Rasulullah s.a.w diarahkan untuk bangun solat pada waktu malam untuk beribadat.

Allah jadikan malam itu untuk kita bangun solat tahajjud. Ini kerana itu adalah kebiasaan waktu orang lain sedang tidur, waktu sunyi maka Nabi s.a.w diarahkan untuk bangun beribadat.

Ini kerana ibadat pada waktu malam yang sunyi lebih tenang dan qabul kepada hati, lebih jauh dari riya\’ kepada manusia serta terasa Allah s.w.t lebih dekat. Jadikan malam itu yang kita hidupkan dengan tahajjud, solat baca al-Quran, zikir dan seumpamanya.

Tahajjud atau munajat dalam group beramai-ramai online secara zoom pada waktu malam ini dan lain-lain adalah sesuatu yang tidak perlu dan tidak sesuai untuk dilakukan kerana kita mahu beribadat secara menyendiri kepada Allah s.w.t pada malam yang sunyi. Kita mahu bersama dengan Allah bukan dengan group manusia.

Kecuali pada akhir 10 akhir Ramadahan, harus kita berjemaah di masjid untuk tahajjud kerana Rasulullah s.a.w pernah melakukannya bersama para sahabat sehingga separuh malam.

Insya\’ Allah di Masjid ar-Rahman PSD pun akan ada.

  1. Ayat 4- {Dan bacalah Al-Quran dengan \”Tartil\”.}- arahan supaya baca al-Quran dengan tartil iaitu tenang & tidak gopoh. Serta berikan hukum dan haknya. Ini supaya kita boleh perhatikan maknanya hatta pemikiran kita boleh tadabbur ayat ini dengan kefahaman yang kita ada.

Kerana tujuan utama kita baca al-Quran selain daripada mengambil pahala bacaan huruf ialah untuk mengambil kefahaman makna; supaya lekat dalam hati kita, mencerahkan dada kita, memberi cahaya kepada kita apabila kita faham al-Quran. Insya\’ Allah.

Kata Imam Syafei rhm.: \”Paling kurang darjat tartil ialah jangan terlalu laju atau gopoh dalam bacaan biar tenang. Lagi perlahan dan lagi dapat memahaminya lagi aku suka!\”

Sama seperti dalam solat tarawih: Jika bilangan rakaatnya pendek, kita panjangkan bacaan al-Qurannya. Jika bilangan rakatnya banyak seperti 20 rakaat bolehlah pendekkan sedikit bacaan al-Quran dalam qiyam itu.

Ini supaya kita tidak malu untuk bertemu dengan Allah s.w.t kelak. Allah beri peluang dan waktu yang cukup untuk kita meraih pahala yang banyak pada bulan Ramadhan ini tetapi kita yang malas dan cuai tidak mahu mengambil tawaran ini!
Allahu al-Musta\’an.

Semoga Ramadhan kita kali ini adalah yang terbaik sebagaimana yang sebelumnya dari segi ibadat dan penghayatannya.

Powered by BetterDocs